Kemenangan
Manchester City ke atas Everton pada 18 Februari lalu menyaksikan skuad kendalian
Pep Guardiola itu kini memiliki kelebihan sepuluh mata di tangga teratas liga.
Perbezaan jaringan gol pula menyaksikan posisi tangga kedua liga pula menjadi
milik United, meskipun mereka memiliki jumlah mata yang sama (46 mata) dengan
Leicester City yang berada di tangga ketiga.
Dengan
prestasi yang dipamerkan skuad The Cityzens itu sejak kebelakangan ini,
serta isu konsistensi dialami United serta beberapa pencabar kejuaraan yang
lain, kelebihan sepuluh mata milik City itu nampaknya seperti hampir mustahil
untuk dikejar oleh mana-mana pasukan. Dengan jurang mata yang begitu besar
dimiliki mereka, adakah musim ini City bakal menjulang trofi kejuaraan liga
buat kali ke-7 dalam sejarah kelab atau adakah keajaiban bakal berlaku di penghujung
musim?
The
Magpies Pernah Di Puncak
Ya…tampak
seperti mustahil untuk City dipintas tetapi jangan lupakan fakta bahawa 25
tahun lalu Newcastle United pernah kempunan meskipun pada suatu ketika mereka
memiliki kelebihan 10 mata selaku pendahulu carta liga. Untuk rekod, hanya ada
dua kelab yang gagal keluar sebagai juara meskipun pada suatu ketika mereka
berjaya mencipta jurang sepuluh mata di tangga teratas dalam sejarah Liga
Perdana. Selain Newcastle United, Liverpool juga pernah menerima nasib yang
sama.
Apa
yang telah berlaku pada musim 1995/96? Musim dimana Newcastle United gagal
keluar sebagai juara liga meskipun berbelanja besar dalam usaha mereka mencabar
United selaku kuasa bolasepak Inggeris? Musim panas 1995, United terutamanya
Sir Alex Ferguson dikritik kerana tindakan beliau melepaskan secara mengejut
tiga pemain senior (Paul Ince, Mark Hughes dan Andrei Kanchelskis) dan
menggantikan kekosongan mereka dengan pemain muda dari akademi.
Berbelanja
Besar
Berbanding
United, Newcastle di bawah kendalian Kevin Keegan pula berbelanja besar
menerusi pelaburan dilakukan oleh Sir John Hall yang menyaksikan mereka
menandatangani Les Ferdinand, David Ginola, Warren Barton dan Shaka Hislop.
Tidak cukup dengan itu, pada jendela perpindahan pertengahan musim, Keegan
membawa masuk pula Faustino Asprilla dan David Batty bagi memperkuatkan
skuadnya untuk mencabar kejuaraan liga.
Dengan
sokongan kewangan yang besar dan skuad yang mereka miliki, pada awalnya
Newcastle memang menepati status mereka selaku antara kesebelasan pilihan bagi
menjulang kejuaraan liga musim tersebut. Status mereka di atas kertas turut
dibuktikan dengan prestasi di atas padang apabila skuad kendalian Keegan itu
begitu dominan memimpin carta liga bermula dari bulan Ogos (1995) hinggalah
pertengahan Mac (1996).
Menjelang
hari Natal, mereka begitu gah mencipta jurang sepuluh mata di tangga teratas
liga berbanding United yang berada di tangga kedua. Meskipun mereka tewas (0-2)
dalam kunjungan di Old Trafford pada 27 Disember 1995, Newcastle kemudiannya
berjaya mencipta kelebihan jurang 12 mata ketika saingan liga memasuki
pertengahan bulan Januari.
Dengan
baki 15 lagi aksi liga, Keegan berada di landasan tepat untuk meletakkan
dirinya selaku pengurus pertama The Magpies yang berjaya menjulang
kejuaraan liga buat pertama kali dalam tempoh 69 tahun. Bagaimanapun di Old
Trafford, United seolah-olah mendapat tonik tambahan apabila maestro mereka
Eric Cantona keluar dari tempoh hukuman penggantungan perlawanan akibat dari
insiden `tendangan kung fu’ yang dilakukannya ke atas seorang penyokong Crystal
Palace.
Detik
Kejatuhan
Begitupun
tugas untuk menghambat Newcastle bukanlah satu misi yang mudah memandangkan
selepas kepulangan semula Cantona, skuad kendalian Keegan masih memiliki
kelebihan 14 mata di tangga teratas liga. Bagaimanapun selepas kemenangan (2-1)
yang dilakar mereka ke atas Middlesbrough, Newcastle kemudiannya mengalami lima
kekalahan dari lapan penampilan liga mereka. Kekalahan (0-1) kepada United di
St James Park boleh dianggap sebagai turning point kepada kegagalan misi
mereka menjulang kejuaraan liga musim tersebut.
Kekalahan
itu juga menyaksikan rekod bersih 100% Newcastle di St James Park turut
berakhir, malah lebih malang selepas perlawanan tersebut mereka cuma memiliki
kelebihan satu mata selaku pendahulu di hadapan United. Ketika tekanan di St
James Park kian meningkat, malapetaka datang lagi apabila mereka tewas tiga
perlawanan penting ketika berdepan Arsenal, Liverpool dan Blackburn Rovers.
Ketika
Keegan berdepan dengan krisis ketahanan mental dan keyakinan diri para pemainnya,
kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh United untuk merampas kedudukan
pendahulu carta liga. Dan di penghujung musim, barisan kendalian Fergie
akhirnya berjaya merampas kembali trofi Liga Perdana yang dimenangi Blackburn
Rovers musim sebelumnya menerusi kelebihan empat mata berbanding Newcastle.
Rob
Lee yang juga merupakan antara tonggak penting Newcastle ketika itu mengakui faktor
utama yang menafikan pasukannya dari menjulang trofi liga musim tersebut
berpunca dari kegagalan rakan sepasukannya menangani tekanan selaku pendahulu
liga. Manakala Ian Cusack yang juga merupakan seorang jurnalis sukan meletakkan
faktor kembalinya Cantona sebagai kunci kebangkitan United selain kegagalan
Keegan dalam memotivasikan para pemainnya ketika mereka berada dalam detik
sukar.
Penutup
Melihat
kepada prestasi naik turun United ketika ini, agak mustahil sebenarnya untuk
mereka mengejar dan cuba memadam kelebihan City selaku pendahulu carta liga.
Kejayaan skuad musim 1995/96 United memintas Newcastle meskipun pada suatu
ketika mereka pernah ketinggalan sepuluh mata banyak disumbangkan faktor
konsistensi mereka ketika saingan liga memasuki fasa kedua, selain dibantu
faktor kembalinya pemain berpengaruh seperti Cantona.
Untuk
menghambat City, United bukan sahaja perlukan elemen keajaiban tetapi mereka
juga perlu lebih konsisten dan tidak keciciran mata ketika berdepan lawan di kelompok
bawahan liga, masalah yang sebenarnya masih gagal diatasi Solskjaer sejak
beliau mengambilalih posisi pengendali di Old Trafford pada Disember 2018 yang
lalu. Jika mahu mengulangi jejak skuad 1995/96, isu konsistensi antara masalah
nombor satu yang wajib diselesaikan Solskjaer. Atau jika tidak, posisi kedua
liga milik mereka juga bakal terancam.
25
tahun yang lalu, Fergie sangat beruntung kerana beliau memiliki pemain yang
penuh karismatik dalam diri Cantona selaku pemimpin dan mentor kepada
rakan-rakan sepasukannya. Pemain yang sukar diramal tetapi memiliki bakat yang
sangat luarbiasa, pemimpin hebat di atas padang serta maestro yang mampu
membuatkan rakan sepasukan memberikan sepenuh jiwa dan raga mereka ketika
beraksi di atas padang. Selain kegagalan The Magpies menangani tekanan,
kehadiran semula Cantona juga antara elemen penting di sebalik kebangkitan
United ketika itu. Glory Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan