11 Disember 2012

SPEKULASI PERPINDAHAN


ARSENAL MUNCUL KELAB TERBARU BURU NANI

Laporan mengejutkan muncul tentang minat Arsenal mendapatkan pemain sayap Manchester United, Nani. Nani yang masa depannya di Old Trafford terus mencetuskan persoalan akan cuba dipancing Gunners ketika jendela perpindahan pemain dibuka Januari ini. Paling mengejutkan, Arsene Wenger yang sebelum ini cukup dikenali dengan polisi perbelanjaan berhemahnya sanggup mengeluarkan belanja sebanyak 20 juta Pound bagi membawa Nani ke Stadium Emirates. The Sun melaporkan bahawa Arsenal sedang mencari pengganti berkualiti untuk Theo Walcott yang tampak akan menuju pintu keluar dan Nani adalah pemain paling sesuai menggantikan Walcott andai pemain antarabangsa England itu enggan menyambung kontrak baru. United mahukan lebih dari 14 juta Pound jika ada mana-mana kelab yang mahu mendapatkan khdimat Nani, iaitu nilai yang mereka bayar ketika membawa pemain itu dari Sporting Lisbon. Selain Arsenal, Zenit St Petersburg dan Paris St Germain juga diberitakan sedang memantau perkembangan Nani namun pemain itu dijangka memilih untuk terus kekal beraksi di Liga Perdana.

DORTMUND SEDIA LEPASKAN GROSSKREUTZ

Ketua Borussia Dortmund, Hans Watzke mengesahkan bahawa pemain sayapnya Kevin Grosskreutz mahu meninggalkan kelab itu dan berhijrah ke England. Biarpun masih mempunyai kontrak sehingga 2014, pemain antarabangsa Jerman berusia 24 tahun itu nampaknya sudah bercakap tentang keinginannya bermain di England dengan menyertai Manchester United ataupun Liverpool. Watzke sedar tentang kekecewaan Grosskreutz yang jarang diberikan kesempatan tampil dalam kesebelasan utama hingga mendorong pemain itu mahu meninggalkan Signal Iduna Park.  “Hakikat tentang hasratnya mahu meninggalkan kelab ini adalah betul. Tetapi dia masih mempunyai kontrak bersama kami hingga 2014 dan kami seboleh-bolehnya mahu cuba mengekalkannya. Setiap pemain perlu faham mereka tidak boleh bermain dalam setiap perlawanan atau berada di barisan permulaan setiap masa”, kata Watzke.

EVRA TIDAK AKAN TINGGALKAN UNITED

Bek Manchester United, Patrice Evra menegaskan bahawa dia tidak akan kembali semula ke Perancis dan menyertai Paris St Germain. Laporan dari media-media di Perancis menyebut bahawa, pengurus PSG, Carlo Ancelotti dalam mesyuaratnya bersama pemilik kelab meletakkan Evra dalam senarai teratas pemain yang akan mereka buru. Meskipun menjadi buruan kelab gergasi di negaranya, Evra mengatakan dia akan menghormati kontraknya bersama United yang akan berakhir pada 2014 dan tidak berhasrat meninggalkan Old Trafford. “Apakah anda serius ketika menanyakan soalan ini (tentang perpindahannya ke PSG)? Saya masih mempunyai baki kontrak hingga 2014, bermain untuk Manchester United dan saya adalah kapten pasukan. Anda perlu membunuh Sir Alex dulu sebelum sesiapa boleh membawa saya ke Paris. Saya gembira di Manchester”, kata Evra. Walau bagaimanapun Evra tetap berbesar hati kerana dikaitkan dengan perpindahan ke Paris, tempat di mana dia dibesarkan. “Seronok bila mengetahui ada kelab seperti PSG yang mahukan saya terutamanya kerana saya membesar di Paris. Saya tidak pernah menyembunyikan rasa cinta saya kepada Paris, walaupun Monaco masih pasukan saya. Saya kecewa apabila melihat kelab itu (Monaco) tidak memenangi apa-apa gelaran atau layak ke Liga Juara-Juara”, tambah Evra lagi ketika diwawancara Canaplus. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Tiada ulasan:

Catat Ulasan