10 Disember 2012

REVIEW: REKOD TANPA KALAH CITY BERAKHIR


Rekod tanpa kalah 15 perlawanan milik Manchester City musim ini lebur selepas mereka tewas 2-3 kepada Manchester United di gelanggang sendiri malam tadi. Seperti yang diramalkan ramai pihak, perlawanan derby Manchester ini berlangsung dengan sengit dan panas serta dicemari insiden lewat permainan. Dua gol jaringan Wayne Rooney memberikan pendahuluan selesa buat United tetapi tuan rumah kemudiannya bangkit di separuh masa kedua untuk menyamakan kedudukan menerusi Yaya Toure dan Pablo Zabaleta. Robin Van Persie menjaringkan gol kemenangan The Red Devils menerusi sepakan percuma dimasa kecederaan sekaligus melengkapkan minggu serba tidak menjadi buat skuad The Citizens. Selepas tersingkir dari saingan Liga Juara-Juara dan terlepas slot Liga Europa, kekalahan di tangan United menyaksikan City kini ketinggalan enam mata kepada jiran Manchester mereka itu yang selesa mendahului takhta liga selepas mengumpul 39 mata. Dua gol jaringan Rooney dalam perlawanan ini membolehkan penyerang itu mengumpul 150 gol dalam saingan liga. City yang memburu kemenangan bagi merapatkan jurang mata mula mengasak sejak awal perlawanan namun peluang-peluang yang dicipta mereka berjaya dinafikan benteng pertahanan United yang diterajui Rio Ferdinand dan Jonny Evans. Persembahan benteng pertahanan dalam perlawanan ini wajar dipuji biarpun teruk dikritik Sir Alex Ferguson selepas aksi tidak konsisten ketika berdepan Reading minggu lalu. Walaupun menerima tekanan dari barisan tuan rumah, United berjaya mendahului menerusi peluang pertama yang diterima Rooney hasil gerakan Ashley Young. Percubaan leret yang dilepaskan Rooney berjaya memperdayakan Joe Hart sekaligus memberikan kejutan buat skuad kendalian Roberto Mancini itu. City tambah tertekan apabila kapten mereka, Vincent Kompany mengalami kecederaan dan terpaksa digantikan Kolo Toure. Kehilangan Kompany nampaknya memberi kesan besar kepada benteng pertahanan City dan kesempatan ini digunakan United untuk menambah gol kedua mereka. Rooney sekali lagi berjaya memaksa Hart mengutip bola di dalam gawangnya sendiri apabila mudah merembat masuk bola hantaran Rafael da Silva diminit ke-29.

Meskipun saling berbalas serangan selepas itu, kedudukan kekal 2-0 memihak United ketika Martin Atkinson meniup wisel penamat separuh masa pertama. Bersambung di babak kedua, United hampir menamatkan cabaran City apabila Young berjaya menolak bola masuk ke gawang tuan rumah, namun jaringan itu tidak disahkan kerana pemain itu dikatakan berada pada posisi offside meskipun ulang tayang menunjukkan sebaliknya. Dua minit selepas itu, (Yaya) Toure berjaya merapatkan kedudukan selepas berlaku situasi kelam kabut di hadapan gawang United. Walaupun David de Gea berjaya menghalang dua percubaan Sergio Aguero tetapi dia akhirnya terpaksa akur menyaksikan pintu golnya dibolosi menerusi jaringan Toure. Gol itu menyemarakkan kembali semangat tuan rumah untuk memburu gol kedua dan peluang terbaik mereka hadir menerusi David Silva namun percubaan dari jarak dekatnya terkena bahu De Gea dan melatun mengenai tiang gol. Gol yang dicari-cari akhirnya muncul juga apabila Zabaleta berjaya merembat masuk dari luar petak penalti untuk gol penyamaan diminit ke-86. Ketika kedua-dua pasukan tampak seakan-akan bakal berkongsi mata selepas perlawanan memasuki masa kecederaan, United dihadiahkan sepakan percuma apabila Rafael da Silva dikasari Carlos Tevez. Van Persie yang ditugaskan mengambil sepakan tersebut membuktikan kaki kirinya cukup berbisa apabila rembatannya dari jarak kira-kira 25 meter terus menerjah ke gawang City sekaligus memberikan tiga mata berharga buat United. Insiden tidak diingini berlaku ketika pemain-pemain United meraikan jaringan Van Persie apabila Ferdinand mengalami kecederaan di bahagian kening selepas terkena objek yang dilempar penyokong City. Pemain kedua-dua pasukan juga tampak sedikit emosi di penghujung permainan dan United akhirnya berjaya mempertahankan kedudukan mereka untuk membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Etihad. Kemenangan ini bukan saja penting bagi United untuk mengukuhkan kedudukan mereka di tangga teratas liga, tetapi bakal menjadi lonjakan buat The Red Devils dalam usaha mereka merampas semula kejuaraan liga dari City. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Barisan Pemain City:

Hart, Zabaleta, Kompany (Kolo Toure 21’), Nastasic, Clichy, Yaya Toure (Dzeko 84’), Barry, Nasri, Silva & Balotelli (Tevez 52’)

Barisan Pemain United:

De Gea, Rafael, Ferdinand, Evans (Smalling 59’), Evra, Valencia (Jones 84’), Cleverley (Welbeck 88’), Carrick, Young, Rooney & Van Persie

Statistik Perlawanan City - United

Gol: 2 – 3
Penguasaan Bola: 56% - 44%
Percubaan Tepat: 9 – 3
Percubaan Tersasar: 18 – 10
Sepakan Sudut: 8 – 2
Offside: 4 – 4
Kad Kuning: 4 – 2
Kad Merah: 0 – 0 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan