22 Februari 2021

DIA YANG BERNAMA...SHOLA SHORETIRE

 


Selepas Amad Diallo menikmati penampilan pertamanya ketika United berdepan Real Sociedad, kini giliran seorang lagi pemain remaja diberikan peluang bermain bersama skuad utama. Beliau yang saya maksudkan tentulah Shola Shoretire. Bagaimanapun berbeza dengan Amad, Shoretire merupakan pemain dari akademi United dan sudah bersama kelab sejak usianya 10 tahun lagi.

 

Apa yang menariknya, sebelum beliau diserap dalam sistem pembangunan pemain remaja United, Shoretire terlebih dahulu pernah menimba ilmu bolasepaknya bersama akademi Newcastle. Shoretire mula menjadi tumpuan pada usia 14 tahun selepas beliau muncul pemain paling muda dalam kempen UEFA Youth League. Ketika itu beliau diturunkan skuad U-19 United berdepan Valencia dalam kejohanan tersebut.

 

Menurut Neil Wood yang juga merupakan ketua jurulatih skuad U-23 United, Shoretire sering bermain dalam kejohanan-kejohanan di atas peringkat usianya dan meskipun masih muda pemain yang dilahirkan pada 2 Februari 2004 itu sudah dipromosikan ke skuad U-23 United pada awal musim ini. Umur cumalah angka semata-mata dan bersama skuad U-23 United, Shoretire membuktikan bahawa permainan beliau jauh lebih matang berbanding usianya.

 

Dari 14 penampilan beliau untuk skuad U-23 United dalam kempen Liga Perdana 2 (Divisyen 1), Shoretire berjaya menjaringkan enam gol, empat gol di belakang Joe Hugill yang juga merupakan penjaring terbanyak United. Enam gol dari seorang pemain sayap merupakan angka yang cukup bagus dan momen terbaik beliau musim ini pula berlaku ketika Shoretire meledak hatrik saat United menewaskan Blackburn Rovers (6-4) pada awal Februari lalu.

 

“Shoretire sudah biasa bermain dalam kejohanan di atas peringkat usianya. Umurnya baru 17 tahun, tetapi dia sudah bermain menentang pemain lawan yang lebih berusia dan perlu memikirkan cara untuk mengatasi mereka. Dia pemain yang sangat bijak dan mampu melaksanakan tugasnya dengan cemerlang”, kata Neil Wood. Dua minggu selepas penampilan cemerlangnya menentang Blackburn Rovers, Shoretire akhirnya menerima panggilan Ole Gunnar Solskjaer untuk berlatih bersama utama.

 

Potensi besar yang dimiliki beliau akhirnya menyaksikan Solskjaer memberikan penampilan pertama buat anak muda ini dalam aksi menentang Newcastle United awal pagi tadi. Meskipun cuma sempat beraksi beberapa minit di atas padang selepas beliau masuk menggantikan Marcus Rashford (diminit ke-89), fakta akan tertulis bahawa Shoretire muncul pemain ketujuh termuda yang pernah melakukan penampilan untuk skuad utama United.

 

Pada usia 17 tahun dan 19 hari, Shoretire juga mencipta nama selaku pemain ke-240 dari akademi United yang berjaya melakukan penampilan bersama skuad utama. Untuk momen istimewa ini, Marcus Rashford juga sempat meninggalkan pesan buat junior beliau dalam skuad United ini. “Kenang momen ini selamanya bro. Keluarga kamu pasti berbangga”, ciap Rashford menerusi Twitter selepas tamat perlawanan. Glory Glory Manchester United!!!

 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan