22 Ogos 2012

PENYUDAH TUMPUL PUNCA UNITED PUTIH MATA


Penyudah yang tumpul menjadi punca utama mengapa Manchester United gagal mengutip sebarang mata pada perlawanan pertama saingan Liga Perdana mereka musim ini. United menguasai permainan di Goodison Park namun terpaksa akur dengan jaringan tunggal Marouane Fellaini di separuh masa kedua sekaligus menghadiahkan kemenangan berharga buat Everton di hadapan penyokong sendiri. Untuk rekod, ini merupakan kekalahan pertama United kepada Everton sejak 2007. Secara keseluruhannya, penampilan United pada perlawanan pertama mereka musim ini boleh dipuji. Kesebelasan United  hanya memerlukan sedikit masa untuk membentuk persefahaman terutamanya di barisan serangan agar mereka lebih garang ketika di depan gawang lawan. Sepanjang saingan awal pagi tadi United lebih unggul dari segi penguasaan bola dan memiliki beberapa peluang untuk menjaringkan gol namun gagal disudahkan dengan sempurna. Perlu juga diingatkan bahawa United turun dengan skuad tempang di Goodison Park apabila mereka kehilangan khidmat Rio Ferdinand, Chris Smalling, Rafael da Silva dan Jonny Evans di barisan pertahanan hingga memaksa Sir Alex Ferguson meletakkan Michael Carrick di posisi bek tengah dan Antonio Valencia pula sebagai bek kanan.  

Antara pemain United yang menyerlah dalam perlawanan itu tentunya penjaga gol, David de Gea yang menyelamatkan beberapa percubaan bahaya tuan rumah. Antara paling menarik ialah aksi tangkas De Gea ketika menafikan percubaan Steven Pienaar dan sepakan percuma Leighton Baines di separuh masa pertama. Selepas ketinggalan, Sir Alex Ferguson memasukkan Robin Van Persie bagi menambah sengat di barisan serangan namun penyerang yang baru menyertai United empat hari lalu itu gagal menyelamatkan United dari kekalahan. Van Persie yang sempat bermain selama 20 minit awal pagi tadi dilihat kurang mendapat sokongan rakan sepasukan. Adalah sesuatu yang amat merugikan apabila United tidak memanfaatkan sepenuhnya kemampuan Van Persie tatkala Everton cekal bertahan selepas mendahului hasil jaringan Fellaini. Sementara itu persembahan Shinji Kagawa juga wajar dipuji apatah lagi ini adalah penampilan pertamanya dalam saingan Liga Perdana. Prestasi Kagawa turut mendapat pujian dari pengurus Everton, David Moyes yang menganggap Ferguson melakukan tindakan yang bijak dengan menandatangani bintang antarabangsa Jepun itu. Moyes melahirkan keyakinan bahawa kehadiran Kagawa bakal memberikan impak kepada United dan saingan Liga Perdana musim ini selepas berpindah dari Borussia Dortmund bulan lalu. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan