01 Mac 2021

`SI GENIUS' YANG MASIH TENGGELAM DALAM PERLAWANAN BESAR

 


Bruno Fernandes merupakan pembelian sensasi yang dilakukan United pertengahan musim lalu. Itu adalah hakikat yang tidak boleh anda nafikan berdasarkan segala statistik yang dihasilkannya sejak beliau melakukan penampilan pertama untuk United pada Februari 2020 yang lalu. Dari 61 penampilan, playmaker Portugal itu sudah terlibat secara langsung dalam 54 gol yang dihasilkan United (34 gol dan 20 bantuan gol).

 

Di peringkat liga setakat ini, Bruno berada di tangga kedua dalam senarai penjaring terbanyak, dua gol di belakang Mohamed Salah yang sudah meledak 17 gol untuk Liverpool. Melihat kepada peranan penting yang sudah beliau mainkan untuk United, maka tidak hairanlah jika Bruno disebut-sebut sebagai antara calon favourite untuk memenangi anugerah PFA Player of the Year bagi musim ini.

 

Sudah agak lama anugerah ini `tidak singgah’ di Old Trafford sejak kali terakhir Wayne Rooney memenanginya pada musim 2009/10, jadi prospek untuk Bruno diiktiraf selaku pemain terbaik Liga Perdana musim ini adalah satu perkara yang sangat mengujakan. Peranan besar yang dimainkan Bruno sejak ketibaan beliau di Old Trafford memang tidak boleh disangkal, tetapi kemampuan beliau dalam berdepan perlawanan-perlawanan besar juga nampaknya terus diperdebatkan.

 

Di Stamford Bridge awal pagi tadi, pemain berusia 26 tahun itu sekali lagi dilihat kurang efektif dalam usaha beliau membantu barisan hadapan United menembusi benteng pertahanan Chelsea yang menyaksikan perlawanan tumpuan minggu ini itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. Sepanjang perlawanan, Bruno hilang penguasaan bola sebanyak 20 kali, jumlah paling banyak berbanding pemain lain yang beraksi di atas padang.

 

Jika sebelum ini, Bruno cukup dikenali sebagai seorang pemain tengah yang penuh dengan kreativiti dan punya visi permainan yang tinggi, di Stamford Bridge pula beliau cuma mampu mencipta satu peluang selain gagal melepaskan sebarang percubaan on target. Menerusi catatan dari laman ESPN pula, Bruno kini cuma mampu menjaringkan satu gol dan gagal mencipta sebarang bantuan gol dalam enam perlawanan besar Liga Perdana musim ini.

 

Sejak Bruno menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika berdepan Tottenham Hotspurs pada Oktober lalu, United sudah melepaskan 70 percubaan pada enam penampilan mereka dalam perlawanan besar. Dari jumlah tersebut tiada satu pun yang berhasil membolosi pintu gol lawan. Apakah faktor yang menyebabkan Bruno gagal menyerlah dalam perlawanan-perlawanan besar berbanding ketika United berdepan kelab pertengahan dan bawahan liga?

 

Catatan United dalam perlawanan-perlawanan besar musim ini sebenarnya agak mengecewakan, sama seperti ketika anda melihat bagaimana mudahnya mereka kehilangan mata ketika berdepan lawan dari kelompok bawahan liga. Selepas kekalahan besar 1-6 kepada Spurs tahun lalu, United mencatatkan keputusan seri ketika mereka berdepan Chelsea dan kemudiannya tewas kepada Arsenal di Old Trafford.

 

Empat `big match’ selepas itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam derby Manchester, dan ketika mereka berdepan Liverpool, Arsenal dan Chelsea di gelanggang lawan. Jika anda melihat kepada keputusan perlawanan-perlawanan besar United musim ini, pendekatan permainan yang diterapkan Solskjaer mungkin antara penyumbang utama mengapa Bruno gagal menyerlah ketika berdepan `big boys’ di Liga Perdana.

 

Agak menarik komentar yang dilontarkan Roy Keane selepas tamat aksi di Stamford Bridge awal pagi tadi. “Saya fikir, United lebih risaukan pasukan yang berada di belakang mereka dan berusaha mengekalkan jarak pungutan mata. Mereka sepatutnya memiliki mentaliti “Mari kita pergi ke sana dan memenangi perlawanan itu”. Sebab itulah anda berada di Manchester United, untuk menang perlawanan dan mengejar Manchester City”, kata Keane.

 

Jika anda masih ingat pada Januari lalu, Bruno dijadikan sasaran kritikan Paul Scholes selepas aksi United dan Arsenal yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan di London. Menurut Scholes, prestasi Bruno ketika berdepan perlawanan besar patut menjadi kebimbangan Solskjaer. “Kita selalu bercakap pasal perlawanan menentang Liverpool dan Manchester City, tapi mereka nampaknya tidak mampu memenangi perlawanan itu”.

 

“Bruno Fernandes begitu mengecewakan dalam setiap penampilannya ketika menentang kelab besar. Saya akui dia memiliki statistik jaringan dan assist yang bagus, tetapi dalam lima perlawanan menentang kelab besar dia gagal menjaringkan sebarang gol atau mencipta assist. Situasi ini sangat membimbangkan, dan sebab itulah United berada di tempat mereka sekarang (tangga kedua). Ini kedudukan yang baik tapi bukanlah posisi untuk kita menjuarai liga”, kata Scholes.

 

Penampilan impresif beliau sejak menyertai United menyaksikan Bruno menerima banyak pujian dari kawan dan lawan. Hinggakan pada satu peringkat ada pihak melabelkan impak yang beliau berikan persis apa yang pernah dicetuskan Eric Cantona suatu ketika dahulu. Tidak dinafikan bahawa Bruno pemain yang hebat, begitu juga Cantona. Cuma bezanya Cantona pernah membantu United memenangi banyak trofi dan sering menonjol dalam perlawanan besar. Itulah aspek yang masih kurang dalam diri Bruno ketika ini. Glory Glory Manchester United!!!



Tiada ulasan:

Catat Ulasan