Sebelas mata dari lapan perlawanan setakat
ini menyaksikan Manchester United berada di kedudukan kelapan carta liga, satu
catatan terburuk dan permulaan paling perlahan yang dilakukan kelab dalam
tempoh 24 tahun. Saya tidak perlu berbohong untuk mengatakan bahawa selepas
menyaksikan situasi yang dialami kelab ketika ini membuatkan saya (sudah tentu
anda juga) mula merindui kelibat seorang individu yang sudah banyak
menghadiahkan trofi demi trofi selama 26 tahun kerjayanya di Old Trafford.
Individu yang saya maksudkan sudah tentu lagenda hidup United iaitu Sir Alex
Ferguson. Saya bukan mahu meratapi kehilangan Sir Alex, tetapi persaraan
lagenda itu meninggalkan ruang kosong yang cukup besar buat kelab, dan saya
juga bukanlah anti David Moyes kerana suka atau tidak kita perlu mengakui
bahawa ada beberapa kesilapan yang dilakukan pengganti Sir Alex itu di peringkat
awal kariernya di Old Trafford sama ada dalam hal memilih pemain ataupun
percaturan taktikalnya di atas padang. Ketika pencabar-pencabar lain seperti Andres
Villas-Boas, Jose Mourinho, Brendan Rodgers dan Manuel Pellegrini ghairah
menguatkan pasukan mereka dengan menandatangani beberapa nama baru, manakala Arsene
Wenger pula hanya memerlukan seorang pemain (Mesut Ozil) untuk melonjakkan prestasi
pasukannya, Moyes pula sebaliknya lebih selesa mewarisi skuad juara dari Sir
Alex walaupun berjaya menandatangani Marouane Fellaini pada saat akhir sebelum
jendela perpindahan pemain musim panas ditutup. Fellaini saya akui pemain yang
bagus tetapi masih belum memberikan prestasi terbaik untuk kelab barunya, sekaligus
menyebabkan penyokong-penyokong yang dulunya ghairah berbicara tentang kehadirannya
mula mempersoalkan pembelian warga Belgium ini. Persembahan keseluruhan benteng
pertahanan juga saya anggap menyumbang kepada prestasi tidak konsisten United
ketika ini. Dengan usia yang sudah melepasi angka 30an, Nemanja Vidic dan Rio
Ferdinand tidak lagi sepantas dahulu dan sering terperangkap dengan kepantasan
penyerang lawan. 22 September lalu, Kun Aguero sudah membuktikan bahawa
gandingan Vida dan Rio tidak sekebal tiga atau empat tahun lalu.
Jika anda berharap Moyes mampu menghadirkan 'keajaiban'
untuk mengekalkan trofi Liga Perdana di Old Trafford, anda sepatutnya turut
berharap beliau ada idea bagaimana mahu menguatkan bahagian belakang pasukannya
dengan segera. Sejarah kelab yang panjang sudah membuktikan bahawa jika mereka
mahu menjulang trofi liga, kekuatan pasukan perlu bermula dari barisan
pertahanan yang solid. Jika Moyes gagal mengatasi masalah ini (kerapuhan
benteng pertahanan), tidak salah sekiranya penyokong-penyokong sendiri meragui
kemampuan skuad kendaliannya membawa trofi liga ke Old Trafford buat kali
ke-21. Selain keperluan di bahagian tengah, saya anggap pihak pengurusan juga gagal
menggunakan kesempatan semasa jendela perpindahan musim panas di buka untuk mendapatkan pemain
baru (kelas dunia) di bahagian belakang. Siapa yang harus bertanggungawab atas
prestasi lesu United ketika ini? Pengurus, pemain, staf kejurulatihan atau
pihak pengurusan sendiri? Saya serahkan kepada anda untuk mencari jawapannya
sendiri. Sebagai kelab paling berjaya di England, antara terbesar di dunia, popular
dan punya ramai pengikut di seluruh dunia, apa yang berlaku ke atas United
ketika ini sudah tentu menarik minat bukan sedikit dari kalangan media,
penyokong dan pihak lawan untuk mengulas, membuat andaian dan sudah tentu
melemparkan kata-kata sinis bahawa era gemilang United selaku kuasa dominan di
England berakhir sebaik Sir Alex mengumumkan persaraannya Mei lalu. Kita
(penyokong-penyokong United) dihidangkan dengan satu lagi episod kekecewaan
terbaru hujung minggu lalu apabila kelab gagal meraih mata penuh ketika
berdepan Southampton di Old Trafford, sekaligus memusnahkan harapan untuk memperbaiki
kedudukan dalam carta liga. Pemain-pemain jelas kecewa dengan apa yang berlaku
ketika ini terutamanya selepas melihat pesaing-pesaing lain seperti Arsenal,
Chelsea, Liverpool, Manchester City dan Tottenham Hotspurs terus konsisten mengekalkan
kelebihan mata milik mereka untuk menghuni kedudukan lima tempat teratas liga.
Michael Carrick dan Phil Jones sudah meluahkan
kekecewaan mereka selepas tamat perlawanan menentang Southampton, tetapi saya
berharap keputusan seri yang diraih hujung minggu lalu tidak meruntuhkan
semangat pemain-pemain memandangkan saingan liga masih lagi di peringkat awal. Melihat
kepada situasi sekarang saya pasti ramai di antara kita mula meragui kemampuan
kelab untuk mempertahankan kejuaraan liga yang mereka menangi musim lalu. Jika
musim-musim sebelumnya, menang dua atau tiga perlawanan liga secara
berturut-turut bukanlah satu masalah besar buat barisan The Red Devils, tetapi kini wajah pemain-pemain yang sama di bawah
kendalian David Moyes sukar melakukannya. Apakah faktor ketiadaan Sir Alex di
tepi padang dan bilik persalinan buat pertama kalinya selepas 26 tahun memberikan
kesan yang begitu besar kepada persembahan United setakat ini? Selain prestasi
tidak konsisten yang dipamerkan United, ketinggalan lapan mata di belakang
pendahulu Arsenal ketika saingan liga baru memasuki minggu kelapan adalah
jurang yang agak besar. Adakah faktor ini sudah cukup untuk membolehkan agen-agen
pertaruhan atau anda sendiri mengugurkan nama United dari senarai calon juara
liga musim ini? Jika anda berfikiran begitu, atau ada pihak yang mula memperlekehkan
kemampuan kelab bersaing musim ini, mereka sepatutnya merenung kembali
kata-kata Arsene Wenger kelmarin. “Anda tidak boleh melakukannya (mengetepikan
peluang United). Mereka memiliki pemain dengan nama besar, berpengalaman dan
mereka juga adalah kelab yang besar. Jarak lapan mata boleh dipintas dalam tiga
perlawanan sahaja dan itu adalah jurang yang kecil. United tidak boleh
diketepikan dari senarai calon juara musim ini. Masih terlalu awal untuk
membicarakan hal ini”, kata si Profesor.
Apa yang dikatakan Wenger itu ada benarnya kerana masih ada baki 30 perlawanan
liga yang perlu diharungi setiap pasukan musim ini selain pasukan di kelompok
teratas pula masih perlu bertemu sesama sendiri.
Dalam tempoh sekarang hingga Mei nanti,
banyak perkara dan kejutan boleh berlaku kerana Liga Perdana Inggeris sudah sinonim
dengan perkara-perkara seperti ini. Selaku individu yang sudah merasai betapa
getirnya bersaing dengan United dalam
kancah domestik sejak sekian lama, Wenger adalah individu paling tepat menilai
kemampuan sebenar seterunya itu dan beliau pasti sedar bahaya yang mampu
dihadirkan barisan The Red Devils
biarpun kelab tidak lagi dikendalikan Sir Alex. Jadi saya tidak terkejut jika
beliau mengeluarkan komen seperti itu dan perlu juga diingat bahawa anak-anak
buah Wenger akan berkunjung ke Old Trafford pada 11 November nanti, satu perlawanan
yang sudah tentu dijangka sengit dan bakal menguji sejauh mana kemampuan sebenar
mereka (Arsenal) musim ini. Menjelang 11 November nanti, ada dua perlawanan
yang perlu diharungi United (berdepan Stoke City dan Fulham), dan untuk itu
saya berharap anak-anak buah Moyes mampu meraih mata maksimum dalam kedua-dua
perlawanan tersebut sebelum menanti kunjungan Arsenal. Saya fikir dua aksi
menentang Stoke City dan Fulham adalah medan terbaik buat barisan The Red Devils mempersiapkan diri mereka
sebelum berdepan perlawanan besar menentang pendahulu liga itu. Sebarang
keputusan 'kurang bagus' dalam dua perlawanan ini bukanlah cara terbaik untuk
United menyambut kedatangan barisan kendalian Wenger yang jelas berada pada tahap
terbaik (dari segi prestasi dan keyakinan) mereka ketika ini. Jika ada
keputusan positif yang berjaya diraih United dalam aksi menentang Stoke dan
Fulham, saya yakin tidak mustahil untuk mereka menewaskan Arsenal dalam tempoh
18 hari dari sekarang. Sudah tentu persembahan dipamerkan Borussia Dortmund
awal pagi tadi yang berjaya menamatkan rekod tanpa kalah The Gunners dalam 12 perlawanan terakhir akan menjadi rujukan
terbaik buat Moyes tentang bagaimana caranya mahu menjinakkan anak-anak buah
Wenger nanti. Sebelum memikirkan pertemuan menentang Stoke City, Fulham dan
Arsenal, jangan lupa bahawa awal pagi nanti ada misi penting perlu dilaksanakan
Moyes dan skuad kendaliannya dalam saingan Eropah.
Kunjungan wakil Sepanyol, Real Sociedad di
Old Trafford perlu digunakan sepenuhnya oleh pemain-pemain untuk melupakan
kekecewaan pada aksi liga Sabtu lalu dan membuktikan bahawa Manchester United
masih perlu dihormati. Saya pernah menyebut dalam artikel sebelum ini bahawa apa
yang terjadi ke atas kelab adalah lumrah biasa setiap kali berlakunya peralihan
kuasa di kerusi pengurus. Hanya ada beberapa individu yang bernasib baik
berjaya menjulang trofi kejuaraan liga pada musim pertama mereka di kelab baru
dan antaranya ialah Jose Mourinho. Kita akui bahawa kelab terpaksa bergelut
selepas Sir Alex menamatkan era 26 tahunnya di Old Trafford. Sebenarnya sejak
beliau mengumumkan persaraannya Mei lalu, kita sepatutnya sudah mula belajar
dan membiasakan diri 'hidup' tanpa lagenda itu dan bukannya terus dibuai dengan
keyakinan bahawa kemenangan dan kejuaraan akan terus singgah di Old Trafford. Atas
sebab itu jugalah sebelum sepak mula liga dilakukan saya tidak meletakkan
harapan terlalu tinggi musim ini. Cukuplah sekadar berharap agar Moyes mampu membawa
kelab di kelompok empat teratas sebaik musim berakhir nanti. Misi paling utama
yang perlu dilaksanakan musim ini ialah mendapatkan slot ke saingan Liga
Juara-Juara (musim hadapan) dan selepas itu barulah kita mula memasang
angan-angan untuk melihat kelab menjulang trofi liga buat kali ke-21 pada musim
2014/15 nanti. Musim panas tahun hadapan perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk
mendapatkan pemain-pemain baru berkualiti bagi menghadapi musim 2014/15 dan
saya berharap kesilapan yang berlaku sepanjang jendela perpindahan pemain musim
panas lalu tidak berlaku lagi. Saya akui sebagai penyokong, saya kecewa dengan
keputusan-keputusan perlawanan yang dicapai kelab sejak kebelakangan ini,
tetapi saya juga sering mengingatkan diri saya bahawa Manchester United punya tradisi
dan sejarah untuk bangkit semula dari kekecewaan. Jika mahu bergembira melihat
pasukan yang disokong sentiasa menang dan menjaringkan banyak gol setiap minggu,
sudah tentu saya beralih kepada Barcelona atau Bayern Munich kerana kedua-dua
kelab ini mampu membuatkan penyokong-penyokong mereka tersenyum hampir setiap minggu.
Bagaimanapun apa yang boleh saya lakukan, kerana jenama MANCHESTER UNITED sudah
sebati dalam diri, jadi selamanyalah saya kekal sebagai penyokong United tidak
kira ketika mereka di atas atau ketika di bawah. Glory Glory Manchester
United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan