27 Februari 2021

AC MILAN...GERGASI `TERLENA' YANG PERNAH 4 KALI MENYINGKIRKAN UNITED DI PENTAS EROPAH

 


“Perlawanan tumpuan di peringkat kalah mati 16 pasukan Liga Europa”. Itu mungkin perkataan yang boleh anda simpulkan selepas Manchester United dan AC Milan dipertemukan dalam undian (round of 16) Liga Europa yang dilangsungkan di Nyon, Switzerland semalam. Aksi antara AS Roma dan Shakhtar Donetsk serta Dynamo Kyiv dan Villarreal juga tidak kurang menariknya, tetapi fokus utama tentunya terarah kepada pertembungan pertama dalam tempoh 11 tahun membabitkan United dan Milan.

 

Apa yang menariknya, kali terakhir gergasi Inggeris dan Itali ini dipertemukan juga pada pusingan kalah mati 16 pasukan tetapi ia berlaku dalam kempen Liga Juara-Juara musim 2009/10. Ketika itu United berjaya mara ke pusingan suku akhir selepas mereka menyingkirkan Milan menerusi kelebihan aggregate 7-2. Aksi pertama yang dilangsungkan di San Siro ketika itu menyaksikan United menang (3-2) dan mereka kemudiannya mengesahkan kemaraan menerusi kemenangan besar (4-0) di Old Trafford.

 

Rekod Silam

 

Secara keseluruhannya, United dan Milan sudah bertemu sebanyak sepuluh kali dalam saingan di peringkat Eropah, dan dari sepuluh pertembungan tersebut masing-masing menang sebanyak lima kali dan tewas lima kali. Bagaimanapun apa yang patut anda bimbangi ialah fakta bahawa Milan muncul kesebelasan paling kerap menyingkirkan United di pusingan kalah mati saingan Eropah selepas Real Madrid. Pada saingan Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) tahun 1958 dan 1969, Milan dua kali berjaya menyingkirkan United di peringkat separuh akhir.

 

Pertembungan di era bolasepak moden antara kedua-dua pasukan berlaku pada 2005, kali ini di pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara. Dominasi Milan ke atas United masih berterusan dan kali ini Hernan Crespo pula muncul petualangnya menerusi satu gol yang beliau jaringkan di Old Trafford dan San Siro. Dida, Cafu, Paolo Maldini, Allesandro Nesta, Jaap Stam, Gennaro Gattuso, Kaka, Clarence Seedorf, Andrea Pirlo, Rui Costa dan Hernan Crespo…itulah nama-nama yang membarisi skuad Milan ketika itu, jadi penyingkiran United kali ini bukanlah keputusan yang terlalu mengejutkan.

 

Dua tahun selepas itu, United dan Milan mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara dan kedua-duanya sekali lagi ditakdirkan untuk bertembung di peringkat tersebut. Jika pada 2005, Hernan Crespo mencuri tumpuan, kini giliran Kaka pula mengambilalih peranan selaku watak utama di dua pentas berbeza. United menang (3-2) pada perlawanan pertama di Old Trafford, tetapi dua gol yang dijaringkan Kaka dalam perlawanan itu menyaksikan Milan memiliki bekalan gol di gelanggang lawan yang agak selesa menjelang aksi kedua di San Siro.

 

Di San Siro, Kaka sekali lagi meledak untuk gol pertama Milan, dan impian United kemudiannya diranapkan menerusi dua lagi gol lawan yang dihasilkan Clarence Seedorf serta Alberto Gilardino. Dominasi Milan ke atas United berterusan buat kali keempat tetapi rekod itu akhirnya menemui titik nokhtah ketika kedua-dua kelab sekali lagi dipertemukan di pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara musim 2009/10. Ketika tembok penguasaan Milan di Eropah mula runtuh, United pula menepati reputasi mereka selaku pasukan pilihan dalam perlawanan ini.

 

Dalam dua aksi timbal balik yang dilangsungkan, United berjaya menewaskan Milan di San Siro dan Old Trafford. Selepas itu tiada lagi sebarang pertembungan membabitkan kedua-dua pasukan dalam tempoh sedekad. Bagaimanapun penantian panjang itu bakal berakhir kerana United dan Milan akan bertarung sekali lagi dalam saingan peringkat Eropah. Jika sepuluh pertembungan sebelum ini membabitkan saingan di Liga Juara-Juara, kini Liga Europa pula bakal menjadi pentas pertarungan antara The Red Devils dan I Rossoneri dengan tiket ke suku akhir sebagai ganjarannya.

 

Reaksi Pemain

 

Menurut laporan Football Italia, siaran secara langsung majlis undian itu disaksikan sebahagian besar pemain Milan. “Hampir kesemua pemain Milan menyaksikan secara langsung majlis undian itu di Milanello. Kelihatan beberpa pemain tersenyum sinis bila mengetahui lawan mereka nanti ialah Manchester United”. United dan Milan melalui tempoh kempen musim ini dengan cemerlang selepas masing-masing berada di kedudukan tangga kedua carta liga domestik.

 

Bagaimanapun prestasi Milan di awal tahun baharu mula menurun yang menyaksikan skuad kendalian Stefano Pioli itu tewas empat dari sembilan aksi liga mereka. Situasi ini menyaksikan mereka turut hilang penguasaan pendahulu Serie A kepada Inter Milan dan cuma memiliki kelebihan empat mata di hadapan Juventus yang berada di tangga ketiga liga. Hilang posisi selaku pendahulu carta liga bagaimanapun tetap tidak memadam hakikat bahawa Milan masih lagi kesebelasan yang sangat berbahaya dan wajar diberikan perhatian terutamanya pada saingan peringkat kalah mati seperti ini.

 

Penutup

 

Milan saat ini mungkin tidak sehebat ketika era keemasan mereka di penghujung 80an hinggalah lewat dekad 2000. Meskipun era pemain seperti Kaka, Allesandro Nesta, Paolo Maldini, Gennaro Gattuso atau Andrea Pirlo sudah lama berakhir, Milan masih lagi kesebelasan yang wajar dihormati terutamanya menerusi keberadaan Zlatan Ibrahimovic di jentera serangan mereka. Meskipun sudah berusia 39 tahun, angka jaringan Ibra masih mampu mencecah 2 digit, manakala naluri pembunuhnya ketika berada di dalam petak penalti lawan tidak pernah luntur.

 

Ole Gunnar Solskjaer sudah menetapkan sasaran untuk United mara ke final dalam kempen Liga Europa mereka kali ini. Untuk mara ke Gdansk dan cuba menjulang trofi tersebut buat kali kedua di sana, United tidak dapat mengelak dari berdepan kesebelasan terbaik pada kempen kali ini dan Milan salah satu diantaranya. Semalam, Solskjaer baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-48nya, dan beliau menganggap undian menentang Milan merupakan hadiah terbaik untuk hari istimewanya itu.

 

Menyingkirkan kesebelasan yang kaya dengan sejarah dan tradisi seperti Milan tentunya bakal menjadi antara hari yang istimewa buat Solskjaer dan United. Tetapi akan lebih istimewa sekiranya kita dapat melihat barisan The Red Devils pimpinan Solskjaer mara ke final dan menamatkan aksi di Stadium Miejski pada 25 Mei nanti di podium kejuaraan. Empat tahun lalu kita sudah menyaksikannya, dan semoga momen indah tersebut akan berlaku sekali lagi. Jika mahu melangkah jauh ke Gdansk, Milan wajar disingkirkan terlebih dahulu. Glory Glory Manchester United!!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan