Belum sampai semusim Jose Mourinho mengendalikan Manchester United dan dalam tempoh tersebut beliau memang tidak memiliki apa-apa yang perlu dibanggakan walaupun berjaya mengemudi kelab menjulang trofi Perisai Komuniti Ogos lalu.
David Moyes juga berjaya mempersembahkan
medal kejuaraan Perisai Komuniti pada musim pertama dan terakhirnya bersama
United tetapi di mana kedudukan beliau selepas itu? Pencapaian Van Gaal pula
lebih bagus apabila musim lalu beliau menamatkan penantian selama 12 tahun apabila
skuadnya berjaya menjulang trofi Piala FA di Wembley.
Bagaimanapun kejayaan Van Gaal menghadiahkan trofi
Piala FA ke-12 dalam kabinet kejuaraan United tetap tidak mampu menghalang
beliau dari dipecat berikutan prestasi turun naik yang dipamerkan skuadnya
sepanjang dua musim beliau mengemudi kelab.
Perisai Komuniti hanyalah pertandingan
formaliti bagi menandakan bermulanya musim baharu, justeru memang tiada
salahnya bila Mourinho mengatakan bahawa beliau masih belum ada apa-apa yang
boleh dibanggakan berbanding pencapaian legenda-legenda United seperti Paul
Scholes, Ryan Giggs atau Rio Ferdinand.
Jika mahu membandingkan pencapaian Mourinho
dengan legenda pengurus United seperti Sir Matt Busby dan Sir Alex Ferguson pula
tentulah umpama langit dan bumi jurangnya. Ini baru musim pertama beliau di Old
Trafford dan ini juga merupakan langkah permulaan sebelum beliau layak
diletakkan sebaris dengan legenda-legenda United sebelumnya (itupun jika beliau
kekal lama bersama kelab).
Selepas Perisai Komuniti, Mourinho berpeluang
menambah satu lagi medal kejuaraan dalam simpanan peribadinya apabila pada 26
Februari ini beliau sekali lagi membawa skuadnya melangkah masuk ke Wembley.
Kali ini pula Piala Liga yang menjadi rebutan dan Southampton adalah lawan
terakhir yang perlu ditewaskan sebelum trofi tersebut dapat dijulang beliau.
Jika ditakdirkan United berjaya menjulang
Piala Liga pada 26 Februari ini, kejayaan itu tetap tidak akan memahat nama
Mourinho dalam pencapaian istimewa kelab. Untuk rekod United sudah memenangi
piala ini sebanyak empat kali di mana kesemuanya diraih semasa era Sir Alex
Ferguson sebagai pengurus.
Mungkin satu-satunya kebanggaan peribadi
Mourinho jika barisan pemainnya berjaya menjulang Piala Liga nanti ialah fakta
bahawa beliau berjaya menyamai pencapaian Brian Clough dan Sir Alex selaku
pengurus paling banyak memenangi trofi tersebut (empat kali).
Jika bukan medal kejuaraan Perisai Komuniti
dan Piala Liga, lalu apakah peluang terbaik dan paling hampir untuk Mourinho
melakar namanya dalam sejarah pencapaian gemilang kelab? Jika mahu diingati
sebagai pengurus yang memiliki pencapaian istimewa di Old Trafford, Mourinho
sebenarnya tidak perlu menunggu selama bertahun-tahun atau memenangi kejuaraan
demi kejuaraan tetapi cukup dengan hanya medal kejuaraan Liga Europa.
United sepanjang sejarah mereka sudah
memenangi kesemua kejuaraan domestik, tiga kali menjulang trofi Liga
Juara-Juara, Kejuaraan Kelab Dunia selain European Cup Winners Cup dan European
Super Cup, namun Liga Europa (atau dahulunya lebih dikenali sebagai Piala UEFA)
masih kekal satu-satunya kejuaraan yang masih belum mereka menangi.
Situasi musim ini sebenarnya mirip dengan apa
yang berlaku di era awal 90an, ketika Sir Alex dan barisan pemainnya menjulang
trofi Cup Winners Cup edisi 1991 di Rotterdam menerusi dua gol jaringan Mark
Hughes ke gawang Barcelona.
Setahun sebelum kejayaan tersebut, United
berjaya menjulang trofi Piala FA, memulakan musim 1990/91 sebagai juara Charity Shield bersama Liverpool, layak
ke final Piala Liga (tetapi tewas 0-1 kepada Sheffield Wednesday) dan bermain
di kejohanan kasta kedua Eropah (Cup Winners Cup).
Jika pada musim 1990/91, Sir Alex dan barisan
pemainnya berjaya memenangi trofi Charity Shield, layak ke final Piala Liga,
menewaskan Barcelona di pentas final Cup Winners Cup dan menamatkan saingan
liga di tangga keenam, kini selepas 26 tahun Mourinho berpeluang melakukan
catatan lebih baik.
Peluang sulung Mourinho menghadiahkan trofi
kejohanan kompetitif pertamanya untuk United akan hadir 26 Februari ini, tetapi
sebelum itu mereka perlu melayani kunjungan St Etienne dalam perlawanan pertama
pusingan kalah mati Liga Europa dan kemudiannya berdepan Blackburn Rovers di
pusingan kelima saingan Piala FA.
Perjalanan ke final Liga Europa masih jauh dan
St Etienne pula merupakan halangan pertama yang perlu dilepasi United di
pusingan kalah mati. Liga Europa memang tidak setanding Liga Juara-Juara tetapi
jika United berjaya memenangi trofi tersebut, itu akan tetap menjadi pencapaian
istimewa dalam sejarah kelab.
Melihat nama Ipswich Town terpahat dalam
senarai pemenang kejuaraan Liga Europa, saya berpendapat ini adalah masa
terbaik untuk United turut serta melakukannya. Ketika bersama FC Porto,
Mourinho ada momen indah dalam kejohanan ini dan saya pasti beliau juga mahu
kembali ke pentas final sekali lagi dan memenangi kejuaraan ini dengan pasukan
berbeza.
Perlu diakui bahawa kejuaraan Liga Perdana
memang sudah terlalu jauh dari jangkauan, tetapi seandainya United mampu
menamatkan musim ini dengan kejuaraan treble (Piala Liga, Piala FA dan Liga
Europa), itu tetap satu pencapaian hebat dan bakal diingati untuk tempoh yang
panjang.
Langkah Mourinho melakar namanya dalam sejarah
kelab sebagai pengurus pertama di Old Trafford yang berjaya memenangi Liga
Europa akan diteruskan awal pagi Khamis ini. Biarpun final Liga Europa tidak
sehebat Liga Juara-Juara, saya tetap mengimpikan pada 25 Mei nanti barisan The Red Devils pimpinan Mourinho
menjejakkan kaki mereka di Solna dan menjulang trofi tersebut di sana...Glory
Glory Manchester United!!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan