Bolasepak
memang sukan yang indah, kerana di dalamnya penuh dengan elemen kejutan,
keajaiban dan drama. Itulah yang berlaku di Stadium Etihad awal pagi tadi,
ketika perjalanan 21 kemenangan berturut-turut Manchester City dalam semua
peringkat kejohanan berakhir di tangan United. Sebelum perlawanan, City
memiliki segala kelebihan dari segenap segi, sama ada komposisi skuad yang
mereka miliki, statistik serta prestasi semasa.
City
memang dalam situasi on fire, jika tidak masakan mereka mampu mengharungi
21 perlawanan dalam semua kejohanan dengan catatan kemenangan 100%. Jadi apa
yang mampu kita harapkan kepada kesebelasan United sebelum perlawanan ini ialah
mereka pulang dari Stadium Etihad dengan sekurang-kurangnya satu mata. Bagaimanapun
hakikatnya segala statistik dan kelebihan di atas kertas tidak membantu City
untuk menjadikan United sebagai mangsa kemenangan ke-22 mereka.
Realitinya
selepas tamat perlawanan, catatan 21 kemenangan berturut-turut City berakhir
dan lebih perit ia berlaku dalam aksi Manchester Derby. Meskipun Manchester
City agak kurang bernasib baik dalam perlawanan ini, tetapi ketinggalan ketika
perlawanan baru berlangsung selama 48 saat bukanlah cara terbaik untuk mereka memulakan
permainan. Ya…gol pertamalah sebenarnya yang mengubah keseluruhan arus
perlawanan.
Gol
yang membuatkan City terpaksa mengubah pendekatan mereka berbanding aksi
pertama di Old Trafford yang lebih berhati-hati. Ketika City mula memberikan
tekanan demi tekanan bagi mencari gol penyamaan, situasi ini membuka ruang buat
United mempamerkan kekuatan sebenar mereka, iaitu menerusi gerakan-gerakan counter
attack. United memang diketahui memiliki pemain-pemain yang mampu
melaksanakan skema permainan ini dengan berkesan menerusi kelajuan yang
dimiliki Daniel James, Marcus Rashford ataupun Anthony Martial.
Ketika
City semakin ghairah meningkatkan tekanan, gawang mereka bolos lagi buat kali
kedua. Apa yang menariknya gol ini terhasil hanya menerusi 12 sentuhan dari
gerakan pantas yang melibatkan tiga peman (Dean Henderson, Luke Shaw dan Marcus
Rashford). Tatkala koordinasi pertahanan yang cukup solid dipamerkan back
four United, City akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa rekod 21
kemenangan berturut-turut mereka sudah berakhir.
Kekalahan
ini merupakan yang pertama dialami City sejak November 2020 di mana ketika itu
mereka tewas (0-2) kepada Tottenham Hotspurs dalam saingan liga. Bagi seorang pengendali
yang sering dilabel sebagai `guru jasmani’, pencapaian Ole Gunnar Solskjaer
kali ini boleh dianggap sebagai istimewa. Bukan mudah buat mana-mana pengendali
berdepan Pep Guardiola, tetapi `guru jasmani’ ini sudah mengalahkan pengendali
penuh karismatik City itu sebanyak empat kali dari lapan pertemuan.
Kemenangan
ini juga menyaksikan United berjaya mengatasi `jiran mereka yang bising’ itu
sebanyak tiga kali dari empat pertemuan terakhir dalam saingan liga. Penampilan
di Stadium Etihad semalam mungkin bukanlah penampilan terbaik pernah dipamerkan
United, tetapi kemenangan itu sekurang-kurangnya menunjukkan kepada kita bahawa
barisan The Red Devils mampu bermain dengan sangat efektif. Betapa
efektifnya United di Stadium Etihad boleh anda lihat kepada data selepas
perlawanan.
Dengan
peratusan penguasaan bola yang cuma mencapai
angka 33%, United masih mampu melepaskan enam percubaan on target ke arah
Ederson Moraes. Jumlah ini sama dengan percubaan on target yang
dilepaskan City meskipun mereka lebih dominan dalam hal penguasaan bola. Jika
itu tidak cukup, mari kita lihat pula catatan expected goals dari
kedua-dua pasukan sepanjang perlawanan. Menerusi statistik yang dikeluarkan
WhoScored.com, catatan expected goals yang dilakukan United ialah 2.16
berbanding 1.34 yang dilakukan barisan pemain City.
Ini
bermakna meskipun City lebih dominan menguasai bola, United pula memiliki
peluang lebih tinggi untuk menghasilkan gol. Apa yang menyebabkan City
`terkunci’ dalam perlawanan ini terutamanya front three mereka walaupun dalam
21 penampilan terakhir, mereka berhasil meledak 55 gol? Jawapannya ialah United
mengamalkan pendekatan yang agak agresif, kompak dalam bertahan dan membataskan
ruang ketika pemain-pemain City menguasai bola.
Hasilnya
seperti yang dapat anda lihat, City terpaksa melepaskan sepuluh percubaan dari
luar petak penalti kerana kesukaran untuk mereka memecah benteng pertahanan
United. Dalam hal ini, kredit juga wajar diberikan kepada Daniel James dan
Anthony Martial yang kerap turun ke bawah bagi membantu rakan-rakan di barisan
belakang dalam melakukan kerja-kerja defensif. Bagaimanapun hal yang sangat
jelas dalam perlawanan ini ialah kekuatan serang balas United dan corak permainan
`simple’ yang diterapkan Solskjaer. Gol kedua adalah contoh terbaik.
Kemenangan
United ini tidak mengubah kedudukan mereka secara drastik dalam carta liga. City
masih kekal di atas manakala United pula kembali berada di tangga kedua. City
masih memiliki kelebihan 11 mata dengan baki sepuluh perlawanan, tetapi
kemenangan United ini setidak-tidaknya menunjukkan bahawa perlumbaan mengejar
kejuaraan liga masih belum berakhir. Manchester kini berwarna merah dan selamat
tinggal juga diucapkan kepada rentetan rekod 28 perlawanan tanpa kalah City. Glory
Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan