Setahun
yang lalu, nama beliau dijadikan tajuk utama media cetak dan elektronik selepas
Manchester United memecah rekod pembelian pemain pertahanan termahal dunia
dengan menandatanganinya dari Leicester City menerusi nilai perpindahan
berjumlah £80 juta. Selepas setahun, nama Harry Maguire sekali lagi dijadikan
sorotan utama media, tetapi kali ini bukan tentang kisah aksinya di atas padang
tetapi insiden yang dicetuskan beliau di luar padang.
Tuduhan
serangan serius ke atas pihak berkuasa, mengelak dari ditahan dan cuba untuk
melakukan rasuah akhirnya menyebabkan Maguire didapati bersalah dalam satu
perbicaraan di Greece yang mengakibatkan beliau dijatuhkan hukuman penjara
selama 21 bulan dan 10 hari. Bagaimanapun, Maguire mengaku tidak bersalah atas
semua pertuduhan salah laku tersebut manakala pasukan pembelaan beliau akan
mengemukakan rayuan.
Insiden
di Mykonos itu menyebabkan Gareth Southgate mengugurkan namanya dari senarai
skuad kebangsaan England yang bakal berdepan Iceland dan Denmark, manakala status
Maguire selaku kapten United turut terancam. Insiden Mykonos ini juga antara
cebisan dari kisah perjalanan Maguire, dari seorang pemain yang sekadar beraksi
di liga bawahan hinggalah akhirnya menyandang gelaran selaku pemain pertahanan
termahal dunia.
Perjalanan
karier Maguire di peringkat senior bermula sepuluh tahun lalu di Liga
Kejuaraan. Pada usia 18 tahun, Maguire melakukan penampilan pertamanya untuk
Sheffield United ketika skuad The Blades itu berdepan Cardiff City. Bagaimanapun
musim 2010/11 bukanlah musim yang indah buat seorang pemain muda yang melakukan
penampilan pertama bersama skuad senior kerana di penghujung musim Sheffield
United tersingkir ke kancah League One.
Hakikatnya Sheffield United terpaksa beraksi di kasta ketiga liga bolasepak Inggeris, tetapi rahmat buat Maguire apabila beliau diberikan kepercayaan oleh Danny Wilson untuk membarisi kesebelasan utama The Blades. Potensi besar Maguire di Bramall Lane akhirnya menarik minat Hull City untuk membawa beliau beraksi di Liga Perdana dan beliau akhirnya bergerak ke Yorkshire pada 2014 dengan nilai perpindahan sebanyak £2.5 juta.
Selepas melakukan enam penampilan untuk Hull dalam semua peringkat kejohanan, Maguire akhirnya dipinjamkan ke Wigan Athletic pada Februari 2015. Musim 2014/15, merupakan musim yang buruk buat Hull di Liga Perdana, dan di penghujung musim kesebelasan The Tigers itu terhumban ke Liga Kejuaraan. Musim 2015/16, Maguire pulang semula menyertai Hull dari tempoh pinjaman dan berjaya membantu skuad kendalian Steve Bruce itu kembali dipromosikan ke Liga Perdana.
Sekali lagi Hull berdepan musim yang buruk di Liga Perdana (musim 2016/17) dan mereka akhirnya tersingkir sekali lagi ke Liga Kejuaraan di penghujung musim. Bagaimanapun penampilan cemerlang Maguire di benteng pertahanan menarik minat dua kelab Liga Perdana iaitu Tottenham Hotspurs dan Leicester City untuk mendapatkan khidmatnya. Pendekatan secara personal yang dilakukan Craig Shakespeare akhirnya menyakinkan Maguire untuk memilih Leicester City berbanding Spurs sebagai destinasi seterusnya.
£17 juta, itulah nilai yang dibayar Leicester City ketika mereka merekrut Maguire dari Hull City pada musim panas 2017. Bersama kesebelasan The Foxes karier Maguire terus bersinar di mana beliau merupakan tonggak penting di benteng pertahanan mereka sekaligus membuka laluan untuknya dipanggil menyertai skuad kebangsaan England. Dalam kejohanan UEFA Nations League, Maguire antara pemain yang sering diturunkan Gareth Southgate dalam kesebelasan utama The Three Lions selain Jordan Pickford dan Harry Kane.
Begitu juga dalam kempen England di pentas Piala Dunia 2018 apabila Maguire tidak pernah terlepas satu perlawanan pun sejak dari peringkat kumpulan hinggalah kemaraan mereka dihentikan Croatia di peringkat separuh akhir. Dari seorang pemain yang melakukan penampilan pertama di Liga Kejuaraan, Maguire akhirnya dinobatkan selaku pemain pertahanan termahal dunia kira-kira setahun yang lalu selepas perpindahannya dari Kings Power Stadium ke Old Trafford direalisasikan.
Setahun
yang lalu United menandatangani Maguire kerana beliau adalah `type’ pertahanan
yang memang diperlukan kelab. Seorang pejuang yang handal di udara, bijak
membaca permainan, sangat berkeyakinan ketika bola berada dikakinya serta pemimpin
yang menjadikan suasana di atas padang dan bilik persalinan lebih baik. Kini
Maguire terpaksa berjuang untuk dirinya sendiri, satu perjuangan getir untuk
mengelak dirinya dari menghabiskan tempoh 21 bulan dan 10 hari dalam hidupnya
di penjara Greece. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan