10 Mac 2021

"I AM LORD"

 


Di Old Trafford, nama Jesse Lingard sudah lama dilupakan penyokong-penyokong Manchester United. Jika ada yang menyebut nama beliau sekalipun, ia lebih kepada untuk dijadikan bahan jenaka. Memang ada sebabnya kerana pada musim penuh pertama Ole Gunnar Solskjaer di Old Trafford, Lingard cuma diturunkan beliau sebanyak sembilan kali dalam kesebelasan utama United dari 22 penampilan. Baki selebihnya, Lingard sekadar memanaskan bangku simpanan.

 

Bukan itu sahaja, sebelum beliau dipinjamkan ke West Ham, Lingard juga sudah tidak beraksi dalam saingan liga selama 7 bulan. Kali terakhir kita melihat penampilan Lingard dalam kesebelasan United di Liga Perdana ialah pada aksi terakhir liga musim lalu menentang Leicester City di King Power Stadium pada 26 Julai 2020. Lingard menjaringkan gol dalam perlawanan itu, sekaligus menamatkan kemarau 19 bulan tanpa gol beliau dalam saingan liga.

 

Untuk rekod sebelum jaringan beliau ke gawang Leicester City itu terhasil, kali terakhir Lingard menjaringkan gol dalam saingan liga ialah pada 23 Disember 2018 ketika United berdepan Cardiff City di gelanggang lawan. Sepanjang aksi liga pada bulan Disember 2018, Lingard muncul pemain hadapan United paling cemerlang menerusi empat gol yang beliau ledak ke gawang lawan. Satu gol dijaringkannya ke gawang Arsenal dan Liverpool manakala dua lagi ke gawang Cardiff City.

 

Prospek Ke Bernabeu Yang Jatuh Merudum

 

Jika anda masih ingat, kesan dari penampilan cemerlang beliau ketika itu, Lingard dikaitkan dengan minat Real Madrid untuk membawanya beraksi di Santiago Bernabeu pada jendela perpindahan bulan Januari. Sama ada benar atau tidak rumours tersebut, berita itu tentunya merupakan satu penghormatan tertinggi untuk Lingard apabila beliau dikaitkan dengan projek `Galactico baharu’ di Bernabeu. Anehnya, selepas itu prestasi Lingard jatuh merudum.

 

Dari seorang pemain yang digembur-gemburkan bakal membentuk gandingan bersama Eden Hazard di Bernabeu, Lingard kemudiannya sekadar menjadi `penumpang’ dalam kesebelasan United. Pada musim panas lalu, Lingard antara pemain yang disebut-sebut bakal meninggalkan Old Trafford, namun ramalan tersebut meleset sama sekali. Lingard masih kekal sebagai anggota The Red Devils tetapi tiada lagi tempat beliau dalam skuad utama United untuk aksi liga.

 

Panggilan Dari London

 

Kali terakhir beliau beraksi dengan jersi merah United ialah ketika kelab menyingkirkan Watford dalam saingan Piala FA yang dilangsungkan di Old Trafford pada 9 Januari lalu. 20 hari selepas itu, Lingard secara rasmi menyertai West Ham United dengan status sebagai pemain pinjaman. Pada 3 Februari, hanya lima hari selepas perpindahannya ke kota London, Lingard mengejutkan para pengkritiknya apabila beliau memberikan impak pada penampilan pertama untuk West Ham.

 

Entah kebetulan ataupun tidak, Lingard seolah-olah memiliki kecenderungan menjaringkan gol ketika beliau bermain di bawah arahan David Moyes. Pada 2013, ketika Moyes baru dilantik sebagai pengurus United, Lingard menjaringkan dua gol ke gawang kesebelasan A-League All Stars dalam aksi pra musim mereka di Australia. Apa yang berlaku selepas itu, Lingard terus mempamerkan ketajamannya di hadapan Moyes apabila beliau meledak gawang Yokohama F Marinos dan Kitchee FC, juga dalam jelajah pra musim yang sama.

 

Debut Kelas Dunia”, itu antara tajuk utama berita selepas Lingard meledak dua gol ke gawang Aston Villa pada penampilan pertamanya untuk West Ham. Perjudian Moyes yang mengenepikan Pablo Fornals demi memberikan tempat kepada Lingard dalam kesebelasan utama beliau di Villa Park berhasil. Di Villa Park, Lingard tampak begitu selesa bergerak di belakang Michail Antonio, manakala gandingan Ryan Fredericks dan Said Benrahma pula berada di sebelah sayap kanan dan kiri beliau.

 

Di Villa Park, Lingard tiba-tiba mempamerkan semula sentuhan sebenar beliau yang sudah lama tidak dilihat oleh penyokong-penyokong United. Tempoh dua tahun terakhir merupakan tempoh yang sangat sukar buat Lingard. Selepas penampilan impresif beliau pada musim 2017/18 dan merasai nikmat beraksi di pentas Piala Dunia, Lingard secara perlahan-lahan mula kehilangan tempat dalam kesebelasan utama United. Pada musim lalu, beliau hanya tampil selama 931 minit dalam saingan liga, jauh dibelakang junior beliau seperti Marcus Rashford yang memiliki 2655 minit permainan.

 

Nafas Baharu

 

Masa depan Lingard di Old Trafford sudah boleh diramal selepas kelab menandatangani Facundo Pellistri dan Amad Diallo, dua pemain muda yang dijangka bakal menyinar suatu hari nanti. Ketika kariernya kian malap, Moyes hadir memberikan nafas baharu kepada Lingard dan tawaran berhijrah ke kota London biarpun dengan status pemain pinjaman tidak mampu beliau ditolak. Moyes sendiri sebenarnya memiliki reputasi memulihkan karier pemain yang sedang malap dan Lingard bukanlah satu-satunya pemain dari United yang pernah beliau tandatangani.

 

Pada 2005, beliau merekrut Phil Neville yang kemudiannya muncul kapten berpengaruh di Goodison Park. Tiga tahun selepas itu giliran Louis Saha pula menjadi pemain buangan United kedua yang ditandatangani Moyes. Cuma bezanya kali ini, Lingard hanya memerlukan satu perlawanan untuk mencetuskan impak kepada barisan kendalian Moyes. Selepas enam penampilan dalam saingan liga untuk The Hammers, beliau menjaringkan empat gol dan mencipta satu bantuan gol.

 

Apa yang menyebabkan Lingard kini kembali menemui semula sisi terbaik dalam permainannya? Jawapannya mudah…iaitu beliau kini sudah menemui `kehidupan’ yang lebih baik di kota London. Apa yang diperlukan Lingard ketika ini ialah kepercayaan dari pengurus, sokongan penyokong dan bermain dalam perlawanan kompetitif setiap minggu. Di London beliau menikmati apa yang tidak diperolehinya di Old Trafford, terutamanya dalam tempoh dua tahun terakhir.

 

Tingginya kepercayaan Moyes terhadap kemampuan Lingard dapat anda lihat kepada perubahan susunan pemain yang dilakukannya sejak ketibaan lulusan akademi United itu pada Februari lalu. Jika sebelum ini dalam formasi 4-2-3-1 yang digunakan Moyes, beliau sering meletakkan Said Benrahma untuk bergerak di belakang Michail Antonio, manakala Jarrod Bowen dan Pablo Fornals pula bergerak di sisi sayap kanan dan kiri.

 

Bagaimanapun pada enam penampilan terakhir The Hammers dalam saingan liga, Moyes menolak posisi Benhrahma dari tengah ke sebelah kiri, bagi memberikan laluan untuk Lingard bertindak sebagai pemain tengah menyerang. Manakala di sisi kanan pula Ryan Fredericks, Pablo Fornals dan Jarrod Bowen silih berganti mengisi posisi tersebut. Moyes sedar kelebihan Lingard memposisikan dirinya dalam situasi tanpa bola serta kebolehannya melakukan sama ada hantaran jauh atau pendek dari semua sisi padang.

 

Jangan lupakan juga bahawa Lingard memiliki skill menggelecek serta kawalan bola yang agak bagus, antara aset penting yang perlu ada kepada seorang pemain tengah menyerang. Di Old Trafford, tidak mungkin Solskjaer sanggup meletakkan Bruno Fernandes di bangku simpanan semata-mata bagi memberikan tempat untuk Lingard beraksi, manakala di sisi kanan dan kiri pula, beliau sudah ada pilihan yang lebih dipercayainya menerusi keberadaan Marcus Rashford, Anthony Martial atau Mason Greenwood.

 

Penutup

 

Dari seorang pemain yang sudah dilupakan, Lingard kini muncul watak utama dalam kesebelasan West Ham di bawah regim David Moyes. Kombinasi beliau bersama Michail Antonio juga semakin serasi apabila dari enam penampilan terakhir, gandingan ini sudah menghasilkan lapan gol dan mencipta tiga bantuan gol dalam saingan liga. Paling menarik bagaimana gol jaringan yang dihasilkan Antonio dan Lingard berjaya membantu West Ham mengatasi Tottenham Hotspurs pada 21 Februari lalu.

 

Kemenangan ini sebenarnya kemenangan yang sangat emosional dan sensasi buat David Moyes kerana ini merupakan kemenangan pertama beliau ke atas Jose Mourinho dari 16 pertembungan. Untuk rekod, dari 15 pertemuan Moyes dan Mourinho sebelum ini selaku pengurus, beliau tewas sembilan kali dan seri enam kali. Paling penting catatan empat gol Lingard dari enam penampilan di bawah arahan Moyes setakat ini merupakan statistik yang jauh lebih baik berbanding tiga gol dari 36 penampilan terakhirnya di Old Trafford.

 

Penampilan cemerlang Lingard di kota London pantas mengundang spekulasi bahawa United berminat membawa pulang semula beliau ke Old Trafford musim panas nanti. Bagaimanapun secara peribadi saya berpendapat, Lingard patut memilih untuk terus kekal menyarung jersi West Ham kerana di sana beliau sudah mula menemui semula sisi terbaik dalam permainannya. Beliau kini gembira bermain bolasepak setiap minggu, gembira kerana kembali diberikan perhatian dan gembira kerana kembali memainkan peranan penting untuk pasukan.

 

Pada usia 28 tahun, masa kian mencemburui Lingard, kerana pada usia ini seorang pemain bolasepak sepatutnya sudah berada di kemuncak prestasi mereka. Jika Lingard mahukan perhatian setiap minggu sepertimana figura yang beliau miliki di media sosial, Lingard perlu mengekalkan kualiti permainannya, dan fokus untuk menarik perhatian pihak pengurusan West Ham agar menawarkan beliau kontrak tetap pada musim panas nanti. Lingard kelihatan bahagia dengan kehidupan baharunya di kota London, jadi biarkan sahaja beliau kekal di sana. “Selamat maju jaya `Lord’ Lingard”. Glory Glory Manchester United!!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan