Leslie Mark Hughes dilahirkan di Ruabon,
Wrexham, Wales pada 1 November 1963. Beliau menyertai Manchester United pada
musim panas 1980 selepas bakatnya berjaya dikesan pencari bakat United, Hugh
Roberts. Tiga tahun di Old Trafford, Hughes akhirnya diberikan peluang bermain
bersama skuad utama buat pertama kali ketika berdepan Oxford United (seri 1-1) dalam
kempen Piala Liga musim 1983/84. Sepertimana kebanyakkan lagenda United yang
lain, nama Hughes tiba-tiba popular dan menjadi favourite di mata penyokong-penyokong selepas beliau menjaringkan
gol pada penampilan pertamanya. Hughes yang ketika itu baru berusia 20 tahun
berdepan laluan sukar untuk menempatkan dirinya dalam kesebelasan utama United kerana
Ron Atkinson (pengurus kelab ketika itu) sudahpun memiliki Frank Stapleton dan bintang
muda berusia 18 tahun, Norman Whiteside di barisan hadapan. Kecederaan yang
dialami pemain tengah, Remi Moses rupa-rupanya rahmat buat Hughes apabila
Atkinson terpaksa mengubah formasi dan taktikal pasukan dengan meletakkan
Whiteside di bahagian tengah bersama-sama Ray Wilkins sekaligus meninggalkan
ruang kosong di bahagian hadapan untuk diisi Hughes bagi membentuk kombinasi
bersama Stapleton. Penghijrahan Wilkins ke AC Milan pada musim panas 1984
mengukuhkan lagi tempat Hughes bersama skuad utama United apabila Whiteside terus
dikekalkan di bahagian tengah manakala tanggungjawab selaku penggempur utama
kini diberikan Atkinson kepada beliau. Kepercayaan yang diberikan Atkinson
dibalas Hughes apabila beliau menjaringkan 25 gol dari 55 perlawanan (dalam
semua kejohanan) untuk United pada musim 1984/85 selain berjaya membantu kelab
menjulang kejuaraan Piala FA selepas menewaskan Everton di pentas final. Musim
berikutnya (1985/86), Hughes terus beraksi cemerlang selaku penyerang apabila
menyumbangkan 17 gol dalam saingan liga selain berjaya membantu United
menduduki tangga keempat liga di akhir musim. 17 gol yang dijaringkan Hughes
pada musim tersebut juga merupakan jaringan tertinggi (liga) dicatatkan Hughes
sepanjang kariernya di England.
Prestasi cemerlang Hughes bersama United
sepanjang tiga musim menarik minat gergasi Sepanyol, Barcelona dan tawaran
kelab Catalan itu pada musim panas 1986 tidak mampu ditolak beliau. Dengan
nilai £2 juta, Sparky (gelaran Hughes)
berpindah ke Nou Camp di mana Terry Venables (pengurus Barca ketika itu)
berharap Hughes mampu membentuk gandingan mantap bersama Gary Lineker (yang
dibeli dari Everton) di barisan hadapan pasukannya. Berhijrah ke Nou Camp
rupa-rupanya satu kesilapan paling besar dilakukan Hughes dalam kariernya
apabila beliau gagal memikul tanggungjawab berat yang diletakkan Venables ke
atas dirinya. 4 gol dari 28 perlawanan liga bukanlah sumbangan yang berbaloi
buat seorang penyerang bernilai £2 juta (satu pelaburan yang besar ketika itu) hingga
menyebabkan jodohnya bersama Barca bertahan semusim sahaja sebelum beliau
dipinjamkan ke kelab Jerman, Bayern Munich musim berikutnya (1987/88). Pada 11
November 1987, Hughes mencatatkan sejarah unik sebagai pemain bolasepak apabila
bermain dua perlawanan dalam tempoh sehari. Selepas selesai membantu skuad
kebangsaan Wales dalam perlawanan kelayakan Euro 88 menentang Czechoslovakia di
Prague, Hughes kemudiannya melintasi sempadan Jerman untuk masuk sebagai pemain
gantian Bayern di separuh masa kedua ketika menentang Borussia Monchengladbach.
Hughes antara sebilangan pemain yang berhijrah dari liga Inggeris untuk beraksi
bersama kelab-kelab Eropah lain bukan hanya disebabkan tawaran lumayan, tetapi
juga kerana peluang beraksi di Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) selepas
kelab-kelab Inggeris digantung akibat tragedi Heysel pada 1985. Selepas dua
tahun meninggalkan Old Trafford, Hughes akhirnya kembali menyertai United pada
Mei 1988 di mana ketika itu kelab sudahpun dikendalikan oleh Alex Ferguson.
Dengan nilai perpindahan £1.8 juta, Hughes muncul pemain termahal dalam sejarah
kelab ketika itu dan beliau tidak menunggu lama untuk membuktikan bahawa
pembeliannya adalah berbaloi selepas menyumbang 14 gol dari 38 perlawanan liga
sepanjang musim 1988/89.
Old Trafford ternyata 'rumah' terbaik buat Sparky apabila dalam tempoh tujuh musim
selepas beliau 'rujuk' semula bersama United, penyerang Wales itu muncul tonggak
utama kelab apabila secara konsisten menjaringkan 116 gol dari 352 perlawanan.
Hughes dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan musim 1988/89 meskipun United
sekadar menamatkan saingan liga di tangga ke-11. Setahun selepas itu, Hughes
membuktikan betapa bernilainya beliau buat United apabila menjaringkan gol
penyamaan di penghujung perlawanan untuk mengikat Crystal Palace pada
perlawanan akhir Piala FA, sebelum jaringan Lee Martin pada perlawanan ulangan
memberikan kejuaraan pertama buat Alex Ferguson selaku pengendali dan yang
pertama juga buat kelab dalam tempoh lima tahun (selepas kejayaan menjulang
trofi yang sama pada 1985). Musim 1989/90 juga menyaksikan Hughes muncul
penjaring terbanyak kelab dengan 15 gol dalam semua kejohanan. Pada musim
berikutnya, Hughes sekali lagi 'dijodohkan' bersama Barca selepas berjaya
membantu United mara ke perlawanan akhir Piala Cup Winners Cup edisi 1990/91
yang dilangsungkan di Fejenoord Stadion, Rotterdam. Seolah-olah mahu melepaskan
geram kepada kelab yang pernah menyingkirkannya, Hughes menjaringkan dua gol di
pentas akhir untuk memberikan kejuaraan kedua kepada kelab dalam tempoh dua
musim, dan yang pertama di pentas Eropah selepas kejayaan barisan Busby Babes menang Piala Eropah pada
1968. Musim 1990/91 juga menyaksikan Hughes muncul penjaring terbanyak kelab
buat dua musim berturut-turut menerusi 21 gol yang dihasilkannya dalam semua
kejohanan. Rekod cemerlang Hughes sepanjang musim tersebut sedikit tercalar
apabila beliau gagal membantu United menjulang Piala Liga selepas dikejutkan
Sheffield Wednesday (0-1) di perlawanan akhir yang dibimbing bekas pengurus
United sendiri, Ron Atkinson. Kekecewaan Hughes di pentas final Piala Liga sedikit
terubat apabila beliau sekali lagi dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan
bagi musim 1990/91. Walaupun beliau hampir berjaya membantu United menjulang
trofi liga pada musim 1991/92, Hughes dihampakan menerusi persembahan cemerlang
Eric Cantona bersama Leeds United. Bagaimanapun Sparky masih mampu tersenyum kerana berjaya menjulang Piala Liga
selepas United berjaya menundukkan Nottingham Forest menerusi gol tunggal Brian
McClair.
Musim berikutnya (1992/93) kemarau kejuaraan
liga selama 26 tahun akhirnya terlerai apabila barisan The Red Devils kendalian Alex Ferguson berjaya menjulang trofi liga
walaupun diberikan tentangan sengit oleh Aston Villa. Ini juga merupakan medal
kejuaraan liga pertama Hughes dalam kariernya, tetapi musim (1993/94) mungkin
antara tempoh paling cemerlang dalam karier beliau apabila Hughes berjaya
membantu United mengekalkan trofi liga selain bonus tambahan apabila berjaya
menjulang Piala FA. Meskipun gagal membantu United di perlawanan akhir Piala
Liga selepas tewas 1-3 kepada Aston Villa (Hughes menjaringkan gol tunggal),
beliau menebus kekecewaan itu dengan menyumbang satu gol di sebalik kemenangan
bergaya 4-0 United ke atas Chelsea di pentas final Piala FA edisi 1993/94. Gol
yang dijaringkan Hughes itu turut menyaksikan beliau muncul pemain kedua
selepas Norman Whiteside (1983) yang berjaya menjaringkan gol dalam dua
perlawanan akhir piala domestik (Piala FA dan Piala Liga) pada musim yang sama.
Hughes hampir berjaya mengulangi pencapaian menang kejuaraan double pada musim 1994/95, tetapi keputusan
seri (1-1) ketika berdepan West Ham United pada perlawanan terakhir liga di
Upton Park menyebabkan kelab terpaksa menyerahkan mahkota kejuaraan liga kepada
Blackburn Rovers yang memiliki kelebihan hanya satu mata. Musim duka buat
United lengkap apabila mereka ditewaskan Everton pada perlawanan akhir Piala
FA, hingga menyebabkan Alex Ferguson melakukan rombakan besar-besaran terhadap
pasukannya bagi menghadapi musim baru (1995/96). Hughes menjadi antara korban rombakan
besar-besaran yang dilakukan Alex Ferguson dan aksi di pentas final Piala FA
edisi 1994/95 merupakan kali terakhir Sparky
menyarung jersi United. Selepas berakhirnya karier Hughes di Old Trafford,
beliau menyertai Chelsea (tiga musim), Southampton (dua musim), Everton (dua
musim) dan akhirnya menamatkan karier beliau sebagai pemain di Ewood Park
bersama Blackburn Rovers. Perlawanan menentang Leicester City pada 9 April 2002
(Rovers tewas 1-2) merupakan perlawanan terakhir Hughes dalam kariernya di mana
ketika itu beliau muncul pemain kedua tertua yang berjaya menjaringkan gol di
Liga Perdana selepas Stuart Pearce. Selepas bersara sebagai pemain, Hughes meneruskan
kariernya dalam dunia bolasepak dengan menceburkan diri dalam bidang kejurulatihan
di mana beliau pernah dilantik sebagai pengurus skuad kebangsaan Wales,
Blackburn Rovers, Manchester City, Fulham, Queens Park Rangers dan kini Stoke
City.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan