Sinar
Rooney selaku bintang dalam pembikinan sudah mula terlihat ketika beliau masih
menyarung jersi Everton lagi. Pada 19 Oktober 2002, Rooney mencetus sensasi
apabila gol jaringannya diminit ke-90 membolehkan Everton menewaskan Arsenal
(2-1) di Goodison Park. Gol itu memang gol yang sungguh sensasi, bukan sahaja
kerana ia mencalar reputasi David Seaman selaku antara penjaga gol terbaik di
England, tetapi lihat juga bagaimana jaringan tersebut dihasilkan Rooney.
Dalam
perlawanan itu, Rooney sebenarnya cuma diturunkan ketika tempoh sebenar
permainan berbaki 10 minit sebelum ditamatkan apabila beliau masuk menggantikan
Thomas Radzinski yang juga merupakan penyumbang gol pertama Everton. Detik
untuk Rooney mencetuskan sensasi akhirnya hadir di penghujung perlawanan
apabila bola clearance yang dilakukan Thomas Gravesen jatuh tepat ke kaki
beliau.
Menyedari
bahawa sukar untuk beliau melepasi kawalan Lauren dan Sol Campbell di hadapannya,
Rooney sebaliknya memilih untuk melepaskan rembatan dari jarak 30 meter yang
tepat menuju ke gawang Arsenal. Tidak banyak yang mampu dilakukan Seaman ketika
itu untuk cuba menyelamatkan keadaan, apatah lagi bola sepakan tersebut melengkung
dan menuju tepat ke palang gol sebelum menjunam menerjah jaring pintu golnya.
Bakat
Istimewa
Seluruh
khalayak penonton di Goodison Park terpana dengan gol tersebut, apatah lagi ia
dihasilkan oleh seorang anak muda yang bakal menyambut ulang tahun ke-17, hanya
lima hari selepas perlawanan itu berlangsung. Gol Rooney itu bukan sahaja
diiktiraf antara jaringan ikonik di Liga Perdana tetapi gol itu juga sebenarnya
turut mengakhiri rekod 30 perlawanan tanpa kalah Arsenal, selain meletakkan
beliau selaku penjaring termuda di Liga Perdana sebelum rekodnya dipadam James
Milner dan James Vaughn.
“Rooney
adalah bakat bolasepak Inggeris paling menyinar pernah saya saksikan. Kami
tewas menerusi gol jaringan yang sangat istimewa dari seorang pemain yang
memiliki bakat istimewa. Sudah tentu tiada mana-mana pemain remaja di bawah
usia 20 tahun sebagus beliau sejak saya tiba di England”, kata Arsene Wenger
selepas tamat perlawanan. Benarlah kata Wenger kerana gol istimewa itu akhirnya
mengubah keseluruhan perjalanan karier Rooney.
Pada
Disember 2002, BBC memberikan anugerah Young Sports Personality of the Year
kepada beliau, satu pengiktirafan kepada Rooney selaku prospek bakat hebat
bolasepak Inggeris untuk beberapa tahun mendatang. Pada 2003, Rooney diberikan
kontrak profesional pertamanya sekaligus meletakkan beliau selaku pemain remaja
yang menerima bayaran paling mahal. Selepas mengharungi dua musim di Goodison
Park, Rooney berhijrah ke Old Trafford pada musim panas 2004.
Cabaran
Baharu
Bagi
merealisasikan impiannya membawa Rooney ke Old Trafford, Sir Alex Ferguson
terpaksa memujuk pihak pengurusan United agar memenuhi tuntutan Everton yang
mahukan wang sebanyak £25.6 juta jika United mahukan bintang muda sensasi
mereka itu. Angka yang cukup besar ketika itu bagi seorang pemain yang baru
berusia 18 tahun. Bagaimanapun pelaburan itu nyata berbaloi apabila Rooney
akhirnya sukses membantu United menjulang pelbagai kejuaraan di peringkat
domestik mahupun Eropah.
Pada
28 September 2004, hasrat penyokong-penyokong United yang mahu melihat
penampilan pertama Rooney dipenuhi Fergie apabila beliau menurunkan pemain itu
ketika skuadnya berdepan Fenerbahce dalam saingan peringkat kumpulan Liga
Juara-Juara di Old Trafford. Sepertimana gol spectacular yang
dihasilkannya ke gawang Arsenal pada 2002, Rooney sekali lagi mengagumkan
pemerhati bolasepak dunia apabila beliau dengan bersahaja tiga kali menewaskan
Rustu Recber dalam perlawanan itu.
Kejayaan
United menewaskan Fenerbahce (6-2) dalam perlawanan itu turut diwarnai dengan
cerita sensasi hatrik Rooney. Tiga gol pada penampilan pertama dari seorang
anak muda yang baru berusia 18 tahun dan dilakukan pula di pentas Eropah
merupakan satu isyarat jelas bahawa Rooney bakal menjadi tonggak penting United
buat tempoh masa yang panjang. United berjaya menjulang kejuaraan Piala Liga
pada musim 2005/06 yang juga merupakan trofi pertama Rooney dalam karier
profesionalnya sebagai pemain.
Era
Keemasan
Musim
berikutnya (2006/07) Rooney membantu United menyingkirkan Chelsea dalam
perlumbaan merebut kejuaraan liga, sekaligus menamatkan dominasi dua musim berturut-turut
skuad kendalian Jose Mourinho itu selaku kuasa baharu bolasepak Inggeris.
Sumbangan penting Rooney terus diberikan pengiktirafan oleh Fergie apabila pada
musim 2007/08, beliau mewarisi jersi nombor 10 yang ditinggalkan Ruud Van
Nistelrooy. Musim 2007/08 juga boleh disimpulkan sebagai musim terbaik Rooney
sepanjang kariernya di Old Trafford.
Pada
musim inilah United berjaya mencipta kejuaraan berganda (selain satu kejuaraan
Perisai Komuniti) apabila mereka sekali lagi berjaya mempertahankan kejuaraan
Liga Perdana, selain kembali menjulang trofi Liga Juara-Juara buat pertama kali
dalam tempoh sembilan tahun. Meskipun kejayaan kali ini tidak setanding dengan
pencapaian skuad `Treble 99’, mara ke Stadium Luzhniki dan menewaskan Chelsea
di pentas final Liga Juara-Juara adalah momen terhebat Rooney sepanjang tempoh 13
tahun kariernya bersama United.
Prestasi
cemerlang yang dipamerkan United sepanjang musim ini juga sebenarnya banyak
dibantu oleh faktor ketajaman The Holy Trinity yang dibentuk Fergie dibarisan hadapan skuadnya
menerusi kombinasi gandingan Rooney, Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez.
Sepanjang musim, trio ini menyumbang lebih separuh daripada gol-gol yang
dihasilkan United apabila kombinasi mereka berjaya meledak 79 gol dalam semua
peringkat kejohanan.
Kombinasi
Rooney, Ronaldo dan Tevez boleh dianggap trio penggempur paling menakutkan
pernah disaksikan penyokong-penyokong United dan dicemburui oleh mana-mana
pencabar domestik mereka. Ketika itu Rooney lebih banyak memainkan peranannya
sebagai `pengumpan’ kepada Ronaldo hingga menyaksikan bintang Portugal itu
begitu produktif apabila beliau berjaya menjaringkan 42 gol semusim. Hasilnya
Ronaldo juga berjaya memenangi anugerah kasut emas menerusi 31 gol yang diledak
beliau dalam saingan liga.
18
gol yang berjaya dijaringkan Rooney sepanjang musim tersebut juga sebenarnya
statistik yang cukup bagus mengingatkan bahawa peranan beliau ketika itu lebih
sebagai passer kepada Ronaldo. Dan ketika Ronaldo memilih meninggalkan
Old Trafford pada 2009, tugas utama sebagai pemburu gol kembali diberikan
kepada Rooney. Pada musim 2009/10, ketika beliau bertindak sendirian selaku
penyerang utama United, Rooney meledak 26 gol dari 32 penampilan beliau dalam
saingan liga.
Statistik
Yang Semakin Menurun
Pada
musim 2010/11, ratio gol Rooney menurun secara drastik apabila beliau cuma
mampu menghasilkan 11 gol dari 26 penampilan liga. Kecederaan pergelangan kaki
selain polemik tentang masa depan beliau di Old Trafford antara penyebab
mengapa Rooney tidak setajam sepertimana musim sebelumnya. Mujurlah penurunan
prestasi Rooney diimbangi ketajaman Dimitar Berbatov yang berjaya meledak 20
gol dari 32 penampilan, selain Javier Hernandez selaku supersub yang
berjaya meledak 13 gol dari 27 penampilan.
Meskipun
musim 2010/11 mungkin antara musim terburuk Rooney di Old Trafford, United akhirnya
berjaya kembali ke podium kejuaraan Liga Perdana selepas mereka mengatasi
cabaran Chelsea yang juga merupakan juara bertahan menerusi kelebihan sembilan
mata. Selain itu, United juga berjaya mara ke pentas final Liga Juara-Juara
buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun. Menamatkan musim dengan medal
kejuaraan Liga Perdana, Perisai Komuniti dan runner up Liga Juara-Juara
bukanlah satu pencapaian yang buruk buat Rooney.
Musim
2011/12, Rooney kembali menemui titik terbaik dalam kariernya apabila beliau
berjaya meledak 27 gol dari 34 penampilan liga. Berbanding musim sebelumnya,
Rooney kembali disayangi penyokong-penyokong United selepas beliau memutuskan
untuk kekal di Old Trafford selama lima tahun lagi. Bagaimanapun agak malang,
United gagal memenangi sebarang trofi musim tersebut dan tambah tragik, gelaran
juara bertahan Liga Perdana terlepas ke tangan Manchester City pada aksi
terakhir liga hanya menerusi perbezaan jaringan gol.
Kehadiran
Robin Van Persie pada musim panas 2012 menyaksikan Rooney kembali menggalas
peranannya sebagai pemain `nombor 10’. Tatkala Van Persie bermaharajalela
selaku penggempur utama di barisan hadapan, Rooney pula masih mampu mencipta
angka dua digit dalam statistik jaringannya pada musim tersebut (2012/13). Dari
27 penampilan liga, Rooney berjaya menjaringkan 12 gol manakala secara
keseluruhan dalam semua peringkat kejohanan, Rooney berjaya menjaringkan 16 gol
dari 37 penampilan.
United
menamatkan musim terakhir Sir Alex Ferguson selaku pengurus dengan kembali
berdiri di podium kejuaraan Liga Perdana. Ini juga bermakna kejayaan pada musim
2012/13 itu merupakan medal kejuaraan liga terakhir yang dimenangi Rooney
sepanjang karier profesionalnya sebagai pemain. Di bawah regim pengurusan David
Moyes, United bukan lagi kesebelasan yang sama sepertimana era keemasan Fergie,
tetapi Rooney masih mampu meletakkan dirinya selaku penyumbang gol utama untuk The
Red Devils.
The
Red Devils menamatkan saingan liga musim 2013/14 di
tangga ketujuh, situasi yang sebenarnya tidak pernah dibayangkan kebanyakkan
penyokong United ketika era Fergie. Bagaimanapun Rooney masih mampu meletakkan
dirinya selaku penjaring terbanyak kelab menerusi 19 gol yang dijaringkannya
dalam semua peringkat kejohanan sepanjang musim tersebut.
Tiga
musim terakhir, ratio jaringan Rooney terus menurun dari musim ke musim
tambahan pula beliau bukan lagi watak utama di barisan hadapan terutama selepas
kehadiran Anthony Martial, Radamel Falcao dan Zlatan Ibrahimovic. Perlu juga
diakui sejak kehadiran Van Persie pada 2012, peranan Rooney juga secara
perlahan-lahan bertukar dari pemegang watak `nombor 9’ kepada pemain tengah
menyerang yang turut mempengaruhi ratio jaringannya setiap musim.
Penutup
Pada
14 Mei 2017, Rooney menjaringkan gol terakhirnya untuk United disebalik
kekalahan (1-2) kepada Tottenham Hotspurs dalam perlawanan terakhir liga.
Penampilan terakhir Rooney sebagai pemain United pula berlaku dalam aksi final
Liga Europa di Friends Arena pada tanggal 24 Mei 2017 ketika beliau masuk
menggantikan Antonio Valencia di penghujung perlawanan. Ikatan selama 13 tahun
antara Rooney dan United akhirnya terputus apabila beliau memutuskan untuk
pulang semula ke Goodison Park dan kembali bermain untuk Everton.
Rooney
antara nama besar yang pernah menghiasi kesebelasan utama United selama lebih
sedekad, manakala dari sudut bilangan trofi pula, tiada apa lagi yang perlu
dibuktikan Rooney baik kepada penyokong United mahupun para pengkritiknya.
Ketika beraksi di atas padang, Rooney bukanlah pemain yang suka digantikan,
apatah lagi memegang watak pengganti. Bagi Rooney, bermain selama 90 minit,
berlari ke setiap sudut padang, melakukan tackle, melakukan hantaran,
membuka ruang buat rakan sepasukan, menjaringkan gol dan menghidu aroma rumput
di atas padang adalah nikmat yang tidak terkira.
Momen
pada 28 September 2004 tentunya momen terbaik yang ditinggalkan Rooney untuk
penyokong-penyokong United. Sangat mengujakan bila melihat seorang anak muda
ketika itu menewaskan penjaga gol yang sangat berpengalaman seperti Rustu
Recber sebanyak tiga kali pada penampilan pertamanya untuk United. Selain
daripada itu, tiada siapa pun boleh melupakan jaringan `anti graviti’ yang
dilakukan Rooney ketika berdepan Manchester City pada 2011. Gol itu antara gol
ikonik yang pernah dihasilkan Rooney, malah imej beliau ketika meraikan
jaringan tersebut masih tidak jemu untuk ditatap hingga sekarang.
Pada
musim panas 2017, Rooney akhirnya meninggalkan Old Trafford untuk pulang
menyertai semula Everton, kelab yang beliau sokong sejak zaman kanak-kanaknya. Pada
15 Januari 2021 pula, Rooney akhirnya mengumumkan persaraannya, sekaligus
mengakhiri tempoh 19 tahun karier profesional beliau sebagai pemain bagi
memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas beliau sebagai pengurus sepenuh masa
Derby County.
Di
Old Trafford, Rooney meninggalkan legasi yang cukup besar, bukan sahaja
menerusi bilangan trofi yang sudah beliau menangi tetapi juga
statistik-statistik beliau di atas padang. Satu cabaran yang cukup besar juga
buat mana-mana penyerang United selepas ini untuk cuba memecahkan rekod Rooney
selaku penjaring terbanyak United sepanjang zaman menerusi 253 gol yang
dihasilkannya dari 559 penampilan yang dilakukan beliau dalam semua peringkat
kejohanan.
Ketika
Rooney meledak jaringan spectacular ke gawang Arsenal pada 2002, Clive
Tyldesley yang juga merupakan pengulas perlawanan ketika itu sempat mengatakan
“Ingat akan nama ini!!!”. Kata-kata itu bukan sekadar kata-kata manis yang
keluar dari mulut Tyldesley, kerana dalam peranan sebagai pemain `nombor 8’,
`nombor 9’ atau `nombor 10’, Rooney akan sentiasa diingati kerana bakat
istimewa yang dimilikinya serta peranan besar yang dimainkannya dalam
kesebelasan United. Jika tidak masakan beliau diberikan gelaran `The White
Pele’. Glory Glory Manchester United!!!