01 Oktober 2020

50 GOL DARI SEORANG MAESTRO

 


Kecuali untuk perlawanan-perlawanan dalam kejohanan-kejohanan kalah mati seperti Piala Liga dan Piala FA, kelibat Juan Mata sebenarnya sudah jarang dapat anda lihat tersenarai dalam kesebelasan utama Manchester United sejak kebelakangan ini. Jadi tidak hairanlah mengapa Mata antara pemain yang sering disebut-sebut bakal meninggalkan kelab pada musim panas ini.

 

Meskipun begitu, Mata tidak terganggu dengan situasi yang beliau hadapi apabila sekali lagi memainkan peranan penting di sebalik kemaraan United ke pusingan suku akhir Piala Liga. Ketika berdepan Luton Town di pusingan ketiga tempohari, Mata menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti dan awal pagi tadi, beliau sekali lagi menemui sentuhan jaringan menerusi gol kedua United yang djaringkannya di minit ke-72.

 

Bukan sekadar satu gol, malah Mata turut menyumbang satu bantuan gol yang disempurnakan Scott McTominay untuk gol pertama perlawanan di penghujung babak pertama aksi yang dilangsungkan di Stadium Amex itu. Diplotkan sebagai sayap kanan, peranan dan sumbangan Mata sepanjang perlawanan menyaksikan WhoScored.com memberikan beliau rating 8.7 sekaligus muncul pemain terbaik di atas padang.

 

Sejak menyertai United, Mata sudah melakukan 257 penampilan dalam semua peringkat kejohanan, menjaringkan 50 gol dan mencipta 45 bantuan gol. Selain itu, Mata juga berjaya memenangi satu medal kejuaraan Piala FA, Liga Europa dan Perisai Komuniti. Meskipun terdapat laporan mengatakan bahawa Mata bakal menyertai kelab Super Lig Turki atau menamatkan karier di Major League Soccer, tetapi kemungkinan untuk beliau kekal di Old Trafford hingga penghujung musim juga cukup besar.

 

Jika Mata memutuskan untuk menghabiskan baki kontraknya di Old Trafford hingga ke penghujung musim ini, menjulang trofi Piala Liga adalah hadiah perpisahan yang indah dari beliau untuk penyokong-penyokong United. Jaringan beliau ke gawang Brighton awal pagi tadi bukan sekadar gol peribadi ke-50 yang dihasilkan Mata sejak beliau menyertai United hampir enam tahun lalu, tetapi juga satu petanda bahawa sentuhan maestro ini sebenarnya masih lagi berbisa. Glory Glory Manchester United!!!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan