30 Mei 2013

SI MATA HELANG


Sejak Sir Alex Ferguson mengumumkan persaraannya, ini merupakan kali kedua saya menulis tentang lagenda hidup Manchester United itu. Musim 2012/13 sudahpun berakhir di mana musim ini juga merupakan musim terakhir Sir Alex mengendalikan United. Agak pelik rasanya ketika sepak mula musim baru nanti tiada lagi kelibat beliau di tepi padang memberikan arahan-arahan kepada pemain-pemainnya. Bagi penyokong-penyokong United dari era 80an, rasa ‘pelik’ yang lebih mendalam pasti dirasai mereka berbanding penyokong-penyokong dari generasi 90an dan era millennium kerana di era 80an lah (1986) Sir Alex memulakan kariernya bersama United. Keputusan yang diambil Sir Alex untuk bersara memang mengejutkan ramai pihak termasuklah saya. Pada mulanya saya jangkakan Sir Alex akan bersama United semusim lagi, tetapi tanda-tanda persaraan beliau sebenarnya sudah terlihat, terutamanya apabila tugu beliau didirikan di perkarangan Theatre of Dreams, 23 November lalu. Ada yang menganggap La Liga merupakan liga terbaik di dunia, tetapi bagi saya Liga Perdana England jauh lebih menarik berikutan persaingan ‘ketat’ yang disajikan setiap musim. Setiap kali musim baru bermula sekurang-kurangnya ada lima pasukan yang berpotensi keluar sebagai juara, bebeza dengan La Liga yang hampir setiap musim di dominasi Barcelona dan Real Madrid. Kemunculan bintang-bintang muda yang saban tahun berjaya diketengahkan juga antara faktor mengapa Liga Perdana England begitu menarik. Bintang-bintang muda ini bukan hanya dilahirkan melalui akademi tetapi ramai juga yang dibeli dari luar dengan harga yang tinggi. Jadi apa kaitannya dengan persaraan Sir Alex? Tanpa memperkecilkan kewibawaan pengurus-pengurus lain, bagi saya Sir Alex memiliki naluri tajam dalam mengesan bakat-bakat muda untuk diketengahkan. Kemampuan hebatnya itu bolehlah saya ibaratkan setajam mata helang. Bukan sedikit pemain muda yang berjaya digilapnya menjadi bintang, dari era Class of 92 hinggalah kini di mana Danny Welbeck dan Tom Cleverley pula menghiasi kesebelasan utama.  Kemampuan Sir Alex menggilap bakat-bakat muda sudah lama teruji. Beliaulah yang mencipta Class of 92, juga dikenali dengan gelaran Fergie Babes kerana mereka (David Beckham, Paul Scholes, Ryan Giggs, Nicky Butt, Gary Neville & Phil Neville) diketengahkan secara langsung oleh Sir Alex dalam kesebelasan utama meskipun usia mereka masih terlalu muda ketika itu. Sir Alex berani melakukannya kerana pengamatan beliau terhadap potensi yang ada dalam diri pemain muda setajam mata helang. Bukan saja hebat dalam melahirkan bakat muda dari Akademi Manchester United, tetapi Sir Alex juga jarang melakukan kesilapan ketika membeli pemain muda dari luar. Ada antara mereka muncul pemain muda termahal di Liga Perdana, contoh terbaik ialah pembelian Cristiano Ronaldo dari Sporting Lisbon dengan nilai 17.7 juta Euro, Wayne Rooney dari Everton dengan nilai 37 juta Euro manakala Phil Jones pula dibeli dari Blackburn Rovers dengan nilai mencecah 17 juta Euro. Meskipun terpaksa berbelanja besar (membeli pemain-pemain muda ini) pembelian ini adalah satu keputusan tepat dan berbaloi untuk pasukan.

Lihat di mana kedudukan Ronaldo sekarang, begitu juga dengan Rooney dan Jones. Ketika Sir Alex menandatangani Rooney pada 2004, bintang England itu muncul pemain muda termahal di England ketika itu. Sir Alex tidak berhenti setakat itu apabila beliau kemudiannya menandatangani Nani dan Anderson dengan nilai 25.5 juta Euro dan 31.5 juta Euro pada 2007. Pembelian Ronaldo, Rooney, Nani dan Anderson menjadikan United muncul pasukan yang mencatat rekod pembelian pemain muda termahal setiap musim. Di penghujung kariernya, Sir Alex mendapatkan Javier Hernandez pula dari kelab Mexico, Chivas de Guadalajara dan Chris Smalling dari Fulham pada 2010, Phil Jones dari Blackburn Rovers pada 2011, Nick Powell dari Crewe Alexandra pada 2012 dan terakhir Wilfried Zaha dari Crystal Palace Januari lalu. Bagaimanapun kebolehan Sir Alex menggilap bakat muda tidak mungkin dapat diterjemahkan di atas padang jika tidak mendapat sokongan pihak pengurusan United. Sir Alex beruntung kerana pihak pengurusan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada beliau dalam urusan pembelian pemain, terutamanya dari kalangan bakat-bakat muda. Hal yang serupa tidak dinikmati Kenny Dalglish semasa beliau mengendalikan Blackburn Rovers pada tahun 1995. Ketika itu, King Kenny begitu terpikat dengan penampilan Zinedine Zidane yang beraksi untuk Girondins de Bordeaux. Disebabkan yakin dengan kemampuan Zindane yang pada pengamatan beliau boleh memberikan pengaruh besar dalam permainan Rovers, King Kenny menyampaikan keinginannya kepada pihak pengurusan untuk mendapatkan khidmat pemain Perancis itu. Bagaimanapun Dalglish terpaksa gigit jari kerana pengerusi kelab ketika itu, Jack Walker tidak meluluskan pembelian Zidane. Walker sebaliknya bertanyakan pula kepada Dalglish, “Mengapa anda mahu membeli Zidane? Bukankah kita sudahpun memiliki Tim Sherwood?”. Akhirnya Zidane berhijrah ke Juventus pada 1996 dan meraih berbagai kejayaan bersama kelab Itali itu. Prestasi Rovers sebalik semakin menurun saban tahun dan Walker akhirnya menyesali keputusan beliau enggan membeli Zidane kerana masih percaya dengan kemampuan Sherwood mengemudi bahagian tengah. Rekod Sir Alex dalam menggilap pemain muda memang cukup cemerlang, hanya Arsene Wenger satu-satunya pengurus yang mampu menandingi pencapaian beliau. Walau bagaimanapun Sir Alex tetap manusia biasa, di mana beliau juga tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Sepanjang tempoh 27 tahun di Old Trafford ada beberapa kesilapan yang dilakukannya ketika membeli pemain (terutamanya pemain-pemain muda). Bagaimanapun kesilapan yang dilakukannya ditebus dengan rekod cemerlang mengemudi United meraih 38 trofi sepanjang kariernya. Jujurnya, ketika lagenda itu mengumumkan persaraannya, saya tertanya-tanya mampukah David Moyes meneruskan kecemerlang Sir Alex dalam kerja-kerja menggilap dan mengesan bakat-bakat muda untuk diketengahkan. Pemain muda pertama manakah yang akan ditandatangani Moyes sebaik beliau mengambil alih sepenuhnya tugas dari Sir Alex? Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Artikel Berkaitan Sir Alex:

Terima Kasih Sir Alex...Atas Segalanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan