Adnan Januzaj, nama yang kerap meniti di
bibir dan paling disebut-sebut oleh penyokong-penyokong Manchester United sejak
kebelakangan ini. Tidak keterlaluan jika
saya katakan prestasi cemerlang yang ditunjukkan ramaja berusia 18 tahun itu
setakat ini menyebabkan penyokong-penyokong United mampu melupakan sejenak
persembahan tidak menentu dipamerkan barisan The Red Devils bimbingan David Moyes di awal musim yang menyebabkan
mereka kini terperosok di tangga kesembilan liga. Kelibatnya di atas padang
selama 77 minit ketika berdepan Sunderland 6 Oktober lalu dan dua gol yang
dihasilkannya di Stadium of Light menyebabkan segenap tumpuan kini terarah
kepada pemain berdarah Balkan itu. Bakat Januzaj sudah mula membuka mata banyak
kelab-kelab besar Eropah dengan Barcelona dan Manchester City diberitakan
paling serius menyimpan hajat membawa bintang muda itu keluar dari Old
Trafford. Kontrak Januzaj akan berakhir Jun 2014 dan setakat ini kedua-dua
pihak (United dan Januzaj) masih belum mencapai kata putus berhubung masa depan
pemain itu bersama kelab. Situasi ini menyebabkan timbulnya sedikit rasa panik
di kalangan penyokong-penyokong United yang mula mempersoalkan kemampuan kelab
mengekalkan wonderkid itu ketika pesaing
domestik dan Eropah mereka seperti City dan Barca sedia melabur besar bagi
memancing khidmat Januzaj. Selepas melihat segala potensi dan kualiti yang
dipamerkannya, saya yakin kelab akan bersetuju memenuhi tuntutan kenaikan gaji
yang dimahukan pemain itu dan mengikat Januzaj dengan kontrak jangka panjang.
Sukar membayangkan jika bakat sebagus Januzaj terlepas ke tangan pasukan lain
dan satu-satunya perkataan paling tepat untuk menggambarkan situasi itu ialah
MALAPETAKA. Januzaj bukan sahaja
menjadi rebutan di peringkat kelab malah di peringkat antarabangsa pula enam
negara (Belgium, England, Turki, Albania, Serbia dan Kosovo) mula memasang
angan-angan bahawa suatu hari nanti pemuda itu akan menyarung jersi pasukan
kebangsaan mereka. Situasi Januzaj yang setakat ini masih belum menyarung jersi
mana-mana negara (di peringkat umur mahupun senior) sudah tentu menjadi faktor
utama mengapa kelibatnya menjadi rebutan selain bakat besar yang dimilikinya.
Negara asal kedua-dua ibu bapanya (Albania)
paling serius mahu mendapatkan Januzaj hinggakan badan penyiaran di sana
menerbitkan satu rancangan khas televisyen untuk memikat pemain itu agar
memilih mereka. Marc Wilmots (jurulatih Belgium) pula amat berharap agar
Januzaj mewakili negara kelahirannya, manakala England juga nampaknya tidak
mahu ketinggalan bersaing memancing pemain itu apabila David Moyes mengesahkan
bahawa pihak FA ada bertanya tentang status Januzaj. Bos Three Lions, Roy Hodgson nampaknya seperti tidak sabar-sabar
memulakan usaha naturalisasi tetapi saya jangkakan pihak pengurusan United akan
bersikap neutral dalam hal ini dengan membiarkan Januzaj membuat pilihannya
sendiri. Bagaimanapun sehingga sekarang wonderkid
yang menjadi rebutan itu masih membisu tentang jersi pasukan kebangsaan negara
mana yang bakal disarungnya nanti. Imbas sedikit latar belakang pemain muda
itu, Januzaj dilahirkan dan membesar di Belgium selepas kedua-dua ibu bapanya berhijrah
dari Albania. Memulakan karier awal bolasepaknya di peringkat kanak-kanak
bersama FC Brussels, tetapi gergasi Belgium, Anderlecht berjaya menghidu bakat
miliknya ketika Januzaj berusia 10 tahun. Bakat besar milik pemain muda itu kemudiannya
dikesan dan dipantau pencari bakat United dan hanya beberapa hari selepas
meraikan sambutan ulang tahunnya yang ke-16, Januzaj berpindah ke Old Trafford
dengan nilai perpindahan sebanyak £297 ribu. Selepas penghijrahan Cristiano
Ronaldo ke Real Madrid pada 2009, kelab berharap dapat menemui pemain yang
layak mewarisi jersi lagenda nombor 7 mereka, dan sejauh ini saya berpendapat
pemain itu (Januzaj) berada di landasan yang betul dalam memenuhi harapan yang
diletakkan ke atasnya. Januzaj berbintang Aquarius (lahir pada 5 Februari
1995), dan jika dilihat sekilas pandang tiada apa yang istimewanya tentang
tarikh lahir dan zodiak milik pemain itu. Bagaimanapun untuk maklumat anda,
Cristiano Ronaldo, Neymar, Carlos Tevez, Gheroghe Hagi, Cesare Maldini, Sven
Goran Eriksson dan Giovanni Van Bronckhorst sebenarnya berkongsi tarikh lahir
dan zodiak yang sama dengan Januzaj. Adakah ini satu petanda bahawa Januzaj
juga akan muncul nama besar dalam arena bolasepak dunia suatu hari nanti?
Seperti yang kita ketahui, Sir Alex Ferguson
adalah individu yang bertanggungjawab membawa Januzaj ke England dan sebelum
beliau mengumumkan persaraannya musim lalu, lagenda itu ada menyebut bahawa
pemain itu akan muncul bintang besar di masa hadapan. Menurut Sir Alex, ada
seorang pemain muda United yang memiliki kemampuan jauh melebihi rakan-rakan
seangkatannya, dan pemain muda yang beliau maksudkan ketika itu adalah Januzaj.
Sebelum Sir Alex menyebut nama Januzaj di hadapan media, saya pasti ramai di
antara kita yang kurang memberikan tumpuan kepadanya (kecuali penyokong tegar
United). “Adnan adalah pemain yang sangat lengkap. Dia memiliki kesimbangan, teknik
dan corak permainan yang bagus. Ramai pemain muda yang mula meninjau tempat
mereka dalam skuad utama United dan Adnan adalah salah satunya. Dia memiliki
prospek yang sangat bagus”, kata Sir Alex, Mei lalu. 6 Oktober lalu di Stadium
of Light, Januzaj menjaringkan dua gol pada penampilan pertamanya sebagai starter, di mana dalam sejarah kelab
hanya ada seorang pemain selain Januzaj yang mampu melakukannya. Pemain yang
saya maksudkan siapa lagi kalau bukan Ruud Van Nistelrooy. The Flying Dutchman melakukannya ketika United menewaskan Fulham
pada musim 2001/02 dan selepas itu beliau tidak berhenti dari menjaringkan gol
buat United sehinggalah beliau berhijrah ke Real Madrid pada musim panas 2006.
Mampukah selepas ini Januzaj mengulangi apa yang pernah dilakukan Nistelrooy
selama lima musim beliau menabur bakti di Old Trafford? Seperti yang saya
sebutkan tadi, kontrak Januzaj akan tamat pada Jun 2014 namun sehingga kini
masih tiada perkembangan terbaru tentang masa depan pemain itu di Old Trafford.
Prestasi terkini yang dipamerkan Januzaj menyakinkan saya bahawa kelab akan
sedaya upaya cuba mengekalkan aset masa depan mereka itu dan menolak
mentah-mentah sebarang tawaran yang diterima mereka dari kelab lain untuk
mendapatkan Januzaj. David Moyes yakin, kelab mampu memenuhi sebarang tuntutan
yang dibuat pemain muda terbaik milik mereka itu dalam usaha mengekalkannya di
Old Trafford. Keyakinan yang ditunjukkan Moyes ini ada asasnya berdasarkan reputasi
beliau dalam menggilap dan mengembangkan bakat-bakat muda ketika bersama
Everton dulu.
Walau bagaimanapun, kata-kata Moyes itu sudah
tentu belum cukup untuk meredakan kebimbangan penyokong-penyokong yang seboleh
mungkin cuba mengelak dari membayangkan sebarang kemungkinan Januzaj disambar
pasukan lain. Khabarnya, demi mengekalkan Januzaj, pihak pengurusan sudahpun
bersetuju untuk menawarkan pemain itu dengan gaji £60 ribu seminggu, dan jika
benar apa yang dikhabarkan media saya berharap Januzaj akan memilih untuk terus
kekal bersama kelab dan menandatangani lanjutan kontrak baru. Semoga kedua-dua
pihak (kelab dan Januzaj) tidak perlu menunggu sehingga penghujung tahun ini
untuk memeterai perjanjian baru memandangkan kegilaan pasaran perpindahan
pemain (bulan Januari nanti) yang sering diwarnai dengan taktik-taktik kotor
lawan dalam usaha mereka mendapatkan pemain berkualiti seperti Januzaj. Amat
jarang untuk kita saksikan situasi yang berlaku ke atas Januzaj ini berlaku
kepada pemain lain di mana kelibatnya bukan sahaja diburu banyak kelab ternama
tetapi juga oleh enam negara. Setakat ini Moyes lebih banyak menggunakan Januzaj
sebagai pemain sayap (sama ada kiri atau kanan), tetapi bintang muda itu juga
sebenarnya boleh bermain di bahagian tengah dan juga sebagai penyerang. “Saya gemar
bermain sebagai pemain tengah, tetapi saya juga boleh bermain di belakang
penyerang. Musim lalu saya bermain sebagai penyerang ketika bersama skuad
simpanan. Saya yakin boleh membantu pasukan dan melakukan sesuatu jika
diletakkan di posisi itu (penyerang)”, kata Januzaj dalam satu temubual Julai
lalu. Jika diambilkira kata-kata Januzaj tadi, adakah posisi di bahagian sayap paling
sesuai buatnya, atau Moyes akan mempelbagaikan peranan pemain itu di atas
padang suatu hari nanti. Jadi di manakah posisi paling sesuai buat pemain yang
sedang menjadi rebutan ini? Sepertimana anda, saya juga menjadikan nama Adnan Januzaj
sebagai topik paling hangat yang dibualkan bersama rakan-rakan penyokong United
yang lain dan sebagaimana anda, saya juga ternanti-nanti impak seterusnya yang
bakal dilakukan anak muda itu selepas ini. Sepuluh tahun lalu, saya pernah
merasai fenomena sama ketika detik-detik awal karier Cristiano Ronaldo di Old
Trafford dan selepas sepuluh tahun, giliran Adnan Januzaj pula menghadirkan
rasa yang sama kepada saya. Selain keterujaan itu, saya menganggap Januzaj
adalah hadiah perpisahan terbaik yang ditinggalkan Sir Alex kepada kita. Glory
Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan