26 Oktober 2013

SIR ALEX...YANG MASIH BERBISA


Walaupun sudah bersara sebagai pengurus Manchester United, nama Sir Alex Ferguson nampaknya masih lagi hangat diperkatakan kawan dan lawan terutamanya sepanjang minggu ini selepas pelancaran buku autobiografinya. Saya belum lagi membaca autobiografi Sir Alex itu (saya tidak pasti sama ada sudah dipasarkan di Malaysia atau tidak), tetapi walaupun tajuknya cukup ringkas (My Autobiography), isinya kandungannya berjaya menyentuh emosi pihak-pihak yang 'diusik' beliau dalam buku tersebut. Kenyataan balas oleh beberapa individu dari kalangan bekas pemain-pemainnya serta pengurus lawan sudahpun kedengaran, dan saya pasti isu ini akan terus diperdebatkan untuk beberapa hari atau minggu mendatang. Jika bekas pemain United seperti Roy Keane dan Mark Bosnich lantang menyerang balas pandangan Sir Alex tentang mereka dalam autobiografinya, lain pula halnya dengan Michael Owen. “Saya fikir mana-mana pemain atau pengurus berhak menulis pengalaman dan pandangan mereka dalam autobiografi masing-masing. Tidak terhitung apa yang sudah dilalui dan dilakukan Sir Alex sepanjang kariernya. Selepas mendengar kritikan-kritikan itu, agak ironi kerana pencinta bolasepak memang ingin beliau melakukannya (menulis autobiografi). Mereka ingin mengetahui apa yang berlaku dan dilakukan beliau sepanjang kariernya. Semua orang ingin mendengar pandangannya dan mahu beliau berkongsi pengalamannya. Apa yang ditulis berdasarkan pengalamannya dan itu adalah hak istimewa beliau”, kata Owen. Seperti yang saya sebutkan di atas, saya belum membaca autobiografi Sir Alex, cuma apa yang saya ingin kongsikan bersama anda (penyokong-penyokong United) di sini adalah hasil laporan-laporan yang saya kutip dari berbagai sumber media yang mengulas tentang kandungan autobiografi tersebut. Sepertimana kebiasaan bagi sebuah autobiografi, buku ini juga menceritakan perjalanan dan pengalaman hidup Sir Alex (terutamanya sebagai pengurus). Persaraan nampaknya tidak pernah menjejaskan sedikitpun ketajaman Sir Alex ketika berbicara, dan itulah yang dilakukan beliau dalam autobiografinya hinggakan kata-kata dan pandangannya (biarpun hanya di dalam buku) berjaya mengusik emosi sesetengah pihak yang disebut beliau. Fokus utama saya dalam artikel ini ialah mengetengahkan beberapa tajuk menarik yang terdapat dalam buku autobiografi lagenda itu untuk dikongsi bersama dan pandangan serta pengalaman peribadi Sir Alex sendiri sepanjang 26 tahun beliau menguruskan United:

TENTANG WAYNE ROONEY

Wayne Rooney khabarnya mendapat layanan 'istimewa' dari Sir Alex apabila pengalaman dan kisah beliau bersama pemain ini diceritakan dalam satu bab penuh. Dalam buku ini, Sir Alex kekal konsisten dengan kenyataan yang beliau sebutkan penghujung musim lalu bahawa Rooney memang meminta supaya dia dijual ke kelab lain, sehari selepas United memastikan kejuaraan liga menjadi milik mereka. Menurut Sir Alex, Rooney tidak mahu bermain di bahagian tengah dan inginkan semula posisinya sebagai penyerang utama. Keinginan mahu berhijrah disampaikan sendiri Rooney kepada beliau manakala agen pemain itu, Paul Stretford pula memaklumkan hajat kliennya (yang mahu berhijrah) kepada David Gill. “Wayne datang ke pejabat saya, sehari selepas kami mengesahkan kejuaraan liga dan minta supaya dijual. Dia kurang gembira kerana tidak diturunkan dalam beberapa perlawanan. Agennya, Paul Stretford pula menghubungi David Gill untuk menyampaikan perkara yang sama”, kata Sir Alex. Imbas kembali pada 2010, Rooney buat pertama kalinya meminta supaya dia dijual tetapi respon segera Sir Alex ketika itu yang mengingatkan pemain itu supaya menunjukkan rasa hormat kepada kelab menyebabkan Rooney mengambil pusingan 'U' dalam tempoh 24 jam dan kekal di Old Trafford hingga sekarang. Setakat ini belum ada apa-apa komen balas dari Rooney berhubung apa yang disebut Sir Alex dalam autobiografinya.

TENTANG STEVEN GERRARD

Bukan setakat bekas pemain sendiri yang dijadikan fokus Sir Alex, tetapi pemain lawan juga turut menjadi sasarannya. Agak mengejutkan dan siapa boleh menyangka bahawa Steven Gerrard menurut Sir Alex bukanlah pemain kelas dunia sedangkan kapten Liverpool itu adalah tonggak kelab dan juga skuad kebangsaan England. Kayu ukur yang digunakan Sir Alex bagi mengukuhkan hujahnya (bahawa Gerrard bukanlah pemain kelas dunia) ialah aksi kapten Liverpool itu setiap kali berdepan pemain tengah handalan United seperti Roy Keane dan Paul Scholes. Tidak terhenti setakat itu, Sir Alex turut menyebut bahawa Gerrard lebih bertuah dan sukses bersama skuad kebangsaan England berbanding Michael Carrick hanya di sebab penampilan diri. Menurut Sir Alex, sikap pendiam Carrick menyebabkan Gerrard diberikan publisiti lebih luas oleh media dan menjadi pilihan pengurus-pengurus England untuk mengisi posisi bahagian tengah bersama Frank Lampard. Walaupun beliau 'menghentam' Gerrard, Sir Alex turut mengakui bahawa United pernah cuba mendapatkan khidmat kapten Liverpool itu sebelum ini. “Kami menunjukkan minat kepada Gerrard dalam pasaran perpindahan pemain, sama seperti Chelsea. Perkara ini berlaku kerana kami mendengar bahawa dia ingin berpindah dari Anfield. Bagaimanapun ada pengaruh yang dimainkan pihak di luar kelab hingga menyebabkan perbincangan (bagi mendapatkan Gerrard) menemui jalan buntu”. Apa yang dikatakan Sir Alex tentang Gerrard dalam buku ini sudah tentu mengundang respon segera dari pengurus Liverpool, Brendan Rodgers dan penyokong-penyokong The Reds yang anda sendiri tentu sudah baca di internet dan media cetak bukan?

TENTANG DAVID BECKHAM

Sir Alex menganggap David Beckham memilih mahu menjadi terkenal berbanding mencapai puncak potensinya sebagai pemain bolasepak. Sepertimana yang anda tahu, Sir Alex merupakan seorang pengurus yang tegas dan tidak akan membiarkan mana-mana pemain di bawah kendaliannya mengatasi dirinya dan itulah sebab utama mengapa Beckham di jual ke Real Madrid. Tindakan Beckham berhijrah ke Amerika Syarikat untuk bermain bersama kelab MLS, LA Galaxy pada 2007 juga dikritik Sir Alex. “Misi Beckham ke Amerika adalah ingin dikenali di luar dunia bolasepak”. Jika bercakap tentang Sir Alex dan Beckham, tidak lengkap sekiranya anda tidak menyebut insiden 'tendangan but' di bilik persalinan hingga menyebabkan kening Beckham berdarah. Sebagai individu yang terbabit secara langsung dalam insiden itu, Sir Alex sudah tentu tidak mahu membiarkan kita yang berada di luar terus tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku ketika itu (walaupun sebelum ini kita didedahkan dengan beberapa versi berita yang diterbitkan media). Menurut Sir Alex, punca utama kemarahannya ke atas Beckham ialah apabila pemain itu gagal mengawal Sylvain Wiltord hingga membolehkan Arsenal menjaringkan gol kedua pada perlawanan Piala FA (Februari 2003). Beckham menolak dari dipersalahkan lantas menyebabkan Sir Alex berang dan menendang but yang terus melayang ke muka Beckham. “Tentu sahaja dia (Beckham) berdiri dan ingin menyerang saya, tetapi pemain-pemain lain berjaya menahannya. Saya kemudian berkata kepadanya, “Duduk!, kamu sudah mengecewakan pasukan”. David fikir adakah dia lebih besar dari Alex Ferguson?”. Sehari selepas itu, insiden tersebut dilaporkan secara meluas oleh media dan selepas berbincang dengan pihak pengurusan kelab, Sir Alex berpendapat sudah tiba masanya untuk Beckham meninggalkan Old Trafford. Selain dari insiden di bilik persalinan itu, Sir Alex berpendapat bekas anak didiknya itu gagal mengendalikan publisiti meluas diberikan media sejak berkahwin dengan bintang pop terkenal, Victoria hingga menjejaskan tumpuan terhadap karier bolasepaknya. “Semua perhatian itu mempengaruhi hidupnya dan seseorang pemain tidak boleh membiarkan perkara itu berlaku ke atas mereka”, sambung Sir Alex lagi.

TENTANG ROY KEANE

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa perseteruan paling hebat antara Sir Alex dengan pemainnya sudah tentu membabitkan beliau dengan Roy Keane. Menurut Sir Alex, perubahan karakter Keane menyebabkan dominasinya di bahagian tengah semakin menurun. Selepas dikritik pengurus sendiri, Keane kemudiannya bingkas mempersoalkan kredibeliti Sir Alex pula sebagai pengurus dan akibatnya captain marvel itu disingkir dengan penuh kontroversi pada 2005. “Dia (Keane) harus pergi, 100 peratus bahawa dia harus pergi”, begitulah pendapat Carlos Quieroz selaku pembantu Sir Alex ketika itu. Selain perubahan karakter yang menjejaskan prestasinya, tindakan Keane 'menyerang' rakan-rakan sepasukan dalam satu wawancara bersama MUTV mempercepatkan lagi proses penyingkiran pemain tengah berpengaruh itu dari kelab. “Dia membunuh semua orang. Darren Fletcher, Alan Smith dan Van der Sar semua menerimanya. Roy menjatuhkan mereka semua. Bahagian paling kuat pada tubuh Roy ialah lidahnya. Dia mampu melunturkan keyakinan mana-mana individu yang memiliki keyakinan diri tinggi dengan pantas menerusi kata-katanya”. Menurut Sir Alex lagi, bilik persalinan menjadi lebih santai selepas Keane pergi. Di sebalik semua itu, paling mengejutkan ialah pendedahan beliau tentang kaptennya itu yang dilaporkan fisioterapi kelab bahawa mood buruk Keane turut mempengaruhi pemain-pemain lain. Meskipun berlaku konfrontasi antara beliau dengan kaptennya itu, satu perlawanan testimonial telah diaturkan pada 2006 bagi menghargai jasa dan sumbangan Keane selama 12 tahun di Old Trafford.

TENTANG RAFA BENITEZ

Selain Gerrard, Rafa Benitez adalah antara individu yang ada kaitan dengan Liverpool di sentuh Sir Alex dalam autobiografinya. Kesilapan paling besar yang dilakukan Rafa Benitez pada pandangan Sir Alex ialah apabila menjadikan perseteruan antara mereka di atas padang kepada permusuhan peribadi. “Sekali anda membuatkannya (perseteruan) menjadi peribadi,  anda tidak boleh berpatah balik. Saya memiliki rekod cemerlang di belakang saya tetapi Rafa masih mengejar trofi dan dalam masa yang sama berusaha menangani saya. Itu bukan satu tindakan yang bijak. Saya katakan kepadanya bahawa dia tidak sepatutnya menjadikan perseteruan kami di atas padang kepada permusuhan peribadi. Rafa mengeluh tidak memiliki banyak wang untuk dibelanjakan tetapi sejak hari dia tiba, dia membelanjakan lebih banyak wang berbanding saya. Kualiti pemain yang dia beli sebenarnya membuatkan dia kecewa”, kata Sir Alex. Menurut penilaian Sir Alex, Benitez sepatutnya mencontohi apa yang dilakukan Jose Mourinho bersama Chelsea dalam menangani pemain-pemainnya. “Ketika Rafa dan Jose berdiri di tepi padang, anda sudah dapat menilai siapa yang bakal muncul sebagai pemenang”. Liverpool di bawah kendalian Benitez menurut Sir Alex begitu menjemukan dan tiada elemen kejutan. Hanya tindakan Roman Abramovich menamakan warga Sepanyol itu selaku pengganti Roberto Di Matteo satu-satunya elemen kejutan yang mampu diberikan Benitez. Kejayaan Di Matteo mengemudi Chelsea menang kejuaraan Piala FA dan Liga Juara-Juara dalam tempoh enam bulan di Stamford Bridge menurut Sir Alex sudah cukup untuk menyamai pencapaian Benitez ketika bersama Valencia (juara liga) dan Liverpool (Piala FA dan Liga Juara-Juara).

TENTANG CRISTIANO RONALDO

Sebelum ini ramai pihak mengatakan bahawa Cristiano Ronaldo merupakan anak emas kepada Sir Alex. Selepas membaca pendapat dan kata-kata lagenda itu tentang bintang yang kini beraksi bersama Real Madrid, saya akhirnya bersetuju dengan label 'anak emas Sir Alex' yang diletakkan ke atas pemain itu. Sir Alex meletakkan Ronaldo sebagai pemain paling berbakat pernah dimilikinya mengatasi bintang-bintang asuhannya sendiri (dari akademi) yang sudah bersara dan bakal bersara bersama kelab seperti Ryan Giggs dan Paul Scholes. Pada 2006, United hampir kehilangan khidmat Ronaldo selepas insiden layangan kad merah yang diterima Rooney pada Piala Dunia di Jerman. Pada 2006, Ronaldo dijadikan musuh nombor satu peminat-peminat bolasepak England kerana dikatakan menjadi dalang utama hingga Rooney disingkir pada perlawanan membabitkan Portugal dan England di Piala Dunia. Imej Ronaldo memandang ke arah bangku simpanan Portugal sambil mengenyit mata selepas Rooney dilayangkan kad merah tersebar secara meluas, sekaligus menambahkan lagi kebencian penyokong-penyokong The Three Lions kepada bekas bintang United itu. Ronaldo hampir sahaja tidak mahu pulang ke England tetapi ironinya, Rooney berjaya memujuk rakan sepasukannya itu terus bertahan di Old Trafford. “Kamu menunjukkan bahawa kamu adalah seorang yang berani jika kembali semula ke Old Trafford”, kata Sir Alex kepada Ronaldo ketika itu.

TENTANG KENNY DALGLISH

Liverpool sekali lagi dijadikan fokus Sir Alex dalam autobiografinya. Kali ini Kenny Dalglish dijadikan sasaran kritikan beliau terutama berkaitan pembelian yang dilakukan lagenda Anfield itu terhadap pemain-pemain seperti Jordan Henderson, Stewart Downing dan Andy Carroll. Tindakan Dalglish yang secara terang-terangan membela Luis Suarez selepas penyerang Uruguay itu berdepan tuduhan isu perkauman membabitkan dirinya dengan Patrice Evra (musim 2011/12) turut tidak terlepas dari sasaran mata pena beliau. “Seandainya Suarez itu hanya pemain simpanan, apakah Kenny akan membelanya hingga begitu jauh? Saya rasa hal itu (pemain-pemain Liverpool memakai baju khas tanda sokongan mereka kepada Suarez) adalah perkara paling melucukan pernah dilakukan kelab besar seperti Liverpool”, kritik Sir Alex.

TENTANG JAWATAN PENGURUS ENGLAND

Sir Alex mengakui bahawa pihak FA England dua kali berusaha memujuknya supaya mengendalikan skuad The Three Lions tetapi beliau hanya memerlukan 10 saat sahaja untuk membuat keputusan dan menolak tawaran tersebut. Sebagai warga Scotland, mana mungkin Sir Alex sanggup menerima tawaran tersebut, malah secara terang-terangan beliau mengakui bahawa jika menguruskan skuad England, beliau akan membuat The Three Lions sengsara. “Saya diberikan dua peluang untuk menenggelamkan England jika saya menjadi pengurus mereka. Tak mungkin saya akan menerima tawaran itu. Adam Crozier adalah orang pertama yang datang. Kami bertemu di Old Trafford dan dia menawarkan saya jawatan itu (pengurus England). Saya tidak memerlukan waktu yang lama untuk menolaknya, hanya 10 saat sahaja. Hingga sejuta tahun pun saya tidak mungkin mengendalikan England. Bayangkan bagaimana jika saya pulang ke Scotland nanti?”, dedah Sir Alex.

TENTANG RIO FERDINAND

Sir Alex adalah individu yang berada di barisan paling hadapan ketika Rio Ferdinand berdepan tuduhan mengelak dari ujian doping. Biarpun Rio didapati bersalah dan dikenakan hukuman penggantungan selama 8 bulan, Sir Alex yakin tonggak pertahanan itu pemain yang bersih dan tidak pernah mengambil ubat-ubatan terlarang sepanjang kariernya. “Rio melakukan kesalahan tetapi penguji juga melakukan perkara yang sama. Mereka tidak mengambil langkah-langkah perlu untuk mengelakkan krisis seperti ini dari berlaku. Rio tidak mengambil sebarang ubat terlarang dan jika dia melakukannya kami pasti mengetahuinya. Dia tidak pernah lewat ketika menghadiri sesi latihan. Bagi mereka mengambil ubat-ubatan terlarang, kehidupan mereka tidak teratur dan mereka juga tidak konsisten. Rio tidak menjadi pengguna (ubat-ubatan) atas tanggungjawabnya sebagai ahli sukan terlalu besar”, kata Sir Alex tentang insiden yang berlaku 10 tahun lalu. Meskipun membela Rio, namun Sir Alex secara lantang menyuarakan rasa kesalnya bila bercakap tentang kehidupan pemain itu di luar padang. Tindakan Rio terbang ke Amerika Syarikat bagi menemuramah bintang rap terkenal Puff Diddy menyebabkan Sir Alex agak terkilan. “Apakah dia (Puff Diddy) boleh menjadikan kamu pertahanan yang lebih bagus Rio?”.

TENTANG OWEN HARGREAVES

Secara terbuka Sir Alex terpaksa mengakui bahawa Owen Hargreaves adalah pembelian terburuk pernah dilakukannya. Dibeli dengan harga £25 juta dari Bayern Munich pada 2007, aksi Hargreaves bersama United kemudiannya boleh dihitung dengan jari berikutan masalah kecederaan lutut yang serius. Lebih menyakitkan selepas meninggalkan Old Trafford, pemain itu secara lantang mengatakan bahawa dirinya dijadikan ujian pasukan perubatan United dalam usaha mereka menyembuhkan kecederaan lutut yang dialaminya. Pihak pengurusan United hampir sahaja mahu mendakwa pemain itu namun membatalkan hasrat mereka. “Ketika membelinya, saya langsung tidak mengetahui ada sesuatu dalam dirinya yang saya tidak suka. Ternyata dia berubah menjadi bencana kepada kami”. Menurut Sir Alex lagi, Hargreaves bukanlah pemain yang gemar bekerja keras kerana dalam sesi latihan atau sesi terapi, pemain itu lebih gemar melakukan tugas yang paling ringan dan mudah.

TENTANG MARK BOSNICH

Selepas Hargreaves, Mark Bosnich turut menjadi sasaran Sir Alex apabila bercakap tentang pembelian terburuknya. Masalah utama Bosnich menurut Sir Alex ialah tabiat pemakanannya yang tidak seimbang sebagai seorang ahli sukan. Ringkasnya, Bosnich pada pandangan Sir Alex bukanlah seorang ahli sukan professional. “Sebelum perlawanan kami menentang Wimbledon, Bosnich makan semuanya, sup, steak dan dia makan semua yang ada di menu. Saya beritahu kepadanya bahawa kami sedang berusaha mengurangkan berat badannya dan dia tidak sepatutnya makan terlalu banyak”. Selera makan Bosnich tidak terhenti setakat itu kerana selepas kembali ke Old Trafford, beliau melihat pemain yang pernah beraksi bersama Aston Villa itu sedang memesan makanan Cina menerusi telefon bimbitnya. “Adakah selera makannya tidak pernah berhenti? Saya benar-benar tidak mampu menanganinya”.

TENTANG MANCHESTER CITY

Keputusan jutawan UAE, Sheikh Mansour membeli Manchester City dari tangan Thaksin Shinawatra menyebabkan senarai seteru yang terpaksa di hadapai Sir Alex kian panjang hingga menyebabkan beliau menyebut kelab tetangga itu sebagai 'Jiran Yang Bising'. Kehilangan mahkota kejuaraan Liga Perdana pada perlawanan terakhir liga musim 2011/12 digambarkan Sir Alex sebagai antara detik paling buruk dalam hidupnya. Gol kemenangan jaringan Kun Aguero diminit-minit terakhir perlawanan menentang QPR memberikan kejuaraan pertama kelab Eastlands itu dalam tempoh 44 tahun sekaligus menamatkan impian United mahu menjulang kejuaraan liga ke-20 mereka. Tindakan Roberto Mancini yang masih berlembut terhadap Carlos Tevez biarpun penyerang antarabangsa Argentina itu enggan bermain sebagai pemain gantian ketika berdepan Bayern Munich dikritik keras Sir Alex. “Dalam hal prestij sebagai pengurus, saya rasa Mancini mengecewakan dirinya sendiri”.

TENTANG ROBIN VAN PERSIE

Robin Van Persie bertemu Arsene Wenger dan mengatakan hasratnya mahu meninggalkan kelab dan menyertai kami. Menurut Sir Alex, United memajukan tawaran sebanyak £20 juta menerusi David Gill kepada Ivan Gazidis untuk mendapatkan penyerang antarabangsa Belanda itu musim panas tahun lalu. “Saya mengatakan kepada Arsene bahawa kami tidak akan membayar melebihi £25 juta untuk Van Persie. Arsene seolah-olah kurang percaya bahawa kelab seperti Manchester United tidak akan membayar lebih dari £25 juta untuk pemain kelas dunia seperti itu”.

TENTANG PEMBELIAN MESUT OZIL

Sepertimana yang ada sedia maklum, kemelut berhubung masa depan Wayne Rooney yang berlaku pada 2010 adalah disebabkan rasa kurang puashati pemain itu yang berpendapat pihak pegurusan tidak serius mendapatkan pemain kelas dunia untuk menguatkan pasukan. “Saya katakan kepadanya (Rooney) bahawa tuduhan yang dilemparkan bahawa kami tidak serius (menguatkan pasukan) adalah sekadar cakap kosong. Wayne mengatakan bahawa kami sepatutnya memburu Mesut Ozil yang ketika itu menyertai Real Madrid dari Werder Bremen. Jawaban saya adalah siapa yang kami buru bukan urusannya. Tugasnya adalah bermain dan beraksi di tengah padang. Tugas saya pula ialah memilih pemain dan pasukan yang tepat dan setakat ini saya berhasil melakukannya”.

KESIMPULANNYA

Sir Alex Ferguson jelas seorang yang istimewa dalam dunia bolasepak. Apa sahaja yang diperkatakannya, tidak kira sama ada ketika masih mengendalikan kelab atau selepas bersara pasti mengundang perhatian ramai. Selama 26 tahun mengabdikan dirinya di Old Trafford, sudah tentu bukan sedikit pengalaman milik lagenda itu yang ingin beliau kongsi bersama. Berderet pemain-pemain bertaraf bintang pernah digilap serta bermain di bawah kendaliannya, satu persatu lawan yang terpaksa dihadapinya, segudang kontroversi-kontroversi yang pernah menyelubungi kariernya, kejuaraan-kejuaraan yang pernah dihadiahkannya hingga memenuhi almari trofi di Theatre of Dreams dan suka duka yang pernah dilaluinya sebagai pengurus paling berjaya dalam sejarah kelab menyebabkan persaraannya masih diratapi dan akan terus diratapi penyokong-penyokong United entah buat tempoh berapa lama lagi. Selepas apa yang disumbangkannya kepada kelab selama tempoh 26 tahun duduk dikerusi pengurus United, nama Sir Alexander Chapman Ferguson memang selayaknya diukir dengan tinta emas di Old Trafford. Autobiografi ini saya anggap satu lagi tanda perpisahan paling berharga dari Sir Alex buat penyokong-penyokong Manchester United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan