20 Februari 2017

`INDIANA JONES’ YANG MELETAKKAN UNITED DI SUKU AKHIR....

Tiada kejohanan yang diremehkan Jose Mourinho musim ini, baik ketika skuadnya berdepan saingan Piala Liga, Piala FA ataupun Liga Europa. Ketika kebanyakkan pengurus lebih gemar menurunkan skuad kedua mereka terutamanya ketika berdepan pusingan-pusingan awal kejohanan kalah mati seperti Piala Liga dan Piala FA, Mourinho pula melakukan pendekatan berbeza.

Hasilnya United di bawah kendalian beliau sudah berada di pentas final Piala Liga, manakala awal pagi tadi pula mereka berjaya menempah slot ke pusingan suku akhir Piala FA selepas berjaya melepasi halangan Blackburn Rovers di Ewood Park. Ketika aksi menentang kelab yang sedang bergelut di Liga Kejuaraan seperti  Rovers pun, Mourinho tetap menurunkan kesebelasan `hampir terbaiknya’ demi memastikan United melangkah lebih jauh.

Mengingatkan bahawa hanya dua hari sebelumnya United sudah bermain di Liga Europa, tentulah Mourinho tidak mampu menurunkan skuad sama saat mereka membenam St Etienne Jumaat lalu. Meskipun terdapat beberapa rombakan yang dilakukan Mourinho terhadap kesebelasan utama yang diturunkan ketika berdepan Rovers, kita perlu mengakui bahawa barisan yang bermain di Ewood Park awal pagi tadi tetap barisan yang kompetitif.

Blackburn Yang Sentiasa Sukar Dikalahkan...

Meskipun jauh terperosok di zon penyingkiran Liga Kejuaraan, Rovers membuktikan bahawa mereka masih lagi pasukan yang liat ditewaskan. Perseteruan silam yang menyaksikan dahulunya pertembungan antara kedua-dua kelab ini sentiasa sengit, kini berulang lagi di Ewood Park.

Rovers pimpinan Owen Coyle sepertimana ketika zaman kemuncak perseteruan mereka dengan United masih lagi memiliki ego yang tinggi untuk menewaskan musuh lama mereka itu. Melihat cara mereka bermain menentang United, sukar membayangkan bahawa mereka sebenarnya sedang bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran Liga Kejuaraan.

Di babak pertama sahaja mereka mencipta beberapa peluang terbaik terutamanya menerusi Marvin Emnes hinggalah akhirnya Danny Graham berjaya menamatkan catatan enam perlawanan clean sheet Sergio Romero menerusi gol pendahuluan tuan rumah di minit ke-17.

Peranan Nombor 10 Mkhitaryan Dalam Skema Formasi 4-2-3-1 Mourinho....

Perlu diakui bahawa Henrikh Mkhitaryan merupakan antara pemain paling versatile yang dimiliki Jose Mourinho. Sebelum ini beliau pernah digunakan Mourinho sebagai sayap kiri dan kanan, sebagai penyerang malah kelibatnya pernah juga kita saksikan di posisi bek kiri.

Di Ewood Park, Mikhi sekali lagi diubah peranannya oleh Mourinho di mana kali ini beliau bertindak di posisi kegemarannya iaitu sebagai pemain nombor 10.

Hasilnya seperti yang anda dapat saksikan beliau berjaya menyumbangkan satu assist untuk gol penyamaan jaringan Marcus Rashford manakala sepanjang perlawanan pula Mikhi membekalkan 63 hantaran kepada rakan sepasukan dengan peratus ketepatan hantarannya mencapai 85%.

Ibrahimovic `Si Indiana Jones’ Untuk United...

Beberapa hari lalu Zlatan Ibrahimovic menyamakan dirinya dengan watak dari filem terkenal Indiana Jones selepas kejayaan beliau merakam hatriknya ke gawang St Etienne. United sendiri sebenarnya tidak bermain dengan baik ketika mereka menerima kunjungan wakil Perancis itu tetapi hatrik Ibra memastikan barisan Jose Mourinho membawa bekal selesa ke Stade Geoffroy Guichard nanti.

Di Ewood Park, Ibra sekali lagi membuktikan kata-katanya bahawa beliau memang `Indiana Jones’ di atas padang. Menyaksikan skuadnya bergelut dalam usaha mereka menembusi benteng pertahanan Rovers, Mourinho akhirnya tiada pilihan lain selain memasukkan Ibra ketika perlawanan sebenar berbaki 28 minit untuk ditamatkan.

Mourinho menyedari bahawa United tidak boleh berdepan satu lagi `perlawanan tambahan’ yang bakal memadatkan lagi jadual skuadnya, jadi atas sebab itulah kemasukkan Ibra diharapkan mampu mengubah keputusan perlawanan. Dan sepertimana layaknya Indiana Jones yang sering sahaja mampu merungkai kekusutan dan akhirnya keluar sebagai pemenang, begitulah juga dengan Ibra.

Musim ini sudah berkali-kali Ibra menyelamatkan United dan di Ewood Park beliau sekali lagi melakukannya. Ketika Rovers sedang mencongak satu lagi aksi menentang United di saingan Piala FA, Ibra memilih posisi dan waktu yang tepat untuk menyudahkan hantaran Paul Pogba...hanya 13 minit selepas beliau dimasukkan.

Gol kemenangan Ibra ke atas Rovers akhirnya menjadi satu lagi bukti betapa pentingnya peranan si `Indiana Jones’ ini untuk United. Ibra boleh menyamakan dirinya dengan mana-mana watak hero filem atau adiwira, tetapi satu fakta yang nyata ialah beliau sudah menjaringkan 24 gol untuk United dalam semua kejohanan setakat ini...satu pencapaian yang mungkin sukar dilakukan oleh mana-mana penyerang seusianya di pentas tertinggi. Glory Glory Manchester United!!!

18 Februari 2017

BERTEMU SETERU LAMA...


Bagi generasi penyokong-penyokong Manchester United era 90an, masih ingatkah lagi persaingan epik antara Manchester United dan Blackburn Rovers dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga musim 1994-95? Ketika itu Rovers diuruskan oleh Kenny Dalglish, individu terakhir yang berjaya mengemudi Liverpool menjulang kejuaraan liga, 27 tahun lalu.

Menerusi pelaburan besar yang disuntik Jack Walker, Rovers ketika itu memang wajar digeruni kerana mereka memiliki kesebelasan seimbang di semua posisi menerusi kehadiran pemain-pemain handalan seperti Alan Shearer, Chris Sutton, Tim Sherwood, Colin Hendry, David Batty, Graeme Le Saux, Henning Berg dan Tim Flowers.

Pelaburan besar Walker akhirnya berbaloi bilamana di penghujung musim Rovers berjaya menjulang trofi Liga Perdana menerusi perbezaan hanya satu mata sekaligus memecah monopoli United yang sebelumnya menjuarai gelaran liga selama dua musim berturut-turut (1992/93 dan 1993/94).

Itu cerita 22 tahun lalu kerana kini situasi sudah jauh berbeza. Selepas kejayaan Dalglish mengemudi Rovers menjulang trofi Liga Perdana, mereka sedikit demi sedikit mula hilang dari peta utama persaingan bolasepak England dan sejak tersingkir ke Liga Kejuaraan pada 2012, mereka masih lagi gagal bangkit untuk kembali ke liga utama (Liga Perdana).

Dan selepas 22 tahun berlalunya perlumbaan epik merebut kejuaraan liga antara United dan Rovers, kedua-dua kelab bakal bertemu sekali lagi Isnin ini di Ewood Park. Kali ini United dan Rovers bukan lagi berlumba merebut kejuaraan liga tetapi slot ke suku akhir Piala FA menjadi taruhan.

Kali ini situasi antara kedua-dua kelab juga sudah jauh berbeza. Ketika United masih menyasarkan slot empat teratas Liga Perdana sebagai misi yang harus disempurnakan, Rovers pula sedang bergelut dalam usaha mereka untuk keluar dari zon penyingkiran Liga Kejuaraan.

Menyaksikan kedudukan Rovers yang kini berada di tangga ke-23 Liga Kejuaraan, sukar membayangkan bahawa inilah pasukan yang pernah menyebabkan United berputih mata 22 tahun lalu. Dan ini jugalah pasukan yang pernah menyebabkan Fergie merombak hampir keseluruhan skuadnya selepas kegagalan musim 94/95 yang menyaksikan anggota Class of 92 diperkenalkan kepada dunia.

Mengambilkira rekod perseteruan silam, United tidak harus meremehkan cabaran yang bakal diberikan Rovers, tambahan pula lawan bermain di gelanggang sendiri. Aksi menentang United bukan sahaja penting dalam usaha Rovers menyelamatkan musim suram mereka tetapi juga penting kepada karier pengendali mereka, Owen Coyle yang berdepan prospek pemecatan.

Coyle mengakui tiada perlawanan lebih besar untuk skuadnya berbanding menentang United dan beliau juga sedar hanya kemenangan ke atas United mampu membantu survival karier pengurusannya di Ewood Park. Jadi anda boleh bayangkan apa yang bakal menanti Jose Mourinho dan barisan pemainnya Isnin ini, ditambah pula dengan saingan Piala FA yang tidak pernah sunyi dari kejutan.

Berbanding persaingan yang tercetus antara kedua-dua kelab 22 tahun lalu, kini United dan Rovers adalah pasukan dari darjat yang berbeza. Meskipun begitu meremehkan cabaran yang bakal diberikan Rovers umpama menjerat diri sendiri, jadi agak menarik untuk kita saksikan `lineup’ yang bakal diturunkan Mourinho di Ewood Park nanti....Glory Glory Manchester United!!!

Fakta Perlawanan....

1. Kali terakhir United dan Rovers bertemu dalam saingan Piala FA ialah pada musim 1984/85. United menang perlawanan itu menerusi gol jaringan Gordon Strachan dan Paul McGrath.

2. Kali terakhir Rovers menewaskan United di Ewood Park ialah pada 2006 (4-3) dengan David Bentley menjaringkan hatrik dalam perlawanan tersebut.

3. United menewaskan Rovers (2-0) pada pertembungan terakhir mereka di Ewood Park pada April 2012 menerusi gol Antonio Valencia dan Ashley Young.

4. Anthony Martial terlibat dalam sembilan gol United menerusi lapan penampilan terakhirnya di saingan Piala FA (3 gol dan 6 assist).

5. Ini adalah kali ketiga berturut-turut Rovers berjaya melayakkan diri ke pusingan kelima Piala FA. Musim lalu di peringkat yang sama mereka tewas kepada West Ham United.

6. Rovers tewas sekali dari lima aksi terakhir mereka di Ewood Park dalam semua kejohanan.

7. United hanya tewas sekali dari sembilan perlawanan di gelanggang lawan dalam semua kejohanan (6 menang dan seri 2).

15 Februari 2017

LIGA EUROPA....PELUANG MOURINHO MEMAHAT NAMANYA DALAM SEJARAH GEMILANG UNITED


Belum sampai semusim Jose Mourinho mengendalikan Manchester United dan dalam tempoh tersebut beliau memang tidak memiliki apa-apa yang perlu dibanggakan walaupun berjaya mengemudi kelab menjulang trofi Perisai Komuniti Ogos lalu.

David Moyes juga berjaya mempersembahkan medal kejuaraan Perisai Komuniti pada musim pertama dan terakhirnya bersama United tetapi di mana kedudukan beliau selepas itu? Pencapaian Van Gaal pula lebih bagus apabila musim lalu beliau menamatkan penantian selama 12 tahun apabila skuadnya berjaya menjulang trofi Piala FA di Wembley.

Bagaimanapun kejayaan Van Gaal menghadiahkan trofi Piala FA ke-12 dalam kabinet kejuaraan United tetap tidak mampu menghalang beliau dari dipecat berikutan prestasi turun naik yang dipamerkan skuadnya sepanjang dua musim beliau mengemudi kelab.

Perisai Komuniti hanyalah pertandingan formaliti bagi menandakan bermulanya musim baharu, justeru memang tiada salahnya bila Mourinho mengatakan bahawa beliau masih belum ada apa-apa yang boleh dibanggakan berbanding pencapaian legenda-legenda United seperti Paul Scholes, Ryan Giggs atau Rio Ferdinand.

Jika mahu membandingkan pencapaian Mourinho dengan legenda pengurus United seperti Sir Matt Busby dan Sir Alex Ferguson pula tentulah umpama langit dan bumi jurangnya. Ini baru musim pertama beliau di Old Trafford dan ini juga merupakan langkah permulaan sebelum beliau layak diletakkan sebaris dengan legenda-legenda United sebelumnya (itupun jika beliau kekal lama bersama kelab).

Selepas Perisai Komuniti, Mourinho berpeluang menambah satu lagi medal kejuaraan dalam simpanan peribadinya apabila pada 26 Februari ini beliau sekali lagi membawa skuadnya melangkah masuk ke Wembley. Kali ini pula Piala Liga yang menjadi rebutan dan Southampton adalah lawan terakhir yang perlu ditewaskan sebelum trofi tersebut dapat dijulang beliau.

Jika ditakdirkan United berjaya menjulang Piala Liga pada 26 Februari ini, kejayaan itu tetap tidak akan memahat nama Mourinho dalam pencapaian istimewa kelab. Untuk rekod United sudah memenangi piala ini sebanyak empat kali di mana kesemuanya diraih semasa era Sir Alex Ferguson sebagai pengurus.

Mungkin satu-satunya kebanggaan peribadi Mourinho jika barisan pemainnya berjaya menjulang Piala Liga nanti ialah fakta bahawa beliau berjaya menyamai pencapaian Brian Clough dan Sir Alex selaku pengurus paling banyak memenangi trofi tersebut (empat kali).

Jika bukan medal kejuaraan Perisai Komuniti dan Piala Liga, lalu apakah peluang terbaik dan paling hampir untuk Mourinho melakar namanya dalam sejarah pencapaian gemilang kelab? Jika mahu diingati sebagai pengurus yang memiliki pencapaian istimewa di Old Trafford, Mourinho sebenarnya tidak perlu menunggu selama bertahun-tahun atau memenangi kejuaraan demi kejuaraan tetapi cukup dengan hanya medal kejuaraan Liga Europa.

United sepanjang sejarah mereka sudah memenangi kesemua kejuaraan domestik, tiga kali menjulang trofi Liga Juara-Juara, Kejuaraan Kelab Dunia selain European Cup Winners Cup dan European Super Cup, namun Liga Europa (atau dahulunya lebih dikenali sebagai Piala UEFA) masih kekal satu-satunya kejuaraan yang masih belum mereka menangi.

Situasi musim ini sebenarnya mirip dengan apa yang berlaku di era awal 90an, ketika Sir Alex dan barisan pemainnya menjulang trofi Cup Winners Cup edisi 1991 di Rotterdam menerusi dua gol jaringan Mark Hughes ke gawang Barcelona.

Setahun sebelum kejayaan tersebut, United berjaya menjulang trofi Piala FA, memulakan musim 1990/91 sebagai juara Charity Shield bersama Liverpool, layak ke final Piala Liga (tetapi tewas 0-1 kepada Sheffield Wednesday) dan bermain di kejohanan kasta kedua Eropah (Cup Winners Cup).

Jika pada musim 1990/91, Sir Alex dan barisan pemainnya berjaya memenangi trofi Charity Shield, layak ke final Piala Liga, menewaskan Barcelona di pentas final Cup Winners Cup dan menamatkan saingan liga di tangga keenam, kini selepas 26 tahun Mourinho berpeluang melakukan catatan lebih baik.

Peluang sulung Mourinho menghadiahkan trofi kejohanan kompetitif pertamanya untuk United akan hadir 26 Februari ini, tetapi sebelum itu mereka perlu melayani kunjungan St Etienne dalam perlawanan pertama pusingan kalah mati Liga Europa dan kemudiannya berdepan Blackburn Rovers di pusingan kelima saingan Piala FA.

Perjalanan ke final Liga Europa masih jauh dan St Etienne pula merupakan halangan pertama yang perlu dilepasi United di pusingan kalah mati. Liga Europa memang tidak setanding Liga Juara-Juara tetapi jika United berjaya memenangi trofi tersebut, itu akan tetap menjadi pencapaian istimewa dalam sejarah kelab.

Melihat nama Ipswich Town terpahat dalam senarai pemenang kejuaraan Liga Europa, saya berpendapat ini adalah masa terbaik untuk United turut serta melakukannya. Ketika bersama FC Porto, Mourinho ada momen indah dalam kejohanan ini dan saya pasti beliau juga mahu kembali ke pentas final sekali lagi dan memenangi kejuaraan ini dengan pasukan berbeza.

Perlu diakui bahawa kejuaraan Liga Perdana memang sudah terlalu jauh dari jangkauan, tetapi seandainya United mampu menamatkan musim ini dengan kejuaraan treble (Piala Liga, Piala FA dan Liga Europa), itu tetap satu pencapaian hebat dan bakal diingati untuk tempoh yang panjang.

Langkah Mourinho melakar namanya dalam sejarah kelab sebagai pengurus pertama di Old Trafford yang berjaya memenangi Liga Europa akan diteruskan awal pagi Khamis ini. Biarpun final Liga Europa tidak sehebat Liga Juara-Juara, saya tetap mengimpikan pada 25 Mei nanti barisan The Red Devils pimpinan Mourinho menjejakkan kaki mereka di Solna dan menjulang trofi tersebut di sana...Glory Glory Manchester United!!!

12 Februari 2017

REKOD BAHARU, PEMBUKTIAN MARTIAL HINGGALAH KEPADA VARIASI FORMASI MOURINHO....


Kemenangan yang penting juga kemenangan yang istimewa. Penting kerana tiga mata yang diraih ketika berdepan Watford semalam menyaksikan United terus memberikan tekanan dalam perebutan slot empat teratas. Walaupun United masih lagi berada di kedudukan tangga keenam liga, tiga mata yang berjaya dikutip semalam menyaksikan barisan Jose Mourinho hanya ketinggalan dua mata berbanding Tottenham Hotspurs dan Arsenal yang berada di tangga kedua dan ketiga liga.

Kemenangan ke atas Watford semalam juga merupakan kemenangan yang istimewa kerana tiga mata yang berjaya dikutip menyaksikan United muncul kelab pertama England yang berjaya mengumpul 2,000 mata dalam saingan liga. United jauh mengungguli Arsenal di tangga kedua (1,797 mata) manakala Chelsea yang berada di posisi ketiga pula mengumpul 1,755 mata. Jumlah kutipan 2,000 mata ini diraih United menerusi 949 perlawanan liga di mana dari jumlah tersebut mereka menang 599 perlawanan dan 203 keputusan seri.

Satu Lagi Rekod Bakal Tercipta....

Pada 4 Mac nanti saat United berdepan AFC Bournemouth di Old Trafford dalam saingan liga, barisan Jose Mourinho sekali lagi berpeluang mencipta satu lagi rekod baharu di England. Jika menang, United bakal muncul kelab pertama yang berjaya mengumpul 600 kemenangan dalam perlawanan liga.

Anthony Martial Menjawab Kritikan Yang Dilemparkan Keatasnya....

Aksi menentang Watford semalam mungkin aksi terbaik yang dipemerkan Anthony Martial setakat ini. Ya, beliau bermain dengan sangat baik menerusi larian-larian dari sisi sayap kiri yang sering mencetus huru-hara kepada benteng pertahanan Watford.

Martial merupakan type pemain yang gemar berdepan satu lawan satu dengan pemain lawan, melepasi mereka dan kemudiannya melakukan hantaran pendek kepada rakan yang menunggu di dalam petak penalti lawan. Itulah yang anda dapat saksikan sepanjang 81 minit aksinya di atas padang.

Assist yang disumbangkan Martial menyaksikan gol pertama United terhasil menerusi jaringan Juan Mata, dan di babak kedua giliran beliau pula menjaringkan gol kedua menerusi larian menarik dari sebelah kiri selepas menerima hantaran pendek Zlatan Ibrahimovic.

Melihat bagaimana seorang pemain yang tersisih dalam beberapa perlawanan dan kemudiannya bangkit menerusi aksi terpuji seperti ini adalah sesuatu yang sangat menarik. Mourinho memilih menurunkan Martial dalam perlawanan ini berbanding Marcus Rashford kerana beliau sedar warga Perancis ini sedang melalui tempoh sukar dan perlukan suntikan semangat.

Memandangkan persaingan di posisi sayap kiri yang begitu sengit, Martial sudah menggunakan kesempatan yang diberikan oleh Mourinho dengan sebaik mungkin sambil membuktikan mengapa beliau layak diberikan standing ovation sebaik sahaja Marcus Rashford masuk menggantikan tempatnya di minit ke-81.

Peranan Mkhitaryan Dalam Skema Formasi Berbeza Mourinho....

Dalam beberapa perlawanan terakhir anda juga dapat saksikan Mourinho menggunakan formasi berbeza dalam sistem permainan United. Formasi yang digunakan Mourinho sebenarnya mengikut kesesuaian lawan yang bakal dihadapi skuadnya.

Ketika mereka berdepan Wigan Athletic dalam saingan Piala FA, Mourinho menggunakan formasi 4-2-3-1 kegemarannya di mana Wayne Rooney, Henrikh Mkhitaryan dan Juan Mata berada di belakang Anthony Martial sebagai penyerang tunggal.

Saat skuadnya diikat Hull City pada aksi yang dilangsungkan 1 Februari lalu, Mourinho menggunakan formasi 4-3-3 apabila beliau meletakkan Marcus Rashford, Henrikh Mkhitaryan serta Zlatan Ibrahimovic sebaris di barisan hadapan.

Perubahan formasi sekali lagi dilakukan Mourinho ketika skuadnya berkunjung ke King Power Stadium di mana kali ini beliau menggunakan sistem dua penyerang pula menerusi formasi 4-4-2.

Mengapa Mourinho gemar menggunakan formasi berbeza sejak kebelakangan ini? Jawapannya ialah kerana beliau tidak perlu menggunakan pemain berbeza dalam setiap perlawanan tetapi cukup dengan hanya mengubah posisi dan peranan beberapa pemainnya di atas padang.

Salah seorang pemain yang sentiasa bersedia dengan perubahan peranan yang bakal dimainkannya di atas padang ialah Henrikh Mkhitaryan, dan Mourinho mengakui akan meletakkan Mikhi di posisi yang beliau rasakan pemain ini mampu memainkan peranannya dengan berkesan ketika berdepan lawan berbeza.

Mourinho agak beruntung kerana beliau memiliki pemain seperti Mikhi yang sentiasa bersedia dari segi mental untuk sebarang perubahan yang bakal dimainkannya. Semalam anda dapat saksikan sekali lagi bagaimana Mourinho mengubah peranan dan posisi Mikhi ketika beliau kembali menggunakan formasi 4-2-3-1 dalam sistem permainannya.

Jika ketika kunjungan di King Power Stadium minggu lalu Mikhi digunakan Mourinho di sisi sayap kiri, semalam beliau ditugaskan oleh Mourinho untuk bermain di belakang Ibra yang kembali bertindak selaku penyerang tunggal.

Bermain di belakang penyerang merupakan posisi kegemaran Mikhi, jadi tidak hairanlah sepanjang perlawanan menentang Watford semalam anda dapat saksikan beliau melepaskan lapan percubaan ke arah pintu gol lawan, mencipta lima peluang jaringan gol manakala ketempatan hantarannya pula mencapai 84%...Glory Glory Manchester United!!!

07 Februari 2017

TIGA KALI UNITED BERJAYA MENEMBUSI PINTU GOL KASPER SCHMEICHEL...APA SEBENARNYA YANG BERLAKU DI KING POWER STADIUM?


Kali terakhir Manchester United berjaya membolosi gawang lawan lebih dari dua kali dalam aksi liga ialah pada 26 Disember lalu, ketika mereka menewaskan Sunderland 3-1 di Old Trafford. Selepas lebih sebulan...United sekali lagi berjaya menembusi pintu gol lawan sebanyak tiga kali dan kali ini mereka melakukannya di gelanggang lawan pula ketika berdepan Leicester City.

Sebelum aksi menentang juara bertahan Liga Perdana itu di King Power Stadium, United mencatatkan tiga keputusan seri berturut-turut (menentang Liverpool, Stoke City dan Hull City). Ketika berdepan Stoke dan Hull, United mendominasi perlawanan secara total menerusi penguasaan bola, percubaan-percubaan yang dilakukan dan peluang-peluang jaringan yang dicipta mereka.

Bagaimanapun United tetap gagal keluar sebagai pemenang meskipun ketika berdepan Stoke mereka melepaskan 25 percubaan ke arah gawang lawan dan mencipta 19 peluang jaringan gol. Ketika berdepan Hull pula, United melepaskan 15 percubaan dan mencipta 13 peluang jaringan gol tetapi tiada satupun dari percubaan mereka berjaya menembusi pintu gol Eldin Jakupovic.

Lalu apa yang menyebabkan barisan hadapan United kembali menemui sentuhan gol menerusi tiga jaringan yang dihasilkan mereka di King Power Stadium? Jawapannya ialah perubahan formasi permainan yang dilakukan Mourinho dari 4-2-3-1 kepada 4-4-2. Apa yang dilakukan Mourinho menerusi formasi ini ialah tidak memberikan peluang kepada Robert Huth dan Wes Morgan berada dalam posisi dua lawan satu ketika Zlatan Ibrahimovic menguasai bola.

Mengambil pelajaran dari apa yang berlaku ketika United berdepan Stoke dan Hull, Mourinho tidak lagi menggunakan Ibra selaku penyerang tunggal tetapi sebaliknya beliau turut meletakkan Marcus Rashford untuk membentuk kombinasi dua penyerang di barisan hadapan. Langkah yang diambil Mourinho akhirnya berhasil di mana kali ini mereka tidak lagi terlalu bergantung kepada Ibra dalam misi memburu gol.

Kehadiran Rashford di barisan hadapan menyebabkan pertahanan lawan tidak lagi terlalu memberikan tumpuan kepada Ibra (contoh paling hampir ialah bagaimana kawalan yang diberikan pertahanan lawan kepada Ibra ketika United berdepan Stoke dan Hull). Di King Power Stadium, Ibra lebih bebas bergerak serta bebas mencari ruang dan akhirnya anda lihat bagaimana gol kedua United terhasil.

Menurut Mourinho menerusi formasi 4-4-2, permainan United lebih stabil walaupun dalam masa yang sama beliau turut mengakui bahawa perubahan ini menyebabkan permainan skuadnya kurang kreatif. Tidak hanya di bahagian hadapan, Mourinho turut melakukan sedikit perubahan taktik di kedua-dua sisi sayap pasukannya.

Berbanding kebiasaannya, dua pemain sayap United akan berada  berhampiran dengan Ibra tetapi ketika berdepan Leicester beliau mengarahkan agar Juan Mata serta Henrikh Mkhitaryan bermain lebih ke dalam atau lebih tepatnya berada dekat dengan dua pemain tengah (Paul Pogba dan Ander Herrera).

Hasilnya anda dapat saksikan sepanjang 90 minit perlawanan, barisan hadapan The Foxes yang dibarisi Jamie Vardy, Ahmed Musa, Riyadh Mahrez dan Shinji Okazaki hanya mampu melepaskan satu percubaan tepat ke arah David De Gea. Perubahan strategi yang dilakukan Mourinho dalam perlawanan ini turut diakui Claudio Ranieri menyukarkan pasukannya untuk bangkit selepas ketinggalan dua gol.

Selepas unggul di hadapan menerusi dua gol dari Miki dan Ibra di babak pertama, United memperlahankan tempo permainan dalam usaha mereka meneutralkan tekanan yang cuba diberikan lawan. Ranieri mengakui sukar untuk pasukannya bangkit selepas United mula memperlahankan permainan dan kemudiannya bertukar-tukar hantaran menerusi sentuhan satu dua yang pantas.

Kemenangan di King Power Stadium bukan sahaja menyaksikan United kini semakin menghampiri kelompok empat teratas tetapi lebih penting Mourinho sudah belajar sesuatu selepas skuadnya sekadar berkongsi mata ketika berdepan kelab pertengahan dan bawahan liga walaupun mereka mendominasi permainan.

Dengan baki 14 perlawanan liga yang perlu diharungi musim ini, United tidak lagi boleh keciciran mata ketika berdepan perlawanan-perlawanan yang sepatutnya mereka boleh menangi. Dalam tempoh dua bulan terakhir, United kini pasukan yang lebih konsisten berbanding ketika di awal musim dan kekalahan besar kepada Chelsea Oktober lalu masih kekal kekalahan tunggal yang dialami mereka dari 16 aksi terakhir liga.

Saya harap aksi menentang Leicester menjadi petunjuk kepada Mourinho bagaimana caranya untuk beliau membawa skuadnya muncul pemenang di akhir perlawanan. Tidak mengapa jika perubahan strategi yang dilakukan beliau di King Power Stadium menyebabkan United hilang sedikit kreativiti asalkan tiga mata berada dalam genggaman sebaik wisel penamat ditiupkan. Chelsea di bawah kendalian Antonio Conte bukanlah pasukan yang menarik untuk disaksikan aksi mereka tetapi lihat di mana kedudukan The Blues sekarang?...Glory Glory Manchester United!!!

06 Februari 2017

PEMAIN TERBAIK BULAN JANUARI...ANTONIO VALENCIA

Lapan tahun lalu saat Steve Bruce (Pengurus Wigan Athletic ketika itu) mengatakan kepada Antonio Valencia bahawa Manchester United berminat mendapatkan khidmatnya, pemain antarabangsa Ecuador itu hanya tertawa dan menganggap kata-kata Bruce itu hanyalah gurauan. Bruce memang dikenali sebagai pengurus yang gemar bergurau dengan pemain-pemainnya, tetapi kali ini apa yang dikatakan beliau bukan candaan.

Beberapa hari kemudian, Valencia berpeluang bertentang mata dengan Sir Alex Ferguson dan kini barulah beliau sedar bahawa Fergie memang benar-benar mahukan khidmatnya. Akhirnya perkara yang sebelumnya dianggap sebagai gurauan Bruce kini menjadi kenyataan dan menurut Valencia, “momen itu merupakan momen paling luar biasa dan paling indah yang pernah berlaku dalam hidupnya”.

Valencia ditandatangani Fergie bagi menggantikan tempat Cristiano Ronaldo yang memilih menyertai Real Madrid pada 2009 kerana kelajuan yang dimilikinya sebagai pemain sayap. Meskipun ramai yang meragui kemampuan Valencia semasa peringkat awal kedatangannya di Old Trafford, pemain kelahiran Lago Agrio itu akhirnya membuktikan bahawa Fergie sudah memilih pemain yang tepat bagi mengisi posisi yang ditinggalkan Ronaldo.

Memang benar, pemain hebat seperti Ronaldo amat sukar dicari ganti, jadi tidak hairanlah mengapa ada yang memandang sinis dengan keputusan Fergie menandatangani Valencia. Kebanyakkan penyokong-penyokong United ketika itu mengharapkan Fergie menandatangani nama besar yang setanding dengan reputasi Ronaldo, bukan pemain kurang ternama dari kelab pertengahan liga seperti Wigan sebagai pengganti.

Valencia dan Ronaldo pemain yang jauh berbeza, baik dari segi gaya permainan, skill atau pun personaliti di atas padang. Ronaldo tampak sedikit angkuh manakala Valencia pula lebih tenang dan terkawal emosinya. Saya akui jika mahu dibandingkan skill dan teknik yang dimiliki Ronaldo, Valencia bukanlah tandingan mega bintang Portugal itu.

Ronaldo menerusi kelebihan skill individu yang dimilikinya gemar menembusi pertahanan lawan hingga ke petak penalti tetapi Valencia pula lebih tipikal kepada gaya permainan David Beckham menerusi umpanan-umpanan silangnya dari sebelah kanan. Menerusi ketepatan umpanan-umpanan silang yang dilakukannya, Valencia memudahkan tugas Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov selaku penggempur.

Musim pertamanya di Old Trafford, Valencia berjaya menyumbang 13 assist dari 49 penampilan dalam semua kejohanan. Bagaimanapun prestasi bagus yang dipamerkannya sepanjang musim tetap gagal membantu United mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi mereka musim sebelumnya (2008-09). Di musim keduanya, kecederaan panjang yang dialami Valencia membataskan penampilannya di mana beliau cuma mampu melakukan 20 penampilan (dalam semua kejohanan).

Bagaimanapun di penghujung musim (2010-11), beliau berjaya memenangi medal kejuaraan Liga Perdana bersama United manakala tiga gol dan lima assist yang disumbangkannya bukanlah pencapaian yang buruk untuk seorang pemain yang terpaksa keluar masuk di bilik rawatan hampir sepanjang musim. Selepas pulih sepenuhnya dari kecederaan, Valencia sekali lagi tampil gemilang menerusi 16 assist dan enam gol dari 38 penampilan (dalam semua kejohanan) pada musim ketiganya.

Jika pada 2009, Fergie menandatangani Valencia dari Wigan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo sebagai pemain sayap, kedatangan Louis Van Gaal pada 2014 pula menyebabkan posisi dan peranan Valencia bersama United berubah. Biarpun tidak dilakukan secara drastik, Van Gaal secara perlahan-lahan menukar fungsi Valencia dari seorang pemain sayap kepada fullback

Bagaimanapun Van Gaal bukanlah individu pertama yang meletakkan Valencia sebagai bek kanan. Valencia sebenarnya sudah mula bermain sebagai bek kanan pada September 2011, ketika Sir Alex Ferguson mendapati hampir kesemua pemain pertahanannya berada di bilik rawatan. Secara keseluruhan dari 2011 hinggalah ke saat Ryan Giggs mengambilalih posisi pengendali sementara selepas David Moyes di pecat, Valencia sempat bermain sebagai bek kanan sebanyak 12 kali.

Musim lalu tidak kira sama ada Van Gaal menggunakan sistem tiga atau empat pertahanan dalam formasi permainannya, posisi selaku bek kanan adalah milik mutlak Valencia. Dari seorang pemain sayap yang sering melakukan hantaran-hantaran lintang terus ke dalam petak penalti lawan, Valencia kini muncul antara pemain penting buat United menerusi peranan baharunya sebagai fullback.

Jika Phil Jones melabelkan Valencia sebagai `mesin’, Mourinho pula tanpa ragu meletakkan pemain ini sebagai bek kanan terbaik dunia. Mungkin pandangan Mourinho agak berlebihan atau mungkin memang benar bahawa Valencia bek kanan terbaik dunia ketika ini. Bagaimanapun di Old Trafford beliau sudah pun menerima pengiktirafan atas segala sumbangan dan peranan yang telah dimainkannya selama ini, iaitu diberikan lanjutan kontrak selama setahun.

Mourinho tahu pentingnya peranan Valencia untuk United dan beliau juga tahu penting baginya untuk terus mengekalkan antara pemain terbaiknya bersama kelab. Selain David De Gea, Zlatan Ibrahimovic, Ander Herrera dan Paul Pogba, Valencia antara pemain yang kerap diturunkan Mourinho dalam kesebelasan permulaannya dan antara pemain yang paling banyak bermain selama 90 minit (20 kali dari 21 penampilan liga).  

Musim ini di bawah kendalian Jose Mourinho, Valencia sudah melakukan 21 penampilan dalam saingan liga. Secara purata Valencia melakukan 2.4 tackle, 1.8 intercept dan 2.3 clearance per perlawanan. Catatan purata hantaran-hantaran silang yang dilakukannya juga meningkat daripada 3.7 kepada 5.4 per perlawanan berbanding musim lalu.

Prestasi bagus yang dipamerkan beliau di benteng pertahanan menyaksikan United muncul pasukan ketiga paling kurang dibolosi di Liga Perdana selepas Chelsea dan Tottenham Hotspurs. Ketika sorotan penyokong-penyokong United lebih terarah kepada kelibat Paul Pogba atau Zlatan Ibrahimovic dalam setiap perlawanan, jauh di sudut tepi padang Valencia secara diam-diam melakukan kerja-kerjanya dengan cukup berkesan walaupun dirinya tidak diberikan perhatian.

Meskipun kini peranannya sudah bertukar dari pemain sayap kepada bek kanan, satu perkara yang tak akan pernah berubah bila kita bercakap tentang Antonio Valencia ialah kepantasan larian-lariannya yang sering `menyeksa’ lawan dan umpanan-umpanan silang yang sering beliau bekalkan untuk rakan-rakan sepasukan di bahagian hadapan dari dulu hingga sekarang.

Bekas rakan sepasukannya, Juan Carlos Burbano pernah menyebut kelajuan yang dimiliki Valencia ketika beliau melepasi kawalan lawan umpama “seekor jaguar melewati barisan pokok kaktus”. Ya...umpama “seekor jaguar” yang menghendap secara senyap ketika memburu mangsanya, begitu jugalah Valencia ketika di atas padang. Pemain yang jarang diberikan perhatian tetapi sentiasa tahu bagaimana caranya mahu `melukakan’ lawan...tahniah untuk pemain terbaik bulan Januari ini. Glory Glory Manchester United!!!

02 Februari 2017

GRIEZZY...DARI `BAKAT TERBUANG’ KEPADA `PEMBUNUH BARCELONA’ DAN KINI MENJADI BURUAN UNITED

Sejak akhir-akhir ini rata-rata penyokong Manchester United teruja memperkatakan tentang kemungkinan kelab mendapatkan khidmat Antoine Griezmann menerusi satu lagi pembelian sensasi yang bakal mereka lakukan pada musim panas nanti. Siapa yang tidak teruja bila bercakap tentang Griezmann, penjaring 22 gol untuk Atletico Madrid musim lalu di La Liga selain tersenarai dalam tiga pencalonan akhir Anugerah Pemain Terbaik FIFA 2016.

Dua gol yang dijaringkan Griezmann ke gawang Barcelona pada aksi suku akhir ke dua Liga Juara-Juara musim lalu menyebabkan beliau diberikan gelaran `Si Pembunuh Barcelona’. Musim lalu boleh dianggap musim terbaik Griezmann sejak beliau menyertai Atletico Madrid pada 2014, ditambah pula dengan kejayaan beliau membantu Perancis mara ke final kejohanan Euro 2016.

Dengan ketinggian cuma 1.75m dan berat 72kg, Griezmann antara `pemain kecil’ di atas padang tetapi kekurangan dari segi saiz fizikal diimbangi beliau menerusi kemampuan teknik dan skill yang cukup bagus. Kerana saiz fizikalnya yang kecil jugalah permohonan beliau untuk menjalani trial bersama kelab-kelab di Perancis ketika zaman remajanya ditolak satu persatu.

Sehingga beliau berusia 14 tahun, Griezmann masih bermain untuk kelab tempatan di bandar kelahirannya Macon, Perancis. Bagaimanapun dalam satu kejohanan peringkat remaja yang dianjurkan Paris St Germain, bakat Griezmann berjaya di kesan Eric Olhats, pencari bakat Real Sociedad yang menawarkan tempat untuknya menjalani trial di San Sebastian.

Selepas menjalani dua sesi trial, akhirnya beliau diterima menyertai akademi Sociedad pada 2005, dan dari situ bermulalah karier Griezmann di Sepanyol. Empat tahun mengasah bakat di akademi Sociedad, Griezmann akhirnya diserapkan ke dalam skuad utama pada 2009. Musim pertamanya bersama skuad senior, Griezmann berjaya membantu Sociedad muncul juara Segunda Division sekaligus layak beraksi di La Liga musim berikutnya (2010-11).

Lima musim menyarung jersi Sociedad, Griezmann ditandatangani Atletico Madrid pada 2014 bagi menggantikan tempat Diego Costa yang berhijrah ke Stamford Bridge. Musim pertamanya di Vincente Calderon, Griezmann tampil gemilang menerusi 22 gol yang dijaringkannya dari 37 penampilan liga sekaligus membolehkan beliau tersenarai dalam La Liga Team of The Year (musim 2014-15).

Menerusi statistik yang dikeluarkan Whoscored, Griezmann menjaringkan lapan gol dari tujuh penampilan ketika Diego Simeone meletakkan beliau selaku penyerang tengah. Dibantu dengan mobiliti tinggi, kepantasan, bijak mencari ruang dan teknik gelecekan yang bagus, Griezmann sering mendatangkan bahaya kepada pertahanan lawan setiap kali bola berada di kakinya.

Jika dahulunya bakat Griezmann ditolak kelab-kelab Perancis atas alasan beliau bertubuh kecil, kini `Si Pembunuh Barcelona’ itu dipuja seluruh dunia bukan kerana kekuatan fizikal tetapi kerana bakat dan tekniknya. Di kejohanan Euro 2016 yang dilangsungkan di negara kelahirannya, Griezmann muncul penjaring terbanyak menerusi enam gol yang dihasilkan selain turut dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.

Catatan 32 gol dari 54 penampilan dalam semua kejohanan untuk Atletico musim lalu adalah pencapaian yang boleh dianggap luar biasa bagi seorang pemain yang bakatnya pernah diremehkan di negaranya sendiri. Gabungan teknik, kekuatan kaki kiri dan kanan serta gaya bolasepak Perancis dan Sepanyol yang meresap dalam karakter permainannya, Griezmann berjaya membina reputasi selaku antara penggempur digeruni di La Liga selain Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.

Sama ada ketika bersama skuad kebangsaan atau ketika bermain untuk Atletico, Griezmann boleh bertindak sebagai penyerang tengah ataupun bergerak dari sebelah tepi sebagai pemain sayap kanan dan kiri. Bagaimanapun posisi kegemaran beliau ialah sebagai penyerang tengah kerana menurut Griezmann di posisi tersebut beliau memiliki lebih banyak ruang untuk menjaringkan gol.

Pemain bertubuh kecil tetapi menurut Diego Simeone `dia selalu tahu bila masa yang sesuai untuk menyakiti lawannya’. Griezmann tidak memiliki fizikal setegap Diego Costa, penyerang yang beliau gantikan di Vincente Calderon tetapi berbekalkan kepantasan, kepintaran, bijak menghidu peluang terhidang serta tipu muslihat menerusi gerakan kaki kanan dan kirinya beliau gunakan sepenuhnya untuk menghukum lawan.

Bagaimanapun tetap ada perdebatan sama ada fizikal Griezmann yang `kurus kering’ mampu menangani corak permainan keras di Liga Perdana jika segala spekulasi yang bertiup kencang tentang kemungkinan beliau menyertai United menjadi kenyataan.Tidak salah untuk berasa bimbang tetapi jika anda imbas kembali senarai pemain-pemain bertubuh kurus/kecil yang pernah dan masih beraksi di Liga Perdana, kebimbangan tersebut sepatutnya terhapus.

Gianfranco Zola, cuma memiliki ketinggian 1.65m tetapi pernah memukau kita menerusi kelincahannya. David Silva yang ketinggiannya kurang 5cm berbanding Griezmann antara pemain tengah yang saya kagumi biarpun beliau bermain untuk `jiran yang bising’ kita. Manakala Aaron Lennon pula sering menghadirkan rasa cemas kepada saya bila bola berada dikakinya setiap kali United dan Spurs bertemu dulu.

Ryan Giggs juga begitu kerana lagenda hidup United ini bukanlah pemain yang tegap tetapi kelincahan serta kawalan bola menarik yang dimiliki beliau sentiasa menghadirkan ancaman dan rasa gerun kepada pertahanan lawan ketika zaman mudanya. Jadi saya optimis, Griezmann juga mampu melakukannya di Liga Perdana selepas impak yang diciptanya di La Liga bersama Atletico Madrid.

Musim panas nanti merupakan tempoh penting bagi karier Griezmann sama ada beliau mahu memutuskan untuk terus kekal di Vincente Calderon atau mencari cabaran baharu. Adakah musim depan kita bakal menyaksikan seorang lagi warga Perancis menyarung jersi United selepas Anthony Martial, Paul Pogba, Morgan Schneiderlin dan pendahulu-pendahulu sebelumnya?

Sebelum perkara itu berlaku, kita juga perlu sedar bahawa bukan mudah mahu memindahkan Griezmann dari Vincente Calderon atau memaksa beliau berpaling tadah dari Diego Simeone. Wang bukan masalah besar bagi United jika kelab memang serius mahu memancing Griezmann. Masalah terbesar ialah bagaimana mahu memujuk pemain ini supaya rela berpisah dengan mentornya, Simeone.

Simeone ialah alasan mengapa Griezmann tetap kekal bersama Atletico meskipun musim panas lalu ada tawaran dari Paris St Germain untuk membawa beliau pulang ke Perancis. Selepas menolak tawaran PSG, Griezmann menegaskan bahawa salah satu sebab yang boleh membuatkan beliau berfikir untuk berpindah ialah jika Simeone menyertai Paris St Germain atau kelab lain.

Menyaksikan bagaimana United bergelut dalam usaha mereka menembusi pintu gol lawan musim ini, kita mungkin sudah boleh meramalkan rancangan pembelian yang bakal dilakukan Mourinho musim panas nanti. Salah satu posisi yang pasti akan diperkuatkan beliau ialah barisan serangannya. Adakah Griezmann jalan penyelesaian kepada ketumpulan jentera serangan United? Kita nantikan sahaja apa yang bakal dilakukan Mourinho sebaik musim ini berakhir.

Griezmann bukan lagi remaja kurus kering tetapi beliau kini memiliki reputasi sebagai `Si Pembunuh Barcelona’, bukan juga `Si Pemalu’ yang rendah diri tetapi kini antara pemain yang paling menarik untuk disaksikan aksinya di atas padang. Pasti menarik bukan jika nantinya kita dapat melihat selebrasi-selebrasi `hotline bling’-nya dengan jersi nombor 7 United setiap kali beliau berjaya menembusi pintu gol lawan. Semoga hal itu bakal menjadi kenyataan...Glory Glory Manchester United!!!