Jika diambilkira prestasi semasa Manchester
United, tugas berat bakal menanti anak-anak buah David Moyes yang akan berdepan
Shakhtar Donetsk di Donbass Arena awal pagi esok. Situasi terkini memang jelas
tidak memihak kepada United dan kekalahan kepada West Bromwich di gelanggang
sendiri sudah tentu sedikit sebanyak menganggu mental pemain-pemain ketika ini.
Terpaksa berdepan Donetsk di gelanggang lawan selepas tewas dua perlawanan liga
berturut-turut pada pandangan saya bukanlah waktu yang tepat untuk anak-anak
buah Moyes, apatah lagi selepas menyaksikan prestasi lawan ketika membenam Real
Sociedad 2-0 di San Sebastian 18 September lalu. Selain bergelut dengan
prestasi semasa anak-anak buahnya, Moyes juga perlu melihat kepada rekod
Donetsk ketika berdepan kelab-kelab Inggeris di gelanggang sendiri. Mereka menewaskan
Arsenal dua kali di pentas Eropah (pada musim 2000/01 dan 2010/11), manakala Chelsea
pula muncul kelab Inggeris terbaru menjadi mangsa mereka musim lalu. Jika
Donetsk gah dengan rekod baik mereka ketika berdepan kelab-kelab Inggeris,
United pula ada kenangan manis pada kunjungan terakhir mereka di bumi Ukraine
enam tahun lalu. United pernah menewaskan Dynamo Kiev 4-2 pada saingan
peringkat kumpulan Liga Juara-Juara edisi 2007/08 menerusi gol Rio Ferdinand,
Wayne Rooney dan Cristiano Ronaldo (dua gol). Moyes memerlukan skuad terkuatnya
dalam berdepan misi sukar di bumi Ukraine, jadi kehadiran semula Nemanja Vidic
dan Patrice Evra yang tidak beraksi di Old Trafford Sabtu lalu saya anggap satu
berita gembira buat pasukan. Cuma timbul pertanyaan siapakah yang bakal
mendampingi Vidic sama ada Chris Smalling atau Jonny Evans kerana saya pasti Rio
Ferdinand akan direhatkan dalam perlawanan ini berikutan prestasi semasanya yang
dikritik hebat. Di bahagian hadapan Rooney akan terus memikul tanggungjawab
sebagai penyerang sambil berharap Robin Van Persie cergas sepenuhnya, manakala
Nani pula kembali dari penggantungan akibat layangan kad merah yang diterimanya
musim lalu.
Dua gol yang dihasilkan Rooney ketika
berdepan Bayer Leverkusen menjadikan dia penjaring terbanyak Inggeris dalam
saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu dengan 29 gol, jadi sentuhan
pemusnahnya akan sekali lagi ditagih. Selain muncul warga Inggeris paling
banyak menjaringkan gol di pentas Liga Juara-Juara, saya juga ingin melihat
apakah Rooney mampu menjaringkan gol 11 perlawanan berturut-turut dalam saingan
ini. Jika mahu membawa pulang sesuatu dari perlawanan ini, Moyes perlu bijak
memilih pemain dan bermain dengan strategi kerana Donetsk bagi saya bukanlah
calang-calang pasukan. Mircea Lucescu memiliki 10 warga Brazil dalam skuadnya
dengan Bernard menjadi anggota terbaru selepas diikat dari Atletico Mineiro
dengan nilai €21 juta. Walaupun hanya beraksi sekali bersama kelab barunya, pemain
berusia 20 tahun itu ketika bersama Mineiro berjaya menjaringkan 22 gol dari
100 penampilan selain memiliki 5 caps
bersama skuad kebangsaan Brazil. Selain Bernard, Lucescu juga memiliki Douglas
Costa, Luiz Adriano, Fred dan Alex Teixera yang menjaringkan dua gol ketika
mereka menumpaskan Sociedad. Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa kombinasi
tenaga dari negara Samba ini adalah teras utama kekuatan Donetsk, jadi jika
tidak mahu berputih mata sekali lagi, barisan The Red Devils perlu berwaspada dengan ancaman dari warga-warga
Brazil yang ada dalam skuad lawan. Jika United bergelut dengan prestasi mereka
di liga domestik, Donetsk juga apa kurangnya apabila hanya meraih satu
kemenangan dari lima perlawanan terakhir mereka di Liga Perdana Ukraine.
Prestasi Donetsk dalam saingan liga domestik mungkin sedikit melegakan kita
tetapi jangan lupa bahawa aksi di peringkat Eropah sudah tentu berbeza.
Perlawanan di Donbass Arena bukan sahaja penting untuk anak-anak buah Moyes memulihkan
semula maruah yang tercalar tetapi takhta pendahulu kumpulan juga bakal menjadi
taruhan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Barisan Kemungkinan Donetsk: Andriy Pyatov,
Darijo Srna, Olexander Kucher, Vyacheslav Shevchuk, Yaroslav Rakytskyy, Alez
Teixeira, Douglas Costa, Fernando, Tomas Hubschmann, Luiz Adriano & Taison
Barisan Kemungkinan United: David de Gea, Rafael
da Silva, Jonny Evans, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Antonio Valencia, Michael
Carrick, Marouane Fellaini, Nani, Wayne Rooney & Robin Van Persie
Tiada ulasan:
Catat Ulasan