Malam
esok, Manchester United akan berkunjung ke gelanggang jiran mereka Manchester
City dalam saingan liga yang dianggap sebagai perlawanan terbesar setakat ini.
Kedua-dua kelab berjiran itu menguasai kedudukan dua tangga teratas liga tetapi
Sir Alex Ferguson
akan membawa pasukannya ke Stadium Etihad dengan kelebihan tiga mata di atas
City. Kemenangan dalam perlawanan ini akan memberikan lonjakan besar buat
mana-mana kelab dalam usaha mereka memburu kejuaraan liga musim ini. Ada yang mengatakan derby hujung minggu ini adalah yang
terbesar dalam sejarah 163 pertemuan antara kedua-dua kelab tetapi ada beberapa
perlawanan sebelum ini yang boleh dianggap klasik dan mendebarkan. Berikut
adalah enam perlawanan klasik United dan City yang tentunya masih diingati penyokong-penyokong
kedua-dua kelab hingga kehari ini.
1.
27 April 1974 :
United (0) – City (1)
City
berkunjung ke Old Trafford pada tarikh tersebut dengan misi mahu menghantar
seteru setempat mereka itu ke Divisyen Dua. United berdepan prestasi tidak
menentu selepas pengurus lagenda mereka, Matt Busby mengambil keputusan bersara
dan akibatnya The Red Devils
terperosok di tangga ke-21 musim 1973-74. Ironinya gol kemenangan City
di Old Trafford dijaringkan bekas pemain United sendiri, Denis Law menerusi
tolakan tumit sekaligus menyaksikan The
Red Devils terpaksa bermain di Divisyen Dua musim berikutnya. Dedikasi,
komitmen serta rasa cinta Law kepada United tergambar dalam perlawanan itu.
Biarpun beliau menjaringkan gol, Law langsung tidak memberikan reaksinya malah
kelihatan sedih selepas jaringan tersebut. Penyerang Scotland itu kemudiannya terpaksa
dikeluarkan selepas itu dan ada yang mengatakan gol itu menghantui Law hingga
ke hari ini.
2.
7 November 1993 :
City (2) – United (3)
Dua
gol menerusi tandukan Niall Quinn memberikan pendahuluan selesa kepada City
dalam perlawanan yang dilangsungkan di
Maine Road itu. Keputusan perlawanan tampak akan memihak kepada City tetapi Eric Cantona yang baru
ditandatangani dari Leeds United nampaknya tidak bersedia untuk berdepan kekalahan
kepada seteru setempat mereka itu. Cantona hampir berseorangan memacu
kebangkitan United di hadapan penyokong-penyokong
City dengan dua gol
sumbangannya sebelum Roy Keane menjaringkan gol kemenangan di penghujung
permainan untuk memberikan United tiga mata di sana (Maine Road ).
3.
29 September 2009 :
United (4) – City (3)
Ramai
yang bertanya sesama sendiri selepas Sir Alex Ferguson mendapatkan khidmat Michael Owen
secara percuma pada musim panas 2009. Mereka tidak boleh dipersalahkan jika
kurang bersetuju dengan tindakan yang diambil Sir Alex itu (dengan
menandatangani Owen) apatah lagi Owen adalah bekas pemain Liverpool
yang juga merupakan musuh tradisi United dan pernah menjadi sanjungan
peminat-peminat di Anfield sepanjang tempoh lapan tahunnya menyarung jersi The Reds. Bagaimanapun
penyokong-penyokong United boleh melupakan semua itu apabila Owen menjaringkan
gol kemenangan dramatik ke atas
City (minit 90 + 6)
selepas kedudukan terikat 3-3 di Theatre
of Dreams.
4.
27 Januari 2010: United (3) – City (1)
Empat
bulan selepas gol dramatik Michael Owen ke atas City ,
Mark Hughes telah dipecat dan digantikan dengan pengendali dari Itali, Roberto
Mancini. Mancini membawa skuadnya bertandang ke Old Trafford bagi menghadapi
perlawanan separuh akhir pusingan kedua Piala Liga selepas menang 2-1 di
Eastlands pada pusingan pertama. United berjaya menjaringkan dua gol menerusi
Paul Scholes dan Michael Carrick namun Carlos Tevez mengikat kedudukan aggregat
kepada 3-3. Ketika perlawanan seolah-olah bakal menuju ke masa tambahan, Wayne
Rooney muncul pemusnah apabila menjaringkan gol di masa kecederaan sekaligus
membawa United ke perlawanan akhir. United kemudiannya muncul juara Piala Liga
(Carling Cup) selepas menewaskan Aston Villa 2-1 di Wembley.
5.
12 Februari 2011: United (2) – City (1)
United
perlukan kemenangan dalam perlawanan ini selepas mereka disaingi hebat Chelsea
dan City dalam perebutan merebut kejuaraan liga. Selepas Nani meletakkan United
di hadapan lewat separuh masa pertama, perancang tengah City, David Silva pula kemudiannya
berjaya menyamakan kedudukan diminit ke-68. Ramai yang menonton perlawanan ini meramalkan
kedua-dua pasukan akan berkongsi mata ketika perlawanan semakin menuju penghujung
saingan. Bagaimanapun menerusi satu hantaran lambung Nani dari sebelah kiri kawasan lawan, Wayne Rooney melepaskan sepakan gunting yang sama sekali gagal
diselamatkan Joe Hart. Penjaga gol England itu hanya mampu melihat gawangnya
dibocori menerusi gol yang dianggap antara paling klasik dalam sejarah Liga
Perdana.
6.
23 Oktober 2011: United (1) – City (6)
City
muncul kuasa baru bolasepak England
sejak diambil alih keluarga di raja UAE pada 2009. Mereka berbelanja besar
tanpa had dengan mendapatkan bintang-bintang ternama dan penyokong-penyokong
mereka mula melaungkan bahawa
City kini adalah kelab
terbesar di bandaraya Manchester .
Perlawanan yang di langsungkan di Old Trafford ini menjadi ujian besar kepada
Roberto Mancini selepas beliau membawa masuk ramai pemain ternama dalam pasukan
antaranya Sergio Aguero, Yaya Toure, Samir Nasri, Edin Dzeko, Mario Balotelli
dan Gael Clichy. United terpaksa membayar harga mahal atas kad merah yang
dilayangkan kepada Jonny Evans hingga mengakibatkan gawang mereka di bolosi
enam kali oleh City . Kekalahan yang begitu besar kepada
seteru setempat memang pahit untuk diterima dan hingga kini `tragedi 23
Oktober’ itu masih kekal dalam ingatan penyokong-penyokong United. Glory Glory Manchester United!!! –
A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan