Aksi
persahabatan menentang Russia pada 27 Mac 2018 merupakan penampilan terakhir
Anthony Martial untuk skuad kebangsaan Perancis. Dalam perlawanan yang dilangsungkan
di Saint Petersburg itu, Perancis menewaskan tuan rumah menerusi dua gol
jaringan Kylian Mbappe dan satu lagi gol menerusi Paul Pogba. Pada penampilan
terakhirnya itu juga, Martial bermain selama 58 minit sebelum beliau digantikan
Antoine Griezmann.
Selepas
tamat aksi menentang Russia itu, kelibat Martial bersama skuad Les Bleus tidak
lagi kelihatan dan sejak tarikh 27 Mac 2018 itu juga, Didier Deschamps tidak
lagi memandang Martial untuk beliau senaraikan dalam skuad kendalian. Paling
tragis, Martial terlepas peluang beraksi di pentas Piala Dunia 2018 kerana
limpahan bakat yang dimiliki Deschamps di barisan hadapan menerusi kehadiran
Antoine Griezmann, Kylian Mbappe, Oliver Giroud, Ousmane Dembele hinggalah ke
Nabil Fekir.
Akhirnya
selepas 2 tahun setengah tersisih dari skuad kebangsaan Perancis, nama Martial
kembali disenaraikan Deschamps untuk beliau bawa bagi menghadapi kempen UEFA
Nations League menentang Sweden dan Croatia pada 6 dan 9 September nanti. Kali
ini Ousmane Dembele tiada dalam senarai 23 pemain, tetapi Martial masih perlu
bersaing dengan Giroud, Griezmann, Mbappe, Fekir, Wissam Ben Yedder dan
Jonathan Ikone untuk merebut tempat di barisan hadapan skuad Les Bleus.
Penampilan
cemerlang beliau bersama United tentunya penyebab utama mengapa Martial dipanggil
kembali menyertai skuad kebangsaan. 23 gol yang beliau jaringkan dalam semua
peringkat kejohanan untuk United merupakan jumlah jaringan terbanyak pernah
dihasilkannya sejak berpindah ke Old Trafford pada 2015. 17 gol yang dijaringkannya
di peringkat liga pula mengatasi pencapaian terbaik yang pernah dilakukan
Martial pada musim pertama beliau menyarung jersi United.
Untuk
rekod, pada penampilan musim pertamanya di Old Trafford, Martial menjaringkan
11 gol dari 31 penampilan liga, manakala jumlah keseluruhan jaringan yang
dihasilkannya pada musim tersebut ialah 17 gol. Jangan lupakan juga fakta
bahawa tiga gol yang diledak beliau ke gawang Sheffield United dalam saingan
liga menyaksikan Martial muncul pemain pertama United selepas era Sir Alex
Ferguson yang berjaya menghasilkan hatrik.
Satu
perubahan yang begitu drastik dapat anda lihat dalam diri Martial sepanjang
musim lalu, dan untuk itu kredit wajar diberikan kepada Ole Gunnar Solskjaer,
individu yang bertanggungjawab menjadikan Martial pemain yang begitu berbeza
berbanding musim-musim sebelumnya. Di bawah kendalian Solskjaer, Martial diberikan
peranan utama sebagai pemburu gol dan bebas berkeliaran di zon `final third’
lawan, sesuatu yang tidak dinikmati beliau sepanjang hampir dua setengah musim
era pengurusan Mourinho.
Kehadiran
Zlatan Ibrahimovic dan kemudiannya Romelu Lukaku menyaksikan Martial kerap
tersisih dari kesebelasan utama pilihan Mourinho. Ketika itu beliau lebih kerap
digunakan sebagai pengganti kepada Marcus Rashford atau Alexis Sanchez hingga
turut menjejaskan tempatnya dalam skuad kebangsaan. Agak malang untuk seorang
pemain seperti beliau yang memiliki kualiti, `instinct’ dan mampu
memberikan perbezaan dalam permainan lebih kerap memanaskan bangku simpanan
berbanding menyerlahkan potensinya di atas padang.
Kini
selepas dua tahun setengah, Martial kembali mengetuk pintu skuad kebangsaan
Perancis hasil dari prestasi terpuji yang dipamerkan beliau bersama United
sepanjang musim lalu. Sangat menyenangkan apabila melihat Martial kembali ke
pangkuan skuad Les Bleus meskipun diakui sukar untuk beliau menembusi senarai
kesebelasan utama berikutan adanya Mbappe dan Griezmann serta keberadaan Giroud
dalam formasi 4-2-3-1 yang sering digunakan Deschamps.
Sejauh
ini, Martial baru mengumpul 18 `caps’ untuk skuad kebangsaan sejak
melakukan debut pada 5 September 2015 dalam aksi persahabatan menentang
Portugal. Manakala satu-satunya gol yang beliau sumbangkan pula berlaku ketika
Perancis menewaskan Itali (3-1) di Bari, juga dalam aksi persahabatan iaitu
setahun selepas penampilan pertamanya di pentas antarabangsa bersama skuad Les
Bleus.
Satu
pengalaman pahit untuk Martial apabila terlepas peluang beraksi di pentas Piala
Dunia dua tahun lalu. Paling menyakitkan tatkala Paul Pogba berada di podium
kejuaraan Stadium Luzhniki, Martial tidak berada di sana untuk menjadi
sebahagian dari anggota skuad juara dunia Perancis. Pada tahun 2021 dan 2022,
berlangsung dua kejohanan besar bolasepak dunia (Euro dan Piala Dunia), jadi ketika
itu Martial tentunya tidak mahu sekali lagi berada di kerusi penonton melihat
rakan-rakan senegaranya berjuang di atas padang. “Selamat kembali ke pangkuan
Les Bleus, Martial”. Glory Glory Manchester United!!!