11 Disember 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN


ARSENAL MUNCUL KELAB TERBARU BURU NANI

Laporan mengejutkan muncul tentang minat Arsenal mendapatkan pemain sayap Manchester United, Nani. Nani yang masa depannya di Old Trafford terus mencetuskan persoalan akan cuba dipancing Gunners ketika jendela perpindahan pemain dibuka Januari ini. Paling mengejutkan, Arsene Wenger yang sebelum ini cukup dikenali dengan polisi perbelanjaan berhemahnya sanggup mengeluarkan belanja sebanyak 20 juta Pound bagi membawa Nani ke Stadium Emirates. The Sun melaporkan bahawa Arsenal sedang mencari pengganti berkualiti untuk Theo Walcott yang tampak akan menuju pintu keluar dan Nani adalah pemain paling sesuai menggantikan Walcott andai pemain antarabangsa England itu enggan menyambung kontrak baru. United mahukan lebih dari 14 juta Pound jika ada mana-mana kelab yang mahu mendapatkan khdimat Nani, iaitu nilai yang mereka bayar ketika membawa pemain itu dari Sporting Lisbon. Selain Arsenal, Zenit St Petersburg dan Paris St Germain juga diberitakan sedang memantau perkembangan Nani namun pemain itu dijangka memilih untuk terus kekal beraksi di Liga Perdana.

DORTMUND SEDIA LEPASKAN GROSSKREUTZ

Ketua Borussia Dortmund, Hans Watzke mengesahkan bahawa pemain sayapnya Kevin Grosskreutz mahu meninggalkan kelab itu dan berhijrah ke England. Biarpun masih mempunyai kontrak sehingga 2014, pemain antarabangsa Jerman berusia 24 tahun itu nampaknya sudah bercakap tentang keinginannya bermain di England dengan menyertai Manchester United ataupun Liverpool. Watzke sedar tentang kekecewaan Grosskreutz yang jarang diberikan kesempatan tampil dalam kesebelasan utama hingga mendorong pemain itu mahu meninggalkan Signal Iduna Park.  “Hakikat tentang hasratnya mahu meninggalkan kelab ini adalah betul. Tetapi dia masih mempunyai kontrak bersama kami hingga 2014 dan kami seboleh-bolehnya mahu cuba mengekalkannya. Setiap pemain perlu faham mereka tidak boleh bermain dalam setiap perlawanan atau berada di barisan permulaan setiap masa”, kata Watzke.

EVRA TIDAK AKAN TINGGALKAN UNITED

Bek Manchester United, Patrice Evra menegaskan bahawa dia tidak akan kembali semula ke Perancis dan menyertai Paris St Germain. Laporan dari media-media di Perancis menyebut bahawa, pengurus PSG, Carlo Ancelotti dalam mesyuaratnya bersama pemilik kelab meletakkan Evra dalam senarai teratas pemain yang akan mereka buru. Meskipun menjadi buruan kelab gergasi di negaranya, Evra mengatakan dia akan menghormati kontraknya bersama United yang akan berakhir pada 2014 dan tidak berhasrat meninggalkan Old Trafford. “Apakah anda serius ketika menanyakan soalan ini (tentang perpindahannya ke PSG)? Saya masih mempunyai baki kontrak hingga 2014, bermain untuk Manchester United dan saya adalah kapten pasukan. Anda perlu membunuh Sir Alex dulu sebelum sesiapa boleh membawa saya ke Paris. Saya gembira di Manchester”, kata Evra. Walau bagaimanapun Evra tetap berbesar hati kerana dikaitkan dengan perpindahan ke Paris, tempat di mana dia dibesarkan. “Seronok bila mengetahui ada kelab seperti PSG yang mahukan saya terutamanya kerana saya membesar di Paris. Saya tidak pernah menyembunyikan rasa cinta saya kepada Paris, walaupun Monaco masih pasukan saya. Saya kecewa apabila melihat kelab itu (Monaco) tidak memenangi apa-apa gelaran atau layak ke Liga Juara-Juara”, tambah Evra lagi ketika diwawancara Canaplus. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

10 Disember 2012

REAKSI SELEPAS PERLAWANAN


PERLAWANAN HEBAT TAPI DICEMARI INSIDEN

Sir Alex Ferguson menyifatkan pertembungan derby malam tadi sebagai perlawanan yang hebat, baik United mahupun City masing-masing mempamerkan karekter yang meletakkan kedua-dua kelab itu sebagai penguasa dua tangga teratas liga. Sebelum perlawanan, Sir Alex mengerti betapa City cukup kebal ketika beraksi di halaman sendiri yang menyaksikan mereka tidak tidak tewas di Stadium Etihad hampir dua tahun. “Perlawanan yang sangat hebat dan saya rasa tiada sesiapa yang sanggup melepaskan walau satu detikpun aksi sepanjang 90 minit. Perlawanan seperti ini boleh berakhir dengan keputusan yang pahit buat mana-mana pasukan. City layak menyamakan kedudukan atas semangat gigih mereka dan melakukan perjudian dengan memasukkan tiga penyerang”, kata Ferguson. Biarpun skuadnya berjaya membawa pulang tiga mata penuh, Sir Alex tetap tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil membatalkan jaringan Ashley Young selepas pemain itu didakwa berada dalam posisi offside. Ulang tayang bagaimanapun menunjukkan Young berada sebaris dengan pertahanan terakhir City dan jaringan itu sepatutnya disahkan pengadil perlawanan. Menyentuh tentang insiden balingan objek hingga menyebabkan kecederaan ke atas Rio Ferdinand, ini komen Sir Alex, “Kami semua begitu bersemangat dan ingin menang perlawanan ini. Sayang sekali ada penyokong City yang melempar syiling kepada pemain kami. Perkara itu tidak diperlukan dalam bolasepak”.

CITY TIDAK SEPATUTNYA KALAH

Pengurus Manchester City, Roberto Mancini menilai skuad kendaliannya tidak sepatutnya tewas kepada jiran mereka Manchester United semalam. Gol minit akhir perlawanan Robin Van Persie memberikan City kekalahan pertama mereka dalam aksi liga musim ini namun Mancini tidak terlalu gusar dengan kegagalan terbaru skuad kendaliannya itu. Selepas berjuang hebat untuk menyamakan kedudukan selepas ketinggalan dua gol menerusi jaringan Wayne Rooney, City akhirnya terpaksa melihat United kian melebarkan kedudukan sebagai pendahulu liga dengan kelebihan enam mata. “Kami menunjukkan bahawa City adalah pasukan yang kuat dan masih mempunyai peluang untuk mempertahankan kejuaraan kami. Musim ini masih panjang dan musim lalu kami muncul juara di perlawanan terakhir liga. Kami tidak sepatutnya kalah kerana kami bermain dengan baik”, ujar Mancini. Kekalahan kepada United malam tadi merupakan kekalahan pertama City di gelanggang sendiri sejak Disember 2010.

CITY MOHON MAAF KEPADA RIO

Pihak pengurusan Manchester City memohon maaf kepada Rio Ferdinand berikutan insiden balingan objek yang menyebabkan kening pemain pertahanan itu tercedera. Ketika merayakan gol jaringan Robin Van Persie, Ferdinand terkena syiling yang dilempar penyokong City sebelum seorang lagi penyokong cuba menyerbu ke arahnya. Kening Ferdinand terkoyak dan terpaksa menerima rawatan di tepi padang sebelum kembali semula meneruskan aksi. Menurut jurucakap City, insiden itu sedang disiasat pihak polis dan pihak pengurusan City mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas apa yang berlaku ke atas Ferdinand. “Kami mohon maaf kepada Rio. Kami mengutuk keras tindakan tersebut dan ketika ini kami serta pihak polis sedang meneliti rakaman CCTV sebelum mengambil tindakan lanjut. Kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam membantu siasatan polis. Semoga mereka yang bertanggugjawab dikenakan hukuman setimpal”, kata jurucakap City. Sementara itu Ferdinand sempat berjenaka di akaun Twitter miliknya meskipun tercedera akibat insiden tersebut. “Hasil yang bagus, 3 mata. Siapa pun yang melempar syiling itu, balingannya cukup bagus dan tepat. Masih kurang percaya syiling yang mencederakan saya cuma bernilai 2 penny. Mereka sepatutnya melemparkan syiling 1 pound”, tulis Ferdinand. Ferdinand turut merakamkan penghargaan kepada Joe Hart yang menghalang seorang penyokong yang meluru ke dalam padang. “Saya kagum dengan Joe Hart yang cuba melindungi individu bodoh itu dari masuk ke padang. Saya suka permusuhan antara penyokong, tetapi ada kalanya ia berlaku di luar batasan”, sambung Ferdinand lagi. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

REVIEW: REKOD TANPA KALAH CITY BERAKHIR


Rekod tanpa kalah 15 perlawanan milik Manchester City musim ini lebur selepas mereka tewas 2-3 kepada Manchester United di gelanggang sendiri malam tadi. Seperti yang diramalkan ramai pihak, perlawanan derby Manchester ini berlangsung dengan sengit dan panas serta dicemari insiden lewat permainan. Dua gol jaringan Wayne Rooney memberikan pendahuluan selesa buat United tetapi tuan rumah kemudiannya bangkit di separuh masa kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi Yaya Toure dan Pablo Zabaleta. Robin Van Persie menjaringkan gol kemenangan The Red Devils menerusi sepakan percuma dimasa kecederaan sekaligus melengkapkan minggu serba tidak menjadi buat skuad The Citizens. Selepas tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara dan terlepas slot Liga Europa, kekalahan di tangan United menyaksikan City kini ketinggalan enam mata kepada jiran Manchester mereka itu yang selesa mendahului takhta liga selepas mengumpul 39 mata. Dua gol jaringan Rooney dalam perlawanan ini membolehkan penyerang itu mengumpul 150 gol dalam saingan liga. City yang memburu kemenangan bagi merapatkan jurang mata mula mengasak sejak awal perlawanan namun peluang-peluang yang dicipta mereka berjaya dinafikan benteng pertahanan United yang diterajui Rio Ferdinand dan Jonny Evans. Persembahan benteng pertahanan dalam perlawanan ini wajar dipuji biarpun teruk dikritik Sir Alex Ferguson selepas aksi tidak konsisten ketika berdepan Reading minggu lalu. Walaupun menerima tekanan dari barisan tuan rumah, United berjaya mendahului menerusi peluang pertama yang diterima Rooney hasil gerakan Ashley Young. Percubaan leret yang dilepaskan Rooney berjaya memperdayakan Joe Hart sekaligus memberikan kejutan buat skuad kendalian Roberto Mancini itu. City tambah tertekan apabila kapten mereka, Vincent Kompany mengalami kecederaan dan terpaksa digantikan Kolo Toure. Kehilangan Kompany nampaknya memberi kesan besar kepada benteng pertahanan City dan kesempatan ini digunakan United untuk menambah gol kedua mereka. Rooney sekali lagi berjaya memaksa Hart mengutip bola di dalam gawangnya sendiri apabila mudah merembat masuk bola hantaran Rafael da Silva diminit ke-29.

Meskipun saling berbalas serangan selepas itu, kedudukan kekal 2-0 memihak United ketika Martin Atkinson meniup wisel penamat separuh masa pertama. Bersambung di babak kedua, United hampir menamatkan cabaran City apabila Young berjaya menolak bola masuk ke gawang tuan rumah, namun jaringan itu tidak disahkan kerana pemain itu dikatakan berada pada posisi offside meskipun ulang tayang menunjukkan sebaliknya. Dua minit selepas itu, (Yaya) Toure berjaya merapatkan kedudukan selepas berlaku situasi kelam kabut di hadapan gawang United. Walaupun David de Gea berjaya menghalang dua percubaan Sergio Aguero tetapi dia akhirnya terpaksa akur menyaksikan pintu golnya dibolosi menerusi jaringan Toure. Gol itu menyemarakkan kembali semangat tuan rumah untuk memburu gol kedua dan peluang terbaik mereka hadir menerusi David Silva namun percubaan dari jarak dekatnya terkena bahu De Gea dan melatun mengenai tiang gol. Gol yang dicari-cari akhirnya muncul juga apabila Zabaleta berjaya merembat masuk dari luar petak penalti untuk gol penyamaan diminit ke-86. Ketika kedua-dua pasukan tampak seakan-akan bakal berkongsi mata selepas perlawanan memasuki masa kecederaan, United dihadiahkan sepakan percuma apabila Rafael da Silva dikasari Carlos Tevez. Van Persie yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut membuktikan kaki kirinya cukup berbisa apabila rembatannya dari jarak kira-kira 25 meter terus menerjah ke gawang City sekaligus memberikan tiga mata berharga buat United. Insiden tidak diingini berlaku ketika pemain-pemain United meraikan jaringan Van Persie apabila Ferdinand mengalami kecederaan di bahagian kening selepas terkena objek yang dilempar penyokong City. Pemain kedua-dua pasukan juga tampak sedikit emosi di penghujung permainan dan United akhirnya berjaya mempertahankan kedudukan mereka untuk membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Etihad. Kemenangan ini bukan saja penting bagi United untuk mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas liga, tetapi bakal menjadi lonjakan buat The Red Devils dalam usaha mereka merampas semula kejuaraan liga dari City. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Barisan Pemain City:

Hart, Zabaleta, Kompany (Kolo Toure 21’), Nastasic, Clichy, Yaya Toure (Dzeko 84’), Barry, Nasri, Silva & Balotelli (Tevez 52’)

Barisan Pemain United:

De Gea, Rafael, Ferdinand, Evans (Smalling 59’), Evra, Valencia (Jones 84’), Cleverley (Welbeck 88’), Carrick, Young, Rooney & Van Persie

Statistik Perlawanan City - United

Gol: 2 – 3
Penguasaan Bola: 56% - 44%
Percubaan Tepat: 9 – 3
Percubaan Tersasar: 18 – 10
Sepakan Sudut: 8 – 2
Offside: 4 – 4
Kad Kuning: 4 – 2
Kad Merah: 0 – 0 

09 Disember 2012

PREVIEW: MANCHESTER CITY lwn MANCHESTER UTD



Manchester United akan berkunjung ke Stadium Etihad dengan misi mahu memadamkan aib kekalahan 1-6 di Old Trafford kepada jiran mereka itu musim lalu. Tambah memedihkan, United kehilangan kejuaraan liga yang mereka menangi (musim 2010/11) kepada City menerusi perbezaan gol selepas Sergio Aguero menjaringkan gol kemenangan ke atas QPR di penghujung permainan pada perlawanan terakhir liga. Musim ini City masih kebal dengan rekod tanpa kalah mereka dalam saingan liga domestik biarpun mempamerkan aksi longlai di peringkat Eropah hingga menyaksikan mereka tersingkir di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. City mencatatkan 9 kemenangan dan enam keputusan seri, menjaringkan hanya 37 gol dalam semua kejohanan berbanding 52 gol yang dihasilkan United. Kegagalan melayakan diri di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dan terlepas slot Liga Europa kepada Ajax Amsterdam menyaksikan City terpaksa melalui tempoh yang sukar minggu ini. Jadi tidak hairanlah jika Roberto Mancini meletakkan pertemuan menentang United malam nanti detik terbaik untuk melonjakkan semula moral pasukannya. Kecergasan perancang tengah City, David Silva masih diragukan walaupun Mancini memberitahu bintang antarabangsa Sepanyol itu berada dalam perancangannya untuk perlawanan ini. James Milner, Aleksander Kolarov dan Gael Clichy dberitakan akan terlepas aksi malam nanti berikutan masalah kecederaan. Bagi United pula, mereka kehilangan beberapa pemain utama pada kunjungan ke gelanggang seteru setempat mereka itu selepas Tom Cleverley dan Anderson muncul pemain terbaru yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

Shinji Kagawa dan Nemanja Vidic sudah mula menjalani latihan tetapi derby ini nampaknya masih terlalu awal untuk mereka turun beraksi. Nani dan Antonio Valencia masih dibelenggu kecederaan dan ini menjadikan hanya Ashley Young satu-satunya pemain sayap yang dimiliki Sir Alex Ferguson ketika ini. Situasi ini memungkinkan bintang veteran, Ryan Giggs diletakkan dalam kesebelasan utama United nanti. Robin Van Persie akan menjadi tumpuan pada perlawanan ini selepas menjaringkan 13 gol dalam semua kejohanan setakat ini dan bakal menghantui benteng pertahanan kelab yang memburu khidmatnya musim panas lalu. Derby kali ini akan menjadi medan ujian buat Van Persie membuktikan ketajaman penyudahnya sambil dibantu Wayne Rooney yang menjaringkan dua gol ketika bertemu Reading minggu lalu. Pertembungan Van Persie dengan penyerang City, Sergio Aguero yang sudah menjaringkan tujuh gol tentunya menarik untuk disaksikan. Sir Alex perlu memperkemaskan benteng pertahanannya sebelum pertembungan ini apatah lagi selepas menyaksikan Reading membolosi gawang mereka sebanyak tiga kali. Kegagalan menangani ancaman set piece lawan perlu diberikan perhatian selepas Adam le Fondre dan Shaun Morrison minggu lalu mendedahkan kelemahan benteng United dalam menangani situasi bola mati. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Rekod Pertemuan City/United Di Peringkat Liga:

Jumlah Perlawanan: 139
Menang: 39 – 55
Seri: 45 – 45
Kalah: 55 – 39


Barisan Kemungkinan City:

Joe Hart, Maicon, Vincent Kompany, Joleon Lescott, Pablo Zabaleta, Samir Nasri, David Silva, Yaya Toure, Gareth Barry, Sergio Aguero & Carlos Tevez

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Rafael da Silva, Michael Carrick, Paul Scholes, Ashley Young, Ryan Giggs, Robin Van Persie & Wayne Rooney

08 Disember 2012

ENAM DERBY KLASIK MANCHESTER


Malam esok, Manchester United akan berkunjung ke gelanggang jiran mereka Manchester City dalam saingan liga yang dianggap sebagai perlawanan terbesar setakat ini. Kedua-dua kelab berjiran itu menguasai kedudukan dua tangga teratas liga tetapi Sir Alex Ferguson akan membawa pasukannya ke Stadium Etihad dengan kelebihan tiga mata di atas City. Kemenangan dalam perlawanan ini akan memberikan lonjakan besar buat mana-mana kelab dalam usaha mereka memburu kejuaraan liga musim ini. Ada yang mengatakan derby hujung minggu ini adalah yang terbesar dalam sejarah 163 pertemuan antara kedua-dua kelab tetapi ada beberapa perlawanan sebelum ini yang boleh dianggap klasik dan mendebarkan. Berikut adalah enam perlawanan klasik United dan City yang tentunya masih diingati penyokong-penyokong kedua-dua kelab hingga kehari ini.

1. 27 April 1974: United (0) – City (1)

City berkunjung ke Old Trafford pada tarikh tersebut dengan misi mahu menghantar seteru setempat mereka itu ke Divisyen Dua. United berdepan prestasi tidak menentu selepas pengurus lagenda mereka, Matt Busby mengambil keputusan bersara dan akibatnya The Red Devils terperosok di tangga ke-21 musim 1973-74. Ironinya gol kemenangan City di Old Trafford dijaringkan bekas pemain United sendiri, Denis Law menerusi tolakan tumit sekaligus menyaksikan The Red Devils terpaksa bermain di Divisyen Dua musim berikutnya. Dedikasi, komitmen serta rasa cinta Law kepada United tergambar dalam perlawanan itu. Biarpun beliau menjaringkan gol, Law langsung tidak memberikan reaksinya malah kelihatan sedih selepas jaringan tersebut. Penyerang Scotland itu kemudiannya terpaksa dikeluarkan selepas itu dan ada yang mengatakan gol itu menghantui Law hingga ke hari ini.

2. 7 November 1993: City (2) – United (3)

Dua gol menerusi tandukan Niall Quinn memberikan pendahuluan selesa kepada City dalam perlawanan yang dilangsungkan di Maine Road itu. Keputusan perlawanan tampak akan memihak kepada City tetapi Eric Cantona yang baru ditandatangani dari Leeds United nampaknya tidak bersedia untuk berdepan kekalahan kepada seteru setempat mereka itu. Cantona hampir berseorangan memacu kebangkitan United di hadapan penyokong-penyokong City dengan dua gol sumbangannya sebelum Roy Keane menjaringkan gol kemenangan di penghujung permainan untuk memberikan United tiga mata di sana (Maine Road).

3. 29 September 2009: United (4) – City (3)

Ramai yang bertanya sesama sendiri selepas Sir Alex Ferguson mendapatkan khidmat Michael Owen secara percuma pada musim panas 2009. Mereka tidak boleh dipersalahkan jika kurang bersetuju dengan tindakan yang diambil Sir Alex itu (dengan menandatangani Owen) apatah lagi Owen adalah bekas pemain Liverpool yang juga merupakan musuh tradisi United dan pernah menjadi sanjungan peminat-peminat di Anfield sepanjang tempoh lapan tahunnya menyarung jersi The Reds. Bagaimanapun penyokong-penyokong United boleh melupakan semua itu apabila Owen menjaringkan gol kemenangan dramatik ke atas City (minit 90 + 6) selepas kedudukan terikat 3-3 di Theatre of Dreams.

4. 27 Januari 2010: United (3) – City (1)

Empat bulan selepas gol dramatik Michael Owen ke atas City, Mark Hughes telah dipecat dan digantikan dengan pengendali dari Itali, Roberto Mancini. Mancini membawa skuadnya bertandang ke Old Trafford bagi menghadapi perlawanan separuh akhir pusingan kedua Piala Liga selepas menang 2-1 di Eastlands pada pusingan pertama. United berjaya menjaringkan dua gol menerusi Paul Scholes dan Michael Carrick namun Carlos Tevez mengikat kedudukan aggregat kepada 3-3. Ketika perlawanan seolah-olah bakal menuju ke masa tambahan, Wayne Rooney muncul pemusnah apabila menjaringkan gol di masa kecederaan sekaligus membawa United ke perlawanan akhir. United kemudiannya muncul juara Piala Liga (Carling Cup) selepas menewaskan Aston Villa 2-1 di Wembley.

5. 12 Februari 2011: United (2) – City (1)

United perlukan kemenangan dalam perlawanan ini selepas mereka disaingi hebat Chelsea dan City dalam perebutan merebut kejuaraan liga. Selepas Nani meletakkan United di hadapan lewat separuh masa pertama, perancang tengah City, David Silva pula kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan diminit ke-68. Ramai yang menonton perlawanan ini meramalkan kedua-dua pasukan akan berkongsi mata ketika perlawanan semakin menuju penghujung saingan. Bagaimanapun menerusi satu hantaran lambung Nani dari sebelah kiri kawasan lawan, Wayne Rooney melepaskan sepakan gunting yang sama sekali gagal diselamatkan Joe Hart. Penjaga gol England itu hanya mampu melihat gawangnya dibocori menerusi gol yang dianggap antara paling klasik dalam sejarah Liga Perdana.

6. 23 Oktober 2011: United (1) – City (6)

City muncul kuasa baru bolasepak England sejak diambil alih keluarga di raja UAE pada 2009. Mereka berbelanja besar tanpa had dengan mendapatkan bintang-bintang ternama dan penyokong-penyokong mereka mula melaungkan bahawa City kini adalah kelab terbesar di bandaraya Manchester. Perlawanan yang di langsungkan di Old Trafford ini menjadi ujian besar kepada Roberto Mancini selepas beliau membawa masuk ramai pemain ternama dalam pasukan antaranya Sergio Aguero, Yaya Toure, Samir Nasri, Edin Dzeko, Mario Balotelli dan Gael Clichy. United terpaksa membayar harga mahal atas kad merah yang dilayangkan kepada Jonny Evans hingga mengakibatkan gawang mereka di bolosi enam kali oleh City. Kekalahan yang begitu besar kepada seteru setempat memang pahit untuk diterima dan hingga kini `tragedi 23 Oktober’ itu masih kekal dalam ingatan penyokong-penyokong United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

PERANG PRESTASI 4 PENGGEMPUR


Selepas mengharungi 15 perlawanan liga, senarai penjaring terbanyak Liga Perdana dikuasai empat nama. Robin Van Persie, Luis Suarez, Demba Ba dan Michu masing-masing sudah menjaringkan sepuluh gol setakat ini. Kempat-empat penggempur ini memiliki kelebihan masing-masing dan berikut adalah statistik jaringan mereka berdasarkan empat aspek yang berlainan. Jadi siapakah yang terbaik antara mereka? Anda tentukan sendiri.

1. Gol Per Minit

Dalam hal ini, penyerang Manchester United, Robin Van Persie jelas paling unggul apabila dia hanya memerlukan purata 119.2 minit untuk menjaringkan setiap satu gol. Di kedudukan kedua pula ialah Demba Ba (123.7 minit per gol), Michu (129.2 minit per gol) dan terakhir penyerang Liverpool, Luis Suarez (134.7 minit per gol).


2. Ketajaman Penyudah

Dari keempat-empat penggempur ini, pemain Swansea City, Michu paling unggul dalam menyudahkan peluang yang diterimanya. 29% peluang-peluang yang diterimanya berjaya disudahkan Michu. Di tempat kedua Robin Van Persie (23%), Demba Ba pula di tangga ketiga (20%) dan Luis Suarez sekali lagi berada di tangga keempat dengan (14%).

3. Rembatan

Penyerang Newcastle United, Demba Ba memang unggul jika dibandingkan tiga lagi pesaingnya. 55% rembatan-rembatan yang dilepaskan penyerang Senegal itu menepati sasaran manakala Michu pula menduduki tangga kedua cuma ketinggalan 2% berbanding Ba. Robin Van Persie di tangga ketiga dengan 52% dan Luis Suarez di kedudukan terakhir dengan 38%.

4. Gol Dari Luar Petak Penalti

Selepas berada di tangga terakhir dari 3 kategori, penyerang Liverpool, Luis Suarez kini berada di tangga teratas dalam aspek ini. Dari 10 gol yang dijaringkannya, 4 gol Suarez dihasilkan dari luar petak penalti. Michu dan Demba Ba berkongsi tangga kedua dengan 1 gol manakala Robin Van Persie setakat ini belum lagi menjaringkan gol dari luar petak penalti.

5. Gol Menerusi Tandukan

Michu kembali unggul menerusi aspek ini apabila dia sudah menjaringkan 4 gol menerusi tandukan. Demba Ba berkongsi kedudukan bersama Luis Suarez dengan 2 gol manakala Robin Van Persie pula setakat ini hanya menjaringkan 1 gol menerusi tandukan. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

07 Disember 2012

KENALI LAGENDA: BRYAN ROBSON


Bryan Robson dilahirkan pada 11 Januari 1957, di Chester-le-Street, Country Durham. Memulakan kerjaya beliau bersama West Bromwich Albion pada tahun 1972 sebelum berpindah ke Manchester United pada 1 Oktober 1981 di mana beliau muncul kapten pasukan paling lama berkhidmat untuk The Red Devils. Debut pertama Robbo (panggilan untuk Robson) dalam saingan liga berlaku pada bulan April 1975 bersama West Bromwich di bawah kendalian Ron Atkinson dan berjaya meletakkan dirinya antara tonggak utama The Baggies. Selepas Big Ron (Atkinson) meninggalkan West Browich untuk menyertai United, Robbo mengikut jejak langkah bekas pengurusnya itu dan berpindah ke Old Trafford. Bersama United, Robbo diberikan jersi nombor 7 yang pernah disarung lagenda United sendiri, George Best. Biarpun dibayangi kehebatan Liverpool di era 80an, Robbo menjadi inspirasi di bahagian tengah United hingga berjaya menjulang kejuaraan Piala FA pada 1983, 1985 dan 1990. Di pentas antarabangsa pula, Robbo melakukan debut untuk England pada bulan Februari 1980 dan muncul tonggak The Three Lions dalam dua pusingan akhir Piala Dunia (1982 dan 1986) serta Kejohanan Euro 1988. Gol pantasnya (27 saat) ketika menentang Perancis pada tahun 1982 menjadi rekod jaringan terpantas dalam sejarah Piala Dunia dan bertahan selama 20 tahun.  Robbo memperolehi 90 caps untuk skuad kebangsaan dan mengetuai The Three Lions sebanyak 65 kali, pencapaian yang hanya diatasi oleh Bobby Moore dan Billi Wright. Robbo mengetuai United dalam tiga final Piala FA dan Piala Pemenang Piala (Cup Winners Cup) serta dua kejuaraan liga (1992/93 dan 1993/94). Robbo adalah nama besar yang berjaya dibawa Ron Atkinson dan perpindahannya ke Old Trafford dengan nilai 1.5 juta Pound mencatat rekod British ketika itu. Rekod perpindahan Robbo sebagai pemain termahal British tidak dipecahkan selama enam tahun sehinggalah Liverpool membayar 1.9 juta Pound kepada Newcastle United untuk mendapatkan khidmat Peter Beardsley pada musim panas 1987. Kemunculan pertamanya untuk United ialah pada 7 Oktober 1981 dalam saingan Piala Liga menentang Tottenham Hotspurs di mana United tewas 0-1 dalam perlawanan itu. Penampilan pertama liga untuk kelab barunya muncul tiga hari kemudian ketika United sekadar seri tanpa jaringan menentang jiran mereka, Manchester City. Robbo akhirnya menjaringkan gol pertamanya untuk United pada 7 November 1981 ketika menang ke atas Sunderland 5-1 di Roker Park dan mengakhiri musim pertamanya di Old Trafford dengan 32 penampilan dan lima gol. Sementara itu kerjayanya bersama skuad kebangsaan turut berkembang apabila Robbo berjaya menyumbangkan salah satu gol ketika membelasah Ireland Utara 4-0 di Wembley dalam perlawanan pemanas badan sebelum kejohanan Piala Dunia 1982 bermula. Kecederaan serius melanda Robbo ketika pertemuan Piala Liga edisi 1983 menentang Arsenal di peringkat separuh akhir. Kecederaan ligamen buku lali yang dialaminya menyebabkan Robbo terlepas aksi perlawanan akhir yang menyaksikan United tewas kepada Liverpool.

Robbo kembali cergas untuk membantu United dan sekali lagi berdepan Arsenal, kali ini di peringkat separuh akhir Piala FA pula. United sekali lagi layak ke perlawanan akhir selepas mereka berjaya menewaskan The Gunners 2-1 menerusi gol kemenangan jaringan Robbo. Di pentas akhir, United terpaksa bermain perlawanan ulangan selepas diikat Brighton 2-2 pada perlawanan pertama dan kemudiannya menang 4-0 pada perlawanan kedua. Robbo menjaringkan dua gol pada perlawanan ulangan namun menolak peluang untuk muncul pemain pertama dalam tempoh 30 tahun menjaringkan hatrik di perlawanan akhir Piala FA. Beliau berpeluang merakamkan hatrik dalam perlawanan itu selepas United dihadiahkan sepakan penalti tetapi menyerahkan tugas itu kepada Arnold Muhren selaku pilihan utama pengambil sepakan penalti. Kemenangan di pentas akhir Piala FA edisi 1983 membolehkan Robbo menjulang trofi pertamanya bersama United selaku ketua pasukan. Kejayaan ini juga meletakkan Robbo selaku ketua pasukan kedua United dari England yang berjaya menjulang trofi kejuaraan selepas Charlie Roberts melakukannya pada 1909. Musim berikutnya (1983/84), Robbo berjaya membantu United layak ke peringkat separuh akhir kejohanan Eropah (Piala Pemenang Piala) selepas menyingkir Barcelona dengan aggregat 3-2. Walaupun tewas 0-2 pada perlawanan pertama di Nou Camp, Robbo menjaringkan dua gol di Old Trafford yang menyaksikan United menang 3-0 sekaligus layak ke separuh akhir. Robbo bagaimanapun terlepas kedua-dua aksi timbal balik peringkat separuh akhir menentang Juventus kerana masalah hamstring yang menyaksikan United disingkir gergasi Itali itu. Ketika saingan peringkat kedua (separuh akhir Piala Pemenang Piala) dilangsungkan di Itali, Robbo dibenarkan pihak pengurusan United untuk mengadakan perbincangan dengan Juventus, namun kelab berpangkalan di Turin itu membatalkan hasrat mereka untuk menandatangani Robbo selepas United meletakan tandaharga 3 juta Pound ke atasnya. Masalah hamstring yang dialami Robbo juga menyebabkan beliau terlepas beberapa aksi penting penghujung musim hingga menyebabkan United gagal mengekang Liverpool dari menjulang kejuaraan liga buat kali ke-15. Sebaik musim 1983/84 berakhir, Robbo menandatangani kontrak baru yang menyaksikannya kekal di Old Trafford untuk tempoh tujuh tahun lagi. United layak ke perlawanan akhir Piala FA sekali lagi pada tahun 1985 selepas memenanginya dua tahun lalu dan bakal berdepan pasukan pilihan, Everton yang dibarisi penggempur berbisa mereka Andy Gray. Jaringan tunggal Norman Whiteside membolehkan Robbo menjulang Piala FA buat kali kedua sebagai ketua pasukan United. Kecederaan bahu yang dialami Robbo pada bulan Februari 1986 menyebabkan penampilannya bersama United dalam saingan liga musim 1985/86 terhad kepada 21 perlawanan sahaja, tetapi beliau masih mampu menjaringkan tujuh gol. Robbo memilih kekal di Old Trafford biarpun individu yang bertanggungjawab mengasah bakatnya ketika bersama West Bromwich, Ron Atkinson dipecat sebagai pengurus United pada bulan November 1986 dan digantikan oleh Alex Ferguson.

Robbo gagal memenangi sebarang trofi selama empat tahun di bawah kendalian Ferguson hinggalah United layak keperlawanan akhir Piala FA pada tahun 1990. Robbo menjaringkan gol pada perlawanan akhir menentang Crystal Palace yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 3-3. United kemudiannya berjaya menewaskan Palace 1-0 pada perlawanan ulangan sekaligus memberikan peluang buat Robbo menjulang trofi itu buat kali ketiga sebagai ketua pasukan. Kejayaan itu juga menjadikan Robbo sebagai ketua pasukan United pertama berjaya menjulang Piala FA sebanyak tiga kali. Kejayaan menjulang Piala FA sedikit sebanyak mengubati kekecewaan Robbo yang dibelenggu kecederaan musim tersebut (1989/90). Dia hanya tampil sebanyak 20 perlawanan di mana United menamatkan saingan di tangga ke-13, kedudukan terendah mereka sejak tersingkir ke Divisyen 2 pada 1974. Musim 1990/91, Robbo hanya bermain sebanyak 17 perlawanan liga disebabkan kecederaan yang dialaminya pada kempen Piala Dunia. Semasa ketiadaannya, tugas sebagai ketua pasukan diserahkan kepada Niel Webb, tetapi Robbo memakai semula lilitan lengan kapten selepas pulih semula. Tahun 1991, Robbo mengetuai United ke perlawanan akhir saingan di pentas Eropah bagi merebut trofi Piala Pemenang Piala berdepan Barcelona. Kemenangan 2-1 yang dilakar ke atas Barcelona di perlawanan akhir hasil jaringan Mark Hughes membolehkan United yang diketuai Robbo menjuarai kejuaraan Eropah buat pertama kali sejak kejayaan skuad The Busby Babes (menang trofi Piala Eropah) pada 1968. Sepanjang kariernya di Old Trafford, Robbo bermain hampir 500 perlawanan untuk United dan menjaringkan 99 gol, satu jumlah yang cukup besar buat seorang pemain tengah. Captain Marvel itu menghabiskan tempoh 13 tahunnya di Old Trafford dengan memainkan peranan dalam kebangkitan United sebagai kuasa bolasepak Inggeris. Sebagai pemain tengah beliau dikenali dengan kehebatan hantaran-hantarannya yang luar biasa, hingga diiktiraf sebagai pemain tengah terbaik ketika zamannya. Mempunyai rekod jaringan yang baik, kebolehan membaca tempo perlawanan dengan tepat, mempunyai tahap stamina yang tinggi dan memiliki tandukan yang hebat, hinggakan bekas pengurus England, mendiang Bobby Robson meletakkan Robbo sebagai pemain terbaik England pernah bekerjasama dengannya. Robbo akhirnya meninggalkan United untuk menyertai Middlesbrough pada akhir musim 1993/94 sekaligus mencatat rekod sebagai ketua pasukan paling lama bermain untuk The Red Devils. Selepas beraksi selama tiga tahun di Riverside, Robbo akhirnya mengambil keputusan bersara dari arena bolasepak dan mengendalikan Boro sebagai pengurus hingga 2001. Beliau kemudiannya menyertai Bradford City selama setahun (2003-2004), kemudiannya kembali semula ke West Bromwich untuk menguruskan The Baggies (2004-2006) dan tugas terakhirnya sebagai pengurus di England ialah mengendalikan Sheffield United dari 2007 hingga 2008. Pada 23 September 2008, Robbo dilantik mengendalikan skuad kebangsaan Thailand tetapi meletak jawatan tiga tahun kemudian (8 Jun 2011) sebelum dilantik sebagai duta Manchester United.