09 Disember 2012

PREVIEW: MANCHESTER CITY lwn MANCHESTER UTD



Manchester United akan berkunjung ke Stadium Etihad dengan misi mahu memadamkan aib kekalahan 1-6 di Old Trafford kepada jiran mereka itu musim lalu. Tambah memedihkan, United kehilangan kejuaraan liga yang mereka menangi (musim 2010/11) kepada City menerusi perbezaan gol selepas Sergio Aguero menjaringkan gol kemenangan ke atas QPR di penghujung permainan pada perlawanan terakhir liga. Musim ini City masih kebal dengan rekod tanpa kalah mereka dalam saingan liga domestik biarpun mempamerkan aksi longlai di peringkat Eropah hingga menyaksikan mereka tersingkir di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. City mencatatkan 9 kemenangan dan enam keputusan seri, menjaringkan hanya 37 gol dalam semua kejohanan berbanding 52 gol yang dihasilkan United. Kegagalan melayakan diri di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dan terlepas slot Liga Europa kepada Ajax Amsterdam menyaksikan City terpaksa melalui tempoh yang sukar minggu ini. Jadi tidak hairanlah jika Roberto Mancini meletakkan pertemuan menentang United malam nanti detik terbaik untuk melonjakkan semula moral pasukannya. Kecergasan perancang tengah City, David Silva masih diragukan walaupun Mancini memberitahu bintang antarabangsa Sepanyol itu berada dalam perancangannya untuk perlawanan ini. James Milner, Aleksander Kolarov dan Gael Clichy dberitakan akan terlepas aksi malam nanti berikutan masalah kecederaan. Bagi United pula, mereka kehilangan beberapa pemain utama pada kunjungan ke gelanggang seteru setempat mereka itu selepas Tom Cleverley dan Anderson muncul pemain terbaru yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan.

Shinji Kagawa dan Nemanja Vidic sudah mula menjalani latihan tetapi derby ini nampaknya masih terlalu awal untuk mereka turun beraksi. Nani dan Antonio Valencia masih dibelenggu kecederaan dan ini menjadikan hanya Ashley Young satu-satunya pemain sayap yang dimiliki Sir Alex Ferguson ketika ini. Situasi ini memungkinkan bintang veteran, Ryan Giggs diletakkan dalam kesebelasan utama United nanti. Robin Van Persie akan menjadi tumpuan pada perlawanan ini selepas menjaringkan 13 gol dalam semua kejohanan setakat ini dan bakal menghantui benteng pertahanan kelab yang memburu khidmatnya musim panas lalu. Derby kali ini akan menjadi medan ujian buat Van Persie membuktikan ketajaman penyudahnya sambil dibantu Wayne Rooney yang menjaringkan dua gol ketika bertemu Reading minggu lalu. Pertembungan Van Persie dengan penyerang City, Sergio Aguero yang sudah menjaringkan tujuh gol tentunya menarik untuk disaksikan. Sir Alex perlu memperkemaskan benteng pertahanannya sebelum pertembungan ini apatah lagi selepas menyaksikan Reading membolosi gawang mereka sebanyak tiga kali. Kegagalan menangani ancaman set piece lawan perlu diberikan perhatian selepas Adam le Fondre dan Shaun Morrison minggu lalu mendedahkan kelemahan benteng United dalam menangani situasi bola mati. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Rekod Pertemuan City/United Di Peringkat Liga:

Jumlah Perlawanan: 139
Menang: 39 – 55
Seri: 45 – 45
Kalah: 55 – 39


Barisan Kemungkinan City:

Joe Hart, Maicon, Vincent Kompany, Joleon Lescott, Pablo Zabaleta, Samir Nasri, David Silva, Yaya Toure, Gareth Barry, Sergio Aguero & Carlos Tevez

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Jonny Evans, Rafael da Silva, Michael Carrick, Paul Scholes, Ashley Young, Ryan Giggs, Robin Van Persie & Wayne Rooney

Tiada ulasan:

Catat Ulasan