04 Oktober 2013

JALAN KELUAR, PILIHAN TERBAIK UNTUK KAGAWA?


Apa lagi yang saya boleh katakan tentang Shinji Kagawa selain dia tidak mempunyai masa depan lagi di Old Trafford. Pada saingan Liga Juara-Juara di Donbass Arena, Kagawa sekali lagi terpaksa memerhatikan aksi rakan-rakan sepasukan dari tepi padang tanpa seminit pun diberikan peluang bermain. Mungkin ramai yang kurang percaya dengan situasi dihadapi Kagawa mutakhir ini, apatah lagi ketika dia hadir di Old Trafford musim panas tahun lalu dengan reputasi besar sebagai pemenang trofi Bundesliga dua musim berturut-turut. Beberapa hari lalu, Moyes mengatakan bahawa Kagawa masih berada dalam perancangannya tetapi selepas melihat tindakan beliau yang terus menafikan peluang bintang antarabangsa Jepun itu bermain, saya bolehlah menganggap bahawa kata-kata Moyes itu hanya sekadar mahu meredakan sebentar kritikan-kritikan yang dilemparkan terhadap dirinya. Keputusan Sir Alex Ferguson menandatangani Kagawa diterima dengan lapang dada ramai pihak termasuk pengkritik-pengkritiknya berikutan sumbangan besar yang sudah diberikan pemain tengah itu selama dua musim di Signal Iduna Park. Berbanding keputusan Sir Alex mendapatkan Park Ji Sung dari PSV Eindhoven pada 2005 yang dilihat secara sinis oleh ramai pihak sebagai strategi kelab untuk meluaskan pengaruh mereka di Asia, Kagawa pula dianggap memang layak berada dalam skuad The Red Devils berikutan kualiti dan potensi yang sudah ditunjukkannya sepanjang menyarung jersi kuning Die Borussen. Sir Alex tahu benar apa yang mampu disumbangkan perancang tengah itu untuk United bukan hanya bersandarkan kepada statistiknya di Bundesliga, tetapi lebih dari itu beliau melihat Kagawa adalah pengganti jangka panjang kepada Paul Scholes di bahagian tengah. Musim lalu Kagawa lebih banyak diletakkan Sir Alex di sebelah kiri berbanding posisi idealnya iaitu di belakang penyerang, mungkin juga disebabkan adanya Scholes ketika itu.

Sebagai peminat yang memerhati dari luar, kita tidak tahu mengapa Sir Alex mengubah posisi Kagawa ke sebelah kiri, tetapi sekurang-kurangnya ketika di bawah kendalian beliau, Kagawa masih boleh bermain 20 perlawanan liga dan menjaringkan enam gol. Jika tidak kerana kecederaan yang dialaminya musim lalu, saya percaya Kagawa boleh memberikan sumbangan lebih dari itu. Pengumuman persaraan Sir Alex Mei lalu rupa-rupanya menjadi petanda awal bahawa karier Kagawa bersama kelab juga bakal berdepan detik-detik kelam. Saya agak hairan apabila mendengar rungutan Moyes bahawa United kekurangan kreativiti di bahagian tengah selepas anak-anak buahnya tewas 0-1 kepada Liverpool di Anfield September lalu, tetapi dalam masa yang sama beliau mengabaikan aset berharga yang beliau miliki. Dalam perlawanan menentang West Bromwich Sabtu lalu Kagawa akhirnya diberikan penampilan pertamanya dalam aksi liga, tetapi sepertimana musim sebelumnya, dia sekali lagi diletakkan di sebelah kiri. Agak mengejutkan melihat Anderson yang memang sudah lama kita ketahui gagal memberikan sumbangan berkesan di bahagian tengah masih lagi diberikan kepercayaan oleh Moyes mengisi posisi tersebut bersama-sama Michael Carrick. Akhirnya anda lihatlah sendiri selepas 62 minit dengan aksi tanpa arah tuju, Moyes menarik keluar bekas pemain FC Porto itu dan menggantikannya dengan Marouane Fellaini. Saya bukanlah anti Anderson tetapi melihat kepada sumbangan yang diberikannya selama hampir tujuh musim di Old Trafford, saya kira sudah tibalah masanya untuk pihak pengurusan terutama Moyes meletakkan nama pemain itu dalam senarai pemain yang akan dijual Januari ini atau selewat-lewatnya musim panas tahun hadapan.

Melihat apa yang berlaku kepada Kagawa ketika ini, tidak hairanlah jika individu yang pernah menggilap bakatnya, (siapa lagi kalau bukan Jurgen Klopp) begitu kecewa dengan perkembangan terkini pemain itu di Old Trafford. Kagawa adalah idola di Signal Iduna Park selama dua musim dia di sana, jadi tidak hairanlah jika penyokong-penyokong Borussia Dortmund melancarkan kempen 'Free Shinji' di laman sosial manakala Klopp pula diberitakan akan cuba menarik semula bekas anak didiknya itu kembali ke Westfalenstadion Januari nanti. Simpati dan terkilan bercampur aduk ketika ini. Simpati melihat nasib pemain berbakat seperti Kagawa tidak mendapat peluang beraksi secukupnya dan terkilan kerana kualiti yang ada pada pemain sepertinya tidak digunakan ketika pasukan benar-benar memerlukannya. Sebelum kempen musim ini bermula, saya fikir Kagawa akan muncul antara sandaran utama kelab berdasarkan prestasi cemerlang yang dipamerkannya ketika kempen Piala Konfederasi Jun lalu. Persembahan yang dipamerkannya ketika berdepan gergasi bolasepak dunia, Itali pada perlawanan kedua Kumpulan A mendapat perhatian dan pujian pemerhati-pemerhati bolasepak, malah lagenda hidup skuad Azzurri Andrea Pirlo mengatakan bahawa Kagawa antara pemain tengah terbaik dunia yang pernah ditentangnya. Berdasarkan prestasi terkini United, Moyes tidak punya banyak waktu untuk terus bereksperimen sehingga beliau benar-benar menemui kesebelasan utama terbaiknya. Jika Anderson yang sudah hampir tujuh tahun menyarung jersi kelab tetapi gagal memberikan sumbangan bermakna sehingga ke hari ini masih diberikan peluang oleh Moyes, mengapa perkara yang sama tidak beliau berikan kepada Kagawa?

Sebelum ini Moyes memberikan alasan bahawa keputusannya tidak menurunkan Kagawa disebabkan pemain itu masih belum cukup cergas, tidak mampu bermain selama 90 minit dan terbaru pengendali itu mengeluarkan kenyataan pula bahawa beliau tidak tahu bagaimana mahu memaksimakan potensi milik pemain itu. Tindakan 'keliru' Moyes dapat dilihat pada perlawanan menentang West Bromwich Sabtu lalu apabila beliau menurunkan Kagawa buat pertama kali dalam saingan liga di posisi sebelah (sayap) kiri. Seperti yang anda tahu, Kagawa hanya bermain selama 45 minit sebelum Adnan Januzaj menggantikan tempatnya. Saya tidak nafikan bahawa Januzaj bermain dengan baik dalam perlawanan itu tetapi komen Moyes selepas melihat anak-anak buahnya tersungkur di gelanggang sendiri sebenarnya agak menarik untuk dibahaskan. “Posisi terbaiknya ialah sebagai playmaker, tetapi ketika bersama skuad kebangsaan Jepun dia biasa bermain di sebelah kiri. Jadi posisi itu sebenarnya bukanlah asing untuknya”, kata Moyes. Ketika ini posisi yang dikatakan 'terbaik' buat Kagawa sudah diisi Wayne Rooney (yang memegang peranan di belakang penyerang utama), manakala di sebelah kiri pula Moyes sebelum ini lebih percayakan Ashley Young, pemain yang teruk dikritik penyokong-penyokong United sendiri berikutan prestasi buruknya selain gemar menjatuhkan badan (diving). Di bahagian lebih tengah pula (centre midfielder), Moyes cenderung memilih pemain yang mempunyai kekuatan fizikal seperti Marouane Fellaini berbanding pemain yang ada visi permainan seperti Kagawa. Jadi atas sebab itulah jika anda lihat dalam beberapa perlawanan musim ini termasuk ketika dimalukan City 1-4 dua minggu lalu, bahagian hadapan kelihatan agak buntu dan kurang kreativiti ketika menyusun gerakan. Musim 2012/13 adalah musim terakhir Paul Scholes manakala Darren Fletcher pula entah bila akan sembuh dari masalah kesihatannya, jadi sepanjang tempoh pra musim Moyes sudah tentu tahu betapa pentingnya bahagian tengah United perlu diperkuatkan.

Jika diamati kenyataan Moyes sebelum ini ketika ditanya mengapakah kelab tidak cuba mendapatkan Mesut Ozil, beliau memberikan alasan bahawa kelab sudah memiliki Kagawa dan beliau tidak memerlukan dua pemain yang memiliki gaya permainan sama ada dalam pasukannya. Ozil akhirnya berjaya di Stadium Emirates, membawa perubahan begitu besar kepada gaya permainan Arsenal di mana hasilnya skuad The Gunners kini gah di kedudukan teratas liga, 8 mata di hadapan United yang berada di tangga ke-12. Jika Ozil sudah mencetuskan impak yang begitu besar bersama Arsenal, kita sebagai penyokong United pula ternanti-nanti bilakah agaknya Moyes akan mula meletakkan Kagawa, pemain yang beliau sendiri labelkan memiliki gaya permainan sama seperti bintang Jerman itu di posisi yang sepatutnya. Adakah Moyes tidak menyedari bahawa bakat yang beliau perlukan untuk menambah sengat di bahagian tengah berada di bangku simpanannya? Adakah kata-kata yang dilontarkan Moyes di hadapan wartawan tidak lebih sekadar mahu menutup kegagalan dan kesilapan kelab membiarkan Ozil dengan mudahnya terlepas ke tangan Arsene Wenger? Adakah persaraan Sir Alex menandakan berakhirnya juga karier singkat Kagawa di Old Trafford? Mampukah kempen 'Free Shinji' yang dilancarkan penyokong-penyokong Dortmund melembutkan hati pihak pengurusan kelab agar melepaskan kembali pemain itu ke Signal Iduna Park? Setakat ini semua persoalan di atas masih terlalu samar untuk kita mencari jawapannya, jadi biarkan sahaja masa menentukan apakah kesudahan nasib Kagawa di Old Trafford nanti. Seperti yang saya katakan tadi, saya simpati dengan nasib yang menimpa Kagawa dan terkilan kerana bakatnya disia-siakan begitu sahaja. Jika Kagawa tiada dalam perancangan Moyes, lepaskan sahaja pemain itu kembali ke tangan Jurgen Klopp kerana sebagai peminat bolasepak, saya ingin melihat skill 'indah' milik Kagawa diperagakan di tengah padang bukannya di bangku simpanan. Mungkin di Signal Iduna Park, bakat seperti Kagawa lebih dihargai berbanding di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan