Selepas dikecewakan Everton pada perlawanan pertama liga musim ini, Manchester United akhirnya berjaya meraih tiga mata penuh ketika melayani kunjungan Fulham di Old Trafford malam tadi. Gol-gol dari Robin van Persie, Shinji Kagawa dan Rafael da Silva di separuh masa pertama sudah cukup memberikan kelegaan buat barisan The Red Devils selepas kegagalan mereka mengutip sebarang mata pada perlawanan pertama. Tidak seperti kunjungan mereka di Goodison Park, Sir Alex Ferguson menurunkan Robin Van Persie dalam kesebelasan utama, satu keputusan yang memang ditunggu-tunggu penyokong-penyokong United sejak awal lagi. Walau bagaimanapun pelawat mengejutkan United hasil jaringan pembukaan Damien Duff berpunca dari umpanan Bryan Ruiz diminit ke-3. United segera memberikan tindak balas selepas itu untuk mencari gol penyamaan hasil gerakan-gerakan dari sebelah sayap melalui Antonio Valencia dan Ashley Young. Langkah Ferguson menyenaraikan Van Persie nyata berbaloi apabila penyerang itu menyamakan kedudukan diminit ke-10. Van Persie berjaya merembat masuk bola umpanan silang Patrice Evra yang gagal diselamatkan Mark Schwarzer. Dua gol dalam jangkamasa 10 minit dari kedua-dua pasukan nyata membuatkan perlawanan semakin hangat dengan masing-masing berbalas serangan. United terutamanya menggunakan kelebihan kepantasan milik Valencia dan Young untuk melancarkan serangan dari kedua-dua bahagian sayap. Moussa Dembele pula menjadi tunjang utama serangan The Cottagers bermula dari bahagian tengah mereka untuk cuba menggugat benteng pertahanan United yang diterajui Nemanja Vidic.
United akhirnya unggul di hadapan apabila seorang lagi pemain baru mereka, Shinji Kagawa memanfaat bola muntah untuk menjaringkan gol kedua United di minit ke-35. Selang tiga minit selepas itu, Rafael hampir meletakkan United selesa di hadapan namun golnya dibatalkan pengadil kerana dia berada di posisi offside. Bagaimanapun kegagalan itu ditebus Rafael apabila dia menanduk masuk bola umpanan Young diminit ke-38 untuk meletakkan United selesa mendahului 3-1 di hadapan. Di babak kedua, United masih melancarkan serangan berorientasikan kekuatan mereka dari kedua-dua belah sayap, sementara Fulham pula terus mengharapkan kelibat Dembele ketika melancarkan serangan. Diminit ke-64, Fulham berjaya merapatkan kedudukan apabila kegagalan David de Gea dalam perebutan di udara membawa padah selepas bola sepakan lambung dari sebelah kanan terkena kaki Vidic yang menerjah gawang. Ferguson kemudiannya melakukan dua pertukaran serentak dengan memasukkan Wayne Rooney dan Danny Welbeck bagi memberikan lebih sokongan kepada Van Persie di barisan hadapan. Rafael juga sering naik ke atas ketika United melancarkan serangan dan beberapa percubaan pemain Brazil itu berjaya mengancam gawang Fulham. Selepas cekal bertahan terutamanya di penghujung perlawanan, United akhirnya meraih tiga mata penuh di gelanggang sendiri. Bagaimanapun kemenangan itu dibayar dengan harga yang mahal apabila Rooney terpaksa diusung keluar kerana mengalami kecederaan dan berdepan kemungkinan terlepas aksi selama sebulan. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan