Manchester United sekadar membawa pulang satu
mata dari Stadium Liberty selepas diikat 1-1 oleh Swansea City, tetapi masih
mengekalkan kedudukan mereka sebagai pendahulu dengan kelebihan empat mata di
tangga teratas liga. Nemanja Vidic beraksi buat pertama kali dalam kesebelasan
utama dalam tempoh tiga bulan dan pemain itu diletakkan Sir Alex Ferguson bersama-sama
Jonny Evans untuk mengawal benteng pertahanan United. Pertembungan
Swansea-United itu juga menyaksikan pertarungan dua penjaring terbanyak ketika
ini, Robin Van Persie dan Michu, tetapi pemain Sepanyol itu unggul apabila
berjaya menghasilkan satu gol manakala Van Persie pula sekadar menyumbang satu assist. Babak pertama menyaksikan
perlawanan berjalan seimbang tetapi United berjaya mendahului menerusi tandukan
Patrice Evra diminit ke-16. Berpunca dari sepakan sudut Van Persie, Evra
melonjak melepasi benteng pertahanan lawan untuk menjaringkan gol ketiganya
musim ini. Kelebihan United bagaimanapun tidak bertahan lama apabila 13 minit
selepas itu, Michu berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk tuan rumah.
Jaringan itu berpunca dari percubaan Jonathan de Guzman dari sebelah kiri pintu
gol United yang berjaya ditepis David de Gea, namun bola lantunan dari
percubaan Guzman singgah di kaki Michu yang mudah menolak bola masuk dalam
keadaan gawang terbuka. United adalah pasukan ke sepuluh selepas QPR, West Ham,
Sunderland, Reading, Wigan, Newcastle, West Brom, Arsenal dan Norwich yang
berjaya dibolosi Michu sekaligus memimpin kedudukan selaku penjaring terbanyak
liga setakat ini dengan 13 gol.
Pencapaian ini tentunya luar biasa buat
seorang pemain yang dibeli dengan harga hanya £2.2
juta musim panas lalu. Di awal babak kedua menyaksikan United lebih menguasai
perlawanan, tetapi Swansea lebih banyak mencipta peluang. Selepas melihat
pasukannya buntu dalam usaha memecah benteng pertahanan lawan, Sir Alex
melakukan pertukaran dengan memasukkan Javier Hernandez, Ryan Giggs dan Paul
Scholes di pertengahan babak kedua. Perlawanan sedikit panas apabila hampir
berlaku pergaduhan antara Robin Van Persie dan Ashley Williams diminit ke-76
hingga mengakibatkan kedua-dua pemain itu dilayangkan kad kuning oleh pengadil
perlawanan. Selang beberapa minit selepas insiden itu, Michael Carrick hampir
meletakkan United kembali di depan namun tandukannya hasil sepakan sudut Van
Persie sekadar singgah di palang gol biarpun Michel Vorm dilihat sudah tertewas.
United mencipta peluang sekali lagi tidak lama selepas itu menerusi percubaan
dari dalam petak penalti oleh Ashley Young namun berjaya ditampan Ben Davies.
Pemain-pemain United mendakwa percubaan Young terkena tangan Davies namun
rayuan untuk sepakan penalti tidak dilayan Michael Oliver. Kedudukan 1-1 kekal
sehingga tamat 90 minit perlawanan tetapi pujian harus diberikan buat De Gea di
gawang United. De Gea berjaya menafikan lapan dari sembilan percubaan tepat
yang dilakukan tuan rumah dan keputusan itu menyaksikan United berjaya
mengekalkan rekod tanpa kalah mereka ke atas Swansea sejak Januari 1982. Glory
Glory Manchester United!!! – A.J
Statistik Perlawanan
Swansea-United:
Percubaan: 14 – 20
Percubaan Tepat: 9 – 7
Penguasaan Bola: 40% - 60%
Kekasaran: 11 – 16
Sepakan Sudut: 3 – 6
Offside: 3 – 0
Kad Kuning: 2 – 4
Kad Merah: 0 – 0
Susunan Pemain Swansea:
Vorm, Tiendalli, Chico, Williams, Davies,
Britton (Sung Ki-Yeung 62’), Agustien (Schechter 87’), De Guzman, Dyer,
Routledge & Michu
Susunan Pemain United:
De Gea, Jones, Evans, Vidic, Evra, Valencia
(Hernandez 62’), Carrick, Cleverley (Scholes 85’), Young, Rooney (Giggs 78’)
& Van Persie
Tiada ulasan:
Catat Ulasan