31 Ogos 2012

BERBA AKHIRNYA SERTAI FULHAM



Teka teki tentang masa depan Dimitar Berbatov akhirnya terjawab selepas pemain itu menandatangani kontrak secara rasmi bersama Fulham selama dua tahun. Fulham melalui laman sesawang rasmi mereka mengeluarkan kenyataan bahawa bekas pemain antarabangsa Bulgaria itu berhijrah ke Craven Cottage hingga 2014. Berbatov yang pernah bekerja dengan Pengurus Fulham, Martin Jol ketika beliau dilantik sebagai pengurus Tottenham Hotspurs (2004-2007) tidak sabar untuk kembali bekerjasama dengan warga Belanda itu. "Saya gembira kerana menyertai Fulham dan tidak sabar untuk bekerjasama dengan Martin Jol lagi", kata Berbatov. Sementara itu, Jol yakin kehadiran pemain seperti Berbatov di Craven Cottage akan menyemarakan semangat pemain-pemain The Cottagers selepas berdepan kemelut yang melibatkan Clint Dempsey dan pihak pengurusan kelab. Berbatov menyertai United dari Tottenham Hotspurs pada 2008 dengan reputasi sebagai pemain termahal pernah ditandatangani The Red Devils. Berbatov menjaringkan 48 gol dari 108 penampilan liga untuk United dan pernah muncul penjaring terbanyak liga bersama Carlos Tevez dengan 20 gol pada musim 2010/11. Corak permainan Berbatov yang agak `perlahan' ternyata sudah tidak lagi sesuai dengan tempo permainan pantas yang diterapkan Ferguson. Faktor ini dikatakan menjadi penyebab utama mengapa Berbatov gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama United. Tambah memburukan lagi keadaan, kehadiran Robin Van Persie menyaksikan Berbatov berada di belakang Wayne Rooney, Van Persie, Danny Welbeck dan Javier Hernandez dalam ranking penyerang United. Apapun terima kasih Berba atas sumbangan anda selama empat musim di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!

30 Ogos 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN: NANI DAN ANDERSON BAKAL DIJUAL?


Limpahan pemain di bahagian tengah membuatkan persaingan di posisi itu semakin sengit hingga mengakibatkan beberapa midfielder terpaksa memanaskan bangku simpanan. Antara yang terkena impak dari situasi tersebut ialah Anderson dan Nani hingga menyaksikan kedua-duanya bukan lagi pilihan automatik mengisi posisi tersebut. Situasi ini juga dikatakan memaksa Ferguson mempertimbangkan untuk melepaskan kedua-dua pemain ini pergi sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup esok. Menurut berita yang dipetik dari Daily Mail, Ferguson bersedia melepaskan Anderson dan Nani dengan nilai perpindahan sekitar 15 juta Pound dan Spurs muncul kelab yang berminat mendapatkan khidmat kedua-duanya. Selepas kehilangan Luka Modric kepada Real Madrid, Andres Villas-Boas pastinya mahu mencari pengganti bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bintang antarabangsa Croatia itu. Spurs sebelumnya dikatakan meletakkan sasaran mendapatkan bintang Porto, Joao Moutinho namun masih gagal mencapai kata sepakat. Selain Spurs, Benfica turut berminat mendapatkan khidmat Anderson namun hanya dengan status pinjaman, tetapi idea itu ditolak United yang berhasrat melepaskan pemain itu dengan kontrak tetap. Sementara itu, Nani pula masih gagal mencapai kata sepakat mengenai kontrak baru bersama United dan sejak kebelakangan ini sering diletakkan di bangku simpanan oleh Ferguson hingga timbul spekulasi mengatakan bahawa pemain itu tidak gembira dan ingin keluar dari Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!

ROONEY TEKAD KEKAL BERSAMA UNITED


Wayne Rooney berikrar untuk terus kekal di Old Trafford, sekaligus menamatkan teka teki tentang masa depannya bersama Manchester United. Media-media di England hujung minggu ini mendedahkan bahawa terdapat ketegangan antara bintang England itu dengan Sir Alex Ferguson semasa persiapan pra-musim hingga menyebabkan Ferguson meletakkan bintang penyerangnya itu di bangku simpanan semasa perlawanan liga hujung minggu lalu. Ferguson dikatakan curiga mengenai perkembangan mutakhir Rooney selepas permulaan yang kurang memberangsangkan buat penjaring terbanyak United musim lalu itu. Bagaimanapun Rooney akhirnya bersuara dan pantas menyanggah laporan-laporan yang ditiupkan media tentang masa depannya di Old Trafford melalui Twitter. "Mendengar apa yang media laporkan sebenarnya adalah sampah", kata Rooney melalui akaun Twitter miliknya. Rooney terpaksa direhatkan selama dua bulan apabila mengalami kecederaan parah di paha selepas masuk sebagai pemain gantian pada perlawanan liga menentang Fulham Sabtu lalu. Ketibaan Robin Van Persie juga bermakna Ferguson mempunyai banyak pilihan menarik di barisan hadapan skuadnya. Selepas pulih dari kecederaan nanti, Rooney perlu bekerja lebih keras untuk memastikan tempatnya dalam kesebelasan utama terjamin, apatah lagi selepas menyaksikan dua bintang baru United, Van Persie dan Shinji Kagawa menemui sentuhan gol hanya pada perlawanan kedua mereka bersama skuad The Red Devils. Selain memiliki Van Persie, Ferguson juga boleh menyandarkan harapan kepada Danny Welbeck dan Javier Hernandez dalam memburu jaringan. Walau bagaimanapun isu penjualan Rooney bukanlah sesuatu yang asing buat penyokong-penyokong setia United dan sering dimainkan media terutamanya dalam tempoh dua tahun terakhir. Semoga Rooney terus kekal di Old Trafford sekaligus memenuhi impiannya untuk memadamkan rekod 207 gol liga milik lagenda United, Sir Bobby Charlton. Glory Glory Manchester United!!!

29 Ogos 2012

FIORENTINA BERMINAT SAMBAR BERBATOV


Harapan Dimitar Berbatov untuk meninggalkan Old Trafford sebelum jendela perpindahan pemain musim panas ditutup mungkin menjadi kenyataan selepas kelab Serie A, Fiorentina berminat mendapatkan khidmatnya. Fiorentina diberitakan  sudah membuat tawaran sebanyak 5 juta Pound untuk membawa penyerang Bulgaria itu beraksi di Itali. Berbatov yang kian terdesak mencari kelab baru selepas gagal menempatkan diri dalam kesebelasan utama United dilaporkan berminat dengan tawaran tersebut. Musim lalu, Berbatov hanya beraksi sebanyak 11 perlawanan untuk United, dan lima darinya adalah dalam saingan Liga Perdana. Slot selaku penyerang utama kian jauh dari jangkauan Berbatov selepas ketibaan Robin Van Persie yang dibeli dengan harga 24 juta Pound dari Arsenal. Selain Van Persie dan Wayne Rooney, Berbatov juga mendapati beliau kini berada di belakang Javier Hernandez dan Danny Welbeck dalam senarai penyerang United meskipun berjaya menjaringkan 56 gol dari 148 penampilannya untuk United. Kini satu-satunya pilihan yang ada buat Berbatov jika dia mahu bermain dengan lebih kerap ialah menyertai pasukan lain. Berbatov tiba di Old Trafford dari Tottenham Hotspurs pada September 2008 dengan reputasi sebagai pembelian paling mahal pernah dibuat United. Kemuncak prestasi Berbatov tiba apabila dia muncul penjaring terbanyak Liga Perdana bersama Carlos Tevez dua musim lalu. Selepas itu segalanya tidak lagi menyebelahi Berbatov dan detik kejatuhannya bermula apabila dia tidak disenaraikan dalam skuad yang berdepan Barcelona pada final Liga Juara-Juara 2011 di Wembley. Gaya permainan `lesu' Berbatov tidak lagi sesuai dengan corak permainan pantas yang diterapkan Ferguson dilihat menjadi penyebab utama mengapa dia sering memanaskan bangku simpanan United sejak kebelakangan ini. Glory Glory Manchester United!!!

28 Ogos 2012

ROONEY DIJUAL?...SPEKULASI MENGARUT


Spekulasi telah dimainkan oleh media-media di England hujung minggu lalu tentang hasrat Sir Alex Ferguson mempertimbangkan untuk menjual bintang penyerangnya, Wayne Rooney selepas aksi hambar di Goodison Park minggu lalu. Dengan kemasukkan pemain-pemain baru musim panas seperti Robin Van Persie dan Shinji Kagawa serta perpanjangan kontrak Danny Welbeck, media Inggeris dengan pantas menghidupkan spekulasi perpindahan Rooney dari Old Trafford apatah lagi selepas menyaksikan penyerang itu hanya memanaskan bangku simpanan ketika berdepan Fulham, Sabtu lalu. Melihat pada kempen musim lalu, United adalah pasukan yang cukup berbeza dengan ataupun tanpa Rooney. Rooney berjaya memberikan tenaga kepada United dengan segala helah dan sentuhan kelas pertama ketika berada di hadapan gawang lawan, tetapi United jelas agak lesu dan bergelut untuk memecah pertahanan lawan ketika ketiadaan Rooney. Tidak syak lagi bahawa Rooney adalah tenaga penting dalam kempen The Red Devils musim lalu. Memang benar, Rooney kurang menyerlah ketika kempen England di Euro 2012 dan gagal memberikan aksi baik ketika menentang Everton pada perlawanan pertama liga musim ini, namun beliau tetap pemain penting buat United dan pastinya berada dalam perancangan jangka panjang Ferguson. Selepas disahkan terlepas aksi selama dua bulan kerana mengalami luka parah di bahagian paha, United dan penyokong-penyokongnya pasti merindui kelibat bekas pemain Everton itu biarpun ketika ini ruang yang ditinggalkan Rooney akan diisi Van Persie dan juga Kagawa. Van Persie dan Kagawa sudahpun memberikan impak awal kehadiran mereka di Old Trafford apabila masing-masing menjaringkan gol sulung karier mereka bersama United ketika menentang Fulham kelmarin, tetapi kedua-duanya bukanlah galang ganti buat Rooney. 

Tidak dinafikan, Van Persie dan Kagawa akan menjadi tenaga penting dalam usaha United memburu kejuaraan liga ke-20 mereka musim ini terutamanya dalam tempoh dua bulan semasa ketiadaan Rooney. Namun Rooney tetap Rooney, pemain yang sering dilihat berada di segenap penjuru padang membantu rakan sepasukan tanpa rasa penat baik ketika bertahan mahupun ketika menyerang. Adalah diharapkan agar Rooney akan muncul pemain yang lebih kuat berbanding sebelum ini sebaik dia pulih semula dari kecederaan nanti kerana dia tetap pemain penting buat United. Sejak sekian lama muncul pemain penting buat kelab dan skuad kebangsaan, mungkin Rooney membiarkan sikap puas hati merosakkan sedikit aksinya hingga menjejaskan penampilan di awal musim. Walau bagaimanapun dengan beberapa tenaga baru yang tiba di Old Trafford musim panas ini menjadikan tempat Rooney dalam kesebelasan utama United bukan lagi satu jaminan. Semoga situasi ini akan membuatkan Rooney lebih gigih untuk bersaing merebut semula tempatnya dan membuktikan bahawa dia masih yang terbaik untuk United dan nama yang wajib disenaraikan dalam kesebelasan utama dalam setiap perlawanan. Percayalah apabila Rooney kembali cergas sepenuhnya, penyerang bertaraf dunia sepertinya akan menjadi nadi penting buat mana-mana pasukan yang diwakilinya dan bakal menjadi faktor yang membezakan United dengan pesaing-pesaing mereka dalam perlumbaan mengejar kejuaraan musim ini. Glory Glory Manchester United!!! 

27 Ogos 2012

ROONEY MUNGKIN TERLEPAS AKSI SELAMA 2 BULAN?


Harapan Wayne Rooney untuk kembali beraksi semula dalam tempoh sebulan selepas mengalami kecederaan teruk di paha ketika menentang Fulham Sabtu lalu agak tipis. Kakitangan perubatan yang menilai tahap kecederaan Rooney mengatakan luka yang dialami penyerang itu agak teruk yang turut membabitkan otot pahanya hingga memerlukan 10 jahitan. Bukan sebulan seperti yang diramalkan Sir Alex Ferguson, tetapi menjangkau hingga dua bulan dan Rooney dijangka turut terlepas aksi 14 perlawanan di peringkat kelab dan juga antarabangsa. Sejurus selepas perlawanan, Ferguson mengatakan kecederaan yang dialami Rooney adalah `sesuatu yang sangat buruk' dan pasukan perubatan yang merawat pemain itu turut terkejut dengan kedalaman luka tersebut. Rooney dibenarkan pulang pada pagi Ahad dan pastinya tidak disenaraikan dalam skuad yang akan berkunjung ke Southampton hujung minggu ini. Agak mengejutkan apabila Ferguson tidak menggandingkan Rooney bersama Robin Van Persie dalam perlawanan menentang Fulham kelmarin selepas prestasi hambar pemain itu di Goodison Park. Bagaimanapun ramai memuji tindakan yang dilakukan Ferguson selepas menyaksikan Shinji Kagawa dan Van Persie menjaringkan gol sulung dalam karier mereka bersama United pada perlawanan itu. Walau bagaimanapun ketiadaan Rooney tetap satu tamparan hebat buat United biarpun keputusan Ferguson meletakkan penyerang antarabangsa England itu di bangku simpanan mengundang spekulasi tentang masa depannya di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!!

26 Ogos 2012

RVP SERASI DENGAN KEHIDUPAN DI MANCHESTER


Anggota baru The Red Devils, Robin Van Persie berjaya menyesuaikan dirinya dengan kehidupan baru di Old Trafford selepas berhijrah dari kelab London, Arsenal. Van Persie meninggalkan kehidupan di kota London selepas lapan tahun bersama The Gunners apabila dia mengambil keputusan drastik enggan menandatangani kontrak baru, dan menyertai Manchester United dengan yuran perpindahan sebanyak 24 juta Pound, 15 Ogos lalu. Van Persie berjaya menjaringkan gol sulungnya buat United  ketika berdepan Fulham dalam perlawanan kedua liga musim ini sekaligus memberikan tiga mata berharga buat kelab barunya itu. Van Persie mengatakan bahawa layanan baik yang diterimanya dari semua pihak membuatkan dia begitu selesa dengan kehidupan di kota Manchester. Selepas gagal menjaringkan gol ketika berdepan Everton pada perlawanan pertama, Van Persie memilih waktu yang tepat dengan merakamkan gol sulungnya bersama United di hadapan penyokong-penyokong sendiri. Gol penyamaan Van Persie diminit ke-10 itu dilihat begitu penting buat United selepas mereka ketinggalan di awal permainan lagi menerusi jaringan Damien Duff di minit ke-3. Biarpun dikawal rapi pertahanan Fulham, Van Persie bijak menyambut hantaran Evra untuk melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan Mark Schwarzer. Penyudah seperti itu sememangnya sudah tidak asing lagi dengan Van Persie dan sering disaksikan peminat ketika dia beraksi bersama Arsenal. Gol sulung untuk kelab baru sememangnya penting buat seorang penyerang bagi mengelakkan tekanan dan Van Persie ternyata lega kerana gol itu akhirnya hadir pada perlawanan keduanya bersama United. Penyerang antarabangsa Belanda itu juga yakin penampilannya bersama United akan bertambah bagus selepas melalui proses menyesuaikan diri dengan corak permainan rakan-rakan sepasukan barunya secara beransur-ansur. "Kami hanya bermain bersama-sama selama seminggu, jadi saya pasti kami akan lebih bagus pada minggu berikutnya. Saya merasa seperti berada dirumah sendiri, semua pihak membantu saya", kata Van Persie. Menyentuh tentang golnya semalam, Van Persie mengakui dia gembira kerana menjaringkan gol sulungnya di hadapan penyokong-penyokong sendiri dan berlaku pula diawal penampilannya bersama United. Glory Glory Manchester United!!!

ROONEY TERLEPAS AKSI SELAMA SEBULAN



Wayne Rooney berdepan kemungkinan terlepas aksi selama sebulan selepas mengalami kecederaan serius di paha ketika berdepan Fulham malam tadi. Rooney dijangka terlepas aksi liga domestik ketika berdepan Southampton, Wigan Athletic dan Liverpool manakala England juga berdepan kehilangan khidmat penyerang itu ketika menentang Macedonia dan Ukraine awal September nanti. Rooney dimasukkan sebagai pemain gantian ketika permainan berbaki 20 minit namun terpaksa diusung keluar padang selepas pahanya berdarah akibat terkena but Hugo Rodallega dalam perebutan bola di kawasan sendiri. Sir Alex Ferguson mengesahkan Rooney dikejarkan ke hospital selepas itu dan mungkin terpaksa direhatkan selama sebulan.

REVIEW: TIGA MATA BERHARGA BUAT THE RED DEVILS


Selepas dikecewakan Everton pada perlawanan pertama liga musim ini, Manchester United akhirnya berjaya meraih tiga mata penuh ketika melayani kunjungan Fulham di Old Trafford malam tadi. Gol-gol dari Robin van Persie, Shinji Kagawa dan Rafael da Silva di separuh masa pertama sudah cukup memberikan kelegaan buat barisan The Red Devils selepas kegagalan mereka mengutip sebarang mata pada perlawanan pertama. Tidak seperti kunjungan mereka di Goodison Park, Sir Alex Ferguson menurunkan Robin Van Persie dalam kesebelasan utama, satu keputusan yang memang ditunggu-tunggu penyokong-penyokong United sejak awal lagi. Walau bagaimanapun pelawat mengejutkan United hasil jaringan pembukaan Damien Duff berpunca dari umpanan Bryan Ruiz diminit ke-3. United segera memberikan tindak balas selepas itu untuk mencari gol penyamaan hasil gerakan-gerakan dari sebelah sayap melalui Antonio Valencia dan Ashley Young. Langkah Ferguson menyenaraikan Van Persie nyata berbaloi apabila penyerang itu menyamakan kedudukan diminit ke-10. Van Persie berjaya merembat masuk bola umpanan silang Patrice Evra yang gagal diselamatkan Mark Schwarzer. Dua gol dalam jangkamasa 10 minit dari kedua-dua pasukan nyata membuatkan perlawanan semakin hangat dengan masing-masing berbalas serangan. United terutamanya menggunakan kelebihan kepantasan milik Valencia dan Young untuk melancarkan serangan dari kedua-dua bahagian sayap. Moussa Dembele pula menjadi tunjang utama serangan The Cottagers bermula dari bahagian tengah mereka untuk cuba menggugat benteng pertahanan United yang diterajui Nemanja Vidic. 

United akhirnya unggul di hadapan apabila seorang lagi pemain baru mereka, Shinji Kagawa memanfaat bola muntah untuk menjaringkan gol kedua United di minit ke-35. Selang tiga minit selepas itu, Rafael hampir meletakkan United selesa di hadapan namun golnya dibatalkan pengadil kerana dia berada di posisi offside. Bagaimanapun kegagalan itu ditebus Rafael apabila dia menanduk masuk bola umpanan Young diminit ke-38 untuk meletakkan United selesa mendahului 3-1 di hadapan. Di babak kedua, United masih melancarkan serangan berorientasikan kekuatan mereka dari kedua-dua belah sayap, sementara Fulham pula terus mengharapkan kelibat Dembele ketika melancarkan serangan. Diminit ke-64, Fulham berjaya merapatkan kedudukan apabila kegagalan David de Gea dalam perebutan di udara membawa padah selepas bola sepakan lambung dari sebelah kanan terkena kaki Vidic yang menerjah gawang. Ferguson kemudiannya melakukan dua pertukaran serentak dengan memasukkan Wayne Rooney dan Danny Welbeck bagi memberikan lebih sokongan kepada Van Persie di barisan hadapan. Rafael juga sering naik ke atas ketika United melancarkan serangan dan beberapa percubaan pemain Brazil itu berjaya mengancam gawang Fulham. Selepas cekal bertahan terutamanya di penghujung perlawanan, United akhirnya meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri. Bagaimanapun kemenangan itu dibayar dengan harga yang mahal apabila Rooney terpaksa diusung keluar kerana mengalami kecederaan dan berdepan kemungkinan terlepas aksi selama sebulan. Glory Glory Manchester United!!!

24 Ogos 2012

PREVIEW: MANCHESTER UTD lwn FULHAM



Manchester United memulakan kempen Liga Perdana musim 2012/13 dengan langkah kiri selepas gagal mengutip sebarang mata di Goodison Park, Selasa lalu. The Red Devils tewas 0-1 kepada Everton hasil jaringan Marouane Fellaini. Ini juga merupakan kekalahan pertama United dalam perlawanan pembuka tirai sejak 2004. Walaupun melakukan 16 percubaan ke arah pintu gol Everton, United gagal menjaringkan sebarang gol dalam perlawanan itu, situasi hampir serupa yang dialami mereka ketika tewas kepada Newcastle United pada bulan April 2011. Ferguson menurunkan bintang baru mereka, Robin Van Persie di 20 minit terakhir perlawanan tetapi gagal menghalang pasukannya dari pulang dengan tangan kosong ke Old Trafford. Perlawanan itu juga menjadi penampilan pertama buat Shinji Kagawa dalam kancah saingan Liga Perdana. Menjelang kunjungan Fulham esok, Ferguson dibelenggu kebimbangan krisis kecederaan yang melanda barisan pertahanannya selepas Rio Ferdinand, Jonny Evans, Chris Smalling dan Phil Jones dijangka bakal diketepikan sekali lagi selepas kesemuanya terlepas aksi di Goodison Park. Meskipun Evans dikatakan sudah hampir cergas sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan ini, Ferguson sebaliknya mengatakan bahawa beliau tidak terfikir salah seorang pemain dari senarai di atas dapat diturunkan esok. Situasi yang dihadapi United jelas hadir pada waktu yang kurang tepat apatah lagi selepas menyaksikan skuad The Cottagers itu membolosi gawang Norwich City dengan lima gol minggu lalu. Martin Joll pastinya sekali lagi tidak dapat menurunkan Clint Dempsey dalam perlawanan ini selepas bintang Amerika Syarikat itu berkeras mahu menyertai Liverpool. Dempsey yang menjaringkan 17 gol musim lalu telah menolak untuk beraksi bersama The Cottagers dan sudahpun membayangkan keinginannya secara jelas untuk berpindah ke Anfield. Situasi ini pastinya tidak diinginkan Joll menjelang kunjungan mereka ke Theatre of Dream apatah lagi rekod 16 pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan jelas milik United. United menang 13 perlawanan, sekali seri dan dua kali kalah ketika berdepan Fulham. Dalam lima pertemuan terakhir di Old Trafford pula, Fulham gagal menjaringkan sebarang gol yang menyaksikan gawang mereka dibolosi United sebanyak 11 kali. Pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan berlangsung pada 26 Mac lalu di Old Trafford di mana keputusan memihak kepada United hasil jaringan tunggal Wayne Rooney. Untuk rekod, dalam 32 kunjungan mereka ke Old Trafford, Fulham hanya mencatat dua kemenangan dan tiga kali seri di mana kali terakhir mereka menang di Theatre of Dream ialah pada 24 Oktober 2003 dengan keputusan 3-1. Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Michael Carrick, Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Antonio Valencia, Ashley Young, Shinji Kagawa, Paul Scholes, Robin Van Persie, Wayne Rooney

23 Ogos 2012

WELBECK TANDATANGANI KONTRAK BARU



Danny Welbeck akhirnya menandatangani kontrak baru secara rasmi selama 4 tahun bersama Manchester United semalam. Dengan kontrak baru tersebut, Welbeck menamatkan spekulasi berkenaan masa depannya bersama United dan akan kekal di Old Trafford hingga Jun 2016. Welbeck yang sudah berada di kelab sejak zaman kanak-kanaknya berkembang dengan baik sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Musim lalu menjadi musim paling memberangsangkan buat Welbeck apabila dia berjaya mengenepikan Javier Hernandez dan Dimitar Berbatov untuk beraksi di sebelah Wayne Rooney selaku penggempur utama United. Prestasi cemerlang Welbeck bersama United menyaksikan namanya turut disenaraikan pengurus England, Roy Hodgson ke pusingan akhir Euro 2012. Welbeck bukan saja muncul watak penting untuk United malah juga untuk skuad kebangsaan England. Bersama United, Welbeck sudah tampil sebanyak 64 perlawanan dan menjaringkan 17 gol. Debut Welbeck bersama United berlaku di Piala Liga (Carling Cup) ketika menentang Middlesbrough pada September 2008. Glory Glory Manchester United!!!

SPEKULASI PERPINDAHAN: UNITED DAN LIVERPOOL BERSAING DAPATKAN ZORRO


Selepas secara rasmi mendapatkan dua pemain muda Angelo Henriquez dan Alex Buttner awal minggu ini, Sir Alex Ferguson nampaknya meneruskan usaha membawa masuk pemain baru dan menjadikan Manchester United muncul kelab paling aktif pada jendela perpindahan musim panas ini. Terbaru, bos United itu diberitakan sedia memintas usaha Liverpool mendapatkan bintang Mexico, Hector Herrera. Herrera yang digelar Zorro menarik minat Liverpool selepas beliau muncul inspirasi di sebalik kejayaan negara itu memenangi pingat emas Olimpik 2012. Tawaran sebanyak 10 juta Pound sudahpun dibuat Liverpool bagi membawa bintang tengah itu ke Anfield, namun Ferguson tiba-tiba muncul menyatakan minatnya menyertai perlumbaan mendapatkan khidmat pemain itu. Karier pemain berusia 22 tahun itu meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ini selepas berjaya membantu Mexico menang pingat emas Olimpik buat pertama kali, selain dipilih sebagai pemain terbaik Kejohanan Piala Dunia Belia di Toulon. Bagi mengelakkan krisis kecederaan teruk di bahagian tengah yang menimpa pasukannya musim lalu dari berulang, Ferguson membawa masuk Shinji Kagawa dan Nick Powell musim ini. Bagaimanapun dua pemain itu (Kagawa dan Powell) masih belum cukup untuk memuaskan hati bos United itu dan beliau nampaknya cuba mambawa tenaga tambahan baru ke Old Trafford. Kelibat Herrera yang memainkan peranan penting ketika membantu kempen Mexico di sukan Olimpik yang lalu menarik minat Ferguson untuk mendapatkan khidmat pemain dari kelab Pachuca itu. Andres Fassi, pengarah Pachuca mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat tawaran dari kelab di England untuk Herrera dan pihaknya juga sudahpun mengadakan perbincangan dengan Manchester United dan Liverpool. "Terdapat minat dari kelab-kelab di England dan kami mempunyai dokumen untuk mengesahkannya. Kami tahu dia (Herrera) akan berhijrah ke England. Manchester United dan Liverpool telah bercakap dengan pihak kami. Kami mahu dia kekal di sini, tetapi jika dia berhasarat mahu berhijrah, kelab akan memberikannya peluang berbuat demikian", kata Fassi. Sementara itu terdapat juga laporan mengejutkan dari media-media di England bahawa Manchester United berminat mendapatkan khidmat bintang Real Madrid, Kaka secara pinjaman. Berita mengejutkan ini muncul awal minggu ini yang mendakwa bahawa United sudahpun bergerak untuk membawa bekas pemain tengah AC Milan itu ke Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!

22 Ogos 2012

PENYUDAH TUMPUL PUNCA UNITED PUTIH MATA


Penyudah yang tumpul menjadi punca utama mengapa Manchester United gagal mengutip sebarang mata pada perlawanan pertama saingan Liga Perdana mereka musim ini. United menguasai permainan di Goodison Park namun terpaksa akur dengan jaringan tunggal Marouane Fellaini di separuh masa kedua sekaligus menghadiahkan kemenangan berharga buat Everton di hadapan penyokong sendiri. Untuk rekod, ini merupakan kekalahan pertama United kepada Everton sejak 2007. Secara keseluruhannya, penampilan United pada perlawanan pertama mereka musim ini boleh dipuji. Kesebelasan United  hanya memerlukan sedikit masa untuk membentuk persefahaman terutamanya di barisan serangan agar mereka lebih garang ketika di depan gawang lawan. Sepanjang saingan awal pagi tadi United lebih unggul dari segi penguasaan bola dan memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol namun gagal disudahkan dengan sempurna. Perlu juga diingatkan bahawa United turun dengan skuad tempang di Goodison Park apabila mereka kehilangan khidmat Rio Ferdinand, Chris Smalling, Rafael da Silva dan Jonny Evans di barisan pertahanan hingga memaksa Sir Alex Ferguson meletakkan Michael Carrick di posisi bek tengah dan Antonio Valencia pula sebagai bek kanan.  

Antara pemain United yang menyerlah dalam perlawanan itu tentunya penjaga gol, David de Gea yang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya tuan rumah. Antara paling menarik ialah aksi tangkas De Gea ketika menafikan percubaan Steven Pienaar dan sepakan percuma Leighton Baines di separuh masa pertama. Selepas ketinggalan, Sir Alex Ferguson memasukkan Robin Van Persie bagi menambah sengat di barisan serangan namun penyerang yang baru menyertai United empat hari lalu itu gagal menyelamatkan United dari kekalahan. Van Persie yang sempat bermain selama 20 minit awal pagi tadi dilihat kurang mendapat sokongan rakan sepasukan. Adalah sesuatu yang amat merugikan apabila United tidak memanfaatkan sepenuhnya kemampuan Van Persie tatkala Everton cekal bertahan selepas mendahului hasil jaringan Fellaini. Sementara itu persembahan Shinji Kagawa juga wajar dipuji apatah lagi ini adalah penampilan pertamanya dalam saingan Liga Perdana. Prestasi Kagawa turut mendapat pujian dari pengurus Everton, David Moyes yang menganggap Ferguson melakukan tindakan yang bijak dengan menandatangani bintang antarabangsa Jepun itu. Moyes melahirkan keyakinan bahawa kehadiran Kagawa bakal memberikan impak kepada United dan saingan Liga Perdana musim ini selepas berpindah dari Borussia Dortmund bulan lalu. Glory Glory Manchester United!!!

21 Ogos 2012

REVIEW: FELLAINI ROSAKKAN DEBUT RVP


Manchester United gagal mengutip sebarang mata pada perlawanan pembuka tirai kempen Liga Perdana mereka musim ini selepas tewas 0-1 kepada Everton awal pagi tadi. Gol tunggal hasil tandukan Marouane Fellaini di babak kedua sudah cukup memberikan tiga mata permulaan buat skuad bimbingan David Moyes itu. United sebenarnya menguasai perlawanan di Goodison Park namun kekentalan barisan The Toffees mempertahankan kubu mereka berjaya menghalang barisan penggempur United dari menembusi gawang Tim Howard. Sir Alex Ferguson memilih untuk meletakkan Danny Welbeck dan Wayne Rooney sebagai gandingan penggempur dan meletakkan Robin Van Persie di bangku simpanan. Di bahagian tengah, Shinji Kagawa bergandingan dengan Paul Scholes sementara krisis kecederaan di barisan pertahanan memaksa Michael Carrick diletakkan sebagai bek tengah manakala Antonio Valencia pula memainkan fungsi di sebelah kanan pertahanan. Tuan rumah pula meletakkan pemain baru mereka, Steven Naismith di bangku simpanan manakala Fellaini pula bermain di belakang penyerang utama Nikica Jelavic. Tiada sebarang gol di separuh masa pertama dengan permainan didominasi United terutamanya di bahagian tengah yang dikuasai Kagawa dan Scholes. Sepanjang 45 minit pertama, United menguasai 64% perlawanan namun tuan rumah pula lebih kerap melakukan percubaan tempat ke arah pintu gol United hingga memaksa David de Gea menyelamatkan sekurang-kurang lima percubaan berbahaya lawan. Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai diminit ke-57 apabila Fellaini menanduk masuk bola sepakan sudut Darron Gibson. Ketiadaan Rio Ferdinand jelas digunakan sepenuhnya pemain antarabangsa Belgium itu dalam perebutan bola di udara apabila, dia mudah menewaskan Carrick yang mengawalnya. Ketinggalan 0-1 memaksa Ferguson merombak skuadnya dengan memasukkan Van Persie menggantikan Welbeck dan Ashley Young pula menggantikan Nani. Bagaimanapun langkah itu gagal memberikan sebarang perubahan dalam keputusan perlawanan apabila tuan rumah kental bertahan sepanjang 30 minit terakhir sekaligus memungut tiga mata berharga di hadapan penyokong mereka sendiri. Glory Glory Manchester United!!!

20 Ogos 2012

PREVIEW: EVERTON lwn MANCHESTER UNITED



Steven Naismith dijangka bakal melakukan penampilan kompetitif pertamanya bersama Everton menentang Manchester United awal pagi esok. Selain Naismith, Everton bakal diperkuatkan dengan kehadiran Steven Pienaar yang dibawa pulang semula ke Goodison Park dengan kontrak tetap manakala Marouane Fellaini dan Darron Gibson pula disahkan pulih dari kecederaan. Di pihak United, Robin Van Persie yang baru melengkapkan perpindahannya dari Arsenal Khamis lalu sudah pasti diletakkan bersebelahan Wayne Rooney jika mengambilkira apa yang dikatakan Ferguson sebaik saja bekas kapten Arsenal itu menandatangani kontrak secara rasmi dan sah menjadi milik United. Shinji Kagawa yang mempamerkan prestasi cemerlang sepanjang perlawanan pra-musim juga bakal menikmati penampilan sulungnya dalam saingan Liga Perdana namun Sir Alex Ferguson berdepan masalah di bahagian belakang skuadnya apabila Chris Smalling, Jonny Evans dan Phil Jones tersisih akibat kecederaan. Walaupun kehilangan khidmat Smalling, Evans dan Jones, kepulangan semula kapten pasukan, Nemanja Vidic memberikan sedikit kelegaan buat Ferguson berdepan perlawanan ini. David Moyes sudah menjual Joseph Yobo, Tim Cahill dan Jack Rodwell musim panas ini tetapi tetap gembira dengan barisan yang dimilikinya ketika ini. Dengan kembalinya Pienaar ke Goodison Park selepas tempoh mengecewakan bersama Tottenham Hotspurs dan pembelian Naismith, Moyes dijangka sudah bersedia untuk memperkenalkan seorang lagi pemain baru dalam skuadnya iaitu Kevin Mirallas yang dibawa dari Olympiacos. Bagi Sir Alex Ferguson pula, pembelian penyerang kelas dunia seperti Van Persie menyaksikan skuadnya kini dilabel sebagai mempunyai gandingan penyerang terbaik di dunia oleh pengurus Manchester City, Roberto Mancini. Ferguson kini memiliki kuartet penyerang yang bakal dicemburui lawan musim ini dengan adanya Van Persie, Wayne Roonye, Danny Welbeck dan Javier Hernandez. United boleh berbangga dengan rekod mereka ke atas Everton dalam 14 pertemuan terakhir apabila mencatat 9 kemenangan, 4 seri dan hanya tewas sekali. Walau bagaimanapun barisan The Red Devils harus mengambil iktibar dengan apa yang menimpa mereka musim lalu apabila hanya sekadar seri 3-3 di Old Trafford meskipun pada satu ketika selesa mendahului 3-1. Dalam perlawanan itu Everton bangkit di 10 minit terakhir untuk mencuri satu mata sekaligus menjejaskan rentak United dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga ketika itu. Rekod Everton dalam lapan perlawanan terakhir mereka di gelanggang sendiri juga perlu diberi perhatian oleh barisan United yang menyaksikan mereka menang sebanyak 7 kali dan hanya tewas sekali. Glory Glory Manchester United!!!

Barisan Kemungkinan Manchester United:

David de Gea, Rafael da Silva, Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Patrice Evra, Antonio Valencia, Michael Carrick, Shinji Kagawa, Paul Scholes, Wayne Rooney & Robin Van Persie

LAPAN PERPINDAHAN MELIBATKAN UNITED DAN ARSENAL




Penghijrahan Robin Van Persie ke Manchester United akhirnya melenyapkan teka teki mengenai masa depan pemain itu yang bertiup kencang sejak beberapa minggu lalu. Van Persie sudahpun menjadi milik United secara rasmi selepas pemain itu menandatangani kontrak selama empat tahun bersama United, Khamis lalu. Walau bagaimanapun Van Persie bukanlah pemain Arsenal pertama yang menyertai United kerana sejak tahun 1961, sudah menyaksikan lapan perpindahan pemain membabitkan kedua-dua kelab.  Berikut adalah senarai lapan perpindahan pemain yang melibatkan Arsenal dan Manchester United:

David Herd: Penyerang berasal dari Scotland itu menyertai Arsenal pada tahun 1954. Penampilan cemerlangnya bersama The Gunners menarik minat beberapa kelab termasuk United untuk mendapatkan khidmatnya. Herd akhirnya menyertai United pada 1961 atas alasan kurang yakin dengan wawasan The Gunners meraih trofi kejuaraan. Bersama United, Herd muncul penyerang yang cukup digeruni dan berjaya menjaringkan 145 gol dari 265 penampilannya di Old Trafford. Herd juga diiktiraf sebagai antara penyerang prolifik pernah menyarung jersi United.

Ian Ure: Arsenal adalah kelab pertama Ure sejak dia berhijrah ke England. Sempat muncul penyerang utama The Gunners namun mula mengalami penurunan prestasi. Pada tahun 1969, Ure akhirnya berhijrah ke Old Trafford namun peluang untuknya tampil dalam kesebelasan utama United juga terbatas. Dengan hanya 50 penampilan, penyerang berasal dari Scotland itu akhirnya dijual United pada 1971 sekaligus menamatkan kariernya di Liga England. 

George Graham: Menyertai Arsenal dari tahun 1966 hingga 1972. Dalam tempoh tersebut, Graham muncul antara tonggak disebalik kejayaan The Gunners meraih kejuaraan berganda pada musim 1970/71. Penyerang itu akhirnya menyertai United pada 1972 selepas gagal mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama Arsenal.

Jimmy Rimmer: Pemain yang dilahirkan dari akademi United. Rimmer memulakan kariernya bersama United pada 1965 dan kerap diletakkan sebagai penjaga gol kedua di belakang Alex Stepney. Pada 1973, penjaga gol muda itu dipinjamkan ke Swansea City dan kemudiannya dibeli Arsenal setahun selepas itu kerana prestasi cemerlang bersama The Swans.

Brian Kidd: Sepertimana Rimmer, Kidd adalah pemain yang dilahirkan dari akademi United. Memulakan kariernya bersama United pada tahun 1967. Kidd mempamerkan prestasi cemerlang apabila menjaringkan 52 gol dari 203 penampilan bersama United. Kidd akhirnya menyertai Arsenal pada 1974, tetapi dua tahun selepas itu beliau menyertai seteru setempat United, Manchester City.

Frank Stapleton: Stapleton memiliki reputasi sebagai penyerang yang cukup pakar dalam perebutan bola di udara serta mempunyai tackle yang keras. Beliau memulakan karier bersama Arsenal pada 1974 dan menjaringkan 75 gol dari 225 penampilan. Penghijrahan Stapleton ke United dibayangi dengan proses mahkamah kerana kedua-dua kelab terbabit gagal mencapai kata sepakat. Stapleton akhirnya berjaya menyertai United dan berjaya membantu kelab memenangi kejuaraan Piala FA pada tahun 1983 dan 1985. Beliau meninggalkan United pada tahun 1987.

Viv Anderson: Menyertai Arsenal dari Nottingham Forest pada tahun 1984. Anderson berjaya membantu The Gunners memenangi kejuaraan Piala Liga (sekarang Carling Cup) pada musim 1986/87. Pada tahun 1987, Anderson bertindak meninggalkan The Gunners dan menyertai United. Anderson adalah antara pemain awal yang dibawa masuk Ferguson ketika beliau mengambilalih jawatan pengurus United dari Ron Atkinson. Karier Anderson bersama United berakhir pada 1991.

Mikel Silvestre: Silvestre dibeli Ferguson dari Inter Milan pada 1999. Pada tahun pertamanya di England, pertahanan berasal dari Perancis itu sukar menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama United. Namun pada musim 2001/02, Silvestre muncul pilihan utama di sebelah kiri pertahanan United. Selepas kerap di belenggu kecederaan dan kehilangan tempatnya berikutan kehadiran Patrice Evra dari AS Monaco menyebabkan Silvestre mengambil keputusan berhijrah ke Arsenal pada 2008. Bersama Arsenal, Silvestre gagal bertahan lebih lama berikutan sering melakukan kesilapan mudah dan dilepaskan The Gunners pada 2010.

19 Ogos 2012

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1433H



Andai kata terkasar
Bahasa tersilap bicara
Ampun dan maaf jua dipinta
Sepuluh jari disusun
Mohon kemaafan di Aidilfitri

Selamat Hari Raya Aidilfitri...Maaf Zahir & Batin

Glory Glory Manchester United!!! 

18 Ogos 2012

UNIVERSIDAD SAHKAN HENRIQUEZ SERTAI UNITED


Kelab Chile, Universidad de Chile mengesahkan bahawa penyerang muda mereka, Angelo Henriquez akan menyertai Manchester United selewat-lewatnya penghujung bulan ini. Pemain berusia 18 tahun ini sudahpun menjalani dan lulus ujian perubatan kelmarin dan bakal muncul pemain pertama dari Chile menyertai United. Presiden Universidad de Chile, Jose Yuraszcek turut mengesahkan bahawa perwakilan United sudahpun menemuinya dan mahukan urusan perpindahan bintang muda itu  ke Old Trafford diselesaikan sebelum jendela perpindahan musim panas ditutup. Jika segala urusan berjalan lancar, Henriquez dijangka diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain United kepada media akhir bulan ini. "Kami sudah bertemu dengan wakil United dan semuanya berjalan lancar. Henriquez sendiri sudah menjalani ujian perubatan dan hasilnya adalah positif. Dalam tempoh terdekat, United akan mengumumkan secara rasmi perpindahan Henriquez", kata Yurasczek. Henriquez membuat penampilan sulungnya bersama Universidad awal tahun ini dan berjaya menjaringkan 11 gol dari 17 penampilannya bersama kelab itu. Selain cemerlang di peringkat kelab, Henriquez juga adalah penjaring prolifik buat skuad U-20 Chile. Henriquez sebelumnya dipercayai menolak tawaran Manchester City kerana mahu memenuhi impiannya bermain untuk United. Glory Glory Manchester United!!!

17 Ogos 2012

RVP SAH MILIK UNITED


Robin Van Persie akhirnya diumumkan secara rasmi sebagai pemain Manchester United selepas beliau lulus ujian perubatan selain bersetuju dengan syarat dan terma dalam kontrak yang ditawarkan kepadanya. Van Persie menandatangani kontrak selama empat tahun yang menyaksikan bekas kapten Arsenal itu menyarung jersi United sehingga Jun 2016. Sejurus selepas secara rasmi menjadi milik United, Sir Alex Ferguson pantas merakamkan pujian buat pemain barunya itu. "Robin adalah penyerang bertaraf dunia dengan rekod yang sudah terbukti di England dan Eropah. Bakat yang ada padanya memang sudah cukup diketahui penyokong-penyokong kami. Van Persie menjaringkan banyak gol ketika menentang kami dalam beberapa perlawanan klasik ketika dia bersama Arsenal", kata Ferguson di laman sesawang rasmi United (manutd.com). Sementara itu bagi Van Persie pula, menandatangani kontrak bersama United merupakan satu penghormatan buat dirinya sebagai pemain. Pemain itu nyata begitu teruja untuk mengikut jejak langkah penyerang-penyerang terbilang United sebelumnya dan berjanji untuk menggunakan sepenuhnya pengalaman yang ada pada dirinya bagi membantu kelab bersaing merebut trofi kejuaraan musim ini. "Saya tidak sabar untuk memulakan aksi bersama United", kata Van Persie. Glory Glory Manchester United!!!

WENGER: MELEPASKAN VAN PERSIE KEPADA UNITED BUKAN KEPUTUSAN YANG BIJAK


Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengakui bahawa penjualan Robin Van Persie ke Manchester United bukanlah satu keputusan bijak seperti yang diharapkannya. Menurut Wenger, beliau lebih senang melihat Van Persie dijual kepada kelab-kelab di luar England berbanding melepaskan pemain itu kepada musuh domestik mereka. Arsenal tidak mempunyai pilihan lain selain menjual Van Persie memandangkan kontrak pemain itu yang berbaki setahun lagi. Bimbang kehilangan pemain itu secara percuma tahun depan, pihak pengurusan Arsenal akhirnya terpaksa akur menjual kapten mereka itu kepada seteru tradisi mereka, Manchester United. Wenger pastinya sedar, melepaskan Van Persie ke Manchester United seolah-olah merelakan seteru mereka itu memperkuatkan skuad mereka. Untuk itu, Wenger sendiri sebenarnya mahukan Van Persie menyertai kelab di luar England seperti Paris St Germain (PSG). "Memperkuatkan musuh adalah perkara negatif dalam perpindahan ini. Kami sebenarnya cuba mencegah perpindahan seperti ini dari berlaku. Secara jujurnya saya lebih senang jika Van Persie menyertai kelab seperti PSG. United memang tahu benar kualiti yang ada pada Van Persie kerana dia adalah pemain istimewa", kata Wenger. Menurut Wenger, jika seseorang pemain tidak mahu menandatangani kontrak baru maka kelab tidak mempunyai pilihan selain menjualnya. Mengakui bahawa melepaskan pemain seperti Van Persie kepada seteru mereka seperti Manchester United cukup pahit untuk dirinya. Wenger kesal kerana tempoh yang terjalin selama lapan tahun antara Van Persie dan Arsenal berakhir dengan cara yang kurang menyenangkan. Glory Glory Manchester United!!!

KUNJUNGAN KE GOODISON PARK, PENAMPILAN PERTAMA VAN PERSIE?


Selepas melalui proses yang panjang, Manchester United hampir pasti berjaya mendapatkan khidmat penyerang Arsenal, Robin Van Persie musim ini. Van Persie tiba di Hospital Bridgewater untuk menjalani ujian perubatan sebagai langkah permulaan sebelum menandatangani kontrak secara rasmi bersama Manchester United. Pemain berusia 29 tahun itu akhirnya bersetuju menyertai United dari Arsenal dengan yuran perpindahan sebanyak 24 juta Pound sekaligus menjawab spekulasi berkaitan masa depannya yang hangat diperkatakan sebelum ini. Ferguson nyata tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya kerana selain Van Persie dan Wayne Rooney yang menghasilkan keseluruhan 72 gol musim lalu, beliau turut memiliki dua lagi penyerang berbakat iaitu Danny Welbeck dan Javier Hernandez. Kuartet ini mengingatkan kembali Ferguson kepada skuad yang menang kejuaraan treble pada 1999. Ketika itu Ferguson memiliki barisan penyerang dengan nama dan bakat hebat seperti Andy Cole, Dwight Yorke, Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer. Meskipun ujian perubatan ke atas Van Persie mungkin memakan sedikit masa, Ferguson yakin semuanya akan selesai dalam tempoh terdekat. Bos United itu nampaknya sudahpun berkira-kira untuk memberikan penampilan pertama buat Van Persie pada perlawanan pembuka tirai Liga Perdana menentang Everton di Goodison Park awal pagi Isnin ini. Sementara itu dalam masa yang sama, ejen Van Persie sudahpun mengadakan rundingan dengan Ketua Eksekutif Manchester United, David Gill dalam usaha melengkapkan perpindahan pemain itu ke Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! -AJ

16 Ogos 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN: BINTANG MUDA CHILE SERTAI UNITED


Selepas Robin Van Persie hanya menunggu masa untuk diumumkan secara rasmi sebagai pemain baru Manchester United, kini giliran penyerang muda Chile yang beraksi untuk kelab Universidad de Chile, Angelo Henriquez pula dikaitkan bakal menyertai The Red Devils. Henriquez dikatakan berada di ambang penghijrahan ke Old Trafford selepas perbincangan antara kedua-dua belah pihak yang turut melibatkan Sir Alex Ferguson bakal diadakan dalam tempoh terdekat. Henriquez adalah bakat muda yang menjadi buruan di Amerika Selatan kerana penampilan cemerlangnya bersama Universidad. Bintang muda dalam pembikinan berusia 18 tahun itu sudah menjaringkan 11 gol dari 17 penampilan bersama kelab Chile itu selain tonggak utama skuad U-20 Chile. Old Trafford adalah destinasi paling hangat diperkatakan bakal dipilih oleh bintang muda itu untuk mengembangkan kariernya selepas Henriquez sendiri mengakui bahawa Sir Alex Ferguson sudah menawarkan kesempatan untuknya menyertai Manchester United. Bintang muda itu turut mengeluarkan kenyataan bahawa dia memang sudah lama menyimpan impian untuk menyertai Manchester United satu hari nanti. "Manchester United sudah menawarkan kesempatan ini untuk saya, dan saya tidak akan melepaskan peluang ini. Ini adalah peluang yang saya impikan selama ini. Sukar untuk mengatakan tidak kepada kelab seperti Manchester United", kata Henriquez ketika diwawancara La Tercera. Menurut Henriquez lagi bermain dan berkongsi bilik persalinan bersama-sama Wayne Rooney pastinya menjadi impian buat mana-mana pemain muda sepertinya. Selain United, Manchester City turut berminat mendapatkan pemain itu namun Henriquez diberitakan menolak tawaran dari juara bertahan Liga Perdana itu. Glory Glory Manchester United!!!

RVP HAMPIRI PINTU OLD TRAFFORD


Penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu, Robin Van Persie semakin hampir menyertai Manchester United selepas kedua-dua pihak diberitakan telah mencapai kesepakatan berhubung perpindahan kapten Arsenal itu ke Old Trafford. Walaupun Van Persie secara peribadi masih belum menyetujui syarat-syarat dan terma yang terkandung dalam kontrak yang ditawarkan, pemain itu dikatakan akan bergerak menuju ke Old Trafford esok bagi menyelesaikan kesepakatan kontrak dan menjalani ujian perubatan. Tiada sebarang perincian berkenaan nilai perpindahan Van Persie ke Manchester United namun media-media di England melaporkan bahawa Arsenal menuntut bayaran sebanyak 20 juta Pound ke atas kapten mereka itu. Spekulasi tentang masa depan Van Persie bertiup kencang sebaik saja pemain itu menolak tawaran lanjutan kontraknya bersama Arsenal. Situasi tidak menentu antara Van Persie dan Arsenal lantas memancing minat Sir Alex Ferguson untuk membawa pemain itu ke Old Trafford musim panas ini. Biarpun sedar pemain itu turut menjadi buruan Juventus dan Manchester City, Ferguson dalam beberapa kenyataannya sebelum ini begitu optimis bahawa Van Persie akan memilih Old Trafford sebagai destinasinya jika dia meninggalkan Stadium Emirates. Van Persie dijangka menandatangani kontrak selama empat tahun dan jika perpindahannya ke Old Trafford menjadi kenyataan, ini adalah perjanjian terbesar buat United sejak mereka membeli Dimitar Berbatov dari Tottenham Hotspurs dengan nilai 30 juta Pound pada 2008. Penyertaan Van Persie yang menjaringkan 30 gol musim lalu bakal menyuntik tenaga tambahan di barisan hadapan United hingga merisaukan seteru setempat mereka, Manchester City. Gandingan Van Persie dan Wayne Rooney yang diimpikan Ferguson pastinya akan muncul antara gandingan penggempur paling digeruni musim ini. Tawaran United untuk mendapatkan Van Persie sebelum ini telah ditolak Arsenal kerana kelab itu juga dikatakan sedang mendengar tawaran dari Juventus dan Manchester City. Walau bagaimanapun, Van Persie menegaskan bahawa dia tidak berminat bermain di Serie A manakala City pula akhirnya menarik diri dari perlumbaan mendapatkan tandatangan pemain itu. Van Persie yang berusia 29 tahun mungkin sedikit `tua' untuk United, tetapi pemain `tua' seperti Henrik Larsson pernah meninggalkan impak yang bukan sedikit ketika dia menyertai United secara pinjaman pada 2007. Semoga sentuhan tajam Van Pesie musim lalu dapat diteruskan bersama United (jika perjanjian ini berjaya direalisasikan) dan aksi pertamanya dengan jersi merah United pastinya dinanti jutaan penyokong-penyokong setia  The Red Devils. Glory Glory Manchester United!!!

14 Ogos 2012

WELBECK SETUJU TANDATANGAN KONTRAK BARU



Danny Welbeck sudah bersedia untuk menamatkan `pertikaian' berkaitan kontraknya bersama Manchester United. Pemain muda itu bakal menandatangani perjanjian jangka panjang selama lima tahun dan akan menerima gaji sebanyak 75 ribu Pound seminggu. Sejak April lalu dilaporkan bahawa Welbeck akan menandantangani perjanjian baru namun tiada perkembangan lanjut mengenainya selepas itu sehingga menimbulkan spekulasi bahawa pemain itu kurang berpuashati dengan tawaran yang diberikan pihak pengurusan United. Bulan lalu, Sir Alex Ferguson mengesahkan bahawa perbincangan berterusan antara kedua-dua belah pihak sudah dilakukan namun terdapat beberapa isu yang menyebabkan perbincangan itu tergendala. Walau bagaimanapun beberapa isu akhirnya dapat diselesaikan dan satu perjanjian baru akan ditandatangani tidak lama lagi. Welbeck menikmati tempoh cemerlangnya bersama United musim lalu apabila dia muncul pemain pilihan utama Ferguson untuk digandingkan bersama Wayne Rooney di barisan hadapan selepas prestasi tidak menentu melanda Dimitar Berbatov dan Javier Hernandez. Prestasi cemerlang Welbeck bersama United turut menarik minat pengurus England, Roy Hodgson untuk menyenaraikannya dalam skuad England di pusingan akhir Kejohanan Euro 2012. Welbeck membayar kepercayaan yang diberikan Hodgson apabila dia menyumbangkan dua gol ketika kempen England di Euro 2012. Glory Glory Manchester United!!!

SPEKULASI PERPINDAHAN


30 JUTA EURO UNTUK LEWANDOWSKI

Manchester United diberitakan sudah memajukan tawaran kepada Borussia Dortmund bagi mendapatkan Robert Lewandowski. Sebelum ini Dortmund sudah kehilangan pemain tengah berpengaruh mereka, Shinji Kagawa dan kini berpotensi kehilangan seorang lagi tonggak pasukan itu kepada United. Biarpun Dortmund agak keberatan untuk kehilangan seorang lagi pemain utama mereka, namun tawaran sebanyak 30 juta Euro mungkin boleh mengubah fikiran juara Bundesliga itu. Biarpun sudah sekian lama dikhabarkan berminat membawa masuk Lewandowski ke Old Trafford, Sir Alex Ferguson nampaknya masih belum melakukan langkah-langkah yang perlu untuk merealisasikan hasratnya itu. Walau bagaimanapun selepas Dimitar Berbatov melakukan perbincangan dengan Zenit St Petersburg, bos United itu diberitakan mula mengorak langkah mendekati Lewandowski sebagai pengganti Berbatov. Sumber dari Onet.pl menyebut Lweandowski sudah ditawarkan kontrak selama tiga tahun oleh The Red Devils.

UNITED TINGKATKAN TAWARAN UNTUK RVP

Manchester United menaikkan tawaran mereka terhadap penyerang Arsenal, Robin Van Persie kepada 20 juta Pound. Menurut akhbar Daily Star (keluaran Ahad), United berada di barisan hadapan dalam perlumbaan mendapatkan tandatangan penyerang antarabangsa Belanda itu selepas pengurus Manchester City, Roberto Mancini mengumumkan secara rasmi mereka menarik diri dari persaingan mendapatkan khidmat pemain itu. Walaupun terdapat spekulasi menyebut, perbincangan tiga pihak antara United, Arsenal dan Van Persie akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat namun segala-galanya masih belum diputuskan secara rasmi. Kelmarin, Van Persie sempat bermain selama 20 minit dalam perlawanan pra-musim Arsenal menentang FC Koln. Minat tinggi yang ditunjukkan Ferguson ke atas Van Persie dipercayai menjadi antara faktor utama pemain itu akan menyertai United musim panas ini selain dijanjikan trofi kejuaraan Liga Perdana.

13 Ogos 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN: FERGIE TIMBANG KEMUNGKINAN DAPATKAN ELISEU


Sir Alex Ferguson dikatakan bimbang dengan situasi barisan pertahanannya menjelang permulaan saingan musim ini. Phil Jones, Chris Smalling dan Jonny Evans bergelut dengan kecederaan manakala Rafael da Silva pula baru menamatkan tugasan bersama skuad Olimpik Brazil. Ferguson dilihat memerlukan seorang pemain yang boleh berfungsi di bahagian belakang dan calon yang disebut-sebut mahu di bawa ke Old Trafford ialah pemain yang beraksi untuk Malaga dan juga pemain antarabangsa Portugal, Eliseu. Sekarang adalah tempoh terbaik bagi mendapatkan beberapa bakat dari kelab La Liga itu selepas Malaga diberitakan mengalami masalah kewangan hingga mendorong mereka menimbang kemungkinan menjual beberapa tonggak dalam pasukan. Ferguson nampaknya pantas menghidu situasi tersebut kerana selain Eliseu, bos United itu turut berminat mahu mendapatkan seorang lagi tonggak Malaga, Nacho Monreal. Monreal yang mempunyai lima caps bersama skuad kebangsaan Sepanyol menyertai Malaga dari Osasuna dengan nilai 4.5 juta Pound musim panas lalu. Kedua-dua pemain merupakan tonggak utama bagi jurulatih Manuel Pellegrini yang berjaya membantu Malaga menamatkan saingan liga di tangga keempat, kedudukan tertinggi yang pernah diraih oleh kelab itu dalam saingan La Liga. Eliseu berusia 28 tahun dan merupakan pakar set pieces adalah bekas graduan dari kelab Belenenses di Portugal dianggap pemain yang sesuai untuk bermain di Old Trafford. Eliseu boleh berperanan melindungi dua pertahanan di belakangnya selain turut memiliki kepantasan yang cukup bagus. Pemain serba boleh itu turut boleh diletakkan di bahagian kiri pertahanan serta sayap kiri sepertimana fungsi yang dimainkannya bersama Malaga. Meskipun belum pasti menyertai mana-mana pasukan, Eliseu dipastikan sudah siap meninggalkan Malaga musim panas ini. Glory Glory Manchester United!!!

TROFI LIGA PERDANA DIJANGKA KEKAL DI MANCHESTER


Saingan musim baru Liga Perdana England  2012/13 akan hanya berlangsung Sabtu ini (18 Ogos) namun sudah ada ramalan-ramalan yang mengatakan trofi Liga Perdana akan terus kekal di bandar Manchester. Semalam, Manchester City memberikan gambaran awal penguasaan mereka akan berterusan musim ini apabila skuad bimbingan Roberto Mancini itu menewaskan juara Eropah, Chelsea dengan keputusan 3-2 dalam perlawanan pembukan tirai merebut Perisai Komuniti. Berdasarkan kepada persiapan pra-musim dan senarai pemain baru yang di bawa masuk, Manchester United, Arsenal, Chelsea dan Manchester City disebut-sebut ramai pihak sebagai pasukan pilihan musim ini. Walau bagaimanapun skrip  musim lalu dijangka akan berulang dengan dua kelab Manchester (United dan City), akan sekali lagi bersaing dalam perebutan kejuaraan liga. Menurut bekas lagenda Arsenal, George Graham, dua kelab Manchester itu berpeluang besar muncul kelab terbaik England di penghujung musim nanti berdasarkan persiapan yang telah mereka lakukan. United sendiri sudah membawa masuk beberapa muka baru (Shinji Kagawa dan Nick Powell) bagi mengimbangi kekuatan jiran mereka, Manchester City. City pula tidak seperti musim lalu yang berbelanja besar, setakat ini hanya membawa masuk seorang pemain baru iaitu Jack Rodwell dari Everton. Namun demikian, situasi ini dijangka tidak menghalang City untuk ditabalkan sebagai pasukan pilihan di awal musim bagi mempertahankan kejuaraan liga yang mereka menangi musim lalu. Dengan barisan pemain bintang yang mereka miliki, skuad The Citizen itu tetap dianggap barisan terkuat sekalipun jika Roberto Mancini tidak membawa masuk muka baru. Menurut Graham, adalah sesuatu yang menarik untuk melihat bagaimana pengurus United, Sir Alex Ferguson menggunakan pengalaman luasnya bagi menangani barisan `hampir sempurna' milik City dari mempertahankan kejuaraan mereka musim ini. Menariknya apabila Graham mengatakan sukar buat kelab-kelab dari London seperti Chelsea, Arsenal dan Tottenham Hotspurs memecah dominasi United dan City biarpun Chelsea yang dimiliki Roman Abramovich berbelanja besar membawa pemain-pemain baru musim panas ini. Bagi Arsenal dan Spurs pula, Graham melihat kedua-dua kelab itu perlu bekerja keras dan tampil lebih konsisten jika mahu mencabar penguasaan United dan City dalam perebutan kejuaraan liga. Glory Glory Manchester United!!!

10 Ogos 2012

CARRICK PUJI PRESTASI DE GEA


David de Gea berjaya menggagalkan peluang-peluang yang dicipta Lionel Messi sepanjang perlawanan persahabatan pra musim antara United dan Barcelona di Gothenburg kelmarin. Prestasi yang ditunjukkan bekas penjaga gol Athletico Madrid sepanjang perlawanan itu mendapat pujian dari pemain berpengalaman United, Michael Carrick. Carrick mengatakan, de Gea sudah berkembang dengan baik sejak ketibaannya di Old Trafford musim panas tahun lalu biarpun di awal musim sering melakukan kesilapan-kesilapan mudah. Prestasi de Gea di awal musim nyata mengundang keresahan di kalangan penyokong-penyokong United dan ramai pemerhati mula mempersoalkan langkah Sir Alex Ferguson menandatangani seorang penjaga gol muda bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan penjaga gol bertaraf lagenda Edin Van der Sar yang mengambil keputusan bersara sebaik berakhirnya musim 2010/11. "David terus berkembang dan kami tahu dia mampu melakukannya (menggantikan tempat Van der Sar). Pengurus menunjukkan keyakinan tinggi terhadapnya dan dia juga semakin kuat. Prestasinya ketika menentang Barcelona begitu fantastik dan beberapa kali dia melakukan tindakan menyelamat pada waktu yang tepat", kata Carrick kepada MUTV. Walau bagaimanapun prestasi cemerlang de Gea gagal membantu United menewaskan Barcelona apabila mereka tewas 0-2 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat seri tanpa jaringan sepanjang 90 minit permainan. Glory Glory Manchester United!!!

ROONEY HARAP DAPAT BENTUK GANDINGAN BERSAMA RVP


Isu tentang masa depan Robin Van Persie nampaknya terus hangat diperkatakan biarpun kapten Arsenal itu sudah melapor diri dan mula menyertai sesi latihan bersama kelab berpangkalan di London itu. Kelab paling hangat dikaitkan dengan Van Persie sejak kebelakangan ini tentunya seteru Arsenal sendiri iaitu Manchester United, biarpun pemain itu turut menarik perhatian dua kelab lain iaitu Manchester City dan Juventus. Kelmarin, Sir Alex Ferguson mengeluarkan kenyataan di laman sesawang United bahawa mereka sudahpun memajukan tawaran secara rasmi kepada Arsenal bagi mendapatkan khidmat Van Persie. Biarpun belum menerima sebarang maklumbalas positif, Ferguson tetap berharap perpindahan Van Persie ke Old Trafford dapat direalisasikan. Ferguson memang meletakkan harapan yang tinggi untuk melihat gandingan Van Persie dan Wayne Rooney di barisan hadapan United  sekaligus menjadikan gandingan ini sebagai antara gandingan paling menggerunkan dalam saingan musim hadapan. Biarpun Arsene Wenger memang diketahui agak keberatan mahu melepaskan penjaring terbanyak Liga Perdana musim lalu itu kepada seteru tradisi mereka, Rooney tetap senada dengan Ferguson yang mengharapkan agar perpindahan Van Persie ke Old Trafford menjadi kenyataan. Rooney nyata begitu teruja menanti perkembangan terkini Van Persie dan berharap dia dapat membentuk gandingan dengan penyerang Belanda itu bagi kempen musim hadapan. "Jika Van Persie datang ke sini (Old Trafford), dia akan menjadikan United pasukan yang lebih hebat", kata Rooney. Jika kehadiran Van Persie menjadi kenyataan, saingan merebut slot di barisan hadapan tentunya lebih sengit memandangkan United turut memiliki Danny Welbeck, Javier Hernandez, Federico Macheda, Dimitar Berbatov dan Rooney sendiri. Seandainya penghijrahan Van Persie ke Old Trafford menjadi kenyataan, salah seorang penyerang yang disenaraikan tadi pastinya akan menuju pintu keluar. Nama yang disebut-sebut akan meninggalkan Old Trafford musim panas ini tentunya Berbatov, penyerang yang kian gagal menempatkan dirinya dalam skuad utama dan semakin dipinggirkan. Glory Glory Manchester United!!!

09 Ogos 2012

FERGIE AKUI TAWARAN KE ATAS VAN PERSIE SUDAH DIBUAT


Sir Alex Ferguson mengakui bahawa Manchester United telah memajukan tawaran baru untuk Robin Van Persie namun sehingga kini masih tiada sebarang perkembangan lanjut. Sebelum ini terdapat spekulasi menyebut rundingan untuk membawa penyerang Arsenal itu ke Old Trafford menuju fasa akhir tetapi Gunners diberitakan cuba berunding dengan kelab lain bagi mendapatkan harga terbaik hasil penjualan Van Persie. Juventus dan Manchester City adalah dua kelab selain United yang turut berminat memancing kelibat Van Persie. Situasi ini menyebabkan United perlu bergerak lebih pantas jika tidak mahu melihat sasaran mereka  terlepas ke tangan pasukan lain sepertimana yang berlaku ke atas Eden Hazard dan Lucas Moura. Menurut Ferguson, United sudah berusaha sebaik mungkin dalam usaha mereka mendapatkan Van Persie dan berharap kesepakatan dapat dicapai dalam masa terdekat. Walau bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang perkembangan positif dari kubu Gunners berkenaan tawaran United ke atas Van Persie. Kenyataan ini dikeluarkan Ferguson selepas menyaksikan pasukannya tewas kepada Barcelona menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan pra musim mereka di Gothenburg awal pagi tadi. Glory Glory Manchester United!!!

PRA MUSIM: BARCA KETEPIKAN UNITED


Manchester United sekali lagi meraih keputusan mengecewakan dalam perlawanan pra musim mereka selepas tewas kepada Barcelona 2-0 dalam penentuan sepakan penalti di Gothenburg awal pagi tadi. Perlawanan terikat 0-0 sepanjang 90 minit permainan, namun Xavi Hernandez dan Gerard Pique memastikan kemenangan Barca apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti selepas sepakan Nani dan Ashley Young tersasar. Kedua-dua pasukan menurunkan kesebelasan utama mereka dalam perlawanan ini yang menyaksikan Nemanja Vidic kembali mengetuai pasukan buat pertama kali selepas berehat panjang akibat kecederaan lutut serius. Di bahagian hadapan, United mempertaruhkan gandingan Wayne Rooney dan Danny Welbeck manakala dua pemain baru yang ditandatangani, Shinji Kagawa dan Nick Powell sekadar diletakkan di bangku simpanan. Barca pula menurunkan Carles Puyol, Andres Iniesta, Lionel Messi dan Alexis Sanchez dalam kesebelasan utama mereka manakala penyerang yang baru pulih dari kecederaan, David Villa berada di bangku simpanan. Perlawanan pagi tadi dikuasai Barca dengan beberapa peluang yang dicipta mereka terutamanya melalui Iniesta dan Messi namun kecekapan David de Gea berjaya mengelak gawang United dari dibolosi. United berpeluang mendahului lawan apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas Nani dikasari Cristian Tello. Walau bagaimanapun sepakan penalti yang diambil Rooney berjaya diselamatkan Victor Valdes. Diseparuh masa kedua, United dan Barca melakukan beberapa pertukaran pemain bagi mencari keserasian. Kagawa yang dimasukkan di separuh masa kedua tidak menunggu lama apabila dia menguji gawang lawan menerusi gerakan bersama Welbeck namun percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol gantian Barca, Jorge Pinto. Perlawanan sedikit panas selepas berlaku insiden membabitkan Nani dan Sergio Busquets sehingga memaksa pengadil melayangkan kad kuning kepada kedua-dua pemain. Sehingga tamat 90 minit perlawanan, kedudukan kekal terikat 0-0 dan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti yang menyaksikan Blaugrana lebih unggul apabila mengenepikan United 2-0. Glory Glory Manchester United!!!

08 Ogos 2012

FERGUSON KECEWA BERDEPAN KEMUNGKINAN TERLEPAS MOURA


Sir Alex Ferguson dikatakan kecewa berikutan beliau berpotensi kehilangan pemain yang menjadi sasaran musim panas ini, Lucas Moura kepada Paris St Germain (PSG). Moura pemain remaja Brazil yang dikaitkan dengan United sejak beberapa minggu kebelakangan ini dikatakan semakin hampir menyertai PSG dengan nilai perpindahan 40 juta Dollar. Jika perpindahan Moura ke PSG menjadi kenyataan, ini adalah kali kedua Ferguson tewas dalam perlumbaan mendapatkan pemain yang disasarkannya musim panas ini. Bulan lalu, Ferguson gagal menandatangani Eden Hazard selepas pemain antarabangsa Belgium itu memilih seteru domestik mereka, Chelsea walaupun pada awalnya dikaitkan begitu hampir menyertai United. Kegagalan mendapatkan Hazard dikatakan berpunca dari keengganan Ferguson membayar 6 juta Pound kepada ejen pemain itu sebagai komisyen. Bos United itu nyata kurang senang dengan kegagalan kali keduanya dalam pasaran perpindahan pemain musim panas ini. Kini selepas berdepan kemungkinan gagal memancing Moura, Ferguson bakal memberikan fokus sepenuhnya terhadap usaha merealisasikan impiannya membawa penyerang Arsenal, Robin Van Persie ke Old Trafford. Ferguson dikatakan sanggup membelanjakan hampir 25 juta Pound bagi mendapatkan tandatangan Van Persie biarpun Arsene Wenger turut dikhabarkan berusaha mengekalkan kaptennya itu di Stadium Emirates. Walau bagaimanapun ada pihak meragui apakah Ferguson sanggup berbelanja besar bagi mendapatkan Van Persie yang sudah berusia 29 tahun dan mempunyai rekod kecederaan yang buruk itu. Apapun jendela perpindahan musim panas ini yang pada mulanya dikatakan akan menjadi platform Ferguson untuk menguatkan skuadnya bagi mencabar Manchester City dan Chelsea, mungkin menjadi tempoh paling mengecewakan buat pengendali berpengalaman itu. Setakat ini hanya dua pemain yang berjaya dibawa masuk iaitu, Nick Powell dan Shinji Kagawa, atau apakah United akan berpuashati dengan hanya dua pemain baru bagi menghadapi kempen musim depan? Glory Glory Manchester United!!!

BERBA SEMAKIN HAMPIR SERTAI ZENIT


Dimitar Berbatov diberitakan semakin hampir menyertai kelab Russia, Zenit St Petersburg selepas dia diberitahu peluang untuknya tampil bersama skuad utama musim depan semakin terhad. Walaupun United memilih untuk melanjutkan tempoh kontrak pemain Bulgaria itu selama setahun lagi, langkah United itu bagaimanapun dilihat hanyalah untuk meningkatkan nilai Berbatov dan mendapatkan keuntungan jika dia berhijrah musim panas ini. Berbatov sebelumnya telah menyuarakan rasa kecewa berikutan tindakan United yang meletakkan tanda harga sebesar 10 juta Pound kepada mana-mana kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya. Harga sebanyak itu bagaimanapun tidak menghalang Zenit untuk cuba memancing Berbatov biarpun mereka turut dikatakan mendapat saingan dari dua kelab Itali, Juventus dan AC Milan. Pihak United nampaknya lebih selesa berurusan dengan kelab Russia itu selepas minat dan kesungguhan yang tinggi ditunjukkan mereka dalam usaha mendapatkan Berbatov. Sir Alex Ferguson dijangka cuba menyelesaikan isu perpindahan Berbatov secepat mungkin bagi membuka ruang dalam skuadnya buat pemain baru. Bos United itu dipercayai akan menggunakan dana hasil penjualan Berbatov untuk memburu dua pemain yang menjadi sasarannya iaitu Robin Van Persie (Arsenal) dan Robert Lewandowski (Borussia Dortmund). Glory Glory Manchester United!!!

07 Ogos 2012

FLETCHER KEMBALI KE PADANG LATIHAN


Pemain tengah Manchester United, Darren Fletcher semakin hampir untuk kembali semula kedalam saingan bolasepak kompetetif selepas beliau mengesahkan akan berlatih bersama pasukan kebangsaan Scotland. Fletcher yang terpaksa dipinggirkan kerana masalah radang usus tidak bermain hampir sepuluh bulan, kini sudah sedia untuk turun semula ke padang. Fletcher bagaimanapun tidak akan disenaraikan dalam skuad yang akan turun menentang Australia dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang dijadualkan pada Rabu depan. Menurut pengurus Scotland, Craig Levein, pemain berusia 28 tahun itu tidak akan diturunkan menentang Australia memandangkan Fletcher baru pulih dan sudah terlepas aksi kompetetif sejak 22 November lalu. Kali terakhir Fletcher beraksi bersama United ialah pada 22 November lalu ketika menentang Benfica dalam saingan Liga Juara-Juara. Bulan lalu, Sir Alex Ferguson berkata United mungkin tidak dapat menggunakan khidmat Fletcher dalam saingan awal kempen Liga Perdana namun akan memberikan peranan alternatif kepada pemain tengah itu. Berita ini tentunya memberikan kelegaan kepada penyokong-penyokong United selepas kapten pasukan, Nemanja Vidic turut disahkan semakin pulih dari kecederaan lutut. Vidic menyertai skuad The Red Devils dalam jelajah pra-musim mereka di Norway dan dijangka turun memperkuatkan semula benteng pertahanan pada perlawanan pembukaan tirai saingan Liga Perdana menentang Everton, 18 Ogos ini. Glory Glory Manchester United!!!