26 Disember 2012

PREVIEW: MANCHESTER UNITED lwn NEWCASTLE UNITED



Boxing Day tiba lagi untuk menguji sejauh mana tahap kemampuan kelab-kelab yang bersaing di Liga Perdana England berdepan tekanan dan jadual hujung tahun yang padat. Manchester United berdepan lawan pertama mereka dalam Boxing Day, Newcastle United, pasukan yang mereka tewaskan dua kali musim ini, pertama kali ketika menyingkirkan skuad The Magpies itu dalam saingan Piala Capital One dan kali kedua pada saingan liga di Sports Direct Arena Oktober lalu. Selepas terikat 1-1 ketika kunjungan mereka di Stadium Liberty hujung minggu lalu, United tentunya tidak mahu melihat episod sama berulang manakala Alan Pardew pula berharap barisannya mampu menamatkan rentetan rekod buruk 40 tahun mereka tanpa kemenangan ketika bertandang ke Old Trafford. Selepas kelebihan 6 mata di tangga teratas dihakis Swansea City, Sir Allex Ferguson berharap anak-anak buahnya mampu memberikan kekalahan ketiga Newcastle United musim ini di tangan mereka tetapi beliau perlu melihat semula benteng pertahanannya yang mengalami rombakan ketika berdepan Swansea City. United tidak dibolosi hanya tiga kali dari 18 perlawanan mereka musim ini, tetapi mujurlah kerapuhan benteng pertahanan diimbangi dengan ketajaman mereka ketika melakukan serangan. Jentera serangan United yang diketuai Wayne Rooney dan Robin Van Persie sudah meledak 44 gol dalam saingan liga setakat ini, paling banyak berbanding kelab-kelab lain di Liga Perdana. Benteng pertahanan Newcastle pula sudah dibolosi sebanyak 26 kali setakat ini, lebih satu gol berbanding United sekaligus menggambarkan Alan Pardew juga mengalami masalah yang sama dengan rakan sejawatnya di Old Trafford. Meskipun sudah kembali mengawal gawang Newcastle, Tim Krul ternyata masih berdepan masalah keyakinan diri sejak pulih dari kecederaan.

Prestasi tidak konsisten The Magpies paling ketara apabila hanya menang dua dari enam perlawanan terakhir mereka dan Pardew berharap kemenangan ke atas QPR Sabtu lalu boleh membangkitkan semangat pemain-pemainnya ketika berdepan United nanti. Selepas menerima pujian atas prestasi pasukan bimbingannya musim lalu, Pardew mendapati musim ini tidak menyebelahi dirinya. Krisis kecederaan yang berpanjangan melanda beberapa pemain tonggak turut menyumbang kepada prestasi turun naik pasukannya musim ini. Tambah malang apabila Chiek Tiote tidak dapat diturunkan dalam perlawanan ini kerana sudah mengumpul mata kesalahan maksimum akibat layangan kad kuning yang diterimanya ketika berdepan QPR. Gandingan Demba Ba dan Pippis Cisse yang begitu menyerlah musim lalu terpaksa memikul beban besar dalam usaha memburu gol dalam setiap perlawanan. Kedudukan di tangga ke-14 liga tidak menggambarkan potensi sebenar barisan pemain-pemain yang dimiliki Pardew dan ketika ini penyokong-penyokong The Magpies tentunya berharap agar magis pengendali itu dapat membawa kelab keluar dari kelompok zon bawahan sepertimana yang dilakukannya musim lalu. Bagi United pula, mereka masih kekal tanpa khidmat Shinji Kagawa, Nani, Anderson dan Rafael da Silva kerana masalah kecederaan, tetapi Sir Alex tidak perlu risau kerana dia mempunyai skuad yang besar untuk mengisi kekosongan ditinggalkan empat pemain ini. Gandingan Rooney dan Van Persie akan terus menjadi sandaran Sir Alex dalam memburu gol dalam perlawanan ini. Rooney dan Van Persie sudah menghasilkan 19 gol untuk United dalam saingan liga sedangkan Newcastle pula hanya menjaringkan 20 gol dari 18 perlawanan dengan Demba Ba menjadi penyumbang utama gol-gol mereka sekaligus memberikan tekanan buat penyerang Senegal itu setiap kali dia menyentuh bola. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Rekod Pertemuan Manchester United – Newcastle:

Jumlah Perlawanan: 135
Menang: 66 – 33
Seri: 36 – 36
Kalah: 33 – 66

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Phil Jones, Patrice Evra, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Michael Carrick, Tom Cleverley, Antonio Valencia, Ashley Young, Wayne Rooney & Robin Van Persie

Barisan Kemungkinan Newcastle:

Tim Krul, Fabricio Collocini, Danny Simpson, James Perch, Mike Williamson, David Santon, Jonas Gutierrez, Sylvain Marveaux, Vurnon Anita, Demba Ba & Pappis Cisse

24 Disember 2012

SIR ALEX: VAN PERSIE BOLEH TERBUNUH


Sir Alex Ferguson mengecam keras tindakan pertahanan Swansea City, Ashley Williams yang menendang bola ke kepala Robin Van Persie dan mahukan agar tindakan Williams itu dikenakan hukuman setimpal oleh FA Inggeris. Insiden itu berlaku diminit ke-76 ketika pertembungan Swansea-United di Stadium Liberty hingga hampir mencetuskan pergaduhan. Williams merembat bola tepat ke kepala Van Persie yang ketika itu sudahpun terjatuh selepas dikasari pertahanan lawan. Selepas tamat perlawanan Williams mengatakan bahawa tindakannya itu tidak disengajakan dan menganggap ianya sebagai insiden biasa. Bagaimanapun pendapat pemain itu disanggah Sir Alex yang menyebut bahawa Williams sengaja menyepak bola itu selepas Van Persie jatuh betul-betul dihadapannya. Tindakan Williams itu juga pada pendapat Sir Alex boleh menyebabkan Van Persie terbunuh. “Itu adalah hal yang paling berbahaya yang pernah saya saksikan di atas padang. Wisel sudahpun dibunyikan dan perlawanan dihentikan tetapi dia melakukan betul-betul di hadapan pengadil. Dia (Williams) sepatutnya dihukum gantung perlawanan untuk tempoh yang lama. Saya berpendapat tindakan yang dilakukannya boleh membunuh Robin”, kata Sir Alex ketika di wawancara selepas tamat perlawanan. Glory Glory Manchester United!!! - A.J

REVIEW: SATU MATA DARI STADIUM LIBERTY


Manchester United sekadar membawa pulang satu mata dari Stadium Liberty selepas diikat 1-1 oleh Swansea City, tetapi masih mengekalkan kedudukan mereka sebagai pendahulu dengan kelebihan empat mata di tangga teratas liga. Nemanja Vidic beraksi buat pertama kali dalam kesebelasan utama dalam tempoh tiga bulan dan pemain itu diletakkan Sir Alex Ferguson bersama-sama Jonny Evans untuk mengawal benteng pertahanan United. Pertembungan Swansea-United itu juga menyaksikan pertarungan dua penjaring terbanyak ketika ini, Robin Van Persie dan Michu, tetapi pemain Sepanyol itu unggul apabila berjaya menghasilkan satu gol manakala Van Persie pula sekadar menyumbang satu assist. Babak pertama menyaksikan perlawanan berjalan seimbang tetapi United berjaya mendahului menerusi tandukan Patrice Evra diminit ke-16. Berpunca dari sepakan sudut Van Persie, Evra melonjak melepasi benteng pertahanan lawan untuk menjaringkan gol ketiganya musim ini. Kelebihan United bagaimanapun tidak bertahan lama apabila 13 minit selepas itu, Michu berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk tuan rumah. Jaringan itu berpunca dari percubaan Jonathan de Guzman dari sebelah kiri pintu gol United yang berjaya ditepis David de Gea, namun bola lantunan dari percubaan Guzman singgah di kaki Michu yang mudah menolak bola masuk dalam keadaan gawang terbuka. United adalah pasukan ke sepuluh selepas QPR, West Ham, Sunderland, Reading, Wigan, Newcastle, West Brom, Arsenal dan Norwich yang berjaya dibolosi Michu sekaligus memimpin kedudukan selaku penjaring terbanyak liga setakat ini dengan 13 gol.

Pencapaian ini tentunya luar biasa buat seorang pemain yang dibeli dengan harga hanya £2.2 juta musim panas lalu. Di awal babak kedua menyaksikan United lebih menguasai perlawanan, tetapi Swansea lebih banyak mencipta peluang. Selepas melihat pasukannya buntu dalam usaha memecah benteng pertahanan lawan, Sir Alex melakukan pertukaran dengan memasukkan Javier Hernandez, Ryan Giggs dan Paul Scholes di pertengahan babak kedua. Perlawanan sedikit panas apabila hampir berlaku pergaduhan antara Robin Van Persie dan Ashley Williams diminit ke-76 hingga mengakibatkan kedua-dua pemain itu dilayangkan kad kuning oleh pengadil perlawanan. Selang beberapa minit selepas insiden itu, Michael Carrick hampir meletakkan United kembali di depan namun tandukannya hasil sepakan sudut Van Persie sekadar singgah di palang gol biarpun Michel Vorm dilihat sudah tertewas. United mencipta peluang sekali lagi tidak lama selepas itu menerusi percubaan dari dalam petak penalti oleh Ashley Young namun berjaya ditampan Ben Davies. Pemain-pemain United mendakwa percubaan Young terkena tangan Davies namun rayuan untuk sepakan penalti tidak dilayan Michael Oliver. Kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat 90 minit perlawanan tetapi pujian harus diberikan buat De Gea di gawang United. De Gea berjaya menafikan lapan dari sembilan percubaan tepat yang dilakukan tuan rumah dan keputusan itu menyaksikan United berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah mereka ke atas Swansea sejak Januari 1982. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Statistik Perlawanan Swansea-United:

Percubaan: 14 – 20
Percubaan Tepat: 9 – 7
Penguasaan Bola: 40% - 60%
Kekasaran: 11 – 16
Sepakan Sudut: 3 – 6
Offside: 3 – 0
Kad Kuning: 2 – 4
Kad Merah: 0 – 0

Susunan Pemain Swansea:

Vorm, Tiendalli, Chico, Williams, Davies, Britton (Sung Ki-Yeung 62’), Agustien (Schechter 87’), De Guzman, Dyer, Routledge & Michu

Susunan Pemain United:

De Gea, Jones, Evans, Vidic, Evra, Valencia (Hernandez 62’), Carrick, Cleverley (Scholes 85’), Young, Rooney (Giggs 78’) & Van Persie

23 Disember 2012

PREVIEW: SWANSEA CITY lwn MANCHESTER UTD




Sir Alex Ferguson mungkin tidak pernah terfikir yang pasukannya akan menerajui liga ketika tahun 2012 berbaki lapan hari lagi untuk dilalui. Pada kebiasaannya, Manchester United tidak berada pada posisi di mana mereka berada sekarang tetapi tahun ini keadaan tampak sedikit berbeza apabila mereka muncul pendahulu sebelum sambutan perayaan Hari Natal. Kunjungan United ke Stadium Liberty hari ini mungkin menyaksikan kapten pasukan, Nemanja Vidic beraksi dalam kesebelasan utama buat pertama kali sejak September, manakala Rafael dan Silva yang direhatkan ketika berdepan Sunderland bakal diturunkan semula. Pemain tengah, Shinji Kagawa pula diberitakan berpotensi untuk beraksi semula selepas pulih dari kecederaan. David de Gea dijangka akan terus mengawal gawang United manakala Rafael, Nemanja Vidic, Rio Ferdinand dan Patrice Evra mungkin diletakkan Sir Alex untuk memperkuatkan benteng pertahanan. Jika Sir Alex masih ragu-ragu dengan tahap kecergasan Vidic dan Rafael, beliau akan menggunakan Phil Jones dan Chris Smalling di benteng sepertimana ketika berdepan Sunderland minggu lalu. Seorang pemain pertahanan, Jonny Evans sudahpun pulih dari kecederaan selepas tidak beraksi minggu lalu tetapi dengan adanya Vidic, Smalling, Jones dan Ferdinand, beliau pastinya tidak mahu tergesa-gesa menurunkan pemain antarabangsa Republik Ireland itu. Ashley Young yang menampil aksi baik sejak kebelakangan ini selepas dikritik hebat akan sekali diberikan kepercayaan bersama Antonio Valencia bergerak di sebalah sayap. Tempat Michael Carrick dan Tom Cleverley di bahagian tengah ketika ini sukar digugat dengan Kagawa berkemungkinan akan memulakan perlawanan di bangku pemain simpanan terlebih dahulu.

Di barisan hadapan siapa lagi kalau bukan Wayne Rooney dan Robin Van Persie yang akan menjadi pilihan Sir Alex untuk menggempur kubu The Swans. Bagi tuan rumah pula, Michael Laudrup berdepan dilema sama ada mahu menurunkan penjaga gol utamanya, Michael Vorm yang sudah pulih dari kecederaan atau terus menyandarkan harapan kepada Gerhard Tremmel yang bermain dengan baik sejak menggantikan tempat Vorm. Bagaimanapun Laudrup akan terus kehilangan khidmat pemain pertahanannya Angel Rangel dan Neil Taylor yang masih dibelenggu kecederaan. Kunjungan ke Stadium Liberty kali ini bukanlah mudah memandang prestasi yang ditunjukkan anak-anak buah Laudrup setakat ini hingga pernah menempatkan mereka dalam kelompok 10 kelab di tangga teratas liga. Pemain mereka yang harus diberikan perhatian oleh benteng pertahanan United siapa kali kalau bukan Michu yang sudahpun menjaringkan 12 gol setakat ini sekaligus berkongsi kedudukan penjaring terbanyak bersama Van Persie. Amat menarik untuk menyaksikan pertembungan dua penggempur paling berbisa dalam saingan liga ketika ini tetapi Van Persie memiliki kelebihan apabila Rooney sentiasa bergerak di belakangnya sebagai pengumpan. Benteng pertahanan The Swans bukan saja perlu mengawasi kelibat Van Persie tetapi dalam masa yang sama perlu juga mengawasi gerak geri Rooney yang sudah meledak tiga gol dalam dua perlawanan terakhirnya. Rekod enam pertemuan antara kedua-dua pasukan memihak kepada United apabila skuad The Red Devils menang empat perlawanan, seri sekali dan kalah sekali dengan kali terakhir Swansea menewaskan United ialah pada 30 Januari 1982 (2-0). Selepas tewas 0-1 kepada Totenham Hotspurs minggu lalu, berdepan pendahulu liga di hadapan penyokong-penyokong sendiri adalah detik yang tepat buat Laudrup untuk menyeru barisan pemain-pemainnya supaya bangkit kembali. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

Barisan Kemungkinan Swansea:

Gerhard Tremmel, Dwight Tiendalli, Chicho, Ashley Williams, Ben Davies, Jonathan de Guzman, Wayne Routledge, Nathan Dyer, Ki-Sung Yueng, Leon Britton & Michu

Barisan Kemungkinan United:

David de Gea, Phil Jones, Patrice Evra, Nemanja Vidic, Rio Ferdinand, Ashley Young, Michael Carrick, Tom Cleverley, Antonio Valencia, Wayne Rooney & Robin Van Persie

22 Disember 2012

UNDIAN LIGA JUARA-JUARA: USAH RISAUKAN REAL MADRID


Undian pusingan kedua Liga Juara-Juara sudahpun dilakukan kelmarin dan seperti yang kita semua sudah ketahui, Manchester United akan berdepan tugas getir bila dipertemukan dengan juara sembilan kali, Real Madrid. Masih terlalu awal untuk meramalkan siapa pemenangnya kerana perlawanan pusingan kedua nanti akan hanya dilangsungkan pada pertengahan Februari. Jika mengambilkira prestasi semasa, Madrid bukanlah sebuah pasukan yang perlu digeruni ketika ini selepas sekadar menduduki tangga ketiga liga di belakang Barcelona dan Atletico Madrid. Walau bagaimanapun Jose Mourinho tetap memiliki himpunan pemain bertaraf bintang dalam skuadnya yang mampu membawa gergasi Sepanyol itu melangkah jauh. Nama-nama seperti Cristiano Ronaldo, Iker Casillas, Sergio Ramos, Pepe, Mesut Oezil, Luka Modric, Karim Benzema, Sami Khedira, Michael Essien dan Xabi Alonso sudah cukup membuatkan mana-mana pasukan cuba mengelak dari bertemu mereka (Madrid). Bagaimanapun undian telah dibuat, jadi suka atau tidak Sir Alex Ferguson dan barisan The Red Devils perlu berhadapan dengan mereka. Persembahan Madrid ketika menentang (Borussia) Dortmund dan (Manchester) City di peringkat kumpulan boleh dijadikan panduan buat United agar tidak ragu-ragu untuk menyerang ketika bertemu mereka nanti walaupun bermain di Santiago Bernabeu. Secara tradisinya, prestasi United mula melonjak selepas sambutan Krismas dan kita berharap The Red Devils akan muncul skuad yang jauh lebih bagus berbanding aksi mereka di peringkat kumpulan. Tetapi ada kemungkinan juga Madrid akan lebih bagus menjelang Februari nanti, jadi pertemuan kedua-dua kelab yang dianggap terbesar di dunia ini pastinya menarik. Paling utama, Sir Alex perlu segera memperkemaskan benteng pertahanannya mulai sekarang untuk berdepan ancaman bekas idola di Old Trafford, Cristiano Ronaldo. Paling menarik ialah pertembungan di bahagian tengah di mana Madrid berjaya menambah kualiti mereka di bahagian tersebut selepas membawa Luka Modric dari White Hart Lane musim panas lalu. Dengan adanya Mesut Oezil, kualiti Madrid tampak seperti tidak terbatas tetapi Modric dan Oezil bukanlah seperti gandingan Samir Nasri dan David Silva yang boleh bermain bersama-sama dalam satu pasukan. Kegagalan gandingan Modric - Oezil terserlah ketika Madrid diikat 2-2 oleh barisan Espanyol pada aksi liga lima hari lalu biarpun beraksi di gelanggang sendiri. Jika barisan tengah United mampu berdepan gandingan yang lebih bagus seperti Nasri dan Silva, jadi secara logiknya mereka juga tidak sepatutnya berdepan masalah menangani jentera tengah Madrid. Jika tiada sebarang pembelian baru di bahagian tengah yang dibuat Sir Alex Januari ini, Tom Cleverley dan Michael Carrick akan kekal sebagai pilihan utama mengemudi jentera tengah ketika berdepan Madrid nanti. Di bahagian hadapan, United sebenarnya lebih bagus berbanding Madrid jika Antonio Valencia, Robin Van Persie dan Wayne Rooney dapat diturunkan nanti.

Menurunkan Rooney terlebih dahulu bersama RVP akan membuka permainan dan mendedahkan bahagian paling lemah Madrid, iaitu benteng pertahanan mereka. Peranan Valencia adalah penting ketika melancarkan serangan dan kepantasannya boleh memberikan masalah tidak kiralah siapa yang akan digunakan Mourinho untuk mengisi posisi bek kiri nanti sama ada Fabio Coentrao, Nacho ataupun Raphael Varane. Keseluruhannya, Madrid kelihatan banyak bergantung kepada Cristiano Ronaldo untuk menjaringkan gol, tetapi kelibat Karim Benzema tetap perlu diawasi. Kepantasan Ronaldo ketika memecah benteng pertahanan lawan dalam aksi di La Liga perlu segera dicari penawarnya oleh Sir Alex. Tidak kira di manapun Ronaldo bermain, sama ada kiri atau kanan, tugas getir pastinya menanti Rafael da Silva dan Patrice Evra untuk mengekang kapten Portugal itu. Perlawanan Februari nanti akan menyaksikan kembalinya Ronaldo ke kelab lamanya dan itu bakal menjadi fokus utama, manakala RVP pula ingin menunjukkan dirinya mampu menyamai prestasi dalam menghasilkan gol milik bekas bintang berjersi nombor 7 itu. Ronaldo menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2008 dan sekali lagi mara ke perlawanan akhir pada 2009 tetapi tewas kepada Barcelona sebelum berpindah ke Real Madrid dengan nilai perpindahan  £ 80 juta sekaligus rekod dunia hingga kini. Kelibat dua lelaki, Sir Alex Ferguson dan Jose Mourinho juga bakal mendominasi tumpuan. Kedua-dua individu berpengaruh ini akan menyambung semula perseteruan mereka di atas padang selepas Mourinho meninggalkan saingan Liga Perdana England pada 2007. Selepas sembilan tahun sejak Mourinho membawa Porto menjulang trofi Eropah pada musim 2003-04 dengan menyingkirkan United di pusingan kedua (16 pasukan), The God Father dan The Special One akan bertemu sekali lagi. Sejak itu mereka sudah bertemu sebanyak 14 kali dengan enam kemenangan memihak kepada Mourinho manakala tiga pula milik Sir Alex dan selebihnya pula berakhir dengan keputusan seri. Mourinho dikatakan pasti meninggalkan kelab sebaik musim ini berakhir dan beliau tidak akan melakukannya tanpa sebarang trofi untuk dihadiahkan ke dalam kabinet piala Santiago Bernabeu. Keputusan positif yang diraihnya (Mourinho) dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini mungkin mendekatkannya dengan kerusi pengurus di Old Trafford. Apapun keputusan perlawanan Februari nanti, perlawanan menarik pastinya akan disajikan oleh dua gergasi ini. United sebenarnya boleh mengalahkan Madrid lebih mudah berbanding jika dipertemukan dengan Bayern Munich atau Barcelona, jadi ini sebenarnya bukanlah undian yang buruk untuk The Red Devils. Dan untuk menambahkan lagi keseronokan, pemain-pemain Manchester City akan menyaksikan perlawanan ini dirumah dengan rasa iri hati. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

20 Disember 2012

13 KEMUNGKINAN YANG BAKAL BERLAKU PADA 2013



Tahun 2012 akan meninggalkan kita tidak sampai dua minggu lagi. Tahun 2012 juga bolehlah dianggap sebagai tahun yang kurang baik buat Manchester United. Pada dasarnya setiap tahun yang berakhir tanpa sebarang trofi adalah satu kegagalan buat kelab seperti United. Perlawanan terakhir liga musim lalu mungkin yang paling mengerikan buat penyokong-penyokong United sejak penyingkiran mereka ke Divisyen Dua pada 1974. Selepas menanti dengan penuh debar selama 90 minit, gol minit akhir perlawanan Sergio Aguero ke atas QPR meranapkan impian United untuk mengekalkan kejuaraan mereka sekaligus menamatkan musim lalu tanpa sebarang trofi utama. Kesuraman musim lalu terubat dengan kehadiran Robin Van Persie yang kembali menaikkan semangat penyokong-penyokong di Old Trafford. Besar kemungkinan, jika tiada sebarang bencana yang menimpa barisan The Red Devils, mereka akan menamatkan tahun 2012 selaku pendahulu Liga Perdana. Jadi apa yang tahun 2013 akan bawakan untuk United? Bintang baru yang akan dibawa masuk? Merampas semula trofi liga dari Manchester City? Atau jersi baru yang lebih menarik berbanding yang ada sekarang? Justeru mari kita lihat kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku kepada United tahun 2013 nanti:

1.  TIADA PEMAIN BARU PADA BULAN JANUARI?

Ramai penyokong-penyokong United yang begitu obses mahu menyaksikan bintang baru mana yang akan diperkenalkan Sir Alex Ferguson Januari ini. Tapi kita juga harus realistik kerana Sir Alex jarang mengambil kesempatan ketika jendela perpindahan pemain dibuka pada bulan Januari untuk `membeli belah’. Jika disenaraikan pemain yang dikaitkan bakal menyertai United memang panjang. Dari Robert Lewandowski hinggalah yang terbaru Fernandinho, kesemuanya menghadirkan keterujaan kepada penyokong-penyokong tentang siapakah yang bakal memperkuatkan skuad The Red Devils. Sir Alex kebiasaanya percaya dengan skuad yang dimilikinya untuk menghadapi saingan liga yang akan memasuki fasa kedua setiap musim pada bulan Januari. Apatah lagi jika United berjaya mengekalkan kedudukan mereka di tangga teratas atau membuka jurang yang lebih besar berbanding kelab di tangga kedua. Selepas berjaya mendapatkan Shinji Kagawa musim panas lalu, spekulasi perpindahan Wesley Sneijder ke Old Trafford bolehlah dianggap sebagai mengarut.

2.  UNITED TEWASKAN LIVERPOOL DI OLD TRAFFORD?

Mari saja kita berterus terang bahawa ketika ini Manchester United adalah pasukan yang jauh lebih baik berbanding Liverpool. Walaupun skuad Brendan Rodgers yang bermain 10 orang memberikan masalah buat United ketika pertembungan pertama di Anfield September lalu, jentera serangan United yang semakin berbisa boleh memusnahkan Liverpool apabila mereka bertemu semula di Old Trafford pada pertengahan Januari ini.

3.  KEKECEWAAN DI PIALA FA?

Kempen Piala FA kini bukan lagi keutamaan buat Sir Alex sejak tahun 2000. Kali terakhir United menang kejuaraan Piala FA ialah pada 2004 dan selepas itu tiada kapten United yang berjaya menjulang trofi kejuaraan kalah mati tertua di dunia itu. Musim ini, United diundi bertemu West Ham pada pusingan ketiga yang dijadualkan bakal berlangsung pada 6 Januari ini di gelanggang lawan. Pada saingan liga yang dilangsungkan di Old Trafford 29 November lalu, United hanya menang tipis 1-0 ke atas The Hammers. Jadi ini adalah perlawanan yang sukar buat United bila mereka terpaksa berdepan West Ham di gelanggang lawan di mana skuad kendalian Sam Allardyce itu pernah menjinakkan Chelsea 3-2 bulan lalu. Jika Sir Alex masih lagi meneruskan polisinya dengan menurunkan skuad kedua pada saingan Piala FA nanti, maka potensi untuk United tersingkir dari kejohanan ini tetap besar.

4.  DAVID DE GEA MUNCUL PENJAGA GOL TERBAIK LIGA PERDANA?

David de Gea mempunyai potensi untuk muncul sebagai salah seorang penjaga gol terhebat di dunia. Dengan usia yang masih muda, sukar untuk mempercayai bahawa dia sudahpun diberikan tanggungjawab mengawal gawang antara kelab terbesar di dunia ketika ini dan mengambil alih tempat lagenda seperti Edwin Van der Sar. Meskipun melakukan beberapa kesilapan asas musim lalu, De Gea pantas memberikan respon terhadap segala kritikan yang dilemparkan kepadanya. Prestasinya sedikit demi sedikit terus meningkat dan dia akhirnya dapat menyesuaikan diri dengan saingan bolasepak di England. 2013 bakal menyaksikan De Gea terus mengukuhkan kedudukannya, bukan saja sebagai penjaga gol nombor 1 United tetapi juga sebagai penjaga gol nombor 1 di Liga Perdana mengatasi Joe Hart.

5.  UNITED TERSINGKIR DARI SAINGAN LIGA JUARA-JUARA?

Walaupun Manchester United antara pasukan paling berpengalaman dalam saingan ini (Liga Juara-Juara), amat sukar sebenarnya untuk menyaksikan mereka melangkah sekali lagi ke Wembley kali ini. Barcelona adalah pasukan pilihan manakala dua kelab dari Jerman (Bayern Munich dan Borussia Dortmund) mempamerkan aksi baik di peringkat kumpulan. Dortmund sendiri menamatkan sisa-sisa harapan Manchester City yang juga merupakan seteru setempat United untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati apabila menewaskan skuad kendalian Roberto Mancini untuk di Westfalenstadion pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan. Bagaimanapun perjalanan United dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini juga bergantung kepada siapakah lawan yang diundi bertemu mereka pada pusingan kalah mati nanti. Perkiraan ini dibuat berdasarkan aksi goyah benteng pertahanan ketika mengharungi saingan peringkat kumpulan. Biarpun United gah menerajui kumpulan H, mereka melepas gol-gol mudah ketika berdepan kelab dengan pencapaian sederhana seperti Braga dan Cluj. Jika mahu melangkah jauh, tugas utama Sir Alex ialah menguatkan benteng pertahanannya dan dengan kehadiran semula Nemanja Vidic, tugas Sir Alex pastinya lebih mudah.

6.  JONNY EVANS SEBAGAI PILIHAN UTAMA?

Pemain antarabangsa Ireland ini menerima banyak kritikan sejak dua musim terakhir, tetapi dia tetap dipandang tinggi oleh Sir Alex Ferguson. Evans sebenarnya mempunyai kemampuan membaca permainan dan pertahanan yang cukup sukar dilepasi, tetapi tindakan tergopoh gapahnya sering kali mendatangkan kerugian buat pasukan. Lihat saja bagaimana tindakan yang dilakukannya ketika pertemuan derby musim lalu yang mengakibatkan dia dilayangkan kad merah. United yang bermain 10 pemain akhirnya terpaksa menanggung aib tewas 1-6 kepada Manchester City di hadapan penyokong sendiri. Walaupun Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand masih pasangan utama di bahagian tengah benteng United, Evans boleh menggunakan kesempatan daripada masalah kecergasan kedua-dua tonggak pertahanan itu (Vidic dan Rio) untuk meletakkan dirinya sebagai pilihan utama Sir Alex selewat-lewatnya pada pertengahan 2013 nanti.

7.  NANI TINGGALKAN KELAB?

Meskipun menjaringkan beberapa gol sensasi untuk Manchester United, bintang antarabangsa Portugal ini perlu diakui bukanlah pemain yang konsisten. Ramalan dari ramai pihak yang mengatakan bahawa Nani akan berkembang sepertimana rakan senegaranya Cristiano Ronaldo lakukan beberapa musim lalu tidak menjadi kenyataan. Bahkan karier Nani di Old Trafford sejak akhir-akhir ini diselubungi berbagai-bagai kontroversi luar padang hingga menjadikan kemungkinan tahun 2013 sebagai tahun akhir karier Nani bersama United. Jika tidak diletakkan dalam pasaran perpindahan pemain Januari ini, Nani dijangka akan tetap dilepaskan musim panas akan datang.

8.  BINTANG TENGAH BARU?

Perlu diakui sejak persaraan Roy Keane, Sir Alex Ferguson gagal mencari pengganti yang mampu mengisi tempat kapten berpengaruh itu. Motto “Kemenangan Adalah Segalanya” yang sering dilaung-laungkan Keane dibuktikan ketika beraksi di atas padang. Jadi tidak hairanlah jika ramai yang masih merindui kelibat pemain tengah panas baran itu walaupun dia sudah lama bersara. Dengan Paul Scholes yang semakin menghampiri garis persaraan, Sir Alex perlu bertindak segera mencari pemain yang benar-benar berwibawa untuk menjana jentera tengah pasukannya. Beberapa nama sudah dikaitkan dengan minat Sir Alex antaranya ialah Victor Wanyama dan Kevin Strootman. Semoga sesiapapun yang dipilih Sir Alex nanti, mereka dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Roy Keane sejak sekian lama.

9.  REKAAN JERSI YANG LEBIH MENARIK

Rekaan jersi Manchester United musim ini dikritik ramai pihak. Ada yang secara lantang menyamakan jersi United musim ini umpama alas meja di rumah mereka berbanding apa yang selayaknya dipakai oleh seorang bintang bolasepak. Semoga pada tahun hadapan, Nike akan berusaha dengan lebih gigih mengilhamkan sesuatu yang berbeza berbanding apa yang ada sekarang. Paling utama Nike perlu memuaskan hati penyokong-penyokong Manchester United yang berada di seluruh dunia.

10.  PATRICE EVRA KEHILANGAN TEMPATNYA?

Patrice Evra memang yang terbaik di posisinya ketika ini dan kelibatnya mengingatkan kita kepada bekas lagenda United sendiri iaitu Denis Irwin. Tiada pemain asing dalam tahun-tahun kebelakangan ini yang berjaya menyerap budaya kelab berbanding Evra dan dia akan sentiasa menjadi tokoh popular di Old Trafford. Walaupun Evra diakui antara pemain United paling konsisten setakat ini tetapi dia bukan lagi pemain yang sama seperti tiga atau empat tahun dulu. Umur menjadi faktor paling utama dan ramai yang mengatakan bek kiri ini sedikit perlahan berbanding dua atau tiga musim lalu. Jika Sir Alex menandatangani Leighton Baines musim panas akan datang, Evra mungkin melihat posisi yang dikuasainya sejak sekian lama bakal tergugat.

11.  RYAN GIGGS BERSARA?

Ramai yang berharap agar Ryan Giggs mampu menjadi pemain pertama Manchester United yang berjaya tampil sebanyak 1000 perlawanan untuk kelab. Walau bagaimanapun Giggs kini sudahpun berusia 39 tahun, dan musim ini bintang veteran itu jarang diberikan kesempatan beraksi dalam kesebelasan utama. Apakah jika United menang kejuaraan liga ke-20 mereka dan Giggs pula menang pingat kejuaraan liga ke-13 nya maka musim ini akan menjadi yang terakhir buat Giggsy?

12.  UNITED MENANG GELARAN LIGA KE-20?

Selepas menyaksikan kejuaraan mereka dirampas pada perlawanan terakhir liga musim lalu, barisan pemain-pemain Manchester United menjadikan episod duka itu sebagai pencetus semangat mereka musim ini. Misi merampas semula trofi Liga Perdana dari seteru setempat, Manchester City sekaligus koleksi kejuaraan liga ke-20 United menjadi fokus utama Sir Alex Ferguson sebaik musim ini bermula. Kehilangan kejuaraan menerusi perbezaan gol memang menyakitkan, dan tidak mahu perkara sama berulang, Sir Alex menandatangani penjaring terbanyak musim lalu Robin Van Persie dari Arsenal Ogos lalu. Kehadiran Van Persie menjadikan jentera penggempur United musim ini paling menggerunkan dan gandingannya bersama Wayne Rooney menjadi igauan ngeri buat benteng pertahanan lawan. United ketika ini gah menduduki puncak liga dan dalam laluan itu, mereka sudahpun menewaskan kesemua pesaing-pesaing kejuaraan seperti Liverpool, Chelsea, Arsenal dan Manchester City. Jika momentum ini berterusan, tidak mustahil tahun 2013 akan menyaksikan `Misi 20’ berjaya dilaksanakan.

13.  SIR ALEX MERAIKAN HARI LAHIR KE 72 BELIAU SEBAGAI BOS UNITED?

Ramai yang tertanya-tanya bilakah agaknya Sir Alex Ferguson akan bersara sebagai Pengurus Manchester United. Pada usia 70 tahun (Sir Alex akan menyambut ulang tahun ke-71 pada 31 Disember ini), beliau masih bersemangat dan bertenaga untuk tugas yang amat dicintainya dan tidak kelihatan seperti mahu berhenti. Ramai yang meramalkan Sir Alex akan bersara akhir musim ini sebaik United menjulang trofi liga buat kali ke-20 sekaligus menamatkan karier 27 tahunnya di Old Trafford. Walau bagaimanapun itu hanyalah ramalan sesetengah pihak dan jangan terperanjat jika Sir Alex menyambut hari lahirnya yang ke-72 pada 31 Disember 2013 di bangku Pengurus Manchester United. Glory Glory Manchester United!!! – A.J

19 Disember 2012

WAJAR DAN BERBALOIKAH JIKA NANI DIJUAL?


Desas desus tentang kemungkinan Nani akan dilepaskan Sir Alex Ferguson Januari ini semakin bertiup kencang, apatah lagi apabila ada berita mengatakan United berminat memancing Theo Walcott ke Old Trafford selepas pemain itu kecewa dengan prestasi pasukannya. Nani muncul antara pemain paling cemerlang dan menjaringkan beberapa gol penting untuk United musim lalu, tetapi prestasinya musim ini jelas membingungkan. Sepanjang musim 2010/2011 pula, Nani menjaringkan sembilan gol penting dan ramai yang kagum dengan persembahannya ketika itu. Masalah kecederaan dan kegagalan bersaing dengan Antonio Valencia menyebabkan Nani semakin terpinggir dari percaturan Sir Alex Ferguson. Pertikaian tentang kontrak yang berterusan antara dirinya dengan pihak pengurusan kelab semakin mendorong Sir Alex meletakkan pemain sayap Portugal itu dalam pasaran perpindahan pemain Januari ini. Apapun nasib Nani bakal ditentukan Sir Alex sendiri, dan jika benar United berminat membawa Walcott ke Old Trafford, pintu keluar untuk Nani sudah terbuka luas. Tidak dinafikan Nani adalah pemain berbakat yang dikurniakan skill menarik tetapi beliau sering tenggelam dalam permainan ketika pasukan memerlukan sumbangannya. Jika kena pada harinya, Nani mampu melepasi kekangan tiga pemain lawan dengan mudah tetapi kelab seperti United memerlukan seorang pemain yang konsisten setiap minggu. Penting untuk pemain sepertinya mendapat kepercayaan rakan sepasukan dan peminat dengan mempamerkan aksi konsisten di peringkat tertinggi. Jika tidak, tiada pemain yang terselamat dari tindakan Sir Alex. Nani tiba di Old Trafford pada 2007 kerana Sir Alex melihat potensi pemain itu cukup besar untuk berkembang, jadi tidak hairanlah jika bos United itu sanggup membayar 20 juta Pound kepada Sporting Lisbon untuk membawanya ke England. Sekarang, Nani sudahpun berusia 26 tahun dan beliau tidak lagi boleh dikategorikan sebagai pemain muda tetapi sebaliknya seorang pemain yang sepatutnya sudah mencapai puncak prestasi dalam kariernya. Mungkin masih ada yang berpendapat bahawa Nani patut diberikan peluang untuk menunjukkan potensi sebenarnya, tetapi masa pantas berlari dan dalam era bolasepak moden kita tidak boleh menunggu keajaiban bakal dilakukan Nani pada usianya sekarang. 

Pemain bolasepak memang tidak lekang dari sebarang kontroversi, begitu jugalah dengan Nani, sama ada di dalam mahupun di luar padang. Nani tidak pernah takut untuk mengkritik kelab seperti yang dilakukannya pada Julai lalu ketika bersama skuad kebangsaan Portugal di kempen Euro 2012. Dalam satu sidang akhbar, Nani secara terang-terangan menyalahkan pihak pengurusan kelab berikutan tiadanya perkembangan positif berkaitan kontrak barunya hingga mengundang kemarahan Sir Alex Ferguson. Nani juga membina reputasi sebagai pemain yang sering membiarkan emosi menguasai dirinya ketika di atas padang. Paling terkenal ialah insiden `hantukan kepala’ membabitkan dirinya dengan pertahanan West Ham, Lucas Niell pada Mei 2008 hingga menyebabkan dia diperintah keluar padang. Insiden pergaduhannya ketika sesi latihan dengan Davide Petrucci dan kesilapan yang dilakukannya hingga membenarkan Chelsea menyamakan kedudukan lewat permainan pada saingan Piala Capital One di Stamford Bridge sebenarnya mempercepatkan lagi langkah Nani menuju pintu keluar Old Trafford. Tidak dinafikan, Nani mempamerkan aksi baik pada awal tahun 2012 ketika saingan liga musim lalu memasuki fasa kedua. Entah apa puncanya, sama ada disebabkan pertikaian kontraknya yang berterusan ataupun Nani memang sudah terkeluar dari perancangan Sir Alex, ketiadaan foto Nani dalam kalendar 2013 yang dikeluarkan United adalah isyarat yang kurang bagus untuk pemain itu. Selepas diketepikan kerana masalah kecederaan dan keyakinan Sir Alex terhadapnya semakin menurun, peluang untuk Nani kembali disenaraikan dalam kesebelasan utama tampak sukar, apatah lagi United ketika ini turut memiliki Antonio Valencia dan Ashley Young sebagai pilihan. Walau bagaimanapun dengan jadual perlawanan yang ketat awal tahun baru nanti, peluang buat pemain `terpinggir’ seperti Nani disenaraikan dalam kesebelasan utama tetap ada. Jika Sir Alex benar-benar mahu menjual Nani Januari ini, United akan hanya mempunyai Valencia dan Young di bahagian sayap dan situasi ini perlu diperhalusi beliau sebaik-baiknya. Dan jika memang benar, Nani akan diletakkan dalam pasaran perpindahan pemain Januari ini, Sir Alex perlu mendapatkan pemain yang berkebolehan untuk menggantikan pemain yang pernah diletakkan harapan untuk mengambil alih tempat Cristiano Ronaldo itu. Glory Glory Manchester United!!! – A.J