16 September 2022

SI GENIUS DENGAN TANDA HARGA £0

 


Secara keseluruhannya, Manchester United merekrut lima pemain baharu dan seorang pemain pinjaman pada jendela perpindahan musim panas ini. Dari kelima-lima rekrut baharu ini, ada seorang pemain yang dibawa ke Old Trafford secara percuma. Beliau yang saya maksudkan tentu sahaja Christian Eriksen. United memang gagal mendapatkan khidmat Frenkie de Jong, tetapi Eriksen juga bukanlah pemain tengah sembarangan. Meskipun datang secara percuma, Eriksen merupakan perekrutan penting yang dilakukan United musim ini.

 

Pada usia beliau yang sudah mencecah angka 30 tahun, Eriksen juga merupakan pemain yang sangat berpengalaman menerusi 115 penampilannya bersama skuad kebangsaan Denmark di pentas antarabangsa. Di peringkat kelab pula, beliau pernah beraksi untuk Ajax Amsterdam, Tottenham Hotspurs, Inter Milan, Brentford dan kini United. Bagaimanapun tetap ada keraguan bila bercakap tentang kemampuan Eriksen, terutamanya selepas insiden di Stadium Parken pada 12 Jun 2021 yang menyaksikan beliau `mati’ selama lima minit.

 

Keputusan United merekrut Eriksen pernah dikritik keras Danny Murphy, bekas pemain yang pernah beraksi untuk Liverpool, Tottenham Hotspurs serta Fulham dan kini bertugas sebagai pundit. Menurut Murphy, United tidak perlukan seorang lagi pemain kreatif di bahagian tengah mereka. “Saya tidak faham kenapa Ten Hag mahu menggandingkan Bruno dan Eriksen bersama. Percayalah langkah ini akan membuatkan prestasi United lebih teruk berbanding musim lalu. United dah ada banyak pemain kreatif, jadi mereka sebenarnya tak perlukan Eriksen”, kata Murphy.

 

Peranan Penting

 

Bahagian tengah antara sektor yang menjadi fokus utama Ten Hag untuk beliau perkuatkan, jadi atas sebab itulah mengapa seorang `midfielder’ seperti Eriksen dibawa masuk. Selepas bertahun-tahun diterapkan dengan pendekatan permainan serang balas pantas oleh Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solakjaer, Ten Hag pula mahukan sesuatu yang baharu dalam skema permainan United. Bolasepak proaktif menerusi pendekatan penguasaan bola, `pressing’ dan hantaran-hantaran pendek adalah `tanda dagang’ yang sudah sebati dalam diri Ten Hag.

 

Eriksen merupakan tipikal pemain tengah yang gemar bergerak di belakang penyerang. Ironinya untuk peranan sebagai `pemain nombor 10’ tersebut, United sudah pun memiliki Bruno Fernandes. Jadi bagaimana Ten Hag memadankan dua pemain tengah yang memiliki peranan hampir sama dalam kesebelasan United? Setakat ini, Eriksen diturunkan selama 90 minit dalam empat dari enam aksi United di peringkat liga. Paling menonjol tentunya penampilan beliau ketika United berdepan Arsenal di Old Trafford pada 4 September lalu.

 

Menurut catatan statistik yang dikeluarkan Squawka, Eriksen muncul pemain United paling banyak menyentuh bola (56 sentuhan), melakukan hantaran di zon `final third’ lawan (16 hantaran), melakukan hantaran ke dalam kotak penalti (4 hantaran) serta mencipta peluang jaringan gol (3 peluang). Kemuncak aksi Eriksen dalam perlawanan tersebut, lahirlah `assist’ pertama beliau musim ini yang berjaya disempurnakan Marcus Rashford untuk gol ketiga United. Jadi tidak hairanlah mengapa selepas tamat aksi, beliau dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan.

 

Dalam kem United pula setakat ini dari enam penampilan liga, Eriksen muncul pemain tengah paling banyak melakukan percubaan (15), percubaan tepat (5), hantaran (323), hantaran tepat (239) serta peratus hantaran tepat tertinggi (74%) berbanding Bruno Fernandes, Fred dan Scott McTominay. Jadi kepada mereka-mereka yang sebelumnya agak skeptikal dengan kemampuan dan peranan yang bakal dimainkan Eriksen selaku penggerak jentera tengah United musim ini, anda patut lihat semula komentar Ten Hag selepas tamat aksi United dan Arsenal.

 

“Kami meletakkan dia sedikit ke bawah. Pada asasnya ia seperti peranan pemain `nombor 6’ atau `8’. Dia diberikan kebebasan dan ruang untuk bergerak di mana dia sepatutnya berada. Dia melakukan banyak kerja, melihat pergerakan rakan sepasukan, melakukan hantaran dan menyerang untuk mencipta peluang atau menjaringkan gol. Adakalanya dia juga akan diarahkan untuk bertahan. Dia pemain yang penting, jadi jika berlaku kesilapan kecil yang dilakukannya, ia akan bertukar menjadi bencana buat seluruh pasukan”, kata Ten Hag. 

 

Menggantikan Peranan Pogba

 

Frenkie de Jong adalah prioriti tetapi Eriksen pula merupakan alternatif yang sangat berbaloi untuk ditandatangani, tambahan pula dengan status beliau sebagai agen bebas ketika itu. Ada keraguan bila melihat aksi pertamanya dalam saingan liga musim ini ketika berdepan Brighton & Hove Albion, tetapi untuk berlaku adil anda juga patut melihat `role’ yang dimainkan beliau dalam perlawanan itu. Eriksen merupakan `type’ pemain yang gemar memegang bola berbanding mengejarnya.

 

Jadi peranan sebagai `false nine’ yang diberikan kepada beliau ketika berdepan Brighton adalah satu eksperimen yang gagal dari Ten Hag. Dua penampilan awal liga adalah bencana buat Eriksen tetapi aksi menentang Arsenal adalah jawapan sebenar mengapa United sepatutnya sudah lama mendapatkan seorang `midfielder’ berpengaruh seperti beliau. Dalam transisi bertahan ke menyerang, Ten Hag menerapkan strategi serang balas pantas yang berjaya `dihadam’ dengan cukup baik oleh Eriksen.

 

Sepanjang perlawanan, Eriksen sering terlibat dalam perebutan atau sentiasa berada berdekatan dengan mana-mana rakan sepasukan yang berjaya merampas bola dari penguasaan pemain lawan. Atas sebab itulah anda dapat melihat United kerap melakukan hantaran-hantaran pantas terus ke arah Jadon Sancho, Marcus Rashford atau Antony. Kemuncaknya seperti yang dapat anda lihat ialah penglibatan Eriksen menerusi gol kedua dan ketiga United yang dihasilkan Marcus Rashford.

 

Penutup

 

Sembilan tahun lalu, Eriksen tiba di White Hart Lane dari kota Amsterdam bersama enam lagi pemain baharu yang ditandatangani Tottenham Hotspurs hasil dari dana yang dibelanjakan mereka menerusi penjualan Gareth Bale ke Real Madrid. Tiada keraguan kerana berbanding Paulinho, Naser Chadli, Etienne Capoue, Roberto Soldado, Vlad Chiriches dan Erik Lamela, Eriksen merupakan pelaburan paling berbaloi yang dilakukan Spurs ketika itu.

 

Selama enam setengah musim bersama Spurs, Eriksen melakukan lebih 300 penampilan untuk skuad `The Lilywhites’ dalam semua peringkat kejohanan, menjaringkan 69 gol, terlibat dalam 158 gol dan mencipta 89 bantuan gol untuk rakan sepasukannya. Tapi malangnya, statistik tersebut tetap tidak mampu membantu Spurs menjulang sebarang kejuaraan. Sepanjang tempoh itu jugalah beliau beberapa kali menolak godaan untuk menyertai kelab lebih besar dan kekal bertahan di utara kota London.

 

Insiden serangan jantung di Stadium Parken rupa-rupanya tidak pernah membuatkan Eriksen terfikir untuk berhenti dari bermain bolasepak. Eriksen kembali ke England semula, bermula di Brentford beliau kemudiannya menyertai United secara percuma. Perpindahannya ke Old Trafford ditenggelami keriuhan kedatangan Tyrell Malacia, Lisandro Martinez, Casemiro dan Antony…tetapi siapa mampu menyangkal bahawa Eriksen adalah pembelian bijak yang dilakukan kelab musim ini.

 

Selepas tamat aksi menentang Arsenal, Paul Merson melabelkan Eriksen sebagai `pembeza’ antara pasukan yang menang dan kalah. Kerana menurut Merson, Arsenal tidak mampu menewaskan United kerana mereka tidak memiliki pemain seperti Eriksen. Eriksen datang ke Old Trafford dengan `tanda harga £0’. Tetapi harga percuma itu tidak pernah mengurangkan sedikitpun `kegeniusan’ seorang lelaki bernama Christian Eriksen ini. Glory Glory Manchester United!!!



02 September 2022

DARI `INFERNINHO’ KE TEATER IMPIAN

 


Ajax Amsterdam bukan sekadar sebuah kelab bolasepak, tetapi juga sangat dikenali sebagai `kilang’ yang berjaya melahirkan bakat-bakat kelas dunia di Eropah. Siapa tidak kenal dengan nama-nama seperti Clarence Seedorf, Dennis Bergkamp, Patrick Kluivert, Zlatan Ibrahimovic, Wesley Sneijder, Daley Blind, Jan Vertonghen serta Luis Suarez, dan kini pemain-pemain mereka terus menjadi buruan kelab-kelab besar sekitar Eropah.  

 

Sentiasa ada bakat baru yang menonjol mampu dilahirkan Ajax, meskipun mereka selalunya terpaksa mengalah dengan melepaskan para pemain terbaik mereka kepada kelab yang lebih besar. Ketika pemain seperti Frenkie de Jong, Matthijs de Ligt, Hakim Ziyech dan Donny Van de Beek pergi, akan ada pemain baharu yang mampu menggantikan tempat mereka di Johan Cryuff Arena.

 

Ajax seperti tidak pernah kehabisan pemain berbakat dalam stok simpanan mereka atau lebih tepatnya potensi di Johan Cryuff Arena tidak pernah `mati’. Lalu muncullah pemain seperti Antony Matheus dos Santos di sana. Baru berusia 22 tahun, tetapi Antony adalah idola baharu di kota Amsterdam. Antony punya `skill’ individu yang memukau manakala daya penyudahnya pula sering tidak terjangka oleh pertahanan lawan.

 

Kemahiran dalam diri Antony adalah DNA yang diwarisi dari kebanyakkan pemain handalan Brazil...Pele, Garrincha, Zico, Socrates, Romario, Ronaldo, Kaka, Ronaldinho dan Neymar adalah di antaranya. Ketika Neymar masih berada di kasta teratas bolasepak dunia, potensi yang dmiliki Antony pula mula menarik perhatian kelab-kelab besar Eropah, dan Ajax sekali lagi berdepan kemungkinan kehilangan pemain terbaik mereka.

 

 Dalam Radar United

 

Potensi Antony mula tersebar luas di sekitar Eropah, malah sebelum itupun beliau sudah meluahkan keinginannya untuk beraksi di Sepanyol atau di England. Wujud potensi besar untuk Antony menyertai United selepas kehadiran Erik Ten Hag selaku pengendali di Old Trafford. Dan sejak bulan Jun bermulalah `rumour’ demi `rumour’ tentang minat United terhadap pemenang pingat emas sukan Olimpik Tokyo ini.

 

Ajax yang sudah pun kehilangan pemain-pemain terbaik mereka musim ini tentu sahaja mahukan Antony terus kekal beraksi bersama mereka. Jadi bukan satu tugas yang mudah untuk memujuk Ajax melepaskan seorang lagi pemain berbakat mereka ke pasukan lain. Bagaimanapun akhirnya Ajax terpaksa akur, bukan sahaja dengan kuasa wang yang dimiliki United tetapi juga keinginan Antony untuk berhijrah.

 

£85 juta, itulah wang yang terpaksa dibayar United bagi membawa keluar Antony dari Johan Cryuff Arena. Jumlah ini bukan sahaja meletakkan beliau sebagai `manusia kedua termahal’ dalam sejarah di Old Trafford, tetapi juga pemain termahal yang pernah dijual Ajax. Kini Erik Ten Hag sudahpun memiliki pemain hadapan yang beliau dambakan, jadi tunggu dan lihat adakah Antony mampu memberikan impak kepada jentera hadapan United.

 

Dari Sao Paolo Ke Amsterdam

 

Brazil memang sangat dikenali bukan sahaja kerana kegilaan bolasepaknya, tetapi kemampuan mereka melahirkan pemain-pemain kelas dunia. Sentiasa ada pemain-pemain muda berbakat besar lahir dari negara samba tersebut yang mencuri tumpuan warga bolasepak dunia. Di bandar Osasco, lahirlah seorang lagi pemain muda berbakat besar bernama Antony Matheus dos Santos hasil dari produk keluaran akademi bolasepak Sao Paolo.

 

Bermula dengan debut untuk skuad senior pada November 2018, Antony melakukan 32 penampilan bersama Sao Paolo dalam saingan liga, menjaringkan empat gol dan mencipta enam bantuan gol. Untuk pemain yang memiliki potensi besar seperti beliau, akan sentiasa ada mata yang memandang dengan penuh minat. Penampilan cemerlang beliau bersama pemenang tiga kali Copa Libertadores itu akhirnya menarik minat Ajax untuk membawa Antony beraksi di Eropah.

 

Pada Februari 2020, bermulalah episod baharu dalam karier beliau dan menerusi dana sebanyak £18.2 juta yang dibelanjakan Ajax, Antony melengkapkan perpindahan beliau ke Johan Cryuff Arena. Pada 13 September 2020, Antony menjaringkan gol pertamanya di sebalik kemenangan (1-0) Ajax ke atas Sparta Rotterdam dalam saingan liga. Di pentas Eropah pula, gol pertama Antony hadir ketika Ajax membenam Midtjylland (2-1) dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada 3 November 2020.

 

Penampilan menentang Borussia Dortmund di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara pada 3 November 2021 antara penampilan terbaik Antony bersama Ajax musim lalu. Beliau adalah arkitek di sebalik kemenangan (3-1) Ajax di Signal Iduna Park menerusi penglibatan beliau dalam ketiga-tiga gol tersebut. Kemenangan itu turut mengesahkan kemaraan Ajax ke pusingan kalah mati meskipun saingan peringkat kumpulan masih berbaki dua perlawanan.

 

Apa yang Antony Mampu Tawarkan?

 

Dua tahun lalu, Ten Hag menyedari potensi besar Antony untuk muncul sebagai prospek masa depan Ajax. Atas sebab itulah mengapa beliau melakukan perjudian dengan menandatangani Antony dari Sao Paolo pada harga £18.2 juta, keputusan yang dikritik keras legenda Belanda, Marco Van Basten. Perjudian Ten Hag berbaloi, apabila dalam tempoh dua musim di Johan Cryuff Arena, Antony menjaringkan 25 gol dan mencipta 21 bantuan gol dari 85 penampilan dalam semua peringkat kejohanan.

 

Sebagai `winger’, beliau bukanlah seorang pemain sayap yang `ortodoks’ tetapi penjaring gol dan pencipta peluang yang dinamik. Meskipun dianugerahkan dengan `skill’ kawalan bola yang bagus, Antony sebenarnya lebih kerap melakukan hantaran ke atas berbanding melakukan `dribble’. Menurut catatan Smarterscout, Antony diberikan skala 64 dari 99 dalam tugas melakukan hantaran berbanding 34 daripada 99 (dribble).

 

Dalam melakukan kerja-kerja defensif pula, Antony diberikan skala 73 daripada 99, sekaligus menunjukkan beliau juga memiliki intensiti bertahan yang bagus ketika diperlukan. Untuk itu, Smarterscout memberikan beliau volume yang tinggi dalam melakukan `ball recoveries’ dan `intercept’ (83 daripada 99). Sepanjang musim lalu beliau sukses melakukan 22 `tackle’ dari 44 percubaan, manakala dalam melakukan `duel’ pula, Antony diberikan skala 51.2.

 

Di bawah kendalian Ten Hag, Ajax bermain dengan pendekatan ‘possession football’, mengawal permainan dan sentiasa memberikan tekanan kepada lawan, faktor penyumbang mengapa Antony muncul antara pemain penting selama lebih dua musim kariernya di Johan Cryuff Arena. Bagaimanapun tetap ada keraguan tentang kemampuan Antony beradaptasi dengan tempo dan intensiti Liga Perdana, jadi untuk itu lihat statistik beliau di Liga Juara-Juara Eropah.

 

Dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, Antony muncul pemain ketiga paling banyak melakukan `progressive dribble’ selepas Lionel Messi dan Kingsley Coman. Dari tujuh penampilan beliau, Antony melepaskan 26 percubaan di mana sepuluh daripadanya adalah percubaan `on target’, menjaringkan 2 gol (1.79 expected goal), mencipta empat `assist’ dan melepaskan 325 hantaran (di mana peratus ketepatan hantarannya mencapai angka 82%).

 

Penutup

 

Pada usia yang baru mencecah angka 22 tahun, ada keraguan yang bukan sedikit bila bercakap tentang kemampuan beliau beradaptasi dalam liga yang dianggap paling sukar di dunia. Adakah Antony mampu menangani segala tekanan atau adakah beliau akan menjadi seorang lagi pemain Brazil yang gagal di Old Trafford? Tanda harga £85 juta bakal menjadi beban yang berat untuk ditanggung Antony. Ada harapan yang tinggi, ada sasaran yang perlu dicapai dan ada misi yang perlu beliau sempurnakan.

 

Latar belakang ketika masa kecilnya menjadikan Antony individu yang kuat dan tabah. Liga Perdana adalah cabaran baharu dan besar bagi beliau, tetapi perjalanan hidupnya sebelum sampai ke tahap ini juga sangat sukar dan mencabar. Favela, kejiranan setinggan di mana beliau dibesarkan merupakan antara kawasan termiskin dan berbahaya di Brazil. Kematian, kartel dadah dan gangsterisme merupakan pemandangan biasa di sini, hinggakan ia digelar sebagai `Inferninho’ atau neraka kecil.

 

Manchester City, Liverpool atau Chelsea mungkin tidak akan melaburkan wang sebanyak £85 juta untuk seorang pemain seperti Antony. Bagaimanapun dari sudut pandang Ten Hag, Antony ialah type pemain yang sangat diperlukan beliau. Jadi berapa pun harga yang diletakkan Ajax, United perlu membayarnya. Ketika ini United perlukan keseimbangan di kedua-dua sisi sayap mereka. Semoga dengan adanya Antony, mereka mampu terbang lebih tinggi. “Bienvenido Antony”…Glory Glory Manchester United!!!



26 Ogos 2022

CASEMIRO: PENAWAR KEPADA `BARAH’ UNITED?

 


Pada usia beliau yang sudah mencecah angka 30 tahun, mengapa Manchester United masih sanggup mengeluarkan dana sebanyak £60 juta demi mendapatkan khidmat pemain bernama Casemiro ini? Kisah perpindahan Casemiro dari kota Madrid ke Manchester boleh dianggap antara kisah perpindahan yang `mengejutkan’, khususnya buat penyokong-penyokong United. Apa tidaknya kerana sebelum ini kita sering disogokkan dengan saga perpindahan Frenkie De Jong yang tiada kesudahannya.

 

Sejak Mei hingga sekarang, sudah lebih 100 hari `rumour’ perpindahan De Jong ke Old Trafford masih belum menjadi kenyataan, tetapi secara tiba-tiba United mengejutkan para penyokong mereka dengan pengumuman kejayaan kelab menandatangani Casemiro. Tiada `drama’ yang terlalu panjang, kerana United dan Real Madrid cuma perlukan tempoh selama empat jam sahaja untuk mencapai kesepakatan sebelum perpindahan Casemiro ke Old Trafford akhirnya dimuktamadkan.

 

Sepertimana yang anda tahu, di Santiago Bernabeu Casemiro adalah legenda. Bersama Real, beliau sudah memenangi kesemua kejuaraan yang ditawarkan, baik di peringkat domestik mahupun Eropah. Dengan deretan kejuaraan yang sudah dimenanginya, pemenang lima kejuaraan Liga Juara-Juara itu tahu bahawa tugasnya bersama Real sudah selesai. Apa yang dimahukan Casemiro ialah cabaran baharu dan Liga Perdana adalah pentas selanjutnya untuk beliau pamerkan aksinya.

 

Saga Bermula

 

Posisi pemain tengah bertahan, antara posisi yang sering disebut-sebut sebagai titik lemah dalam skuad United. Dalam tempoh beberapa musim terakhir, Fred dan Scott McTominay sering digunakan sebagai `double pivot’, sama ada sebagai perancang gerakan dari belakang atau tugas melindungi benteng pertahanan. Bagaimanapun penampilan gandingan `McFred’ ini sering sahaja menjadi sasaran kritikan, bukan sahaja oleh penyokong United sendiri tetapi juga `pundit’ bolasepak.

 

Ketika ini, Erik Ten Hag sedang berusaha meningkatkan kualiti skuad kendaliannya, dan antara sektor yang perlu ditingkatkan kualitinya ialah di posisi pemain tengah bertahan. Dalam proses tersebut, nama Frenkie De Jong dikatakan muncul sebagai prioriti utama, kemudian ada Adrien Rabiot yang permintaan gajinya tidak mampu dipenuhi United. Pada minggu ketiga bulan ini, nama Casemiro tiba-tiba muncul, dan bermulalah saga perpindahan beliau ke Old Trafford.

 

Pada mulanya ramai penyokong United yang agak skeptikal bila membaca `rumour’ tersebut, tambahan pula selepas menyaksikan betapa bergelutnya kelab mendapatkan khidmat De Jong dan alternatif lain seperti Rabiot. Casemiro adalah tonggak utama Real, juga antara pemain penting di sebalik suksesnya `Los Blancos’ menjulang kejuaraan `double’ pada musim lalu. Jadi adakah Carlo Ancelotti sudah cukup gila melepaskan antara tonggak utama pasukannya berpindah ke kelab lain?

 

Bagaimanapun situasi sebenar tidak sepertimana yang kita jangkakan, kerana Real sebaliknya dengan mudah melepaskan Casemiro pergi. Semuanya kerana Real kini dalam proses melakukan regenerasi dalam skuad mereka. Jika Casemiro pergi sekalipun, Real sudah memiliki Aurelien Tchouameni sebagai pengganti. “Saya sudah bercakap dengan Casemiro. Dia mahukan cabaran baharu, dan saya akur dengan kemahuannya”, kata Carlo Ancelotti.

 

Simen Antara Batu Bata

 

Dari sudut teknikal, kehadiran Casemiro bakal meningkatkan lagi kualiti United terutamanya untuk peranan sebagai `defensive midfielder’. Perlu juga diakui bahawa meskipun usianya sudah mencecah angka 30 tahun, Casemiro masih tergolong dalam kelompok pemain tengah bertahan terbaik dunia. Isu konsistensi gandingan `McFred’ antara penyebab utama mengapa United sangat perlukan seorang `defensive midfielder’ kelas dunia seperti Casemiro.

 

Menurut Massimiliano Allegri, Casemiro bukanlah antara pemain paling berbakat dari segi teknikalnya. Tetapi faktor yang membuatkan beliau antara pemain yang begitu istimewa ialah disiplin taktikal dan visi permainan yang dimilikinya memberikan keseimbangan kepada pasukan. Sebagai contoh terbaik, lihat sahaja apa yang dilakukan Casemiro pada aksi final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu. Liverpool lebih dominan, tetapi Real sebenarnya yang mengawal tempo permainan.

 

Ketenangan Real mengawal tempo permainan menjadi kunci kepada kemenangan mereka. Meskipun digempur dengan serangan bertubi-tubi, Real tetap stabil dalam menyerap asakan lawan serta mengawal benteng pertahanan mereka dengan baik. Dalam soal ini, peranan Casemiro sangat penting dalam melindungi empat lagi rakan sepasukan yang berada di belakangnya. Jadi tidak hairanlah mengapa terdapat analogi yang menyebut bahawa Casemiro seperti `simen di antara batu bata’.

 

Perbandingan

 

Di peringkat awal kariernya, Casemiro mengakui bahawa beliau bermula sebagai penyerang tetapi akhirnya peranan sebagai `pemain nombor 6’ sudah tidak lagi dapat dipisahkan darinya. Dalam saingan La Liga musim lalu, Casemiro muncul pemain paling banyak memenangi semula penguasaan bola di zon `final third’. Dari catatan statistik yang dikeluarkan WhoScored, beliau melakukan purata 2.8 `tackle’ per perlawanan berbanding dua lagi `defensive midfielder’ United iaitu Fred (2.7) dan McTominay (2.4).

 

Bagaimana pula purata hantaran yang dilakukan beliau dalam setiap perlawanan? Secara purata, Casemiro melakukan 68.7 hantaran per perlawanan, catatan yang jauh lebih tinggi berbanding Fred (59.9) dan McTominay (46.2). Secara keseluruhan, peratus ketepatan hantaran yang dilakukan Casemiro di La Liga musim lalu mencapai angka 86% berbanding Fred (84%) dan McTominay (85.6%). Catatan ini turut meletakkan Casemiro di tempat teratas berbanding mana-mana pemain tengah United.

 

Dalam aspek `offensive’ pula terutamanya jumlah gol dan bantuan gol, Fred lebih unggul menerusi empat gol dan empat bantuan gol yang dihasilkannya berbanding Casemiro (satu gol dan tiga bantuan gol). Catatan ini sebenarnya lebih dipengaruhi oleh peranan dimainkan Casemiro bersama Real yang lebih bertahan. Zon aktif Casemiro lebih tertumpu di bahagian tengah atau lebih tepatnya, zon yang sangat penting untuk United memiliki seorang pemain tengah bertahan kelas dunia.

 

Penutup

 

Pada April 2018, atau dua bulan sebelum kedatangan Fred ke Old Trafford, Jose Mourinho mendambakan seorang pemain Brazil berada dalam skuadnya. Menurut Mourinho beliau inginkan seorang pemain Brazil bagi memberikan elemen `Brazil’ dalam skuadnya. “Sesebuah pasukan bolasepak tanpa pemain Brazil bukanlah pasukan bolasepak. Mereka memiliki bakat yang fantastik dan kreativiti pemain Brazil tidak mampu diukur”, kata Mourinho kepada ESPN.

 

Akhirnya selepas empat tahun tamatnya era Mourinho, United kini memiliki dua pemain Brazil dalam skuad utama mereka, iaitu Fred dan Casemiro. Casemiro mungkin bukan pemain Brazil paling mempersonakan pernah anda lihat, juga bukan `flamboyant’ seperti Neymar atau Ronaldinho. Tetapi tugas Casemiro ialah bertarung merebut bola, mengawal tempo permainan, melindungi rakan-rakan di benteng pertahanan serta sesekali melakukan sedikit kerja-kerja kotor.

 

Kehadiran Casemiro memang mengujakan, terutamanya di tengah-tengah kemelut isu konsistensi membabitkan gandingan `McFred’. Bagaimanapun adalah tidak adil untuk anda mengharapkan impak segera diberikan beliau. Kehadiran Casemiro bakal menambah kualiti jentera tengah United, terutamanya untuk peranan sebagai `pemain nombor 6’, posisi yang sebenarnya sudah begitu lama menjadi barah dan mendera permainan United. “Bienvenido Casemiro”…Glory Glory Manchester United!!!



24 Ogos 2022

UNITED YANG BERBEZA

 


Kali terakhir Manchester United berjaya menewaskan Liverpool dalam saingan liga ialah pada 10 Mac 2018. Sejak itu, lapan pertembungan `North West Derby’ sudah berlangsung dalam saingan liga, dan United gagal menewaskan Liverpool dalam kelapan-lapan pertemuan itu. Apa yang berlaku sejak 10 Mac 2018 ialah Liverpool unggul mendominasi pentas `North West Derby’ menerusi lima kemenangan yang dilakar mereka ke atas United, manakala tiga lagi pertemuan berakhir dengan keputusan seri.

 

Musim lalu United tewas kedua-dua pertemuan mereka menentang Liverpool di Liga Perdana. Dua kekalahan besar yang berlaku di Old Trafford (0-5) dan di Anfield (0-4), sekadar mengesahkan lagi status Liverpool selaku kesebelasan yang jauh lebih unggul berbanding United, baik dari segi taktikal mahupun komposisi skuad yang dimiliki barisan `The Reds’ itu. Lebih empat tahun diperlukan United untuk mereka kembali menewaskan Liverpool dalam saingan liga, dan momen itu berlaku lagi di Old Trafford kelmarin.

 

Pada awal pagi 23 Ogos 2022, United akhirnya kembali mengungguli pentas `North West Derby’ menerusi dua gol yang diledak Jadon Sancho (minit ke-16) dan Marcus Rashford (minit ke-53). Usaha Liverpool untuk cuba bangkit menerusi gol Mohamed Salah di minit ke-81 tetap gagal menghalang United dari meraih tiga mata penuh dalam perlawanan ini. Ini merupakan kemenangan pertama United di bawah era regim Erik Ten Hag dalam saingan liga, dan juga kemenangan pertama mereka ke atas Liverpool dari sembilan perlawanan (liga).

 

Perubahan Yang Dilakukan Ten Hag

 

Dua kekalahan berturut-turut dalam dua penampilan awal mereka dalam saingan liga musim ini tentunya sukar untuk diterima penyokong. Untuk itu, Ten Hag sedar bahawa United tidak boleh tewas dalam aksi `North West Derby’ ini. Jika kekalahan berlaku lagi, moral dan krisis keyakinan dalam pasukan akan bertambah buruk. Jadi apa yang perlu beliau lakukan ialah melakukan perubahan drastik dalam kesebelasan utamanya, terutama sekali membabitkan benteng pertahanan.

 

Untuk itu tiada nama Harry Maguire dan Luke Shaw, juga Anthony Martial yang pada awalnya diramal bakal tersenarai dalam `line up’ permulaan turut tercicir. Raphael Varane dipasangkan dengan Lisandro Martinez sebagai duo `centre back’, manakala Tyrell Malacia pula menggantikan posisi Luke Shaw di sisi kiri pertahanan United. Meskipun prestasi Anthony Elanga dalam dua perlawanan awal dikritik penyokong, tetapi Ten Hag ada alasan kuat untuk terus meletakkan pemain muda itu dalam kesebelasan utamanya.

 

Sebelum perlawanan berlangsung, Ten Hag sudah menjelaskan bahawa skuad yang dipilihnya kali ini merupakan kesebelasan yang memiliki kekuatan fizikal untuk berdepan aksi berintensiti tinggi. Atau lebih tepatnya, sebelas pemain yang beliau pilih ialah pemain yang `tidak takut’ untuk melakukan duel. Pemilihan pemain yang dilakukan Ten Hag dalam perlawanan ini membuahkan hasil kerana dari catatan Sky Sports, pemain-pemain United melakukan 106 kali `sprint’ berbanding Liverpool (62).

 

Pressing…Pressing dan Pressing

 

Apa yang dapat anda lihat hampir sepanjang perlawanan ialah United sangat berbeza berbanding dua penampilan mereka sebelum ini. Mereka sangat agresif terutamanya menerusi pendekatan `high pressing’ yang diterapkan Ten Hag dalam corak permainan United. Sepanjang 90 minit, United melakukan 24 `tackle’ berbanding (13) yang dicatatkan Liverpool, manakala Tyrell Malacia pula muncul pemain paling banyak melakukan `tackle’ di atas padang menerusi catatan lima `tackle’ yang dilakukannya.

 

Paling menarik ialah melihat bagaimana pemain yang memiliki `attacking minded’ seperti Bruno Fernandes berupaya melakukan tiga `tackle’, satu petunjuk bahawa beliau juga aktif melakukan `pressing’ dan sedia melakukan duel dengan mana-mana pemain lawan. Sejak awal perlawanan, sasaran Ten Hag ialah melakukan tekanan ke sisi kanan pertahanan Liverpool kerana beliau sedar bahawa Trent Alexander-Arnold tidak memiliki kemampuan duel yang cukup baik.

 

United mengeksploitasi titik lemah Liverpool yang menyaksikan gerakan mereka dari sebelah kanan pertahanan lawan menghasilkan gol pertama. Gol kedua pula adalah tipikal gol-gol yang pernah dihasilkan United sebelum ini. Iaitu mereka menggunakan kelajuan pemain-pemain di barisan hadapan untuk mengeksploitasi garis pertahanan tinggi yang digunakan lawan. Hasilnya, gol kedua United yang dijaringkan Marcus Rashford adalah menerusi satu gerakan pantas.

 

Suka atau tidak, anda terpaksa mengakui bahawa United bermain dengan lebih baik tanpa Cristiano Ronaldo, setidak-tidaknya dalam perlawanan ini. Tanpa Ronaldo, United lebih `mobile’, gerakan-gerakan mereka lebih lancar dan pantas serta beberapa kali mencipta peluang menerusi transisi gerakan dari bertahan ke menyerang. Tidak menyenaraikan pemain seperti Ronaldo dalam kesebelasan utama adalah satu tindakan berani dari Ten Hag, dan hasilnya United berjaya meraih tiga mata penuh.

 

Penutup

 

Selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada kelab yang biasanya menamatkan saingan liga di kelompok pertengahan dan bawahan, United akhirnya memilih waktu, tempat dan lawan yang tepat untuk bangkit kembali. Gol dari Jadon Sancho dan Marcus Rashford memberikan United tiga mata berharga, tetapi kredit sebenarnya wajar diberikan kepada benteng pertahanan United. Dua pemain paling menyinar di barisan belakang United tentunya Lisandro Martinez dan Tyrell Malacia.

 

Martinez menepati reputasi beliau sebagai `El Carnicero’, pemain pertahanan tengah bertubuh kecil tetapi tidak pernah gentar untuk melakukan duel dengan mana-mana pemain lawan. Untuk seorang pemain muda seperti Malacia pula, melakukan `debut’ dalam kesebelasan utama United dan ditugaskan untuk mengunci pergerakan pemain yang memiliki reputasi besar seperti Mohamed Salah, anda patut memberikan `lima bintang’ atas prestasi yang dipamerkan beliau.

 

Liverpool tetap Liverpool, seteru abadi yang sejak beberapa musim terakhir begitu kita cemburui pencapaian mereka. Jadi menyaksikan mereka tewas dalam aksi kompetitif seperti ini adalah satu perasaan yang luar biasa. Kita melihat sisi United yang berbeza, ada keghairahan, ada keazaman yang kuat, ada keberanian untuk melawan dan ada `rasa lapar’ untuk menang. Apa yang United pamerkan kelmarin setidak-tidaknya memberikan kita harapan bahawa United musim ini adalah lebih baik berbanding United musim lalu. Glory Glory Manchester United!!!

30 Julai 2022

ANTARA KEINGINAN, CINTA DAN RASA HORMAT

 


Dia pemain yang memukau, dia pemain yang mempesonakan dan perlu juga diakui bahawa dia merupakan yang terbaik pada generasinya. Cristiano Ronaldo dan Manchester United seperti tidak dapat dipisahkan, kerana setiap kali anda (penyokong United) bercakap tentang `superstar’ dari Portugal ini, sentiasa akan ada rasa cinta tersemat terhadap diri beliau. Pada 2009 ketika beliau meninggalkan kelab, kita juga pernah berharap agar suatu hari nanti Ronaldo akan pulang semula ke Old Trafford dan menamatkan kariernya di sini.

 

Musim panas tahun lalu, impian bertahun kita yang mahu menyaksikan kepulangan semula Ronaldo ke pangkuan United tertunai. Meskipun ada pihak yang agak skeptikal tentang kemampuan beliau bermain di pentas Liga Perdana pada usia 36 tahun, pemenang Ballon d’Or lima kali itu sebaliknya membuktikan kepada para pengkritiknya bahawa bisanya belum pudar. Usia hanyalah angka, kerana di sebalik musim paling suram dilalui kelab, Ronaldo tetap berjaya meletakkan dirinya sebagai pemain United paling menonjol.

 

Secara keseluruhannya, Ronaldo meledak 24 gol untuk United dalam semua peringkat kejohanan. Jika bukan kerana 18 gol yang dihasilkannya dalam saingan liga, United tidak akan beraksi di pentas Liga Europa musim ini. Malah situasinya lebih buruk, kerana mereka juga terkeluar dari kelompok sepuluh teratas dalam carta liga. Bagaimanapun akhir-akhir ini Ronaldo kembali menggemparkan kita, gempar kerana beliau dikatakan mahu meninggalkan United buat kali kedua. Alasannya kerana Ronaldo tidak betah bermain di Liga Europa.

 

Betul Ke `Abang Do’ Nak Pergi?

 

Pada 3 Jun lalu, Ronaldo pernah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau gembira dengan perlantikan Erik Ten Hag selaku pengendali United, individu yang sebelumnya sukses mengangkat prestasi Ajax Amsterdam di peringkat domestik mahupun Eropah. Bagaimanapun nada Ronaldo berubah hanya sepuluh hari selepas itu, sebaik sahaja Liverpool secara rasmi mengumumkan kejayaan mereka mengikat Darwin Nunez. Bukan hanya Ronaldo, tetapi kebanyakkan penyokong United juga kecewa kerana kelab ketika itu masih gagal merekrut seorang pun pemain baharu.

 

Kejayaan kelab merekrut Tyrell Malacia meredakan sedikit kegelisahan kita, tetapi tidak pada Ronaldo. Perlahannya `maneuver’ United dalam bursa perpindahan musim panas kali ini membuatkan beliau gelisah. Mungkin pada pandangan beliau kelab tidak serius dan memiliki cita-cita besar untuk mengharungi cabaran musim baharu, situasi sama yang sudah Ronaldo lihat berlaku pada musim lalu. Bagi pemain bercita-cita besar seperti beliau, nafsunya juga cukup besar kerana bagi Ronaldo, memenangi Ballon d’Or buat kali keenam bukanlah hal yang mustahil. 

 

Tatkala ramai rakan seangkatannya sudah lama berada di alam persaraan, Ronaldo pula masih bernafsu memburu gol, masih mendambakan untuk menjulang kejuaraan dan masih berambisi mengukir pelbagai rekod peribadi. Untuk melakukannya, beliau perlu bermain untuk kelab yang laparkan kejuaraan, kelab yang serius membangunkan pasukan dan kelab yang bercita-cita besar. Untuk itu, beliau melihat United sudah tidak lagi memiliki ciri-ciri tersebut, jadi apa yang boleh Ronaldo lakukan ialah menawarkan dirinya kepada mana-mana kelab yang mahukan khidmatnya.

 

Tak Laku?

 

Mana-mana kelab pun pasti ingin meletakkan pemain seperti Ronaldo dalam kesebelasan utama mereka. Tetapi itu dulu, ketika beliau berada di kemuncak takhtanya selaku pemain terbaik di planet Bumi. Ronaldo bukan lagi pemain muda, usianya kini sudah pun mencecah angka 37 tahun. Atau ringkasnya, beliau cumalah solusi jangka pendek kepada mana-mana kelab jika mereka mahu mendapatkan khidmatnya. Jika Ronaldo memilih meninggalkan United buat kali kedua, ke manakah haluan yang bakal beliau tuju?

 

Setakat ini tiada mana-mana kelab yang mahukan khidmat beliau. Paris St Germain, Chelsea dan Bayern Munich sudah lama berundur, Liverpool dan Manchester City pula menganggap kedatangan Ronaldo bakal merosakkan struktur gaji kelab, manakala Carlo Ancelotti sudah menegaskan bahawa berita kepulangan pemain itu ke Santiago Bernabeu adalah cerita karut. Misi Jorge Mendes bagaimanapun masih belum berakhir, kerana penting bagi beliau untuk meletakkan Ronaldo dalam sebuah kelab yang mampu menawarkan kepada kliennya itu beraksi di pentas Liga Juara-Juara.

 

Jadi tidak hairanlah mengapa radar Mendes terarah kepada sebuah lagi kelab yang berpangkalan di kota Madrid. Atletico Madrid secara tiba-tiba menjadi destinasi paling berkemungkinan untuk Ronaldo meneruskan misinya beraksi di Liga Juara-Juara. Bagaimanapun `rumour’ tersebut segera ditepis Enrique Cerezo, yang juga merupakan presiden kelab. “Saya tidak tahu siapa yang mengarang cerita tentang Cristiano. Tiada sebarang kemungkinan untuk dia datang ke sini”, kata Cerezo dalam wawancaranya bersama Marca.

 

Benarkah Ronaldo ingin meninggalkan United buat kali kedua? Sukar sebenarnya untuk mengesahkan soalan ini kerana apa-apa sahaja berita tentang beliau pastinya menjadi sensasi di media selain meningkatkan rating mereka. Selepas dihidangkan dengan cerita demi cerita sensasi tentang beliau, Ronaldo akhirnya muncul di Carrington. Kelibat Ronaldo di Carrington satu petanda baik meskipun masa depan beliau bersama kelab masih belum jelas. Adakah beliau masih komited kekal bersama kelab, atau akhirnya akan pergi jua sepertimana yang digembar-gemburkan.

 

Penutup

 

Ronaldo mengumumkan bahawa beliau akan bermain dalam aksi pra musim United ketika mereka berdepan Rayo Vallecano di Old Traffiord. Dalam masa yang sama Ronaldo juga sempat menyelar media yang menyiarkan berita tidak benar tentang beliau. “Mustahil untuk mereka tidak bercakap tentang saya setiap hari. Jika tidak, mereka tidak akan menghasilkan wang. Kamu (media) tahu, jika kamu tidak berbohong maka kamu tidak akan mendapat perhatian. Teruskanlah kerana suatu hari anda akan tahu berita sebenar”, kata Ronaldo.

 

Bagaimanapun berita tentang kembalinya Ronaldo ke Carrington dan komitmennya untuk bermain menentang Rayo Vallecano tetap tidak akan memadam keraguan ramai pihak tentang masa depan beliau bersama kelab. Bagi pemain yang meletakkan sasaran peribadi lebih tinggi seperti Ronaldo, beraksi di pentas Liga Europa merupakan satu mimpi ngeri buat beliau. Hanya dengan beraksi di Liga Juara-Juara, Ronaldo mampu memastikan status beliau selaku penjaring terbanyak sepanjang masa kejohanan tersebut tidak tercabar, hatta oleh Lionel Messi sekalipun.

 

Pada usia beliau yang sudahpun mencecah angka 37 tahun, akan sentiasa timbul perdebatan tentang kesesuaian Ronaldo bermain dalam skema `high pressing’ bolasepak moden. Adakah tubuhnya dan tenaganya masih mampu memenuhi tuntutan Erik Ten Hag yang sangat sinonim dengan kehendak agar setiap pemainnya terlibat dalam melakukan `pressing’ ketika mereka hilang penguasaan bola? Atau adakah Ten Hag sudah memiliki solusi lain untuk beliau sesuaikan dalam strategi permainan United supaya Ronaldo terus kekal relevan di Old Trafford?

 

Bagi penyokong United yang menyanjungi Ronaldo, melihat beliau pergi buat kali kedua tentunya satu momen yang sangat menyakitkan. Kerana nama Cristiano Ronaldo akan sentiasa hidup dalam memori masa lampau yang tidak usang ditelan masa. Ronaldo sudah kembali ke Carrington, tetapi teka-teki tentang masa depan beliau sebenarnya masih belum terjawab. Selagi jendela perpindahan belum ditutup, kemungkinan untuk Ronaldo pergi tetap ada. Sekiranya itu berlaku, pasrahlah dan relakan sahaja `Abang Do’ pergi. Glory Glory Manchester United!!!  



22 Julai 2022

LISANDRO MARTINEZ: BEK TENGAH YANG CUMA 5cm LEBIH TINGGI DARI MESSI

 


Seorang lagi rekrut baru sah dibawa masuk, dan selepas Tyrell Malacia serta Christian Eriksen, kini tiba pula giliran Lisandro Martinez menjadi anggota terbaharu `The Red Devils’. Misi United mendapatkan Martinez bukan mudah, kerana selain tawaran awal mereka ditolak Ajax Amsterdam, Arsenal turut meletakkan pertahanan tengah antarabangsa Argentina itu dalam radar buruan mereka.

 

Ajax pada mulanya melabelkan tiga pemain mereka (Jurrien Tiimber, Anthony, dan Martinez) sebagai `bukan untuk dijual’, tetapi akhirnya terpaksa akur dengan kuasa wang yang dimiliki kelab-kelab pesaing mereka di sekitar Eropah. Lebih dua minggu lalu Ajax melepaskan Sebastien Haller kepada Borussia Dortmund, dan kini giliran Martinez pula menyertai United menerusi nilai perpindahan sebanyak €67 juta.

 

Siapa Lisandro Martinez?

 

Sebelum muncul antara pertahanan yang diburu kelab-kelab besar Eropah, Martinez juga pernah melalui tempoh sukar pada awal kariernya sebagai pemain. Di Newell Old Boys, Martinez cuma tampil sekali dalam kesebelasan `La Lepra’, sebelum menyertai Defensa y Justica sebagai pemain pinjaman pada 2017. Alasannya ketika itu kerana Juan Manuel Llop merasakan bahawa Martinez tidak memiliki postur tubuh yang sesuai untuk diberikan peranan di posisi benteng pertahanan.

 

Ketinggian Martinez cuma 1.75m, jadi kualiti permainan bukanlah sebab utama mengapa beliau disisihkan dari kesebelasan utama Old Boys ketika itu. Llop mendambakan seorang pertahanan tengah yang memiliki postur tubuh tinggi dan tegap. Jadi Martinez bukanlah pilihan yang ideal meskipun suatu ketika dahulu Fabio Cannavaro (1.76m) pernah memukau dunia menerusi kebolehan beliau mengemudi benteng pertahanan Itali di pentas `final’ Piala Dunia 2006.

 

Menyertai Defensa merupakan satu keputusan yang tepat diambil Martinez, kerana di sana beliau mula berkembang sebagai pemain pertahanan tengah yang lebih bagus. Akhirnya pada musim 2018/19, beliau menyertai kelab berpangkalan di Buenos Aires itu secara tetap. Secara keseluruhannya, Martinez tampil sebanyak 58 kali untuk kesebelasan bergelar `Halcon’ itu dalam semua peringkat kejohanan, sebelum minat yang ditunjukkan Ajax akhirnya membawa beliau beraksi di Eropah.

 

Statistik

 

Di Newell Old Boys, Martinez merupakan pemain terbuang, tetapi di Johan Cryuff Arena, beliau muncul pemain penting Ajax di barisan belakang mereka. Sepanjang tiga musim bersama Ajax, Martinez melakukan 120 penampilan dalam semua peringkat kejohanan, dan untuk itu biarkan sahaja statistik berbicara. Sepanjang musim lalu, Martinez muncul pemain paling banyak melakukan hantaran di Eredivisie, tidak cukup dengan itu, beliau juga muncul pemain paling sukses melakukan hantaran jauh.

 

Peratus ketepatan hantaran jauh yang dilakukan beliau mencapai angka 93%, catatan yang semestinya sangat mengagumkan buat seorang pemain pertahanan seperti beliau. Di Newell Old Boys, Martinez `dibuang’ Manuel Llop kerana postur tubuhnya yang dianggap tidak sesuai untuk seorang bek tengah. Bagaimanapun Llop sebenarnya melakukan kesilapan besar kerana faktor tersebut sebenarnya tidak langsung menjejaskan kemampuan Martinez dalam melakukan duel bola tinggi.

 

Sepanjang musim lalu, Martinez muncul pemain paling banyak melakukan `clearance’ menggunakan kepala di Eredivisie dan memenangi 79 dari 112 duel bola tinggi. Atas sebab inilah mengapa beliau digelar sebagai `New Roberto Ayala’, legenda Argentina yang cuma memiliki ketinggian 1.77m tetapi cukup dikenali sebagai pakar dalam perebutan bola tinggi. Selain daripada itu, Martinez juga secara purata melakukan 3.13 `tackle’ bersih, 1.88 `intercept’ dan 3.13 `clearance’ dalam setiap perlawanan.

 

Penyelesaian Masalah United?

 

Sektor pertahanan terutamanya di posisi bek tengah antara masalah besar yang perlu diselesaikan Erik Ten Hag sebelum musim baharu bermula. Pada 2019, kelab menobatkan Harry Maguire selaku pemain pertahanan termahal dunia. Kemudian musim lalu mereka menandatangani Raphael Varane dari Real Madrid. Bagaimanapun penampilan benteng pertahanan United musim lalu dikritik hebat meskipun mereka memiliki dua bek tengah kelas dunia dalam diri Maguire dan Varane.

 

Musim lalu Maguire, Varane, Victor Lindelof dan Eric Bailly silih berganti dipasangkan di posisi bek tengah, tetapi konsistensi dan kecergasan empat pemain ini menjadi masalah terbesar yang gagal diselesaikan Ralf Rangnick. Jadi tidak hairanlah mengapa Ten Hag menjadikan Martinez sebagai solusi bagi meningkatkan kualiti pertahanan United yang menyebabkan gawang mereka bolos 57 kali dalam saingan liga. Jumlah bolos terbanyak dalam tempoh 43 tahun sejak musim 1978/79.

 

Kerana ketinggian yang dimilikinya, Martinez bukanlah tipikal bek tengah yang biasanya anda lihat di Liga Perdana. Tetapi Ten Hag percaya dengan gaya permainan beliau yang agresif serta sikap tanpa kompromi ketika berdepan mana-mana pemain hadapan lawan, Martinez mampu beradaptasi dengan baik dalam saingan bolasepak Inggeris. Selain daripada itu, kualiti julat hantarannya dan betapa progresifnya beliau dengan bola bakal memberikan nilai tambah kepada benteng pertahanan United musim depan.

 

Penutup

 

Ten Hag antara faktor utama mengapa Martinez memilih menyertai United berbanding Arsenal. Bagaimanapun tetap timbul pertanyaan, adakah Martinez satu `good deal’ untuk United? Ten Hag merekrut Martinez kerana beliau percaya pemain ini boleh beradaptasi dengan baik dalam sistem permainan United yang diterapkan beliau. Dalam aspek ini, Martinez sudah teruji kerana beliau pernah bermain selama tiga musim di bawah kendalian Ten Hag semasa bersama Ajax.

 

Jangan lupakan juga fakta versatiliti beliau di atas padang. Selain kemampuan bermain sebagai bek tengah, Martinez juga boleh berperanan sebagai bek sayap atau sebagai pemain tengah bertahan. Menerusi kualiti hantaran yang dimilikinya serta kemampuan beliau menangani `pressing’ dari pemain lawan, kehadiran Martinez juga boleh dimanfaatkan Ten Hag untuk mengisi posisi sebagai pemain tengah bertahan.

 

Apa yang mahu kita lihat selepas ini ialah, adakah `The Argentine Butcher’ ini mampu beradaptasi dengan baik dalam budaya bolasepak Inggeris. Liga Perdana bukan seperti Eredivisie, kerana di sini tempo dan intensiti permainannya jauh lebih tinggi dan hal tersebut diakui Daley Blind dalam wawancara beliau dengan Inside United. “Perbezaan besarnya ialah tempo dan intensiti Liga Perdana jauh lebih cepat dan tinggi berbanding Eredivisie”, kata Blind.

 

€67 juta yang dibayar United demi mendapatkan khidmat Martinez tidak meletakkan beliau sebagai pemain pertahanan termahal dunia, tetapi sudah cukup untuk memecah rekod Cristian Romero sebagai pertahan termahal Argentina. United gagal menandatangani Erling Haaland atau Darwin Nunez, tetapi setidak-tidaknya mereka kini berjaya mendapatkan pemain yang mampu mengawal dua penyerang berbisa tersebut. Bersedialah untuk anda menyaksikan penampilan bek tengah paling rendah di Liga Perdana. Glory Glory Manchester United!!! 


17 Julai 2022

DARI AMBANG KEMATIAN KE THEATRE OF DREAMS



Setahun yang lalu, dunia bolasepak cemas seketika melihat Christian Eriksen tiba-tiba rebah ketika beraksi di atas padang. Selama 43 minit, pertembungan antara Denmark dan Finland di kejohanan Euro 2020 itu berlangsung seperti biasa, hinggalah tiba detiknya bila Eriksen secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. Seluruh khalayak di Stadium Parken, Copenhagen terpaku seketika, manakala Simon Kjaer pula cuba semampu mungkin memberikan bantuan kecemasan awal kepada Eriksen.

 

Situasinya ketika itu sangat kritikal kerana menurut Morten Boesen yang juga merupakan doktor skuad kebangsaan Denmark, Eriksen sebenarnya sudah `hilang’ selama lima minit. “Dia telah `pergi’, tetapi mujurlah bantuan pernafasan menerusi kaedah `cardiopulmonary resuscitation’ (CPR) berhasil menyelamatkan nyawanya”, kata Boesen. Eriksen bukanlah mangsa pertama yang mengalami serangan jatung ketika sedang beraksi, kerana Marc Vivien-Foe, Miklos Feher dan Antonio Puerta turut senasib.

 

Kembali Ke Liga Perdana

 

Berbanding dengan Vivien-Foe, Feher dan Puerta yang tewas dalam perjuangan mereka untuk hidup, Eriksen pula lebih bernasib baik. Masalah jantung turut menyebabkan Fabrice Muamba dan Abdelhaq Nouri terpaksa bersara awal, tetapi Eriksen tanpa diduga kembali beraksi di atas padang. Meskipun kontraknya bersama Inter Milan ditamatkan kerana peraturan Serie A yang melarang pemain yang diimplan dengan alat `cardioverter-defibrillator’ dari beraksi, Eriksen memilih kembali semula ke England.

 

Tujuh bulan selepas insiden di Stadium Parken, Brentford menawarkan tempat untuk beliau beraksi dalam skuad mereka menerusi ikatan kontrak selama enam bulan. Dan ini juga bermakna, Eriksen kembali semula mewarnai kancah saingan Liga Perdana dalam tempoh dua tahun selepas beliau meninggalkan Tottenham Hotspurs pada Januari 2020. Kembalinya Eriksen beraksi di atas padang boleh dianggap antara kisah `comeback’ terbesar dalam sejarah bolasepak.

 

Debut beliau untuk Brentford berlaku pada 26 Januari 2020 dalam aksi Liga Perdana menentang Newcastle United. Malangnya penampilan pertama Eriksen di Liga Perdana selepas dua tahun diwarnai dengan kekalahan Brentford dalam perlawanan itu. Impak kehadiran Eriksen dalam kesebelasan `The Bees’ akhirnya terlihat pada aksi menentang Norwich City di gelanggang lawan pada 5 Mac 2022. Apa yang dilakukan Eriksen sepanjang 90 minit aksinya di Carrow Road benar-benar mengagumkan.

 

Dalam perlawanan tersebut, Eriksen muncul pemain paling banyak melakukan hantaran, melakukan sentuhan dan juga hantaran ke zon `final third’ lawan. Peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya pula mencapai angka 83%, jumlah tertinggi berbanding mana-mana pemain Brentford yang beraksi dalam perlawanan itu. Setengah musim bersama Brentford, Eriksen melakukan penampilan sebanyak 11 kali di Liga Perdana, menjaringkan satu gol dan mencipta empat bantuan gol.

 

Rekrut Kedua

 

Selepas berjaya mendapatkan khidmat Tyrell Malacia, United mengorak langkah lagi apabila kelab mengumumkan secara rasmi kejayaan mereka menandatangani Eriksen. Proses mendapatkan tandatangan Eriksen di dokumen kontrak juga tidaklah terlalu rumit memandangkan beliau merupakan agen bebas. Jadi Fabrizio Romano juga tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mengucapkan “Here we go” kepada perpindahan Eriksen ke Old Trafford.

 

Keyakinan Erik Ten Hag terhadap kemampuan serta kualiti Eriksen diterjemahkan kelab menerusi tawaran kontrak selama tiga tahun. Penampilan beliau bersama Brentford antara indikasi mengapa Ten Hag mahukan Eriksen berada dalam skuad United musim depan. Jika diambilkira penampilan setengah musimnya bersama Brentford, Eriksen berada di kedudukan ketiga selaku pemain paling banyak mencipta peluang jaringan gol di belakang Kevin De Bruyne dan Martin Odegaard.

 

Posisi pemain tengah menyerang bukanlah terlalu kritikal untuk diisi oleh United kerana kelab sudahpun memiliki pemain sekaliber Bruno Fernandes. Bagaimanapun peluang mendapatkan seorang pemain tengah berkualiti seperti Eriksen secara percuma tidak mampu dilepaskan begitu sahaja. Fleksibiliti yang ada dalam diri Eriksen menerusi kebolehannya untuk bergerak di sisi sayap juga memungkinkan Ten Hag menggunakan formasi 4-2-3-1, atau sebagai pemain tengah dalam formasi 4-3-3.

 

`Danish Dynamite’

 

United dan para pemain yang berasal dari Denmark bukanlah asing. Jesper Olsen muncul pemain pertama dari negara selatan Scandinavia itu yang ditandatangani United dalam sejarah kelab. Kemudian muncul Johnny Sivebaek, Peter Schmeichel, Mads Timm, Anders Lindegaard dan kini Eriksen. Schmeichel merupakan legenda kelab tetapi Eriksen adalah nama yang tidak dapat dipisahkan dari skuad kebangsaan Denmark sejak usia remaja lagi.

 

Di peringkat remaja, Eriksen sudah bermain untuk semua peringkat umur, manakala bersama skuad senior pula beliau sudah merakamkan 115 penampilan setakat ini. Tidak mustahil, pada usia beliau sekarang, Eriksen berpeluang meleburkan rekod Schmeichel selaku pemain paling banyak melakukan penampilan untuk skuad kebangsaan (129 caps). Sebagaimana peranannya yang anda lihat di peringkat kelab, begitu jugalah pentingnya Eriksen dalam menggerakkan jentera tengah skuad `Danish Dynamite’.

 

Beliau adalah figura atau pemain penting di bahagian tengah yang menghidupkan corak permainan Denmark. Ketika bola berada di kakinya, Eriksen adalah sosok yang akan mengatur bila waktu paling sesuai untuk melakukan serangan atau melakukan `delay’ dalam permainan. Jangan lupakan juga fakta bahawa Eriksen merupakan `specialist’ dalam situasi bola mati.  Lima kali dinobatkan selaku pemain terbaik negaranya bukti betapa besarnya pengaruh Eriksen untuk bolasepak Denmark.

 

Penutup

 

United sudah melepaskan empat pemain tengah mereka (Jesse Lingard, Juan Mata, Nemanja Matic dan Paul Pogba), jadi kedatangan pemain tengah berpengalaman seperti Eriksen ke Old Trafford memang sangat-sangat dialukan. Sepanjang kariernya di Liga Perdana, Eriksen sudah berkali-kali melakukan penampilan di Old Trafford, tetapi dengan seragam merah musim depan tentulah momen yang sangat luar biasa, bukan sahaja untuk beliau tetapi juga penyokong-penyokong United.

 

Eriksen bukanlah seperti Pogba, juga sangat kontras jika mahu dibandingkan dengan penampilan Lingard. Anda tidak akan pernah melihat perubahan fesyen rambutnya setiap minggu, juga beliau tidak pernah peduli dengan jumlah pengikutnya di media sosial. Bagi Eriksen, beliau cuma mahu bermain dan menikmati keindahan bolasepak. Dan kerana bolasepaklah beliau bangkit, meskipun setahun yang lalu tidak ramai pihak percaya bahawa Eriksen mampu kembali beraksi di atas padang.

 

Sangat menakjubkan bagi seorang pemain yang sudah berada di ambang kematian tetapi kemudiannya bangkit kembali untuk beraksi di pentas kompetitif. Meskipun bolasepak hampir sahaja meragut nyawanya, tetapi Eriksen juga tahu bahawa bolasepak adalah `nyawanya’. Eriksen tidak peduli dengan kondisi jantungnya, kerana yang beliau pedulikan cumalah bermain bolasepak dan menjadikannya permainan indah untuk ditonton. “Selamat Datang Christian Eriksen”…Glory Glory Manchester United!!!