01 Oktober 2013

LETAKKAN KEPERCAYAAN KEPADA MOYES


Ada pihak yang sudah mula menyebut bahawa Manchester United sedang dilanda krisis berikutan dua kekalahan berturut-turut yang dialami mereka dalam saingan liga, manakala penyokong-penyokong The Red Devils pula meragui kemampuan kelab memberikan saingan serius kepada pencabar-pencabar mereka di pentas domestik dan Eropah musim ini. Melihat kepada persembahan anak-anak buahnya selepas tewas kepada West Bromwich kelmarin, Moyes secara terbuka mengakui bahawa pasukannya tidak mampu pergi jauh dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini bersandarkan pemain yang dimilikinya sekarang. Jika dua atau tiga bulan yang lalu Moyes begitu yakin dengan skuad juara yang diwarisinya dari Sir Alex Ferguson walaupun kelab gagal menandatangani nama-nama besar (kecuali Marouane Fellaini), kini nada pengendali itu jelas berbeza. Menurut Moyes, United memerlukan sekurang-kurangnya lima atau enam pemain kelas dunia jika mereka mahu menjulang trofi Liga Juara-Juara dengan menjadikan Bayern Munich, Barcelona dan Real Madrid sebagai perbandingan. Tiga kekalahan yang dialami dalam enam perlawanan awal liga bukanlah sesuatu yang bagus manakala tujuh mata yang diperolehi setakat ini merupakan jumlah terendah dalam sejarah kelab sejak Liga Perdana diperkenalkan pada musim 1992/93. Sebelum liga bermula Moyes yakin dengan aset yang dimilikinya tetapi selepas melihat kedudukan kelab dalam carta liga ketika ini di samping prestasi mengecewakan yang ditunjukkan beberapa pemain regular (Anderson dan Ashley Young terutamanya), saya yakin beliau tidak sabar menanti bulan Januari untuk berbelanja. Imbas kembali ketika Sir Alex menamakan Moyes sebagai penggantinya, tidak ramai pihak termasuk penyokong-penyokong United sendiri yakin dengan kemampuan bekas penggendali Everton itu menguruskan kelab besar seperti United. Sebelum bersetuju menerima tawaran untuk menggantikan Sir Alex, sudah tentu Moyes tahu apa yang bakal menantinya di Old Trafford kerana cabaran dan tekanan di sini jauh lebih besar berbanding apa yang dilaluinya selama 11 tahun di Goodison Park.

Hanya individu yang memiliki kekuatan dan keberanian saja sanggup menggalas tugas sebagai pengganti Sir Alex, dan atas sebab itulah saya percaya Moyes memiliki segala aspek yang diperlukan dan pilihan tepat mengisi kerusi panas di Old Trafford. Tujuh mata dari enam perlawanan liga setakat ini bukanlah kayu ukur yang tepat untuk Moyes diadili, kerana saya masih berpegang kepada kata-kata saya sebelum ini bahawa sasaran paling realistik yang perlu beliau capai pada musim pertamanya di Old Trafford ialah membawa kelab di kelompok empat teratas sekaligus layak ke saingan Liga Juara-Juara musim hadapan. Memang diakui di peringkat awal ini segalanya tidak memihak kepada Moyes, bermula dari kegagalannya mendapatkan pemain-pemain yang disasarkan ketika pasaran perpindahan pemain musim panas dibuka, kesilapannya memilih pemain dalam kesebelasan utama dan taktik permainan yang digunakannya pula sering dikritik penyokong dan penganalisis bolasepak. Kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di dalam pasukan, tetapi khabar yang mengatakan bahawa kelab sedang dilanda krisis hanya disebabkan dua kekalahan liga (berturut-turut) saya anggap tidak lebih dari sekadar spekulasi. Selain mewarisi skuad juara dari Sir Alex, kita perlu mengakui bahawa dalam masa yang sama Moyes juga sebenarnya mewarisi bintang-bintang yang kini berada diambang penghujung karier mereka (seperti Rio Ferdinand, Ryan Giggs, Nemanja Vidic dan Patrice Evra), manakala Antonio Valencia, Anderson dan Ashley Young pula sejak musim lalu lagi bergelut dengan prestasi sendiri. Saya tidak mengatakan bahawa Sir Alex meninggalkan skuad yang 'tempang' untuk diwarisi Moyes, tetapi apa yang saya sebutkan di atas sudah tentu bukanlah satu permulaan yang baik buat kerjaya Moyes bersama kelab. Moyes memiliki tempoh lebih tiga bulan untuk mengenalpasti apa yang kurang dan perlu diperbaiki dalam skuadnya sebelum musim baru bermula, tetapi malangnya sepanjang tempoh itu juga hanya Fellaini satu-satunya nama besar yang berjaya beliau tandatangani, itupun ketika jendela perpindahan pemain hampir ditutup.

Usah kesali apa yang sudah berlaku kerana apa yang perlu dilakukan Moyes sekarang ialah mengenalpasti pemain terbaik yang ada dalam pasukan untuk diketengahkan. Selepas melihat prestasi Anderson dan Ashley Young terus merudum manakala benteng pertahanan pula dipersalahkan atas kekalahan yang dialami pada dua perlawanan terakhir liga, apakah akan ada perubahan besar pada senarai kesebelasan utama dan taktikal yang bakal digunakan Moyes dalam perlawanan-perlawanan selepas ini? Moyes mengatakan bahawa Shinji Kagawa tetap berada dalam perancangannya, jadi saya berharap selepas ini beliau lebih berani menggunakan pemain itu selain bakat-bakat muda yang ada seperti Adnan Januzaj dan Wilfried Zaha yang memang dahagakan peluang bermain di peringkat tertinggi seperti Liga Perdana. Di benteng pertahanan terutamanya di bahagian tengah (centre back), sudah tiba masanya untuk Jonny Evans dan Chris Smalling diberikan peluang tampil lebih kerap kerana pada usia 34 tahun sudah tentu Rio Ferdinand tidak lagi mampu bermain setiap minggu. Tanpa pelaburan besar yang dilakukan sepanjang musim panas ini, Moyes perlu bijak menggunakan sumber yang ada kerana kelab sebenarnya memiliki bakat-bakat yang mencukupi untuk diketengahkan. Penyokong-penyokong tidak menuntut agar Moyes membawa pulang trofi Liga Juara-Juara atau sekurang-kurangnya mengulangi pencapaian Sir Alex dengan menghadiahkan trofi Liga Perdana, tetapi cukuplah sekadar menagih keberaniannya melakukan beberapa perubahan dalam pasukan selepas anak-anak buahnya tewas dua perlawanan liga berturut-turut. Sir Alex di awal kariernya sebagai pengurus United memerlukan tempoh empat tahun sebelum menghadiahkan trofi pertamanya kepada kelab, jadi saya boleh menerima hakikat jika musim ini United di bawah kendalian Moyes tidak memenangi apa-apa piala. Seperti diramalkan banyak pihak sebelum ini, United akan bergelut di bawah kendalian Moyes, sesuatu yang saya anggap sebagai lumrah apabila 'rejim' pemerintahan bertukar tangan dan itulah yang berlaku ke atas kelab sekarang.


Selama 26 tahun kelab ditangani Sir Alex, manakala sebahagian besar pemain yang ada dalam skuad sekarang pula sudah biasa dengan percaturan taktikal dan corak permainan yang diterapkan lagenda itu, jadi sudah tentulah bukan satu tugas mudah buat Moyes membina semula pasukan mengikut acuannya sendiri. Jika mahu menyuntik tenaga baru dalam skuadnya, Moyes perlu menunggu hingga Januari nanti untuk melakukannya, dan sementara itu berikan sahaja beliau masa dan peluang merencanakan halatuju pasukan dan strategi yang ingin digunakannya. Memang benar, zaman sudah berubah di mana kesabaran di kalangan pemilik kelab dan penyokong-penyokong ketika ini semakin kurang berbanding 10 atau 20 tahun yang lalu. Dalam era sekarang, melihat pengurus atau jurulatih dipecat selepas mengharungi lima atau enam perlawanan adalah satu perkara biasa namun kita tidak perlu terikut-ikut dengan kegilaan itu. Sudah tentu ada alasan kukuh mengapa Moyes dipilih Sir Alex untuk menggantikan tempatnya selepas beliau bersara, jadi berikan sahaja bos baru United itu masa, peluang  dan kepercayaan untuk menjalankan tanggungjawabnya selaku pengendali. Seperti yang saya sebutkan mula-mula tadi, ada beberapa kesilapan yang Moyes lakukan di peringkat awal terutamanya dalam hal memilih pemain dan taktikal di atas padang namun masih belum terlambat untuk diperbaiki. Siapa tahu mungkin juga apa yang beliau lakukan pada peringkat ini lebih kepada mahu bereksperimen dengan formasi dan taktikal permainannya berteraskan kepada pemain-pemain yang beliau miliki. Jadi pada pandangan saya, masa terbaik untuk menilai kemampuan Moyes ialah ketika saingan liga memasuki fasa kedua nanti, dan buat masa ini seboleh mungkin anda cubalah pekakkan telinga dengan segala berita-berita negatif yang dimainkan media tentang keupayaan dan kekuatan kelab di bawah kendalian beliau. Buat masa ini saya tidak mahu memandang terlalu jauh, kerana apa yang saya ingin lihat dalam waktu terdekat ialah barisan The Red Devils seboleh mungkin cuba mengelak dari tewas tiga perlawanan liga berturut-turut. Semoga kita tidak perlu terus berduka dan ada berita gembira menanti di Stadium of Light hujung minggu ini. Glory Glory Manchester United!!! – A.J 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan