24 Februari 2021

DAVE ATAU DEAN?

 


Ada `rumours’ yang mengatakan bahawa Manchester United bakal melepaskan salah seorang penjaga gol utama mereka musim depan. Setakat ini hanya ada dua penjaga gol yang digunakan Ole Gunnar Solskjaer dalam aksi liga, pertama David De Gea dan kedua Dean Henderson. Musim ini De Gea sudah melakukan 23 penampilan dalam saingan liga, manakala Henderson pula sudah diturunkan sebanyak tiga kali (termasuk sebagai pemain gantian).

 

Sejak 2011 hingga sekarang, De Gea begitu dominan mengekalkan posisinya selaku penjaga gol nombor satu United menerusi 336 penampilan (dalam saingan liga) dan mencatatkan 121 clean sheets. Bagi Henderson pula, beliau memang diplotkan untuk mewarisi jersi `nombor 1’ dari De Gea suatu hari nanti. Bagaimanapun prestasi De Gea sejak akhir-akhir ini menimbulkan perdebatan baik di kalangan penyokong United mahupun pemerhati bolasepak.

 

Dari 23 penampilan liga setakat ini, gawang United yang dikawal De Gea sudah dibolosi sebanyak 29 kali. Jumlah ini hanya kurang tujuh dari jumlah gol yang bolos ke gawang beliau sepanjang musim lalu. Jadi tidak hairanlah mengapa Paul Scholes melabelkan De Gea sebagai `antara masalah terbesar’ United musim ini. Henderson pula kembali ke Old Trafford musim ini selepas melalui tempoh pinjaman yang cukup cemerlang bersama Sheffield United musim lalu.

 

Sudah tentu untuk seorang pemain yang sudah pun mencapai usia 23 tahun, tekad Henderson ialah untuk cuba merampas posisi `nombor satu’ United yang sudah dikuasai De Gea selama hampir sepuluh tahun. Tiga penampilan dalam saingan liga bukanlah jumlah yang diinginkan beliau, mengingatkan bahawa musim lalu Henderson melakukan 36 penampilan untuk Sheffield United dan berjaya memastikan gawang The Blades tidak dibolosi sebanyak 13 kali.

 

Situasi ini tentunya tidak menyenangkan Henderson kerana jika beliau terus menjadi pilihan kedua di belakang De Gea, tempatnya dalam skuad kebangsaan juga bakal terancam. Berbanding De Gea yang kontraknya cuma berbaki dua tahun, Henderson pula baru sahaja menandatangani kontrak yang menyaksikan beliau akan kekal di Old Trafford hingga 2025. Mengambil kira faktor umur De Gea pula, adakah United masih sedia membelanjakan £375 ribu seminggu untuk seorang penjaga gol yang sudah berusia 30 tahun?

 

Dua kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang penjaga gol berpengalaman seperti beliau ketika aksi menentang Everton antara contoh terbaik mengapa ramai pihak mengatakan bahawa prestasi De Gea sudah menurun seiring peningkatan usianya. Walaupun begitu, kepercayaan Solskjaer kepada kemampuan De Gea masih tinggi apabila beliau menurunkan penjaga gol Sepanyol itu dalam dua aksi terakhir liga ketika United berdepan West Bromwich Albion dan Newcastle United.

 

Musim 2018/19 akan sentiasa diingati sebagai musim penampilan terburuk pertahanan United dalam tempoh 40 tahun yang menyaksikan gawang mereka dibolosi sebanyak 54 kali. Bagaimanapun statistik itu diperbaiki mereka pada musim 2019/20, apabila pertahanan United tampil solid hingga menyaksikan De Gea cuma melepaskan 36 gol dari 38 penampilan. Apa yang lebih hebatnya, gawang United juga cuma dibolosi sebanyak enam kali dari baki 15 aksi terakhir mereka.

 

Bagaimanapun akhirnya akan timbul satu pertanyaan, mampukah United mengulangi statistik yang dilakukan mereka musim lalu dengan prestasi terkini yang dipamerkan De Gea di hadapan gawang mereka? Jika benar laporan yang menyebut bahawa kelab bakal melepaskan salah seorang penjaga gol utama mereka musim depan, siapakah yang akan pergi dan siapakah diantara mereka yang akan kekal sebagai penghuni posisi `nombor 1’ United? Dave atau Dean? Glory Glory Manchester United!!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan