Manchester United memulakan kempen Liga Perdana musim 2012/13 dengan langkah kiri selepas gagal mengutip sebarang mata di Goodison Park, Selasa lalu. The Red Devils tewas 0-1 kepada Everton hasil jaringan Marouane Fellaini. Ini juga merupakan kekalahan pertama United dalam perlawanan pembuka tirai sejak 2004. Walaupun melakukan 16 percubaan ke arah pintu gol Everton, United gagal menjaringkan sebarang gol dalam perlawanan itu, situasi hampir serupa yang dialami mereka ketika tewas kepada Newcastle United pada bulan April 2011. Ferguson menurunkan bintang baru mereka, Robin Van Persie di 20 minit terakhir perlawanan tetapi gagal menghalang pasukannya dari pulang dengan tangan kosong ke Old Trafford. Perlawanan itu juga menjadi penampilan pertama buat Shinji Kagawa dalam kancah saingan Liga Perdana. Menjelang kunjungan Fulham esok, Ferguson dibelenggu kebimbangan krisis kecederaan yang melanda barisan pertahanannya selepas Rio Ferdinand, Jonny Evans, Chris Smalling dan Phil Jones dijangka bakal diketepikan sekali lagi selepas kesemuanya terlepas aksi di Goodison Park. Meskipun Evans dikatakan sudah hampir cergas sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan ini, Ferguson sebaliknya mengatakan bahawa beliau tidak terfikir salah seorang pemain dari senarai di atas dapat diturunkan esok. Situasi yang dihadapi United jelas hadir pada waktu yang kurang tepat apatah lagi selepas menyaksikan skuad The Cottagers itu membolosi gawang Norwich City dengan lima gol minggu lalu. Martin Joll pastinya sekali lagi tidak dapat menurunkan Clint Dempsey dalam perlawanan ini selepas bintang Amerika Syarikat itu berkeras mahu menyertai Liverpool. Dempsey yang menjaringkan 17 gol musim lalu telah menolak untuk beraksi bersama The Cottagers dan sudahpun membayangkan keinginannya secara jelas untuk berpindah ke Anfield. Situasi ini pastinya tidak diinginkan Joll menjelang kunjungan mereka ke Theatre of Dream apatah lagi rekod 16 pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan jelas milik United. United menang 13 perlawanan, sekali seri dan dua kali kalah ketika berdepan Fulham. Dalam lima pertemuan terakhir di Old Trafford pula, Fulham gagal menjaringkan sebarang gol yang menyaksikan gawang mereka dibolosi United sebanyak 11 kali. Pertemuan terakhir antara kedua-dua pasukan berlangsung pada 26 Mac lalu di Old Trafford di mana keputusan memihak kepada United hasil jaringan tunggal Wayne Rooney. Untuk rekod, dalam 32 kunjungan mereka ke Old Trafford, Fulham hanya mencatat dua kemenangan dan tiga kali seri di mana kali terakhir mereka menang di Theatre of Dream ialah pada 24 Oktober 2003 dengan keputusan 3-1. Glory Glory Manchester United!!!
Barisan Kemungkinan United:
David de Gea, Patrice Evra, Michael Carrick, Nemanja Vidic, Rafael da Silva, Antonio Valencia, Ashley Young, Shinji Kagawa, Paul Scholes, Robin Van Persie, Wayne Rooney
Tiada ulasan:
Catat Ulasan