18 September 2020

PREVIEW: MAN UNITED vs PALACE

 


Akhirnya detik yang ditunggu-tunggu tiba jua apabila Manchester United bakal memulakan aksi pertama mereka dalam kempen Liga Perdana musim 2020/21 menentang Crystal Palace di gelanggang sendiri pada Ahad jam 12.30 malam. Bagi Palace pula, kunjungan ke Old Trafford ini merupakan penampilan kedua mereka dalam saingan liga selepas kejayaan membenam Southampton di Selhurst Park minggu lalu. 

Masih ingat lagi dengan apa yang dilakukan Palace di Old Trafford musim lalu? Musim lalu meskipun United bermula dengan cukup baik selepas mereka mencatatkan kemenangan besar (4-0) ke atas Chelsea pada perlawanan pertama liga, barisan kendalian Ole Gunnar Solskjaer kemudiannya dikejutkan dengan kekalahan (1-2) kepada Palace dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford. 

Perlawanan pertama untuk musim baharu, jadi sudah tentu anda mahu melihat Solskjaer menurunkan skuad terkuatnya dalam perlawanan ini meskipun beliau hilang sentuhan Paul Pogba di bahagian tengah. Untuk itu nama pertama yang `wajib’ ada dalam senarai kesebelasan utama yang bakal beliau turunkan nanti tentunya Donny Van de Beek, satu-satunya `rekrut’ baharu yang dibawa masuk ke Old Trafford setakat ini. 

Tanpa Pogba, anda sebenarnya sudah boleh meramalkan kesebelasan utama yang bakal diturunkan Solskjaer serta formasi yang akan digunakannya. Dan agak malang juga kerana tanpa Pogba, anda juga terlepas peluang untuk menyaksikan tiga `goal scoring midfielder’ membarisi jentera tengah United secara serentak sejak minit pertama perlawanan. 

Untuk melaksanakan tugas-tugas offensive, Bruno Fernandes dan Van de Beek akan melakukannya, manakala pilihan yang ada untuk melakukan tugas defensive pula tentunya terarah kepada Nemanja Matic, Fred atau Scott McTominay. Untuk itu, saya akan memilih Matic dalam kesebelasan utama dalam melakukan `kerja-kerja kotor’ ketika bertahan manakala trio Anthony Martial, Mason Greenwood dan Marcus Rashford bergerak di barisan hadapan bagi memburu gol. 

Musim panas kali ini mungkin musim yang agak aneh untuk United. Sejak musim lalu berakhir, mereka dikaitkan dengan beberapa pemain yang khabarnya bakal dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan. Saga perpindahan Jadon Sancho masih belum berakhir, Jack Grealish kekal di Villa Park selama lima tahun lagi, Gabriel Magalhaes menjadi milik Arsenal, Sergio Reguilon semakin hampir menyertai Spurs manakala aksi menentang Aston Villa pula merupakan satu-satunya aksi pra musim yang dihadapi mereka. 

United pastinya kesebelasan pilihan dalam perlawanan ini meskipun Palace pulang ke Selhurst Park dengan tiga mata penuh ketika kedua-dua pasukan bertembung di Old Trafford musim lalu. Hanya ada dua pasukan yang berjaya menewaskan United di Old Trafford musim lalu dan Palace adalah salah daripadanya selain Bournemouth. Jadi sudah tentu Solskjaer tidak mahu melihat kesebelasannya memulakan kempen kompetitif mereka musim ini dengan langkah kiri. 

Rekod pertemuan antara kedua-dua pasukan dalam saingan liga sejak 2017 jelas memihak United apabila mereka menang empat kali, seri sekali dan tewas sekali ketika berdepan The Eagles. Kemenangan Palace di Old Trafford musim lalu pula merupakan satu-satunya kemenangan yang diperolehi mereka ke atas United sepanjang era Liga Perdana. 

Palace tentunya mendambakan satu lagi kemenangan di Old Trafford, tetapi harus diingat bahawa United kini adalah kesebelasan yang jauh berbeza jika diambilkira peningkatan yang dipamerkan mereka sepanjang fasa kedua saingan liga musim lalu. Berbanding pertemuan di Old Trafford musim lalu, United kini memiliki pemain yang mampu memberikan perbezaan seperti Bruno Fernandes dan Donny Van de Beek. Glory Glory Manchester United!!! 

Kesebelasan Kemungkinan United (4-2-3-1): 

David De Gea, Aaron Wan-Bissaka, Harry Maguire, Victor Lindelof, Luke Shaw, Nemanja Matic, Donny Van de Beek, Bruno Fernandes, Marcus Rashford, Anthony Martial & Mason Greenwood.

 Kesebelasan Kemungkinan Palace (4-3-3): 

Vicente Guaita, Joel Ward, Cheikhou Kouyate, Scott Dann, Tyrick Mitchell, James McCharthy, James McArthur, Jeffrey Schlupp, Andros Townsend, Wilfried Zaha & Jordan Ayew



07 September 2020

SEBAGUS GIGGS, ATAU SENASIB JANUZAJ?



Beliau bermula dengan nombor 54, kemudian 26 dan kini 11. Perubahan nombor jersi yang bakal digunakan Mason Greenwood ini menyaksikan tiga penggempur di barisan hadapan akan menggunakan nombor berturutan iaitu nombor 9 (Anthony Martial), nombor 10 (Marcus Rashford) dan nombor 11 (Mason Greenwood). Apa yang menariknya tiga penggempur United ini mengubah nombor jersi mereka dalam tiga musim berturut-turut.

 

Bermula dengan Rashford yang bertukar dari nombor 19 kepada nombor 10 pada musim 2018/19, kemudian Martial dari nombor 11 kepada nombor 9 pada musim 2019/20 dan kini giliran Mason dari nombor 26 kepada nombor 11. Prestasi terpuji yang dipamerkan Mason musim lalu antara penyebab mengapa tugas untuk menyarung jersi nombor 11 ini diberikan kepada beliau.

 

Mungkin nampak seperti pertukaran biasa tetapi tanggungjawab besar bakal dipikul Mason kerana beliau mewarisi nombor yang pernah digunakan Ryan Giggs, legenda hidup kelab yang pernah menghadirkan ketakutan kepada mana-mana bek sisi lawan ketika era kemuncaknya sebagai pemain. Sepertimana Giggsy, Mason juga berperanan di sektor sayap, jadi sudah tentu beliau tidak dapat mengelak dari dibandingkan dengan anggota Class of 92 itu.

 

Selepas berakhirnya karier The Welsh Wizard, magis nombor 11 secara perlahan-lahan mula menghilang, malah penyandang nombor tersebut selepas itu bagaikan terkena sumpahan. Adnan Januzaj gagal menepati ramalan sebagai penerus legasi Giggs selepas beliau diberikan tanggungjawab oleh Louis Van Gaal untuk menyarung jersi nombor 11 pada musim 2014/15.

 

Ketibaan Zlatan Ibrahimovic pada musim 2016/17 pula memaksa Martial bertukar dari menggunakan jersi nombor 9 kepada nombor 11. Ketika itu Martial mengambilalih jersi nombor 11 dari Januzaj yang menjalani tempoh pinjaman selama semusim bersama Sunderland. Kedatangan Ibra menyebabkan produktiviti Martial dalam menghasilkan gol turut menurun apabila sepanjang musim tersebut beliau cuma mampu menjaringkan empat gol dalam saingan liga berbanding 11 pada musim sebelumnya.

 

Musim lalu, Martial kembali menggunakan nombor kesukaannya iaitu nombor 9 dan hasilnya beliau muncul penjaring terbanyak United menerusi 23 gol yang dihasilkannya dalam semua peringkat kejohanan. Musim lalu boleh dianggap musim terbaik Martial sejak ketibaannya di Old Trafford pada musim panas 2015. Isu konsistensi antara isu terbesar yang dihadapi oleh mana-mana pemain muda, dan Martial pernah menghadapinya manakala Mason pula mungkin tidak terkecuali.

 

Ramai pemain muda yang berjaya mencipta sensasi pada musim pertama tetapi menurun pada musim kedua. Satu kebanggaan buat Mason apabila beliau `dianugerahkan’ jersi nombor 11 yang pernah digunakan Giggs, juga satu tanggugjawab besar untuk dirinya membuktikan kepada kita bahawa beliau bukanlah `one season wonder’. Jejak Giggs adalah jejak legenda, semoga suatu hari nanti kita dapat melihat Mason setaraf The Welsh Wizard, bukan senasib seperti Adnan Januzaj. Glory Glory Manchester United!!!


 

05 September 2020

"JANGAN SAKIT HATI SANGAT JOSE....SEBAB DIA MEMANG BAGUS"

 


Gelaran `Penaldo’ bukanlah satu pengiktirafan tetapi lebih bersifat kritikan kepada Cristiano Ronaldo kerana kekerapan beliau menjaringkan gol menerusi tendangan penalti. Semasa menyarung jersi Real Madrid, Ronaldo menjaringkan 450 gol dalam semua peringkat kejohanan di mana dari jumlah tersebut 79 gol dihasilkan beliau menerusi tendangan penalti. Ini bermakna 17.38% dari keseluruhan gol yang dijaringkan beliau untuk Real disumbang menerusi tendangan dari `titik putih’.

 

`Penaldo’ merupakan gelaran yang dicipta penyokong Barcelona untuk Ronaldo gara-gara perseteruan antara dua gergasi Sepanyol itu di La Liga. Kini di Old Trafford pula sudah mula kedengaran gelaran yang hampir sama dan sasarannya sudah tentu terarah kepada Bruno Fernandes. Selepas Bruno menyempurnakan satu lagi tendangan penalti ketika aksi separuh akhir Liga Europa menentang Sevilla, di alam siber sudah bergegar dengan istilah `Penandes’ yang ditujukan kepada beliau.

 

Tidak cukup dengan itu, beberapa hari lalu giliran Jose Mourinho pula `membedil’ Bruno. Tampak seperti kata-kata manis tetapi sebenarnya `pujian’ yang diberikan Mourinho itu lebih bersifat sarkastik kepada rakan senegaranya itu. Jika sebelumnya Mourinho pernah mengatakan bahawa beliau tidak akan sesekali menukar Giovani Lo Celso dengan Bruno dalam pasukannya, tetapi kali ini beliau mengatakan bahawa pemain tengah berusia 25 tahun itu merupakan pengambil sepakan penalti yang hebat.

 

Lupakan sebentar `troll’ terbaharu yang dicipta oleh para netizen itu dan sindiran Mourinho, kerana hakikatnya kebangkitan United sepanjang fasa kedua saingan liga memang tidak lepas dari dikaitkan dengan kehadiran Bruno pada penghujung Januari lalu. Kehadiran Bruno memang memberikan perbezaan besar kepada corak permainan United terutamanya peranan yang beliau mainkan di bahagian tengah. Dengan adanya Bruno dan Paul Pogba, United kini memiliki dua penggerak serangan yang setaraf kualitinya di jentera tengah mereka.

 

Bruno bukan sekadar menawarkan kreativiti serta visi permainannya yang tinggi, tetapi beliau kini adalah `specialist’ untuk United dalam situasi bola mati. Sejak jaringan yang dilakukan beliau ke gawang Watford dalam aksi liga pada Februari lalu, Bruno mengambil alih tempat Pogba dan Marcus Rashford selaku penendang penalti utama untuk United. Ketenangan yang dimilikinya di `titik putih’ merupakan faktor utama mengapa Bruno tidak pernah gagal menyempurnakan tujuh tendangan penalti yang sudah diambilnya sejak menyertai United.

 

Mengikut catatan statistik sepanjang karier profesional beliau, dari 30 tendangan penalti yang sudah diambil Bruno, beliau cuma gagal menyempurnakannya sebanyak dua kali sahaja. Kegagalan pertama berlaku ketika beliau menyarung jersi Udinese di Serie A pada musim 2015/16 dan kedua ketika bersama Sporting Lisbon dalam kejohanan Taca de Portugal pada Oktober 2018. Sehingga setakat ini, Miguel Soares muncul penjaga gol terakhir yang berjaya menyelamatkan tendangan penalti Bruno, itupun berlaku hampir dua tahun yang lalu.

 

Pada 1 Ogos lalu, Soares pernah mendedahkan bagaimana beliau mengagalkan tendangan penalti Bruno. Namun tips yang diberikan bekas penjaga gol GS Loures itu tetap gagal membantu Karl-Johan Johnsson dan Yassine Bounou ketika mereka berdepan Bruno dalam saingan Liga Europa. Selain ketenangan sebagai aset utamanya, Bruno juga memiliki teknik yang unik ketika beliau mengambil tendangan penalti. Di Liga Perdana, anda juga boleh melihat Jorginho turut memiliki teknik tendangan penalti yang hampir sama sepertimana dilakukan Bruno.

 

Teknik melakukan lompatan kecil sebelum melakukan tendangan bukanlah satu perkara yang mudah dilakukan, kerana Bruno perlu menyembunyikan arah sebenar tendangan yang bakal beliau tujukan sehinggalah kedetik-detik terakhir sebelum kakinya menyentuh bola. Meskipun teknik lompatan sering digunakan Bruno, namun sesekali beliau akan mengubah gaya tersebut mengikut kesesuaian lawan yang dihadapinya. Lihat saja teknik tendangannya ketika berdepan Karl-Johan Johnsson pada aksi suku akhir Liga Europa.

 

Sejak kegagalan ketika berdepan Miguel Soares hampir dua tahun lalu, Bruno tidak pernah gagal menyempurnakan kesemua 18 tendangan penalti yang diambilnya. Dan sejak kejayaan Tim Krull mengagalkan dua tendangan penalti United yang diambil Anthony Martial dan Marcus Rashford pada Oktober tahun lalu, United tidak pernah lagi gagal menyempurnakan 14 tendangan penalti yang mereka terima, dan separuh daripadanya datang dari kaki Bruno.

 

Mourinho boleh berkata apa sahaja, atau terus melancarkan serangan psikologi ke atas Bruno, tetapi saya percaya akan ada lebih banyak jaringan menerusi `aksi tendangan penalti sambil melompat’ dari beliau musim depan. Bruno tiba di Old Trafford pada pertengahan musim, melakukan 22 penampilan, menjaringkan 12 gol dan mencipta lapan bantuan gol, sekaligus membantu United layak beraksi ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. Jadi memang wajarlah Mourinho berasa sedikit `sakit hati’ atas impak yang diberikan Bruno kepada bekas majikannya itu. Glory Glory Manchester United!!!



03 September 2020

"SELAMAT DATANG KE OLD TRAFFORD...DONNY VAN DE BEEK"

 


Donny Van de Beek datang secara `senyap-senyap’ di tengah-tengah keributan usaha Manchester United mendapatkan khidmat Jadon Sancho. Siapa sangka ketika kebanyakkan penyokong United obses menanti akan prospek ketibaan Sancho ke Old Trafford yang entah bila akan terjadi, kelab melakukan kejutan dengan merekrut Van de Beek dari Ajax Amsterdam. Tiada publisiti berlebihan, tiada juga rumour yang bertiup kencang kerana proses perpindahan pemain tengah Belanda itu berlaku dalam tempoh hanya seminggu.

 

Dalam hal ini, United memanfaatkan sepenuhnya hubungan baik mereka dengan Ajax menerusi Edwin Van der Sar dalam merealisasikan proses perpindahan ini meskipun Real Madrid turut dilaporkan berminat mendapatkah khidmat pemain berusia 23 tahun itu. £40 juta bukanlah masalah yang terlalu besar untuk United, tetapi dengan wang sebanyak itu kelab sebenarnya berjaya mendapatkan seorang pemain tengah yang `complete’.

 

Van de Beek merupakan seorang midfielder yang versatile kerana kebolehan beliau berperanan sebagai pemain tengah (central midfielder), pemain tengah menyerang (attacking midfielder) dan box to box midfielder. Secara peribadi saya berharap United berjaya mendapatkan seorang pemain yang tepat dalam `spesifikasi’ bolasepak moden menerusi perpindahan Van de Beek ini. Pada usia 23 tahun, secara teknikalnya Van de Beek boleh dikategorikan sebagai pemain muda, tetapi tidak aksinya di atas padang.

 

Penampilan pemain kelahiran Nijkerkerveen itu di atas padang jauh lebih matang berbanding usianya dari sudut teknik hinggalah kepada kekuatan mental yang dimilikinya. Versatiliti permainan Van de Beek bukanlah perkara baharu, kerana ketika era remajanya, beliau sudah `diasah’ untuk berperanan lebih dari satu posisi. Boleh bertindak sebagai `anchorman’, juga sebagai central midfielder dalam skema tiga pemain tengah, atau berperanan sebagai box to box midfielder dalam formasi dua pemain tengah.

 

Meskipun begitu, secara spesifiknya, Van de Beek mampu memberikan impak yang sangat signifikan jika beliau diletakkan di sebelah kanan dalam skema tiga pemain tengah menerusi peranan sebagai box to box midfielder yang biasa dimainkannya. Versatiliti dalam permainannya membolehkan Van de Beek memikul peranan sebagai pemain nombor 6, nombor 8 atau bergerak di belakang penyerang. Paling penting beliau turut memiliki kualiti yang sama bagus ketika melakukan kerja-kerja bertahan mahupun menyerang.

 

Dalam situasi offensive, Van de Beek memiliki kemampuan yang baik dalam menjaringkan gol. Dalam tempoh tiga musim terakhir, beliau berjaya menjaringkan 28 gol di Eredivisie, manakala di peringkat Eropah pula Van de Beek menghasilkan enam gol dalam dua kempen terakhir Ajax di Liga Juara-Juara. Bagaimana pula dengan kemampuan beliau ketika bertahan? Mengikut catatan WhoScored.com, Van de Beek melakukan purata dua tackle dalam setiap perlawanan atau secara keseluruhannya 62 tackle dilakukannya sepanjang musim lalu.

 

Apa yang mampu ditawarkan Van de Beek kepada United? Musim lalu, Bruno Fernandes muncul pemain tengah yang paling banyak terlibat dalam penghasilan gol-gol untuk United, sama ada menerusi bantuan gol atau jaringan-jaringan yang dihasilkannya. Atau lebih tepatnya sepanjang fasa kedua liga berlangsung, United sangat bergantung kepada Bruno untuk mencipta peluang atau menghasilkan jaringan dari seorang pemain tengah.

 

Ketika Paul Pogba yang diarah untuk bermain lebih ke dalam, manakala Scott McTominay dan Fred pula bukanlah type `goal scoring mid’, Van de Beek pula bakal menjadi `pendamping’ yang ideal untuk Bruno sekaligus mengurangkan kebergantungan United kepada beliau dalam kerja-kerja mencipta peluang jaringan gol, atau melakukan umpanan-umpanan tepat terus kepada rakan di barisan hadapan.

 

Dalam skema permainan Ajax yang berorientasikan serangan, Van de Beek sering diberikan peranan sebagai `anchor’ ketika melakukan gerakan, selain tugasnya sebagai `pelindung’ di garis hadapan benteng pertahanan mereka dalam situasi defensif. Jika peranan serupa diberikan kepadanya nanti, Paul Pogba akan bermain sedikit ke belakang sebagai deep-lying playmaker kerana kualiti bertahan yang dimilikinya.   

 

Pogba pada musim lalu berperanan sebagai pemain nombor 8, akan kembali diplotkan sebagai pemain nombor 6, mirip dengan apa yang pernah dilakukan Patrick Vieira untuk Arsenal dahulu. Menerusi peranan sebagai box to box midfielder yang bakal dimainkan Van de Beek nanti, beliau akhirnya akan menjadi pelengkap kepada gandingan Bruno dan Pogba di zon tengah United dalam formasi 4-2-3-1.

 

Bagaimana pula nasib Nemanja Matic, Scott McTominay atau Fred selepas kehadiran Van de Beek nanti? Inilah dilema yang terpaksa dilalui oleh mana-mana pengurus ketika mereka memiliki limpahan pemain di bahagian tengah. Sekiranya Ole Gunnar Solskjaer mahu menurunkan salah seorang dari mereka untuk digandingkan bersama trio Pogba-Van de Beek-Bruno, formasi 4-4-2 (diamond) boleh dijadikan pilihan.

 

Dalam formasi ini, Matic, McTominay atau Fred akan berperanan sebagai pemain tengah bertahan yang tugasnya dikhususkan untuk merebut bola atau melakukan `kerja-kerja kotor’ bagi melindungi rakan di benteng pertahanan. Ini membolehkan trio Bruno-Pogba-Van de Beek fokus untuk melaksanakan peranan masing-masing tanpa terlalu terikat dengan kerja-kerja bertahan. Bruno akan bergerak di belakang dua penyerang, Van de Beek berperanan sebagai pengatur aliran bola dan Pogba pula bertindak sebagai free role.

 

Ingat lagi apa yang dilakukan Pogba semasa di Juventus? Menerusi peranan (free role) inilah beliau mempamerkan kemampuan terbaiknya sebagai pemain kerana tugas untuk membantu pertahanan dan sebagai pengatur aliran bola sudah dijalankan oleh Arturo Vidal dan Andrea Pirlo atau Claudio Marchisio. Jadi sama ada dalam formasi 4-2-3-1 atau 4-4-2 (diamond), Van de Beek boleh dikategorikan sebagai `pemain yang memenuhi spesifikasi bolasepak moden’.  

 

Akhirnya perpindahan Donny Van de Beek ke Old Trafford sudah diumumkan secara rasmi. Berbanding Jadon Sancho, United akhir melunaskan pembelian seorang pemain yang memiliki fleksibiliti di atas padang, pemain yang boleh Solskjaer turunkan dalam formasi 4-2-3-1, 4-3-3 atau 4-4-2 (diamond). £40 juta bukanlah harga yang terlalu mahal untuk pemain `versatile’seperti beliau cuma apa yang mahu kita lihat selepas ini ialah kemampuan beliau untuk beradaptasi dengan budaya bolasepak Inggeris.

 

Kehadiran Van de Beek menambahkan lagi senarai warga Belanda yang pernah menyarung jersi United, bermula dari Arnold Muhren hinggalah yang terkini dan termuda seperti Tahith Chong dan Timothy Fosu-Mensah. Menarik untuk melihat apakah beliau mampu memberikan impak setaraf Ruud Van Nistelrooy, Jaap Stam, Edwin Van der Sar atau Robin Van Persie? Atau gagal memenuhi harapan seperti Jordi Cryuff, Alexander Buttner atau Memphis Depay? “Selamat Datang Ke Old Trafford Donny Van de Beek”. Glory Glory Manchester United!!!



31 Ogos 2020

"SELAMAT KEMBALI KE PANGKUAN LES BLEUS...MARTIAL"

 


Aksi persahabatan menentang Russia pada 27 Mac 2018 merupakan penampilan terakhir Anthony Martial untuk skuad kebangsaan Perancis. Dalam perlawanan yang dilangsungkan di Saint Petersburg itu, Perancis menewaskan tuan rumah menerusi dua gol jaringan Kylian Mbappe dan satu lagi gol menerusi Paul Pogba. Pada penampilan terakhirnya itu juga, Martial bermain selama 58 minit sebelum beliau digantikan Antoine Griezmann.

 

Selepas tamat aksi menentang Russia itu, kelibat Martial bersama skuad Les Bleus tidak lagi kelihatan dan sejak tarikh 27 Mac 2018 itu juga, Didier Deschamps tidak lagi memandang Martial untuk beliau senaraikan dalam skuad kendalian. Paling tragis, Martial terlepas peluang beraksi di pentas Piala Dunia 2018 kerana limpahan bakat yang dimiliki Deschamps di barisan hadapan menerusi kehadiran Antoine Griezmann, Kylian Mbappe, Oliver Giroud, Ousmane Dembele hinggalah ke Nabil Fekir.

 

Akhirnya selepas 2 tahun setengah tersisih dari skuad kebangsaan Perancis, nama Martial kembali disenaraikan Deschamps untuk beliau bawa bagi menghadapi kempen UEFA Nations League menentang Sweden dan Croatia pada 6 dan 9 September nanti. Kali ini Ousmane Dembele tiada dalam senarai 23 pemain, tetapi Martial masih perlu bersaing dengan Giroud, Griezmann, Mbappe, Fekir, Wissam Ben Yedder dan Jonathan Ikone untuk merebut tempat di barisan hadapan skuad Les Bleus.

 

Penampilan cemerlang beliau bersama United tentunya penyebab utama mengapa Martial dipanggil kembali menyertai skuad kebangsaan. 23 gol yang beliau jaringkan dalam semua peringkat kejohanan untuk United merupakan jumlah jaringan terbanyak pernah dihasilkannya sejak berpindah ke Old Trafford pada 2015. 17 gol yang dijaringkannya di peringkat liga pula mengatasi pencapaian terbaik yang pernah dilakukan Martial pada musim pertama beliau menyarung jersi United.

 

Untuk rekod, pada penampilan musim pertamanya di Old Trafford, Martial menjaringkan 11 gol dari 31 penampilan liga, manakala jumlah keseluruhan jaringan yang dihasilkannya pada musim tersebut ialah 17 gol. Jangan lupakan juga fakta bahawa tiga gol yang diledak beliau ke gawang Sheffield United dalam saingan liga menyaksikan Martial muncul pemain pertama United selepas era Sir Alex Ferguson yang berjaya menghasilkan hatrik.

 

Satu perubahan yang begitu drastik dapat anda lihat dalam diri Martial sepanjang musim lalu, dan untuk itu kredit wajar diberikan kepada Ole Gunnar Solskjaer, individu yang bertanggungjawab menjadikan Martial pemain yang begitu berbeza berbanding musim-musim sebelumnya. Di bawah kendalian Solskjaer, Martial diberikan peranan utama sebagai pemburu gol dan bebas berkeliaran di zon `final third’ lawan, sesuatu yang tidak dinikmati beliau sepanjang hampir dua setengah musim era pengurusan Mourinho.

 

Kehadiran Zlatan Ibrahimovic dan kemudiannya Romelu Lukaku menyaksikan Martial kerap tersisih dari kesebelasan utama pilihan Mourinho. Ketika itu beliau lebih kerap digunakan sebagai pengganti kepada Marcus Rashford atau Alexis Sanchez hingga turut menjejaskan tempatnya dalam skuad kebangsaan. Agak malang untuk seorang pemain seperti beliau yang memiliki kualiti, `instinct’ dan mampu memberikan perbezaan dalam permainan lebih kerap memanaskan bangku simpanan berbanding menyerlahkan potensinya di atas padang.

 

Kini selepas dua tahun setengah, Martial kembali mengetuk pintu skuad kebangsaan Perancis hasil dari prestasi terpuji yang dipamerkan beliau bersama United sepanjang musim lalu. Sangat menyenangkan apabila melihat Martial kembali ke pangkuan skuad Les Bleus meskipun diakui sukar untuk beliau menembusi senarai kesebelasan utama berikutan adanya Mbappe dan Griezmann serta keberadaan Giroud dalam formasi 4-2-3-1 yang sering digunakan Deschamps.

 

Sejauh ini, Martial baru mengumpul 18 `caps’ untuk skuad kebangsaan sejak melakukan debut pada 5 September 2015 dalam aksi persahabatan menentang Portugal. Manakala satu-satunya gol yang beliau sumbangkan pula berlaku ketika Perancis menewaskan Itali (3-1) di Bari, juga dalam aksi persahabatan iaitu setahun selepas penampilan pertamanya di pentas antarabangsa bersama skuad Les Bleus.

 

Satu pengalaman pahit untuk Martial apabila terlepas peluang beraksi di pentas Piala Dunia dua tahun lalu. Paling menyakitkan tatkala Paul Pogba berada di podium kejuaraan Stadium Luzhniki, Martial tidak berada di sana untuk menjadi sebahagian dari anggota skuad juara dunia Perancis. Pada tahun 2021 dan 2022, berlangsung dua kejohanan besar bolasepak dunia (Euro dan Piala Dunia), jadi ketika itu Martial tentunya tidak mahu sekali lagi berada di kerusi penonton melihat rakan-rakan senegaranya berjuang di atas padang. “Selamat kembali ke pangkuan Les Bleus, Martial”. Glory Glory Manchester United!!!



27 Ogos 2020

LIKU PERJALANAN `SANG KAPTEN'

 


Setahun yang lalu, nama beliau dijadikan tajuk utama media cetak dan elektronik selepas Manchester United memecah rekod pembelian pemain pertahanan termahal dunia dengan menandatanganinya dari Leicester City menerusi nilai perpindahan berjumlah £80 juta. Selepas setahun, nama Harry Maguire sekali lagi dijadikan sorotan utama media, tetapi kali ini bukan tentang kisah aksinya di atas padang tetapi insiden yang dicetuskan beliau di luar padang.

 

Tuduhan serangan serius ke atas pihak berkuasa, mengelak dari ditahan dan cuba untuk melakukan rasuah akhirnya menyebabkan Maguire didapati bersalah dalam satu perbicaraan di Greece yang mengakibatkan beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 21 bulan dan 10 hari. Bagaimanapun, Maguire mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan salah laku tersebut manakala pasukan pembelaan beliau akan mengemukakan rayuan.

 

Insiden di Mykonos itu menyebabkan Gareth Southgate mengugurkan namanya dari senarai skuad kebangsaan England yang bakal berdepan Iceland dan Denmark, manakala status Maguire selaku kapten United turut terancam. Insiden Mykonos ini juga antara cebisan dari kisah perjalanan Maguire, dari seorang pemain yang sekadar beraksi di liga bawahan hinggalah akhirnya menyandang gelaran selaku pemain pertahanan termahal dunia.


Perjalanan karier Maguire di peringkat senior bermula sepuluh tahun lalu di Liga Kejuaraan. Pada usia 18 tahun, Maguire melakukan penampilan pertamanya untuk Sheffield United ketika skuad The Blades itu berdepan Cardiff City. Bagaimanapun musim 2010/11 bukanlah musim yang indah buat seorang pemain muda yang melakukan penampilan pertama bersama skuad senior kerana di penghujung musim Sheffield United tersingkir ke kancah League One.


Hakikatnya Sheffield United terpaksa beraksi di kasta ketiga liga bolasepak Inggeris, tetapi rahmat buat Maguire apabila beliau diberikan kepercayaan oleh Danny Wilson untuk membarisi kesebelasan utama The Blades. Potensi besar Maguire di Bramall Lane akhirnya menarik minat Hull City untuk membawa beliau beraksi di Liga Perdana dan beliau akhirnya bergerak ke Yorkshire pada 2014 dengan nilai perpindahan sebanyak £2.5 juta.

 

Selepas melakukan enam penampilan untuk Hull dalam semua peringkat kejohanan, Maguire akhirnya dipinjamkan ke Wigan Athletic pada Februari 2015. Musim 2014/15, merupakan musim yang buruk buat Hull di Liga Perdana, dan di penghujung musim kesebelasan The Tigers itu terhumban ke Liga Kejuaraan. Musim 2015/16, Maguire pulang semula menyertai Hull dari tempoh pinjaman dan berjaya membantu skuad kendalian Steve Bruce itu kembali dipromosikan ke Liga Perdana.

 

Sekali lagi Hull berdepan musim yang buruk di Liga Perdana (musim 2016/17) dan mereka akhirnya tersingkir sekali lagi ke Liga Kejuaraan di penghujung musim. Bagaimanapun penampilan cemerlang Maguire di benteng pertahanan menarik minat dua kelab Liga Perdana iaitu Tottenham Hotspurs dan Leicester City untuk mendapatkan khidmatnya. Pendekatan secara personal yang dilakukan Craig Shakespeare akhirnya menyakinkan Maguire untuk memilih Leicester City berbanding Spurs sebagai destinasi seterusnya.

 

£17 juta, itulah nilai yang dibayar Leicester City ketika mereka merekrut Maguire dari Hull City pada musim panas 2017. Bersama kesebelasan The Foxes karier Maguire terus bersinar di mana beliau merupakan tonggak penting di benteng pertahanan mereka sekaligus membuka laluan untuknya dipanggil menyertai skuad kebangsaan England. Dalam kejohanan UEFA Nations League, Maguire antara pemain yang sering diturunkan Gareth Southgate dalam kesebelasan utama The Three Lions selain Jordan Pickford dan Harry Kane.

 

Begitu juga dalam kempen England di pentas Piala Dunia 2018 apabila Maguire tidak pernah terlepas satu perlawanan pun sejak dari peringkat kumpulan hinggalah kemaraan mereka dihentikan Croatia di peringkat separuh akhir. Dari seorang pemain yang melakukan penampilan pertama di Liga Kejuaraan, Maguire akhirnya dinobatkan selaku pemain pertahanan termahal dunia kira-kira setahun yang lalu selepas perpindahannya dari Kings Power Stadium ke Old Trafford direalisasikan.

 

Setahun yang lalu United menandatangani Maguire kerana beliau adalah `type’ pertahanan yang memang diperlukan kelab. Seorang pejuang yang handal di udara, bijak membaca permainan, sangat berkeyakinan ketika bola berada dikakinya serta pemimpin yang menjadikan suasana di atas padang dan bilik persalinan lebih baik. Kini Maguire terpaksa berjuang untuk dirinya sendiri, satu perjuangan getir untuk mengelak dirinya dari menghabiskan tempoh 21 bulan dan 10 hari dalam hidupnya di penjara Greece. Glory Glory Manchester United!!!



17 Ogos 2020

BERHENTI MERATAP DAN MULAKAN KERJA DARI SEKARANG



Tiga kali mara ke separuh akhir dan tiga kali juga Manchester United tersekat di peringkat tersebut musim ini. Dari kejohanan Piala Liga, Piala FA hinggalah ke Liga Europa, United akhirnya menutup kempen mereka musim ini tanpa sebarang kejuaraan buat musim ketiga berturut-turut. Menurut catatan Goal International, ini merupakan pencapaian terburuk United dalam tempoh 31 tahun sejak mereka gagal memenangi sebarang kejuaraan dari 1985 hingga 1989.

 

Secara keseluruhannya, penampilan United sepanjang 90 minit awal pagi tadi jauh lebih baik berbanding aksi mereka ketika menentang FC Copenhagen di peringat suku akhir tempohari. Bagaimanapun isunya tetap sama, iaitu ketumpulan jentera serangan menyebabkan United akhirnya terpaksa akur menyaksikan Sevilla sekali lagi menewaskan mereka di pentas Eropah buat kali kedua dalam tempoh hampir dua setengah tahun.

 

20 percubaan di lepaskan ke gawang Sevilla dan dari jumlah tersebut lapan merupakan `on target’. Bagaimanapun United cuma mampu menjaringkan satu gol, itu pun menerusi sepakan penalti. Akhirnya kegagalan menyempurnakan beberapa peluang terutamanya dalam tempoh 10 minit pertama di babak kedua menyaksikan United dihukum hasil dari kelekaan mereka ketika bertahan. Tiada peluang untuk bangkit selepas Luuk De Jong menjaringkan gol kedua Sevilla, 12 minit sebelum tempoh masa sebenar permainan tamat.

 

Jika ketika aksi menentang Copenhagen, Karl-Johan Johnsson muncul pemain paling menonjol di atas padang menerusi 13 aksi penyelamatan yang dilakukannya, awal pagi tadi giliran Bono pula mencuri tumpuan. `Bono’ yang saya maksudkan bukanlah anggota kumpulan U2, tetapi beliau ialah Yassine Bounou, penjaga gol berusia 29 tahun dari Maghribi yang menjadi penyelamat di hadapan pintu gol Sevilla.

 

Dalam tempoh sepuluh minit pertama di babak kedua, beliau menafikan sekurang-kurangnya tiga peluang yang dicipta United dalam situasi satu lawan satu. Tanpa Bono, Sevilla tidak akan mampu mara ke pentas final buat kali keenam dan  mereka juga wajar berterima kasih kepada Marcus Rashford yang agak tenggelam sepanjang perlawanan. Jadi tidak hairanlah mengapa anda melihat pergerakan-pergerakan di depan lebih banyak melibatkan Anthony Martial dan Mason Greenwood.

 

Saya tiada masalah dengan prestasi Rashford secara keseluruhannya musim ini, tetapi jika Solskjaer mahu menjadikan United selaku pencabar kejuaraan musim depan, beliau perlu mengintai pemain yang sesuai dengan keperluan pasukan pada bursa perpindahan pemain musim panas ini. Sudah tentu antara posisi yang perlu beliau perkuatkan ialah barisan hadapan. Jika bukan Jadon Sancho sekalipun, tentu ada opsyen lain yang boleh difikirkan untuk menambah sengat jentera serangan The Red Devils.

 

Mengikut statistik, dalam dua aksi Liga Europa menentang FC Copenhagen dan Sevilla, United melepaskan 46 percubaan kearah gawang lawan, tetapi mereka cuma mampu menjaringkan dua gol. Tentu ada sesuatu yang tidak kena apabila dari begitu banyak peluang yang dicipta dan percubaan yang dilepaskan, United cuma mampu menghasilkan dua gol sahaja, dan kedua-duanya adalah menerusi sepakan penalti.

 

United sebenarnya boleh keluar sebagai pemenang dan menamatkan badi mereka ketika berdepan wakil Sepanyol di pentas Eropah sekiranya mereka memiliki pemain yang `tiada belas kasihan’ di barisan hadapan. Anda boleh letakkan sesiapa sahaja dalam senarai pembelian, tetapi United sebenarnya perlukan penyerang yang lebih berkaliber. Untuk menjulang trofi, mereka tidak perlu menjadi kesebelasan yang sempurna, tetapi ia boleh dilakukan dengan adanya penyerang yang boleh menyempurnakan peluang di hadapan gawang lawan.

 

Selain dari itu, sektor lain yang perlu diperhatikan Solskjaer ialah benteng pertahanan skuadnya. Sudah tentu sasarannya ialah mencari pasangan yang dominan untuk Harry Maguire. Penampilan Victor Lindelof awal pagi tadi menjadi sasaran kritikan Paul Scholes yang menegaskan bahawa United wajar bergerak pantas untuk mencari pengganti pertahanan antarabangsa Sweden itu. Menurut Scholes, United mampu keluar sebagai pemenang jika gol kedua Sevilla itu boleh dihalang dari berlaku.

 

“Jika gol itu boleh dihalang dari berlaku, United mampu keluar sebagai pemenang. Sevilla sudah mula keletihan dan mereka juga berdepan masalah mencipta peluang kecuali jaringan (kedua) itu. Ada banyak kesilapan yang dilakukan ketika jaringan itu terhasil. Anda boleh menyalahkan kesemua empat pertahanan, tetapi pada pendapat saya Lindelof adalah masalah utama”, kata Scholes kepada BT Sport.

 

Sevilla mara ke final Liga Europa buat kali keenam kerana mereka menjaringkan lebih gol berbanding United. Namun secara keseluruhannya sepanjang 90 minit aksi awal pagi tadi, United adalah kesebelasan yang lebih baik jika diambilkira jumlah peluang yang berjaya mereka cipta. Solskjaer pastinya sudah melihat beberapa kelemahan dalam pasukan yang akan beliau perbaiki bagi menjadikan United sebuah kesebelasan yang lebih menakutkan.

 

Solskjaer kecewa kerana sebagai pengurus ini adalah kali pertama beliau terkandas di peringkat separuh akhir tiga kali dalam semusim. Selepas kegagalan separuh akhir buat kali ketiga musim ini, perkara pertama yang bakal beliau lakukan ialah merekrut pemain baharu yang beliau fikirkan sesuai dengan keperluan pasukan. Persoalan paling menarik sekarang ialah siapa yang bakal di bawa masuk, dan siapa pula yang bakal menuju pintu keluar? Glory Glory Manchester United!!!