Desas desus tentang kemungkinan Nani akan
dilepaskan Sir Alex Ferguson Januari ini semakin bertiup kencang, apatah lagi
apabila ada berita mengatakan United berminat memancing Theo Walcott ke Old
Trafford selepas pemain itu kecewa dengan prestasi pasukannya. Nani muncul
antara pemain paling cemerlang dan menjaringkan beberapa gol penting untuk
United musim lalu, tetapi prestasinya musim ini jelas membingungkan. Sepanjang
musim 2010/2011 pula, Nani menjaringkan sembilan gol penting dan ramai yang kagum
dengan persembahannya ketika itu. Masalah kecederaan dan kegagalan bersaing
dengan Antonio Valencia menyebabkan Nani semakin terpinggir dari percaturan Sir
Alex Ferguson. Pertikaian tentang kontrak yang berterusan antara dirinya dengan
pihak pengurusan kelab semakin mendorong Sir Alex meletakkan pemain sayap
Portugal itu dalam pasaran perpindahan pemain Januari ini. Apapun nasib Nani
bakal ditentukan Sir Alex sendiri, dan jika benar United berminat membawa
Walcott ke Old Trafford, pintu keluar untuk Nani sudah terbuka luas. Tidak
dinafikan Nani adalah pemain berbakat yang dikurniakan skill menarik tetapi
beliau sering tenggelam dalam permainan ketika pasukan memerlukan sumbangannya.
Jika kena pada harinya, Nani mampu melepasi kekangan tiga pemain lawan dengan
mudah tetapi kelab seperti United memerlukan seorang pemain yang konsisten
setiap minggu. Penting untuk pemain sepertinya mendapat kepercayaan rakan
sepasukan dan peminat dengan mempamerkan aksi konsisten di peringkat tertinggi.
Jika tidak, tiada pemain yang terselamat dari tindakan Sir Alex. Nani tiba di
Old Trafford pada 2007 kerana Sir Alex melihat potensi pemain itu cukup besar
untuk berkembang, jadi tidak hairanlah jika bos United itu sanggup membayar 20
juta Pound kepada Sporting Lisbon untuk membawanya ke England. Sekarang, Nani
sudahpun berusia 26 tahun dan beliau tidak lagi boleh dikategorikan sebagai
pemain muda tetapi sebaliknya seorang pemain yang sepatutnya sudah mencapai
puncak prestasi dalam kariernya. Mungkin masih ada yang berpendapat bahawa Nani
patut diberikan peluang untuk menunjukkan potensi sebenarnya, tetapi masa
pantas berlari dan dalam era bolasepak moden kita tidak boleh menunggu
keajaiban bakal dilakukan Nani pada usianya sekarang.
Pemain bolasepak memang
tidak lekang dari sebarang kontroversi, begitu jugalah dengan Nani, sama ada di
dalam mahupun di luar padang. Nani tidak pernah takut untuk mengkritik kelab
seperti yang dilakukannya pada Julai lalu ketika bersama skuad kebangsaan
Portugal di kempen Euro 2012. Dalam satu sidang akhbar, Nani secara
terang-terangan menyalahkan pihak pengurusan kelab berikutan tiadanya
perkembangan positif berkaitan kontrak barunya hingga mengundang kemarahan Sir
Alex Ferguson. Nani juga membina reputasi sebagai pemain yang sering membiarkan
emosi menguasai dirinya ketika di atas padang. Paling terkenal ialah insiden `hantukan
kepala’ membabitkan dirinya dengan pertahanan West Ham, Lucas Niell pada Mei
2008 hingga menyebabkan dia diperintah keluar padang. Insiden pergaduhannya
ketika sesi latihan dengan Davide Petrucci dan kesilapan yang dilakukannya
hingga membenarkan Chelsea menyamakan kedudukan lewat permainan pada saingan
Piala Capital One di Stamford Bridge sebenarnya mempercepatkan lagi langkah
Nani menuju pintu keluar Old Trafford. Tidak dinafikan, Nani mempamerkan aksi
baik pada awal tahun 2012 ketika saingan liga musim lalu memasuki fasa kedua.
Entah apa puncanya, sama ada disebabkan pertikaian kontraknya yang berterusan
ataupun Nani memang sudah terkeluar dari perancangan Sir Alex, ketiadaan foto
Nani dalam kalendar 2013 yang dikeluarkan United adalah isyarat yang kurang
bagus untuk pemain itu. Selepas diketepikan kerana masalah kecederaan dan
keyakinan Sir Alex terhadapnya semakin menurun, peluang untuk Nani kembali
disenaraikan dalam kesebelasan utama tampak sukar, apatah lagi United ketika
ini turut memiliki Antonio Valencia dan Ashley Young sebagai pilihan. Walau
bagaimanapun dengan jadual perlawanan yang ketat awal tahun baru nanti, peluang
buat pemain `terpinggir’ seperti Nani disenaraikan dalam kesebelasan utama
tetap ada. Jika Sir Alex benar-benar mahu menjual Nani Januari ini, United akan
hanya mempunyai Valencia dan Young di bahagian sayap dan situasi ini perlu diperhalusi beliau sebaik-baiknya. Dan jika memang benar,
Nani akan diletakkan dalam pasaran perpindahan pemain Januari ini, Sir Alex
perlu mendapatkan pemain yang berkebolehan untuk menggantikan pemain yang
pernah diletakkan harapan untuk mengambil alih tempat Cristiano Ronaldo itu.
Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan