29 Oktober 2021

KARAKTER YANG SUDAH LAMA HILANG



Selepas tamat aksi menentang Leicester City di King Power Stadium pada 16 Oktober lalu, laman WhoScored memberikan Harry Maguire rating 5.8. Rating yang diterima Maguire itu merupakan angka paling rendah diterima beliau berbanding mana-mana pemain yang beraksi dalam perlawanan tersebut. Kegagalan beliau mengawal bola dengan baik menjadi punca kepada gol penyamaan lawan yang dihasilkan Youri Tielemans. `Blunder’ Maguire tidak terhenti setakat itu, apabila di penghujung permainan, kawalan longgarnya membolehkan Patson Daka menjaringkan gol keempat tuan rumah.

 

Kelibat Maguire terus dijadikan sorotan pada aksi menentang Liverpool di Old Trafford, yang menyaksikan barisan The Red Devils diaibkan menerusi kekalahan besar 0-5 kepada seteru domestik mereka itu. Dan sekali lagi WhoScored `menghadiahkan’ Maguire rating 5.8. Angka ini bukanlah rating terendah yang diterimanya berbanding mana-mana pemain yang beraksi dalam `North West Derby’ tersebut, tetapi Maguire tetap tidak dapat mengelak dari dijadikan sasaran kritikan. Sudah tentu kapasiti beliau sebagai kapten pasukan terus diperdebatkan dan dipertanyakan ramai pihak.

 

Kapten Kontroversi

 

Di era Liga Perdana, Maguire merupakan kapten ke sebelas United. Tugas mengetuai rakan-rakan sepasukan itu diambilalih Maguire dari Ashley Young pada 2020 selepas pemain veteran Aston Villa itu menyertai Inter Milan. Tugas seorang kapten bukanlah mudah, tatkala jurulatih cuma mampu memberikan arahan dari tepi padang, kapten pula adalah individu yang bertanggungjawab memimpin sepuluh lagi rakannya sepanjang perlawanan. Ringkasnya, pengaruh seorang kapten sangat penting dalam dalam satu-satu perlawanan, kerana `armband’ bukan sekadar hiasan di lengan.

 

Sepanjang sejarah kelab terutamanya di era Liga Perdana, United sentiasa memiliki individu-individu unik yang memiliki keterampilan tersendiri untuk diberikan tanggungjawab selaku kapten pasukan. Dari sebelas pemain United yang pernah memikul tugas sebagai kapten pasukan (di era Liga Perdana), anda pastinya tidak akan pernah melupakan sosok bernama Roy Maurice Keane, atau Roy Keane atau juga lebih akrab dengan panggilan `Keano’. Keane bukan sahaja merupakan pemain United yang sangat disegani, tetapi juga seorang kapten yang penuh karismatik penampilannya.

 

Untuk rekod, Keane menggalas tugas selaku kapten pasukan selama lapan tahun, dari 1997 hingga 2005. Dan sepanjang tempoh tersebut, beliau membina reputasinya selaku pemain yang memiliki corak permainan keras, berdisiplin, penuh kontroversi dan tonggak tengah United yang sangat dominan. Kontroversi dan Keane memang sangat akrab, dan jika elemen tersebut dicabut keluar dari tubuh beliau, Keane mungkin sekadar pemain yang biasa-biasa saja. Perseteruan dengan Patrick Vieira, menghantar Alf-Inge Haaland ke alam persaraan hinggalah kritikan pedasnya kepada rakan sepasukan antara kontroversi besar yang pernah dicetuskan Keane.

 

Perubahan Karakter

 

Pada 1990, Keane berpindah ke England dengan menyertai Nottingham Forest dari Cobh Ramblers, dan di bawah kendalian Brian Clough beliau dididik sebagai pemain dengan cara yang sangat keras. Kerasnya disiplin dan corak latihan yang diterapkan Clough bukanlah penyebab utama Keane menjadi pemain yang sangat menggerunkan sepertimana yang anda lihat ketika eranya di Old Trafford. Menurut Keane, momen sebenar yang mengubah karakter beliau ialah perpindahannya ke Old Trafford pada musim panas 1993.

 

“Saya menyertai United selepas mereka menjuarai liga. Ketika itu mereka dalam momentum, mereka ada pemain-pemain yang berkualiti dan paling penting mereka ada karakter yang sangat bagus. Saya sukakan tekanan, bermain dalam perlawanan-perlawanan besar dan tentunya penyokong mereka”, kata Keane dalam satu wawancara dengan Belfast Telegraph. Sepanjang tempoh 12 musim bersama United, Keane berjaya memenangi 17 medal kejuaraan, sekaligus meletakkan beliau sebagai kapten paling berjaya di Old Trafford.

 

Keajaiban Di Turin

 

Jika anda bercakap tentang karakter Keane sebagai kapten United, momen di Turin pada malam 22 April 1999 sepatutnya tidak terlepas dari topik perbincangan anda. Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer merupakan wira di Camp Nou ketika United menundukkan Bayern Munich di perlawanan akhir Liga Juara-Juara edisi 99. Tetapi `turning point’ paling penting di sebalik kejayaan United melengkapkan kejuaraan `treble’ mereka berlaku pada perlawanan sebelumnya. Lebih tepat lagi pada aksi separuh akhir kedua menentang Juventus di Turin.

 

Bagaimanapun, dua minggu sebelum aksi di Stadium Delle Alpi itu berlangsung, Juventus berjaya mengikat United (1-1) pada perlawanan pertama peringkat separuh akhir. Paling penting, Juventus yang dikendalikan Carlo Ancelotti ketika itu pulang ke Turin dengan keyakinan cukup tinggi selepas mereka berjaya menjaringkan satu gol di gelanggang lawan. Berbekalkan pemain-pemain kelas dunia yang mereka miliki seperti Zinedine Zidane, Didier Deschamps, Antonio Conte, Edgar Davids dan Alessandro Del Piero, Juventus adalah pasukan pilihan untuk mara ke final.

 

Segalanya tampak mudah buat Juventus di Delle Alpi apabila Filippo Inzaghi, pemain yang dilabel Sir Alex Ferguson sebagai `dilahirkan offside’ berjaya meledak dua gol dalam tempoh sebelas minit pertama permainan. Tugas United semakin sukar, kerana apa yang diperlukan mereka ketika itu ialah menjaringkan dua gol dan mara ke final menerusi peraturan gol di gelanggang lawan. Tetapi untuk melakukannya di Delle Alpi dan menentang kesebelasan seperti Juventus adalah tugas yang hampir mustahil untuk dilakukan. 

 

Tatkala api perjuangan di kota Turin semakin malap, Keane menghidupkan kembali harapan United menerusi gol yang dihasilkannya diminit ke-24 menerusi tandukan. Gol itu bukanlah antara gol yang indah pernah dijaringkan Keane, tetapi gol itu menjadi momen kebangkitan United dalam perlawanan tersebut. Ketika David Beckham melepaskan tendangan sudut, Keane memandang tepat ke arah bola, berlari melepasi kawalan Gianluca Pessotto dan menewaskan Zinedine Zidane dalam duel di udara. Bola tandukan itu melepasi jangkauan Angelo Peruzzi dan menuju tepat ke sebelah kiri pintu gol lawan.

 

Sepuluh minit selepas menjaringkan gol tersebut, Keane dilayangkan kad kuning, yang menyebabkan beliau terlepas aksi final. Meskipun menyedari bahawa beliau tidak akan bermain di pentas final sekiranya United mara ke Camp Nou, hakikat tersebut tidak membuatkan Keane `mengendurkan’ permainannya. Selaku kapten, Keane terus menjadikan dirinya inspirasi kepada rakan-rakan sepasukan. Hasilnya di babak kedua, ego Juventus direntap sehabisnya menerusi dua gol yang dijaringkan Andy Cole dan Dwight Yorke, sekaligus mengesahkan kemaraan United ke pentas final.

 

Dalam autobiografi beliau, Fergie turut mengiktiraf peranan penting yang dimainkan Keane di sebalik kejayaan United mara ke final dan menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam sejarah kelab. “Pengaruh yang dimainkannya cukup besar untuk pasukan dan di Stadium Delle Alpi adalah contoh terbaik. Dia tahu yang dia tidak akan bermain selepas itu, tetapi dia meningkatkan usahanya untuk membawa pasukan ke final. Dia seolah-olah lebih sanggup mati dari menerima kekalahan dan menjadi inspirasi kepada rakan-rakan disekelilingnya. Satu penghormatan bagi saya untuk dikaitkan dengan pemain seperti dia” kata Fergie

 

Penutup

 

Apa yang terjadi antara Keane dan Fergie selepas itu cumalah sejarah. Keceluparan beliau ketika mengkritik rakan sepasukan hingga menyebabkan Keane terpaksa disingkirkan antara titik hitam dalam kariernya. Bagaimanapun fakta yang tidak mampu anda nafikan ialah, Keane antara kapten United terhebat pernah anda saksikan aksinya di atas padang. Saya yakin, Fergie juga tahu bahawa Keane merupakan kapten terbaik yang pernah dimilikinya. Jika anda mencari definisi sebenar seorang `pejuang’, lihat dalam diri Keane kerana di sana ada jawapannya.

 

Sepanjang era pengurusan Fergie di Old Trafford, beliau memiliki begitu ramai pemain berbakat. Akan sentiasa ada perdebatan siapa pemain `nombor 7’ terhebat, siapa pemilik jersi `nombor 1’ paling kebal mengawal gawang, siapa pertahanan paling sukar dilepasi lawan, siapa `flanker’ paling mempesonakan atau siapa penyerang paling tajam dalam menyudahkan peluang. Tetapi sangat mudah untuk memilih siapa kapten terbaik United sepanjang zaman, kerana nama Keane sentiasa berada di posisi nombor satu.

 

Aksi kompetitif terakhir Keane bersama United berlaku pada 18 September 2005 ketika berdepan Liverpool. Selepas itu anda tidak lagi melihat kelibat seorang lelaki garang berjersi nombor 16 dengan semangat meluap-luap memimpin rakan-rakan sepasukan United-nya di atas padang. Keane bukan sekadar seorang kapten di atas padang, tetapi juga pemimpin yang meletakkan standard sebenar tentang dedikasi dan disiplin kepada rakan-rakan sepasukannya. Dan selepas September 2005 itu, United masih tercari-cari karakter seorang kapten seperti Keane, yang sebenarnya tidak pernah pun mereka temui hingga ke hari ini. Glory Glory Manchester United!!!

22 Oktober 2021

TIGA REKOD PALING BERPOTENSI UNTUK RONALDO CIPTA MUSIM INI

 


Cristiano Ronaldo sekali lagi meletakkan dirinya selaku pemain yang memberikan perbezaan kepada Manchester United di Liga Juara-Juara. Ketika menentang Villareal pada 29 September lalu, gol penghujung permainan Ronaldo memberikan United tiga mata berharga, dan pada awal pagi Khamis beliau sekali lagi melakukannya. Kali ini gol menerusi tandukan yang dilakukannya ketika tempoh permainan sebenar berbaki sembilan minit sebelum ditamatkan memaksa Atalanta pulang ke Bergamo dengan tangan kosong meskipun mereka berjaya mendahului dua gol pada babak pertama.

 

Selepas gagal menjaringkan sebarang gol dalam dua aksi sebelum ini (ketika berdepan Everton dan Leicester), Ronaldo kembali menemui sentuhan jaringan, dan lebih manis Atalanta muncul kesebelasan ke-38 yang gawang mereka berjaya ditembusi beliau dalam saingan Liga Juara-Juara. Angka ini meletakkan Ronaldo selaku pemain paling banyak menjaringkan gol ke gawang pasukan berbeza dalam sejarah kejohanan. Kemenangan ini turut meletakkan United selaku pendahulu Kumpulan F selepas mereka mengumpul enam mata dari tiga perlawanan. Dua mata mengatasi Atalanta dan Villareal yang menghuni tangga kedua dan ketiga.

 

Liga Juara-Juara seolah-olah pentas yang dicipta untuk Ronaldo memperagakan kehebatannya, kerana di pentas inilah beliau mencipta pelbagai rekod peribadi. Sejak melakukan debut di Liga Juara-Juara pada 1 Oktober 2003, Ronaldo sudah melakukan 179 penampilan disaingan tertinggi kelab-kelab Eropah ini. Jumlah ini meletakkan beliau selaku pemain paling banyak melakukan penampilan di Liga Juara-Juara. Dalam tempoh tujuh bulan kehadapan, tumpuan akan terus diberikan kepada Ronaldo, dan berikut adalah tiga rekod yang paling berpotensi untuk beliau pecahkan pada penampilan keduanya di Old Trafford.

 

100 Gol Di Liga Perdana dan La Liga

 

Bukan mudah menjaringkan lebih 100 gol di dua liga berbeza, apatah lagi melakukannya di dua liga yang diiktiraf selaku liga bolasepak terbaik dunia seperti Liga Perdana dan La Liga. Gonzalo Higuain melakukannya di La Liga dan Serie A, manakala Zlatan Ibrahimovic dan Edinson Cavani pula di Serie A dan Ligue 1. Bagaimanapun masih belum ada seorang pemain yang mampu menjaringkan 100 gol atau lebih ketika mereka beraksi di Liga Perdana dan La Liga. Ronaldo menjaringkan 311 gol dari 292 penampilan untuk Real Madrid di La Liga, tetapi di Liga Perdana beliau masih belum melepasi angka 100 gol.

 

Untuk rekod, setakat ini Ronaldo sudah menjaringkan 87 gol untuk United di Liga Perdana, 84 gol dihasilkannya semasa fasa pertama beliau di Old Trafford dan tiga lagi selepas beliau kembali ke pangkuan kelab musim ini. Untuk itu, Ronaldo cuma perlukan 13 lagi gol untuk beliau meletakkan dirinya selaku pemain pertama yang berjaya menjaringkan 100 gol di Liga Perdana dan La Liga. Apakah Ronaldo mampu melakukannya? Tiada kesangsian untuk soalan ini, kerana Ronaldo masih lagi seorang pemain yang memiliki penyudah klinikal meskipun usianya kini sudah menjangkau 36 tahun.

 

Pemenang `Golden Boot’ Tertua

 

Menang anugerah `golden boot’ pada usia 36 tahun? Untuk pemain lain saya tak pasti, tapi ada pengecualian buat Ronaldo. Sebelum melakukan kepulangan semula ke Old Trafford, beliau sudah berjanji mahu menghasilkan banyak gol. Gol adalah alasan utama mengapa Ronaldo masih mampu bertahan hingga kini, kerana menjaringkan gol membuatkan beliau sentiasa `kelihatan muda’. Keghairahan beliau ketika berada di hadapan gawang lawan tidak pernah pudar dan lihat sahaja apa yang Ronaldo lakukan ketika berdepan Villareal dan Atalanta.

 

Dari lima penampilan untuk United di Liga Perdana musim ini, Ronaldo sudah menjaringkan tiga gol, sekaligus meletakkan beliau dalam kelompok 20 penjaring terbanyak liga setakat ini. Dalam situasi sekarang, Ronaldo mungkin tidak mampu menjaringkan 42 gol semusim, sepertimana ketika beliau melalui musim terbaiknya di Old Trafford (pada musim 2007/08). Bagaimanapun satu fakta yang tidak boleh anda nafikan ialah, kualiti penyudah Ronaldo masih antara yang terbaik berbanding mana-mana penyerang yang lebih muda darinya.

 

Jadi bukanlah satu perkara mustahil jika Ronaldo mampu memadam rekod Jamie Vardy selaku pemenang anugerah `golden boot’ paling tua. Penyerang Leicester itu muncul penjaring terbanyak liga musim 2019/20 pada usia 33 tahun. Sebenarnya sudah agak lama kita tidak melihat mana-mana penyerang United menjaringkan lebih 20 gol dalam saingan liga semusim sejak Robin Van Persie melakukannya pada musim 2012/13. Adakah musim ini anda bakal melihat ada penyerang United yang mampu melepasi angka lebih 20 gol semusim di Liga Perdana?

 

Melepasi Angka 800 Gol

 

Menurut catatan dari laman International Federation of Football History and Statistics, Ronaldo ketika ini muncul pemain paling banyak menjaringkan gol dalam sejarah bolasepak dunia menerusi 794 jaringan yang sudah beliau ledak ke gawang lawan. Catatan ini menyaksikan Ronaldo jauh melangkaui statistik jaringan gol pemain-pemain terhebat sebelumnya seperti Pele, Romario, Ferenc Puskas, Gerd Muller atau Eusebio. Kini beliau cuma perlukan enam sahaja lagi gol untuk koleksi jaringan sepanjang karier profesionalnya mencecah angka 800. 

 

Enam gol sahaja lagi yang diperlukan beliau bukanlah masalah besar untuk pemain yang memiliki produktiviti penghasilan gol seperti Ronaldo, kerana kualiti penyudahnya sudah teruji ketika beliau beraksi di England, Sepanyol mahupun Itali. Satu-satunya pesaing paling berpotensi menyamai pencapaian Ronaldo ialah Lionel Messi, tetapi jika bintang sensasi Argentina itu berjaya melakukannya sekalipun, Ronaldo akan sentiasa diingati sebagai `manusia pertama yang berjaya menjaringkan 800 gol sepanjang sejarah dunia bolasepak profesional’.

 

Penutup

 

Aksi menentang Atalanta di Liga Juara-Juara adalah satu lagi bukti betapa pentingnya peranan Ronaldo untuk United meskipun pada awalnya ramai yang skeptikal bila bercakap tentang kemampuan beliau selepas kembali semula ke Old Trafford pada usia 36 tahun. Disebalik `drama’ dipamerkan benteng pertahanan United yang cuma sekali gagal dibolosi lawan dari 20 penampilan terakhir, Ronaldo sekali lagi meletakkan dirinya sebagai wira menerusi gol kemenangan yang dihasilkannya di penghujung permainan. Gol itu bukan sekadar gol yang memberikan United tiga mata berharga, tetapi gol itu juga menunjukkan kualiti sebenar penyudah yang dimiliki Ronaldo.

 

Memilih posisi yang tepat sebelum Luke Shaw melakukan hantaran, dan `timing’ yang sempurna ketika melakukan lompatan sekadar mengesahkan lagi pendapat bahawa Ronaldo berada dalam kelas berbeza berbanding mana-mana pemain dalam menyempurnakan peluang menerusi tandukan. Selain catatan rekod di atas yang saya fikir paling realistik mampu dilakar Ronaldo musim ini, beliau juga sebenarnya mampu memecah rekodnya sendiri selaku penjaring terbanyak Liga Juara-Juara dalam semusim. Pada musim 2013/14, Ronaldo menjaringkan 17 gol di Liga Juara-Juara, rekod jaringan paling banyak dalam semusim yang hingga kini masih belum mampu diatasi oleh mana-mana pemain.

 

Bukan mudah untuk mana-mana pemain menjaringkan lebih 15 gol semusim di Liga Juara-Juara, tetapi bagi Ronaldo beliau berjaya melakukannya sebanyak tiga kali. Bagaimanapun kali ini saya tidak fikir beliau mampu melakukannya buat kali keempat. Begitu juga dengan prospek untuk beliau muncul pemain United pertama menjulang kejuaraan liga di bawah kendalian dua pengurus berbeza, kerana United berdepan isu konsistensi yang masih belum mampu mereka atasi. Jadi `100 gol di Liga Perdana dan La Liga, `Pemenang Golden Boot Tertua’ dan `800 Gol Sepanjang Karier’ adalah rekod paling berpotensi untuk Ronaldo cipta musim ini. Glory Glory Manchester United!!!

18 Oktober 2021

KESABARAN YANG SEMAKIN TIPIS

 


Kekalahan 2-4 kepada Leicester City di King Power Stadium memang menyakitkan, dan ini juga bermakna Manchester United cuma mampu meraih satu mata dari tiga aksi terakhir liga mereka. Dua aksi sebelum itu menyaksikan United tewas (0-1) kepada Aston Villa dan seri (1-1) ketika berdepan Everton. Kekalahan ini juga turut menamatkan rekod 29 perlawanan tanpa kalah United ketika beraksi di gelanggang lawan dalam saingan liga. Menurut catatan Opta, kali terakhir United tewas ketika beraksi di gelanggang lawan pada saingan liga ialah pada Januari 2020 dalam aksi menentang Liverpool di Anfield.

 

Banyak aspek yang diperdebatkan selepas tamat perlawanan, dari kesilapan individu ketika bertahan hinggalah kepada strategi permainan yang digunakan Ole Gunnar Solskjaer sejak kebelakangan ini. Paling ketara bila menyaksikan perjudian beliau menurunkan Harry Maguire yang masih belum 100% cergas mengundang padah. Dalam perlawanan ini, kesilapan Maguire membolehkan Youri Tielemans menjaringkan gol penyamaan, manakala sepanjang perlawanan beliau cuma mampu memenangi lima dari sepuluh perebutan bola tinggi, selain hilang penguasaan bola sebanyak sembilan kali.  

 

Fasa Kritikal

 

Melihat kepada satu lagi persembahan buruk yang dipamerkan United, majoriti penyokong nampaknya sudah mula hilang sabar dengan cara Solskjaer mengendalikan pasukan dan taktikal permainan yang digunakannya di atas padang. Sudah tentu kem #OleOut ini nampaknya semakin tidak sabar mahu menyaksikan Solskjaer dipecat dan perubahan drastik segera berlaku menerusi `regim’ baharu yang bakal menggantikan posisi beliau sebagai pengurus. Kekalahan ini meletakkan Solskjaer dibawah tekanan dan jadual sukar sepanjang Oktober dan November bakal menguji sejauh mana lagenda hidup ini mampu bertahan.  

 

Awal pagi 21 Oktober ini (Khamis), Atalanta bakal menguji sejauh mana kemampuan Solskjaer memacu kebangkitan semula United, dan tiga hari selepas itu mereka bakal menerima kunjungan Liverpool pula dalam aksi liga. Jika satu lagi aksi lesu dipamerkan United ketika berdepan Atalanta, anda bayangkan apa yang bakal berlaku ketika mereka berdepan Liverpool nanti. Selepas itu, pada penghujung Oktober pula, lawan seterusnya yang bakal dihadapi United ialah Tottenham Hotspurs. Apa yang boleh anda jangkakan ialah satu lagi aksi sukar terpaksa dihadapi United di kota London berdepan skuad kendalian Nuno Espirito Santo itu.

 

United akan memulakan aksi bulan November menerusi kunjungan mereka ke Bergamo untuk berdepan Atalanta dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada 3 November. Tiga hari selepas itu, keberadaan Solskjaer selaku pengendali akan diuji lagi menerusi aksi derbi Manchester yang ke-163. United mungkin boleh menarik nafas lega buat seketika, tetapi selepas aksi menentang Watford di gelanggang lawan pada 20 November, mereka akan berdepan dua aksi sukar menentang Villareal dan Chelsea di gelanggang lawan.

 

Kredibiliti Solskjaer Diragui

 

Tiga aksi selepas ini (menentang Atalanta, Liverpool dan Spurs), bakal menguji sejauh mana tahap kesabaran pihak pengurusan kelab terhadap kemampuan Solskjaer di kerusi pengurus. Masalah yang sering melanda United sejak mereka ditangani Solskjaer ialah kesukaran ketika berdepan kelab-kelab pertengahan dan bawahan liga. Musim ini, mereka gagal menewaskan Southampton, Aston Villa, Everton dan terbaru Leicester City. Dalam empat aksi menentang kelab-kelab ini, United cuma mengutip dua mata, dan paling tragis tentunya kekalahan mengejutkan kepada Villa di gelanggang sendiri.   

 

Tidak mampu memanfaatkan kualiti pemain yang dimilikinya? Itu antara kritikan paling popular yang sering dilemparkan oleh para pengkritiknya kepada Solskjaer. Melihat kepada tambahan nama-nama baharu dalam skuad United seperti Raphael Varane, Jadon Sancho dan Cristiano Ronaldo, apa yang boleh anda bayangkan pada permulaannya ialah Solskjaer sudah memiliki skuad yang mampu bersaing dengan mana-mana pencabar kejuaraan, baik di peringkat domestik mahupun Eropah. Tetapi hakikatnya setakat ini, ia tidak kelihatan seperti yang kita impikan dan ramalkan.

 

Donny Van de Beek yang begitu menyinar ketika bersama Ajax Amsterdam masih bergelut selama lebih semusim dalam usahanya merebut tempat dalam kesebelasan utama United. Sancho yang digembar-gemburkan bakal memberikan dimensi berbeza kepada bentuk serangan-serangan United masih belum mampu digilap potensinya oleh Solskjaer. Begitu juga dengan kehadiran Varane yang sepatutnya mampu menjadikan benteng pertahanan lebih kebal, tetapi sehingga setakat ini United cuma mampu mencatatkan satu `clean sheet’ dari 11 penampilan dalam semua peringkat kejohanan.

 

Selepas hampir tiga musim beliau mengemudi United, strategi, elemen dan falsafah permainan yang digunakan Solskjaer turut dipersoalkan ramai pihak. Jika Jurgen Klopp sangat terkenal dengan falsafah `gegenpressing’ beliau bersama Liverpool, Chelsea bermain dengan pendekatan `ball possession’ sambil disuntik elemen intensiti tinggi oleh Thomas Tuchel, manakala Pep Guardiola pula terus setia dengan gaya tiki-taka beliau bersama Manchester City, United pula bermain tanpa identiti bolasepak yang jelas di era Solskjaer.

 

Ada juga pendapat mengatakan bahawa Solskjaer tidak memiliki `plan B’ jika skuadnya berada dalam situasi ketinggalan. Apa yang sering dapat anda lihat ketika United ketinggalan ialah, mereka banyak melancarkan gerakan-gerakan dari sisi sayap, strategi yang sebenarnya sangat mudah diramal lawan. Meskipun Solskjaer diakui mampu mewujudkan suasana yang harmoni di bilik persalinan berbanding Jose Mourinho, hakikat yang perlu kita akui ialah United di era beliau bermain tanpa identiti, visi dan idea yang jelas.

 

Penutup

 

Kekalahan kepada Leicester City mendedahkan kelemahan sebenar United, iaitu mereka tiada seorang pemain tengah bertahan yang dominan, `kalis tekanan’ dan mampu mengawal tempo permainan dengan baik. Ketiadaan pemain tengah yang mampu memberikan tekanan kepada lawan membolehkan para `midfielder’ Leicester bebas melakukan hantaran-hantaran ke zon yang mereka kehendaki. United bermain dengan agresif tetapi kurang disiplin dalam hal `positioning’ ketika menyerang mahupun ketika bertahan. Ini antara faktor yang menyebabkan United seringkali gagal memenangi bola kedua.

 

Apa yang menanti beliau selepas ini sangat mengerikan kerana Atalanta, Liverpool dan Spurs berpotensi meletakkan Solskjaer dalam kedudukan yang sangat berbahaya. Jika masih tiada perubahan drastik kepada prestasi dan corak permainan United, percayalah paling lewat November nanti Solskjaer akan ditunjukkan jalan keluar. Ketika United memiliki himpunan pemain yang mempesonakan, apa yang dimahukan penyokong ialah Solskjaer mampu menukar potensi besar ini kepada sebuah realiti…sudah tentu `realiti’ yang saya maksudkan ialah sebuah kejuaraan. “Jika gagal, lebih baik pergi saja Ole”…Glory Glory Manchester United!!! 

13 Oktober 2021

THROWBACK: RONALDINHO TAK JADI PINDAH KE OLD TRAFFORD SEBAB HUJAN?

 


Siapa tidak kenal sosok bernama Ronaldinho. Jika anda penyokong Barcelona ataupun tidak, anda tentunya tidak dapat menolak untuk menyintai Ronaldinho kerana beliau merupakan pemain yang sangat terkenal kerana kehebatannya `skill’ individunya, kerana seni bolasepaknya dan juga kerana sikapnya yang sangat `humble’. Sepertimana pemain-pemain hebat yang lain, sebagai penyokong Manchester United, anda juga tentunya pernah mengimpikan agar Ronaldinho dibawa ke Old Trafford dan bermain untuk United.

 

Bagaimanapun impian kita suatu ketika dahulu yang ingin melihat pemain hebat ini menyertai United tidak kesampaian meskipun `rumour’ demi `rumour’ bertiup kencang tentang minat kelab terhadap lagenda Brazil ini, terutamanya di awal dekad 2000. Perkara ini disahkan Paul Scholes pada 2020 menerusi tembual beliau dengan Manchester Evening News. Menurut Scholes, pada 2003 pemain-pemain United begitu kecewa kerana kelab gagal menandatangani Ronaldinho yang ketika itu baru berusia 23 tahun dari Paris St Germain.

 

Meskipun kesepakatan begitu hampir dicapai antara United dan PSG, malah pemain itu sendiri sudah tiba di kota Manchester dan melakukan tinjauan di Stadium Old Trafford, Ronaldinho akhirnya menyertai Barcelona menerusi nilai perpindahan sebanyak €30 juta. Perpindahan Ronaldinho ke Camp Nou sebenarnya memenuhi ambisi Joan Laporta yang mahu meletakkan Barcelona selaku kelab nombor satu dunia. Sebaik sahaja memenangi pemilihan jawatan presiden, Laporta mensasarkan tiga nama untuk Barca tandatangani. Iaitu sama ada Thierry Henry, David Beckham atau Ronaldinho.

 

Bagaimanapun Henry memilih kekal bersama Arsenal, manakala Beckham pula menyertai Real Madrid yang juga seteru utama Barca di La Liga. Keputusan Ronaldinho memilih Barca pada saat-saat akhir begitu mengecewakan Scholes, malah lagenda United itu pernah berhasrat mahu menendang Ronaldinho jika kedua-dua pasukan bertemu di atas padang. Cakap-cakap Scholes bukan cakap kosong kerana beliau dan pemain-pemain United yang lain memang benar-benar mahu melakukannya sebagai `peringatan’ kepada Ronaldinho

 

“Ketika itu kami dalam persiapan pra musim dan dia pula begitu hampir menyertai kami. Tapi pada saat akhir dia memilih menyertai Barcelona. Saya dan pemain-pemain United yang lain betul-betul geram. Kebetulan, kami pula bakal berdepan mereka (Barca) dalam satu aksi pra musim. Saya nak sangat tendang dia dan kami sepakat mahu melakukannya dalam perlawanan itu. Bagaimanapun kami gagal melakukannya sebab tiada seorang pun dari kami yang berjaya menghampirinya. Dia pemain yang sangat bijak”, kata Scholes.

 

Quinton Fortune yang juga merupakan seorang lagi bekas pemain United mengesahkan cerita Scholes, kali ini dalam satu temubual bersama Daily Mail. Menurut Fortune, United sebenarnya cuma selangkah dalam usaha mereka membawa Ronaldinho beraksi di Old Trafford. Bagaimanapun dalam versi ini, Fortune mengatakan bahawa hujan adalah penyebab utama mengapa United gagal menandatangani Ronaldinho. Menurut Fortune, kelab memilih waktu yang salah ketika mereka membawa Ronaldinho melakukan tinjauan di Old Trafford.

 

“Pada pendapat saya, United memilih waktu yang salah ketika mereka mengundang Ronaldinho ke Old Trafford, sebab ketika itu bandar Manchester dilanda musim hujan. Jika kami ubah jadual pada hari yang cerah, ceritanya mungkin berbeza” kata Fortune. Mungkin ada kebenarannya cerita Fortune kerana Barcelona memiliki cuaca yang lebih cerah berbanding kota Manchester. Atau lebih tepatnya, bagi Ronaldinho yang berasal dari bandar beriklim sub-tropika seperti Porto Alegre, Barcelona adalah kota yang lebih menepati citarasanya berbanding Manchester.

 

“Sangat bertuah jika Ronaldinho menyertai United ketika itu. Dia pemain terbaik dunia dengan skill yang sangat menghiburkan. Bagaimanapun saya juga bertuah kerana pernah berdepan dengannya ketika Afrika Selatan menentang Brazil di sukan Olimpik 2004 di hadapan 72 ribu penonton. Ketika itu dia sudah menyertai Barcelona, dan tentulah juga dia Ronaldinho yang berbeza berbanding ketika bersama PSG. Akhirnya saya dapat lihat aksinya depan mata di atas padang. Mujurlah saya tidak diberikan tugas untuk mengawalnya” kata Fortune lagi.     

 

Ketika era kemuncaknya sebagai pemain, tiada siapa yang mahu terlepas menyaksikan aksinya di atas padang, baik ketika beliau menyarung jersi Barca mahupun ketika bersama skuad kebangsaan Brazil. Sukar untuk menafikan bahawa Ronaldinho pemain yang sangat mengujakan, dan disebalik senyuman yang sentiasa terukir di bibirnya, terselit naluri `membunuh’ yang sangat kejam ketika beliau berada di hadapan gawang lawan. Sudah pasti, tiada mana-mana pemain pertahanan lawan yang mahu berdepan dengan pemain yang penuh tipu musliihat sepertinya.

 

Menyungkit dan menguis bola melepasi kepala `pengawalnya’ antara gerakan licik yang sering beliau peragakan, manakala gerakan-gerakan bersahaja dan ekspresi wajahnya setiap kali beliau berhasil menjaringkan gol antara momen yang tidak akan pernah anda mampu lupakan jika bercakap tentang sosok bernama Ronaldo de Assis Moreira ini. Jadi jangan cemburu jika beliau begitu dicintai khalayak peminat bolasepak dunia, hatta oleh penyokong Real Madrid sekalipun yang pernah memberikannya `standing ovation’ selepas aksi El Clasico pada 2005. Glory Glory Manchester United!!!

11 Oktober 2021

GUNAKAN ATAU LEPASKAN SAJA DIA PERGI

 


Tidak seperti yang digambarkan dan tidak seperti yang diharapkan, begitulah situasi yang dialami Donny Van de Beek sepanjang 15 bulan beliau berada di Old Trafford. Sejak diumumkan secara rasmi sebagai anggota `The Red Devils’ pada musim panas tahun lalu, sejak itu jugalah Donny terpaksa berjuang merebutkan tempatnya dalam kesebelasan utama Manchester United.

 

Ketika artikel ini ditulis, Donny baru dua kali disenaraikan dalam kesebelasan utama United, pertama dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Young Boys dan kedua ketika United disingkir West Ham dari kempen Piala Liga. Sebelum kedatangannya ke Old Trafford, Donny dilabel antara prospek panas bolasepak Eropah menerusi kemampuan beliau selaku penggerak jentera tengah Ajax Amsterdam.

 

Bagaimanapun sepanjang 15 bulan Donny menyarung jersi United, beliau nampaknya masih bergelut dalam usahanya menyesuaikan diri dengan gaya permainan bolasepak Inggeris. Liga Perdana memang liga yang sukar, dan mana-mana pemain yang gagal menyesuaikan diri dengan cepat di England, maka bersedialah kerana anda akan menjadi korban. Adakah Donny tidak mencapai tahap untuk bermain di Liga Perdana?

 

Musim ini, Donny cuma beraksi selama lima minit di Liga Perdana selepas tujuh perlawanan meskipun United berdepan masalah dengan kualiti di bahagian tengah mereka terutamanya membabitkan pemain seperti Fred dan Scott McTominay. Donny sebenarnya merupakan pemain tengah yang fleksibel, boleh beraksi lebih dari satu posisi iaitu sebagai pemain `nombor 10’, `nombor 8’ atau `nombor 6’. 

 

Untuk peranan sebagai pemain `nombor 10’, tidak mungkin Donny mampu menyingkirkan Bruno Fernandes selaku pemain paling efektif di posisi tersebut. Jadi mengapa Ole Gunnar Solskjaer tidak cuba menggunakan beliau sebagai pemain `nombor 8’ atau `nombor 6’? Ketika ditanya tentang situasi Donny selepas aksi menentang Everton, Solskjaer menjelaskan bahawa pemain Belanda itu masih belum mencapai tahap yang dimahukannya.

 

“Dia tahu bahawa permainannya masih belum mencapai tahap yang kami mahukan. Obsesi untuk bermain tentunya ada dalam diri setiap pemain. Tapi ini adalah Manchester United dan dia tahu apa yang perlu dia lakukan di sini. Apa yang kami mahukan ialah dia bekerja keras untuk merebut tempatnya dalam kesebelasan utama. Ada ramai pemain kami yang tidak beraksi setiap minggu, begitu juga dengan Donny”, kata Solskjaer.

 

Masalah United di bahagian tengah terutamanya membabitkan prestasi Fred bukanlah satu masalah kecil. Ini antara sebab mengapa Solskjaer dikritik kerana tidak mendapatkan seorang pemain tengah bertahan baharu ketika jendela perpindahan pemain musim panas dibuka. Siapa tahu, apa yang ditampilkan Fred ketika berdepan Everton mungkin bakal membuatkan pintu kesebelasan utama United terbuka untuk Donny.

 

Pada usia beliau sekarang, Nemanja Matic tidak mampu untuk dikerah bermain dua perlawanan seminggu, manakala ada kesangsian tentang kualiti Paul Pogba jika beliau diarahkan untuk bermain lebih ke bawah. Jadi pilihan yang tinggal ialah kenapa tidak cuba meletakkan Donny selaku watak sebagai pemain `nombor 6’. Dua opsyen yang ada sekarang ialah, turunkan Donny atau lepaskan saja beliau ke kelab lain pada Januari nanti.

 

Paling tidak jika percaturan dengan meletakkan Donny selaku pemain `nombor 6’ gagal, setidak-tidaknya semua orang tahu bahawa Solskjaer sudah memberikan beliau peluang bermain. Ketika kekecewaan dan kesangsian masih membelenggu selepas menyaksikan United diikat Everton minggu lalu, Solskjaer perlu lebih berani melakukan rombakan kepada barisan tengahnya.

 

Untuk melakukannya, Solskjaer terlebih dahulu perlu mengubah pandangan beliau terhadap Donny. Pada Sabtu ini, adakah Donny bakal diberikan kesempatan untuk bermain? Atau adakah Fred masih lagi pemain yang dipercayai Solskjaer untuk diletakkan dalam kesebelasan utama United meskipun penampilan pemain tengah Brazil itu dikritik ramai pihak sejak kebelakangan ini.

 

Persoalan paling besar ialah, ketika Solskjaer menandatangani Donny musim lalu, adakah beliau benar-benar mahukan pemain itu berada dalam skuadnya? Jika Donny hanya menjadi penonton setiap minggu, mengapa kelab membayar sebanyak £35 juta kepada Ajax demi mendapatkan khidmat seorang pemain yang kualitinya cuma layak untuk diletakkan di bangku simpanan? Glory Glory Manchester United!!!




10 Oktober 2021

APA YANG DIPERLUKAN SANCHO CUMALAH ADAPTASI

 


Sejak melakukan perpindahan saga dari Signal Iduna Park ke Old Trafford, Jadon Sancho sudah melakukan enam penampilan dalam saingan liga untuk Manchester United menerusi 235 minit permainan yang dicatatkannya. Dari jumlah tersebut, Sancho masih belum mampu menjaringkan sebarang gol serta mencipta sebarang bantuan gol, satu catatan yang sangat kontra berbanding apa yang beliau lakukan ketika masih menyarung jersi Borussia Dortmund dulu.

 

Perkataan paling tempat bagi menggambarkan apa yang sedang dialami Sancho ketika ini ialah “beliau masih belum memenuhi harapan tinggi” penyokong-penyokong United sedangkan mereka menunggu begitu lama ketibaan bintang muda ini di Old Trafford. Tentu saja, sebelum ini tiada siapa mampu membayangkan bahawa pemain berharga £70 juta itu akan bergelut dalam usahanya beradaptasi dengan gaya bolasepak Inggeris yang serba lasak dan mencabar ini.

 

Persoalan paling besar ialah mengapa Sancho yang begitu mempersonakan aksinya di Bundesliga, tiba-tiba gagal (hingga setakat ini) memberikan impak kepada United? Apa yang lebih memeritkan, Sancho tidak diturunkan dalam kesebelasan utama United dalam tiga aksi terakhir mereka di saingan liga ketika berdepan West Ham, Aston Villa dan Everton. Sangat berbahaya untuk Sancho apabila Mason Greenwood tampil lebih bagus berbanding beliau di sisi sayap, manakala Anthony Martial pula sudah mula menjaringkan gol.

 

Keputusan Solskjaer menurunkan Martial dalam kesebelasan utama United ketika berdepan Everton bukanlah satu tindakan yang mengejutkan kerana prestasi di bawah par yang dipamerkan Sancho. Jadi Martial adalah pilihan yang ada untuk menggalas peranan di sisi kiri dalam formasi tiga pemain tengah menyerang yang digunakan Solskjaer. Beruntungnya Solskjaer kerana perjudian berani beliau menurunkan Martial berhasil apabila pemain antarabangsa Perancis itu meledak gol pertama perlawanan yang juga gol pertamanya dalam tempoh sembilan bulan.

 

Apa yang jelas, bukan sahaja Sancho berdepan masalah memenuhi harapan tinggi penyokong, tetapi secara keseluruhannya United yang dibimbing Solskjaer juga berdepan situasi sama. Komposisi skuad yang dimiliki Solskjaer musim ini dilabel sebagai skuad terbaik dalam tempoh beberapa musim terakhir. Malah tidak keterlaluan juga jika kita melabelkan bahawa skuad United musim ini adalah skuad terbaik sejak persaraan Sir Alex Ferguson pada 2013.

 

Sancho memang sedang berdepan kesukaran dalam usahanya menyesuaikan diri dengan tempo dan corak permainan United serta Liga Perdana. Bagaimanapun kita juga perlu berlaku adil kepada beliau, kerana Sancho cumalah anak muda yang baru berusia 21 tahun. Sancho masih belum melalui tempoh-tempoh terbaik dalam kariernya serta kemuncaknya sebagai pemain. Jadi apa yang boleh kita lakukan ialah, berikan beliau sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan `atmosphere’ bolasepak Inggeris.

 

Bundesliga adalah `syurga’ buat mana-mana pemain di barisan hadapan, kerana kecenderungan kelab-kelab di sana bermain dengan meninggalkan ruang yang agak luas di zon pertahanan mereka. Situasi seperti ini tidak dinikmati Sancho di Liga Perdana. Jadi tidak hairanlah mengapa anda melihat pemain seperti Timo Werner dan Kai Havertz juga agak bergelut pada musim pertama mereka di Stamford Bridge. Jangan lupakan juga nama seperti Henrikh Mkhitaryan dan Shinji Kagawa yang tidak pernah `menemui semula permainan sebenar mereka’ selepas berhijrah ke England.

 

Dengan usia yang baru mencapai angka 21 tahun, Sancho merupakan antara prospek masa depan United, jadi berikan beliau peluang, sedikit masa dan ruang untuk beradaptasi dengan gaya permainan bolasepak Inggeris. Percayalah, apa yang diperlukan Sancho sekarang cumalah adaptasi dan jika beliau berjaya mendapatkannya, anda akan melihat seorang pemain muda yang begitu mempersonakan aksinya di Signal Iduna Park `dilahirkan semula’ di Old Trafford. Glory Glory Manchester United!!!



03 Oktober 2021

OKTOBER YANG PENUH BERLIKU

 


Kemenangan dramatik yang dilakar Manchester United ketika berdepan Villareal dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara nampaknya tidak cukup untuk meredakan laungan #OleOut di dunia maya. Perdebatan masih berterusan tentang kapasiti Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus United dan ini sebenarnya bukanlah situasi baharu dialami beliau. #OleOut sebenarnya sudah lama bergema, dan gema ini kembali kuat kedengaran selepas United tewas mengejut (1-2) kepada Young Boys di Liga Juara-Juara, disingkir West Ham pada saingan Piala Liga dan kemudiannya tewas kepada Aston Villa dalam aksi liga. 

 

Sebagai pengurus, Solskjaer dibayar untuk mengemudi skuadnya menjulang kejuaraan, apatah lagi beliau kini berada di dalam sebuah kelab bolasepak yang diiktiraf antara terbesar di dunia. Louis Van Gaal berjaya melakukannya, begitu juga Jose Mourinho, malah siapa tahu jika David Moyes turut diberikan masa dan peluang yang sama, beliau juga mungkin mampu mengemudi United menjulang kejuaraan. Malangnya Moyes cuma sempat menjalani tempoh sepuluh bulan sebagai pengurus United sebelum dipecat akibat prestasi buruk yang dipamerkan skuadnya.

 

Trofi merupakan KPI utama bagi mana-mana pengurus, apatah lagi untuk kelab seperti United. Solskjaer perlu sedar bahawa beliau bukan berada di Cardiff City atau Molde, kerana di United tuntutan memenangi kejuaraan sentiasa perlu dipenuhi, dan beliau tidak terkecuali meskipun statusnya sebagai lagenda hidup kelab. Kini kemampuan Solskjaer terus dijadikan sorotan selepas United cuma mampu menamatkan aksi mereka menentang Everton di gelanggang sendiri dengan hanya satu mata. Raut kekecewaan jelas terpancar diwajah Cristiano Ronaldo, tetapi percayalah kita juga turut berkongsi kekecewaan tersebut.

 

Ronaldo memutuskan untuk kembali menyarung jersi United bukan tanpa sebarang sasaran. Sudah tentu beliau mahu membantu kelab kembali ke podium kejuaraan selepas empat musim gagal melakukannya. Bagaimanapun selepas anda menyaksikan empat aksi United ketika mereka menentang Young Boys, West Ham, Aston Villa dan Everton, sukar untuk membayangkan bahawa Solskjaer mampu mengemudi kelab menamatkan kemarau empat musim tanpa sebarang kejuaraan. Meskipun tampil `memukau’ pada aksi pembukaan liga menentang Leeds United dan kemudiannya Newcastle United, United jelas seolah-olah sedang berada dalam fasa penurunan prestasi.

 

United sebenarnya bermain dengan sangat baik pada separuh masa pertama dalam aksi menentang Everton. Pergerakan-pergerakan mereka sangat lancar, malah gol jaringan Anthony Martial terhasil menerusi proses gerakan yang sangat bijak dari sebelah sisi. Bagaimanapun situasi di babak kedua berubah sebaliknya, tatkala tempo United diganggu oleh pertukaran pemain yang dilakukan Solskjaer. Kemasukkan Ronaldo, Jadon Sancho dan Paul Pogba tidak menjadikan United kesebelasan yang lebih baik, tetapi sebaliknya mereka secara tiba-tiba hilang kreativiti.

 

Apa yang berlaku selepas itu ialah Everton mula memberikan tekanan demi tekanan kepada benteng pertahanan United menerusi gerakan-gerakan `counter attack’ mereka. Akhirnya apa yang anda lihat ialah gol penyamaan menerusi Andros Townsend terhasil. Kelemahan ketara United bukan sekadar kegagalan Fred atau Scott McTominay memainkan peranan mereka sebagai `defensive midfielder’, tetapi juga transisi menyerang kepada bertahan mereka yang tidak tersusun. Javier Manquillo pernah memanfaatkan ruang kosong dalam transisi menyerang kepada bertahan United yang tidak teratur dan kini giliran Townsend pula menghukum kelemahan tersebut.

 

United sangat beruntung kerana meraih satu mata dalam perlawanan ini, kerana jika jaringan Yerri Mina disahkan, skrip perlawanan akan bertukar sebaliknya. Apa yang dapat anda lihat ialah `gol’ Mina itu sebenarnya sekali lagi mendedahkan kelemahan `shape’ United ketika mereka bertahan. Keputusan seri ini sebenarnya meningkatkan lagi tekanan di bahu Solskjaer kerana laungan #OleOut semakin kuat kedengaran dari hari ke hari. Tatkala beliau sudah memasuki musim penuh ketiganya di Old Trafford, tuntutan yang perlu beliau penuhi juga semakin tinggi untuk dicapai.

 

Sebelum Solskjaer mengimpikan untuk menghadirkan kembali trofi kejuaraan di Old Trafford, beliau sebenarnya perlu mengatasi terlebih dahulu permasalahan yang dihadapi skuadnya. Hingga sekarang, beliau masih belum menemui formula untuk memecah kebuntuan ketika berdepan lawan yang bermain dengan pendekatan blok pertahanan rendah. Begitu juga dengan masalah kreativiti ketika melakukan gerakan. Dalam aksi menentang Everton, United cuma mencatatkan `expected goal’ sebanyak 0.92 meskipun mereka melepaskan enam percubaan `on target’ ke gawang lawan.

 

Dari dua perlawanan terakhir liga di gelanggang sendiri, United sudah melepaskan lima mata, jadi keputusan seri dalam perlawanan ini bukanlah keputusan yang dimahukan penyokong, meskipun kita sedar bahawa Everton tidak tewas dalam dua kunjungan terakhir mereka di Old Trafford pada saingan liga sebelum ini. Apa yang bakal menanti Solskjaer selepas ini ialah aksi sukar bukan Oktober menentang Leicester City, Liverpool dan Tottenham Hotspurs pada saingan liga. Manakala Atalanta pula merupakan cabaran getir yang perlu diatasi United dalam survival mereka di Liga Juara-Juara.

 

Semoga tempoh rehat sepanjang minggu hadapan kerana memberi laluan kepada aksi antarabangsa mampu menghadirkan ilham kepada Solskjaer tentang bagaimana mahu meningkatkan kembali prestasi skuadnya. Oktober bakal menjadi ujian yang sangat getir buat Solskjaer tatkala laungan yang mahukan agar beliau berundur semakin kuat kedengaran. Adakah Oktober bakal menjadi bulan yang penuh tragedi buat Solskjaer? Atau adakah Oktober bakal menyaksikan pentas kebangkitan semula Solskjaer sepertimana sentuhan magisnya ke gawang Bayern Munich di Camp Nou 22 tahun lalu?  Glory Glory Manchester United!!!



21 September 2021

SIMPATI UNTUK NOBLE

 


Secara tiba-tiba nama Mark Noble menjadi sebutan, terutamanya dikalangan penyokong-penyokong Manchester United. Semuanya gara-gara kegagalan beliau menyempurnakan sepakan penalti di penghujung permainan yang menyaksikan United pulang dari Stadium London dengan tiga mata penuh. Aksi menentang United sepatutnya berakhir dengan keputusan seri, selepas Martin Atkinson menghadiahkan sepakan penalti kepada West Ham di penghujung permainan. Malangnya, Noble yang diamanahkan untuk mengambil sepakan tersebut gagal menyempurnakannya.

 

Sebelum sepakan penalti itu dilakukan, satu tindakan berani telah dibuat David Moyes menerusi penggantian pemain yang dilakukannya. Idea beliau ialah mengeluarkan Jarrod Bowen dan memasukkan Noble, pemain yang difikirkan Moyes mampu menyempurnakan sepakan penalti tersebut. Tiada salahnya idea Moyes, kerana selaku pemain yang sudah melakukan lebih 500 penampilan untuk West Ham, Noble adalah pemain yang tepat untuk melakukannya. Tambahan pula, Noble berjaya menyempurnakan 38 sepakan penalti sepanjang kariernya bersama skuad bergelar `The Hammers’ itu.

 

Bagaimanapun takdir berkata sebaliknya dan dengan sedikit tuah, David De Gea memilih arah yang tepat, lalu berjaya menepiskan tendangan yang dilakukan Noble. Dan tidak lama selepas itu, Atkinson meniup wisel penamat perlawanan. Perjudian berani yang dilakukan Moyes gagal dalam usaha beliau menghalang United pulang dari kota London dengan tiga mata penuh. Tetapi Noble kemudiannya dijadikan candaan berikutan kegagalan beliau menyempurnakan sepakan penalti tersebut. Untuk rekod, ini merupakan kegagalan kelima Noble selaku `specialist’ dalam mengambil sepakan penalti sepanjang kariernya bersama West Ham.

 

Melihat kepada reputasi yang dimiliki Noble, tidak banyak sebenarnya harapan yang boleh diletakkan kepada De Gea untuk menyelamatkan sepakan penalti tersebut, tambahan pula selepas anda menyaksikan rekod beliau setiap kali berdepan sepakan penalti lawan. Untuk rekod, kali terakhir De Gea berjaya menyelamatkan sepakan penalti di Liga Perdana ialah pada 5 Oktober 2014. Manakala menurut catatan Opta pula, sejak April 2016 De Gea tidak pernah berjaya menyelamatkan 40 sepakan penalti berturut-turut. Jadi apa yang mampu anda bayangkan sebelum sepakan penalti itu diambil ialah, De Gea bakal tewas buat kali ke-41.

 

Malang buat Moyes, perjudian berani beliau tidak berhasil kerana kali ini `specialist’ seperti Noble pun boleh gagal ketika berdepan detik genting dan penting. Noble gagal, manakala De Gea pula berjaya menutup keraguan ramai pihak terhadap kemampuan beliau ketika berdepan sepakan penalti, dan akhirnya United berjaya meraih tiga mata penuh. Selain kejayaan De Gea menamatkan rentetan rekod buruk beliau ketika berdepan sepakan penalti, aksi menentang West Ham ini juga menjadi pentas buat Jesse Lingard menebus semula `dosanya’ ketika United tewas kepada Young Boys dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.  

 

Ronaldo membuktikan betapa pentingnya peranan beliau dalam skuad United menerusi satu lagi gol yang dijaringkannya kegawang West Ham, kerana gol ini merupakan gol keempat Ronaldo dari tiga penampilan awalnya sejak kembali menyarungi jersi United. Tetapi gol Lingard di penghujung perlawanan sangat penting, kerana gol itu memberikan United tiga mata berharga. Gol jaringan beliau diminit ke-89 itu merupakan gol kedua Lingard musim ini. Sama seperti Noble, Lingard juga masuk sebagai pemain gantian, tetapi berbanding Noble, kemunculan Lingard berjaya memberikan perbezaan dalam perlawanan ini.

 

“Manchester United bukan cuma perlukan Cristiano Ronaldo, tetapi mereka juga perlukan Jesse Lingard”. Jika perkataan ini anda sebut dua tahun lalu, maka bersedialah kerana anda akan dicop sebagai gila. Tetapi di Stadium London, Lingard membuktikan bahawa jika beliau berada di prestasi terbaiknya, United memang memerlukan seorang pemain seperti beliau. Lingard memang dikenali kerana kecenderungan beliau untuk memusingkan badan sebelum menghadap gawang lawan ketika menerima bola. `Style’ seperti inilah yang sering dipraktikkan Lingard ketika bersama West Ham musim lalu.

 

Gol yang menewaskan Lukasz Fabianski itu sebenarnya sangat tipikal dengan gaya Lingard ketika era kemuncaknya. Ketika itu anda sering melihat beliau menjaringkan gol dengan cara yang sangat bergaya. Apa yang anda saksikan di Stadium London juga adalah satu lagi bukti kesukaran yang dihadapi United setiap kali mereka berdepan lawan yang mengamalkan pendekatan `low block’ ketika bertahan. Tetapi mujurlah kerana kali ini United memiliki pemain yang sentiasa bijak mencari ruang seperti Ronaldo, dan pemain gantian yang mampu memberikan perbezaan seperti Lingard.

 

Bersama United, Lingard tidak akan menikmati peranan yang sama sepertimana beliau mainkan ketika bersama West Ham musim lalu. Peranan yang menyaksikan Lingard menjaringkan sembilan gol dan mencipta lima `assist’ dari 16 penampilan dalam seragam `claret and blue’. Di Old Trafford, Lingard terpaksa menerima hakikat bahawa beliau bukanlah berstatus `key player’. Bagaimanapun Lingard masih boleh memainkan peranan penting dan memberikan perbezaan dari bangku simpanan sepertimana yang pernah dilakukan Solskjaer ketika eranya sebagai pemain.

 

Tiga mata yang sangat berharga, tetapi simpati juga buat lagenda seperti Mark Noble. Noble adalah nama yang sangat identik dengan kelab yang berpangkalan di kota London itu, sejak dari era mereka beraksi di Boleyn Ground hinggalah ke Stadium London. Selama 17 tahun, Noble sudah melakukan 405 penampilan untuk West Ham di Liga Perdana, lantas meletakkan beliau selaku pemain kelapan paling banyak melakukan penampilan bersama sebuah kelab di liga tertinggi bolasepak Inggeris. Satu sepakan penalti yang gagal disempurnakan tetap tidak akan memadam hakikat bahawa anda adalah legenda `The Hammers’. Glory Glory Manchester United!!!   



16 September 2021

KISAH EPIK DI BERN

 


Tampil `menakutkan’ di Liga Perdana, tetapi terkulai di Liga Juara-Juara. Manchester United datang ke Bern dengan reputasi yang cukup besar, tetapi itu tidak pernah membuatkan Young Boys gentar. Di atas kertas, skuad kendalian David Wagner itu kalah dari segenap segi kerana tiada apa yang mampu menandingi United terutamanya apabila anda melihat senarai pemain yang dimiliki mereka. Dalam kumpulan F, United adalah pilihan utama, Villareal dan Atalanta diramal bersaing sesama sendiri untuk satu lagi slot ke `round of 16’, manakala Young Boys pula sekadar kesebelasan yang dilabel sebagai `kuda hitam’ dalam kumpulan ini.

 

Tidak banyak harapan diletakkan kepada wakil dari Switzerland itu untuk lolos ke pusingan kalah mati, tetapi bolasepak sentiasa penuh dengan elemen kejutan di dalamnya. Di Bern, Young Boys terus menampilkan prestasi terpuji apabila mereka menewaskan United (2-1) dalam aksi pertama peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. Sebelum layak beraksi di peringkat kumpulan, juara Swiss itu mengharungi enam aksi (timbal balik) diperingkat kelayakan dan `play-off’ dengan rekod empat kemenangan dan dua keputusan seri.

 

Apa yang menariknya mereka menjaringkan 13 gol dari enam penampilan dipusingan kelayakan dan `play-off’ ketika menyingkirkan Slovan Bratislava, CFR Cluj dan Ferencvaros. Pendekatan permainan Young Boys ialah sentiasa memberikan tekanan kepada lawan ketika mereka hilang penguasaan bola, dan segera melancarkan serangan sebaik sahaja bola berjaya dikuasai semula. Falsafah Wagner pula sangat mudah, beliau tidak peduli dengan jumlah gol yang bolos ke gawang pasukannya, kerana bagi beliau kemenangan hanya mampu dicapai menerusi berapa banyak gol yang mampu mereka jaringkan ke gawang lawan.

 

Jadi tidak hairanlah mengapa anda melihat pintu gol mereka bolos lapan kali hanya dalam enam aksi di pusingan kelayakan dan `play-off’. United pernah mengalami situasi bagaimana sukarnya berdepan Wagner di Liga Perdana ketika mereka tewas (1-2) kepada Huddersfield Town di bawah kendalian beliau dalam aksi liga pada Oktober 2017. Dan di Bern, Wagner sekali lagi melakukannya, kali ini di pentas Eropah pula. Anda boleh berdebat dengan mengatakan bahawa kekalahan mengejut United di Bern disumbang faktor mereka bermain dengan sepuluh pemain selama 55 minit.

 

Bagaimanapun dalam masa yang sama, anda juga patut melihat rekod United di era Ole Gunnar Solskjaer sepanjang kempen Eropah mereka. Kekalahan ini menyaksikan rekod United di bawah kendalian Solskjaer pada saingan di pentas Eropah semakin buruk. Menurut catatan Opta, Solskjaer tewas tujuh dari 11 penampilan beliau sebagai pengurus United di saingan Liga Juara-Juara. Malahan Solskjaer juga menyumbang 13% dari 54 kekalahan keseluruhan United sepanjang sejarah penyertaan mereka dalam saingan tertinggi kelab-kelab Eropah ini.

 

Lebih buruk, United juga cuma mampu mencatatkan satu `clean sheet’ dari 11 penampilan mereka di bawah kendalian Solskjaer di Liga Juara-Juara. Jadi jangan salahkan penyokong jika mereka mula meragui kemampuan United untuk mara lebih jauh dalam saingan edisi kali ini. Tiada alasan kerana kekalahan ini harus diterima dengan hati terbuka. Dan jangan salah permukaan padang yang menggunakan rumput sintetik, kerana tiga tahun sebelum itu United pernah menang 3-0 di sini. Jadi hakikat yang perlu kita akui ialah Young Boys kesebelasan yang lebih baik dalam perlawanan ini.

 

Faktanya, sebelum gol pertama perlawanan jaringan Cristiano Ronaldo terhasil, lawan melepaskan lima percubaan, mencipta empat `key passes’ dan sukses melakukan tiga `dribble’ di dalam petak penalti United. Hakikatnya United memang tidak selesa dengan pendekatan `high pressing’ dan permainan `direct ball’ yang digunakan Young Boys dalam perlawanan ini. Tambah menyukarkan bila Aaron Wan-Bissaka pula dilayangkan kad merah hingga menyaksikan Solskjaer terpaksa menukar plan permainan dengan memasukkan Diogo Dalot dan Raphael Varane.

 

Jika mahu dibandingkan dengan Jose Mourinho, Solskjaer sebenarnya memiliki catatan jumlah kemenangan yang hampir seimbang berbanding pengendali warga Portugal itu. Dari 156 perlawanan yang sudah beliau harungi sebagai pengurus, Solskjaer berjaya membawa United menang 88 perlawanan. Manakala Mourinho pula dari 144 perlawanan keseluruhan, United di bawah kendalian beliau menang 84 perlawanan. Bagaimanapun, statistik Mourinho di pentas Liga Juara-Juara sebenarnya lebih baik berbanding pencapaian Solskjaer.

 

Dari 14 penampilan Mourinho selaku pengurus United di Liga Juara-Juara, beliau berjaya mengemudi kelab menang 8 perlawanan, seri dua dan kalah empat kali. Purata mata yang dikutip United dalam setiap perlawanan pula ialah 1.85 (berbanding 1.09 oleh Solskjaer). Kekalahan ini sebenarnya memberikan tekanan kepada Solskjaer, apatah lagi musim ini beliau memiliki skuad yang lebih berkualiti berbanding musim-musim sebelumnya menerusi kehadiran Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho dan Raphael Varane. Jadi apa yang perlu beliau lakukan ialah membina skuad yang kompetitif untuk menjulang kejuaraan.

 

Ronaldo sekali lagi mencuri tumpuan dalam penampilan keduanya selepas kembali menyertai United. Meskipun gol yang beliau jaringkan ke gawang Young Boys gagal membantu United meraih sebarang mata, gol itu terus mengukuhkan cengkaman beliau selaku penjaring terbanyak Liga Juara-Juara sepanjang masa dengan 135 gol. 177 penampilan yang dilakukan beliau pula meletakkan Ronaldo selaku pemain paling banyak melakukan penampilan di Liga Juara-Juara bersama Iker Casillas. Selain itu, Young Boys juga merupakan kesebelasan ke-36 yang gawang mereka berjaya dibolosi Ronaldo di Liga Juara-Juara.

 

Untuk skuad kerdil seperti Young Boys, menewaskan gergasi Eropah seperti United satu pencapaian `besar’ yang mereka tidak akan lupakan sampai bila-bila. Jadi jangan hairan jika pemain dan penyokong mereka meraikan kejayaan tersebut secara berlebihan sebaik sahaja tamat perlawanan. Kejutan dan keajaiban bukanlah sesuatu yang terlalu asing dalam bolasepak, jadi kali ini anda nikmati sahaja kisah epik yang berlaku di Bern ini. Tahniah Young Boys…tetapi selepas ini kami tunggu anda di Old Trafford pula. Glory Glory Manchester United!!!