Bagi generasi penyokong-penyokong Manchester
United era 90an, masih ingatkah lagi persaingan epik antara Manchester United
dan Blackburn Rovers dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga musim 1994-95?
Ketika itu Rovers diuruskan oleh Kenny Dalglish, individu terakhir yang berjaya
mengemudi Liverpool menjulang kejuaraan liga, 27 tahun lalu.
Menerusi pelaburan besar yang disuntik Jack
Walker, Rovers ketika itu memang wajar digeruni kerana mereka memiliki
kesebelasan seimbang di semua posisi menerusi kehadiran pemain-pemain handalan
seperti Alan Shearer, Chris Sutton, Tim Sherwood, Colin Hendry, David Batty,
Graeme Le Saux, Henning Berg dan Tim Flowers.
Pelaburan besar Walker akhirnya berbaloi
bilamana di penghujung musim Rovers berjaya menjulang trofi Liga Perdana
menerusi perbezaan hanya satu mata sekaligus memecah monopoli United yang
sebelumnya menjuarai gelaran liga selama dua musim berturut-turut (1992/93 dan
1993/94).
Itu cerita 22 tahun lalu kerana kini situasi sudah
jauh berbeza. Selepas kejayaan Dalglish mengemudi Rovers menjulang trofi Liga
Perdana, mereka sedikit demi sedikit mula hilang dari peta utama persaingan
bolasepak England dan sejak tersingkir ke Liga Kejuaraan pada 2012, mereka
masih lagi gagal bangkit untuk kembali ke liga utama (Liga Perdana).
Dan selepas 22 tahun berlalunya perlumbaan
epik merebut kejuaraan liga antara United dan Rovers, kedua-dua kelab bakal bertemu
sekali lagi Isnin ini di Ewood Park. Kali ini United dan Rovers bukan lagi
berlumba merebut kejuaraan liga tetapi slot ke suku akhir Piala FA menjadi
taruhan.
Kali ini situasi antara kedua-dua kelab juga
sudah jauh berbeza. Ketika United masih menyasarkan slot empat teratas Liga
Perdana sebagai misi yang harus disempurnakan, Rovers pula sedang bergelut dalam
usaha mereka untuk keluar dari zon penyingkiran Liga Kejuaraan.
Menyaksikan kedudukan Rovers yang kini berada
di tangga ke-23 Liga Kejuaraan, sukar membayangkan bahawa inilah pasukan yang pernah
menyebabkan United berputih mata 22 tahun lalu. Dan ini jugalah pasukan yang
pernah menyebabkan Fergie merombak hampir keseluruhan skuadnya selepas
kegagalan musim 94/95 yang menyaksikan anggota Class of 92 diperkenalkan kepada dunia.
Mengambilkira rekod perseteruan silam, United
tidak harus meremehkan cabaran yang bakal diberikan Rovers, tambahan pula lawan
bermain di gelanggang sendiri. Aksi menentang United bukan sahaja penting dalam
usaha Rovers menyelamatkan musim suram mereka tetapi juga penting kepada karier
pengendali mereka, Owen Coyle yang berdepan prospek pemecatan.
Coyle mengakui tiada perlawanan lebih besar
untuk skuadnya berbanding menentang United dan beliau juga sedar hanya
kemenangan ke atas United mampu membantu survival karier pengurusannya di Ewood
Park. Jadi anda boleh bayangkan apa yang bakal menanti Jose Mourinho dan
barisan pemainnya Isnin ini, ditambah pula dengan saingan Piala FA yang tidak
pernah sunyi dari kejutan.
Berbanding persaingan yang tercetus antara
kedua-dua kelab 22 tahun lalu, kini United dan Rovers adalah pasukan dari
darjat yang berbeza. Meskipun begitu meremehkan cabaran yang bakal diberikan
Rovers umpama menjerat diri sendiri, jadi agak menarik untuk kita saksikan `lineup’ yang bakal diturunkan Mourinho di
Ewood Park nanti....Glory Glory Manchester United!!!
Fakta Perlawanan....
1. Kali terakhir United dan Rovers bertemu dalam
saingan Piala FA ialah pada musim 1984/85. United menang perlawanan itu
menerusi gol jaringan Gordon Strachan dan Paul McGrath.
2. Kali terakhir Rovers menewaskan United di
Ewood Park ialah pada 2006 (4-3) dengan David Bentley menjaringkan hatrik dalam
perlawanan tersebut.
3. United menewaskan Rovers (2-0) pada
pertembungan terakhir mereka di Ewood Park pada April 2012 menerusi gol Antonio
Valencia dan Ashley Young.
4. Anthony Martial terlibat dalam sembilan gol
United menerusi lapan penampilan terakhirnya di saingan Piala FA (3 gol dan 6
assist).
5. Ini adalah kali ketiga berturut-turut Rovers
berjaya melayakkan diri ke pusingan kelima Piala FA. Musim lalu di peringkat
yang sama mereka tewas kepada West Ham United.
6. Rovers tewas sekali dari lima aksi terakhir
mereka di Ewood Park dalam semua kejohanan.
7. United hanya tewas sekali dari sembilan
perlawanan di gelanggang lawan dalam semua kejohanan (6 menang dan seri 2).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan