16 Jun 2023

LANGIT MANCHESTER KIAN BERWARNA BIRU

 


Dahulu penyokong Manchester United sentiasa bercanda dengan mengatakan bahawa Manchester City tidak cukup besar untuk menyaingi mereka baik dari segi sejarah mahupun jumlah trofi yang berjaya dimenangi. Menurut mereka, Manchester sentiasa berwarna merah, bukan biru. Itu dahulu, kerana sekarang `The Cityzens’ nampaknya sudah jauh meninggalkan `The Red Devils’ dalam semua bentuk dan segi. Pada 10 Jun lalu, City berjaya melengkapkan kejuaraan `treble’ mereka menerusi kejayaan menundukkan Inter Milan di pentas final Liga Juara-Juara.

 

Ini merupakan kejuaraan sulung City dalam saingan tertinggi kelab-kelab Eropah itu, sesuatu yang mungkin tidak pernah difikirkan oleh penyokong-penyokong United sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu. Suatu masa dahulu, Sir Alex Ferguson pernah mengatakan bahawa tiada mana-mana kelab Inggeris selepas ini yang mampu mengulangi pencapaian skuadnya menjulang kejuaraan `treble’, tetapi selepas 24 tahun Fergie akhirnya terpaksa akur bahawa kini sudah ada kelab Inggeris berjaya menyamai pencapaian epik yang dilakar United pada musim 1998/99 itu.

 

Pandangan `streotype’ selama berdekad-dekad penyokong-penyokong United terhadap City akhirnya berubah, dan kini kita terpaksa mengakui serta menerima hakikat bahawa mereka adalah kelab terbesar di kota Manchester, sekurang-kurangnya buat masa ini. Melihat kepada perkembangan City selepas pengambilalihan kelab oleh Abu Dhabi United Group pada 2008, mereka sebenarnya cuma menunggu masa untuk menolak United bukan sahaja dari singgahsana selaku kelab terbesar di kota Manchester tetapi kuasa baharu bolasepak Inggeris.

 

Sejak 2008, City mendapatkan tiga pengurus berprofil tinggi bagi mengendalikan skuad utama mereka, tetapi kehadiran Pep Guardiola pada 2016 benar-benar meninggalkan impak yang sangat besar kepada penampilan `The Cityzens’. Guardiola merupakan pengendali yang berada dalam kelas tersendiri, dan dengan kekuatan kewangan yang dimiliki pemilik kelab, tugas beliau menjadi lebih mudah. Wang akhirnya menunjukkan kuasanya dan dengan kuasa wang jugalah City memperkuatkan skuad mereka dengan pemain-pemain kelas dunia.

 

Dominasi City

 

Kota Manchester tidak lagi didominasi oleh warna merah, kerana City dengan warna biru langitnya tidak lagi gentar setiap kali mereka bertembung dengan United di atas padang. Kehadiran Sheikh Mansour membawa `progress’ yang sangat signifikan kepada perkembangan City, baik dari segi `financial’ mahupun urusan tentang bolasepak itu sendiri. Berbanding keluarga Glazer, beliau datang dengan ambisi mahu membangunkan City untuk muncul selaku kuasa besar bolasepak, bukan sahaja di England tetapi juga Eropah.

 

Selama 26 tahun United di bawah kepimpinan Fergie, beliau berjaya menambah 36 trofi dalam kabinet kejuaraan kelab. 26 tahun adalah tempoh bagaimana suksesnya United yang dibangunkan Fergie sebagai individu paling berkuasa dalam menentukan segala hal di Old Trafford. Pada 2013, era Fergie akhirnya berada di garis penamat, saat beliau mengumumkan persaraannya sebagai pengurus United. Kekuatan serta kekuasaan Fergie akhirnya menjadi `boomerang’ kepada United yang hingga kini masih tercari-cari kejuaraan liga pertama mereka selepas beliau bersara.

 

Ketika penyokong-penyokong United masih dibuai dengan kisah kesuksesan kelab di era Fergie, manakala David Moyes, Louis Van Gaal, Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer pula terpaksa dikorbankan kerana kegagalan mereka mengangkat kembali status United sebagai kuasa bolasepak Inggeris, di timur kota Manchester pula City mula membina kekuatan mereka. Di tangan Ferran Soriano (CEO kelab) dan Txiki Begiristain (pengarah bolasepak), City diuruskan oleh tangan yang betul dan mereka yang pakar dalam hal ehwal bolasepak.

 

Apa yang dilakukan mereka? Soriano dan Begiristain menetapkan mana-mana pengurus atau pemain yang dibawa masuk bukan sahaja boleh menjalinkan kerjasama baik dengan mereka, tetapi juga faham dengan sistem, struktur serta budaya bolasepak yang sedang mereka bina. Lalu datanglah pengurus berprofil tinggi seperti Roberto Mancini, Manuel Pellegrini dan kemudiannya Pep Guardiola. Di bursa perpindahan pemain pula, City hanya menandatangani pemain yang dimahukan pengurus, bukan sekadar nama besar untuk tujuan `marketing’.    

 

Dalam tempoh sepuluh musim terakhir, mereka membawa masuk pemain-pemain berkualiti yang akhirnya menjadi tonggak pasukan. Bandingkan impak diberikan pemain-pemain seperti Fernandinho, Jesus Navas, Raheem Sterling, Kevin de Bryune, Ilkay Gundogan, John Stones, Gabriel Jesus, Bernardo Silva, Ederson, Aymeric Laporte, Riyad Mahrez, Rodri, Jack Grealish dan kini Erling Haaland kepada proses dan `progress’ City berbanding apa yang dilakukan United pasca persaraan Fergie. Akhirnya sejak 2014, mereka menang enam kejuaraan liga.  

 

United Sedang Berubah?

 

Erik Ten Hag sedang membina sesuatu pada musim pertamanya di Old Trafford. Musim lalu United menamatkan saingan liga di luar kelompok empat teratas, atau lebih spesifiknya mereka ketinggalan 13 mata di belakang Tottenham Hotspurs selaku kesebelasan yang menduduki tangga keempat liga. Purata 1.5 gol per perlawanan yang dihasilkan United merupakan angka terendah berbanding lima lagi kelab yang menghuni kelompok enam teratas liga. Jadi hampir pasti Ten Hag akan cuba mendapatkan seorang penyerang tengah baharu pada jendela perpindahan musim panas ini.

 

Musim ini, United di bawah kendalian beliau berjaya menamatkan kemarau enam tahun tanpa trofi menerusi kejayaan mereka menjulang kejuaraan Piala Liga, kembali beraksi di saingan Liga Juara-Juara dan menamatkan saingan liga di tangga ketiga. Kejayaan menjulang Piala Liga bukanlah indikator sebenar untuk kelab seperti Manchester United, tetapi sekurang-kurangnya anda sedang melihat satu perubahan sedang berlaku pada musim pertama Ten Hag di Old Trafford berbanding pencapaian mereka dalam tempoh enam tahun terakhir.

 

Dalam saingan liga pula, United mengutip 75 mata, jumlah mata tertinggi sejak mereka menamatkan saingan liga di tangga kedua pada musim 2016/17. Kejayaan United berada di kelompok tiga teratas banyak disumbangkan faktor impresifnya penampilan benteng pertahanan mereka. Penambahbaikan yang dilakukan Ten Hag ke atas benteng pertahanan United menerusi kehadiran Lisandro Martinez menyaksikan pintu gol mereka dibolosi 43 kali atau purata 1.1 per perlawanan. Angka terendah sejak musim 2019/20.

 

Penutup

 

Pencapaian, penampilan dan prestasi United sepanjang musim ini masih jauh dari tahap sempurna. Tewas kepada Manchester City di pentas akhir Piala FA juga bukanlah penamat musim yang kita mahukan, tetapi dalam diri Ten Hag kita melihat beliau memiliki elemen yang diperlukan untuk mengembalikan semula United ke era gemilang mereka. Untuk mengejar City, usaha keras bukan sahaja perlu dilakukan tetapi juga menuntut pelaburan yang besar dari pemilik kelab. Untuk itu, United tidak akan kemana-mana jika kelab terus dimiliki individu-individu seperti keluarga Glazer.

 

City berada di kedudukan mereka sekarang kerana visi dan ambisi yang dimiliki pemilik mereka. Dari kelab `pertengahan liga’, Sheikh Mansour akhirnya berjaya membina City menjadi kuasa besar bolasepak Eropah, status yang suatu ketika dahulu pernah dimiliki United. Berbanding Sheikh Mansour, keluarga Glazer pula menjadikan United sebagai `angsa bertelur emas’ dengan memerah keuntungan yang dihasilkan kelab. Jika situasi tidak berubah, jika United masih lagi dimiliki keluarga Glazer, percayalah langit Manchester akan terus berwarna biru. Glory Glory Manchester United!!!



06 Jun 2023

DATANG SEPERTI RAJA...PERGI SEBAGAI LEGENDA

 


Zlatan Muslimovic, Zlatan Ljubijankic, Zlatan Azinovic, Zlatan Krizanovic dan Zlatan Bajramovic antara segelintir pemain yang diketahui menggunakan nama `Zlatan’ pada nama pertama mereka. Bagaimanapun jika ditanya kelab atau negara mana mereka bermain, tentu ramai di kalangan kita gagal menjawab soalan ini dengan tepat. Bagaimana pula dengan Zlatan Ibrahimovic? `Ibra’ tidak perlu diperkenalkan, kerana bolasepak moden akan sentiasa mengingati beliau sebagai antara segelintir penyerang terhebat pernah dunia saksikan.

 

Ada ramai penyerang hebat pernah dilahirkan, Kaka, Romario, Alan Shearer, Marco Van Basten, Raul Gonzalez, Gabriel Batistuta, Ronaldo Nazario, Robert Lewandowski dan Karim Benzema adalah diantaranya. Bagaimanapun Ibra berbeza berbanding mereka. Seperti mereka, tugas Ibra sebagai penyerang ialah menjaringkan gol, tetapi beliau gemar melakukannya dengan cara berbeza dan lebih bergaya. Menjaringkan gol dengan teknik `bicycle kick’, `backheel’, tendangan `kungfu’, `flying header’ atau `overhead’ adalah gaya dan sangat sinonim dengan Ibra.

 

Zlatan’s Style

 

Masih ingatkah lagi dengan jaringan beliau menerusi teknik `bicycle kick’ ke gawang England dalam satu aksi persahabatan pada 2012? Gol yang menewaskan Joe Hart dan kemudiannya diiktiraf sebagai gol terbaik pada Anugerah Puskas 2013 itu adalah definisi sebenar apa yang sering Ibra sebut sebagai `Zlatan’s Style’. Ibra seolah-olah memang dilahirkan sebagai juara, kerana sepanjang kariernya, beliau sudah memenangi kejuaraan bersama Ajax Amsterdam, Juventus, Inter Milan, AC Milan, Barcelona, Paris St Germain dan Manchester United.

 

Beliau gagal membantu LA Galaxy menang sebarang trofi sepanjang dua musim beraksi di MLS, tetapi untuk seorang pemain yang sudah berusia 38 tahun dan meninggalkan benua Amerika dengan rekod 53 gol dari 58 penampilan keseluruhan adalah sesuatu yang sangat mengagumkan. Ibra mungkin tidak seagung Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo, dua sosok individu yang masih diperdebatkan penyokong mereka tentang siapa sebenarnya paling layak diiktiraf sebagai yang terbaik sepanjang zaman. Tetapi Ibra umpama `askar upahan’ yang tiada kenal erti menyerah.

 

Zlatan Adalah Zlatan

 

Jika Cristiano Ronaldo sering dibanding dengan legenda Brazil, Ronaldo Luis Nazario de Lima manakala ada kesangsian untuk memilih siapa lebih hebat antara Lionel Messi ataupun Diego Maradona, tetapi untuk Ibra beliau tiada perbandingan kerana Zlatan adalah Zlatan. Selepas usianya melangkaui angka 30 tahun, Ibra berjaya meledak 331 gol, dan pada usia yang hampir mencecah angka 40 tahun, persona beliau masih membius peminat bolasepak seluruh dunia. Ada pemain di luar sana yang lebih hebat berbanding Ibra, tetapi dunia akan selalu mengingati Zlatan Ibrahimovic.

 

Figura Seorang Pemimpin

 

Jika bukan kerana skandal `Calciopoli’ yang menyebabkan Juventus dilucutkan kejuaraan Serie A mereka, Ibra sebenarnya sudah memenangi 14 kejuaraan liga di empat negara berbeza, pencapaian yang tidak pernah dilakukan Messi atau Ronaldo. Di liga atau kelab manapun beliau bermain, Ibra tidak pernah gagal meninggalkan jejaknya sebagai legenda, dan Manchester United juga tidak terkecuali. Kehadiran Ibra pada musim panas 2016 berjaya meniup kembali aroma keangkuhan dalam skuad United, elemen yang hilang sejak persaraan Fergie pada 2013.

 

Sejak kali terakhir Roy Keane menendang bola dengan seragam `The Red Devils’, United dahagakan karisma seorang `lead by example’ ketika di padang latihan mahupun di gelanggang pertarungan sebenar. Sama ada di bilik persalinan atau ketika beraksi di atas padang, hanya Ibra yang mampu menundukkan ego Paul Pogba dan membuatkan warga Perancis itu berpijak di bumi nyata. Samuel Luckhurst yang juga merupakan jurnalis Manchester Evening News pernah menyebut, bagaimana Ibra membuatkan Pogba sedar bahawa kepentingan pasukan perlu diberi keutamaan.

 

“Paul pernah datang ke bilik persalinan Carrington dengan pakaian berjenama mewah. Kehadiran Paul ketika itu turut menarik perhatian pemain lain. Ketika Paul menghampiri lokarnya, ada suara yang agak keras datang dari arah belakang. “Hei!!! kamu fikir ini tempat apa? Ini bukan sarkas, ini adalah Manchester United”. Malangnya ketika Ibra berhijrah ke Amerika, Paul kembali kepada tabiat lamanya. Orang memanggil Paul sebagai `badut’ tetapi dia mengatakan bahawa pakaiannya hanya direka untuk dirinya”, kata Luckhurst.  

 

Selamat Tinggal United

 

Perginya Ibra pada Mac 2018 bukan sahaja menyaksikan United hilang seorang penyerang berkualiti tetapi juga figura yang boleh menjadi contoh kepada pemain-pemain muda mereka. Pada usia yang sudah mencecah 36 tahun ketika itu, Ibra meninggalkan Old Trafford selepas meledak 29 gol dari 53 penampilan dalam semua peringkat kejohanan. Arogansi Ibra bukan tanpa sebab, kerana beliau bukan sahaja sudah membuktikan statistiknya di atas padang tetapi juga medal kejuaraan yang dimenanginya bersama United.

 

Pada Oktober 2019, terdapat berita tentang kepulangan semula Ibra ke Old Trafford. Melihat kepada penampilan barisan hadapan United ketika itu, ada gesaan agar Ole Gunnar Solskjaer melakukan `call up’ bagi membolehkan Ibra kembali menyarung jersi United. Selepas beliau menjaringkan dua gol dalam derbi El Trafico menentang Los Angeles FC, Ibra berkata, “Saya masih lagi cukup bagus untuk mengetuai jentera serangan United. Saya dengan mudah boleh bermain di Liga Perdana, tetapi perkara itu akan hanya berlaku jika United memanggil saya”.

 

Kecederaan lutut yang dialaminya ketika United berdepan Anderlecht pada saingan Liga Europa 2016/17 menyebabkan Ibra terpaksa berehat panjang. Ketika itu ramai pihak berpendapat bahawa karier beliau sudah berakhir. Bagaimanapun di benua Amerika, Ibra kembali mengganas. 30 gol dari 29 penampilan pada musim keduanya untuk LA Galaxy dalam saingan liga menyebabkan Clayton Blackmore mencadangkan agar Solskjaer memanggil Ibra kembali menyertai kelab. Menurut Blackmore, Ibra adalah jawapan kepada krisis di barisan hadapan United ketika itu.

 

Penutup

 

Meskipun cuma semusim berada di Old Trafford, kelibat Ibra begitu dirindui penyokong-penyokong United. Anda bukan sahaja merindui kepimpinan serta aksinya di atas padang, tetapi anda juga merindui keangkuhannya. Tiada mana-mana pemain era moden yang memiliki ego serta keangkuhan sedahsyat Ibra, hatta pemain sehebat Messi atau Ronaldo sekalipun. Ibra datang ke Old Trafford berbekalkan motivasi untuk memenangi trofi, dan beliau pergi dengan dua medal kejuaraan major (Piala Liga dan Liga Europa) tergantung di lehernya.

 

Selepas tamat aksi terakhir Serie A musim ini antara Milan dan Verona, Ibra mengumumkan persaraannya sebagai pemain. Pada usia 41 tahun, tubuh Ibra akhirnya terpaksa mengalah, dan kerana kecederaan beliau cuma mampu melakukan empat penampilan untuk Milan sepanjang musim ini. Sebagai penyokong United, timbul sedikit kekesalan kerana kita cuma dapat menyaksikan persona Ibra selama semusim di Theatre of Dreams. Seperti ungkapan yang pernah beliau sebut, “Saya datang seperti raja, saya pergi sebagai legenda”. Selamat bersara Ibra…Glory Glory Manchester United!!!



04 Jun 2023

MUSIM PENUH PERTAMA TEN HAG

 


Pada April tahun lalu ada tiga nama pengendali berprofil tinggi yang disebut-sebut sebagai calon untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Ralf Rangnick di Old Trafford. Rangnick dibawa ke Old Trafford bukan sebagai pengurus tetap, tetapi lebih kepada usaha kelab untuk mengelakkan bencana lebih besar pasca pemecatan Ole Gunnar Solskjaer dari kerusi pengurus. Mauricio Pochettino, Erik Ten Hag dan Luis Enrique merupakan tiga nama paling hangat yang digembar-gemburkan bakal mengambilalih posisi Rangnick.

 

Persoalan dan pertanyaan selama berminggu-minggu akhirnya terjawab apabila pada bulan Mei, kelab mengumumkan secara rasmi perlantikan Ten Hag selaku pengendali bagi menghadapi musim 2022/23. Setiap kali pengurus baharu muncul, akan ada pertanyaan tentang kelayakkan mereka mengendalikan kelab besar seperti Manchester United. Ten Hag juga tidak terkecuali. Persona Ten Hag paling diingati ialah ketika beliau mengemudi Ajax Amsterdam menyingkirkan Juventus dan Real Madrid dalam laluan ke separuh akhir Liga Juara-Juara musim 2018/19.

 

Kehadiran Ten Hag di Johan Cryuff Arena menjulang kembali maruah Ajax selaku gergasi bolasepak Belanda dan kejayaan mengejutkan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara menjadikan `CV’ beliau selaku antara pengendali sedang meningkat naik dalam dunia bolasepak moden bertambah menarik. Ten Hag merupakan antara contoh pengurus bolasepak moden yang falsafah permainannya berasaskan penguasaan bola, pentingnya penempatan posisi dan tekanan berintensiti tinggi sepertimana bolasepak Jerman dimainkan.

 

Langkah Pertama

 

Dalam lingkaran bolasepak Belanda, kerja-kerja yang dilakukan Ten Hag untuk Ajax boleh dikategorikan sebagai satu pencapaian yang luarbiasa. Tetapi fakta yang perlu anda akui ialah sebelum ketibaannya di Old Trafford ialah, lelaki berusia 52 tahun ini belum pernah mengendalikan mana-mana kelab besar di mana-mana liga utama Eropah. Beliau dalam kategori pengurus muda, belum pernah mengendalikan ego setinggi langit pemain bertaraf bintang dalam pasukannya atau pengalaman bersaing dalam liga yang sangat kompetitif seperti Liga Perdana.

 

Jika di Eredivisie Ten Hag adalah juara, di Liga Perdana yang serba asing baginya, beliau adalah seorang lelaki yang `naif’. Dua penampilan pertama United di bawah kendalian Ten Hag, beliau dibawa ke realiti sebenar tentang bolasepak Inggeris. Dua kekalahan awal kepada Brighton & Hove Albion dan Brentford dalam saingan liga menyaksikan timbul persoalan besar tentang kemampuan sebenar Ten Hag. Adakah beliau individu yang tepat sebagai mengendalikan United atau satu lagi siri jenaka yang dibawa masuk ke kelab untuk dipertontonkan sepanjang musim 2022/23?

 

Dua kekalahan awal yang berlaku pada bulan Ogos itu meletakkan Ten Hag dalam `kelas tersendiri’, kerana beliau merupakan pengurus baharu pertama United yang tewas dua perlawanan berturut-turut pada perlawanan pembukaan liga dalam tempoh lebih seabad. Langkah pertama Ten Hag di Old Trafford memang sudah dijangka akan menjadi sangat sukar, kerana beliau mewarisi sekelompok pemain yang tewas enam dari 11 perlawanan terakhir liga serta mengumpul mata terendah dalam sejarah kelab di era Liga Perdana.

 

Proses Berjalan

 

Walaupun tewas dua perlawanan awal liga, Ten Hag akhirnya berjaya membentuk United menjadi kesebelasan yang lebih baik dari sebelumnya. Selepas melalui tempoh lima bulan pertamanya di Old Trafford, beliau berjaya meletakkan United di kelompok empat teratas carta liga dan hanya empat mata di belakang Manchester City yang ketika itu berada di tangga kedua. Keputusan Cristiano Ronaldo meninggalkan kelab secara mengejut pada bulan November tidak langsung menganggu perancangan Ten Hag, malah beliau menjadikan United kesebelasan yang lebih baik tanpa bintang Portugal itu.

 

Tanpa Ronaldo, Marcus Rashford berjaya melaksanakan peranannya selaku pemburu gol dengan lebih berkesan, terutama menerusi larian-larian penetratif yang sering dilakukannya di belakang garis pertahanan lawan atau melakukan tekanan ketika lawan menguasai bola. 22 gol yang berjaya diledak Rashford selepas pemergian Ronaldo dan penampilan berbeza yang dipamerkan pemain-pemain seperti Casemiro, Bruno Fernandes dan Christian Eriksen adalah perubahan paling ketara kepada gaya permainan United selepas mega bintang itu meninggalkan kelab.

 

50 penampilan pertama United di bawah kendalian Ten Hag, mereka menang 35 perlawanan, di mana peratus kemenangan yang berjaya diraih mereka mencapai angka 70%. Statistik ini juga meletakkan Ten Hag memiliki nisbah kemenangan lebih baik berbanding Sir Matt Busby dan Sir Alex Ferguson dari 50 penampilan pertama mereka selaku pengendali kelab. Untuk rekod, Sir Matt menang 26 perlawanan dari 50 penampilan pertamanya sebagai pengurus United, manakala Fergie pula menang 22 perlawanan.

 

David De Gea memenangi anugerah `golden glove’ menerusi catatan 17 `clean sheets’ yang dilakukannya dalam saingan liga musim ini. Pencapaian ini tidak mampu dilakukan De Gea jika tidak dibantu dengan kualiti kerja-kerja defensif yang dilakukan empat pemain pertahanan di hadapannya. Pada bursa perpindahan pemain musim panas, Ten Hag menandatangani Lisandro Martinez dan Tyrell Malacia bagi menambah kekuatan di benteng pertahanan skuadnya. Paling menonjol tentunya penampilan `Licha’ menerusi peranan yang dimainkannya bersama Raphael Varane.

 

Mekipun ketinggiannya pernah diperdebatkan, `Licha’ merupakan rekrut baharu United paling menonjol musim ini selain Casemiro. Malacia dan Antony perlukan sedikit masa tetapi untuk melabelkan mereka sebagai `pembelian yang gagal’ adalah sesuatu yang tidak adil. Harga yang dibayar United untuk Antony mungkin agak tinggi, tetapi menerusi 39 penampilan yang dilakukannya dalam semua kejohanan musim ini, beliau antara pemain yang sering diberikan kepercayaan Ten Hag untuk membarisi kesebelasan United kerana peranan, usaha dan kerja kerasnya. 

 

Salah satu masalah yang dihadapi United pasca persaraan Fergie ialah mereka sering merekrut pemain yang tidak sesuai dengan keperluan pasukan. Bagaimanapun pada musim panas lalu, `tabiat buruk’ itu dihentikan dan kita melihat ada perubahan besar kepada `maneuver’ kelab dalam bursa perpindahan pemain. Meskipun gagal mendapatkan Frenkie de Jong, Ten Hag gembira dengan aktiviti kelab sepanjang jendela perpindahan dibuka, apatah lagi beliau berjaya mendapatkan pemain dengan kualiti seperti Christian Eriksen secara percuma.

 

Pada Ogos lalu dalam satu wawancara bersama Skysports, Ten Hag berkata, “Saya tidak kecewa langsung dengan bilangan ketibaan muka baharu, kerana saya sudah memiliki skuad yang kompetitif. Ada perbezaan besar kerana kali ini kami lebih proaktif berbanding sebelumnya. Yang kedua adalah tentang pemain yang kami tandatangani. Kami sangat gembira dengan mereka, kerana saya percaya mereka mampu menyumbang kepada skuad. Perkara terakhir ialah kami tahu apa yang kami mahukan dan kami mengikat pemain yang tepat”, kata Ten Hag.

 

Falsafah

 

Falsafah permainan Ten Hag sebenarnya sederhana, iaitu bolasepak berasaskan penguasaan bola dan mengasak lawan dari hadapan. Gaya seperti inilah yang membuatkan beliau begitu dikenali kerana fleksibiliti taktikal dan pendekatan progresifnya. United bukan Ajax dan Liga Perdana juga bukan seperti Eredivisie, jadi dengan sekelompok pemain yang beliau warisi dari era Solskjaer, sukar sebenarnya untuk Ten Hag menerapkan falsafah bolasepak beliau secara total pada musim pertamanya. Dengan beberapa rekrut baharu yang bakal di bawa masuk, musim depan United akan bermain dengan falsafah bolasepak sebenar Ten Hag.

 

Jika di Eredivisie pemain Ajax sering menyebut Ten Hag menuntut mereka agar sentiasa menyerang, pendekatan beliau bersama United pula agak berbeza. Permainan United di era Ten Hag adakalanya sedikit pragmatik dan mereka jauh lebih efektif ketika bertahan. Ten Hag mengakui kekalahan kepada Brighton dan Brentford adalah disebabkan kenaifannya sendiri. Apa yang berlaku selepas itu sehingga Februari 2023 ialah, United menang 15 dari 22 perlawanan mereka. Akhirnya mereka menamatkan kemarau enam tahun tanpa trofi menerusi kejayaan menjulang Piala Liga.

 

Penutup

 

Dua kekalahan berturut-turut pada saingan pembukaan liga menyebabkan kredibiliti beliau dipersoalkan. Selepas itu ada lonjakan besar apabila United menang empat perlawanan liga mereka berturut-turut. Paling menarik bila melihat bagaimana beliau menangani ragam bintang besar seperti Cristiano Ronaldo. Tidak ramai pengendali yang memiliki kekuatan untuk menyingkirkan bintang besar dalam skuad mereka, tetapi dalam kamus hidup Ten Hag tiada sebarang pengecualian, hatta pemain itu sehebat Ronaldo sekalipun.

 

Ronaldo akhirnya ditunjukkan jalan keluar pada November, tetapi sejak itu United mendapat sisi terbaik dalam permainan Marcus Rashford. Jentera tengah United hidup menerusi keseimbangan yang diberikan trio Bruno Fernandes, Casemiro dan Christian Eriksen sama ada dalam situasi bertahan mahupun menyerang. Kehadiran `Licha’ pula memberikan impak yang sangat signifikan kepada benteng pertahanan United yang menyaksikan David de Gea memenangi anugerah `golden glove’ kedua dalam kariernya di England.

 

Musim ini, United menang 23 perlawanan dalam saingan liga, catatan terbaik yang dilakar mereka dalam tempoh lima musim terakhir. Bermula dengan langkah yang sedikit sumbang, Ten Hag akhirnya berjaya mengemudi United menamatkan kemarau enam tahun tanpa kejuaraan selain mencapai misi beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim depan.  Ten Hag tiba di Old Trafford selepas kelab melalui musim terburuk dalam sejarah moden mereka, tetapi hanya dalam tempoh semusim, beliau berjaya memberikan impak yang sangat positif kepada prestasi pasukan.

 

Ketika Pep Guardiola tiba di Stadium Etihad pada 2016, beliau melakukan rombakan besar kepada skuad City. Meskipun mengalami kekalahan besar kepada Leicester City dan Everton dalam tempoh 36 hari, City menamatkan saingan liga di tangga ketiga. Di Anfield pula, Liverpool pada musim pertama Jurgen Klopp sekadar berada di tangga kelapan liga. Tetapi apa yang berlaku selepas itu ialah, City di era Guardiola sudah memenangi lima kejuaraan liga, manakala Klopp pula berjaya mengemudi Liverpool menang kejuaraan liga pertama mereka dalam tempoh 30 tahun.   

 

United akhirnya menamatkan musim 2022/23 secara rasmi selepas berakhirnya aksi final Piala FA di Wembley semalam. Kekalahan kepada City bukanlah penamat yang kita inginkan tetapi tetap tidak memadam hakikat bahawa ini adalah antara musim terbaik United dalam tempoh enam tahun terakhir. Apa yang dilakukan Ten Hag pada musim penuh pertamanya di Old Trafford juga sudah melebihi jangkaan. Proses akan berterusan, kerana pada bursa perpindahan musim panas nanti, Ten Hag akan cuba mendapatkan pemain-pemain baharu yang beliau inginkan.

 

United sudah memiliki asas yang kukuh, tetapi `standard’ tetap perlu dinaikkan setiap musim. City akan bertambah kuat, Arsenal sekali lagi akan cuba menjadi pesaingan kejuaraan yang serius, Liverpool tidak akan berpeluk tubuh, manakala Chelsea pula akan cuba melupakan bencana yang menimpa mereka musim ini. Musim depan sasarannya bukan lagi kelompok empat teratas, tetapi United perlu bertarung secara serius untuk merebut kejuaraan liga. Apa yang kita perlu lakukan? Percaya saja pada proses yang sedang berjalan. Glory Glory Manchester United!!!

01 Jun 2023

FINAL PIALA FA: MISI MEMATAHKAN IMPIAN TIGA KEJUARAAN CITY

 


Piala Liga dan slot beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim hadapan sudah berada dalam genggaman. Kini tinggal satu lagi misi yang perlu diselesaikan anak-anak buah Erik Ten Hag, iaitu cuba menewaskan Manchester City di pentas final Piala FA. Beraksi di Wembley menjadi momen indah buat Ten Hag menerusi kejayaan United menjulang kejuaraan Piala Liga pada Februari lalu. Bagaimanapun pertempuran yang bakal berlaku pada 3 Jun di Wembley nanti adalah pertempuran yang jauh lebih besar berbanding ketika United menewaskan Newcastle United untuk trofi pertama mereka di era Ten Hag.

 

Sejak kekalahan 1-2 kepada United di Old Trafford dalam saingan liga pada 14 Januari lalu, City kemudiannya muncul kesebelasan paling menakutkan bukan sahaja dalam kancah domestik tetapi juga Eropah. Mereka bukan sahaja berjaya mempertahankan trofi Liga Perdana buat musim ketiga berturut-turut, tetapi skuad `The Cityzens’ itu juga berjaya menyingkirkan dua gergasi Eropah (Bayern Munich dan Real Madrid) dengan cara yang sangat bergaya dalam laluan mereka ke pentas final Liga Juara-Juara. Jadi sama ada suka atau tidak, anda terpaksa mengakui bahawa City adalah pilihan utama dalam penampilan ke-12 mereka di pentas final Piala FA.

 

Perjalanan Ke Final

 

Di pusingan ketiga dan keempat, City menyingkirkan Chelsea dan Arsenal dalam kedua-dua aksi yang dilangsungkan di Stadium Etihad. Selepas itu, laluan mereka ke Wembley menjadi lebih mudah apabila dipertemukan dengan tiga kelab yang beraksi di Liga Kejuaraan (Bristol City, Burnley dan Sheffield United) di pusingan kelima, suku akhir dan separuh akhir. Paling menarik, City juga berjaya memastikan pintu gol mereka tidak ditembusi oleh mana-mana pasukan sepanjang laluan mereka menuju ke pentas final edisi kali ini.

 

Berbanding City, perjalanan United lebih berliku kerana empat dari lima lawan yang perlu dihadapi mereka merupakan kelab-kelab yang beraksi di Liga Perdana. Paling getir tentunya cabaran diberikan Brighton & Hove Albion pada pertembungan di peringkat separuh akhir yang menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti. Jika City melangkah ke final dengan penuh bergaya menerusi catatan `clean sheet’, pintu gol United pula dibolosi empat kali dari lima penampilan mereka menuju ke final.

 

Mood Positif City

 

Dari prestasi semasa, `mood’ para pemain, kualiti skuad dan aspirasi untuk menjulang kejuaraan `treble’ akhirnya menjadikan City sebagai kesebelasan pilihan paling hangat menjulang kejuaraan Piala FA musim ini. Dari 26 penampilan terakhir mereka di semua peringkat kejohanan, Brentford muncul satu-satunya kesebelasan yang berjaya menewaskan City. Itu pun berlaku pada perlawanan terakhir liga, ketika kejuaraan Liga Perdana sudah berada dalam genggaman dan fokus Pep Guardiola lebih terarah kepada dua aksi final di Wembley dan Istanbul.

 

Keyakinan Guardiola menjelang aksi final di Wembley nanti cukup tinggi. Dengan kesebelasan City yang solid disemua posisi, jangan salahkan beliau jika nadanya sedikit angkuh sejak kebelakangan ini. Dalam wawancara bersama Talksports, Guardiola yakin tiada mana-mana pasukan yang mampu menghalang City dari meraih kejuaraan `treble’ musim ini.  Bagaimanapun dalam bolasepak segala kemungkinan boleh berlaku. Keajaiban, tuah dan nasib boleh berputar 360º hanya dalam tempoh 90 minit.

 

Menewaskan City bukanlah misi mustahil, kerana pada Januari lalu United membuktikannya bahawa dengan strategi yang tepat, mereka mampu menewaskan `jiran yang bising’ itu. Musim ini, United menamatkan kemarau enam tahun tanpa trofi menerusi kejayaan mereka menjulang kejuaraan Piala Liga. Selepas berjaya mengemudi United beraksi di Liga Juara-Juara musim depan, satu lagi kejuaraan domestik bakal menjadikan ini antara musim terbaik United selepas pencapaian yang dilakar skuad Jose Mourinho pada musim 2016/17.  

 

Misi Menghalang Kejuaraan `Treble’

 

Final kali ini boleh dianggap antara kemuncak perebutan kejuaraan Piala FA paling istimewa. Istimewa bukan sahaja menemukan dua kelab dari kota Manchester, tetapi ini juga merupakan final pertama Piala FA yang menemukan United dan City dalam tempoh 152 tahun. Jika City menuju ke Wembley dengan ambisi memenangi kejuaraan kedua dari tiga yang mereka sasarkan, United pula datang bukan sekadar memburu trofi domestik kedua mereka. Menewaskan City di pentas final adalah `pukulan’ terbaik yang boleh diberikan United ke atas jiran mereka itu.

 

Bagaimanapun untuk menewaskan skuad solid seperti City, United perlu bermain sempurna selama 90 minit. Untuk menewaskan City di Wembley, apa yang bakal dilakukan Ten Hag dalam usaha mempersiapkan pasukannya? Selepas mengharungi satu musim penuh di Liga Perdana, Ten Hag tentunya memiliki data yang cukup untuk menganalisa corak permainan City. Perkara pertama yang bakal dilakukan Ten Hag ialah memastikan pergerakan Erling Haaland sentiasa dikunci serta menghalang hantaran-hantaran dari `midfielder’ City terus kearah penyerang itu.

 

Hal ini sebenarnya sudah banyak kali disebut oleh penganalisa bolasepak. Bagaimanapun jika anda perhatikan, sejak akhir-akhir ini City lebih cenderung melakukan gerakan-gerakan dari `half space’ di sebelah kiri. Tujuannya ialah memudahkan Haaland yang memiliki kaki kiri dominan melepaskan percubaan terus ke arah gawang lawan. Selain daripada itu, Ten Hag juga mungkin boleh menganalisis strategi permainan yang digunakan Thomas Frank, satu-satunya pengurus yang berjaya menewaskan Guardiola dua kali dalam saingan liga musim ini.

 

Penutup

 

City merupakan sebuah kesebelasan yang memiliki ramai pemain berkualiti, selain sangat tersusun dalam setiap gerakan-gerakan yang mereka lakukan. Untuk berdepan lawan seperti ini, United tidak boleh memberikan pemain City terlalu banyak ruang, cuba meminimakan pergerakan-pergerakan bola mereka, memberikan tekanan sejak awal dan tidak membiarkan mereka selesa menguasai bola. Itulah yang dilakukan Brentford ketika mereka dua kali menewaskan City dalam saingan liga musim ini. Setidak-tidaknya strategi yang digunakanThomas Frank dalam dua aksi Brentford menentang City mungkin boleh menjadi panduan berguna untuk Ten Hag di final nanti.

 

Di atas kertas, City memang memiliki segala kelebihan tetapi mereka juga ada kelemahan yang boleh dimanipulasi United. Antara kelemahan City ialah dalam menangani situasi bola mati. Lihat bagaimana gawang mereka bolos dua kali ketika berdepan Crystal Palace, dan kedua-duanya dari situasi bola mati menerusi tendangan sudut. Selepas misi beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim depan berjaya disempurnakan, ini adalah pertempuran terakhir yang bakal dihadapi United musim ini. Demi memusnahkan ambisi kejuaran `treble’ City, saya percaya barisan `The Red Devils’ akan bermain seperti tiada lagi hari esok untuk mereka. Glory Glory Manchester United!!!

23 Mei 2023

`KING ERIC' DARI CAMEROON

 


Sir Alex Ferguson memang sangat terkenal bukan sahaja kerana sentuhan emasnya yang berjaya membawa Manchester United menjulang pelbagai kejuaraan sepanjang tempoh 27 tahun karier pengurusannya di Old Trafford, tetapi beliau juga sangat terkenal kerana kemampuannya menjadikan pemain yang pada awalnya `tidak punya apa-apa’ kepada bintang bolasepak dunia. Dari era barisan `Class of 92’ hinggalah ke era keemasan Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney, sentiasa ada bintang yang berjaya dilahirkan Fergie sebagai tonggak United.

 

Umpama mata helang yang tajam memerhati, begitu jugalah dengan kemampuan Fergie mengenalpasti potensi besar dalam diri seseorang pemain untuk beliau bentuk menjadi bintang besar suatu hari nanti. Bagaimanapun untuk seorang pemain yang bernama Erik Djemba Djemba, Fergie terpaksa mengakui bahawa ini adalah satu pelaburan yang gagal. Ketika usia Roy Keane sudah memasuki angka 32 tahun, Fergie melihat terdapat keperluan untuk beliau mendapatkan seorang pemain tengah sebagai pengganti jangka panjang Keano.

 

Kejutan dan Kegagalan

 

Pada musim panas 2003, Fergie mengejutkan penyokong-penyokong United apabila beliau menandatangani Erik Djemba Djemba dari kelab Ligue 1, Nantes. Dengan nilai £3.5 juta yang dibelanjakan kelab ke atas Djemba Djemba, Fergie berharap kehadiran pemain yang berjaya membantu Cameroon menjulang Piala Negara-Negara Afrika pada 2002 itu mampu menjadi pelapis kepada Keano di jentera tengah United. Menurut Fergie, Djemba Djemba merupakan pemain tengah yang memiliki elemen kepantasan, agresif dan dinamik dalam permainannya.

 

Tatkala Cristiano Ronaldo cuma memperlukan penampilan pertama untuk memukau khalayak penyokong United, nasib sebaliknya pula menimpa Djemba Djemba. Pemain yang diharapkan Fergie mampu menggantikan posisi Keano suatu hari nanti sebaliknya bergelut dalam usahanya merebut tempat dalam kesebelasan utama. Sepanjang tempoh dua tahun keberadaan Djemba Djemba di Old Trafford, beliau cuma mampu melakukan 20 penampilan di Liga Perdana. Berapa pula gol yang berjaya dijaringkannya dalam tempoh tersebut? Jawapannya…tiada.

 

Sepertimana Kleberson, David Bellion dan Dong Fangzhuo, Djemba Djemba juga merupakan pelaburan gagal yang dilakukan Fergie dalam usaha beliau memperkuatkan skuadnya bagi menghadapi musim 2003/04. Tetapi situasi Djemba Djemba lebih parah kerana namanya sering dijadikan bahan jenaka oleh penyokong-penyokong United. Malah Gary Neville dalam satu wawancara beliau bersama ESPN pernah menyebut secara simbolik tentang kegagalan United di pertengahan era 2000an sebagai `tahun Djemba Djemba’.

 

Jalan Keluar

 

Kehadiran Darren Fletcher menyaksikan karier Djemba Djemba bersama United semakin terancam, dan pada 2005 beliau akhirnya menyertai Aston Villa. Meskipun dilabel sebagai `pelaburan yang gagal’, Djemba Djemba mengatakan bahawa menyertai United merupakan impian sejak bertahun-tahun yang akhirnya menjadi kenyataan. “Jika saya boleh mengulanginya lagi, saya ingin menyertai United. Tetapi bukan pada 2003, kerana ketika itu mereka memiliki Keane, Scholes, Butt dan (Phil) Neville. Saya berdepan kesukaran bersaing dengan mereka”, kata Djemba Djemba.

 

Usaha beliau menghidupkan kembali kariernya di England menerusi perpindahan ke Villa Park berdepan kegagalan. Dan sama situasinya seperti di Old Trafford, Djemba Djemba cuma melakukan 11 penampilan untuk Villa. Selepas meninggalkan Burnley pada 2007, Djemba Djemba bermain di liga Qatar, Denmark, Israel, Serbia, Scotland, India, Indonesia dan terakhir di Perancis. Pada 2021, Djemba Djemba akhirnya mengumumkan persaraan sebagai pemain selepas hampir enam tahun beliau tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan kompetitif.

 

Penutup

 

Bukan mudah untuk mana-mana pemain menggantikan Roy Keane. Bukan sekadar memakai `armband’, Keano adalah pemimpin, penggerak dan figura yang menghidupkan jentera tengah United selama bertahun-tahun. Bagi seorang pemain yang baru berusia 22 tahun pada 2003, satu beban yang sangat berat untuk Djemba Djemba memenuhi ekspektasi yang diletakkan di bahu beliau sebagai `pengganti jangka panjang Keano’. Akhirnya mungkin juga beliau terpaksa mengakui bahawa menyertai United merupakan satu kesilapan yang dilakukan beliau dalam kariernya.

 

Sepanjang 39 penampilan keseluruhan Djemba Djemba dalam semua peringkat kejohanan Untuk United, beliau cuma mampu menjaringkan dua gol. Satu gol dihasilkannya ketika United membelasah Panathinaikos dalam saingan Liga Juara-Juara dan satu lagi menerusi voli ke gawang Leeds United dalam saingan Piala Liga. Selebihnya, Djemba Djemba cumalah sejarah yang tidak pernah ingin diingati oleh penyokong-penyokong United. Gelaran `King Eric’ yang diberikan penyokong United kepada beliau bukan kerana kehebatannya, tetapi lebih berbentuk sarkastik.

 

Begitupun, Djemba Djemba tidak pernah menyesal menyertai United. Pada 2013 dalam satu wawancara bersama The Guardian, beliau berkata, “Saya tidak pernah menyesal tentang apa yang pernah berlaku dalam karier saya. Ia adalah tentang bolasepak dan Tuhan yang menentukannya. Saya gembira bermain untuk United, gembira memenangi piala bersama mereka dan gembira dengan cara mereka melayan saya. Wira saya ialah Eric Cantona dan apabila saya pulang ke Cameroon, mereka memanggil saya King Eric”. Glory Glory Manchester United!!!

17 Mei 2023

PHIL JONES...SEBUAH KISAH LEGENDA YANG HILANG

 


Pada musim panas 2011, Phil Jones antara empat pemain yang direkrut oleh Sir Alex Ferguson selain David De Gea, Ashley Young dan Frederick Vessel. Jones yang baru berusia 19 tahun ketika itu direkrut Fergie dari Blackburn Rovers, dan dilabel antara bakat muda paling berpotensi untuk menyerlah di England. Malah Fergie sendiri pernah meramalkan bahawa suatu hari nanti Jones bakal memainkan peranan penting bukan sahaja untuk United tetapi juga skuad kebangsaan England.

 

Penampilan pertama Jones bersama skuad `The Red Devils’ berlaku pada aksi pembukaan musim baharu merebut trofi Perisai Komuniti menentang Manchester City. Penampilan pertama yang berakhir dengan cukup manis buat Jones apabila United berjaya menewaskan City (3-2) dalam perlawanan itu. Penampilan Jones pada tanggal 7 Ogos 2011 di Wembley itu bukan semata-mata tentang medal pertama yang dimenangi beliau sebagai pemain, tetapi `versatility’ beliau di atas padang.

 

Ketika tempoh permainan sudah berlangsung selama 48 minit, Jones akhirnya diberikan kesempatan bermain. Peluang melakukan penampilan pertama di Wembley dalam perlawanan besar seperti ini tentunya menjadi impian buat mana-mana pemain muda seperti Jones. Tetapi ini juga bukanlah satu tugas yang mudah untuk beliau menggantikan tempat Michael Carrick, dan terpaksa pula berdepan dengan trio pemain tengah lawan yang dibarisi Yaya Toure, James Milner serta Nigel de Jong.

 

Tanpa rasa gugup dan gentar, Jones memainkan peranannya dengan sangat berkesan di bahagian tengah bersama Anderson. Setiap kali bola menghampiri zon pertahanan United, Jones sentiasa ada untuk cuba memenangi setiap perebutan bola membabitkan beliau dengan Yaya atau Milner. Kemuncak kepada kerja kerasnya, Jones akhirnya berada di atas podium Wembley, dikalungkan medal kejuaraan pertamanya dan menerima pujian dari Fergie hasil dari penampilan cemerlangnya selama 42 minit.

 

Jangkaan Yang Tersasar

 

Jones antara pemain serba boleh yang ada dalam skuad United ketika itu, bukan sahaja mampu beraksi di benteng pertahanan, tetapi juga sebagai pemain tengah bertahan ataupun bek sayap. Aksi menentang Bolton Wanderers di Stadium Reebok pada 10 September 2011 menjadi saksi betapa versatilnya Jones menerusi catatan dua bantuan gol yang dilakukannya. Dan sehingga 2013, karier Jones bersama United berjalan dengan cukup lancar.

 

Ketika itu, Fergie mengatakan bahawa Jones bakal muncul pemain hebat yang pernah United miliki. “Jones dari apa yang anda lihat sekarang, boleh menjadi pemain hebat yang pernah dimiliki kelab. Pada usia 21 tahun, dia akan menjadi pemain yang fenomenal, kerana dia juga boleh bermain di mana-mana posisi”, kata Fergie dalam wawancaranya dengan Sports Joe pada 2013. Bagaimanapun Fergie tetap manusia biasa, kadangkala jangkaan dan ramalan beliau tidak semestinya tepat dan jauh meleset.

 

Sembilan tahun selepas itu, harapan Fergie tidak pernah kesampaian manakala jangkaan beliau terhadap potensi Jones meleset sama sekali. David Moyes yang menggantikan tempat Fergie tidak mampu menjadikan Jones pemain yang hebat. Begitu juga Louis Van Gaal, Jose Mourinho, Ole Gunnar Solskjaer dan kini Erik Ten Hag. Mereka kesemuanya tidak mampu menggilap semula potensi Jones yang telah hilang, dan harapan Fergie lenyap gara-gara masalah kecederaan dialami pemain itu.

 

Bukan masalah prestasi atau disiplin, tetapi kecederaan adalah penyebab utama hilangnya potensi besar yang dimiliki Jones sebagai pemain. Lebih malang, beliau terpaksa berdepan masalah kecederaan yang bervariasi sepanjang kariernya bersama United. Sebutkan bahagian tubuh beliau yang mana tidak pernah ditimpa kecederaan? Dari kecederaan lutut, pergelangan kaki, hamstring, jari, belakang, pinggang, bahu hinggalah didiagnosis dengan masalah gegaran otak.

 

Semakin Dilupakan

 

Dalam tempoh empat musim terakhir, Jones cuma melakukan 13 penampilan untuk United dalam semua peringkat kejohanan, di mana kali terakhir anda melihat kelibatnya di atas padang ialah pada 2 Mei 2022 ketika aksi liga menentang Brentford. Musim 2020/21 Jones tidak pernah sekalipun menyentuh bola manakala sepanjang musim lalu, beliau cuma melakukan lima penampilan untuk United, satu dalam saingan Piala FA dan empat dalam saingan liga.

 

Gol terakhir dari Jones pula hadir pada aksi menentang Tranmere Rovers dalam saingan Piala FA pada 26 Januari 2020. Selepas itu apa yang berlaku? Jones hilang lagi dari radar dan kembali ke bilik rawatan akibat dari kecederaan kaki yang dialaminya. Beliau akhirnya kembali bermain ketika United ketika berdepan Wolverhampton Wanderers dalam saingan liga pada 3 Januari 2022. Dan ini juga merupakan penampilan pertama Jones dalam tempoh dua tahun.

 

Sepanjang kariernya bersama United, Jones muncul pemain paling banyak diketepikan akibat kecederaan (230 kali), jumlah yang sebenarnya jauh mengatasi penampilan keseluruhan beliau di Liga Perdana (204 penampilan). Secara keseluruhannya selama sebelas musim beliau bersama United pula, Jones menghabiskan tempoh kira-kira 1,387 hari memulihkan kecederaan beliau. Jadi tidak hairanlah sekiranya ada di kalangan anda lupa akan kewujudan Jones dalam kem United.

 

Penutup

 

Phil Jones dan David De Gea antara `cebisan’ pemain yang tinggal hasil dari pembelian dilakukan kelab ketika era Sir Alex Ferguson sebagai pengurus. Bagaimanapun berbanding Jones yang sudah lama terpinggir, De Gea pula masih kekal di posisinya selaku pilihan nombor satu bagi mengawal pintu gol United. Jones kini sudah memasuki tahun kedua belas kariernya bersama kelab, tempoh yang menyaksikan kariernya lebih banyak di warnai dengan masalah kecederaan.

 

Penampilan Jones ketika United berdepan Wolverhampton Wanderers pada Januari tahun lalu adalah `wajah’ sebenar beliau. Meskipun United tewas, Jones muncul pemain paling menonjol. Beliau memenangi tujuh daripada lapan perebutan bola, melakukan tujuh `ball recoveries’ (jumlah terbanyak berbanding pemain United yang lain), tiga `block’, dua `intercept’ dan dua `clearance’. Jadi tidak hairanlah mengapa beliau diberikan tepukan gemuruh oleh para `Stretford Enders’ sebaik tamat perlawanan.

 

Jika tidak dibelit dengan masalah kecederaan, Jones mungkin mampu meletakkan dirinya sebagai `jelmaan Duncan Edwards’ sepertimana jangkaan Sir Bobby Charlton dulu. Atau setidak-tidaknya memiliki persona seperti Fernando Hierro atau Franco Baresi sepertimana harapan Fabio Capello. Dengan hanya 269 penampilan untuk United sejak 2011, satu keajaiban sebenarnya untuk melihat Jones masih kekal bersama kelab hingga ke hari ini.

 

Kelmarin, kelab akhirnya memutuskan ikatan selama 12 tahun bersama Jones, pemain yang sejak 2018 meraih pendapatan sebanyak £28.5 juta hanya dengan menyaksikan permainan United dari bangku penonton. Musim depan tiada lagi kelibat Jones dalam kem United, tiada lagi sosok pemain yang sangat terkenal dengan gaya permainan kerasnya serta kecenderungan melakukan `tackle’ secara melulu hingga terlupa bahawa tubuhnya sangat `rapuh’.

 

Satu medal kejuaraan liga, satu medal kejuaraan Piala FA, dua kali menjulang trofi Perisai Komuniti dan berada di pentas Eropah ketika United menjulang kejuaraan Liga Europa, tetap satu pencapaian yang sebenarnya wajar dicemburui bagi seorang pemain yang cuma melakukan 229 penampilan sepanjang tempoh dua belas musim bersama United. Jones bukanlah definisi sebuah `kegagalan’ tetapi beliau adalah sebuah kisah tentang `legenda yang hilang’. Glory Glory Manchester United!!!



15 Mei 2023

BERDOALAH SEMOGA CITY GAGAL MENJULANG KEJUARAAN TREBLE MUSIM INI

 


Apa perkara yang paling membimbangkan penyokong Manchester United selain kegagalan kelab beraksi di saingan Liga Juara-Juara musim depan? Jawapannya ialah melihat Manchester City menamatkan saingan musim ini dengan kejuaraan `treble’, sekaligus menyamai pencapaian epik yang dilakar skuad `99 United pimpinan Sir Alex Ferguson. Kejuaraan `treble’ yang dilakar pada musim 1998/99 akan sentiasa menjadi momen manis untuk dikenang oleh penyokong-penyokong United, pencapaian yang hingga kini masih gagal disentuh oleh mana-mana kelab Inggeris.

 

Selepas 24 tahun pencapaian itu dilakar, peminat bolasepak Inggeris berpeluang menyaksikan satu lagi kelab dari kota Manchester merangkul tiga kejuaraan besar dalam semusim. Manchester City kini berada di landasan tepat dalam misi mereka menjulang kejuaraan Liga Perdana buat musim ketiga berturut-turut. Dalam saingan Liga Juara-Juara pula, mereka memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pada perlawanan kedua peringkat separuh akhir nanti selepas berjaya mengikat Real Madrid (1-1) pada perlawanan pertama.

 

Jika berjaya melepasi halangan Real, City akan melakukan penerbangan ke Istanbul untuk beraksi di pentas final Liga Juara-Juara buat kali kedua dalam sejarah kelab pada 11 Jun nanti. Tetapi sebelum itu, mereka perlu berdepan United di Wembley pada 3 Jun bagi menentukan siapa paling layak berada di podium kejuaraan Piala FA. Meskipun pada April lalu Pep Guardiola mengatakan bahawa kejuaraan `treble’ masih terlalu jauh dari jangkauan City, tetapi kini ambisi tiga kejuaraan mereka tampak sukar disekat, hatta oleh `specialist’ Liga Juara-Juara seperti Real sekalipun.

 

Sebagai penyokong United, suka atau tidak anda terpaksa mengakui bahawa City merupakan kelab terbaik dunia ketika ini. Mereka memiliki kedalaman skuad yang cukup bagus, ada pemain yang mampu memberikan perbezaan dalam satu-satu perlawanan seperti Kevin De Bruyne, mesin gol yang menakutkan dalam diri Erling Haaland serta strategi-strategi bijak yang dilakar Guardiola dari tepi padang. Dengan komposisi skuad hampir sempurna dimiliki City, hanya keajaiban yang mampu menyekat mereka dari menjulang kejuaraan `treble’ musim ini.

 

Menuju Kesmpurnaan

 

Musim lalu, City bermain tanpa penyerang tulen tetapi mereka masih mampu mempertahankan kejuaraan liga buat musim kedua berturut-turut. Meskipun berjaya mengatasi cabaran Liverpool dalam perlumbaan merebut kejuaraan liga, Guardiola sedar bahawa ada sesuatu yang hilang dalam skuadnya. Apa yang diperlukan Guardiola untuk menjadikan City lebih sempurna ialah seorang penyerang tengah tulen sebagai mesin gol baharu bagi menggantikan posisi yang ditinggalkan Sergio Aguero. Lalu datanglah Erling Haaland ke Stadium Etihad.

 

Bersama Borussia Dortmund, Haaland muncul penyerang paling manakutkan di Bundesliga. Dalam statistik yang dikeluarkan FbRef, Dortmund mencatatan `Shot Goal Convertion’ (SgC) sebanyak 18.36%, catatan tertinggi berbanding mana-mana kelab terkemuka Eropah. Statistik ini juga jauh melangkaui catatan SgC City di Liga Perdana (13.63%). Pemain dengan kualiti penyudah setajam Haaland penting untuk Guardiola dalam misinya membawa City menjulang trofi Liga Juara-Juara buat pertama kali dalam sejarah kelab.

 

Haaland membuktikan kepada kita definisi sebenar seorang mesin gol menerusi 52 jaringan yang diledak beliau dari 48 penampilan untuk City setakat ini.  Dengan saingan liga yang masih berbaki tiga perlawanan, satu penampilan di pentas final Piala FA dan dua aksi Liga Juara-Juara (jika City berjaya mara ke final), bukanlah sesuatu yang mustahil jika Haaland mampu menjaringkan 60 gol musim ini. Bolasepak bukanlah tentang gol semata-mata, tetapi menerusi gol-gol yang dihasilkan Haaland, City kini sedang menuju kesempurnaan yang didambakan Guardiola.

 

Menyamai Pencapaian Fergie

 

Kejayaan skuad `99 United menjulang kejuaraan `treble’ satu pencapaian yang sebelumnya tidak pernah terlintas dek akal, hatta oleh penyokong-penyokong United sendiri. Jadi tidak hairanlah mengapa Sir Alex Ferguson pernah berkata bahawa pencapaian `treble 99’ itu tidak akan mampu diulangi oleh mana-mana kelab Inggeris. Pada 2005 ketika Chelsea berjaya memecah dominasi United dan Arsenal, Fergie berkata, “Tiada peluang untuk Chelsea memenangi `treble’. Mereka bagus dan konsisten, tetapi untuk melakukan apa yang kami telah lakukan pada 1999 adalah mustahil”.

 

Melihat kepada situasi terkini, pencapaian epik yang dilakar Fergie dan skuad kendaliannya 24 tahun lalu nampaknya berada dalam jangkauan City. City dalam tempoh beberapa musim terakhir sudah berada jauh di hadapan United. Setiap musim City sentiasa konsisten diletakkan sebagai pilihan utama untuk memenangi kejuaraan liga. Manakala dalam saingan Liga Juara-Juara pula, menyaksikan mereka beraksi di pusingan kalah mati adalah perkara biasa. Tetapi pada musim ini City benar-benar kesebelasan yang bergaya dengan potensi besar untuk menjulang kejuaraan `treble’.

 

Penutup

 

Bagi penyokong-penyokong United, melihat `jiran yang bising’ itu menyamai pencapaian skuad Fergie yang dilakar mereka 24 tahun lalu adalah satu hal yang sangat menyakitkan. Bagaimanapun pada 3 Jun nanti, United berpeluang memusnahkan impian tiga kejuaraan City dengan syarat Erik Ten Hag mampu meletakkan anak-anak buahnya di podium kejuaraan pada perlawanan akhir Piala FA nanti. City tampak kesebelasan yang sempurna tetapi bukanlah sesuatu yang mustahil untuk United menewaskan mereka di pentas final nanti kerana pada 1977, skuad kendalian Tommy Docherty pernah melakukannya.

 

Final Piala FA edisi `77 antara momen penting dalam sejarah bolasepak Inggeris, bukan kerana menemukan United dan Liverpool, dua seteru ketat di pentas domestik, tetapi juga kerana ambisi Bob Paisley yang mahu menjadikan `The Reds’ sebagai kelab pertama Inggeris menjulang kejuaraan `treble’. Sebelum bertandang ke Wembley, Liverpool sudah pun mengesahkan kejuaraan Liga Divisyen 1 buat kali kesepuluh. Selain itu, mereka juga merupakan finalis Piala Eropah (sekarang liga Juara-Juara) dan bakal beraksi menentang Borussia Monchengladbach di Stadium Olimpik Rom.

 

Liverpool ketika itu kesebelasan yang jauh lebih solid, dalam kelas tersendiri serta hampir mustahil untuk ditewaskan. Ketika hampir seluruh dunia berkata bahawa tiada peluang untuk Docherty menewaskan Paisley, hal sebaliknya pula berlaku. Gol jaringan Stuart Pearson dan James Greenhoff akhirnya meletakkan United di podium kejuaraan sekaligus menamatkan segala impian Paisley untuk mengemudi Liverpool menjulang kejuaraan `treble’. 3 Jun nanti, skuad Ten Hag juga mampu melakukannya biarpun hampir seluruh dunia meramalkan City bakal menamatkan musim ini dengan kejuaran `treble’. Glory Glory Manchester United!!!