15 Mei 2023

BERDOALAH SEMOGA CITY GAGAL MENJULANG KEJUARAAN TREBLE MUSIM INI

 


Apa perkara yang paling membimbangkan penyokong Manchester United selain kegagalan kelab beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim depan? Jawapannya ialah melihat Manchester City menamatkan saingan musim ini dengan kejuaraan `treble’, sekaligus menyamai pencapaian epik yang dilakar skuad `99 United pimpinan Sir Alex Ferguson. Kejuaraan `treble’ yang dilakar pada musim 1998/99 akan sentiasa menjadi momen manis untuk dikenang oleh penyokong-penyokong United, pencapaian yang hingga kini masih gagal disentuh oleh mana-mana kelab Inggeris.

 

Selepas 24 tahun pencapaian itu dilakar, peminat bolasepak Inggeris berpeluang menyaksikan satu lagi kelab dari kota Manchester merangkul tiga kejuaraan besar dalam semusim. Manchester City kini berada di landasan tepat dalam misi mereka menjulang kejuaraan Liga Perdana buat musim ketiga berturut-turut. Dalam saingan Liga Juara-Juara pula, mereka memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pada perlawanan kedua peringkat separuh akhir nanti selepas berjaya mengikat Real Madrid (1-1) pada perlawanan pertama.

 

Jika berjaya melepasi halangan Real, City akan melakukan penerbangan ke Istanbul untuk beraksi di pentas final Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam sejarah kelab pada 11 Jun nanti. Tetapi sebelum itu, mereka perlu berdepan United di Wembley pada 3 Jun bagi menentukan siapa paling layak berada di podium kejuaraan Piala FA. Meskipun pada April lalu Pep Guardiola mengatakan bahawa kejuaraan `treble’ masih terlalu jauh dari jangkauan City, tetapi kini ambisi tiga kejuaraan mereka tampak sukar disekat, hatta oleh `specialist’ Liga Juara-Juara seperti Real sekalipun.

 

Sebagai penyokong United, suka atau tidak anda terpaksa mengakui bahawa City merupakan kelab terbaik dunia ketika ini. Mereka memiliki kedalaman skuad yang cukup bagus, ada pemain yang mampu memberikan perbezaan dalam satu-satu perlawanan seperti Kevin De Bruyne, mesin gol yang menakutkan dalam diri Erling Haaland serta strategi-strategi bijak yang dilakar Guardiola dari tepi padang. Dengan komposisi skuad hampir sempurna dimiliki City, hanya keajaiban yang mampu menyekat mereka dari menjulang kejuaraan `treble’ musim ini.

 

Menuju Kesmpurnaan

 

Musim lalu, City bermain tanpa penyerang tulen tetapi mereka masih mampu mempertahankan kejuaraan liga buat musim kedua berturut-turut. Meskipun berjaya mengatasi cabaran Liverpool dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga, Guardiola sedar bahawa ada sesuatu yang hilang dalam skuadnya. Apa yang diperlukan Guardiola untuk menjadikan City lebih sempurna ialah seorang penyerang tengah tulen sebagai mesin gol baharu bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan Sergio Aguero. Lalu datanglah Erling Haaland ke Stadium Etihad.

 

Bersama Borussia Dortmund, Haaland muncul penyerang paling manakutkan di Bundesliga. Dalam statistik yang dikeluarkan FbRef, Dortmund mencatatan `Shot Goal Convertion’ (SgC) sebanyak 18.36%, catatan tertinggi berbanding mana-mana kelab terkemuka Eropah. Statistik ini juga jauh melangkaui catatan SgC City di Liga Perdana (13.63%). Pemain dengan kualiti penyudah setajam Haaland penting untuk Guardiola dalam misinya membawa City menjulang trofi Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam sejarah kelab.

 

Haaland membuktikan kepada kita definisi sebenar seorang mesin gol menerusi 52 jaringan yang diledak beliau dari 48 penampilan untuk City setakat ini.  Dengan saingan liga yang masih berbaki tiga perlawanan, satu penampilan di pentas final Piala FA dan dua aksi Liga Juara-Juara (jika City berjaya mara ke final), bukanlah sesuatu yang mustahil jika Haaland mampu menjaringkan 60 gol musim ini. Bolasepak bukanlah tentang gol semata-mata, tetapi menerusi gol-gol yang dihasilkan Haaland, City kini sedang menuju kesempurnaan yang didambakan Guardiola.

 

Menyamai Pencapaian Fergie

 

Kejayaan skuad `99 United menjulang kejuaraan `treble’ satu pencapaian yang sebelumnya tidak pernah terlintas dek akal, hatta oleh penyokong-penyokong United sendiri. Jadi tidak hairanlah mengapa Sir Alex Ferguson pernah berkata bahawa pencapaian `treble 99’ itu tidak akan mampu diulangi oleh mana-mana kelab Inggeris. Pada 2005 ketika Chelsea berjaya memecah dominasi United dan Arsenal, Fergie berkata, “Tiada peluang untuk Chelsea memenangi `treble’. Mereka bagus dan konsisten, tetapi untuk melakukan apa yang kami telah lakukan pada 1999 adalah mustahil”.

 

Melihat kepada situasi terkini, pencapaian epik yang dilakar Fergie dan skuad kendaliannya 24 tahun lalu nampaknya berada dalam jangkauan City. City dalam tempoh beberapa musim terakhir sudah berada jauh di hadapan United. Setiap musim City sentiasa konsisten diletakkan sebagai pilihan utama untuk memenangi kejuaraan liga. Manakala dalam saingan Liga Juara-Juara pula, menyaksikan mereka beraksi di pusingan kalah mati adalah perkara biasa. Tetapi pada musim ini City benar-benar kesebelasan yang bergaya dengan potensi besar untuk menjulang kejuaraan `treble’.

 

Penutup

 

Bagi penyokong-penyokong United, melihat `jiran yang bising’ itu menyamai pencapaian skuad Fergie yang dilakar mereka 24 tahun lalu adalah satu hal yang sangat menyakitkan. Bagaimanapun pada 3 Jun nanti, United berpeluang memusnahkan impian tiga kejuaraan City dengan syarat Erik Ten Hag mampu meletakkan anak-anak buahnya di podium kejuaraan pada perlawanan akhir Piala FA nanti. City tampak kesebelasan yang sempurna tetapi bukanlah sesuatu yang mustahil untuk United menewaskan mereka di pentas final nanti kerana pada 1977, skuad kendalian Tommy Docherty pernah melakukannya.

 

Final Piala FA edisi `77 antara momen penting dalam sejarah bolasepak Inggeris, bukan kerana menemukan United dan Liverpool, dua seteru ketat di pentas domestik, tetapi juga kerana ambisi Bob Paisley yang mahu menjadikan `The Reds’ sebagai kelab pertama Inggeris menjulang kejuaraan `treble’. Sebelum bertandang ke Wembley, Liverpool sudah pun mengesahkan kejuaraan Liga Divisyen 1 buat kali kesepuluh. Selain itu, mereka juga merupakan finalis Piala Eropah (sekarang liga Juara-Juara) dan bakal beraksi menentang Borussia Monchengladbach di Stadium Olimpik Rom.

 

Liverpool ketika itu kesebelasan yang jauh lebih solid, dalam kelas tersendiri serta hampir mustahil untuk ditewaskan. Ketika hampir seluruh dunia berkata bahawa tiada peluang untuk Docherty menewaskan Paisley, hal sebaliknya pula berlaku. Gol jaringan Stuart Pearson dan James Greenhoff akhirnya meletakkan United di podium kejuaraan sekaligus menamatkan segala impian Paisley untuk mengemudi Liverpool menjulang kejuaraan `treble’. 3 Jun nanti, skuad Ten Hag juga mampu melakukannya biarpun hampir seluruh dunia meramalkan City bakal menamatkan musim ini dengan kejuaran `treble’. Glory Glory Manchester United!!!  



09 April 2023

LENYAP AKIBAT KEBODOHAN SENDIRI

 


Musim 2019/20, Mason Greenwood mencuri tumpuan apabila sepanjang musim tersebut beliau berjaya meledak 19 gol untuk Manchester United dalam semua peringkat kejohanan. Dengan `skill’ bolasepak luarbiasa bagi seorang remaja yang baru berusia 19 tahun ketika itu, naluri pembunuhnya setiap kali berada di dalam petak penalti lawan serta kemampuan beliau menjaringkan gol dari pelbagai sudut meletakkan nama Mason selaku antara bakat muda paling mempesonakan di sekitar Eropah. Ringkasnya, beliau adalah bintang dalam pembikinan.

 

Mason adalah prospek masa depan bukan sahaja untuk United tetapi juga skuad kebangsaan England. `Di kakinya’, kita mendambakan agar suatu hari nanti beliau akan menjadi penggempur berbisa, tonggak utama dan legenda kelab. Pada Julai 2020, Mason muncul pemain berusia 18 tahun kedua selepas Wayne Rooney yang berjaya menjaringkan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut untuk United. Meskipun Mason mengakui bahawa Rooney merupakan idolanya tetapi gaya permainan beliau lebih mirip kepada penampilan Robin Van Persie.

 

Sepertimana Robin, Mason juga memiliki kekuatan pada kedua-dua kakinya selain kombinasi `skill’ yang hebat, fizikal yang kuat dan visi permainan yang bagus. Menurut Gary Neville, Mason adalah contoh penyerang yang `complete’. “Di Manchester United, anda melihat Anthony Martial, Marcus Rashford dan Mason Greenwood. Kemudian anda terfikir siapakah di antara mereka yang mampu menjaringkan gol dari pelbagai sudut. Di dalam atau di luar petak penalti, menerusi kaki kanan atau kiri. Pemain itu pastilah Mason dan dia baru berusia 18 tahun”, kata Neville.

 

Potensi Besar

 

Pada Mac 2019, potensi besar milik Mason menarik minat Ole Gunnar Solskjaer. Sebagai bekas penggempur berbisa, mudah bagi Solskjaer untuk mengesan potensi yang ada dalam diri Mason untuk muncul penggempur menggerunkan suatu hari nanti. Pada aksi kedua pusingan kalah mati Liga Juara-Juara menentang Paris St Germain, Mason akhirnya diberikan penampilan pertamanya. United berjaya menyingkirkan PSG menerusi jaringan penalti Marcus Rashford, tetapi lebih daripada itu Mason pula sedang memulakan langkah pertama dalam karier profesionalnya.

 

Bagi seorang pemain muda seperti Mason, melakukan `debut’ untuk United di pentas tertinggi seperti Liga Juara-Juara merupakan satu langkah besar yang dilakukan beliau dalam kariernya. Pada usia 18 tahun, Mason menjaringkan 10 gol di Liga Perdana, dan dalam hal ini cuma ada seorang pemain yang menjaringkan lebih banyak gol pada usia yang sama iaitu Michael Owen. Pada musim 1997/98, Owen menjaringkan 18 gol untuk Liverpool, satu catatan yang sangat fenomenal untuk seorang pemain remaja seperti beliau.

 

Jika pada aksi menentang PSG, Mason agak gugup, tetapi penampilan beliau dalam saingan Liga Europa pula (musim 2019/20) menerusi lima gol yang diledaknya benar-benar memukau. Ketika Solskjaer membina United menerusi generasi pemain-pemain muda dari akademi kelab, Mason merupakan pemain muda United paling menonjol berbanding Tahith Chong, Angel Gomes, James Garner atau Teden Mengi. Mason memang pemain muda berbakat besar, bintangnya sedang bergemerlapan, tetapi beliau akhirnya terlupa bagaimana mahu mengawal gaya hidup luar padangnya. 

 

Masalah Disiplin

 

Pada Februari tahun lalu, kita dikejutkan dengan berita bahawa Mason didakwa dengan tuduhan cubaan merogol dan memukul kekasihnya yang berusia 18 tahun. 24 jam selepas itu, United kemudiannya mengeluarkan kenyataan mengecam sebarang bentuk keganasan dan menggantung Mason dari berlatih serta bermain untuk kelab. Ini bukanlah isu disiplin pertama yang melingkari karier Mason kerana setahun sebelum itu, beliau juga pernah dihantar pulang dari kem latihan skuad kebangsaan di Iceland kerana menyeludup masuk wanita ke bilik hotel.

 

Ketika dunia dilanda pandemik Covid-19 yang sedang memuncak, ada beberapa pemain di Liga Perdana yang cenderung melanggar peraturan pencegahan wabak tersebut, tetapi Mason paling menonjol. Mason pernah tertangkap kerana memandu di sekitar Altrincham ketika larangan keluar dari kediaman sedang dikuatkuasakan selain mengadakan parti di Salford. Di sebalik segala kontroversi yang menyelubungi kariernya, Mason selepas insiden di Iceland berjaya menjaringkan 35 gol untuk United menerusi 125 penampilan dan dilakukan beliau pada usia yang sangat muda.

 

Sebaik kempen bolasepak Eropah disambung pada Jun 2020, Mason menjaringkan lima gol dari 13 aksi terakhir Liga Perdana untuk United. Perlu diakui bahawa beliau antara pemain yang berperanan besar dalam membantu United menamatkan kempen liga di tangga ketiga. Ini juga bermakna United bakal beraksi semula di saingan Liga Juara-Juara pada musim 2020/21. Penampilan cemerlang Mason menyaksikan beliau disenaraikan Gareth Southgate dalam skuad kebangsaan pada aksi menentang Iceland dan Denmark di saingan UEFA Nations League.

 

Tidak cukup dengan itu, Mason juga diletakkan dalam senarai lima pemain remaja paling bernilai di dunia oleh CIES Football Observatory dengan tafsiran nilai sebanyak £133.9 juta. Bagaimanapun gaya hidup Mason memusnahkan kariernya dalam sekelip mata. Kali terakhir anda melihat penampilan Mason ialah pada 19 Januari 2022 dalam aksi liga menentang Brentford sebelum beliau ditahan pihak berkuasa. Meskipun pada Februari lalu mahkamah membebaskan Mason dari empat dakwaan keganasan dan serangan seksual, namun itu tidak bererti beliau boleh kembali bermain.

 

Penutup

 

Ketika masa depan Mason masih menjadi tanda tanya dan pihak berkuasa pula terus menjalankan siasatan, United pula berdepan dilema. Mason merupakan pemain muda berbakat besar, mungkin bakat kelahiran akademi paling bernilai dalam tempoh  sedekad pernah disaksikan. Mason masih muda, pemain benilai tinggi, punya bakat hebat dan sangat berpotensi untuk muncul bintang besar suatu hari nanti. Bagaimanapun Mason juga boleh menjadi pemain yang tiada nilai langsung dalam sekelip mata akibat dari masalah disiplin yang beliau hadapi.

 

Suatu masa dahulu, United diketuai oleh seorang pemimpin yang penuh ketegasan dan karisma seperti Roy Keane. Jika `Keano’ masih bermain, beliau adalah pemimpin paling sempurna yang mampu mendisiplinkan pemain muda seperti Mason. Jika `Keano’ masih bermain, mungkin juga nasib Mason tidak seperti ini. Adakah suatu hari nanti kita masih dapat melihat Mason kembali memperagakan bakat dan potensi besarnya di atas padang? Atau adakah bakat hebat ini akan tenggelam dan lenyap akibat dari kebodohan sendiri? Glory Glory Manchester United!!!  



05 April 2023

FERGIE vs WENGER DAN HALL OF FAME



Pada 1993, Manchester United memenangi kejuaraan liga buat pertama kali dalam tempoh 26 tahun. Sejak itu Sir Alex Ferguson berjaya meletakkan kembali United selaku kuasa dominan dalam kancah bolasepak Inggeris sehinggalah Arsene Wenger tiba di Highbury pada Ogos 1996. Berbanding Fergie, Wenger pula ketika itu bukanlah antara pengurus berprofil tinggi dalam dunia bolasepak, juga tidak pernah mengendalikan mana-mana kelab besar di mana-mana liga besar sekitar Eropah. Jadi cabaran di England bukanlah sesuatu yang mudah untuk dihadapi Wenger.

 

Jadi tidak hairanlah mengapa keputusan Arsenal merekrut Wenger dari Nagoya Grampus Eight bukan sahaja mengejutkan penyokong mereka, tetapi juga para pemerhati bolasepak. Kedatangan `The Professor’ ke Highbury membuatkan ramai pihak kehairanan dan skeptikal tentang kemampuan beliau mengangkat kembali martabat Arsenal yang sudah tiga tahun tidak menjulang apa-apa kejuaraan. Sepertimana gelaran `The Professor’ yang diberikan kepadanya, Wenger memang seorang pengendali yang genius.

 

Musim pertama Wenger di Highbury, beliau mengejutkan ramai pihak menerusi kejayaannya mengemudi Arsenal menamatkan saingan liga di tangga ketiga. Satu pencapaian menakjubkan untuk `rookie’ seperti beliau. Musim berikutnya (1997/98), ketenangan Fergie akhirnya terusik kerana kini beliau sedar bahawa sudah ada pencabar baharu yang mampu merosakkan dominasi United di England. Hanya pada musim keduanya di Highbury, Wenger berjaya mengemudi Arsenal menjulang kejuaraan `double’ menerusi kejayaan muncul juara Liga Perdana dan Piala FA.

 

Motivasi Fergie

 

Fergie kini sedar bahawa Wenger bukanlah calang-calang pengurus, dan jika hal ini tidak ditangani dengan baik, warga Perancis itu mampu mencabar kedudukan beliau selaku pengendali paling sukses di Liga Perdana. Kehadiran Wenger bukan hanya membuatkan jiwa Fergie bergelora tetapi turut menjadikan beliau lebih kompetitif. Azamnya ketika musim 1998/99 bermula bukan sahaja merampas semula trofi Liga Perdana dari tangan Wenger, tetapi juga menyediakan skuad yang cukup kompetitif untuk bersaing di pentas Eropah.

 

Musim 1998/99 merupakan musim yang akan dikenang sampai bila-bila oleh para penyokong United. Kerana pada musim itulah United meletakkan tanda aras baharu kepada mana-mana pencabar domestik mereka menerusi kejayaan menjulang kejuaraan `treble’ (Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara). Pencapaian yang hingga sekarang masih belum mampu digapai atau diatasi oleh mana-mana kelab Inggeris. Bagaimanapun untuk melakukannya, United terpaksa berdepan laluan sukar kerana cabaran hebat yang diberikan Arsenal sepanjang musim.

 

United dipaksa untuk bertarung hingga ke perlawanan terakhir liga sebelum mereka berjaya merampas semula trofi Liga Perdana dari genggaman Arsenal menerusi kelebihan hanya satu mata. Dalam kempen Piala FA pula, tiada jalan mudah untuk United. Dalam misi mereka mara ke Wembley, United terpaksa menyingkirkan terlebih dahulu pencabar-pencabar mereka dari Liga Perdana seperti Middlesbrough, Liverpool, Chelsea dan Arsenal. Sudah tentu pertarungan paling diingati tentunya membabitkan United dan Arsenal di peringkat separuh akhir.

 

United perlukan segala keajaiban yang ada pada pertarungan ulangan yang dilangsungkan di Villa Park sebelum mereka berjaya menyingkirkan Arsenal menerusi jaringan emas dari gerakan solo Ryan Giggs. Pertarungan pada 14 April 1999 di Villa Park itu adalah definisi sebenar tentang `tuah’ dan `nasib’ yang sentiasa melingkari dunia bolasepak. United mara ke Wembley dan pada 22 Mei 1999, mereka menjulang kejuaraan Piala FA buat kali ke-10 menerusi kejayaan menewaskan Newcastle United (2-0) di pentas final.

 

Di pentas domestik, dendam Fergie terhadap Wenger pada musim sebelumnya tuntas menerusi kejuaraan `double’ yang berjaya dimenangi United. Misi dalam saingan domestik sudah pun selesai, tetapi Fergie masih punya ambisi besar sebelum United menamatkan kempen 1998/99 secara rasmi. Sasaran United selepas ini ialah cuba memenangi trofi Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam sejarah kelab. Tetapi Bayern Munich yang bakal mereka hadapi di pentas final bukanlah calang-calang pasukan. Di atas kertas, gergasi Jerman itu adalah lawan yang lebih unggul.

 

Pada tanggal 26 Mei 1999 di Camp Nou, United sekali lagi membuktikan bahawa keajaiban, tuah dan nasib adalah elemen yang tidak dapat dipisahkan dari bolasepak. Selepas ketinggalan menerusi gol jaringan Mario Basler, United melakukan antara kebangkitan terhebat dalam dunia bolasepak menerusi dua gol yang dihasilkan mereka di masa kecederaan. Jaringan Teddy Sheringham dan Ole Gunnar Solskjaer bukan sahaja meranapkan impian Bayern, tetapi juga meletakkan United dalam dimensi berlainan berbanding mana-mana pencabar mereka di England.

 

Cabaran Buat Wenger

 

Menamatkan musim 1998/99 dengan kejuaraan `treble’ adalah satu pencapaian bersejarah yang dilakar Fergie, juga pencapaian yang hingga kini cuma mampu dicemburui oleh mana-mana pengurus di Liga Perdana. Kejuaraan `treble’ bukan cuma satu catatan sejarah baharu, tetapi juga satu isyarat dari Fergie bahawa United masih lagi kesebelasan yang lebih baik berbanding Arsenal. Ketika pesta di Old Trafford masih berterusan, jauh di Highbury pula Wenger bukan sekadar memerhati, tetapi otaknya ligat mencari solusi bagaimana caranya mahu menghentikan United.

 

Kejayaan United pada musim 1998/99 menguatkan lagi azam Wenger untuk memperkuatkan kesebelasan Arsenal bagi menghadapi musim baharu. Jauh di kota Turin, beliau melihat ada seorang bintang muda meningkat naik yang sangat berpotensi untuk beliau bentuk menjadi penggempur paling `mematikan’ di Liga Perdana. Pemain yang saya maksudkan tentunya Thierry Henry. Henry berdepan kesukaran mendapatkan minit permainan bersama Juventus, tetapi Wenger yakin inilah pemain yang mampu menjadikan barisan hadapan Arsenal lebih menggerunkan.

 

Akhirnya pada musim panas 1999, Henry tiba di Highbury dengan nilai perpindahan cuma €11 juta. Pada awalnya kehadiran beliau gagal memberikan impak yang signifikan kepada barisan hadapan Arsenal, apatah lagi dari 17 penampilan pertamanya, Henry cuma mampu meledak dua gol. Ketika Henry masih bergelut dalam usahanya beradaptasi dengan tempo bolasepak di England, United pula terus mendominasi saingan Liga Perdana menerusi kejayaan mereka menjulang kejuaraan liga pada musim 1999/2000 dan 2000/01.

 

Dua musim di Liga Perdana, Henry akhirnya berjaya dibentuk Wenger sebagai penggempur yang menggerunkan. Kelajuan, stamina serta kawalan bola memukau yang dimiliki Henry memudahkan Wenger untuk meletakkan beliau sebagai penyerang sayap, penyerang kedua atau sebagai `target man’ dalam perancangan taktikalnya. Pada musim 2001/02, dominasi selama tiga musim United di Liga Perdana akhirnya berjaya ditamatkan Arsenal menerusi kejayaan mereka menjulang kejuaraan `double’ buat kali kedua dalam tempoh empat musim.

 

Melengkapkan lagi musim gemilang Arsenal, Henry turut dinobatkan selaku penjaring terbanyak menerusi 24 gol yang beliau ledak dalam saingan liga. Kejayaan Wenger meletakkan Arsenal kembali di takhta kejuaraan Liga Perdana menyebabkan Fergie membatalkan hasratnya untuk bersara. Bagi Fergie, satu keaiban jika beliau bersara ketika mahkota kejuaraan United dirampas Arsenal, dan ini bukanlah waktu yang tepat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada dunia bolasepak. Sepertimana pada musim 1997/98, kejayaan Arsenal melonjakkan kembali motivasi Fergie.

 

`Invincible’

 

Pada musim 2002/03, United gagal mengulangi pencapaian `treble’ sepertimana dilakukan mereka pada musim 1998/99. Tetapi kejayaan merampas semula trofi Liga Perdana dari tangan Arsenal tetap satu pencapaian yang mampu membuatkan Fergie kembali tersenyum. Di sebalik kegagalan mempertahankan mahkota kejuaraan liga, Wenger berjaya membentuk Arsenal menjadi kesebelasan yang lebih kuat pada musim berikutnya. Mereka bukan sahaja muncul kesebelasan yang lebih solid tetapi juga tidak disentuh dengan sebarang kekalahan.

 

Menamatkan saingan musim 2003/04 selaku juara liga dengan status `invincible’ adalah gambaran sebenar betapa menakutkan skuad `The Gunners’ yang dibentuk Wenger ketika itu.  Tatkala memenangi kejuaraan Liga Perdana adalah satu usaha yang sukar dilakukan, dan memenanginya tanpa disentuh sebarang kekalahan adalah satu tugas yang hampir mustahil dilakukan. Tetapi pada musim tersebut, misi hampir mustahil itu berjaya dilakukan Wenger. Apa yang paling menariknya, kejayaan itu dilakukan Wenger tanpa sebarang rombakan besar-besaran.

 

Pada musim panas 2003, Arsenal dilihat tidak begitu agresif dalam bursa perpindahan pemain. Jose Antonio Reyes muncul satu-satunya nama besar yang dibawa masuk Wenger bagi memperkuatkan pasukannya. Selebihnya adalah bakat-bakat sedang meningkat naik seperti Cesc Fabregas, Gael Clichy dan Robin Van Persie. Berbanding Chelsea yang sedang membina dinasti baharu mereka, Wenger pula masih percaya bahawa beliau sudah memiliki skuad yang cukup kuat. Apa yang perlu dilakukan beliau ialah beberapa penambahbaikan di beberapa posisi.

 

Akhirnya Arsenal pada musim tersebut memang memukau. Jens Lehmann yang menggantikan posisi David Seaman mengawal pintu gol mereka dengan cukup baik. Gandingan Kolo Toure dan Sol Campbell sukar ditembusi. Lauren dan Ashley Cole adalah dua `fullback’ dalam dimensi berbeza. Patrick Vieira dan Gilberto memberikan keseimbangan. Robert Pires dan Frederik Ljungberg adalah mimpi ngeri kepada mana-mana `fullback’ lawan. Manakala Henry pula penyerang yang sangat menggerunkan menerusi 30 gol yang diledaknya dalam saingan liga.

 

`Battle of Old Trafford’ dan `Battle of the Buffet’

 

Sepanjang persaingan sengit membabitkan Fergie dan Wenger, antara United dan Arsenal, terdapat beberapa momen panas yang menghiasi `permusuhan’ ini. Paling diingati tentunya `Battle of Old Trafford’ yang menyebabkan Vieira dilayangkan kad merah. Provokasi yang dilakukan pemain-pemain Arsenal ke atas Ruud Van Nistelrooy selepas kegagalan beliau menyempurnakan sepakan penalti menyebabkan `perang kecil’ berlaku antara pemain kedua-dua pasukan. Jika penalti itu berjaya disempurnakan Nistelrooy, `invincible’ Arsenal tidak akan ujud.

 

Setahun selepas itu, satu lagi kekecohan berlaku, dan Old Trafford sekali lagi menjadi saksi bisu. Pada tanggal 24 Oktober 2004, rententan rekod 49 perlawanan tanpa kalah Arsenal di Liga Perdana akhirnya lebur. Tiada mana-mana pasukan yang berjaya menewaskan Arsenal sejak 16 Ogos 2003 dalam saingan liga,  tetapi jaringan menerusi Van Nistelrooy (sepakan penalti) dan Wayne Rooney akhirnya menyaksikan `The Gunners’ tewas buat pertama kali dalam tempoh lebih setahun. Tentunya kekalahan ini sukar diterima, apatah lagi ia berlaku ditangan seteru seperti United.

 

Selepas tamat perlawanan, berlaku perang mulut membabitkan pemain kedua-dua pasukan ketika mereka menuju ke bilik persalinan. Kemuncak insiden ini berlaku apabila sepotong pizza yang dilemparkan pemain Arsenal tepat mengenai muka Fergie. Insiden pada tanggal 24 Oktober 2004 ini lebih dikenali sebagai `Battle of the Buffet’ atau sering juga disebut `Pizzagate’. 13 tahun selepas insiden itu berlaku, Fabregas akhirnya mengaku bahawa beliaulah `lelaki misteri’ bertanggungjawab yang melempar sepotong pizza tepat ke muka Fergie.

 

Penutup   

 

Insiden `Battle of the Buffet’ adalah kemuncak kepada perseteruan United dan Arsenal atau lebih tepatnya antara Fergie dan Wenger. Tatkala Roman Abramovich membina Chelsea sebagai kekuatan baharu bolasepak Inggeris di barat London, permusuhan antara Fergie dan Wenger pula mula meredup. Selepas kemunculan Chelsea di bawah regim Abramovich, Fergie tidak lagi melihat Arsenal sebagai pencabar United dalam perebutan kejuaraan liga.  

 

Tiada lagi perang psikologi yang berlaku sebelum perlawanan, tiada lagi perang mulut selepas tamat perlawanan dan tiada lagi percakaran membabitkan pemain kedua-dua pasukan di atas padang. Ketika musim 2003/04 kekal sebagai musim terakhir Arsenal menjulang mahkota kejuaraan liga, Fergie pula selepas itu berjaya meletakkan United lima kali di kemuncak takhta saingan tertinggi bolasepak Inggeris itu sebelum beliau mengumumkan persaraan pada 2013.

 

Pada 2009, Wenger mengundang Fergie ke bilik persalinan selepas United menyingkirkan Arsenal di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara. Fergie pula akhirnya mengakui bahawa `invincible’ Arsenal lebih menonjol berbanding 13 medal kejuaraan liga yang berjaya beliau menangi bersama United. Pada 30 Mac lalu, Fergie dan Wenger muncul pengurus pertama menerima anugerah berprestij `Hall of Fame’ Liga Perdana sejak mula diperkenalkan pada 2021.

 

Bagi penyokong United dan Arsenal dari generasi 90an hingga awal millennium, perseteruan antara kedua-dua pasukan dan pertelingkahan antara Fergie dan Wenger akan sentiasa dikenang sebagai momen terindah membabitkan persaingan dua kelab berseteru. Kini segala keterujaan itu, adrenalin yang memuncak, kemarahan, rasa kecewa dan gembira cumalah momen silam yang tinggal untuk dikenang. Hakikatnya United dan Arsenal kini tidak lagi seperti dulu. Glory Glory Manchester United!

 

27 Mac 2023

ANTONY...SATU LAGI PROJEK YANG GAGAL?

 


Penyokong-penyokong Manchester United meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada Antony Matheus dos Santos ketika kelab mengumumkan secara rasmi perpindahan pemain antarabangsa Brazil itu ke Old Trafford pada Ogos tahun lalu. Antony adalah bakat muda sedang meningkat naik, pemain yang dilabel `bintang dalam pembikinan’ manakala sumbangan dan peranan yang dimainkannya sepanjang dua setengah musim di Johan Cryuff Arena meletakkan namanya dalam senarai panas pemain yang diburu kelab-kelab besar Eropah. 

 

Di Ajax, Antony pemain yang memukau menerusi kelicikan serta dianugerahkan `skill’ individu yang tinggi, manakala daya penyudahnya sering tidak terjangka oleh mana-mana pertahanan lawan khususnya di Eredivisie. Untuk seorang pemain yang datang dari negara `pencinta bolasepak sebenar’ seperti Brazil, kebolehan dan bakat yang dimiliki Antony bukanlah sesuatu yang terlalu asing. Dari Sao Paolo, Antony berlabuh ke kota Amsterdam, tetapi untuk bakat besar seperti beliau, Ajax cumalah persinggahan sementara untuknya.

 

Di Ajax, Antony bukanlah seorang `winger’ yang ortodoks, kerana beliau juga merupakan penjaring dan pencipta peluang yang dinamik. Kebolehan beliau dalam melakukan `progressive dribble’, percubaan-percubaan `on target’ yang sering dilepaskannya, `assist’ yang diciptanya dan gol-gol yang dijaringkannya meletakkan Antony sasaran yang didambakan penyokong-penyokong United pada jendela perpindahan musim panas tahun lalu. Apatah lagi beliau antara pemain yang sangat menyinar ketika Ajax di bawah kendalian Erik Ten Hag dulu.

 

Bukan Mudah

 

Penghijrahan beramai-ramai pemain-pemain utama mereka musim ini menyebabkan Ajax keberatan untuk membenarkan seorang lagi bakat besar mereka meninggalkan kelab. Jadi usaha memujuk Edwin van der Sar membenarkan Antony keluar dari Johan Cryuff Arena bukanlah satu kerja yang mudah. Bagaimanapun tawaran sebanyak £85 juta yang diberikan United tidak mampu ditolak Ajax, dan Liga Perdana akhirnya mengucapkan `selamat datang’ kepada seorang lagi prospek bintang masa depan bolasepak dunia untuk memperagakan kebolehannya di sini.

 

Apa yang didambakan penyokong-penyokong United ketika itu ialah barisan hadapan skuad `The Red Devils’ lebih menggerunkan dengan adanya Antony. Kelicikan Antony di sisi kanan, kelajuan Marcus Rashford di sisi kiri dan ketajaman Cristiano Ronaldo selaku penyerang tengah bakal memberikan dimensi baharu kepada trio hadapan United musim ini. Bagaimanapun impian tidak semestinya berakhir dengan realiti. Hakikatnya Ronaldo meninggalkan pasukan ketika saingan liga belum pun memasuki separuh musim manakala Antony pula belum menyerlah.

 

Satu-satunya perkara yang hebat berlaku di bahagian hadapan ialah prestasi terpuji Rashford, pemain yang menjadi sumber penting kepada gol-gol United musim ini. Apa yang berlaku kepada Antony bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Pergelutan di peringkat awal dalam menyesuaikan diri dengan kelab baharu dan tempo permainan Liga Perdana adalah sesuatu yang normal buat mana-mana `rookie’ di Old Trafford. Tetapi saya berharap nasib Antony tidaklah seburuk Karel Poborsky, Diego Forlan, Kleberson atau Eric Djemba Djemba.   

 

Persoalan  

 

Kemampuan teknikal Antony tidak perlu dipersoalkan, tetapi adakah fizikal serta mentalnya sudah bersedia menangani kerasnya sepak terajang Liga Perdana? Secara teorinya, Antony merupakan `winger’ yang energik menerusi kemampuannya melakukan penetrasi ke zon pertahanan lawan, aktif dalam hal penguasaan bola, cuba mencipta bantuan gol atau menjaringkan gol. Penampilan United adakalanya agak buruk ketika Antony tersisih akibat kecederaan, tetapi statistik juga menunjukkan beliau antara pemain sayap yang tidak efektif di Liga Perdana.

 

Statistik `expected assist’ (xA) Antony iaitu 0.05 per perlawanan merupakan angka yang sangat rendah jika anda bandingan dengan catatan `rookie’ Liga Perdana yang lain seperti Erling Haaland (4.11) atau Darwin Nunez (4.88). Kecenderungan Antony melakukan `cut inside’ sebelum beliau melakukan umpanan silang dengan menggunakan kaki dominannya (iaitu kaki kiri) adalah kelemahan terbesarnya. Ruang masa yang ada inilah membolehkan lawan meletakkan pemain tambahan bagi menutup sebarang ruang sebelum beliau melakukan umpanan silang.

 

Atas sebab itulah mengapa anda masih belum melihat Antony menyumbang sebarang `assist’ dalam 14 penampilannya di Liga Perdana setakat ini. Apa yang perlu dilakukan Antony? Keluar dari kebiasaan dan belajar pendekatan permainan Arjen Robben, antara pemain sayap kanan berkaki kidal terbaik pernah disaksikan di Liga Perdana. Antony boleh menjadi pemain sayap (kanan) yang jauh lebih berbahaya dan bagus berbanding sekarang jika beliau mampu meningkatkan penggunaan kaki kanan sebaik kaki kirinya ketika melakukan hantaran atau gerakan.

 

Penutup

 

Adakah Antony satu lagi `projek’ United yang gagal? Masih terlalu awal untuk meletakkan label `overrated’ di bahu beliau, setidak-tidaknya jika anda melihat penampilan Antony di Liga Europa. Antony menjaringkan gol ketika United berdepan Barcelona dan Real Betis, di mana dalam dua perlawanan itu, Antony menampil sisi lebih variasi dalam permainannya. Beliau lebih berani ketika menguasai bola, lebih banyak bergerak di belakang pertahanan lawan dan melepaskan hantaran-hantaran berkualiti.

 

Ketika beliau menggantikan Hakim Ziyech di Ajax, Antony berkembang menjadi pemain sayap yang menarik menerusi kualiti kawalan bola dimilikinya, visi permainan serta gol-gol yang dijaringkannya. Kini Antony sedang berjuang dalam usahanya beradaptasi dengan budaya dan tempo permainan Liga Perdana. Dan jika beliau berjaya keluar dari pergelutan ini, percayalah bahawa Antony akan menjadi salah seorang pemain penting dalam evolusi yang dilakukan Ten Hag. Glory Glory Manchester United!!!



22 Mac 2023

MENUJU KE PUSKAS ARENA

 


“Kelab Sepanyol lagi”…itu mungkin perkataan yang terlintas dalam fikiran anda selepas selesai undian peringat suku akhir Liga Europa yang dilangsungkan di Nyon, Switzerland pada 17 Mac lalu. Selepas dipertemukan dengan Real Sociedad (peringkat kumpulan), Barcelona (pusingan play-off) dan Real Betis (pusingan 16 pasukan), United bakal berdepan ujian getir apabila mereka diundi menentang satu lagi wakil Sepanyol di peringkat suku akhir Liga Europa musim ini.

 

Sevilla bukan sekadar menjadi kelab keempat dari Sepanyol yang bakal dihadapi United dalam impian mereka menuju ke Puskas Arena, tetapi mereka juga merupakan kesebelasan yang memegang rekod selaku pemenang terbanyak Liga Europa (enam kali). Bagaimanapun prestasi Sevilla dalam saingan domestik musim agak berantakan. Sevilla disingkir Osasuna di peringkat suku akhir Copa del Rey, manakala dalam saingan La Liga pula, mereka sekadar berada di tangga ke-14 selepas mengharungi 26 perlawanan.

 

Bagaimanapun dalam masa yang sama, anda juga perlu mengakui bahawa Sevilla merupakan `specialist’ serta memiliki karisma tersendiri setiap kali mereka beraksi dalam saingan Liga Europa. Selain daripada itu, mereka juga memiliki rekod yang sangat baik dalam empat pertemuan menentang United. Untuk rekod, dari empat pertemuan menentang United, mereka menang tiga kali, manakala satu lagi pertembungan berakhir dengan keputusan seri.

 

Misi Tiga Kejuaraan

 

Sevilla umpama sumpahan, tetapi jika United mahu mara ke Budapest dan menjulang trofi Liga Europa buat kali kedua dalam tempoh enam tahun, mereka perlu menewaskan kesebelasan terbaik dan `specialist’ kejohanan seperti Sevilla. Ini merupakan kali keempat United lolos ke peringkat suku akhir Liga Europa, dan dari jumlah tersebut mereka layak ke final sebanyak dua kali. Yang pertama tentunya kejayaan manis menjulang trofi tersebut pada 2017, dan kedua pada final edisi 2021 yang menyaksikan United tewas kepada Villareal menerusi penentuan sepakan penalti.

 

Liga Europa antara kejuaraan yang masih realistik untuk United menenangi selepas kejayaan mereka menjulang trofi Piala Liga pada 27 Februari lalu. Selain itu, skuad `The Red Devils’ juga bakal berdepan Brighton & Hove Albion di peringkat separuh akhir kejuaraan Piala FA pada 22 April nanti. Tatkala trofi Liga Perdana semakin jauh dari jangkauan, menamatkan musim ini dengan tiga kejuaraan tetap satu pencapaian yang menakjubkan pada musim pertama Erik Ten Hag di Old Trafford.

 

Bukan Mudah

 

Selepas kejayaan menjulang trofi Piala Liga, United masih bersaing untuk merebut tiga lagi kejuaraan musim ini. Dengan jadual yang sangat padat, Ten Hag bukan sahaja perlu memastikan skuadnya lebih konsisten, tetapi beliau juga perlukan kedalaman skuad (squad depth) yang bagus, faktor yang sebenarnya tidak dimiliki United musim ini. United sudah beberapa kali berdepan kesukaran ketika pemain penting seperti Casemiro tidak dapat diturunkan.

 

Ketika Christian Eriksen sudah hampir dua bulan tidak bermain akibat kecederaan, berharaplah agar pemain seperti Casemiro, Marcel Sabitzer, Bruno Fernandes atau Fred tidak mengalami nasib yang sama pada baki saingan musim ini. Selain daripada itu, lihat juga kebergantungan United kepada Marcus Rashford dalam misi memburu gol. Anda boleh berikan kredit yang tinggi kepada usaha serta kesungguhan Wout Weghorst di atas padang, tetapi tiada mana-mana pemain hadapan United yang mampu menggantikan posisi Rashford sekiranya beliau mengalami kecederaan. Kehilangan Rashford adalah bencana buat Ten Hag.

 

Strategi Ten Hag

 

Ten Hag sangat sinonim menerusi pendekatan penguasaan bola dalam skema permainan yang diterapkan beliau. Bagaimanapun, adakalanya strategi itu tidak dapat diimplementasikan, dan beliau akan beralih kepada pendekatan yang lebih pragmatis. Sebagai contoh terbaik, lihat pendekatan permainan United ketika mereka berdepan Barcelona di kedua-dua `leg’. Di Camp Nou dan Old Trafford, Ten Hag menggunakan pendekatan `man-to-man’ di zon tengah selain melakukan `pressing’ secara kolektif.

 

Menerusi pendekatan tersebut, United bukan sahaja mampu menyerap setiap asakan Barca dengan berkesan, tetapi mereka juga sangat efisien ketika melakukan serang balas pantas. Menerusi statistik yang dikeluarkan FbRef, penguasaan bola United di zon `final third’ meningkat dari 29.7% (musim lalu) kepada 32.94%. Pada aksi final Piala Liga, Newcastle United adalah kesebelasan yang lebih intensif, begitu juga dengan Barca. Bagaimanapun United akhirnya keluar sebagai pemenang kerana mereka bermain dengan sistem taktikal Ten Hag yang disesuaikan dengan lawan yang beliau dihadapi.

 

Penutup

 

Sevilla boleh dilabel sebagai `Raja Liga Europa’, kerana mereka merupakan kesebelasan paling banyak memenangi kejuaraan tersebut. Bagaimanapun berdasarkan prestasi semasa, United berpeluang menamatkan sumpahan buruk setiap kali mereka berdepan kelab dari Andalusia itu. Jika berhasil melepasi halangan Sevilla, United bakal berdepan sama ada Juventus atau Sporting Lisbon di peringkat separuh akhir.

 

Juventus sudah menemui semula sentuhan terbaik mereka menerusi empat kemenangan yang dilakar dari empat penampilan terakhir mereka. Manakala kejayaan menyingkir Arsenal pula tentunya satu motivasi tambahan buat Sporting Lisbon untuk mara lebih jauh pada edisi kali ini. Memenangi Liga Europa adalah kesempatan terbaik untuk United kembali beraksi di Liga Juara-Juara dengan lebih bergaya. Ia bukan tentang ambisi memenangi tiga kejuaraan semusim semata-mata, tetapi juga tentang setinggi mana kemahuan United untuk melakar sejarah dan kembali ke podium kejuaraan. Glory Glory Manchester United!!!



11 Mac 2023

MALAM UNTUK `BOBO'

 


Empat kali pintu gol Real Betis bolos pada aksi pertama pusingan 16 pasukan Liga Europa yang dilangsungkan di Old Trafford pada awal pagi kelmarin. Tetapi paling menarik adalah jaringan keempat United yang dihasilkan Wout Weghorst diminit ke-82. Gol ini merupakan gol peribadi kedua beliau sejak menyertai United pada Januari lalu dengan status sebagai pemain pinjaman. Dan gol ini juga merupakan yang pertama dijaringkan Weghorst di Old Trafford.

 

Dua gol dari 15 penampilan bukanlah jumlah yang banyak untuk seorang penyerang seperti beliau, jadi tidak hairanlah mengapa penampilan Weghorst sering dijadikan sasaran kritikan oleh para pengkritiknya. Sukar untuk membayangkan United mengekalkan beliau di Old Trafford secara tetap musim depan, tetapi Weghorst antara contoh pemain yang mampu melaksanakan segala arahan dan taktikal Erik Ten Hag dengan sangat baik. Weghorst bukan mesin gol, tetapi `pelaksana dan pendengar arahan yang setia’.

 

Apa yang anda lihat sepanjang 15 penampilan beliau dalam seragam merah United ialah kerja kerasnya tanpa kenal penat. Beliau sentiasa berlari hampir sepanjang perlawanan, pemain pertama yang meluru kearah pertahanan lawan ketika mereka menguasai bola bagi melakukan `pressing’, selain membantu rakan-rakan sepasukan dalam situasi bertahan. Jadi gol ke gawang Betis itu adalah ganjaran dari kerja kerasnya selama ini.

 

Gol pertamanya hadir ketika United menewaskan Nottingham Forest dalam saingan Piala Liga di gelanggang lawan. Tetapi gol ke gawang Betis ini adalah gol yang ditunggu-tunggu Weghorst kerana ia berlaku di Old Trafford, dan dilakukan beliau di hadapan puluhan ribu penyokong United. Bagi seorang penyerang, satu perasaan yang sangat luarbiasa apabila dapat menjaringkan gol, apatah lagi Weghorst sendiri terpaksa menunggu selama 44 hari sebelum gol kedua peribadi beliau ini terhasil.

 

Dalam skema permainan yang digunakan Ten Hag, Weghorst biasanya akan digunakan sebagai penyerang tunggal dalam formasi 4-2-3-1. Di atas kertas beliau adalah pemain dengan peranan nombor 9, tetapi sejak kebelakangan ini anda juga boleh melihat Weghorst adakalanya digunakan sebagai pemain nombor 10. Sebagai contoh lihat penampilan beliau ketika United berdepan Barcelona pada perlawanan pertama pusingan `play-off’ Liga Europa di Camp Nou pada 16 Februari lalu.

 

Menurut Ten Hag, keputusan beliau meletakkan posisi Weghorst di belakang Marcus Rashford bagi memberikan lebih variasi kepada setiap gerakan yang dilancarkan ke zon pertahanan lawan. Beliau tidak menjaringkan sebarang gol atau menyumbang bantuan gol, tetapi keberadaannya berjaya menarik pertahanan lawan hingga membuka ruang buat Marcus Rashford, Jadon Sancho dan Bruno Fernandes melakukan `penetration’.

 

Kerja-kerja yang dilakukan Weghorst ini bukanlah mudah kerana ia memerlukan stamina yang tinggi dari seorang pemain. “Saya fikir dia antara pemain terbaik di atas padang. Dia tahu di mana posisinya ketika kami menguasai bola dan dia melakukan tugasnya dengan sangat baik untuk pasukan”. kata Ten Hag. Jika anda bercakap tentang `skill’ permainannya, Weghorst bukanlah pemain yang istimewa. Tetapi sebagai penyerang anda patut berikan kredit kepada kerja kerasnya.

 

Ambisi, semangat dan dedikasi beliau dalam permainan sangat luarbiasa, dan sebagai contoh terbaik lihat apa yang beliau lakukan ketika United menyingkirkan West Ham dalam aksi pusingan kelima Piala FA pada 1 Mac lalu. Penempatan posisinya yang baik menyebabkan Nayef Aguerd melakukan kesilapan hingga terhasilnya gol penyamaan United, manakala gol ketiga yang dijaringkan Fred pula berpunca dari `pressing’ dan `assist’ yang dilakukannya.

 

Weghorst dibawa ke Old Trafford bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cristiano Ronaldo dan kini selepas melakukan 15 penampilan untuk United, timbul pertanyaan adakah beliau layak untuk terus berada dalam skuad Ten Hag musim depan? Jika jumlah jaringan mahu dijadikan ukuran, Weghorst sudah tentu gagal mencapai KPI beliau sebagai penyerang United. Jika jumlah gol mahu dijadikan indikator, Weghorst juga sebenarnya tidak layak mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ronaldo.

 

Kerja kerasnya dan bagaimana beliau sentiasa memberikan tekanan kepada lawan menyebabkan gaya bolasepak yang diterapkan Ten Hag berjalan dengan baik. Dan aspek inilah yang menjadi kelemahan Ronaldo pada fasa akhir kariernya di Old Trafford. Pada aksi menentang Betis kelmarin, Weghorst bukanlah pemain United paling menonjol. Tetapi bagi `Bobo’, malam itu adalah malam beliau, `Theatre of Dreams’ seolah-olah memang disediakan untuknya dan `Bobo’ menikmati malam itu menerusi jaringan yang dihasilkannya. Glory Glory Manchester United!!!



09 Mac 2023

MEDAN MENEBUS DOSA

 


Berhenti meratap dan lupakan segera kekalahan besar kepada Liverpool, kerana Manchester United kini berdepan misi yang harus mereka selesaikan. Aksi menentang Real Betis di pusingan 16 pasukan Liga Europa adalah medan terbaik untuk United bangkit, meraih semula kepercayaan penyokong dan menjadikan aksi pusingan pertama ini sebagai medan untuk para pemain `menebus dosa’ selepas kekalahan memalukan di Anfield tempohari.

 

Saingan Liga Europa musim ini seolah-olah memang sudah `diatur’ untuk United berdepan wakil dari Sepanyol. Dalam saingan peringkat kumpulan, United diletakkan dalam kumpulan yang sama bersama Real Sociedad, manakala di pusingan `play-off’ pula mereka terpaksa berdepan ujian getir bila diundi menentang Barcelona. Dan kini, Betis menjadi wakil ketiga Sepanyol yang terpaksa dihadapi United jika mereka ingin mara lebih jauh dalam kempen Eropah kali ini.

 

Siapa Real Betis?

 

Betis berasal dari perkataan `Baetis’ di mana kelab ini ditubuhkan pada 1907 dengan nama Sevilla Balompei. Bagaimanapun tujuh tahun selepas itu, mereka memilih untuk berpisah dengan Sevilla dan bergabung dengan Betis Football Club dengan nama baharu Real Betis Balompei. Kejayaan mara ke final kejohanan Cup Winners Cup pada 1931 dan kemudiannya di promosikan ke La Liga pada 1932 antara pencapaian cemerlang pada fasa awal penubuhan kelab.

 

Di bawah kendalian Patrick O’Connell, Betis meraih kesuksesan terbesar mereka menerusi kejayaan menjulang trofi La Liga pada 1935 menerusi kelebihan hanya satu mata di hadapan Real Madrid. Kejayaan itu bagaimanapun menjadi satu-satunya kejuaraan La Liga yang pernah mereka menangi dalam sejarah kelab. Bermula pada 1947, Betis terhumban ke Divisyen 3 dan tempoh tujuh tahun yang mereka habiskan di sana merupakan fasa paling gelap sepanjang sejarah penubuhan Betis.

 

Pada 1977, Betis akhirnya berjaya meraih kejuaraan besar pertama mereka dalam tempoh 42 tahun menerusi kejayaan menjulang trofi Copa del Rey. Pada musim 2014/15 mereka terhumban semusim di Segunda Division sebelum kembali ke liga utama pada musim berikutnya (2015/16). Sejak itu Betis tidak pernah gagal menamatkan saingan La Liga dalam kelompok 10 teratas, malah dalam tempoh lima musim terakhir, tiga kali mereka berjaya menamatkan saingan liga di kelompok enam teratas.

 

Musim Terbaik

 

Di bawah kendalian Manuel Pellegrini, Betis mengharungi musim terbaik mereka setakat ini menerusi kejayaan menduduki tangga kelima liga. Keputusan seri yang dilakar ketika berdepan Real Madrid pada Ahad lalu menyaksikan Betis sudah mengharungi empat perlawanan terakhir liga tanpa tewas. Dalam kempen Liga Europa pula, hanya AS Roma sahaja satu-satunya pasukan yang berjaya memaksa mereka keciciran mata dalam saingan peringkat kumpulan.

 

Betis kemudiannya menamatkan saingan Kumpulan C selaku juara selepas mengutip 16 mata, enam mata di hadapan Roma yang muncul kesebelasan kedua terbaik peringkat kumpulan. Keberadaan Pellegrini sejak 2020 di kerusi pengendali banyak memberikan impak kepada peningkatan Betis. Catatan beliau ketika berdepan United juga perlu anda perhatikan kerana dari 13 pertembungan membabitkan skuad kendaliannya dengan United, Pellegrini menang lima perlawanan dan seri lima kali.

 

Penutup

 

United dan Betis tidak pernah bertemu dalam mana-mana saingan Eropah sebelum ini. Jadi ini adalah pertembungan pertama membabitkan kedua-dua pasukan sepanjang sejarah penubuhan kelab dengan slot ke peringkat suku akhir sebagai rebutan. Selepas `pembantaian’ di Anfield tempohari, tiada apa yang boleh dilakukan pemain selain meminta maaf kepada para penyokong. Bagaimanapun kita mahukan lebih daripada itu, bukan sekadar permohonan maaf atas prestasi buruk yang mereka pamerkan di Anfield.

 

Kita ingin melihat reaksi pemain selepas kekalahan besar di Anfield tempohari dan aksi menentang Betis adalah kesempatan terbaik untuk United bangkit semula. Kalahkan Betis dan jaringkan seberapa banyak gol sebagai bekalan untuk perlawanan kedua nanti adalah cara paling sempurna untuk United menutup segala keaiban yang berlaku di Anfield. Semoga episod hitam di Anfield tidak membunuh United, tetapi sebaliknya menjadikan mereka lebih kuat. Glory Glory Manchester United!!!