Tahun 2012 akan meninggalkan kita tidak
sampai dua minggu lagi. Tahun 2012 juga bolehlah dianggap sebagai tahun yang
kurang baik buat Manchester United. Pada dasarnya setiap tahun yang berakhir
tanpa sebarang trofi adalah satu kegagalan buat kelab seperti United.
Perlawanan terakhir liga musim lalu mungkin yang paling mengerikan buat
penyokong-penyokong United sejak penyingkiran mereka ke Divisyen Dua pada 1974.
Selepas menanti dengan penuh debar selama 90 minit, gol minit akhir perlawanan
Sergio Aguero ke atas QPR meranapkan impian United untuk mengekalkan kejuaraan
mereka sekaligus menamatkan musim lalu tanpa sebarang trofi utama. Kesuraman
musim lalu terubat dengan kehadiran Robin Van Persie yang kembali menaikkan
semangat penyokong-penyokong di Old Trafford. Besar kemungkinan, jika tiada
sebarang bencana yang menimpa barisan The
Red Devils, mereka akan menamatkan tahun 2012 selaku pendahulu Liga Perdana.
Jadi apa yang tahun 2013 akan bawakan untuk United? Bintang baru yang akan
dibawa masuk? Merampas semula trofi liga dari Manchester City? Atau jersi baru
yang lebih menarik berbanding yang ada sekarang? Justeru mari kita lihat
kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku kepada United tahun 2013 nanti:
1. TIADA PEMAIN BARU PADA BULAN JANUARI?
Ramai penyokong-penyokong United yang begitu
obses mahu menyaksikan bintang baru mana yang akan diperkenalkan Sir Alex
Ferguson Januari ini. Tapi kita juga harus realistik kerana Sir Alex jarang
mengambil kesempatan ketika jendela perpindahan pemain dibuka pada bulan
Januari untuk `membeli belah’. Jika disenaraikan pemain yang dikaitkan bakal
menyertai United memang panjang. Dari Robert Lewandowski hinggalah yang terbaru
Fernandinho, kesemuanya menghadirkan keterujaan kepada penyokong-penyokong
tentang siapakah yang bakal memperkuatkan skuad The Red Devils. Sir Alex kebiasaanya percaya dengan skuad yang
dimilikinya untuk menghadapi saingan liga yang akan memasuki fasa kedua setiap
musim pada bulan Januari. Apatah lagi jika United berjaya mengekalkan kedudukan
mereka di tangga teratas atau membuka jurang yang lebih besar berbanding kelab
di tangga kedua. Selepas berjaya mendapatkan Shinji Kagawa musim panas lalu, spekulasi
perpindahan Wesley Sneijder ke Old Trafford bolehlah dianggap sebagai mengarut.
2. UNITED TEWASKAN LIVERPOOL DI OLD TRAFFORD?
Mari saja kita berterus terang bahawa ketika
ini Manchester United adalah pasukan yang jauh lebih baik berbanding Liverpool.
Walaupun skuad Brendan Rodgers yang bermain 10 orang memberikan masalah buat
United ketika pertembungan pertama di Anfield September lalu, jentera serangan
United yang semakin berbisa boleh memusnahkan Liverpool apabila mereka bertemu
semula di Old Trafford pada pertengahan Januari ini.
3. KEKECEWAAN DI PIALA FA?
Kempen Piala FA kini bukan lagi keutamaan
buat Sir Alex sejak tahun 2000. Kali terakhir United menang kejuaraan Piala FA
ialah pada 2004 dan selepas itu tiada kapten United yang berjaya menjulang
trofi kejuaraan kalah mati tertua di dunia itu. Musim ini, United diundi
bertemu West Ham pada pusingan ketiga yang dijadualkan bakal berlangsung pada 6
Januari ini di gelanggang lawan. Pada saingan liga yang dilangsungkan di Old
Trafford 29 November lalu, United hanya menang tipis 1-0 ke atas The Hammers. Jadi ini adalah perlawanan
yang sukar buat United bila mereka terpaksa berdepan West Ham di gelanggang
lawan di mana skuad kendalian Sam Allardyce itu pernah menjinakkan Chelsea 3-2
bulan lalu. Jika Sir Alex masih lagi meneruskan polisinya dengan menurunkan
skuad kedua pada saingan Piala FA nanti, maka potensi untuk United tersingkir
dari kejohanan ini tetap besar.
4. DAVID DE GEA MUNCUL PENJAGA GOL TERBAIK
LIGA PERDANA?
David de Gea mempunyai potensi untuk muncul sebagai
salah seorang penjaga gol terhebat di dunia. Dengan usia yang masih muda, sukar
untuk mempercayai bahawa dia sudahpun diberikan tanggungjawab mengawal gawang
antara kelab terbesar di dunia ketika ini dan mengambil alih tempat lagenda
seperti Edwin Van der Sar. Meskipun melakukan beberapa kesilapan asas musim
lalu, De Gea pantas memberikan respon terhadap segala kritikan yang dilemparkan
kepadanya. Prestasinya sedikit demi sedikit terus meningkat dan dia akhirnya
dapat menyesuaikan diri dengan saingan bolasepak di England. 2013 bakal
menyaksikan De Gea terus mengukuhkan kedudukannya, bukan saja sebagai penjaga
gol nombor 1 United tetapi juga sebagai penjaga gol nombor 1 di Liga Perdana
mengatasi Joe Hart.
5. UNITED TERSINGKIR DARI SAINGAN LIGA
JUARA-JUARA?
Walaupun Manchester United antara pasukan
paling berpengalaman dalam saingan ini (Liga Juara-Juara), amat sukar
sebenarnya untuk menyaksikan mereka melangkah sekali lagi ke Wembley kali ini.
Barcelona adalah pasukan pilihan manakala dua kelab dari Jerman (Bayern Munich
dan Borussia Dortmund) mempamerkan aksi baik di peringkat kumpulan. Dortmund
sendiri menamatkan sisa-sisa harapan Manchester City yang juga merupakan seteru
setempat United untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati apabila menewaskan
skuad kendalian Roberto Mancini untuk di Westfalenstadion pada perlawanan
terakhir peringkat kumpulan. Bagaimanapun perjalanan United dalam saingan Liga
Juara-Juara musim ini juga bergantung kepada siapakah lawan yang diundi bertemu
mereka pada pusingan kalah mati nanti. Perkiraan ini dibuat berdasarkan aksi
goyah benteng pertahanan ketika mengharungi saingan peringkat kumpulan. Biarpun
United gah menerajui kumpulan H, mereka melepas gol-gol mudah ketika berdepan
kelab dengan pencapaian sederhana seperti Braga dan Cluj. Jika mahu melangkah
jauh, tugas utama Sir Alex ialah menguatkan benteng pertahanannya dan dengan
kehadiran semula Nemanja Vidic, tugas Sir Alex pastinya lebih mudah.
6. JONNY EVANS SEBAGAI PILIHAN UTAMA?
Pemain antarabangsa Ireland ini menerima
banyak kritikan sejak dua musim terakhir, tetapi dia tetap dipandang tinggi
oleh Sir Alex Ferguson. Evans sebenarnya mempunyai kemampuan membaca permainan dan
pertahanan yang cukup sukar dilepasi, tetapi tindakan tergopoh gapahnya sering
kali mendatangkan kerugian buat pasukan. Lihat saja bagaimana tindakan yang
dilakukannya ketika pertemuan derby
musim lalu yang mengakibatkan dia dilayangkan kad merah. United yang bermain 10
pemain akhirnya terpaksa menanggung aib tewas 1-6 kepada Manchester City di
hadapan penyokong sendiri. Walaupun Nemanja Vidic dan Rio Ferdinand masih
pasangan utama di bahagian tengah benteng United, Evans boleh menggunakan
kesempatan daripada masalah kecergasan kedua-dua tonggak pertahanan itu (Vidic
dan Rio) untuk meletakkan dirinya sebagai pilihan utama Sir Alex
selewat-lewatnya pada pertengahan 2013 nanti.
7. NANI TINGGALKAN KELAB?
Meskipun menjaringkan beberapa gol sensasi
untuk Manchester United, bintang antarabangsa Portugal ini perlu diakui
bukanlah pemain yang konsisten. Ramalan dari ramai pihak yang mengatakan bahawa
Nani akan berkembang sepertimana rakan senegaranya Cristiano Ronaldo lakukan
beberapa musim lalu tidak menjadi kenyataan. Bahkan karier Nani di Old Trafford
sejak akhir-akhir ini diselubungi berbagai-bagai kontroversi luar padang hingga
menjadikan kemungkinan tahun 2013 sebagai tahun akhir karier Nani bersama
United. Jika tidak diletakkan dalam pasaran perpindahan pemain Januari ini,
Nani dijangka akan tetap dilepaskan musim panas akan datang.
8. BINTANG TENGAH BARU?
Perlu diakui sejak persaraan Roy Keane, Sir
Alex Ferguson gagal mencari pengganti yang mampu mengisi tempat kapten
berpengaruh itu. Motto “Kemenangan Adalah Segalanya” yang sering
dilaung-laungkan Keane dibuktikan ketika beraksi di atas padang. Jadi tidak
hairanlah jika ramai yang masih merindui kelibat pemain tengah panas baran itu
walaupun dia sudah lama bersara. Dengan Paul Scholes yang semakin menghampiri
garis persaraan, Sir Alex perlu bertindak segera mencari pemain yang
benar-benar berwibawa untuk menjana jentera tengah pasukannya. Beberapa nama
sudah dikaitkan dengan minat Sir Alex antaranya ialah Victor Wanyama dan Kevin
Strootman. Semoga sesiapapun yang dipilih Sir Alex nanti, mereka dapat mengisi
kekosongan yang ditinggalkan Roy Keane sejak sekian lama.
9. REKAAN JERSI YANG LEBIH MENARIK
Rekaan jersi Manchester United musim ini
dikritik ramai pihak. Ada yang secara lantang menyamakan jersi United musim ini
umpama alas meja di rumah mereka berbanding apa yang selayaknya dipakai oleh
seorang bintang bolasepak. Semoga pada tahun hadapan, Nike akan berusaha dengan
lebih gigih mengilhamkan sesuatu yang berbeza berbanding apa yang ada sekarang.
Paling utama Nike perlu memuaskan hati penyokong-penyokong Manchester United
yang berada di seluruh dunia.
10. PATRICE EVRA KEHILANGAN TEMPATNYA?
Patrice Evra memang yang terbaik di posisinya
ketika ini dan kelibatnya mengingatkan kita kepada bekas lagenda United sendiri
iaitu Denis Irwin. Tiada pemain asing dalam tahun-tahun kebelakangan ini yang
berjaya menyerap budaya kelab berbanding Evra dan dia akan sentiasa menjadi
tokoh popular di Old Trafford. Walaupun Evra diakui antara pemain United paling
konsisten setakat ini tetapi dia bukan lagi pemain yang sama seperti tiga atau
empat tahun dulu. Umur menjadi faktor paling utama dan ramai yang mengatakan
bek kiri ini sedikit perlahan berbanding dua atau tiga musim lalu. Jika Sir
Alex menandatangani Leighton Baines musim panas akan datang, Evra mungkin
melihat posisi yang dikuasainya sejak sekian lama bakal tergugat.
11. RYAN GIGGS BERSARA?
Ramai yang berharap agar Ryan Giggs mampu
menjadi pemain pertama Manchester United yang berjaya tampil sebanyak 1000
perlawanan untuk kelab. Walau bagaimanapun Giggs kini sudahpun berusia 39 tahun,
dan musim ini bintang veteran itu jarang diberikan kesempatan beraksi dalam
kesebelasan utama. Apakah jika United menang kejuaraan liga ke-20 mereka dan
Giggs pula menang pingat kejuaraan liga ke-13 nya maka musim ini akan menjadi
yang terakhir buat Giggsy?
12. UNITED MENANG GELARAN LIGA KE-20?
Selepas menyaksikan kejuaraan mereka dirampas
pada perlawanan terakhir liga musim lalu, barisan pemain-pemain Manchester
United menjadikan episod duka itu sebagai pencetus semangat mereka musim ini.
Misi merampas semula trofi Liga Perdana dari seteru setempat, Manchester City
sekaligus koleksi kejuaraan liga ke-20 United menjadi fokus utama Sir Alex
Ferguson sebaik musim ini bermula. Kehilangan kejuaraan menerusi perbezaan gol
memang menyakitkan, dan tidak mahu perkara sama berulang, Sir Alex
menandatangani penjaring terbanyak musim lalu Robin Van Persie dari Arsenal
Ogos lalu. Kehadiran Van Persie menjadikan jentera penggempur United musim ini
paling menggerunkan dan gandingannya bersama Wayne Rooney menjadi igauan ngeri
buat benteng pertahanan lawan. United ketika ini gah menduduki puncak liga dan
dalam laluan itu, mereka sudahpun menewaskan kesemua pesaing-pesaing kejuaraan
seperti Liverpool, Chelsea, Arsenal dan Manchester City. Jika momentum ini
berterusan, tidak mustahil tahun 2013 akan menyaksikan `Misi 20’ berjaya
dilaksanakan.
13. SIR ALEX MERAIKAN HARI LAHIR KE 72 BELIAU
SEBAGAI BOS UNITED?
Ramai yang tertanya-tanya bilakah agaknya Sir
Alex Ferguson akan bersara sebagai Pengurus Manchester United. Pada usia 70
tahun (Sir Alex akan menyambut ulang tahun ke-71 pada 31 Disember ini), beliau
masih bersemangat dan bertenaga untuk tugas yang amat dicintainya dan tidak
kelihatan seperti mahu berhenti. Ramai yang meramalkan Sir Alex akan bersara
akhir musim ini sebaik United menjulang trofi liga buat kali ke-20 sekaligus
menamatkan karier 27 tahunnya di Old Trafford. Walau bagaimanapun itu hanyalah
ramalan sesetengah pihak dan jangan terperanjat jika Sir Alex menyambut hari
lahirnya yang ke-72 pada 31 Disember 2013 di bangku Pengurus Manchester United.
Glory Glory Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan