07 Disember 2012

KENALI LAGENDA: BRYAN ROBSON


Bryan Robson dilahirkan pada 11 Januari 1957, di Chester-le-Street, Country Durham. Memulakan kerjaya beliau bersama West Bromwich Albion pada tahun 1972 sebelum berpindah ke Manchester United pada 1 Oktober 1981 di mana beliau muncul kapten pasukan paling lama berkhidmat untuk The Red Devils. Debut pertama Robbo (panggilan untuk Robson) dalam saingan liga berlaku pada bulan April 1975 bersama West Bromwich di bawah kendalian Ron Atkinson dan berjaya meletakkan dirinya antara tonggak utama The Baggies. Selepas Big Ron (Atkinson) meninggalkan West Browich untuk menyertai United, Robbo mengikut jejak langkah bekas pengurusnya itu dan berpindah ke Old Trafford. Bersama United, Robbo diberikan jersi nombor 7 yang pernah disarung lagenda United sendiri, George Best. Biarpun dibayangi kehebatan Liverpool di era 80an, Robbo menjadi inspirasi di bahagian tengah United hingga berjaya menjulang kejuaraan Piala FA pada 1983, 1985 dan 1990. Di pentas antarabangsa pula, Robbo melakukan debut untuk England pada bulan Februari 1980 dan muncul tonggak The Three Lions dalam dua pusingan akhir Piala Dunia (1982 dan 1986) serta Kejohanan Euro 1988. Gol pantasnya (27 saat) ketika menentang Perancis pada tahun 1982 menjadi rekod jaringan terpantas dalam sejarah Piala Dunia dan bertahan selama 20 tahun.  Robbo memperolehi 90 caps untuk skuad kebangsaan dan mengetuai The Three Lions sebanyak 65 kali, pencapaian yang hanya diatasi oleh Bobby Moore dan Billi Wright. Robbo mengetuai United dalam tiga final Piala FA dan Piala Pemenang Piala (Cup Winners Cup) serta dua kejuaraan liga (1992/93 dan 1993/94). Robbo adalah nama besar yang berjaya dibawa Ron Atkinson dan perpindahannya ke Old Trafford dengan nilai 1.5 juta Pound mencatat rekod British ketika itu. Rekod perpindahan Robbo sebagai pemain termahal British tidak dipecahkan selama enam tahun sehinggalah Liverpool membayar 1.9 juta Pound kepada Newcastle United untuk mendapatkan khidmat Peter Beardsley pada musim panas 1987. Kemunculan pertamanya untuk United ialah pada 7 Oktober 1981 dalam saingan Piala Liga menentang Tottenham Hotspurs di mana United tewas 0-1 dalam perlawanan itu. Penampilan pertama liga untuk kelab barunya muncul tiga hari kemudian ketika United sekadar seri tanpa jaringan menentang jiran mereka, Manchester City. Robbo akhirnya menjaringkan gol pertamanya untuk United pada 7 November 1981 ketika menang ke atas Sunderland 5-1 di Roker Park dan mengakhiri musim pertamanya di Old Trafford dengan 32 penampilan dan lima gol. Sementara itu kerjayanya bersama skuad kebangsaan turut berkembang apabila Robbo berjaya menyumbangkan salah satu gol ketika membelasah Ireland Utara 4-0 di Wembley dalam perlawanan pemanas badan sebelum kejohanan Piala Dunia 1982 bermula. Kecederaan serius melanda Robbo ketika pertemuan Piala Liga edisi 1983 menentang Arsenal di peringkat separuh akhir. Kecederaan ligamen buku lali yang dialaminya menyebabkan Robbo terlepas aksi perlawanan akhir yang menyaksikan United tewas kepada Liverpool.

Robbo kembali cergas untuk membantu United dan sekali lagi berdepan Arsenal, kali ini di peringkat separuh akhir Piala FA pula. United sekali lagi layak ke perlawanan akhir selepas mereka berjaya menewaskan The Gunners 2-1 menerusi gol kemenangan jaringan Robbo. Di pentas akhir, United terpaksa bermain perlawanan ulangan selepas diikat Brighton 2-2 pada perlawanan pertama dan kemudiannya menang 4-0 pada perlawanan kedua. Robbo menjaringkan dua gol pada perlawanan ulangan namun menolak peluang untuk muncul pemain pertama dalam tempoh 30 tahun menjaringkan hatrik di perlawanan akhir Piala FA. Beliau berpeluang merakamkan hatrik dalam perlawanan itu selepas United dihadiahkan sepakan penalti tetapi menyerahkan tugas itu kepada Arnold Muhren selaku pilihan utama pengambil sepakan penalti. Kemenangan di pentas akhir Piala FA edisi 1983 membolehkan Robbo menjulang trofi pertamanya bersama United selaku ketua pasukan. Kejayaan ini juga meletakkan Robbo selaku ketua pasukan kedua United dari England yang berjaya menjulang trofi kejuaraan selepas Charlie Roberts melakukannya pada 1909. Musim berikutnya (1983/84), Robbo berjaya membantu United layak ke peringkat separuh akhir kejohanan Eropah (Piala Pemenang Piala) selepas menyingkir Barcelona dengan aggregat 3-2. Walaupun tewas 0-2 pada perlawanan pertama di Nou Camp, Robbo menjaringkan dua gol di Old Trafford yang menyaksikan United menang 3-0 sekaligus layak ke separuh akhir. Robbo bagaimanapun terlepas kedua-dua aksi timbal balik peringkat separuh akhir menentang Juventus kerana masalah hamstring yang menyaksikan United disingkir gergasi Itali itu. Ketika saingan peringkat kedua (separuh akhir Piala Pemenang Piala) dilangsungkan di Itali, Robbo dibenarkan pihak pengurusan United untuk mengadakan perbincangan dengan Juventus, namun kelab berpangkalan di Turin itu membatalkan hasrat mereka untuk menandatangani Robbo selepas United meletakan tandaharga 3 juta Pound ke atasnya. Masalah hamstring yang dialami Robbo juga menyebabkan beliau terlepas beberapa aksi penting penghujung musim hingga menyebabkan United gagal mengekang Liverpool dari menjulang kejuaraan liga buat kali ke-15. Sebaik musim 1983/84 berakhir, Robbo menandatangani kontrak baru yang menyaksikannya kekal di Old Trafford untuk tempoh tujuh tahun lagi. United layak ke perlawanan akhir Piala FA sekali lagi pada tahun 1985 selepas memenanginya dua tahun lalu dan bakal berdepan pasukan pilihan, Everton yang dibarisi penggempur berbisa mereka Andy Gray. Jaringan tunggal Norman Whiteside membolehkan Robbo menjulang Piala FA buat kali kedua sebagai ketua pasukan United. Kecederaan bahu yang dialami Robbo pada bulan Februari 1986 menyebabkan penampilannya bersama United dalam saingan liga musim 1985/86 terhad kepada 21 perlawanan sahaja, tetapi beliau masih mampu menjaringkan tujuh gol. Robbo memilih kekal di Old Trafford biarpun individu yang bertanggungjawab mengasah bakatnya ketika bersama West Bromwich, Ron Atkinson dipecat sebagai pengurus United pada bulan November 1986 dan digantikan oleh Alex Ferguson.

Robbo gagal memenangi sebarang trofi selama empat tahun di bawah kendalian Ferguson hinggalah United layak keperlawanan akhir Piala FA pada tahun 1990. Robbo menjaringkan gol pada perlawanan akhir menentang Crystal Palace yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 3-3. United kemudiannya berjaya menewaskan Palace 1-0 pada perlawanan ulangan sekaligus memberikan peluang buat Robbo menjulang trofi itu buat kali ketiga sebagai ketua pasukan. Kejayaan itu juga menjadikan Robbo sebagai ketua pasukan United pertama berjaya menjulang Piala FA sebanyak tiga kali. Kejayaan menjulang Piala FA sedikit sebanyak mengubati kekecewaan Robbo yang dibelenggu kecederaan musim tersebut (1989/90). Dia hanya tampil sebanyak 20 perlawanan di mana United menamatkan saingan di tangga ke-13, kedudukan terendah mereka sejak tersingkir ke Divisyen 2 pada 1974. Musim 1990/91, Robbo hanya bermain sebanyak 17 perlawanan liga disebabkan kecederaan yang dialaminya pada kempen Piala Dunia. Semasa ketiadaannya, tugas sebagai ketua pasukan diserahkan kepada Niel Webb, tetapi Robbo memakai semula lilitan lengan kapten selepas pulih semula. Tahun 1991, Robbo mengetuai United ke perlawanan akhir saingan di pentas Eropah bagi merebut trofi Piala Pemenang Piala berdepan Barcelona. Kemenangan 2-1 yang dilakar ke atas Barcelona di perlawanan akhir hasil jaringan Mark Hughes membolehkan United yang diketuai Robbo menjuarai kejuaraan Eropah buat pertama kali sejak kejayaan skuad The Busby Babes (menang trofi Piala Eropah) pada 1968. Sepanjang kariernya di Old Trafford, Robbo bermain hampir 500 perlawanan untuk United dan menjaringkan 99 gol, satu jumlah yang cukup besar buat seorang pemain tengah. Captain Marvel itu menghabiskan tempoh 13 tahunnya di Old Trafford dengan memainkan peranan dalam kebangkitan United sebagai kuasa bolasepak Inggeris. Sebagai pemain tengah beliau dikenali dengan kehebatan hantaran-hantarannya yang luar biasa, hingga diiktiraf sebagai pemain tengah terbaik ketika zamannya. Mempunyai rekod jaringan yang baik, kebolehan membaca tempo perlawanan dengan tepat, mempunyai tahap stamina yang tinggi dan memiliki tandukan yang hebat, hinggakan bekas pengurus England, mendiang Bobby Robson meletakkan Robbo sebagai pemain terbaik England pernah bekerjasama dengannya. Robbo akhirnya meninggalkan United untuk menyertai Middlesbrough pada akhir musim 1993/94 sekaligus mencatat rekod sebagai ketua pasukan paling lama bermain untuk The Red Devils. Selepas beraksi selama tiga tahun di Riverside, Robbo akhirnya mengambil keputusan bersara dari arena bolasepak dan mengendalikan Boro sebagai pengurus hingga 2001. Beliau kemudiannya menyertai Bradford City selama setahun (2003-2004), kemudiannya kembali semula ke West Bromwich untuk menguruskan The Baggies (2004-2006) dan tugas terakhirnya sebagai pengurus di England ialah mengendalikan Sheffield United dari 2007 hingga 2008. Pada 23 September 2008, Robbo dilantik mengendalikan skuad kebangsaan Thailand tetapi meletak jawatan tiga tahun kemudian (8 Jun 2011) sebelum dilantik sebagai duta Manchester United. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan