31 Ogos 2020

"SELAMAT KEMBALI KE PANGKUAN LES BLEUS...MARTIAL"

 


Aksi persahabatan menentang Russia pada 27 Mac 2018 merupakan penampilan terakhir Anthony Martial untuk skuad kebangsaan Perancis. Dalam perlawanan yang dilangsungkan di Saint Petersburg itu, Perancis menewaskan tuan rumah menerusi dua gol jaringan Kylian Mbappe dan satu lagi gol menerusi Paul Pogba. Pada penampilan terakhirnya itu juga, Martial bermain selama 58 minit sebelum beliau digantikan Antoine Griezmann.

 

Selepas tamat aksi menentang Russia itu, kelibat Martial bersama skuad Les Bleus tidak lagi kelihatan dan sejak tarikh 27 Mac 2018 itu juga, Didier Deschamps tidak lagi memandang Martial untuk beliau senaraikan dalam skuad kendalian. Paling tragis, Martial terlepas peluang beraksi di pentas Piala Dunia 2018 kerana limpahan bakat yang dimiliki Deschamps di barisan hadapan menerusi kehadiran Antoine Griezmann, Kylian Mbappe, Oliver Giroud, Ousmane Dembele hinggalah ke Nabil Fekir.

 

Akhirnya selepas 2 tahun setengah tersisih dari skuad kebangsaan Perancis, nama Martial kembali disenaraikan Deschamps untuk beliau bawa bagi menghadapi kempen UEFA Nations League menentang Sweden dan Croatia pada 6 dan 9 September nanti. Kali ini Ousmane Dembele tiada dalam senarai 23 pemain, tetapi Martial masih perlu bersaing dengan Giroud, Griezmann, Mbappe, Fekir, Wissam Ben Yedder dan Jonathan Ikone untuk merebut tempat di barisan hadapan skuad Les Bleus.

 

Penampilan cemerlang beliau bersama United tentunya penyebab utama mengapa Martial dipanggil kembali menyertai skuad kebangsaan. 23 gol yang beliau jaringkan dalam semua peringkat kejohanan untuk United merupakan jumlah jaringan terbanyak pernah dihasilkannya sejak berpindah ke Old Trafford pada 2015. 17 gol yang dijaringkannya di peringkat liga pula mengatasi pencapaian terbaik yang pernah dilakukan Martial pada musim pertama beliau menyarung jersi United.

 

Untuk rekod, pada penampilan musim pertamanya di Old Trafford, Martial menjaringkan 11 gol dari 31 penampilan liga, manakala jumlah keseluruhan jaringan yang dihasilkannya pada musim tersebut ialah 17 gol. Jangan lupakan juga fakta bahawa tiga gol yang diledak beliau ke gawang Sheffield United dalam saingan liga menyaksikan Martial muncul pemain pertama United selepas era Sir Alex Ferguson yang berjaya menghasilkan hatrik.

 

Satu perubahan yang begitu drastik dapat anda lihat dalam diri Martial sepanjang musim lalu, dan untuk itu kredit wajar diberikan kepada Ole Gunnar Solskjaer, individu yang bertanggungjawab menjadikan Martial pemain yang begitu berbeza berbanding musim-musim sebelumnya. Di bawah kendalian Solskjaer, Martial diberikan peranan utama sebagai pemburu gol dan bebas berkeliaran di zon `final third’ lawan, sesuatu yang tidak dinikmati beliau sepanjang hampir dua setengah musim era pengurusan Mourinho.

 

Kehadiran Zlatan Ibrahimovic dan kemudiannya Romelu Lukaku menyaksikan Martial kerap tersisih dari kesebelasan utama pilihan Mourinho. Ketika itu beliau lebih kerap digunakan sebagai pengganti kepada Marcus Rashford atau Alexis Sanchez hingga turut menjejaskan tempatnya dalam skuad kebangsaan. Agak malang untuk seorang pemain seperti beliau yang memiliki kualiti, `instinct’ dan mampu memberikan perbezaan dalam permainan lebih kerap memanaskan bangku simpanan berbanding menyerlahkan potensinya di atas padang.

 

Kini selepas dua tahun setengah, Martial kembali mengetuk pintu skuad kebangsaan Perancis hasil dari prestasi terpuji yang dipamerkan beliau bersama United sepanjang musim lalu. Sangat menyenangkan apabila melihat Martial kembali ke pangkuan skuad Les Bleus meskipun diakui sukar untuk beliau menembusi senarai kesebelasan utama berikutan adanya Mbappe dan Griezmann serta keberadaan Giroud dalam formasi 4-2-3-1 yang sering digunakan Deschamps.

 

Sejauh ini, Martial baru mengumpul 18 `caps’ untuk skuad kebangsaan sejak melakukan debut pada 5 September 2015 dalam aksi persahabatan menentang Portugal. Manakala satu-satunya gol yang beliau sumbangkan pula berlaku ketika Perancis menewaskan Itali (3-1) di Bari, juga dalam aksi persahabatan iaitu setahun selepas penampilan pertamanya di pentas antarabangsa bersama skuad Les Bleus.

 

Satu pengalaman pahit untuk Martial apabila terlepas peluang beraksi di pentas Piala Dunia dua tahun lalu. Paling menyakitkan tatkala Paul Pogba berada di podium kejuaraan Stadium Luzhniki, Martial tidak berada di sana untuk menjadi sebahagian dari anggota skuad juara dunia Perancis. Pada tahun 2021 dan 2022, berlangsung dua kejohanan besar bolasepak dunia (Euro dan Piala Dunia), jadi ketika itu Martial tentunya tidak mahu sekali lagi berada di kerusi penonton melihat rakan-rakan senegaranya berjuang di atas padang. “Selamat kembali ke pangkuan Les Bleus, Martial”. Glory Glory Manchester United!!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan