20 Februari 2017

`INDIANA JONES’ YANG MELETAKKAN UNITED DI SUKU AKHIR....

Tiada kejohanan yang diremehkan Jose Mourinho musim ini, baik ketika skuadnya berdepan saingan Piala Liga, Piala FA ataupun Liga Europa. Ketika kebanyakkan pengurus lebih gemar menurunkan skuad kedua mereka terutamanya ketika berdepan pusingan-pusingan awal kejohanan kalah mati seperti Piala Liga dan Piala FA, Mourinho pula melakukan pendekatan berbeza.

Hasilnya United di bawah kendalian beliau sudah berada di pentas final Piala Liga, manakala awal pagi tadi pula mereka berjaya menempah slot ke pusingan suku akhir Piala FA selepas berjaya melepasi halangan Blackburn Rovers di Ewood Park. Ketika aksi menentang kelab yang sedang bergelut di Liga Kejuaraan seperti  Rovers pun, Mourinho tetap menurunkan kesebelasan `hampir terbaiknya’ demi memastikan United melangkah lebih jauh.

Mengingatkan bahawa hanya dua hari sebelumnya United sudah bermain di Liga Europa, tentulah Mourinho tidak mampu menurunkan skuad sama saat mereka membenam St Etienne Jumaat lalu. Meskipun terdapat beberapa rombakan yang dilakukan Mourinho terhadap kesebelasan utama yang diturunkan ketika berdepan Rovers, kita perlu mengakui bahawa barisan yang bermain di Ewood Park awal pagi tadi tetap barisan yang kompetitif.

Blackburn Yang Sentiasa Sukar Dikalahkan...

Meskipun jauh terperosok di zon penyingkiran Liga Kejuaraan, Rovers membuktikan bahawa mereka masih lagi pasukan yang liat ditewaskan. Perseteruan silam yang menyaksikan dahulunya pertembungan antara kedua-dua kelab ini sentiasa sengit, kini berulang lagi di Ewood Park.

Rovers pimpinan Owen Coyle sepertimana ketika zaman kemuncak perseteruan mereka dengan United masih lagi memiliki ego yang tinggi untuk menewaskan musuh lama mereka itu. Melihat cara mereka bermain menentang United, sukar membayangkan bahawa mereka sebenarnya sedang bergelut untuk keluar dari zon penyingkiran Liga Kejuaraan.

Di babak pertama sahaja mereka mencipta beberapa peluang terbaik terutamanya menerusi Marvin Emnes hinggalah akhirnya Danny Graham berjaya menamatkan catatan enam perlawanan clean sheet Sergio Romero menerusi gol pendahuluan tuan rumah di minit ke-17.

Peranan Nombor 10 Mkhitaryan Dalam Skema Formasi 4-2-3-1 Mourinho....

Perlu diakui bahawa Henrikh Mkhitaryan merupakan antara pemain paling versatile yang dimiliki Jose Mourinho. Sebelum ini beliau pernah digunakan Mourinho sebagai sayap kiri dan kanan, sebagai penyerang malah kelibatnya pernah juga kita saksikan di posisi bek kiri.

Di Ewood Park, Mikhi sekali lagi diubah peranannya oleh Mourinho di mana kali ini beliau bertindak di posisi kegemarannya iaitu sebagai pemain nombor 10.

Hasilnya seperti yang anda dapat saksikan beliau berjaya menyumbangkan satu assist untuk gol penyamaan jaringan Marcus Rashford manakala sepanjang perlawanan pula Mikhi membekalkan 63 hantaran kepada rakan sepasukan dengan peratus ketepatan hantarannya mencapai 85%.

Ibrahimovic `Si Indiana Jones’ Untuk United...

Beberapa hari lalu Zlatan Ibrahimovic menyamakan dirinya dengan watak dari filem terkenal Indiana Jones selepas kejayaan beliau merakam hatriknya ke gawang St Etienne. United sendiri sebenarnya tidak bermain dengan baik ketika mereka menerima kunjungan wakil Perancis itu tetapi hatrik Ibra memastikan barisan Jose Mourinho membawa bekal selesa ke Stade Geoffroy Guichard nanti.

Di Ewood Park, Ibra sekali lagi membuktikan kata-katanya bahawa beliau memang `Indiana Jones’ di atas padang. Menyaksikan skuadnya bergelut dalam usaha mereka menembusi benteng pertahanan Rovers, Mourinho akhirnya tiada pilihan lain selain memasukkan Ibra ketika perlawanan sebenar berbaki 28 minit untuk ditamatkan.

Mourinho menyedari bahawa United tidak boleh berdepan satu lagi `perlawanan tambahan’ yang bakal memadatkan lagi jadual skuadnya, jadi atas sebab itulah kemasukkan Ibra diharapkan mampu mengubah keputusan perlawanan. Dan sepertimana layaknya Indiana Jones yang sering sahaja mampu merungkai kekusutan dan akhirnya keluar sebagai pemenang, begitulah juga dengan Ibra.

Musim ini sudah berkali-kali Ibra menyelamatkan United dan di Ewood Park beliau sekali lagi melakukannya. Ketika Rovers sedang mencongak satu lagi aksi menentang United di saingan Piala FA, Ibra memilih posisi dan waktu yang tepat untuk menyudahkan hantaran Paul Pogba...hanya 13 minit selepas beliau dimasukkan.

Gol kemenangan Ibra ke atas Rovers akhirnya menjadi satu lagi bukti betapa pentingnya peranan si `Indiana Jones’ ini untuk United. Ibra boleh menyamakan dirinya dengan mana-mana watak hero filem atau adiwira, tetapi satu fakta yang nyata ialah beliau sudah menjaringkan 24 gol untuk United dalam semua kejohanan setakat ini...satu pencapaian yang mungkin sukar dilakukan oleh mana-mana penyerang seusianya di pentas tertinggi. Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan