Tiga
kali mara ke separuh akhir dan tiga kali juga Manchester United tersekat di
peringkat tersebut musim ini. Dari kejohanan Piala Liga, Piala FA hinggalah ke
Liga Europa, United akhirnya menutup kempen mereka musim ini tanpa sebarang
kejuaraan buat musim ketiga berturut-turut. Menurut catatan Goal International,
ini merupakan pencapaian terburuk United dalam tempoh 31 tahun sejak mereka
gagal memenangi sebarang kejuaraan dari 1985 hingga 1989.
Secara
keseluruhannya, penampilan United sepanjang 90 minit awal pagi tadi jauh lebih
baik berbanding aksi mereka ketika menentang FC Copenhagen di peringat suku
akhir tempohari. Bagaimanapun isunya tetap sama, iaitu ketumpulan jentera
serangan menyebabkan United akhirnya terpaksa akur menyaksikan Sevilla sekali
lagi menewaskan mereka di pentas Eropah buat kali kedua dalam tempoh hampir dua
setengah tahun.
20
percubaan di lepaskan ke gawang Sevilla dan dari jumlah tersebut lapan merupakan
`on target’. Bagaimanapun United cuma mampu menjaringkan satu gol, itu pun
menerusi sepakan penalti. Akhirnya kegagalan menyempurnakan beberapa peluang
terutamanya dalam tempoh 10 minit pertama di babak kedua menyaksikan United
dihukum hasil dari kelekaan mereka ketika bertahan. Tiada peluang untuk bangkit
selepas Luuk De Jong menjaringkan gol kedua Sevilla, 12 minit sebelum tempoh
masa sebenar permainan tamat.
Jika
ketika aksi menentang Copenhagen, Karl-Johan Johnsson muncul pemain paling
menonjol di atas padang menerusi 13 aksi penyelamatan yang dilakukannya, awal
pagi tadi giliran Bono pula mencuri tumpuan. `Bono’ yang saya maksudkan
bukanlah anggota kumpulan U2, tetapi beliau ialah Yassine Bounou, penjaga gol
berusia 29 tahun dari Maghribi yang menjadi penyelamat di hadapan pintu gol
Sevilla.
Dalam
tempoh sepuluh minit pertama di babak kedua, beliau menafikan sekurang-kurangnya
tiga peluang yang dicipta United dalam situasi satu lawan satu. Tanpa Bono,
Sevilla tidak akan mampu mara ke pentas final buat kali keenam dan mereka juga wajar berterima kasih kepada
Marcus Rashford yang agak tenggelam sepanjang perlawanan. Jadi tidak hairanlah
mengapa anda melihat pergerakan-pergerakan di depan lebih banyak melibatkan
Anthony Martial dan Mason Greenwood.
Saya
tiada masalah dengan prestasi Rashford secara keseluruhannya musim ini, tetapi
jika Solskjaer mahu menjadikan United selaku pencabar kejuaraan musim depan,
beliau perlu mengintai pemain yang sesuai dengan keperluan pasukan pada bursa
perpindahan pemain musim panas ini. Sudah tentu antara posisi yang perlu beliau
perkuatkan ialah barisan hadapan. Jika bukan Jadon Sancho sekalipun, tentu ada
opsyen lain yang boleh difikirkan untuk menambah sengat jentera serangan The
Red Devils.
Mengikut
statistik, dalam dua aksi Liga Europa menentang FC Copenhagen dan Sevilla,
United melepaskan 46 percubaan kearah gawang lawan, tetapi mereka cuma mampu
menjaringkan dua gol. Tentu ada sesuatu yang tidak kena apabila dari begitu
banyak peluang yang dicipta dan percubaan yang dilepaskan, United cuma mampu
menghasilkan dua gol sahaja, dan kedua-duanya adalah menerusi sepakan penalti.
United
sebenarnya boleh keluar sebagai pemenang dan menamatkan badi mereka ketika
berdepan wakil Sepanyol di pentas Eropah sekiranya mereka memiliki pemain yang
`tiada belas kasihan’ di barisan hadapan. Anda boleh letakkan sesiapa sahaja dalam
senarai pembelian, tetapi United sebenarnya perlukan penyerang yang lebih
berkaliber. Untuk menjulang trofi, mereka tidak perlu menjadi kesebelasan yang sempurna,
tetapi ia boleh dilakukan dengan adanya penyerang yang boleh menyempurnakan
peluang di hadapan gawang lawan.
Selain
dari itu, sektor lain yang perlu diperhatikan Solskjaer ialah benteng
pertahanan skuadnya. Sudah tentu sasarannya ialah mencari pasangan yang dominan
untuk Harry Maguire. Penampilan Victor Lindelof awal pagi tadi menjadi sasaran
kritikan Paul Scholes yang menegaskan bahawa United wajar bergerak pantas untuk
mencari pengganti pertahanan antarabangsa Sweden itu. Menurut Scholes, United mampu
keluar sebagai pemenang jika gol kedua Sevilla itu boleh dihalang dari berlaku.
“Jika
gol itu boleh dihalang dari berlaku, United mampu keluar sebagai pemenang.
Sevilla sudah mula keletihan dan mereka juga berdepan masalah mencipta peluang
kecuali jaringan (kedua) itu. Ada banyak kesilapan yang dilakukan ketika jaringan
itu terhasil. Anda boleh menyalahkan kesemua empat pertahanan, tetapi pada pendapat
saya Lindelof adalah masalah utama”, kata Scholes kepada BT Sport.
Sevilla
mara ke final Liga Europa buat kali keenam kerana mereka menjaringkan lebih gol
berbanding United. Namun secara keseluruhannya sepanjang 90 minit aksi awal
pagi tadi, United adalah kesebelasan yang lebih baik jika diambilkira jumlah
peluang yang berjaya mereka cipta. Solskjaer pastinya sudah melihat beberapa
kelemahan dalam pasukan yang akan beliau perbaiki bagi menjadikan United sebuah
kesebelasan yang lebih menakutkan.
Solskjaer
kecewa kerana sebagai pengurus ini adalah kali pertama beliau terkandas di
peringkat separuh akhir tiga kali dalam semusim. Selepas kegagalan separuh
akhir buat kali ketiga musim ini, perkara pertama yang bakal beliau lakukan
ialah merekrut pemain baharu yang beliau fikirkan sesuai dengan keperluan pasukan.
Persoalan paling menarik sekarang ialah siapa yang bakal di bawa masuk, dan
siapa pula yang bakal menuju pintu keluar? Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan