07 Februari 2017

TIGA KALI UNITED BERJAYA MENEMBUSI PINTU GOL KASPER SCHMEICHEL...APA SEBENARNYA YANG BERLAKU DI KING POWER STADIUM?


Kali terakhir Manchester United berjaya membolosi gawang lawan lebih dari dua kali dalam aksi liga ialah pada 26 Disember lalu, ketika mereka menewaskan Sunderland 3-1 di Old Trafford. Selepas lebih sebulan...United sekali lagi berjaya menembusi pintu gol lawan sebanyak tiga kali dan kali ini mereka melakukannya di gelanggang lawan pula ketika berdepan Leicester City.

Sebelum aksi menentang juara bertahan Liga Perdana itu di King Power Stadium, United mencatatkan tiga keputusan seri berturut-turut (menentang Liverpool, Stoke City dan Hull City). Ketika berdepan Stoke dan Hull, United mendominasi perlawanan secara total menerusi penguasaan bola, percubaan-percubaan yang dilakukan dan peluang-peluang jaringan yang dicipta mereka.

Bagaimanapun United tetap gagal keluar sebagai pemenang meskipun ketika berdepan Stoke mereka melepaskan 25 percubaan ke arah gawang lawan dan mencipta 19 peluang jaringan gol. Ketika berdepan Hull pula, United melepaskan 15 percubaan dan mencipta 13 peluang jaringan gol tetapi tiada satupun dari percubaan mereka berjaya menembusi pintu gol Eldin Jakupovic.

Lalu apa yang menyebabkan barisan hadapan United kembali menemui sentuhan gol menerusi tiga jaringan yang dihasilkan mereka di King Power Stadium? Jawapannya ialah perubahan formasi permainan yang dilakukan Mourinho dari 4-2-3-1 kepada 4-4-2. Apa yang dilakukan Mourinho menerusi formasi ini ialah tidak memberikan peluang kepada Robert Huth dan Wes Morgan berada dalam posisi dua lawan satu ketika Zlatan Ibrahimovic menguasai bola.

Mengambil pelajaran dari apa yang berlaku ketika United berdepan Stoke dan Hull, Mourinho tidak lagi menggunakan Ibra selaku penyerang tunggal tetapi sebaliknya beliau turut meletakkan Marcus Rashford untuk membentuk kombinasi dua penyerang di barisan hadapan. Langkah yang diambil Mourinho akhirnya berhasil di mana kali ini mereka tidak lagi terlalu bergantung kepada Ibra dalam misi memburu gol.

Kehadiran Rashford di barisan hadapan menyebabkan pertahanan lawan tidak lagi terlalu memberikan tumpuan kepada Ibra (contoh paling hampir ialah bagaimana kawalan yang diberikan pertahanan lawan kepada Ibra ketika United berdepan Stoke dan Hull). Di King Power Stadium, Ibra lebih bebas bergerak serta bebas mencari ruang dan akhirnya anda lihat bagaimana gol kedua United terhasil.

Menurut Mourinho menerusi formasi 4-4-2, permainan United lebih stabil walaupun dalam masa yang sama beliau turut mengakui bahawa perubahan ini menyebabkan permainan skuadnya kurang kreatif. Tidak hanya di bahagian hadapan, Mourinho turut melakukan sedikit perubahan taktik di kedua-dua sisi sayap pasukannya.

Berbanding kebiasaannya, dua pemain sayap United akan berada  berhampiran dengan Ibra tetapi ketika berdepan Leicester beliau mengarahkan agar Juan Mata serta Henrikh Mkhitaryan bermain lebih ke dalam atau lebih tepatnya berada dekat dengan dua pemain tengah (Paul Pogba dan Ander Herrera).

Hasilnya anda dapat saksikan sepanjang 90 minit perlawanan, barisan hadapan The Foxes yang dibarisi Jamie Vardy, Ahmed Musa, Riyadh Mahrez dan Shinji Okazaki hanya mampu melepaskan satu percubaan tepat ke arah David De Gea. Perubahan strategi yang dilakukan Mourinho dalam perlawanan ini turut diakui Claudio Ranieri menyukarkan pasukannya untuk bangkit selepas ketinggalan dua gol.

Selepas unggul di hadapan menerusi dua gol dari Miki dan Ibra di babak pertama, United memperlahankan tempo permainan dalam usaha mereka meneutralkan tekanan yang cuba diberikan lawan. Ranieri mengakui sukar untuk pasukannya bangkit selepas United mula memperlahankan permainan dan kemudiannya bertukar-tukar hantaran menerusi sentuhan satu dua yang pantas.

Kemenangan di King Power Stadium bukan sahaja menyaksikan United kini semakin menghampiri kelompok empat teratas tetapi lebih penting Mourinho sudah belajar sesuatu selepas skuadnya sekadar berkongsi mata ketika berdepan kelab pertengahan dan bawahan liga walaupun mereka mendominasi permainan.

Dengan baki 14 perlawanan liga yang perlu diharungi musim ini, United tidak lagi boleh keciciran mata ketika berdepan perlawanan-perlawanan yang sepatutnya mereka boleh menangi. Dalam tempoh dua bulan terakhir, United kini pasukan yang lebih konsisten berbanding ketika di awal musim dan kekalahan besar kepada Chelsea Oktober lalu masih kekal kekalahan tunggal yang dialami mereka dari 16 aksi terakhir liga.

Saya harap aksi menentang Leicester menjadi petunjuk kepada Mourinho bagaimana caranya untuk beliau membawa skuadnya muncul pemenang di akhir perlawanan. Tidak mengapa jika perubahan strategi yang dilakukan beliau di King Power Stadium menyebabkan United hilang sedikit kreativiti asalkan tiga mata berada dalam genggaman sebaik wisel penamat ditiupkan. Chelsea di bawah kendalian Antonio Conte bukanlah pasukan yang menarik untuk disaksikan aksi mereka tetapi lihat di mana kedudukan The Blues sekarang?...Glory Glory Manchester United!!!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan