30 JUTA EURO UNTUK LEWANDOWSKI
Manchester United diberitakan sudah memajukan tawaran kepada Borussia Dortmund bagi mendapatkan Robert Lewandowski. Sebelum ini Dortmund sudah kehilangan pemain tengah berpengaruh mereka, Shinji Kagawa dan kini berpotensi kehilangan seorang lagi tonggak pasukan itu kepada United. Biarpun Dortmund agak keberatan untuk kehilangan seorang lagi pemain utama mereka, namun tawaran sebanyak 30 juta Euro mungkin boleh mengubah fikiran juara Bundesliga itu. Biarpun sudah sekian lama dikhabarkan berminat membawa masuk Lewandowski ke Old Trafford, Sir Alex Ferguson nampaknya masih belum melakukan langkah-langkah yang perlu untuk merealisasikan hasratnya itu. Walau bagaimanapun selepas Dimitar Berbatov melakukan perbincangan dengan Zenit St Petersburg, bos United itu diberitakan mula mengorak langkah mendekati Lewandowski sebagai pengganti Berbatov. Sumber dari Onet.pl menyebut Lweandowski sudah ditawarkan kontrak selama tiga tahun oleh The Red Devils.
UNITED TINGKATKAN TAWARAN UNTUK RVP
Manchester United menaikkan tawaran mereka terhadap penyerang Arsenal, Robin Van Persie kepada 20 juta Pound. Menurut akhbar Daily Star (keluaran Ahad), United berada di barisan hadapan dalam perlumbaan mendapatkan tandatangan penyerang antarabangsa Belanda itu selepas pengurus Manchester City, Roberto Mancini mengumumkan secara rasmi mereka menarik diri dari persaingan mendapatkan khidmat pemain itu. Walaupun terdapat spekulasi menyebut, perbincangan tiga pihak antara United, Arsenal dan Van Persie akan dimuktamadkan dalam tempoh terdekat namun segala-galanya masih belum diputuskan secara rasmi. Kelmarin, Van Persie sempat bermain selama 20 minit dalam perlawanan pra-musim Arsenal menentang FC Koln. Minat tinggi yang ditunjukkan Ferguson ke atas Van Persie dipercayai menjadi antara faktor utama pemain itu akan menyertai United musim panas ini selain dijanjikan trofi kejuaraan Liga Perdana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan