Undian pusingan kedua Liga Juara-Juara
sudahpun dilakukan kelmarin dan seperti yang kita semua sudah ketahui,
Manchester United akan berdepan tugas getir bila dipertemukan dengan juara sembilan
kali, Real Madrid. Masih terlalu awal untuk meramalkan siapa pemenangnya kerana
perlawanan pusingan kedua nanti akan hanya dilangsungkan pada pertengahan
Februari. Jika mengambilkira prestasi semasa, Madrid bukanlah sebuah pasukan
yang perlu digeruni ketika ini selepas sekadar menduduki tangga ketiga liga di
belakang Barcelona dan Atletico Madrid. Walau bagaimanapun Jose Mourinho tetap
memiliki himpunan pemain bertaraf bintang dalam skuadnya yang mampu membawa
gergasi Sepanyol itu melangkah jauh. Nama-nama seperti Cristiano Ronaldo, Iker
Casillas, Sergio Ramos, Pepe, Mesut Oezil, Luka Modric, Karim Benzema, Sami
Khedira, Michael Essien dan Xabi Alonso sudah cukup membuatkan mana-mana
pasukan cuba mengelak dari bertemu mereka (Madrid). Bagaimanapun undian telah dibuat, jadi suka atau tidak Sir Alex Ferguson dan barisan The Red Devils perlu berhadapan dengan mereka. Persembahan Madrid
ketika menentang (Borussia) Dortmund dan (Manchester) City di peringkat
kumpulan boleh dijadikan panduan buat United agar tidak ragu-ragu untuk
menyerang ketika bertemu mereka nanti walaupun bermain di Santiago Bernabeu.
Secara tradisinya, prestasi United mula melonjak selepas sambutan Krismas dan
kita berharap The Red Devils akan
muncul skuad yang jauh lebih bagus berbanding aksi mereka di peringkat
kumpulan. Tetapi ada kemungkinan juga Madrid akan lebih bagus menjelang
Februari nanti, jadi pertemuan kedua-dua kelab yang dianggap terbesar di dunia
ini pastinya menarik. Paling utama, Sir Alex perlu segera memperkemaskan
benteng pertahanannya mulai sekarang untuk berdepan ancaman bekas idola di Old
Trafford, Cristiano Ronaldo. Paling menarik ialah pertembungan di bahagian
tengah di mana Madrid berjaya menambah kualiti mereka di bahagian tersebut
selepas membawa Luka Modric dari White Hart Lane musim panas lalu. Dengan
adanya Mesut Oezil, kualiti Madrid tampak seperti tidak terbatas tetapi Modric
dan Oezil bukanlah seperti gandingan Samir Nasri dan David Silva yang boleh
bermain bersama-sama dalam satu pasukan. Kegagalan gandingan Modric - Oezil
terserlah ketika Madrid diikat 2-2 oleh barisan Espanyol pada aksi liga lima
hari lalu biarpun beraksi di gelanggang sendiri. Jika barisan tengah United
mampu berdepan gandingan yang lebih bagus seperti Nasri dan Silva, jadi secara
logiknya mereka juga tidak sepatutnya berdepan masalah menangani jentera tengah
Madrid. Jika tiada sebarang pembelian baru di bahagian tengah yang dibuat Sir
Alex Januari ini, Tom Cleverley dan Michael Carrick akan kekal sebagai pilihan
utama mengemudi jentera tengah ketika berdepan Madrid nanti. Di bahagian
hadapan, United sebenarnya lebih bagus berbanding Madrid jika Antonio Valencia,
Robin Van Persie dan Wayne Rooney dapat diturunkan nanti.
Menurunkan Rooney terlebih dahulu bersama RVP
akan membuka permainan dan mendedahkan bahagian paling lemah Madrid, iaitu
benteng pertahanan mereka. Peranan Valencia adalah penting ketika melancarkan
serangan dan kepantasannya boleh memberikan masalah tidak kiralah siapa yang
akan digunakan Mourinho untuk mengisi posisi bek kiri nanti sama ada Fabio
Coentrao, Nacho ataupun Raphael Varane. Keseluruhannya, Madrid kelihatan banyak
bergantung kepada Cristiano Ronaldo untuk menjaringkan gol, tetapi kelibat
Karim Benzema tetap perlu diawasi. Kepantasan Ronaldo ketika memecah benteng
pertahanan lawan dalam aksi di La Liga perlu segera dicari penawarnya oleh Sir
Alex. Tidak kira di manapun Ronaldo bermain, sama ada kiri atau kanan, tugas
getir pastinya menanti Rafael da Silva dan Patrice Evra untuk mengekang kapten
Portugal itu. Perlawanan Februari nanti akan menyaksikan kembalinya Ronaldo ke
kelab lamanya dan itu bakal menjadi fokus utama, manakala RVP pula ingin
menunjukkan dirinya mampu menyamai prestasi dalam menghasilkan gol milik bekas
bintang berjersi nombor 7 itu. Ronaldo menjulang trofi Liga Juara-Juara pada
2008 dan sekali lagi mara ke perlawanan akhir pada 2009 tetapi tewas kepada
Barcelona sebelum berpindah ke Real Madrid dengan nilai perpindahan £ 80 juta sekaligus rekod dunia hingga
kini. Kelibat dua lelaki, Sir Alex Ferguson dan Jose Mourinho juga bakal
mendominasi tumpuan. Kedua-dua individu berpengaruh ini akan menyambung semula
perseteruan mereka di atas padang selepas Mourinho meninggalkan saingan Liga
Perdana England pada 2007. Selepas sembilan tahun sejak Mourinho membawa Porto
menjulang trofi Eropah pada musim 2003-04 dengan menyingkirkan United di pusingan
kedua (16 pasukan), The God Father dan
The Special One akan bertemu sekali
lagi. Sejak itu mereka sudah bertemu sebanyak 14 kali dengan enam kemenangan
memihak kepada Mourinho manakala tiga pula milik Sir Alex dan selebihnya pula
berakhir dengan keputusan seri. Mourinho dikatakan pasti meninggalkan kelab
sebaik musim ini berakhir dan beliau tidak akan melakukannya tanpa sebarang
trofi untuk dihadiahkan ke dalam kabinet piala Santiago Bernabeu. Keputusan
positif yang diraihnya (Mourinho) dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini
mungkin mendekatkannya dengan kerusi pengurus di Old Trafford. Apapun keputusan
perlawanan Februari nanti, perlawanan menarik pastinya akan disajikan oleh dua
gergasi ini. United sebenarnya boleh mengalahkan Madrid lebih mudah berbanding
jika dipertemukan dengan Bayern Munich atau Barcelona, jadi ini sebenarnya
bukanlah undian yang buruk untuk The Red
Devils. Dan untuk menambahkan lagi keseronokan, pemain-pemain Manchester
City akan menyaksikan perlawanan ini dirumah dengan rasa iri hati. Glory Glory
Manchester United!!! – A.J
Tiada ulasan:
Catat Ulasan