02 Ogos 2023

HARI-HARI TERAKHIR MAGUIRE

 


Harry Maguire mungkin kisah tentang `pembaziran paling epik’ dalam sejarah Manchester United. Tiba di Old Trafford dengan status sebagai pertahanan termahal dunia, sempat memberikan impak signifikan kepada benteng pertahanan `The Red Devils’ tetapi akhirnya menjadi bahan jenaka saban minggu, bukan sahaja oleh penyokong lawan tetapi juga penyokong United sendiri. Sejak musim 2021/22 lagi, kelibat Maguire sentiasa mencetuskan kebimbangan penyokong-penyokong United kerana kesilapan-kesilapan mudah yang sering dilakukannya di benteng pertahanan.

 

Keberadaan Maguire di `backline’ United sering disebut sebagai titik lemah serta masalah yang tidak mampu diselesaikan mereka dalam tempoh dua musim terakhir. Pada musim panas 2019, kelab memecahkan rekod dunia bagi seorang pemain pertahanan ketika mereka menandatangani Maguire dari Leicester City. Ketika itu timbul persoalan, apa kelebihan yang dimiliki Maguire hinggakan kelab sanggup membayar sehingga £80 juta demi mendapatkan khidmatnya. Sudah tentu dengan harga semahal itu, ekspektasi terhadap Maguire juga setinggi langit.

 

Rio Ferdinand 2.0

 

Apa yang penyokong-penyokong United dambakan ketika itu ialah kelab sudah memiliki pasangan pertahanan tengah ampuh yang sukar ditembusi persis kombinasi Rio Ferdinand/Nemanja Vidic menerusi gandingan Maguire dan Victor Lindelof. Musim pertama (2019/20) gandingan Maguire dan Lindelof beraksi bersama, penampilan pasangan ini boleh dikategorikan sebagai cukup baik. Pada musim inilah, pintu gol United cuma dibolosi 36 kali berbanding musim sebelumnya (54 kali). Malah ketika Maguire dan Lindelof beraksi bersama dalam 34 penampilan liga, mereka berjaya memastikan pintu gol United tidak dibolosi sebanyak 12 kali.

 

Dua musim pertama keberadaan Maguire di Old Trafford adalah jawapan mengapa Ole Gunnar Solskjaer berjaya memaksa kelab mengeluarkan belanja begitu besar untuk mendapatkan khidmatnya. Di Leicester, Maguire merupakan figura pertahanan tengah dengan kualiti kawalan bola yang baik. Atau lebih tepatnya dalam istilah bolasepak moden, beliau merupakan seorang `ball playing defender’ yang sering diburu kelab-kelab besar sekitar Eropah. Imaginasi kita ketika itu sangat jelas, iaitu Maguire mampu menjadi watak penting kepada pendekatan permainan `build from the back’ selain kualiti defensifnya.

 

Umpama Bek Amatur

 

Dua musim pertama adalah tempoh yang memberangsangkan buat Maguire di Old Trafford. Tetapi selepas itu bencana mula datang hinggakan beliau dilabel sebagai `jenaka paling mahal’ abad ini. Kegembiraan penyokong-penyokong United ketika menyambut kedatangan beliau mula lebur menerusi beberapa siri kesilapan mudah yang dilakukannya persis pertahanan yang beraksi di liga amatur. Bayangkan bagaimana mudahnya Junior Stanislas melakukan `nutmeg’ ke atas seorang pertahanan termahal dunia ketika United berdepan Bournemouth pada Julai 2020.

 

`Marking’ yang dilakukannya ke atas Aaron Wan-Bissaka hingga membuka ruang buat Michael Obafemi menjaringkan gol penyamaan Southampton di penghujung perlawanan, `back kick’ yang dilakukannya hingga mengakibatkan Paul Pogba mengalami kecederaan serta bagaimana mudahnya Seydouba Soumah melepasi kawalan beliau ketika United berdepan Partizan Belgrade antara beberapa siri `blunder’ dilakukan Maguire hingga menghancurkan reputasinya. Akhirnya dari seorang pemain yang pada awalnya diramal mampu menjadi tonggak pasukan, Maguire bertukar kepada `badut’ di benteng pertahanan United.

 

Potensi Besar

 

Maguire sebenarnya bukanlah pemain pertahanan sebarangan. Di Bramall Lane, beliau merupakan pertahanan muda yang mengujakan dengan potensi yang cukup besar. Ketika menyaksikan penampilannya bersama skuad remaja Sheffield United pada 2011, Sir Alex Ferguson mengatakan bahawa Maguire memiliki semua ciri diperlukan untuk menjadi pemain hebat suatu hari nanti. Empat atau lima tahun yang lalu, anda mungkin bersetuju dengan pujian yang dilemparkan Fergie bila melihat penampilan Maguire bersama Leicester City.

 

Semua ciri-ciri pertahanan kelas dunia terlihat kepada susuk tubuh Maguire ketika itu. Postur tubuh yang tegap, sangat kuat ketika melakukan duel bola tinggi serta kualiti hantaran-hantaran yang dilakukannya menjadikan beliau antara pertahanan tengah paling dominan di Liga Perdana. Bagaimanapun Maguire juga punya kelemahan. Susuk tubuhnya yang besar mengurangkan kelajuan beliau, dan kelemahan inilah yang menjadi liabiliti kepada United. Apa yang berlaku adalah United sering terdedah kepada bahaya serang balas pantas lawan ketika mereka bermain dengan garis pertahanan tinggi.

 

Tersisih

 

Di era Erik Ten Hag, Maguire bukan lagi pilihan pertama untuk mengisi slot di posisi pertahanan tengah United. Prestasi buruk yang dipamerkan Maguire ketika berdepan Brentford pada perlawanan kedua liga musim lalu menyaksikan beliau hilang tempat dalam kesebelasan utama. Apa yang berlaku selepas itu? Benteng pertahanan United beraksi lebih baik tanpa beliau menerusi kombinasi Lisandro Martinez dan Raphael Varane selaku dua bek tengah. Malah ketika Varane diketepikan akibat kecederaan, Ten Hag lebih memilih meletakkan Luke Shaw sebagai rakan gandingan `Licha’ berbanding menurunkan Maguire.

 

Pada musim baharu nanti, anda tidak akan melihat lagi lilitan ketua pasukan berada di lengan Maguire. Keputusan yang diambil Ten Hag bukanlah satu keputusan yang mengejutkan jika diambilkira prestasi yang dipamerkan Maguire dalam tempoh dua musim terakhir. Kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukannya selain sistem permainan baharu yang diterapkan Ten Hag menjadi sebab utama mengapa Maguire kian dilupakan penyokong-penyokong United. Sepanjang musim lalu, beliau cuma mencatatkan 767 minit permainan menerusi 16 penampilan dalam saingan liga. Jadi anda boleh bayangkan apa yang bakal berlaku pada musim baharu nanti.

 

Penutup

 

Sukar untuk membayangkan bahawa Maguire akan kekal bersama kelab musim ini. Dilucutkan jawatan sebagai ketua pasukan, hilang tempat dalam kesebelasan utama, sekadar pilihan nombor lima untuk posisi bek tengah dan pemain yang paling tidak ingin dilihat berada di atas padang oleh penyokong antara penyebab yang boleh mendorong beliau untuk berhijrah ke kelab lain. Meskipun begitu dalam skuad kebangsaan England, Maguire masih lagi antara pemain penting untuk Gareth Southgate sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan terakhir.  

 

Nilai Maguire di pasaran menurun secara drastik, dan suka atau tidak kelab harus menerima kenyataan bahawa pembelian Maguire pada 2019 merupakan satu pelaburan yang gagal. Di Old Trafford, Maguire gagal mencetuskan impak setinggi ekspektasi yang penyokong-penyokong United berikan pada awal kemunculannya empat tahun lalu. Apa yang perlu dilakukan Maguire ialah mencari kelab baharu dan membina karier serta keyakinan dirinya semula. Chelsea, Aston Villa dan West Ham antara kelab yang dikhabarkan berminat mendapatkan khidmatnya.

 

Maguire akan sentiasa dikenang, bukan kerana cemerlangnya beliau mengemudi benteng pertahanan United, tetapi antara kegagalan terbesar kelab dalam bursa perpindahan pemain. Beban berat yang dipikulnya sebagai ketua pasukan serta ekspektasi tinggi akhirnya membunuh karier Maguire di Old Trafford. Tiada jalan kembali untuk Maguire tersenarai dalam kesebelasan utama Ten Hag, malah memilih untuk terus kekal bersama kelab juga bukan satu keputusan yang bijak. Terimalah kenyataan bahawa hari-hari terakhir anda di Old Trafford sudah hampir tiba. Glory Glory Manchester United!!! 



21 Julai 2023

ANDRE ONANA...REVOLUSIONER DI POSISI NOMBOR SATU UNITED

 


Hanya kerana sebutir Lasimac, nama Andre Onana lenyap dari peta bolasepak dunia selama setahun. Ketiadaan Onana bermula dari Februari 2021 jelas satu kehilangan besar buat Ajax Amsterdam kerana beliau merupakan penjaga gol terbaik mereka yang selama bertahun-tahun sudah membuktikan nilainya bersama kelab. Imej bersih beliau selama ini musnah dalam sekelip mata, tetapi Onana perlu akur bahawa beliau tidak akan terlibat dalam sebarang aktiviti bolasepak selepas rayuan pengurangan tempoh penggantungannya ditolak Mahkamah Timbang Tara Sukan.

 

12 bulan selepas beliau menjalani penggantungan, Onana kembali ke pangkuan Ajax, namun situasinya sudah jauh berubah. Posisi yang ditinggalkan Onana diisi Remko Pasveer, penjaga gol veteran yang beraksi dengan cukup cemerlang mengawal gawang Ajax sepanjang ketiadaannya. Pada Mei 2022, Onana akhirnya pergi meninggalkan Ajax sebagai agen bebas sekaligus menamatkan ikatan selama enam tahun beliau bersama gergasi Belanda itu. Bagaimanapun dengan rekod doping beliau, tidak banyak kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya.

 

Dari Eredivisie Ke Serie A

 

Ketika Onana bergelut mencari kelab baharu, Inter Milan pula sedar potensi besar yang dimiliki beliau sebagai pengganti jangka panjang kepada Samir Handanovic. Pada 1 Julai 2022, kesepakatan berjaya dicapai dan Onana akhirnya diumumkan secara rasmi sebagai pemain Inter dengan durasi kontrak selama lima tahun. Di Itali, negara di mana pizza dicipta, Onana menemui kembali jati dirinya. Sokongan tidak berbelah bahagi dari keluarga dan ultras La Beneamata menyaksikan Onana kembali menemui prestasi serta potensi terbaiknya.

 

Pada saingan Liga Juara-Juara musim lalu, beliau merakamkan lapan `clean sheet’ dari 13 penampilan yang menyaksikan Inter berjaya mara ke pentas `final’. Beberapa penyelamatan hebat yang dilakukan Onana di Istanbul bagaimanapun gagal menghalang Manchester City dari menjulang kejuaraan sulung Liga Juara-Juara mereka. Begitupun, penampilan gemilang Onana berjaya mencuri perhatian Pep Guardiola. “Onana adalah penjaga gol yang luar biasa. Dia melakukan `build up’ dan berada di posisi pemain tengah bertahan. Dia betul-betul menyusahkan kami”, kata Guardiola selepas tamat perlawanan.

 

Kata-kata yang dilontarkan Guardiola bukan satu pujian biasa, tetapi penghargaan luarbiasa dari seorang individu yang mempelopori konsep seorang `ball playing goalkeeper’ dalam sistem bolasepak moden. Di Barcelona, beliau menggunakan Victor Valdes sebagai `revolusioner’ dan kini pengaruh tersebut dapat anda lihat dalam hampir kesemua pasukan yang beraksi di Liga Perdana. Lihat bagaimana peranan yang dimainkan David Raya untuk Brentford, Ederson Morais untuk City, Alisson Becker untuk Liverpool atau Nick Pope untuk Newcastle.

 

`Libero’ Di Pintu Gol

 

Perkembangan teknologi yang semakin pesat menjadikan dunia bergerak dengan sangat pantas, dan bolasepak juga tidak terlepas dari arus modenisasi. Bolasepak moden menyaksikan ramai pemain mampu beraksi lebih dari satu posisi dengan gaya permainan berbeza. Mereka-mereka inilah yang sering menjadi buruan kelab-kelab besar serata dunia, dan salah seorangnya ialah Onana. Beliau merupakan penjaga gol moden, atau antara contoh terdekat seorang libero yang beraksi di bawah gawang sepertimana yang disebut Guardiola. 

 

United sepatutnya sudah lama membawa seorang `ball playing goalkeeper’ ke dalam skuad mereka, dan kehadiran Onana adalah pelengkap kepada aspirasi Ten Hag yang mahu menjadikan United kesebelasan dominan dalam hal penguasaan bola. Tidak dinafikan bahawa De Gea merupakan seorang `shot stopper’ terbaik pernah dunia saksikan, tetapi Onana adalah tipikal penjaga gol moden yang mungkin paling ekstrim ketika ini. Kekuatan Onana ialah kemampuan beliau mengawal zonnya dengan baik menerusi kedua-dua belah kakinya, serta julat hantaran-hantaran yang dilakukannya pula lebih luas.

 

Musim lalu, ketepatan hantaran yang dilakukan beliau mencapai angka 93.8%, manakala purata hantaran yang dilakukan Onana dalam setiap perlawanan pula adalah 28.8. Kedatangan Onana ke Old Trafford bukan tentang pertemuan semulanya dengan Ten Hag semata-mata, tetapi beliau dibawa kerana falsafah bolasepak yang dianut warga Belanda itu. `Possession based football’ merupakan elemen terpenting dalam bolasepak moden, dan angin perubahan itulah yang cuba dibawa Ten Hag pada musim pertamanya di Old Trafford.

 

Bagaimanapun asas kepada pendekatan ini memerlukan seorang `ball playing goalkeeper’ berada dalam skuad, dan inilah antara titik kelemahan United musim lalu. Keberadaan penjaga gol moden seperti Onana memberikan kelebihan dari segi `numerical’ di bahagian pertahanan United, manakala kemampuan beliau dalam melakukan hantaran pula membolehkan mereka membina gerakan dari bawah. Untuk mana-mana pasukan yang memiliki penjaga gol seperti ini, ia membolehkan mereka lebih dominan dalam penguasaan bola dan secara teorinya boleh melakukan gerakan-gerakan ofensif dengan lebih berkesan.

 

Serie A, Liga Juara-Juara dan Piala Dunia

 

Anda boleh bercakap tentang pentingnya peranan seorang `ball playing goalkeeper’ dalam dunia bolasepak moden, tetapi tugas hakiki seorang penjaga gol tetap bergantung kepada ketangkasan sepasang tangan mereka dalam menafikan percubaan lawan. Dalam saingan Serie A musim lalu, statistik menunjukkan peratus penyelamatan yang dilakukan Onana ialah sebanyak 71.8%. Angka ini mungkin agak jauh jika dibandingkan dengan catatan yang dilakukan Ivan Provedel (77.2%), tetapi untuk seorang penjaga gol yang cuma melakukan 24 penampilan dalam saingan liga, apa yang dilakukan Onana adalah sangat mengagumkan.

 

Dalam saingan Liga Juara-Juara pula beliau melakukan purata 7.8 penyelamatan per perlawanan, angka tertinggi berbanding mana-mana penjaga gol yang beraksi dalam kejohanan tersebut. Pada aksi pusingan akhir Piala Dunia menentang Switzerland di Qatar pula, Onana melakukan 26 sentuhan bola di luar petak penaltinya, yang juga merupakan catatan tertinggi dilakukan oleh seorang penjaga gol dalam sejarah Piala Dunia. Secara keseluruhannya, beliau melakukan 46 sentuhan dalam perlawanan itu, namun kritikan Rigobert Song, menyebabkan Onana meninggalkan kem skuad kebangsaan dan bersara dari bolasepak antarabangsa.

 

Penutup

 

`Ball playing goalkeeper’ adalah pilihan yang sangat popular dalam arus bolasepak moden kerana kebolehan `ball on their feet’ yang dimiliki menjadi nilai tambah kepada kemampuan `shot stopping capabilities’ mereka. Bolasepak moden tidak lagi dimainkan dengan seorang penjaga gol melakukan hantaran-hantaran jarak jauh ketika lawan memberikan tekanan. Seorang penjaga gol moden perlu membuat banyak hantaran pendek di `backline’, menggerakkan aliran bola dari belakang atau membantu perubahan transisi dari bertahan kepada menyerang.  

 

Bolasepak sedang melalui fasa modenisasi, dan United juga perlu berevolusi dari meletakkan seorang penjaga gol tradisional di gawang mereka kepada penjaga gol moden. Ten Hag mahukan United bermain dengan `build from the back’ dan untuk melakukannya mereka perlu menandatangani seorang `ball playing goalkeeper’ seperti Onana. Johan Cryuff pernah berkata, “Dalam pasukan saya, penjaga gol adalah penyerang pertama, dan penyerang adalah pertahanan pertama”. Glory Glory Manchester United!!!



16 Julai 2023

LELAKI TERAKHIR DARI ERA FERGIE

 


Selepas 12 tahun bersama, ikatan antara David De Gea dan Manchester United akhirnya terlerai. Minggu lalu, De Gea akhirnya mengucapkan salam perpisahan kepada penyokong-penyokong United. “Saya ingin mengucapkan rasa terima kasih atas rasa cinta yang diberikan sepanjang 12 tahun lalu. Banyak perkara yang kami capai sejak Sir Alex Ferguson membawa saya ke sini. Dengan rasa penuh bangga setiap kali saya menyarung seragam ini, mewakili organisasi dan kelab terbesar di dunia merupakan satu penghormatan yang cuma mampu dicapai oleh segelintir pemain”, kata De Gea menerusi laman Instagram beliau.

 

Pada 30 Jun lalu, kontrak De Gea bersama kelab secara rasminya tamat, dan sejak itu timbul persoalan adakah kita dapat menyaksikan lagi aksi tangkasnya ketika mengawal pintu gol United musim depan. Bercakap tentang De Gea, tentunya agak janggal jika tidak mengaitkan beliau dengan Sir Alex Ferguson, sosok bertanggungjawab yang membawa beliau berhijrah ke England 12 tahun lalu. Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan bahawa De Gea merupakan `warisan’ berharga yang ditinggalkan Fergie selepas persaraannya pada 2013.

 

Pada 2011 ketika Fergie merekrut De Gea dari Atletico Madrid, beliau terpaksa bersaing dengan Anders Lindegaard, Tomasz Kuszczak, Ben Amos dan Sam Johnstone dalam perebutan mengisi posisi nombor 1 United. Meskipun De Gea baru berusia 20 tahun ketika itu, Fergie tahu bahawa beliau sudah memiliki seorang penjaga gol yang memiliki bakat istimewa, karakter sempurna, prospek masa depan serta punya potensi besar mengisi kekosongan yang ditinggalkan Edwin Van der Sar. Dan akhirnya posisi nombor satu itu menjadi milik beliau.

 

“Ketika David menyertai kami pada 2011, dia memikul tugas berat menggantikan Edwin Van der Sar yang selama empat tahun menjalankan tugasnya dengan baik. David pula baru berumur 20 tahun ketika itu, tubuhnya kurus manakala kekuatan ototnya belum cukup berkembang untuk berdepan dengan beberapa penyerang Liga Perdana yang sangat kuat dari segi fikzikal. Dalam beberapa bulan pertama, prestasinya tidak konsisten, dan pada satu perlawanan, dia jelas kecewa dengan prestasinya.

 

“Kemudian saya memilih untuk bercakap di hadapan semua pemain. Saya katakan kepada mereka bahawa David adalah contoh terbaik karakter United. Dia datang ke England pada usia remaja, tidak fasih berbahasa Inggeris dan setiap minggu terpaksa berdepan dengan penyerang-penyerang lawan yang memang bertekad untuk menyusahkan hidupnya”, kata Fergie. Apa yang berlaku selepas ucapan itu, prestasi De Gea melonjak, segala tekanan yang membelenggu dirinya terlerai dan beliau akhirnya berjaya keluar dari bayang-bayang Van der Sar.

 

Seriusnya Fergie dalam misi membawa De Gea beraksi di Old Trafford didedahkan beliau dalam buku tulisannya bertajuk `Leading’. “Dari 1500 perlawanan United yang saya kendalikan, cuma tiga kali saya tidak hadir menyaksikan mereka bermain. Pertama, ketika saya menghadiri majlis pengebumian adik saya di Glasgow pada 1998. Kedua, ketika saya menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki saya di Afrika Selatan pada 2000. Dan ketiga, ketika saya memantau aksi De Gea pada 2010”, tulis Fergie dalam buku beliau.

 

545 penampilan yang dilakukan De Gea dalam seragam merah United meletakkan beliau di kedudukan ketujuh selaku pemain paling banyak melakukan penampilan sepanjang sejarah kelab. Juga pemain kedua melakukan penampilan terbanyak selepas Wayne Rooney dalam kategori pemain yang ditandatangani Fergie dari kelab lain. De Gea adalah lambang kepada dua sisi berbeza United, iaitu era sebelum dan selepas ketibaannya di Old Trafford. Sepanjang tempoh 12 tahun sebelum beliau ditandatangani kelab, United menang lapan kejuaraan liga serta empat kali mereka tampil di pentas final Liga Juara-Juara.

 

Apa pula yang berlaku selepas 2011? United menang kejuaraan liga ke-20 dan terakhir mereka, dua tahun selepas ketibaan De Gea di Old Trafford. Tahun-tahun selepas itu, lebih banyak episod kelam untuk dikenang, berbanding kisah gemilang yang lunak untuk dicerita kepada generasi mendatang. Ketika United mengalami fasa-fasa pasang surut mereka, sepasang tangan milik De Gea, masih `angkuh’ dalam melindungi pintu gol United dari bedilan penyerang lawan. Di bawah palang dan tiang pintu gol United, De Gea adalah pahlawan yang tiada tandingan.

 

Pada 2015, Sergio Romero pernah dibawa masuk, sosok penjaga gol kelas dunia dari Argentina yang dicanang mampu menggugat posisi De Gea. Begitu juga Joel Perreira dan Dean Henderson, dua anak muda yang disebut-sebut sebagai baka penjaga gol moden yang mampu membuatkan Jose Mourinho atau Ole Gunnar Solskjaer berpaling dari De Gea. Bagaimanapun De Gea masih kekal di posisi nombor satu United tanpa mampu digugat meskipun United melalui tempoh terburuk dalam sejarah mereka di musim terakhir pengurusan Solskjaer.

 

Musim 2021/22 merupakan kemuncak kepada rasa frustasi kita terhadap prestasi kelab. Ketika itu, segalanya tunggang langgang dan haru biru hinggakan panggilan `S.O.S’ terpaksa dilakukan kepada Ralf Rangnick, bapa kepada falsafah bolasepak `gegenpressing’ demi menyelamatkan air muka pemain dan pihak pengurusan United. Sudah tentu, anak panah kritikan paling tajam ditujukan terus ke arah batang tubuh De Gea, lelaki terakhir di barisan belakang yang dikatakan penyebab utama mengapa pintu gol United bolos 57 kali dalam saingan liga.

 

Tatkala mantan bek termahal dunia beraksi seperti pemain amatur, kritikan tajam yang dilontarkan terus ke wajah De Gea atas prestasi buruk pertahanan United adalah sesuatu yang agak kejam dan tidak adil. Bagaimanapun musim lalu segalanya bertambah baik ketika United memulakan era baharu mereka di bawah pengurusan Erik Ten Hag. Benteng pertahanan yang dinaik taraf menerusi kehadiran Lisandro Martinez dan Tyrell Malacia, meninggalkan impak kepada persembahan barisan belakang United. Dan De Gea turut menerima tempiasnya.  

 

Kejayaan De Gea memenangi sarung tangan emas buat kali kedua menerusi catatan 17 `clean sheet’ yang dilakukannya musim lalu tetap tidak memadam persoalan tentang sejauh manakah relevannya beliau sebagai pilihan utama di posisi nombor 1. Penampilan beliau untuk United di pentas final Piala FA menguatkan lagi keraguan tentang kemampuan mutakhir De Gea. Kesilapan mudah yang dilakukannya ketika berdepan Brentford pada Ogos tahun lalu, Real Betis pada Mac dan West Ham pada Mei antara contoh terbaik mengapa United perlu mendapatkan penjaga gol baharu.

 

Pada suatu ketika, De Gea adalah `masa depan’ United, tetapi ketika kebanyakkan kelab berlumba-lumba meletakkan seorang `ball playing goalkeeper’ yang menjadi antara asas penting kepada falsafah bolasepak berteraskan penguasaan bola, United perlu segera melupakan masa lalu mereka bersama De Gea. 14 penyelamatan yang dilakukannya ketika berdepan Arsenal pada 2017 akan sentiasa kekal dalam ingatan. Manakala empat kali dinobatkan selaku pemain terbaik tahunan United adalah bukti betapa De Gea antara penjaga gol terbaik sepanjang sejarah kelab.

 

Hanya ada tiga penjaga gol terbaik yang pernah beraksi untuk United di era Fergie, mereka ialah Peter Schmeichel, Edwin Van der Sar dan De Gea. Berbanding Schmeichel dan Van der Sar, De Gea tidak pernah merasai kemahsyuran menjulang trofi Liga Juara-Juara, tetapi beliau merupakan penjaga gol paling banyak melakukan penampilan untuk United dalam sejarah kelab. De Gea adalah cebisan terakhir dari sebuah legasi ditinggalkan Fergie, dan selama 12 tahun, lelaki ini teguh berdiri melindungi pintu gol United.

 

Akhirnya perjalanan selama 12 tahun De Gea bersama United sudah tiba di garis penamat. Lapan kejuaraan yang dimenanginya bersama United, dua kali memenangi anugerah `golden glove’, empat kali dinobatkan selaku pemain terbaik tahunan kelab dan empat kali berada dalam senarai kesebelasan terbaik tahunan Liga Perdana, anda akan sentiasa diingati sebagai antara penjaga gol terbaik yang United pernah ada. Pergilah `Super Dave’, pergi dengan kepala tegak dan pergilah dengan penuh rasa bangga. Glory Glory Manchester United!!!  

06 Julai 2023

LEPASKANLAH DE GEA

 


Pada musim panas 2011, Sir Alex Ferguson meminta agar pihak pengurusan Manchester United menandatangani seorang penjaga gol baharu bagi menggantikan posisi Edwin Van der Sar yang bersara. Tugas mencari pengganti Van der Sar bukanlah mudah, yang selama enam musim menjalankan tugasnya dengan sangat cemerlang sebagai `pemegang kunci pintu gol’ United. Ada beberapa nama ketika itu yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford, dan Manuel Neuer serta Maarten Stekelenburg adalah diantaranya.

 

Akhirnya segala spekulasi tentang siapa yang bakal ditugaskan mengawal pintu gol United terjawab, bila kelab menandatangani David De Gea dari Atletico Madrid pada Jun 2011 dengan nilai perpindahan sebanyak £18.9 juta, yang juga merupakan rekod perpindahan Britain untuk seorang penjaga gol. Pada usia 20 tahun ketika itu, De Gea adalah prospek penjaga gol terbaik dunia, sanggup meninggalkan kehidupan remajanya di Sepanyol demi sebuah amanah dan tanggungjawab bagi menggantikan tempat si legenda Van der Sar.

 

Bukan mudah untuk mana-mana pemain remaja dari luar England beradaptasi dengan tempo dan gaya bolasepak Inggeris yang serba keras itu. Dan De Gea juga tidak terkecuali. Gagal berkomunikasi dengan baik bersama rakan sepasukan di benteng pertahanan, gugup dan faktor fizikal beliau antara sebab mengapa De Gea bergelut pada fasa awal kariernya di Old Trafford. Menurut Eric Steele (jurulatih penjaga gol United ketika itu), selain kekurangan pengalaman, postur tubuh beliau yang agak kurus antara sebab mengapa De Gea begitu `rapuh’ ketika di tekan lawan.

 

Jadi apa yang dilakukan Steele setiap minggu ialah membentuk ketahanan De Gea menerusi latihan di gimnasium selama berjam-jam. Manakala dalam tempoh 48 jam sebelum perlawanan pula, barulah beliau menumpukan aspek kemahiran, teknik dan kepantasan. Akhirnya selepas tahap konsentrasi, fizikal, kepantasan, fleksibiliti dan tindakbalasnya semakin baik, De Gea membuktikan kepada para pengkritiknya bahawa beliau bukanlah versi `Massimo Taibi 2.0’, dan selama 12 musim posisi nombor 1 menjadi hak mutlaknya.

 

Transformasi De Gea

 

Pasca persaraan Fergie, United berubah dari kesebelasan yang saban musim diletakkan sebagai calon menjulang kejuaraan liga kepada kesebelasan yang sekadar mensasarkan kelompok empat teratas. Tetapi di sebalik semua itu, satu-satunya fakta yang tidak pernah berubah ialah ketangkasan De Gea sentiasa menjadi penyelamat kepada musim-musim suram United. Sejak 2011, De Gea sudah melakukan 545 penampilan, memastikan gawang United tidak dibolosi sebanyak 190 perlawanan dan memenangi anugerah `golden glove’ sebanyak dua kali.

 

Sejak 2011, De Gea melalui transformasi yang sangat luar biasa sebagai pilihan nombor satu di pintu gol United. Dari seorang penjaga gol yang sering dibelenggu rasa cemas dengan lontaran-lontaran jauh Rory Delap atau ketika beliau menerima asakan keras dari penyerang-penyerang lawan yang berpostur tegap, De Gea menjelma sebagai antara figura yang sangat disayangi oleh para fanatik `The Red Devils’. Dan selama lebih dari satu dekad jugalah, United sangat bergantung kepada ketangkasannya sebagai pelindung dari badai gol yang menghujani gawang mereka.  

 

Mula Dipersoalkan

 

Bagaimanapun kapasiti De Gea sebagai pilihan nombor satu di pintu gol United mula dipersoalkan sejak beberapa musim terakhir. Tidak dinafikan bahawa De Gea sering menyelamatkan United menerusi penyelamatan-penyelamatan hebat yang adakalanya tidak terfikir oleh logik akal fikiran. De Gea merupakan salah seorang `shot stopper’ terbaik pernah disaksikan bukan sahaja di Liga Perdana, tetapi juga di dunia. Bagaimanapun dalam arus bolasepak moden, memiliki seorang `ball playing goal keeper’ adalah tuntutan yang mesti dipenuhi oleh mana-mana pasukan.

 

De Gea tidak pernah berasa selesa ketika bola berada di kakinya, dan kekurangan itulah antara dilema terbesar yang terpaksa dihadapi Erik Ten Hag musim lalu. Fergie, David Moyes, Jose Mourinho atau Ole Gunnar Solskjaer tiada masalah dengan pendekatan tendangan-tendangan gol atau jauh yang dilakukan De Gea, tetapi itu juga bermakna United sangat berisiko menyerahkan penguasaan bola kepada lawan. Dan dalam ideologi bolasepak moden, menyerahkan penguasaan bola kepada lawan adalah antara `dosa’ yang sukar untuk dimaafkan. 

 

Bolasepak berkembang dengan sangat pesat dan peranan seorang `ball playing goal keeper’ merupakan sebahagian elemen yang sangat penting dalam sistem bolasepak moden. Mereka boleh mengelecek dan mengawal bola dengan baik seperti `outfield player’ ketika ada tekanan dari pemain lawan, melakukan hantaran-hantaran pendek dan membina gerakan dari bawah. Falsafah bolasepak moden seperti `gegenpressing’, `tiki-taka’ atau `total football’ memerlukan sesebuah pasukan menguasai bola selama yang mungkin, dan ia perlu bermula dari seorang penjaga gol.

 

Kelemahan De Gea

 

Goyahnya keyakinan De Gea ketika beliau mengawal bola sudah terlihat pada penampilan kedua United dalam saingan liga musim lalu. Lihat bagaimana hantaran yang dilakukannya ke arah Christian Eriksen dipintas Mathias Jensen untuk gol kedua Brentford. Pada aksi kedua pusingan 16 pasukan Liga Europa menentang Real Betis, kelemahan De Gea dalam penguasaan bola sekali lagi terserlah. Hantaran yang dilakukannya terus ke arah Juanmi hampir saja menyebabkan pelawat menjaringkan gol kedua. United menang perlawanan itu tetapi Ten Hag jelas kurang gembira dengan prestasi De Gea.

 

Apa yang berlaku ketika kunjungan United ke St James Park pada April lalu benar-benar menelanjangkan kelemahan beliau. Ketika De Gea melakukan sepakan gol, ada tiga pemain lawan berada berdekatan petak penalti bagi menghalang beliau dari melakukan hantaran. Di St James Park, De Gea bergelut dalam berjuangannya menangani tekanan dan ketika beliau kembali melakukan hantaran-hantaran jauh, Newcastle dengan mudah memenangi kembali penguasaan bola. Menurut Alan Shearer, De Gea tidak selesa dalam penguasaan bola dan Newcastle pula cuma membiarkan beliau menguasai bola kerana tahu itu adalah kelemahan United.

 

Penutup

 

Kita seringkali dibuai dengan sikap sentimental dalam menghargai pemain bertaraf legenda dan setia seperti De Gea, hinggakan membuatkan kita terlupa bahawa prestasi beliau semakin menurun. Rasa hormat yang tinggi kepada beliau menyebabkan kita adakalanya `malu-malu untuk mengatakan bahawa sudah tiba masanya kelab mencari pengganti yang relevan, sesuai dengan ideologi bolasepak moden. Untuk melakukannya kita perlukan sedikit sifat `kejam’ dan Fergie adalah contoh terbaik. Lihat semula kebelakang, bagaimana tindakan `kejam’ yang dilakukan beliau ke atas bekas bintang-bintang kelab.

 

Paul Ince, Andrei Kanchelskis, Jaap Stam, David Beckham, Ruud Van Nisterooy dan Roy Keane antara yang menjadi korban kekejaman Fergie. Bagi beliau tiada mana-mana pemain lebih besar berbanding kelab.  Dan lihat juga apa yang dilakukan Pep Guardiola keatas Joe Hart, Raheem Sterling, Gabriel Jesus, Fernandinho dan Oleksandr Zinchenko. Fergie berani `menendang’ pemain-pemain berpengaruh yang dimilikinya kerana beliau memiliki visi masa depan untuk kelab, elemen yang hilang dalam kem United sejak persaraannya. Visi masa depan juga bererti United perlu mengorbankan De Gea dan beralih kepada penjaga gol yang lebih moden.

 

Selama lebih sedekad, De Gea antara tonggak penting United dan setia kepada kelab, tetapi itu tidak bermakna beliau tidak boleh di `sentuh’. De Gea seperti memang dilahirkan untuk menjaga gawang United, tetapi pada usianya yang sudah mencecah angka 32 tahun, tiba waktunya United menggantikan beliau dengan penjaga gol moden yang sesuai dengan aspirasi dan falsafah bolasepak Ten Hag. Melepaskan De Gea adalah solusi terbaik kepada masa depan kelab dan untuk sebelas musim yang sangat gemilang, terima kasih De Gea. Anda adalah individu, idola, figura, legenda dan pemain yang hebat. Glory Glory Manchester United!!!


28 Jun 2023

MENGAPA MASON MOUNT MENJADI SASARAN NOMBOR SATU TEN HAG?

 


Mason Mount jelas menjadi sasaran paling `hangat’ yang ingin diburu Manchester United pada bursa perpindahan pemain musim panas ini, tetapi polemik perpindahan pemain berusia 24 tahun itu ke Old Trafford tampaknya seperti tiada kesudahan. Tiga tawaran yang dikemukakan United ditolak Chelsea, jadi timbul persoalan adakah Erik Ten Hag masih bernafsu meletakkan Mount sebagai salah seorang trio bersama Bruno Fernandes dan Casemiro sebagai penggerak jentera tengah skuadnya musim hadapan?

 

Sejak musim 2019/20, Mount menjadi antara pemain terpenting di Stamford Bridge. Malah pada 2021, Jose Mourinho menyifat pemain itu sebagai `pemain tengah sempurna untuk mana-mana pasukan yang diwakilinya’. “Mount seorang pemain tengah yang bijak. Dia sangat memahami tentang strategi dan taktikal permainan. Dia bukan sahaja boleh bergerak di sebelah sisi tetapi juga berperanan sebagai pemain nombor 10. Saya percaya dia akan muncul sebagai `superstar’ suatu hari nanti”, kata Mourinho kepada The Times.

 

Serba Boleh

 

Ya, seperti yang dikatakan Mourinho dua tahun lalu, Mount merupakan pemain tengah serba boleh.  Beliau bukan sahaja boleh beroperasi di sisi kanan atau kiri, berperanan sebagai pemain nombor 10 tetapi juga ada kalanya digunakan Chelsea sebagai `false nine’ mereka. Melihat kepada kerja-kerja yang dilakukannya bersama Chelsea, tampak seperti Mount akan digunakan Ten Hag sebagai salah seorang dari tiga pemain yang beroperasi di belakang penyerang tengah (jika United berjaya mendapatkan khidmatnya).

 

Bagaimanapun United sudah ada pemain-pemain seperti Marcus Rashford, Bruno Fernandes, Alejandro Garnacho, Antony dan Jadon Sancho. Jadi apa yang boleh anda bayangkan ialah, Mount akan diletakkan Ten Hag pada posisi yang lebih ke belakang, meskipun beliau sebenarnya seorang pemain tengah yang memiliki lebih naluri menyerang berbanding bertahan. Untuk itu, Mount akan beroperasi bersama Casemiro sebagai dua pemain tengah yang mampu melakukan hantaran-hantaran progresif dari `defensive zone’.

 

Pengganti Eriksen

 

Musim lalu, peranan ini sebenarnya dipikul oleh Christian Eriksen atau Marcel Sabitzer. Bagaimanapun dengan usia Eriksen yang bakal menjangkau 32 tahun, manakala Sabitzer pula kembali menyertai Bayern Munich selepas tempoh pinjaman selama enam bulannya tamat, Ten Hag melihat Mount sebagai pemain yang mampu meningkatkan kualiti jentera tengah United selain faktor umur dan fleksibiliti dalam permainannya. Musim 2022/23 merupakan musim terburuk Chelsea, yang bukan sahaja menjejaskan penampilan Mount tetapi juga keseluruhan skuad.

 

Tetapi sebelum itu cuba anda lihat statistik beliau pada musim sebelumnya (2021/22). Sepanjang kempen musim 2021/22, Mount mencatatkan lebih 2000 minit permainan untuk Chelsea, dan dari jumlah tersebut beliau mencatatkan purata 6.25 hantaran progresif, 2.21 `key passes’, 0.26 `expected assist’ dan 4.53 `shot creating actions’ per perlawanan. Dalam peranan yang lebih ofensif pada formasi 3-4-2-1 yang digunakan Thomas Tuchel, Mount menjaringkan 13 gol dan mencipta 16 bantuan gol dari 53 penampilan keseluruhan beliau pada musim 2021/22.

 

Dalam peranan sebagai pemain nombor 8 yang digalas Eriksen sebelum ini, kehadiran Mount mampu menjadikan jentera tengah United lebih dinamik menerusi kualiti kawalan bola yang beliau miliki, jarak hantaran dan visi beliau dalam mengawal tempo permainan. Jika Eriksen sangat dikenali kerana kepakaran beliau sebagai seorang `playmaker’ dan `set-pieces’nya, Mount pula seorang pemain tengah yang sangat dikenali kerana intensiti tinggi dalam permainannya, `work rate’ dan kualiti kerja-kerja bertahan yang dilakukannya.

 

Peranan Defensif dan Ofensif

 

Jika beliau diberikan peranan yang lebih ofensif pula, Mount bukanlah tipikal pemain nombor 10 Inggeris yang sering anda lihat. Kemahiran beliau ketika mengawal bola sering membingungkan pemain lawan, tambahan pula Mount memiliki kekuatan pada kedua-dua belah kakinya. Di sisi kiri mahupun kanan ketika beliau bergerak, Mount merupakan perancang yang sangat berbahaya di zon `final third’, sama ada menerusi hantaran yang dilakukannya atau ketika beliau memecah pertahanan lawan menerusi pergerakan dengan bola atau tanpa bolanya.  

 

Jika Chelsea akhirnya menyerah dengan melepaskan Mount berpindah ke Old Trafford, apa yang boleh anda bayangkan ialah beliau akan membentuk gandingan bersama Casemiro dengan peranan yang lebih defensif, manakala Bruno Fernandes pula beroperasi sebagai pemain nombor 10. Musim lalu, United bermain dengan gaya dan pendekatan yang berbeza. Adakalanya mereka bermain bolasepak menyerang, dan adakalanya juga mereka bermain dengan pendekatan yang agak pragmatik, imej yang sangat kontras dengan gaya bolasepak Ten Hag.

 

Musim depan Ten Hag mahu melakukan perubahan total kerana bagi beliau, United mesti bermain bolasepak berorientasikan penguasaan bola. Jadi atas sebab itulah mengapa pemain tengah dengan profil seperti Mount perlu ada dalam skuad United musim hadapan. Peranan dan fleksibiliti permainan Mount memberikan Ten Hag pilihan taktikal yang lebih luas, kerana pemain England itu bukan sahaja boleh beroperasi bersama Casemiro, tetapi juga mampu memberikan keseimbangan ketika menyerang bersama Fernandes.

 

Penutup

 

Di Chelsea, Mount merupakan pemain tengah yang mampu melakukan kerja-kerja defensif sama baik dengan kerja-kerja ofensifnya. Anda boleh labelkan beliau sebagai antara `virus’ yang menyebabkan Thomas Tuchel dipecat, tetapi menurut Lampard, Mount memiliki ambisi untuk muncul bintang besar suatu hari nanti. “Ambisinya ialah untuk menjadi pemain terbaik dunia suatu hari nanti. Di atas padang dia pemain penting kami dan ketika sesi latihan, dia akan berlatih seolah-olah ini adalah sesi latihan terakhirnya”, kata Lampard kepada The Athletic.

 

Bagi Lampard, Mount merupakan pemain penting untuk Chelsea, begitu juga dengan Gareth Southgate ketika pemain itu melapor diri untuk tugasan bersama skuad kebangsaan England. Sama ada ketika menyarung jersi biru Chelsea atau ketika bersama skuad `The Three Lions’, Mount adalah definisi tentang kestabilan di bahagian tengah mereka menerusi kemampuan menyerang dan bertahan yang dimilikinya. Atas sebab itu jugalah mengapa beliau menjadi sasaran nombor satu Ten Hag. Glory Glory Manchester United!!!



23 Jun 2023

HOJLUND...PROFIL NOMBOR 9 YANG REALISTIK UNTUK UNITED TANDATANGANI

 


Salah satu posisi yang bakal dijadikan fokus utama Erik Ten Hag untuk beliau perkuatkan bagi menghadapi musim baharu nanti ialah penyerang tengah. Untuk itu nama-nama penyerang tengah tipikal seperti Victor Osimhen, Harry Kane, Rasmus Hojlund, Randal Kolo Muani dan Goncalo Ramos antara yang disebut-sebut berada dalam radar buruan beliau. Selepas pemergian Cristiano Ronaldo, Manchester United bergelut dalam usaha mereka meletakkan seorang pemain yang mampu menggalas tugas sebagai pemain nombor 9 dengan berkesan.

 

Marcus Rashford meledak 23 gol pasca pemergian Ronaldo ke Arab Saudi, tetapi pemain antarabangsa England itu tampak lebih selesa bergerak di sisi kiri berbanding berperanan sebagai penyerang tengah. Untuk meletakkan United selaku pencabar kejuaraan liga, Ten Hag tidak lagi boleh bergantung kepada Anthony Martial selaku pemburu gol, manakala Wout Weghorst yang dibawa masuk pada bulan Januari lalu sebagai pemain pinjaman bukanlah `level’ penyerang tengah bagi kelab seperti United.

 

Kane, Osimhen, Kolo Muani, Ramos?

 

Kane penyerang tengah yang tidak perlu lagi dipertikaikan kredibilitinya. Pada usia yang bakal mencecah angka 30 tahun pada Julai ini, beliau merupakan penyerang yang sangat berpengalaman, baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa. Paling penting, Kane adalah `Premier League proven’. Osimhen pula antara watak penting di sebalik kejayaan Napoli memenangi `Scudetto’ pertama mereka dalam tempoh 33 tahun. Musim lalu, beliau meledak 31 gol dari 39 penampilan dalam semua kejohanan untuk Napoli.

 

Berbanding Kane, pada usia beliau yang baru mencecah angka 24 tahun, Osimhen adalah projek jangka panjang Ten Hag jika kelab berjaya mendapatkan khidmatnya. Sama seperti Osimhen, Kolo Muani juga berusia 24 tahun. Prospek Perancis ini melakukan penampilan pertama di Piala Dunia tahun lalu selain menikmati penampilan musim pertama yang luarbiasa bersama Eintracht Frankfurt di Bundesliga. Musim lalu, beliau melakukan 46 penampilan untuk Frankfurt, menjaringkan 23 gol dan mencipta 17 bantuan gol.

 

Di Portugal pula ada seorang bintang sedang meningkat naik. Baru berusia 22 tahun, Goncalo Ramos dilabel sebagai penggempur masa hadapan skuad kebangsaan Portugal. Pada kempen Piala Dunia 2022 di Qatar, Ramos antara pemain muda yang menyerlah menerusi empat gol yang dihasilkannya selain mencipta satu bantuan gol dari lima penampilan. Bersama Benfica musim lalu, Ramos melakukan 47 penampilan, menjaringkan 27 gol dan mencipta 12 bantuan gol. Satu statistik yang sangat mengagumkan untuk seorang pemain muda seperti beliau.

 

Sasaran Realistik

 

Tanda harga bakal menyukarkan misi United mendapatkan khidmat Kane ataupun Oshimhen. Manakala Bayern Munich pula diberitakan kelab paling berpotensi untuk disertai Kolo Muani musim hadapan. Penampilan luarbiasa bersama Benfica, faktor umur dan harga menjadikan Ramos antara penyerang yang realistik untuk United tandatangani. Selain dari beliau, ada seorang lagi penyerang muda yang disebut-sebut mampu menjelma sebagai pengganti `de facto’ Ronaldo, sekaligus memegang watak utama sebagai pemain nombor 9 United musim hadapan.

 

Beliau yang saya maksudkan ialah Rasmus Hojlund, bintang dalam pembikinan dari Denmark dan penyerang Atalanta yang diletakkan dalam pasaran perpindahan dengan nilai sebanyak €45 juta oleh Transfermarkt. United pula diberitakan sudah menjalankan negosiasi dengan agennya bagi mendapatkan tandatangan pemain berusia 20 tahun itu. Berasal dari negara Scandinavia, postur tubuh dengan ketinggian 1.85m, seorang penyerang yang mampu berlari di bawah masa 11 saat untuk jarak 100m, Hojlund sering dikaitkan dengan penampilan Erling Haaland.   

 

Melihat penampilannya di atas padang, Hojlund merupakan seorang pemain yang bukan sahaja energetik, tetapi memiliki intensiti tinggi dalam permainan dan dianugerahkan dengan teknik yang bagus. Postur tubuhnya tidak setinggi Haaland, jadi beliau memiliki pusat graviti lebih rendah yang banyak membantu stabiliti pergerakan tubuh dan kakinya. Hojlund berpindah ke Atalanta pada musim panas tahun lalu, hanya tujuh bulan selepas beliau menyertai Sturm Graz dari FC Copenhagen. Di Bergamo, Gian Piero Gasperini  berjaya menggilap potensi yang dimiliki Hojlund. 

 

Gaya Permainan

 

Hojlund bukanlah tipikal penyerang tengah yang cuma menunggu peluang di dalam petak penalti lawan, tetapi sebaliknya beliau lebih cenderung turun ke bahagian tengah, mengawal bola sambil membiarkan rakan sepasukan yang lain untuk bergerak ke hadapan. Pendekatan permainan beliau bertujuan memancing pertahanan lawan untuk keluar dari posisi mereka dan mencetuskan `huru hara’ di zon `final third’. Ketika maju lebih jauh ke hadapan pula, Hojlund akan sentiasa bergerak mencari ruang bagi memilih posisi yang tepat untuk menyudahkan peluang.

 

Menurut Gasperini, Hojlund merupakan penyerang yang serba lengkap. Selain peranan utamanya sebagai penyerang tengah, beliau juga boleh beroperasi sebagai penyerang kedua atau di bahagian sayap. Kelajuan, koordinasi dan kekuatan fizikalnya menjadikan beliau antara penyerang dengan ancaman menakutkan di Serie A. Pada musim 2021/22, Hojlund bermain untuk Strum Graz selama 1156 minit, dan beliau berjaya meledak enam gol dan mencipta satu bantuan gol walaupun cuma melakukan 13 penampilan di Austrian Bundesliga.

 

Lima gol yang beliau jaringkan untuk Graz ketika itu dilakukannya menerusi pergerakan di dalam petak penalti dengan purata `expected goals’ (xG) setiap percubaannya mencapai angka 0.2. Statistik ini menunjukkan bahawa beliau seorang penyerang tengah tulen dengan kemampuan menyempurnakan satu peluang dari lima percubaan. Di liga yang lebih sukar seperti Serie A, potensi Hojlund terus menyerlah. Secara keseluruhannya, beliau bermain selama 1,834 minit untuk Atalanta di saingan liga, menjaringkan sembilan gol dan mencipta empat bantuan gol.

 

Purata xG setiap percubaan yang dilakukannya ialah 0.19, hampir menyamai catatan yang dilakukannya ketika bersama Graz pada musim 2021/22. Sepanjang saingan Serie A musim lalu, Hojlund cuma melakukan dua percubaan jarak jauh, dengan kedua-duanya dalam lingkungan dua ela dari petak penalti. Sebagai penyerang, beliau bijak menghidu peluang dalam pelbagai situasi, tahu bagaimana menggunakan kekuatan badannya untuk melindungi bola dan sangat berbahaya dalam situasi gerakan `counter attack’ kerana kelajuan yang dimilikinya.

 

`Next Haaland’?

 

Bukan mudah untuk mana-mana pemain dilabel sebagai `Next Haaland’, kerana hanya pemain yang memiliki potensi besar dan istimewa sahaja boleh dikaitkan dengan bintang Manchester City itu. Meskipun terdapat persamaan antara Haaland terutama dari sudut fizikal dan gaya permainan mereka, masih banyak yang perlu Hojlund tingkatkan dalam aspek permainannya. Haaland sangat prolifik dalam melakukan percubaan di mana beliau melakukan purata 3.2 percubaan dalam setiap perlawanan berbanding 2.2 yang dilakukan Hojlund.

 

Purata xG Haaland dalam setiap perlawanan pula ialah 0.89 berbanding catatan Hojlund (0.50). Dalam situasi `duel’ di udara pula, beliau memiliki kecenderungan lebih tinggi untuk melakukan tandukan (15%) berbanding Haaland (12%). Selain gaya permainan, Hojlund dan Haaland memiliki satu lagi persamaaan iaitu kedua-duanya merupakan penyerang berkaki kidal. Meskipun naluri penyudahnya masih tidak setajam Haaland, Hojlund menunjukkan bahawa beliau memiliki lebih variasi dalam menggunakan kedua-dua kakinya ketika melepaskan percubaan.

 

Musim lalu, statistik menunjukkan bahawa 20% percubaan yang dilakukan Hojlund adalah menggunakan kaki kanan berbanding Haaland (16%), sekaligus menunjukkan bahawa beliau merupakan penjaring gol serba boleh yang sukar diramal. Hojlund dan Haaland memiliki mentaliti sama ketika mereka berada di zon `final third’, kerana kedua-duanya tahu bila waktu yang tepat untuk melepaskan percubaan. Dan sama seperti Haaland, beliau juga gemar memberikan tekanan kepada pertahanan lawan bagi memungkin mereka melakukan kesilapan.

 

Penutup

 

United masih dalam pencarian untuk posisi pemain nombor 9. Jika Hojlund mahu meninggalkan kota Bergamo musim panas ini, beliau antara penyerang tengah yang boleh dipertimbangkan untuk United tandatangani. Jika kelab berjaya mendapatkan khidmatnya, Hojlund merupakan profil pemain yang bersesuaian dengan visi Ten Hag, kerana beliau mahu menjadikan United kesebelasan yang mampu mendominasi penguasaan bola menerusi sirkulasi hantaran-hantaran pantas bagi memecah garis pertahanan lawan.

 

Selepas gemilangnya penampilan Haaland bersama City musim lalu, kelab-kelab sekitar Eropah seolah-olah sedang mengalami kegilaan dalam usaha mereka memburu bakat seperti beliau, dan United juga perlu bertindakbalas dengan segera. Pada usia beliau sekarang, jangan bandingkan Hojlund dengan Haaland, kerana bintang muda Denmark itu sedang `dibina’ untuk menjadi seperti Haaland. Atalanta tidak akan mampu mengekalkan Hojlund di Bergamo, cuma persoalannya sekarang kemanakah destinasi beliau selepas ini? Glory Glory Manchester United!!! 



19 Jun 2023

MOYES...SEBUAH KEGAGALAN, ATAU SATU KESILAPAN?

 


Sepuluh tahun lalu, nama David Moyes tiba-tiba melonjak naik selepas beliau dinamakan sebagai pengganti Sir Alex Ferguson di Old Trafford. Ramai yang terkejut, dan ramai juga yang kehairanan kerana Moyes bukanlah nama berprofil tinggi dalam lingkaran dunia kejurulatihan berbanding Carlo Ancelotti, Jose Mourinho, Jurgen Klopp atau Pep Guardiola. Ketika itu, Moyes dan United umpama cerita fantasi Cinderella dalam realiti dunia bolasepak

 

Menurut Fergie, individu pertama yang mengumumkan Moyes sebagai pengganti beliau, pemilihan lelaki dari Glasgow, Scotland itu dibuat kerana kredibiliti dan keupayaannya mengemudi Everton bersaing secara konsisten di kelompok enam teratas dalam saingan Liga Perdana meskipun diberikan peruntukkan yang terhad. Malah Sir Bobby Charlton juga senang dengan pemilihan Moyes sambil menyifatkan beliau seorang pengurus yang memiliki mentaliti seorang juara.

 

Pada peringkat awal karier Moyes bersama United, segalanya tampak berjalan lancar dan teratur, malah penyokong-penyokong United sendiri menyambut baik kehadiran beliau. Bermula dengan kempen pra musim di Australia dan Asia, `The Choosen One’ kemudiannya berjaya menghadiahkan trofi pertama buat United menerusi kejayaan menewaskan Wigan Athletic dalam perlawanan pembukaan musim merebut Perisai Komuniti.

 

Bermula Era Moyes

 

United juga memulakan kempen liga mereka dengan sangat menyakinkan selepas membelasah Swansea City (4-1) di gelanggang lawan. Pada perlawanan kedua, mereka kemudiannya berjaya mengikat Chelsea (0-0) dalam aksi yang dilangsungkan di Old Trafford, tewas (0-1) kepada Liverpool di Anfield pada perlawanan ketiga liga dan kembali mengutip tiga mata ketika berdepan Crystal Palace pada perlawanan keempat yang dilangsungkan di gelanggang sendiri.

 

Tujuh mata dari empat aksi pertama liga bukanlah satu pencapaian yang buruk, apatah lagi ia dilakukan oleh seorang pengurus yang baharu menyertai kelab selama dua bulan seperti Moyes. Bagaimanapun pada aksi `Manchester derby’, segala kelemahan United terdedah. Kekalahan (1-4) di Stadium Etihad itu bukan hanya tentang City sebuah kesebelasan yang lebih baik, tetapi juga tentang betapa naifnya Moyes ketika berdepan strategi licik yang disusun Manuel Pellegrini.

 

Enam bulan selepas itu, lebih 75 ribu penonton di Old Trafford menjadi saksi satu lagi kekalahan besar yang dialami United kepada City. Jaringan dari Edin Dzeko, Yaya Toure dan Samir Nasri menyaksikan City muncul kesebelasan ketujuh yang berjaya menewaskan United di Old Trafford pada musim tersebut. Selepas mengharungi 31 perlawanan, United terperosok di tangga ketujuh, 12 mata di belakang Arsenal yang menghuni tangga keempat liga.

 

Dipecat

 

Pada 24 April 2014, kekalahan (0-2) yang dialami barisan kendalian Moyes di Goodison Park menyaksikan Everton buat pertama kali sepanjang tempoh 44 tahun berjaya menewaskan United dua kali dalam semusim pada saingan liga. Kekalahan kepada Everton merupakan `jalan mati’ kepada karier Moyes di Old Trafford dan dua hari kemudian, kelab mengumumkan pemecatan beliau. Bagi menghadapi baki saingan musim tersebut, Ryan Giggs dilantik selaku pengganti sementara. 

 

Sepanjang tempoh lapan bulan Moyes mengendalikan United, gambaran tentang bencana yang dialami kelab di bawah kepimpinannya masih terasa hingga ke hari ini. United akhirnya menamatkan saingan liga di tangga ketujuh, dan itu juga bermakna mereka gagal beraksi di saingan Liga Juara-Juara buat pertama kali sejak 1995. Adakah Moyes memang seorang pengendali yang tidak memiliki kredibiliti, atau keputusan kelab menamakan beliau sebagai pengganti Fergie satu keputusan yang teruk?

 

Mudah sebenarnya untuk meletakkan segala kegagalan ketika itu di bahu Moyes. Kutipan mata terendah dalam sejarah penyertaan kelab di Liga Perdana, prestasi di gelanggang sendiri terburuk dalam tempoh sedekad, kalah kepada Swansea City di Old Trafford buat pertama kali dalam sejarah pertemuan antara kedua-dua kelab, dan kalah kepada Stoke City dalam saingan liga buat pertama kali sejak 1984 antara rekod buruk yang ditinggalkan Moyes sepanjang lapan bulan beliau di Old Trafford.

 

Penyokong-penyokong United akan sentiasa mengenang Moyes kerana segala rekod buruknya di Old Trafford, tetapi untuk berlaku adil kepada beliau, cuba lihat pula situasi kelab ketika itu. Tanda-tanda bahawa Moyes bakal berdepan bencana di Old Trafford sudah terlihat pada bursa perpindahan pemain musim panas lagi. Ketika itu hanya Marouane Fellaini satu-satunya `nama besar’ berjaya beliau bawa masuk untuk memperkuatkan skuadnya bagi menghadapi musim baharu.

 

Skuad Usang

 

Kejayaan Moyes menandatangani Juan Mata dari Chelsea pada pertengahan musim mungkin satu-satunya keputusan terbaik yang beliau lakukan di Old Trafford. Bagaimanapun kehadiran maestro Sepanyol itu tetap tidak memadam hakikat bahawa Moyes mewarisi skuad usang peninggalan Fergie. Wayne Rooney, Robin Van Persie, Rio Ferdinand, Nemanja Vidic, Patrice Evra, Ryan Giggs dan Michael Carrick semuanya sudah melepasi zaman kemuncak mereka sebagai pemain.

 

Faktanya ketika itu, terdapat 11 pemain yang Moyes warisi dari skuad peninggalan Fergie sudahpun melepasi angka 27 tahun. Bagaimana pula dengan pemain-pemain muda yang ada ketika itu? Phil Jones, Chris Smalling, Adnan Januzaj, Nick Powell dan Alexander Buttner tidak mencapai `standard’ yang diharapkan untuk menggantikan pemain-pemain senior. Dengan barisan pemain yang ada, United perlu melakukan rombakan besar-besaran, tetapi pada musim panas mereka cuma mampu membawa masuk Fellaini.

 

Pengurusan Yang Teruk

 

David Gill memang sangat dikenali sebagai antara individu di sebalik suksesnya Fergie di Old Trafford. Jika anda bercakap tentang kesuksesan Fergie, anda juga tidak boleh terlepas dari menyebut peranan yang dimainkan Gill di belakang tabir. Bagaimanapun Gill yang sudah bersama United sejak 1997 mengundurkan diri sebagai pengarah eksekutif hanya beberapa bulan sebelum Fergie mengumumkan persaraannya. Apa yang berlaku selepas itu? Ed Woodward menggantikan posisi ditinggalkan Gill.

 

Siapakah Woodward? Seperti yang anda tahu, beliau merupakan naib pengerusi eksekutif United, bekas akauntan bertauliah dan bekas jurubank pelaburan di JP Morgan. Meletakkan Woodward sebagai pengganti Gill bukanlah satu idea yang bijak, dan akhirnya anda lihat apa yang sudah dilakukan beliau. Pada jendela perpindahan musim panas 2013, maneuver United dalam misi menandatangani pemain baharu di bawah teraju Woodward berjalan dengan sangat perlahan.

 

United mensasarkan Cesc Fabregas, Ander Herrera, Leighton Baines dan Fabio Coentrao tetapi yang datang cuma Saidy Janko dan Guillermo Varela, manakala Fellaini menyertai kelab pada detik akhir sebelum jendela perpindahan pemain ditutup. Berbanding ketika era Gill, United di bawah telunjuk Woodward pula gemar berbelanja besar tanpa memikirkan adakah pemain itu sesuai dengan keperluan dan rencana pasukan. Masih ingatkah lagi tentang penilaian beliau bahawa Diego Godin dan Toby Alderweireld tidak cukup bagus untuk United?

 

Penutup

 

Sebelum kedatangan Moyes ke Boleyn Ground, West Ham United sangat terkenal dengan kecenderungan mereka dengan `perpindahan mahal tetapi mengecewakan’. Mereka menandatangani Felipe Anderson, Javier Hernandez selain memecah rekod perpindahan kelab untuk Sebastian Haller, tetapi ketiga-tiganya gagal memberikan impak yang signifikan kepada prestasi kelab. Bagaimanapun selepas kedatangan Moyes, mereka sangat efektif dalam hal merekrut pemain.

 

Pada musim sejuk 2020, Moyes merekrut Jarod Bowen, Thomas Soucek dan kemudiannya menyusul pula Vladimir Coufal. Pada Oktober 2020, Said Benrahma yang juga bintang Liga Kejuaraan tiba dari Brentford. Paling menarik, lihat impak diberikan Jesse Lingard dan Craig Dawson, dua pemain terbuang dari United dan Watford yang beliau bawa masuk sebagai pemain pinjaman. Meskipun menyertai West Ham pada pertengahan musim, Lingard menjaringkan dua gol pada penampilan pertamanya untuk `The Hammers’

 

Musim 2013/14 merupakan titik hitam dalam karier kejurulatihan Moyes kerana kegagalannya meneruskan legasi yang ditinggalkan Fergie. Selepas dipecat, beliau kembali ke dunia kejurulatihan dengan mengendalikan Real Sociedad dan Sunderland dari 2014 hingga 2016. Bagaiamanpun sepertimana ketika bersama United, di Sociedad dan Sunderland, Moyes juga gagal bertahan lama. Tetapi itu semua tidak pernah memadam nama Moyes dari peta bolasepak Inggeris.

 

Pada 8 Jun lalu, Moyes berjaya membantu West Ham menamatkan penantian panjang lebih setengah dekad mereka untuk menjulang trofi di pentas Eropah menerusi kejayaan menewaskan Fiorentina pada perlawanan akhir Liga Conference. Trofi itu merupakan trofi kedua yang pernah dimenangi Moyes sepanjang karier kejurulatihannya sejak kejayaan beliau mengemudi Preston North-End memenangi kejuaraan Divisyen 2, 23 tahun yang lalu.

 

Moyes tidak ditakdirkan untuk menjadi pengendali sehebat Fergie, tetapi kerja-kerja yang dilakukannya untuk Everton dan West Ham wajar anda berikan pujian. Sukar untuk menulis sebuah artikel tentang Moyes kerana beliau bukanlah sosok menarik untuk anda tulis tentang kisah perjalanan kariernya. Dalam bolasepak, kita akan sentiasa ghairah bercerita tentang Manchester United era Fergie, tetapi sebolehnya kita tidak akan mahu mengingati United di era Moyes. Glory Glory Manchester United!!!