08 Mac 2021

LANGIT MANCHESTER BERWARNA MERAH

 


Bolasepak memang sukan yang indah, kerana di dalamnya penuh dengan elemen kejutan, keajaiban dan drama. Itulah yang berlaku di Stadium Etihad awal pagi tadi, ketika perjalanan 21 kemenangan berturut-turut Manchester City dalam semua peringkat kejohanan berakhir di tangan United. Sebelum perlawanan, City memiliki segala kelebihan dari segenap segi, sama ada komposisi skuad yang mereka miliki, statistik serta prestasi semasa.

 

City memang dalam situasi on fire, jika tidak masakan mereka mampu mengharungi 21 perlawanan dalam semua kejohanan dengan catatan kemenangan 100%. Jadi apa yang mampu kita harapkan kepada kesebelasan United sebelum perlawanan ini ialah mereka pulang dari Stadium Etihad dengan sekurang-kurangnya satu mata. Bagaimanapun hakikatnya segala statistik dan kelebihan di atas kertas tidak membantu City untuk menjadikan United sebagai mangsa kemenangan ke-22 mereka.

 

Realitinya selepas tamat perlawanan, catatan 21 kemenangan berturut-turut City berakhir dan lebih perit ia berlaku dalam aksi Manchester Derby. Meskipun Manchester City agak kurang bernasib baik dalam perlawanan ini, tetapi ketinggalan ketika perlawanan baru berlangsung selama 48 saat bukanlah cara terbaik untuk mereka memulakan permainan. Ya…gol pertamalah sebenarnya yang mengubah keseluruhan arus perlawanan.

 

Gol yang membuatkan City terpaksa mengubah pendekatan mereka berbanding aksi pertama di Old Trafford yang lebih berhati-hati. Ketika City mula memberikan tekanan demi tekanan bagi mencari gol penyamaan, situasi ini membuka ruang buat United mempamerkan kekuatan sebenar mereka, iaitu menerusi gerakan-gerakan counter attack. United memang diketahui memiliki pemain-pemain yang mampu melaksanakan skema permainan ini dengan berkesan menerusi kelajuan yang dimiliki Daniel James, Marcus Rashford ataupun Anthony Martial.

 

Ketika City semakin ghairah meningkatkan tekanan, gawang mereka bolos lagi buat kali kedua. Apa yang menariknya gol ini terhasil hanya menerusi 12 sentuhan dari gerakan pantas yang melibatkan tiga peman (Dean Henderson, Luke Shaw dan Marcus Rashford). Tatkala koordinasi pertahanan yang cukup solid dipamerkan back four United, City akhirnya terpaksa menerima hakikat bahawa rekod 21 kemenangan berturut-turut mereka sudah berakhir.

 

Kekalahan ini merupakan yang pertama dialami City sejak November 2020 di mana ketika itu mereka tewas (0-2) kepada Tottenham Hotspurs dalam saingan liga. Bagi seorang pengendali yang sering dilabel sebagai `guru jasmani’, pencapaian Ole Gunnar Solskjaer kali ini boleh dianggap sebagai istimewa. Bukan mudah buat mana-mana pengendali berdepan Pep Guardiola, tetapi `guru jasmani’ ini sudah mengalahkan pengendali penuh karismatik City itu sebanyak empat kali dari lapan pertemuan.

 

Kemenangan ini juga menyaksikan United berjaya mengatasi `jiran mereka yang bising’ itu sebanyak tiga kali dari empat pertemuan terakhir dalam saingan liga. Penampilan di Stadium Etihad semalam mungkin bukanlah penampilan terbaik pernah dipamerkan United, tetapi kemenangan itu sekurang-kurangnya menunjukkan kepada kita bahawa barisan The Red Devils mampu bermain dengan sangat efektif. Betapa efektifnya United di Stadium Etihad boleh anda lihat kepada data selepas perlawanan.

 

Dengan peratusan  penguasaan bola yang cuma mencapai angka 33%, United masih mampu melepaskan enam percubaan on target ke arah Ederson Moraes. Jumlah ini sama dengan percubaan on target yang dilepaskan City meskipun mereka lebih dominan dalam hal penguasaan bola. Jika itu tidak cukup, mari kita lihat pula catatan expected goals dari kedua-dua pasukan sepanjang perlawanan. Menerusi statistik yang dikeluarkan WhoScored.com, catatan expected goals yang dilakukan United ialah 2.16 berbanding 1.34 yang dilakukan barisan pemain City.

 

Ini bermakna meskipun City lebih dominan menguasai bola, United pula memiliki peluang lebih tinggi untuk menghasilkan gol. Apa yang menyebabkan City `terkunci’ dalam perlawanan ini terutamanya front three mereka walaupun dalam 21 penampilan terakhir, mereka berhasil meledak 55 gol? Jawapannya ialah United mengamalkan pendekatan yang agak agresif, kompak dalam bertahan dan membataskan ruang ketika pemain-pemain City menguasai bola.

 

Hasilnya seperti yang dapat anda lihat, City terpaksa melepaskan sepuluh percubaan dari luar petak penalti kerana kesukaran untuk mereka memecah benteng pertahanan United. Dalam hal ini, kredit juga wajar diberikan kepada Daniel James dan Anthony Martial yang kerap turun ke bawah bagi membantu rakan-rakan di barisan belakang dalam melakukan kerja-kerja defensif. Bagaimanapun hal yang sangat jelas dalam perlawanan ini ialah kekuatan serang balas United dan corak permainan `simple’ yang diterapkan Solskjaer. Gol kedua adalah contoh terbaik.

 

Kemenangan United ini tidak mengubah kedudukan mereka secara drastik dalam carta liga. City masih kekal di atas manakala United pula kembali berada di tangga kedua. City masih memiliki kelebihan 11 mata dengan baki sepuluh perlawanan, tetapi kemenangan United ini setidak-tidaknya menunjukkan bahawa perlumbaan mengejar kejuaraan liga masih belum berakhir. Manchester kini berwarna merah dan selamat tinggal juga diucapkan kepada rentetan rekod 28 perlawanan tanpa kalah City. Glory Glory Manchester United!!!



01 Mac 2021

`SI GENIUS' YANG MASIH TENGGELAM DALAM PERLAWANAN BESAR

 


Bruno Fernandes merupakan pembelian sensasi yang dilakukan United pertengahan musim lalu. Itu adalah hakikat yang tidak boleh anda nafikan berdasarkan segala statistik yang dihasilkannya sejak beliau melakukan penampilan pertama untuk United pada Februari 2020 yang lalu. Dari 61 penampilan, playmaker Portugal itu sudah terlibat secara langsung dalam 54 gol yang dihasilkan United (34 gol dan 20 bantuan gol).

 

Di peringkat liga setakat ini, Bruno berada di tangga kedua dalam senarai penjaring terbanyak, dua gol di belakang Mohamed Salah yang sudah meledak 17 gol untuk Liverpool. Melihat kepada peranan penting yang sudah beliau mainkan untuk United, maka tidak hairanlah jika Bruno disebut-sebut sebagai antara calon favourite untuk memenangi anugerah PFA Player of the Year bagi musim ini.

 

Sudah agak lama anugerah ini `tidak singgah’ di Old Trafford sejak kali terakhir Wayne Rooney memenanginya pada musim 2009/10, jadi prospek untuk Bruno diiktiraf selaku pemain terbaik Liga Perdana musim ini adalah satu perkara yang sangat mengujakan. Peranan besar yang dimainkan Bruno sejak ketibaan beliau di Old Trafford memang tidak boleh disangkal, tetapi kemampuan beliau dalam berdepan perlawanan-perlawanan besar juga nampaknya terus diperdebatkan.

 

Di Stamford Bridge awal pagi tadi, pemain berusia 26 tahun itu sekali lagi dilihat kurang efektif dalam usaha beliau membantu barisan hadapan United menembusi benteng pertahanan Chelsea yang menyaksikan perlawanan tumpuan minggu ini itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan. Sepanjang perlawanan, Bruno hilang penguasaan bola sebanyak 20 kali, jumlah paling banyak berbanding pemain lain yang beraksi di atas padang.

 

Jika sebelum ini, Bruno cukup dikenali sebagai seorang pemain tengah yang penuh dengan kreativiti dan punya visi permainan yang tinggi, di Stamford Bridge pula beliau cuma mampu mencipta satu peluang selain gagal melepaskan sebarang percubaan on target. Menerusi catatan dari laman ESPN pula, Bruno kini cuma mampu menjaringkan satu gol dan gagal mencipta sebarang bantuan gol dalam enam perlawanan besar Liga Perdana musim ini.

 

Sejak Bruno menjaringkan gol menerusi sepakan penalti ketika berdepan Tottenham Hotspurs pada Oktober lalu, United sudah melepaskan 70 percubaan pada enam penampilan mereka dalam perlawanan besar. Dari jumlah tersebut tiada satu pun yang berhasil membolosi pintu gol lawan. Apakah faktor yang menyebabkan Bruno gagal menyerlah dalam perlawanan-perlawanan besar berbanding ketika United berdepan kelab pertengahan dan bawahan liga?

 

Catatan United dalam perlawanan-perlawanan besar musim ini sebenarnya agak mengecewakan, sama seperti ketika anda melihat bagaimana mudahnya mereka kehilangan mata ketika berdepan lawan dari kelompok bawahan liga. Selepas kekalahan besar 1-6 kepada Spurs tahun lalu, United mencatatkan keputusan seri ketika mereka berdepan Chelsea dan kemudiannya tewas kepada Arsenal di Old Trafford.

 

Empat `big match’ selepas itu berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan dalam derby Manchester, dan ketika mereka berdepan Liverpool, Arsenal dan Chelsea di gelanggang lawan. Jika anda melihat kepada keputusan perlawanan-perlawanan besar United musim ini, pendekatan permainan yang diterapkan Solskjaer mungkin antara penyumbang utama mengapa Bruno gagal menyerlah ketika berdepan `big boys’ di Liga Perdana.

 

Agak menarik komentar yang dilontarkan Roy Keane selepas tamat aksi di Stamford Bridge awal pagi tadi. “Saya fikir, United lebih risaukan pasukan yang berada di belakang mereka dan berusaha mengekalkan jarak pungutan mata. Mereka sepatutnya memiliki mentaliti “Mari kita pergi ke sana dan memenangi perlawanan itu”. Sebab itulah anda berada di Manchester United, untuk menang perlawanan dan mengejar Manchester City”, kata Keane.

 

Jika anda masih ingat pada Januari lalu, Bruno dijadikan sasaran kritikan Paul Scholes selepas aksi United dan Arsenal yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri tanpa jaringan di London. Menurut Scholes, prestasi Bruno ketika berdepan perlawanan besar patut menjadi kebimbangan Solskjaer. “Kita selalu bercakap pasal perlawanan menentang Liverpool dan Manchester City, tapi mereka nampaknya tidak mampu memenangi perlawanan itu”.

 

“Bruno Fernandes begitu mengecewakan dalam setiap penampilannya ketika menentang kelab besar. Saya akui dia memiliki statistik jaringan dan assist yang bagus, tetapi dalam lima perlawanan menentang kelab besar dia gagal menjaringkan sebarang gol atau mencipta assist. Situasi ini sangat membimbangkan, dan sebab itulah United berada di tempat mereka sekarang (tangga kedua). Ini kedudukan yang baik tapi bukanlah posisi untuk kita menjuarai liga”, kata Scholes.

 

Penampilan impresif beliau sejak menyertai United menyaksikan Bruno menerima banyak pujian dari kawan dan lawan. Hinggakan pada satu peringkat ada pihak melabelkan impak yang beliau berikan persis apa yang pernah dicetuskan Eric Cantona suatu ketika dahulu. Tidak dinafikan bahawa Bruno pemain yang hebat, begitu juga Cantona. Cuma bezanya Cantona pernah membantu United memenangi banyak trofi dan sering menonjol dalam perlawanan besar. Itulah aspek yang masih kurang dalam diri Bruno ketika ini. Glory Glory Manchester United!!!



27 Februari 2021

AC MILAN...GERGASI `TERLENA' YANG PERNAH 4 KALI MENYINGKIRKAN UNITED DI PENTAS EROPAH

 


“Perlawanan tumpuan di peringkat kalah mati 16 pasukan Liga Europa”. Itu mungkin perkataan yang boleh anda simpulkan selepas Manchester United dan AC Milan dipertemukan dalam undian (round of 16) Liga Europa yang dilangsungkan di Nyon, Switzerland semalam. Aksi antara AS Roma dan Shakhtar Donetsk serta Dynamo Kyiv dan Villarreal juga tidak kurang menariknya, tetapi fokus utama tentunya terarah kepada pertembungan pertama dalam tempoh 11 tahun membabitkan United dan Milan.

 

Apa yang menariknya, kali terakhir gergasi Inggeris dan Itali ini dipertemukan juga pada pusingan kalah mati 16 pasukan tetapi ia berlaku dalam kempen Liga Juara-Juara musim 2009/10. Ketika itu United berjaya mara ke pusingan suku akhir selepas mereka menyingkirkan Milan menerusi kelebihan aggregate 7-2. Aksi pertama yang dilangsungkan di San Siro ketika itu menyaksikan United menang (3-2) dan mereka kemudiannya mengesahkan kemaraan menerusi kemenangan besar (4-0) di Old Trafford.

 

Rekod Silam

 

Secara keseluruhannya, United dan Milan sudah bertemu sebanyak sepuluh kali dalam saingan di peringkat Eropah, dan dari sepuluh pertembungan tersebut masing-masing menang sebanyak lima kali dan tewas lima kali. Bagaimanapun apa yang patut anda bimbangi ialah fakta bahawa Milan muncul kesebelasan paling kerap menyingkirkan United di pusingan kalah mati saingan Eropah selepas Real Madrid. Pada saingan Piala Eropah (sekarang Liga Juara-Juara) tahun 1958 dan 1969, Milan dua kali berjaya menyingkirkan United di peringkat separuh akhir.

 

Pertembungan di era bolasepak moden antara kedua-dua pasukan berlaku pada 2005, kali ini di pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara. Dominasi Milan ke atas United masih berterusan dan kali ini Hernan Crespo pula muncul petualangnya menerusi satu gol yang beliau jaringkan di Old Trafford dan San Siro. Dida, Cafu, Paolo Maldini, Allesandro Nesta, Jaap Stam, Gennaro Gattuso, Kaka, Clarence Seedorf, Andrea Pirlo, Rui Costa dan Hernan Crespo…itulah nama-nama yang membarisi skuad Milan ketika itu, jadi penyingkiran United kali ini bukanlah keputusan yang terlalu mengejutkan.

 

Dua tahun selepas itu, United dan Milan mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara dan kedua-duanya sekali lagi ditakdirkan untuk bertembung di peringkat tersebut. Jika pada 2005, Hernan Crespo mencuri tumpuan, kini giliran Kaka pula mengambilalih peranan selaku watak utama di dua pentas berbeza. United menang (3-2) pada perlawanan pertama di Old Trafford, tetapi dua gol yang dijaringkan Kaka dalam perlawanan itu menyaksikan Milan memiliki bekalan gol di gelanggang lawan yang agak selesa menjelang aksi kedua di San Siro.

 

Di San Siro, Kaka sekali lagi meledak untuk gol pertama Milan, dan impian United kemudiannya diranapkan menerusi dua lagi gol lawan yang dihasilkan Clarence Seedorf serta Alberto Gilardino. Dominasi Milan ke atas United berterusan buat kali keempat tetapi rekod itu akhirnya menemui titik nokhtah ketika kedua-dua kelab sekali lagi dipertemukan di pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Juara-Juara musim 2009/10. Ketika tembok penguasaan Milan di Eropah mula runtuh, United pula menepati reputasi mereka selaku pasukan pilihan dalam perlawanan ini.

 

Dalam dua aksi timbal balik yang dilangsungkan, United berjaya menewaskan Milan di San Siro dan Old Trafford. Selepas itu tiada lagi sebarang pertembungan membabitkan kedua-dua pasukan dalam tempoh sedekad. Bagaimanapun penantian panjang itu bakal berakhir kerana United dan Milan akan bertarung sekali lagi dalam saingan peringkat Eropah. Jika sepuluh pertembungan sebelum ini membabitkan saingan di Liga Juara-Juara, kini Liga Europa pula bakal menjadi pentas pertarungan antara The Red Devils dan I Rossoneri dengan tiket ke suku akhir sebagai ganjarannya.

 

Reaksi Pemain

 

Menurut laporan Football Italia, siaran secara langsung majlis undian itu disaksikan sebahagian besar pemain Milan. “Hampir kesemua pemain Milan menyaksikan secara langsung majlis undian itu di Milanello. Kelihatan beberpa pemain tersenyum sinis bila mengetahui lawan mereka nanti ialah Manchester United”. United dan Milan melalui tempoh kempen musim ini dengan cemerlang selepas masing-masing berada di kedudukan tangga kedua carta liga domestik.

 

Bagaimanapun prestasi Milan di awal tahun baharu mula menurun yang menyaksikan skuad kendalian Stefano Pioli itu tewas empat dari sembilan aksi liga mereka. Situasi ini menyaksikan mereka turut hilang penguasaan pendahulu Serie A kepada Inter Milan dan cuma memiliki kelebihan empat mata di hadapan Juventus yang berada di tangga ketiga liga. Hilang posisi selaku pendahulu carta liga bagaimanapun tetap tidak memadam hakikat bahawa Milan masih lagi kesebelasan yang sangat berbahaya dan wajar diberikan perhatian terutamanya pada saingan peringkat kalah mati seperti ini.

 

Penutup

 

Milan saat ini mungkin tidak sehebat ketika era keemasan mereka di penghujung 80an hinggalah lewat dekad 2000. Meskipun era pemain seperti Kaka, Allesandro Nesta, Paolo Maldini, Gennaro Gattuso atau Andrea Pirlo sudah lama berakhir, Milan masih lagi kesebelasan yang wajar dihormati terutamanya menerusi keberadaan Zlatan Ibrahimovic di jentera serangan mereka. Meskipun sudah berusia 39 tahun, angka jaringan Ibra masih mampu mencecah 2 digit, manakala naluri pembunuhnya ketika berada di dalam petak penalti lawan tidak pernah luntur.

 

Ole Gunnar Solskjaer sudah menetapkan sasaran untuk United mara ke final dalam kempen Liga Europa mereka kali ini. Untuk mara ke Gdansk dan cuba menjulang trofi tersebut buat kali kedua di sana, United tidak dapat mengelak dari berdepan kesebelasan terbaik pada kempen kali ini dan Milan salah satu diantaranya. Semalam, Solskjaer baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-48nya, dan beliau menganggap undian menentang Milan merupakan hadiah terbaik untuk hari istimewanya itu.

 

Menyingkirkan kesebelasan yang kaya dengan sejarah dan tradisi seperti Milan tentunya bakal menjadi antara hari yang istimewa buat Solskjaer dan United. Tetapi akan lebih istimewa sekiranya kita dapat melihat barisan The Red Devils pimpinan Solskjaer mara ke final dan menamatkan aksi di Stadium Miejski pada 25 Mei nanti di podium kejuaraan. Empat tahun lalu kita sudah menyaksikannya, dan semoga momen indah tersebut akan berlaku sekali lagi. Jika mahu melangkah jauh ke Gdansk, Milan wajar disingkirkan terlebih dahulu. Glory Glory Manchester United!!!



24 Februari 2021

DAVE ATAU DEAN?

 


Ada `rumours’ yang mengatakan bahawa Manchester United bakal melepaskan salah seorang penjaga gol utama mereka musim depan. Setakat ini hanya ada dua penjaga gol yang digunakan Ole Gunnar Solskjaer dalam aksi liga, pertama David De Gea dan kedua Dean Henderson. Musim ini De Gea sudah melakukan 23 penampilan dalam saingan liga, manakala Henderson pula sudah diturunkan sebanyak tiga kali (termasuk sebagai pemain gantian).

 

Sejak 2011 hingga sekarang, De Gea begitu dominan mengekalkan posisinya selaku penjaga gol nombor satu United menerusi 336 penampilan (dalam saingan liga) dan mencatatkan 121 clean sheets. Bagi Henderson pula, beliau memang diplotkan untuk mewarisi jersi `nombor 1’ dari De Gea suatu hari nanti. Bagaimanapun prestasi De Gea sejak akhir-akhir ini menimbulkan perdebatan baik di kalangan penyokong United mahupun pemerhati bolasepak.

 

Dari 23 penampilan liga setakat ini, gawang United yang dikawal De Gea sudah dibolosi sebanyak 29 kali. Jumlah ini hanya kurang tujuh dari jumlah gol yang bolos ke gawang beliau sepanjang musim lalu. Jadi tidak hairanlah mengapa Paul Scholes melabelkan De Gea sebagai `antara masalah terbesar’ United musim ini. Henderson pula kembali ke Old Trafford musim ini selepas melalui tempoh pinjaman yang cukup cemerlang bersama Sheffield United musim lalu.

 

Sudah tentu untuk seorang pemain yang sudah pun mencapai usia 23 tahun, tekad Henderson ialah untuk cuba merampas posisi `nombor satu’ United yang sudah dikuasai De Gea selama hampir sepuluh tahun. Tiga penampilan dalam saingan liga bukanlah jumlah yang diinginkan beliau, mengingatkan bahawa musim lalu Henderson melakukan 36 penampilan untuk Sheffield United dan berjaya memastikan gawang The Blades tidak dibolosi sebanyak 13 kali.

 

Situasi ini tentunya tidak menyenangkan Henderson kerana jika beliau terus menjadi pilihan kedua di belakang De Gea, tempatnya dalam skuad kebangsaan juga bakal terancam. Berbanding De Gea yang kontraknya cuma berbaki dua tahun, Henderson pula baru sahaja menandatangani kontrak yang menyaksikan beliau akan kekal di Old Trafford hingga 2025. Mengambil kira faktor umur De Gea pula, adakah United masih sedia membelanjakan £375 ribu seminggu untuk seorang penjaga gol yang sudah berusia 30 tahun?

 

Dua kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang penjaga gol berpengalaman seperti beliau ketika aksi menentang Everton antara contoh terbaik mengapa ramai pihak mengatakan bahawa prestasi De Gea sudah menurun seiring peningkatan usianya. Walaupun begitu, kepercayaan Solskjaer kepada kemampuan De Gea masih tinggi apabila beliau menurunkan penjaga gol Sepanyol itu dalam dua aksi terakhir liga ketika United berdepan West Bromwich Albion dan Newcastle United.

 

Musim 2018/19 akan sentiasa diingati sebagai musim penampilan terburuk pertahanan United dalam tempoh 40 tahun yang menyaksikan gawang mereka dibolosi sebanyak 54 kali. Bagaimanapun statistik itu diperbaiki mereka pada musim 2019/20, apabila pertahanan United tampil solid hingga menyaksikan De Gea cuma melepaskan 36 gol dari 38 penampilan. Apa yang lebih hebatnya, gawang United juga cuma dibolosi sebanyak enam kali dari baki 15 aksi terakhir mereka.

 

Bagaimanapun akhirnya akan timbul satu pertanyaan, mampukah United mengulangi statistik yang dilakukan mereka musim lalu dengan prestasi terkini yang dipamerkan De Gea di hadapan gawang mereka? Jika benar laporan yang menyebut bahawa kelab bakal melepaskan salah seorang penjaga gol utama mereka musim depan, siapakah yang akan pergi dan siapakah diantara mereka yang akan kekal sebagai penghuni posisi `nombor 1’ United? Dave atau Dean? Glory Glory Manchester United!!!



22 Februari 2021

DIA YANG BERNAMA...SHOLA SHORETIRE

 


Selepas Amad Diallo menikmati penampilan pertamanya ketika United berdepan Real Sociedad, kini giliran seorang lagi pemain remaja diberikan peluang bermain bersama skuad utama. Beliau yang saya maksudkan tentulah Shola Shoretire. Bagaimanapun berbeza dengan Amad, Shoretire merupakan pemain dari akademi United dan sudah bersama kelab sejak usianya 10 tahun lagi.

 

Apa yang menariknya, sebelum beliau diserap dalam sistem pembangunan pemain remaja United, Shoretire terlebih dahulu pernah menimba ilmu bolasepaknya bersama akademi Newcastle. Shoretire mula menjadi tumpuan pada usia 14 tahun selepas beliau muncul pemain paling muda dalam kempen UEFA Youth League. Ketika itu beliau diturunkan skuad U-19 United berdepan Valencia dalam kejohanan tersebut.

 

Menurut Neil Wood yang juga merupakan ketua jurulatih skuad U-23 United, Shoretire sering bermain dalam kejohanan-kejohanan di atas peringkat usianya dan meskipun masih muda pemain yang dilahirkan pada 2 Februari 2004 itu sudah dipromosikan ke skuad U-23 United pada awal musim ini. Umur cumalah angka semata-mata dan bersama skuad U-23 United, Shoretire membuktikan bahawa permainan beliau jauh lebih matang berbanding usianya.

 

Dari 14 penampilan beliau untuk skuad U-23 United dalam kempen Liga Perdana 2 (Divisyen 1), Shoretire berjaya menjaringkan enam gol, empat gol di belakang Joe Hugill yang juga merupakan penjaring terbanyak United. Enam gol dari seorang pemain sayap merupakan angka yang cukup bagus dan momen terbaik beliau musim ini pula berlaku ketika Shoretire meledak hatrik saat United menewaskan Blackburn Rovers (6-4) pada awal Februari lalu.

 

“Shoretire sudah biasa bermain dalam kejohanan di atas peringkat usianya. Umurnya baru 17 tahun, tetapi dia sudah bermain menentang pemain lawan yang lebih berusia dan perlu memikirkan cara untuk mengatasi mereka. Dia pemain yang sangat bijak dan mampu melaksanakan tugasnya dengan cemerlang”, kata Neil Wood. Dua minggu selepas penampilan cemerlangnya menentang Blackburn Rovers, Shoretire akhirnya menerima panggilan Ole Gunnar Solskjaer untuk berlatih bersama utama.

 

Potensi besar yang dimiliki beliau akhirnya menyaksikan Solskjaer memberikan penampilan pertama buat anak muda ini dalam aksi menentang Newcastle United awal pagi tadi. Meskipun cuma sempat beraksi beberapa minit di atas padang selepas beliau masuk menggantikan Marcus Rashford (diminit ke-89), fakta akan tertulis bahawa Shoretire muncul pemain ketujuh termuda yang pernah melakukan penampilan untuk skuad utama United.

 

Pada usia 17 tahun dan 19 hari, Shoretire juga mencipta nama selaku pemain ke-240 dari akademi United yang berjaya melakukan penampilan bersama skuad utama. Untuk momen istimewa ini, Marcus Rashford juga sempat meninggalkan pesan buat junior beliau dalam skuad United ini. “Kenang momen ini selamanya bro. Keluarga kamu pasti berbangga”, ciap Rashford menerusi Twitter selepas tamat perlawanan. Glory Glory Manchester United!!!

 



20 Februari 2021

KISAH INSPIRASI KEBANGKITAN MANCHESTER UNITED MEMINTAS SEPULUH MATA MILIK NEWCASTLE PADA MUSIM 1995/96

 


Kemenangan Manchester City ke atas Everton pada 18 Februari lalu menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola itu kini memiliki kelebihan sepuluh mata di tangga teratas liga. Perbezaan jaringan gol pula menyaksikan posisi tangga kedua liga pula menjadi milik United, meskipun mereka memiliki jumlah mata yang sama (46 mata) dengan Leicester City yang berada di tangga ketiga.

 

Dengan prestasi yang dipamerkan skuad The Cityzens itu sejak kebelakangan ini, serta isu konsistensi dialami United serta beberapa pencabar kejuaraan yang lain, kelebihan sepuluh mata milik City itu nampaknya seperti hampir mustahil untuk dikejar oleh mana-mana pasukan. Dengan jurang mata yang begitu besar dimiliki mereka, adakah musim ini City bakal menjulang trofi kejuaraan liga buat kali ke-7 dalam sejarah kelab atau adakah keajaiban bakal berlaku di penghujung musim?

 

The Magpies Pernah Di Puncak

 

Ya…tampak seperti mustahil untuk City dipintas tetapi jangan lupakan fakta bahawa 25 tahun lalu Newcastle United pernah kempunan meskipun pada suatu ketika mereka memiliki kelebihan 10 mata selaku pendahulu carta liga. Untuk rekod, hanya ada dua kelab yang gagal keluar sebagai juara meskipun pada suatu ketika mereka berjaya mencipta jurang sepuluh mata di tangga teratas dalam sejarah Liga Perdana. Selain Newcastle United, Liverpool juga pernah menerima nasib yang sama.

 

Apa yang telah berlaku pada musim 1995/96? Musim dimana Newcastle United gagal keluar sebagai juara liga meskipun berbelanja besar dalam usaha mereka mencabar United selaku kuasa bolasepak Inggeris? Musim panas 1995, United terutamanya Sir Alex Ferguson dikritik kerana tindakan beliau melepaskan secara mengejut tiga pemain senior (Paul Ince, Mark Hughes dan Andrei Kanchelskis) dan menggantikan kekosongan mereka dengan pemain muda dari akademi.

 

Berbelanja Besar

 

Berbanding United, Newcastle di bawah kendalian Kevin Keegan pula berbelanja besar menerusi pelaburan dilakukan oleh Sir John Hall yang menyaksikan mereka menandatangani Les Ferdinand, David Ginola, Warren Barton dan Shaka Hislop. Tidak cukup dengan itu, pada jendela perpindahan pertengahan musim, Keegan membawa masuk pula Faustino Asprilla dan David Batty bagi memperkuatkan skuadnya untuk mencabar kejuaraan liga.

 

Dengan sokongan kewangan yang besar dan skuad yang mereka miliki, pada awalnya Newcastle memang menepati status mereka selaku antara kesebelasan pilihan bagi menjulang kejuaraan liga musim tersebut. Status mereka di atas kertas turut dibuktikan dengan prestasi di atas padang apabila skuad kendalian Keegan itu begitu dominan memimpin carta liga bermula dari bulan Ogos (1995) hinggalah pertengahan Mac (1996).

 

Menjelang hari Natal, mereka begitu gah mencipta jurang sepuluh mata di tangga teratas liga berbanding United yang berada di tangga kedua. Meskipun mereka tewas (0-2) dalam kunjungan di Old Trafford pada 27 Disember 1995, Newcastle kemudiannya berjaya mencipta kelebihan jurang 12 mata ketika saingan liga memasuki pertengahan bulan Januari.

 

Dengan baki 15 lagi aksi liga, Keegan berada di landasan tepat untuk meletakkan dirinya selaku pengurus pertama The Magpies yang berjaya menjulang kejuaraan liga buat pertama kali dalam tempoh 69 tahun. Bagaimanapun di Old Trafford, United seolah-olah mendapat tonik tambahan apabila maestro mereka Eric Cantona keluar dari tempoh hukuman penggantungan perlawanan akibat dari insiden `tendangan kung fu’ yang dilakukannya ke atas seorang penyokong Crystal Palace.

 

Detik Kejatuhan

 

Begitupun tugas untuk menghambat Newcastle bukanlah satu misi yang mudah memandangkan selepas kepulangan semula Cantona, skuad kendalian Keegan masih memiliki kelebihan 14 mata di tangga teratas liga. Bagaimanapun selepas kemenangan (2-1) yang dilakar mereka ke atas Middlesbrough, Newcastle kemudiannya mengalami lima kekalahan dari lapan penampilan liga mereka. Kekalahan (0-1) kepada United di St James Park boleh dianggap sebagai turning point kepada kegagalan misi mereka menjulang kejuaraan liga musim tersebut.

 

Kekalahan itu juga menyaksikan rekod bersih 100% Newcastle di St James Park turut berakhir, malah lebih malang selepas perlawanan tersebut mereka cuma memiliki kelebihan satu mata selaku pendahulu di hadapan United. Ketika tekanan di St James Park kian meningkat, malapetaka datang lagi apabila mereka tewas tiga perlawanan penting ketika berdepan Arsenal, Liverpool dan Blackburn Rovers.

 

Ketika Keegan berdepan dengan krisis ketahanan mental dan keyakinan diri para pemainnya, kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh United untuk merampas kedudukan pendahulu carta liga. Dan di penghujung musim, barisan kendalian Fergie akhirnya berjaya merampas kembali trofi Liga Perdana yang dimenangi Blackburn Rovers musim sebelumnya menerusi kelebihan empat mata berbanding Newcastle.

 

Rob Lee yang juga merupakan antara tonggak penting Newcastle ketika itu mengakui faktor utama yang menafikan pasukannya dari menjulang trofi liga musim tersebut berpunca dari kegagalan rakan sepasukannya menangani tekanan selaku pendahulu liga. Manakala Ian Cusack yang juga merupakan seorang jurnalis sukan meletakkan faktor kembalinya Cantona sebagai kunci kebangkitan United selain kegagalan Keegan dalam memotivasikan para pemainnya ketika mereka berada dalam detik sukar.

 

Penutup

 

Melihat kepada prestasi naik turun United ketika ini, agak mustahil sebenarnya untuk mereka mengejar dan cuba memadam kelebihan City selaku pendahulu carta liga. Kejayaan skuad musim 1995/96 United memintas Newcastle meskipun pada suatu ketika mereka pernah ketinggalan sepuluh mata banyak disumbangkan faktor konsistensi mereka ketika saingan liga memasuki fasa kedua, selain dibantu faktor kembalinya pemain berpengaruh seperti Cantona.

 

Untuk menghambat City, United bukan sahaja perlukan elemen keajaiban tetapi mereka juga perlu lebih konsisten dan tidak keciciran mata ketika berdepan lawan di kelompok bawahan liga, masalah yang sebenarnya masih gagal diatasi Solskjaer sejak beliau mengambilalih posisi pengendali di Old Trafford pada Disember 2018 yang lalu. Jika mahu mengulangi jejak skuad 1995/96, isu konsistensi antara masalah nombor satu yang wajib diselesaikan Solskjaer. Atau jika tidak, posisi kedua liga milik mereka juga bakal terancam.

 

25 tahun yang lalu, Fergie sangat beruntung kerana beliau memiliki pemain yang penuh karismatik dalam diri Cantona selaku pemimpin dan mentor kepada rakan-rakan sepasukannya. Pemain yang sukar diramal tetapi memiliki bakat yang sangat luarbiasa, pemimpin hebat di atas padang serta maestro yang mampu membuatkan rakan sepasukan memberikan sepenuh jiwa dan raga mereka ketika beraksi di atas padang. Selain kegagalan The Magpies menangani tekanan, kehadiran semula Cantona juga antara elemen penting di sebalik kebangkitan United ketika itu. Glory Glory Manchester United!!!



19 Februari 2021

STATISTIK GEMILANG BRUNO DI SEBALIK KEMENANGAN BESAR UNITED

 


Manchester United hampir pasti melangkah ke pusingan kalah mati 16 pasukan Liga Europa selepas mereka mencatatkan kemenangan selesa (4-0) ke atas Real Sociedad pada perlawanan pertama di Turin awal pagi tadi. Dua gol jaringan Bruno Fernandes dan masing-masing satu dari Marcus Rashford serta Daniel James memastikan United memiliki bekalan yang cukup selesa menjelang aksi kedua di Old Trafford pada 25 Februari nanti.

 

Lagi-lagi Bruno Fernandes, dah itulah yang dilakukan beliau sepanjang penampilannya di Turin menerusi dua gol yang dijaringkannya di setiap babak perlawanan pada penampilan ke-58 bintang Portugal itu untuk United. Dua gol yang diledak beliau ke gawang Sociedad menyaksikan Bruno sudah menjaringkan sepuluh gol dalam saingan Liga Europa sejak musim lalu. Lima gol diledak beliau ketika masih menyarung jersi Sporting Lisbon dan lima lagi ketika bersama United.

 

Sepuluh gol ini merupakan jumlah terbanyak berbanding mana-mana pemain yang masih beraksi di pentas Liga Europa musim ini. Selain daripada itu, dua gol yang beliau jaringkan awal pagi tadi menyaksikan Bruno sudah menghasilkan sembilan gol untuk United dalam saingan peringkat Eropah. Jumlah ini meletakkan beliau selaku pemain United paling produktif dalam penghasilan gol pada saingan Eropah sejak menyertai United pada Februari tahun lalu.

 

Secara keseluruhannya pula, Bruno telah terlibat dalam 52 gol dari 58 penampilan untuk United di semua peringkat kejohanan (33 gol dan 19 bantuan gol). Statistik ini menyaksikan beliau memiliki catatan penglibatan gol sepuluh kali lebih banyak berbanding mana-mana pemain di Liga Perdana jika dihitung sejak penampilan pertamanya untuk United hinggalah aksi menentang Sociedad awal pagi tadi. Catatan ini sekaligus menunjukkan betapa signifikannya peranan Bruno dalam pola permainan United.

 

Peranan dan posisi beliau memungkinkan untuk Bruno lebih kerap terlibat dengan gol-gol yang dihasilkan United. Sudah tentu sasaran beliau ialah membantu United menjulang trofi Liga Europa musim ini selepas hampa disingkir Sevilla di peringkat separuh akhir saingan musim lalu. “Sasaran saya ialah menjaringkan gol dan mencipta bantuan gol sebanyak yang boleh. Tetapi perkara paling penting ialah membantu pasukan memenangi trofi”, kata Bruno.

 

Kemenangan ini bukan sahaja penting kepada survival United untuk cuba memenangi trofi pertama mereka di era Ole Gunnar Solskjaer selaku pengendali, tetapi kemenangan besar ini turut menyaksikan barisan The Red Devils mencatatkan rekod baharu bolasepak Inggeris. Kemenangan (4-0) ini merupakan kemenangan terbesar kelab Inggeris di gelanggang lawan ketika berdepan wakil Sepanyol dalam saingan peringkat Eropah sejak kemenangan (3-0) Newcastle United ke atas Real Mallorca pada Mac 2004. Glory Glory Manchester United!!!