16 Ogos 2023

DAPATKAN SEMULA VERSI TERBAIK MOUNT

 


Manchester United membuka tirai aksi liga musim ini dengan langkah kanan meskipun mereka terpaksa bergelut sepanjang tempoh 90 minit perlawanan aksi menentang Wolverhampton Wanderers. Di sebalik `sengsara’nya United untuk meraih tiga mata penuh dalam perlawanan yang berlangsung di Old Trafford itu, aksi Mason Mount menjadi tumpuan. Pemilik jersi nombor 7 itu tiba di Old Trafford dengan harapan besar, pemain tengah yang dilabel mampu membuatkan jentera tengah United lebih kompak, solid dan teratur.

 

Dalam kem United, selain Mount, Andre Onana juga merupakan pemain yang melakukan penampilan pertama dengan jersi `The Red Devils’ di Liga Perdana. Bagaimanapun berbanding Mount, penampilan Onana pada `debut’ beliau untuk United wajar diberikan pujian. Enam aksi penyelamatan dan catatan `clean sheet’ yang dilakukan penjaga gol Cameroon itu menyaksikan beliau diberikan `rating’ 7.74 oleh laman WhoScored.com, sekaligus muncul pemain pemain kedua terbaik United selepas Aaron Wan-Bissaka dalam perlawanan itu.

 

Apa sebenarnya yang berlaku kepada Mount? Secara keseluruhannya Wolves merupakan kesebelasan yang lebih baik dan dominan dalam perlawanan itu meskipun mereka beraksi di Old Trafford. Dan Mount pula tenggelam hampir sepanjang tempoh 68 minit aksinya di atas padang. Sepanjang 68 minit penampilannya, Mount gagal menjaringkan sebarang gol, gagal mencipta bantuan gol, gagal mencipta peluang jaringan gol, gagal melepaskan sebarang hantaran silang, gagal memenangi sebarang `tackle’ dan gagal memenangi walau satu pun perebutan bola tinggi.

 

Agak malang, selama lebih sejam beliau berada di atas padang, hampir tiada apa-apa sumbangan yang mampu diberikan Mount kecuali satu `intercept’ yang dilakukannya. Dan paling mengecewakan, Mount cuma mampu melakukan 33 sentuhan sepanjang aksinya, jumlah terendah berbanding mana-mana pemain yang disenaraikan dalam kesebelasan utama United. Fakta ini pastinya membuatkan ramai penyokong United kecewa bila memikirkan bahawa beliau antara bakat terbaik bolasepak Inggeris masa kini dan harapan tinggi yang diberikan kepadanya ketika kelab mengumumkan kejayaan mereka mendapatkan khidmatnya.

 

Penampilan buruk Mount pada `debut’ beliau untuk United di Liga Perdana sepatutnya sudah boleh dijangka. Musim lalu dari 35 penampilan keseluruhannya bersama Chelsea, Mount cuma mampu menjaringkan tiga gol dan menyumbang tiga bantuan gol. Prestasi Mount musim lalu jelas tidak disenangi penyokong `The Blues’ dan `trend’ negatif tersebut berterusan pula pada kempen pra musim United. Jadi tidak hairanlah jika penyokong United mula bimbang tentang kemungkinan ini adalah satu lagi pelaburan sia-sia yang dilakukan kelab.

 

Penampilan pertama Mount mungkin tidak menepati harapan dan impian anda, tetapi ada sebab yang kukuh mengapa United sanggup berbelanja sehingga £55 juta bagi membawanya beraksi di sini. Bersama Chelsea, Mount sangat dikenali sebagai pemain tengah yang memiliki naluri membunuh yang cukup tajam. 38 gol dan 37 bantuan gol dari 178 penampilan bersama Chelsea merupakan satu statistik yang sangat mengagumkan buat pemain tengah seperti beliau. Kreativiti adalah antara masalah terbesar United musim lalu, jadi atas sebab itulah mengapa kelab menandatangani profil pemain tengah seperti Mount.  

 

Penampilan pertama menentang Wolves pastinya penampilan yang tidak mahu dikenang Mount. Prestasi beliau bersama Chelsea musim lalu mencetuskan kebimbangan tentang kemampuan Mount untuk memberikan impak kepada jentera tengah United musim ini. Walaupun statistik ketika menentang Wolves tidak menyebelahi Mount, namun Ten Hag gembira dengan `sumbangan’ pemain antarabangsa England itu. “Saya fikir ini adalah persembahan yang baik. Dia melakukan apa yang kami harapan dan apa yang kami minta dia lakukan”, kata Ten Hag.

 

Mount pada musim 2020/21 dan 2021/2022 merupakan sosok yang tidak tergantikan tempatnya dalam kesebelasan utama Chelsea. Sepanjang tempoh dua musim tersebut, Mount menjaringkan 17 gol, mencipta 15 bantuan gol, melepaskan 52 percubaan `on target’, melakukan 2547 hantaran tepat, memenangi 52 `tackle’, melakukan 58 `block’ dan 44 `intercept’. Ringkasnya dalam situasi bertahan mahupun menyerang, Mount adalah pemain penting dalam menjayakan skema permainan Chelsea. Apa yang perlu dilakukan Ten Hag sekarang ialah mendapatkan kembali Mount pada versi terbaiknya. Glory Glory Manchester United!!!



12 Ogos 2023

FRED...SI PROTAGONIS, ATAU SANG ANTAGONIS?

 


Beliau antara pemain yang sering dijadikan sasaran kritikan setiap kali Manchester United bermain di bawah par. Keberadaan Fred dengan jersi merah United adalah jenaka, sering dilabel sebagai titik lemah, tidak layak bermain untuk United malah ada yang menyarankan agar kelab mendapatkan pemain baharu bagi menggantikan tempat beliau. Di Old Trafford, kritikan seolah-olah sudah sebati dalam diri Fred, lantas memadam segala harapan tinggi yang diletakkan ke atas dirinya ketika beliau tiba di sini lima tahun lalu.

 

Bersama Shakhtar Donetsk, Fred adalah tipikal pemain tengah `box to box’ moden, pemain penting yang mampu menjayakan skema taktikal Mircea Lucescu atau Paulo Fonseca dengan sangat berkesan. Di Donetsk, Fred diberikan kebebasan untuk mara dari kawasan sendiri hingga jauh ke zon pertahanan lawan. Tugas hakiki Fred ketika itu bukan sekadar melakukan sedikit kerja-kerja kotor ketika bertahan, tetapi juga mencipta peluang kepada rakan di barisan hadapan atau melakukan percubaan terus ke gawang lawan.

 

Jose Mourinho secara terbuka pernah mengatakan bahawa sepanjang dua musim setengah karier pengurusannya di Old Trafford, beliau sering diberikan `pemain yang tidak dimahukannya’ oleh pihak pengurusan kelab. Untuk itu, terdapat rumour yang mengatakan bahawa Fred antara pemain yang dimaksudkan Mourinho. Jadi tidak hairanlah mengapa dalam tempoh empat bulan terakhir karier pengurusan Mourinho bersama United, beliau hanya menyenaraikan Fred sebanyak tiga kali sahaja dalam kesebelasan utamanya.

 

Nafas Baru

 

Kedatangan Ole Gunnar Solskjaer sedikit sebanyak mengubah nasib Fred. Corak permainan `direct football’ yang diterapkan Solskjaer menuntut agar Fred tidak mengawal bola terlalu lama. Di era Solskjaer, beliau menggunakan Fred sebagai `breaker’ untuk memutuskan rantaian gerakan yang dilakukan lawan di bahagian tengah. Jika ada peluang barulah Fred akan naik ke atas untuk membantu aliran bola dalam situasi `offensive’. Dalam skema `direct football’ Solskjaer, arahan beliau jelas…iaitu Fred tidak boleh mengawal bola terlalu lama.

 

Dalam satu wawancara bersama `Coaches Voices’, Solskjaer mengatakan bahawa beliau cuma membenarkan Fred menyentuh bola sebanyak sekali atau dua kali sahaja, dan selepas itu hantaran perlu segera dilakukan. Pendekatan ini dilakukan beliau bagi melindungi Fred dari `pressing’ yang dilakukan lawan, selain mempercepatkan transisi permainan dari bertahan ke menyerang. Berbanding ketika beliau bersama Dontesk, Fred ketika era Solskjaer lebih banyak digunakan untuk melakukan kerja-kerja bertahan. Untuk itu, Fred melaksanakan peranan beliau dengan cukup baik.

 

Dari 29 penampilan beliau di Liga Perdana pada musim 2019/20, Fred mencatatkan purata 2.7 `tackle’ sukses, 1.5 `intercept’, dan 1.3 `clearance’ per perlawanan. Selain daripada itu, Fred juga mencatatkan 75 kali `ball recoveries’ sepanjang musim tersebut, sekaligus muncul pemain kedua United paling banyak melakukannya selepas Harry Maguire (77 kali). Siapa boleh melupakan penampilan Fred dalam aksi menentang Liverpool di Anfield pada 20 Januari 2020. Meskipun United tewas (0-2) dalam perlawanan itu, Fred muncul pemain paling menonjol di atas padang.

 

Dalam kerja-kerja `defensive’, Fred memenangi lapan dari 15 `duel’ yang dilakukannya, melakukan empat `intercept’, dua `block’, 13 `ball recoveries’ serta sukses melakukan tiga `tackle’.  Manakala dalam situasi `offensive’ pula, Fred melakukan 96 sentuhan bola, 59 hantaran tepat, tiga `dribble’ dan satu percubaan tepat. Tatkala Nemanja Matic dan Andreas Pereira kelihatan agak tenggelam dalam perlawanan itu, Fred pula seperti berjuang secara bersendirian berdepan jentera tengah Liverpool yang serba kompak.

 

`McFred’

 

Sepanjang era pengurusan Solskjaer, Fred sering digandingkan bersama Scott McTominay bagi membentuk dua `pivot’ yang bertindak melindungi benteng pertahanan. Dua pemain ini juga sebenarnya memiliki karakter permainan dan peranan yang hampir sama. Ralf Rangnick pernah menyebut bahawa gandingan `McFred’ ini adalah `role’ nombor enam yang sangat berguna ketika United tidak menguasai bola. Menurut Rangnick, sama ada Fred atau McTominay, mereka adalah pemain yang akan digunakan beliau sebagai `breaker’ di bahagian tengah.

 

Masih ingatkah lagi dengan kejayaan United melakukan kebangkitan pada aksi menentang Paris St Germain di pusingan kalah mati Liga Juara-Juara musim 2017/19? Kejayaan United menundukkan PSG di Parc des Princes pada tanggal 6 Mac 2019 itu antara penampilan terbaik yang pernah dipamerkan gandingan `McFred’. Sepanjang aksi di Parc des Princes itu, Fred melakukan empat `tackle’, satu `intercept’ dan satu `clearance’, satu statistik yang sederhana, tetapi menunjukkan bagaimana berkesannya strategi Solskjaer menggunakan kualiti bertahan yang dimiliki Fred.

 

Fred digunakan Solskjaer bagi merosakkan tempo permainan lawan, dan tugasnya dalam perlawanan itu ialah memberikan tekanan demi tekanan ketika Marco Verratti menguasai bola. Kesukaran yang dihadapi Verratti dalam usahanya mengerakkan jentera tengah PSG menyaksikan perubahan sistem permainan dari 4-2-3-1 kepada 3-4-3 cuba dilakukan Thomas Tuchel.  Bagaimanapun ia tidak memberikan impak yang signifikan, kerana dominasi Fred di bahagian tengah menyaksikan pola gerakan-gerakan PSG lebih tertumpu di sisi sayap kanan dan kiri mereka.

 

Antara Cinta Dan Benci

 

Aksi menentang PSG Pada Mac 2019 dan Liverpool pada Januari 2020 antara contoh terbaik mengapa adakalanya Fred begitu disayangi penyokong United. Jika Fred berada dalam prestasi terbaiknya, United tampak seperti kesebelasan yang sangat kompak di bahagian tengah mereka. Begitupun, beliau juga adakalanya tidak terlepas dari sasaran kritikan. Sejak ketibaannya di Old Trafford pada musim panas 2018, Fred dilabel antara pemain yang gagal menepati potensi sesuai dengan harga £47 juta yang dibayar United ketika mereka mendapatkan khidmatnya.

 

Pada 22 Ogos 2021 dalam satu aksi menentang Southampton, Fred mempamerkan aksi yang boleh dilabel sebagai terburuk dalam kariernya di Old Trafford. Hanya seminggu sebelum itu, Fred bermain dengan sangat baik di sebalik kemenangan besar (5-1) yang dilakar United keatas Leeds di Old Trafford. Bagaimanapun penampilannya di St Mary benar-benar diselubungi kecelaruan. Gagal mengawal tempo permainan serta kesilapan-kesilapan `dungu’ ketika melakukan hantaran menyebabkan takat kesabaran penyokong terhadap beliau berada dikemuncaknya.

 

Penutup

 

Topik perbincangan tentang Fred kebiasaannya akan lebih terarah kepada sisi negatif berbanding positif dalam permainan beliau. Di Old Trafford, Fred sering dianggap sebagai watak antagonis dan `sisi gelap’ kepada permainan United. Lima tahun lalu ketika beliau tiba, ramai yang menyebut bahawa Fred adalah mesin penting yang bakal menggerakkan jentera tengah United. Sama ada ketika United menguasai bola atau tidak, Fred yang anda bayangkan ketika itu ialah seorang pemain tengah yang agresif ketika melakukan `pressing’ atau dalam peranannya sebagai `box to box midfielder’.

 

`Rumour’ tentang misi menjual Fred sudah kedengaran sejak pertengahan musim lalu lagi, kerana pemain berusia 30 tahun itu bukanlah kepingan `puzzle’ yang diperlukan di jentera tengah United. Keputusan kelab menandatangani Mason Mount menguatkan lagi khabar angin tentang pemergian Fred. Jelas Fred memang tiada dalam perancangan Ten Hag bagi menghadapi musim baharu. Begitupun, 213 penampilan yang dilakukan beliau selama lima musim di Old Trafford menobatkan Fred sebagai pemain Brazil paling banyak melakukan penampilan untuk United.

 

Musim ini, anda tidak akan melihat lagi kelibat beliau dengan jersi merah United, seorang pemain yang sangat energetik, lelaki yang sentiasa tersenyum dan ceria, juga pemain yang memiliki dua sisi dalam penampilannya di atas padang. Adakalanya beliau begitu antagonis di mata kita kerana penampilan buruknya, tetapi adakalanya beliau juga boleh berubah kepada sang protagonis yang menyebabkan kita menyayanginya. Terima kasih Fred, untuk lima musim yang telah anda berikan kepada kami. Glory Glory Manchester United!!! 



07 Ogos 2023

APA YANG MAMPU DITAWARKAN HOJLUND KEPADA UNITED?

 


Kata Johan Cryuff, “Untuk menang perlawanan, anda perlu menjaringkan lebih satu gol berbanding pasukan lawan”. Dalam bolasepak, untuk melakukan apa yang Cryuff sebut itu, mana-mana pasukan perlu memiliki seorang penyerang yang efektif kerana ia adalah komponen penting dalam sesebuah pasukan. Dalam tempoh beberapa musim terakhir, Manchester United juga sangat memerlukan sentuhan seorang penyerang yang efektif untuk mengisi posisi pemain nombor 9 mereka. Biarpun Marcus Rashford meledak 30 gol musim lalu, United sangat memerlukan seorang pemain nombor 9 baru bagi menggantikan tempat Cristiano Ronaldo.

 

Ketika United tidak lagi boleh berharap kepada Anthony Martial untuk berperanan sebagai penyerang tengah, dan lihat bagaimana bergelutnya Wout Weghorst yang cuma mampu meledak 2 gol dari 31 penampilan selepas beliau menyertai United dari Besiktas secara pinjaman, misi menandatangani seorang penyerang tengah baharu merupakan prioriti utama Erik Ten Hag bagi menghadapi musim baharu. Jadi tidak hairanlah mengapa sebaik musim 2022/23 berakhir, kelab dikaitkan dengan beberapa nama besar yang mengujakan seperti Harry Kane dan Victor Osimhen.

 

Pilihan Ke-3?

 

Dua atau tiga bulan yang lalu, nama Kane dan Osimhen sering disebut-sebut sebagai sasaran utama United, namun perubahan drastik berlaku ketika jendela perpindahan pemain musim panas dibuka. Menurut Fabrizio Romano, United mengemukakan tawaran lisan kepada Atalanta untuk sebarang kemungkinan mereka mendapatkan khidmat Rasmus Hojlund pada awal Julai lalu. Melihat kepada penampilan Hojlund di Serie A, liga yang sangat terkenal dengan seni bertahannya, bintang muda Denmark ini diramal bakal menjadi penyerang bernilai £100 juta dalam tempoh beberapa tahun mendatang.

 

Atalanta sedar akan potensi besar yang dimiliki Hojlund, jadi mereka perlu bertindak cepat dengan menandatangani beliau dari Sturm Graz setahun yang lalu.  Hanya satu gol berjaya diledak Hojlund dari sebelas penampilan pertama beliau di Serie A, tetapi sebaik bermulanya tahun baharu, bintang muda ini meledak empat gol dalam empat perlawanan berturut-turut untuk Atalanta. Tiga gol diledak beliau dalam saingan liga dan satu di pentas Coppa Italia. Ketika itu penyokong Atalanta sudah mula yakin bahawa mereka sedang melihat potensi yang sangat besar dalam diri pemain berusia 20 tahun ini. 

 

Potensi Besar

 

Pada bulan Mac, penampilan Hojlund menerusi lima gol yang beliau ledak ketika Denmark berdepan Finland dan Kazakhstan di pusingan kelayakan Euro 2024 menyebabkan fokus peminat bolasepak dunia tertumpu kepadanya. Mereka mula bertanya siapa sebenarnya Rasmus Hojlund ini? Manakala di Itali pula, Atalanta menyedari bahawa mereka kini sudah memiliki bintang dalam pembikinan yang boleh mendatangkan keuntungan besar jika mereka memutuskan mahu menjualnya. Ketika Hojlund mula mempamerkan prestasi impresifnya di tahun baharu, Atalanta juga sedar bahawa sukar untuk mereka mengekalkan pemain itu di Bergamo.

 

Akhirnya dengan wang sebanyak £72 juta yang ditawarkan United, Hojlund berpindah ke England, menyertai kelab yang beliau sokong sejak zaman kanak-kanaknya. Ramai yang melabel beliau sebagai `jelmaan Erling Haaland’, tetapi buat masa ini adalah tidak adil untuk membandingkan Hojlund dengan mesin gol milik Manchester City itu. Musim lalu, Haaland menjaringkan 36 gol dari 35 penampilan untuk City dalam saingan liga. Atau secara purata beliau menjaringkan satu gol setiap 77 minit. Manakala dalam saingan Serie A pula, Hojlund menjaringan purata satu gol setiap 204 minit.

 

Tatkala Haaland berjaya membantu City menjulang kejuaraan `treble’ musim lalu, kemampuan Hojlund pula masih belum terbukti di Liga Perdana. Apatah lagi beliau baru melalui dua musim penuhnya sebagai pemain profesional. Liga Perdana merupakan gelanggang pertempuran yang sukar, apatah lagi jika anda bermain untuk Manchester United. Bagaimanapun Hojlund dan Haaland ada persamaan dalam gaya permainan mereka, kerana kedua-duanya berkaki kidal, serta dikenali sebagai penyerang yang memiliki aset kekuatan dan kelajuan untuk memecah benteng pertahanan lawan.

 

Elemen Kelajuan

 

Dengan adanya pemain seperti Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho, United sebenarnya sudah memiliki tiga penggempur yang memiliki kelajuan di Liga Perdana. Elemen kelajuan bakal menjadi antara aspek penting kepada permainan United, kerana musim lalu mereka muncul kesebelasan paling banyak menghasilkan gol menerusi gerakan `counter attack’. Seorang penyerang tunggal bukan sahaja mampu bertindak sebagai penjaring gol ulung, tetapi juga `bring others into play’ dalam formasi 4-2-3-1 yang sering digunakan Ten Hag. Dalam hal ini, Hojlund merupakan profil penyerang yang mampu melaksanakan skema permainan Ten Hag.

 

Musim lalu dari 20 penampilan beliau di Serie A, statistik merakamkan Hojlund melepaskan 435 hantaran dengan peratus ketepatan hantaran yang dilakukannya ialah sebanyak 74.3%. Jadi beliau bukanlah penyerang tengah klasik, kerana kecenderungannya untuk terlibat secara langsung dengan setiap pergerakan bola. Dalam sistem permainan Atalanta, Hojlund sering beroperasi sebagai penyerang tunggal dan disokong dua pemain tengah menyerang yang bergerak di belakangnya. Sebagai penyerang yang memiliki postur tubuh seperti beliau, Hojlund juga unggul dalam melakukan `holding the ball’.

 

Ten Hag bukan sahaja memerlukan seorang penyerang tengah yang produktif dalam menghasilkan gol, tetapi seorang penyerang tengah yang memiliki `work rate’ tinggi, juga penyerang yang boleh bertindak sebagai `pertahanan pertama’ ketika pertahanan lawan menguasai bola. Dalam skema permainan yang diterapkan Ten Hag, Hojlund bakal menjadi pemain yang penting menerusi intensiti tinggi serta kemampuan beliau dalam melakukan `pressing’. Hojlund bukan sekadar pemain nombor 9 moden tetapi juga seorang`pressing forward’ dalam falsafah dan sistem bolasepak moden.

 

Penutup

 

Ketika Liverpool menandatangani Darwin Nunez musim lalu, manakala Manchester City pula membawa masuk Erling Haaland, United pula perlu bertindakbalas dengan segera. Saya tidak mengharapkan keajaiban segera dibawa Hojlund ke Old Trafford, sepertimana keajaiban yang dibawa Haaland ke Stadium Etihad. Tetapi percayalah, beliau sedang `dibina’ untuk menjadi sebagus Haaland dan penyerang yang lebih `complete’ di masa hadapan. Pada usia yang masih mentah, Hojlund merupakan projek jangka panjang Ten Hag dan prospek masa depan United. “Velkommen Rasmus Hojlund”…Glory Glory Manchester United!!!

02 Ogos 2023

HARI-HARI TERAKHIR MAGUIRE

 


Harry Maguire mungkin kisah tentang `pembaziran paling epik’ dalam sejarah Manchester United. Tiba di Old Trafford dengan status sebagai pertahanan termahal dunia, sempat memberikan impak signifikan kepada benteng pertahanan `The Red Devils’ tetapi akhirnya menjadi bahan jenaka saban minggu, bukan sahaja oleh penyokong lawan tetapi juga penyokong United sendiri. Sejak musim 2021/22 lagi, kelibat Maguire sentiasa mencetuskan kebimbangan penyokong-penyokong United kerana kesilapan-kesilapan mudah yang sering dilakukannya di benteng pertahanan.

 

Keberadaan Maguire di `backline’ United sering disebut sebagai titik lemah serta masalah yang tidak mampu diselesaikan mereka dalam tempoh dua musim terakhir. Pada musim panas 2019, kelab memecahkan rekod dunia bagi seorang pemain pertahanan ketika mereka menandatangani Maguire dari Leicester City. Ketika itu timbul persoalan, apa kelebihan yang dimiliki Maguire hinggakan kelab sanggup membayar sehingga £80 juta demi mendapatkan khidmatnya. Sudah tentu dengan harga semahal itu, ekspektasi terhadap Maguire juga setinggi langit.

 

Rio Ferdinand 2.0

 

Apa yang penyokong-penyokong United dambakan ketika itu ialah kelab sudah memiliki pasangan pertahanan tengah ampuh yang sukar ditembusi persis kombinasi Rio Ferdinand/Nemanja Vidic menerusi gandingan Maguire dan Victor Lindelof. Musim pertama (2019/20) gandingan Maguire dan Lindelof beraksi bersama, penampilan pasangan ini boleh dikategorikan sebagai cukup baik. Pada musim inilah, pintu gol United cuma dibolosi 36 kali berbanding musim sebelumnya (54 kali). Malah ketika Maguire dan Lindelof beraksi bersama dalam 34 penampilan liga, mereka berjaya memastikan pintu gol United tidak dibolosi sebanyak 12 kali.

 

Dua musim pertama keberadaan Maguire di Old Trafford adalah jawapan mengapa Ole Gunnar Solskjaer berjaya memaksa kelab mengeluarkan belanja begitu besar untuk mendapatkan khidmatnya. Di Leicester, Maguire merupakan figura pertahanan tengah dengan kualiti kawalan bola yang baik. Atau lebih tepatnya dalam istilah bolasepak moden, beliau merupakan seorang `ball playing defender’ yang sering diburu kelab-kelab besar sekitar Eropah. Imaginasi kita ketika itu sangat jelas, iaitu Maguire mampu menjadi watak penting kepada pendekatan permainan `build from the back’ selain kualiti defensifnya.

 

Umpama Bek Amatur

 

Dua musim pertama adalah tempoh yang memberangsangkan buat Maguire di Old Trafford. Tetapi selepas itu bencana mula datang hinggakan beliau dilabel sebagai `jenaka paling mahal’ abad ini. Kegembiraan penyokong-penyokong United ketika menyambut kedatangan beliau mula lebur menerusi beberapa siri kesilapan mudah yang dilakukannya persis pertahanan yang beraksi di liga amatur. Bayangkan bagaimana mudahnya Junior Stanislas melakukan `nutmeg’ ke atas seorang pertahanan termahal dunia ketika United berdepan Bournemouth pada Julai 2020.

 

`Marking’ yang dilakukannya ke atas Aaron Wan-Bissaka hingga membuka ruang buat Michael Obafemi menjaringkan gol penyamaan Southampton di penghujung perlawanan, `back kick’ yang dilakukannya hingga mengakibatkan Paul Pogba mengalami kecederaan serta bagaimana mudahnya Seydouba Soumah melepasi kawalan beliau ketika United berdepan Partizan Belgrade antara beberapa siri `blunder’ dilakukan Maguire hingga menghancurkan reputasinya. Akhirnya dari seorang pemain yang pada awalnya diramal mampu menjadi tonggak pasukan, Maguire bertukar kepada `badut’ di benteng pertahanan United.

 

Potensi Besar

 

Maguire sebenarnya bukanlah pemain pertahanan sebarangan. Di Bramall Lane, beliau merupakan pertahanan muda yang mengujakan dengan potensi yang cukup besar. Ketika menyaksikan penampilannya bersama skuad remaja Sheffield United pada 2011, Sir Alex Ferguson mengatakan bahawa Maguire memiliki semua ciri diperlukan untuk menjadi pemain hebat suatu hari nanti. Empat atau lima tahun yang lalu, anda mungkin bersetuju dengan pujian yang dilemparkan Fergie bila melihat penampilan Maguire bersama Leicester City.

 

Semua ciri-ciri pertahanan kelas dunia terlihat kepada susuk tubuh Maguire ketika itu. Postur tubuh yang tegap, sangat kuat ketika melakukan duel bola tinggi serta kualiti hantaran-hantaran yang dilakukannya menjadikan beliau antara pertahanan tengah paling dominan di Liga Perdana. Bagaimanapun Maguire juga punya kelemahan. Susuk tubuhnya yang besar mengurangkan kelajuan beliau, dan kelemahan inilah yang menjadi liabiliti kepada United. Apa yang berlaku adalah United sering terdedah kepada bahaya serang balas pantas lawan ketika mereka bermain dengan garis pertahanan tinggi.

 

Tersisih

 

Di era Erik Ten Hag, Maguire bukan lagi pilihan pertama untuk mengisi slot di posisi pertahanan tengah United. Prestasi buruk yang dipamerkan Maguire ketika berdepan Brentford pada perlawanan kedua liga musim lalu menyaksikan beliau hilang tempat dalam kesebelasan utama. Apa yang berlaku selepas itu? Benteng pertahanan United beraksi lebih baik tanpa beliau menerusi kombinasi Lisandro Martinez dan Raphael Varane selaku dua bek tengah. Malah ketika Varane diketepikan akibat kecederaan, Ten Hag lebih memilih meletakkan Luke Shaw sebagai rakan gandingan `Licha’ berbanding menurunkan Maguire.

 

Pada musim baharu nanti, anda tidak akan melihat lagi lilitan ketua pasukan berada di lengan Maguire. Keputusan yang diambil Ten Hag bukanlah satu keputusan yang mengejutkan jika diambilkira prestasi yang dipamerkan Maguire dalam tempoh dua musim terakhir. Kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukannya selain sistem permainan baharu yang diterapkan Ten Hag menjadi sebab utama mengapa Maguire kian dilupakan penyokong-penyokong United. Sepanjang musim lalu, beliau cuma mencatatkan 767 minit permainan menerusi 16 penampilan dalam saingan liga. Jadi anda boleh bayangkan apa yang bakal berlaku pada musim baharu nanti.

 

Penutup

 

Sukar untuk membayangkan bahawa Maguire akan kekal bersama kelab musim ini. Dilucutkan jawatan sebagai ketua pasukan, hilang tempat dalam kesebelasan utama, sekadar pilihan nombor lima untuk posisi bek tengah dan pemain yang paling tidak ingin dilihat berada di atas padang oleh penyokong antara penyebab yang boleh mendorong beliau untuk berhijrah ke kelab lain. Meskipun begitu dalam skuad kebangsaan England, Maguire masih lagi antara pemain penting untuk Gareth Southgate sekurang-kurangnya dalam tempoh 12 bulan terakhir.  

 

Nilai Maguire di pasaran menurun secara drastik, dan suka atau tidak kelab harus menerima kenyataan bahawa pembelian Maguire pada 2019 merupakan satu pelaburan yang gagal. Di Old Trafford, Maguire gagal mencetuskan impak setinggi ekspektasi yang penyokong-penyokong United berikan pada awal kemunculannya empat tahun lalu. Apa yang perlu dilakukan Maguire ialah mencari kelab baharu dan membina karier serta keyakinan dirinya semula. Chelsea, Aston Villa dan West Ham antara kelab yang dikhabarkan berminat mendapatkan khidmatnya.

 

Maguire akan sentiasa dikenang, bukan kerana cemerlangnya beliau mengemudi benteng pertahanan United, tetapi antara kegagalan terbesar kelab dalam bursa perpindahan pemain. Beban berat yang dipikulnya sebagai ketua pasukan serta ekspektasi tinggi akhirnya membunuh karier Maguire di Old Trafford. Tiada jalan kembali untuk Maguire tersenarai dalam kesebelasan utama Ten Hag, malah memilih untuk terus kekal bersama kelab juga bukan satu keputusan yang bijak. Terimalah kenyataan bahawa hari-hari terakhir anda di Old Trafford sudah hampir tiba. Glory Glory Manchester United!!! 



21 Julai 2023

ANDRE ONANA...REVOLUSIONER DI POSISI NOMBOR SATU UNITED

 


Hanya kerana sebutir Lasimac, nama Andre Onana lenyap dari peta bolasepak dunia selama setahun. Ketiadaan Onana bermula dari Februari 2021 jelas satu kehilangan besar buat Ajax Amsterdam kerana beliau merupakan penjaga gol terbaik mereka yang selama bertahun-tahun sudah membuktikan nilainya bersama kelab. Imej bersih beliau selama ini musnah dalam sekelip mata, tetapi Onana perlu akur bahawa beliau tidak akan terlibat dalam sebarang aktiviti bolasepak selepas rayuan pengurangan tempoh penggantungannya ditolak Mahkamah Timbang Tara Sukan.

 

12 bulan selepas beliau menjalani penggantungan, Onana kembali ke pangkuan Ajax, namun situasinya sudah jauh berubah. Posisi yang ditinggalkan Onana diisi Remko Pasveer, penjaga gol veteran yang beraksi dengan cukup cemerlang mengawal gawang Ajax sepanjang ketiadaannya. Pada Mei 2022, Onana akhirnya pergi meninggalkan Ajax sebagai agen bebas sekaligus menamatkan ikatan selama enam tahun beliau bersama gergasi Belanda itu. Bagaimanapun dengan rekod doping beliau, tidak banyak kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya.

 

Dari Eredivisie Ke Serie A

 

Ketika Onana bergelut mencari kelab baharu, Inter Milan pula sedar potensi besar yang dimiliki beliau sebagai pengganti jangka panjang kepada Samir Handanovic. Pada 1 Julai 2022, kesepakatan berjaya dicapai dan Onana akhirnya diumumkan secara rasmi sebagai pemain Inter dengan durasi kontrak selama lima tahun. Di Itali, negara di mana pizza dicipta, Onana menemui kembali jati dirinya. Sokongan tidak berbelah bahagi dari keluarga dan ultras La Beneamata menyaksikan Onana kembali menemui prestasi serta potensi terbaiknya.

 

Pada saingan Liga Juara-Juara musim lalu, beliau merakamkan lapan `clean sheet’ dari 13 penampilan yang menyaksikan Inter berjaya mara ke pentas `final’. Beberapa penyelamatan hebat yang dilakukan Onana di Istanbul bagaimanapun gagal menghalang Manchester City dari menjulang kejuaraan sulung Liga Juara-Juara mereka. Begitupun, penampilan gemilang Onana berjaya mencuri perhatian Pep Guardiola. “Onana adalah penjaga gol yang luar biasa. Dia melakukan `build up’ dan berada di posisi pemain tengah bertahan. Dia betul-betul menyusahkan kami”, kata Guardiola selepas tamat perlawanan.

 

Kata-kata yang dilontarkan Guardiola bukan satu pujian biasa, tetapi penghargaan luarbiasa dari seorang individu yang mempelopori konsep seorang `ball playing goalkeeper’ dalam sistem bolasepak moden. Di Barcelona, beliau menggunakan Victor Valdes sebagai `revolusioner’ dan kini pengaruh tersebut dapat anda lihat dalam hampir kesemua pasukan yang beraksi di Liga Perdana. Lihat bagaimana peranan yang dimainkan David Raya untuk Brentford, Ederson Morais untuk City, Alisson Becker untuk Liverpool atau Nick Pope untuk Newcastle.

 

`Libero’ Di Pintu Gol

 

Perkembangan teknologi yang semakin pesat menjadikan dunia bergerak dengan sangat pantas, dan bolasepak juga tidak terlepas dari arus modenisasi. Bolasepak moden menyaksikan ramai pemain mampu beraksi lebih dari satu posisi dengan gaya permainan berbeza. Mereka-mereka inilah yang sering menjadi buruan kelab-kelab besar serata dunia, dan salah seorangnya ialah Onana. Beliau merupakan penjaga gol moden, atau antara contoh terdekat seorang libero yang beraksi di bawah gawang sepertimana yang disebut Guardiola. 

 

United sepatutnya sudah lama membawa seorang `ball playing goalkeeper’ ke dalam skuad mereka, dan kehadiran Onana adalah pelengkap kepada aspirasi Ten Hag yang mahu menjadikan United kesebelasan dominan dalam hal penguasaan bola. Tidak dinafikan bahawa De Gea merupakan seorang `shot stopper’ terbaik pernah dunia saksikan, tetapi Onana adalah tipikal penjaga gol moden yang mungkin paling ekstrim ketika ini. Kekuatan Onana ialah kemampuan beliau mengawal zonnya dengan baik menerusi kedua-dua belah kakinya, serta julat hantaran-hantaran yang dilakukannya pula lebih luas.

 

Musim lalu, ketepatan hantaran yang dilakukan beliau mencapai angka 93.8%, manakala purata hantaran yang dilakukan Onana dalam setiap perlawanan pula adalah 28.8. Kedatangan Onana ke Old Trafford bukan tentang pertemuan semulanya dengan Ten Hag semata-mata, tetapi beliau dibawa kerana falsafah bolasepak yang dianut warga Belanda itu. `Possession based football’ merupakan elemen terpenting dalam bolasepak moden, dan angin perubahan itulah yang cuba dibawa Ten Hag pada musim pertamanya di Old Trafford.

 

Bagaimanapun asas kepada pendekatan ini memerlukan seorang `ball playing goalkeeper’ berada dalam skuad, dan inilah antara titik kelemahan United musim lalu. Keberadaan penjaga gol moden seperti Onana memberikan kelebihan dari segi `numerical’ di bahagian pertahanan United, manakala kemampuan beliau dalam melakukan hantaran pula membolehkan mereka membina gerakan dari bawah. Untuk mana-mana pasukan yang memiliki penjaga gol seperti ini, ia membolehkan mereka lebih dominan dalam penguasaan bola dan secara teorinya boleh melakukan gerakan-gerakan ofensif dengan lebih berkesan.

 

Serie A, Liga Juara-Juara dan Piala Dunia

 

Anda boleh bercakap tentang pentingnya peranan seorang `ball playing goalkeeper’ dalam dunia bolasepak moden, tetapi tugas hakiki seorang penjaga gol tetap bergantung kepada ketangkasan sepasang tangan mereka dalam menafikan percubaan lawan. Dalam saingan Serie A musim lalu, statistik menunjukkan peratus penyelamatan yang dilakukan Onana ialah sebanyak 71.8%. Angka ini mungkin agak jauh jika dibandingkan dengan catatan yang dilakukan Ivan Provedel (77.2%), tetapi untuk seorang penjaga gol yang cuma melakukan 24 penampilan dalam saingan liga, apa yang dilakukan Onana adalah sangat mengagumkan.

 

Dalam saingan Liga Juara-Juara pula beliau melakukan purata 7.8 penyelamatan per perlawanan, angka tertinggi berbanding mana-mana penjaga gol yang beraksi dalam kejohanan tersebut. Pada aksi pusingan akhir Piala Dunia menentang Switzerland di Qatar pula, Onana melakukan 26 sentuhan bola di luar petak penaltinya, yang juga merupakan catatan tertinggi dilakukan oleh seorang penjaga gol dalam sejarah Piala Dunia. Secara keseluruhannya, beliau melakukan 46 sentuhan dalam perlawanan itu, namun kritikan Rigobert Song, menyebabkan Onana meninggalkan kem skuad kebangsaan dan bersara dari bolasepak antarabangsa.

 

Penutup

 

`Ball playing goalkeeper’ adalah pilihan yang sangat popular dalam arus bolasepak moden kerana kebolehan `ball on their feet’ yang dimiliki menjadi nilai tambah kepada kemampuan `shot stopping capabilities’ mereka. Bolasepak moden tidak lagi dimainkan dengan seorang penjaga gol melakukan hantaran-hantaran jarak jauh ketika lawan memberikan tekanan. Seorang penjaga gol moden perlu membuat banyak hantaran pendek di `backline’, menggerakkan aliran bola dari belakang atau membantu perubahan transisi dari bertahan kepada menyerang.  

 

Bolasepak sedang melalui fasa modenisasi, dan United juga perlu berevolusi dari meletakkan seorang penjaga gol tradisional di gawang mereka kepada penjaga gol moden. Ten Hag mahukan United bermain dengan `build from the back’ dan untuk melakukannya mereka perlu menandatangani seorang `ball playing goalkeeper’ seperti Onana. Johan Cryuff pernah berkata, “Dalam pasukan saya, penjaga gol adalah penyerang pertama, dan penyerang adalah pertahanan pertama”. Glory Glory Manchester United!!!



16 Julai 2023

LELAKI TERAKHIR DARI ERA FERGIE

 


Selepas 12 tahun bersama, ikatan antara David De Gea dan Manchester United akhirnya terlerai. Minggu lalu, De Gea akhirnya mengucapkan salam perpisahan kepada penyokong-penyokong United. “Saya ingin mengucapkan rasa terima kasih atas rasa cinta yang diberikan sepanjang 12 tahun lalu. Banyak perkara yang kami capai sejak Sir Alex Ferguson membawa saya ke sini. Dengan rasa penuh bangga setiap kali saya menyarung seragam ini, mewakili organisasi dan kelab terbesar di dunia merupakan satu penghormatan yang cuma mampu dicapai oleh segelintir pemain”, kata De Gea menerusi laman Instagram beliau.

 

Pada 30 Jun lalu, kontrak De Gea bersama kelab secara rasminya tamat, dan sejak itu timbul persoalan adakah kita dapat menyaksikan lagi aksi tangkasnya ketika mengawal pintu gol United musim depan. Bercakap tentang De Gea, tentunya agak janggal jika tidak mengaitkan beliau dengan Sir Alex Ferguson, sosok bertanggungjawab yang membawa beliau berhijrah ke England 12 tahun lalu. Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan bahawa De Gea merupakan `warisan’ berharga yang ditinggalkan Fergie selepas persaraannya pada 2013.

 

Pada 2011 ketika Fergie merekrut De Gea dari Atletico Madrid, beliau terpaksa bersaing dengan Anders Lindegaard, Tomasz Kuszczak, Ben Amos dan Sam Johnstone dalam perebutan mengisi posisi nombor 1 United. Meskipun De Gea baru berusia 20 tahun ketika itu, Fergie tahu bahawa beliau sudah memiliki seorang penjaga gol yang memiliki bakat istimewa, karakter sempurna, prospek masa depan serta punya potensi besar mengisi kekosongan yang ditinggalkan Edwin Van der Sar. Dan akhirnya posisi nombor satu itu menjadi milik beliau.

 

“Ketika David menyertai kami pada 2011, dia memikul tugas berat menggantikan Edwin Van der Sar yang selama empat tahun menjalankan tugasnya dengan baik. David pula baru berumur 20 tahun ketika itu, tubuhnya kurus manakala kekuatan ototnya belum cukup berkembang untuk berdepan dengan beberapa penyerang Liga Perdana yang sangat kuat dari segi fikzikal. Dalam beberapa bulan pertama, prestasinya tidak konsisten, dan pada satu perlawanan, dia jelas kecewa dengan prestasinya.

 

“Kemudian saya memilih untuk bercakap di hadapan semua pemain. Saya katakan kepada mereka bahawa David adalah contoh terbaik karakter United. Dia datang ke England pada usia remaja, tidak fasih berbahasa Inggeris dan setiap minggu terpaksa berdepan dengan penyerang-penyerang lawan yang memang bertekad untuk menyusahkan hidupnya”, kata Fergie. Apa yang berlaku selepas ucapan itu, prestasi De Gea melonjak, segala tekanan yang membelenggu dirinya terlerai dan beliau akhirnya berjaya keluar dari bayang-bayang Van der Sar.

 

Seriusnya Fergie dalam misi membawa De Gea beraksi di Old Trafford didedahkan beliau dalam buku tulisannya bertajuk `Leading’. “Dari 1500 perlawanan United yang saya kendalikan, cuma tiga kali saya tidak hadir menyaksikan mereka bermain. Pertama, ketika saya menghadiri majlis pengebumian adik saya di Glasgow pada 1998. Kedua, ketika saya menghadiri majlis perkahwinan anak lelaki saya di Afrika Selatan pada 2000. Dan ketiga, ketika saya memantau aksi De Gea pada 2010”, tulis Fergie dalam buku beliau.

 

545 penampilan yang dilakukan De Gea dalam seragam merah United meletakkan beliau di kedudukan ketujuh selaku pemain paling banyak melakukan penampilan sepanjang sejarah kelab. Juga pemain kedua melakukan penampilan terbanyak selepas Wayne Rooney dalam kategori pemain yang ditandatangani Fergie dari kelab lain. De Gea adalah lambang kepada dua sisi berbeza United, iaitu era sebelum dan selepas ketibaannya di Old Trafford. Sepanjang tempoh 12 tahun sebelum beliau ditandatangani kelab, United menang lapan kejuaraan liga serta empat kali mereka tampil di pentas final Liga Juara-Juara.

 

Apa pula yang berlaku selepas 2011? United menang kejuaraan liga ke-20 dan terakhir mereka, dua tahun selepas ketibaan De Gea di Old Trafford. Tahun-tahun selepas itu, lebih banyak episod kelam untuk dikenang, berbanding kisah gemilang yang lunak untuk dicerita kepada generasi mendatang. Ketika United mengalami fasa-fasa pasang surut mereka, sepasang tangan milik De Gea, masih `angkuh’ dalam melindungi pintu gol United dari bedilan penyerang lawan. Di bawah palang dan tiang pintu gol United, De Gea adalah pahlawan yang tiada tandingan.

 

Pada 2015, Sergio Romero pernah dibawa masuk, sosok penjaga gol kelas dunia dari Argentina yang dicanang mampu menggugat posisi De Gea. Begitu juga Joel Perreira dan Dean Henderson, dua anak muda yang disebut-sebut sebagai baka penjaga gol moden yang mampu membuatkan Jose Mourinho atau Ole Gunnar Solskjaer berpaling dari De Gea. Bagaimanapun De Gea masih kekal di posisi nombor satu United tanpa mampu digugat meskipun United melalui tempoh terburuk dalam sejarah mereka di musim terakhir pengurusan Solskjaer.

 

Musim 2021/22 merupakan kemuncak kepada rasa frustasi kita terhadap prestasi kelab. Ketika itu, segalanya tunggang langgang dan haru biru hinggakan panggilan `S.O.S’ terpaksa dilakukan kepada Ralf Rangnick, bapa kepada falsafah bolasepak `gegenpressing’ demi menyelamatkan air muka pemain dan pihak pengurusan United. Sudah tentu, anak panah kritikan paling tajam ditujukan terus ke arah batang tubuh De Gea, lelaki terakhir di barisan belakang yang dikatakan penyebab utama mengapa pintu gol United bolos 57 kali dalam saingan liga.

 

Tatkala mantan bek termahal dunia beraksi seperti pemain amatur, kritikan tajam yang dilontarkan terus ke wajah De Gea atas prestasi buruk pertahanan United adalah sesuatu yang agak kejam dan tidak adil. Bagaimanapun musim lalu segalanya bertambah baik ketika United memulakan era baharu mereka di bawah pengurusan Erik Ten Hag. Benteng pertahanan yang dinaik taraf menerusi kehadiran Lisandro Martinez dan Tyrell Malacia, meninggalkan impak kepada persembahan barisan belakang United. Dan De Gea turut menerima tempiasnya.  

 

Kejayaan De Gea memenangi sarung tangan emas buat kali kedua menerusi catatan 17 `clean sheet’ yang dilakukannya musim lalu tetap tidak memadam persoalan tentang sejauh manakah relevannya beliau sebagai pilihan utama di posisi nombor 1. Penampilan beliau untuk United di pentas final Piala FA menguatkan lagi keraguan tentang kemampuan mutakhir De Gea. Kesilapan mudah yang dilakukannya ketika berdepan Brentford pada Ogos tahun lalu, Real Betis pada Mac dan West Ham pada Mei antara contoh terbaik mengapa United perlu mendapatkan penjaga gol baharu.

 

Pada suatu ketika, De Gea adalah `masa depan’ United, tetapi ketika kebanyakkan kelab berlumba-lumba meletakkan seorang `ball playing goalkeeper’ yang menjadi antara asas penting kepada falsafah bolasepak berteraskan penguasaan bola, United perlu segera melupakan masa lalu mereka bersama De Gea. 14 penyelamatan yang dilakukannya ketika berdepan Arsenal pada 2017 akan sentiasa kekal dalam ingatan. Manakala empat kali dinobatkan selaku pemain terbaik tahunan United adalah bukti betapa De Gea antara penjaga gol terbaik sepanjang sejarah kelab.

 

Hanya ada tiga penjaga gol terbaik yang pernah beraksi untuk United di era Fergie, mereka ialah Peter Schmeichel, Edwin Van der Sar dan De Gea. Berbanding Schmeichel dan Van der Sar, De Gea tidak pernah merasai kemahsyuran menjulang trofi Liga Juara-Juara, tetapi beliau merupakan penjaga gol paling banyak melakukan penampilan untuk United dalam sejarah kelab. De Gea adalah cebisan terakhir dari sebuah legasi ditinggalkan Fergie, dan selama 12 tahun, lelaki ini teguh berdiri melindungi pintu gol United.

 

Akhirnya perjalanan selama 12 tahun De Gea bersama United sudah tiba di garis penamat. Lapan kejuaraan yang dimenanginya bersama United, dua kali memenangi anugerah `golden glove’, empat kali dinobatkan selaku pemain terbaik tahunan kelab dan empat kali berada dalam senarai kesebelasan terbaik tahunan Liga Perdana, anda akan sentiasa diingati sebagai antara penjaga gol terbaik yang United pernah ada. Pergilah `Super Dave’, pergi dengan kepala tegak dan pergilah dengan penuh rasa bangga. Glory Glory Manchester United!!!  

06 Julai 2023

LEPASKANLAH DE GEA

 


Pada musim panas 2011, Sir Alex Ferguson meminta agar pihak pengurusan Manchester United menandatangani seorang penjaga gol baharu bagi menggantikan posisi Edwin Van der Sar yang bersara. Tugas mencari pengganti Van der Sar bukanlah mudah, yang selama enam musim menjalankan tugasnya dengan sangat cemerlang sebagai `pemegang kunci pintu gol’ United. Ada beberapa nama ketika itu yang dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford, dan Manuel Neuer serta Maarten Stekelenburg adalah diantaranya.

 

Akhirnya segala spekulasi tentang siapa yang bakal ditugaskan mengawal pintu gol United terjawab, bila kelab menandatangani David De Gea dari Atletico Madrid pada Jun 2011 dengan nilai perpindahan sebanyak £18.9 juta, yang juga merupakan rekod perpindahan Britain untuk seorang penjaga gol. Pada usia 20 tahun ketika itu, De Gea adalah prospek penjaga gol terbaik dunia, sanggup meninggalkan kehidupan remajanya di Sepanyol demi sebuah amanah dan tanggungjawab bagi menggantikan tempat si legenda Van der Sar.

 

Bukan mudah untuk mana-mana pemain remaja dari luar England beradaptasi dengan tempo dan gaya bolasepak Inggeris yang serba keras itu. Dan De Gea juga tidak terkecuali. Gagal berkomunikasi dengan baik bersama rakan sepasukan di benteng pertahanan, gugup dan faktor fizikal beliau antara sebab mengapa De Gea bergelut pada fasa awal kariernya di Old Trafford. Menurut Eric Steele (jurulatih penjaga gol United ketika itu), selain kekurangan pengalaman, postur tubuh beliau yang agak kurus antara sebab mengapa De Gea begitu `rapuh’ ketika di tekan lawan.

 

Jadi apa yang dilakukan Steele setiap minggu ialah membentuk ketahanan De Gea menerusi latihan di gimnasium selama berjam-jam. Manakala dalam tempoh 48 jam sebelum perlawanan pula, barulah beliau menumpukan aspek kemahiran, teknik dan kepantasan. Akhirnya selepas tahap konsentrasi, fizikal, kepantasan, fleksibiliti dan tindakbalasnya semakin baik, De Gea membuktikan kepada para pengkritiknya bahawa beliau bukanlah versi `Massimo Taibi 2.0’, dan selama 12 musim posisi nombor 1 menjadi hak mutlaknya.

 

Transformasi De Gea

 

Pasca persaraan Fergie, United berubah dari kesebelasan yang saban musim diletakkan sebagai calon menjulang kejuaraan liga kepada kesebelasan yang sekadar mensasarkan kelompok empat teratas. Tetapi di sebalik semua itu, satu-satunya fakta yang tidak pernah berubah ialah ketangkasan De Gea sentiasa menjadi penyelamat kepada musim-musim suram United. Sejak 2011, De Gea sudah melakukan 545 penampilan, memastikan gawang United tidak dibolosi sebanyak 190 perlawanan dan memenangi anugerah `golden glove’ sebanyak dua kali.

 

Sejak 2011, De Gea melalui transformasi yang sangat luar biasa sebagai pilihan nombor satu di pintu gol United. Dari seorang penjaga gol yang sering dibelenggu rasa cemas dengan lontaran-lontaran jauh Rory Delap atau ketika beliau menerima asakan keras dari penyerang-penyerang lawan yang berpostur tegap, De Gea menjelma sebagai antara figura yang sangat disayangi oleh para fanatik `The Red Devils’. Dan selama lebih dari satu dekad jugalah, United sangat bergantung kepada ketangkasannya sebagai pelindung dari badai gol yang menghujani gawang mereka.  

 

Mula Dipersoalkan

 

Bagaimanapun kapasiti De Gea sebagai pilihan nombor satu di pintu gol United mula dipersoalkan sejak beberapa musim terakhir. Tidak dinafikan bahawa De Gea sering menyelamatkan United menerusi penyelamatan-penyelamatan hebat yang adakalanya tidak terfikir oleh logik akal fikiran. De Gea merupakan salah seorang `shot stopper’ terbaik pernah disaksikan bukan sahaja di Liga Perdana, tetapi juga di dunia. Bagaimanapun dalam arus bolasepak moden, memiliki seorang `ball playing goal keeper’ adalah tuntutan yang mesti dipenuhi oleh mana-mana pasukan.

 

De Gea tidak pernah berasa selesa ketika bola berada di kakinya, dan kekurangan itulah antara dilema terbesar yang terpaksa dihadapi Erik Ten Hag musim lalu. Fergie, David Moyes, Jose Mourinho atau Ole Gunnar Solskjaer tiada masalah dengan pendekatan tendangan-tendangan gol atau jauh yang dilakukan De Gea, tetapi itu juga bermakna United sangat berisiko menyerahkan penguasaan bola kepada lawan. Dan dalam ideologi bolasepak moden, menyerahkan penguasaan bola kepada lawan adalah antara `dosa’ yang sukar untuk dimaafkan. 

 

Bolasepak berkembang dengan sangat pesat dan peranan seorang `ball playing goal keeper’ merupakan sebahagian elemen yang sangat penting dalam sistem bolasepak moden. Mereka boleh mengelecek dan mengawal bola dengan baik seperti `outfield player’ ketika ada tekanan dari pemain lawan, melakukan hantaran-hantaran pendek dan membina gerakan dari bawah. Falsafah bolasepak moden seperti `gegenpressing’, `tiki-taka’ atau `total football’ memerlukan sesebuah pasukan menguasai bola selama yang mungkin, dan ia perlu bermula dari seorang penjaga gol.

 

Kelemahan De Gea

 

Goyahnya keyakinan De Gea ketika beliau mengawal bola sudah terlihat pada penampilan kedua United dalam saingan liga musim lalu. Lihat bagaimana hantaran yang dilakukannya ke arah Christian Eriksen dipintas Mathias Jensen untuk gol kedua Brentford. Pada aksi kedua pusingan 16 pasukan Liga Europa menentang Real Betis, kelemahan De Gea dalam penguasaan bola sekali lagi terserlah. Hantaran yang dilakukannya terus ke arah Juanmi hampir saja menyebabkan pelawat menjaringkan gol kedua. United menang perlawanan itu tetapi Ten Hag jelas kurang gembira dengan prestasi De Gea.

 

Apa yang berlaku ketika kunjungan United ke St James Park pada April lalu benar-benar menelanjangkan kelemahan beliau. Ketika De Gea melakukan sepakan gol, ada tiga pemain lawan berada berdekatan petak penalti bagi menghalang beliau dari melakukan hantaran. Di St James Park, De Gea bergelut dalam berjuangannya menangani tekanan dan ketika beliau kembali melakukan hantaran-hantaran jauh, Newcastle dengan mudah memenangi kembali penguasaan bola. Menurut Alan Shearer, De Gea tidak selesa dalam penguasaan bola dan Newcastle pula cuma membiarkan beliau menguasai bola kerana tahu itu adalah kelemahan United.

 

Penutup

 

Kita seringkali dibuai dengan sikap sentimental dalam menghargai pemain bertaraf legenda dan setia seperti De Gea, hinggakan membuatkan kita terlupa bahawa prestasi beliau semakin menurun. Rasa hormat yang tinggi kepada beliau menyebabkan kita adakalanya `malu-malu untuk mengatakan bahawa sudah tiba masanya kelab mencari pengganti yang relevan, sesuai dengan ideologi bolasepak moden. Untuk melakukannya kita perlukan sedikit sifat `kejam’ dan Fergie adalah contoh terbaik. Lihat semula kebelakang, bagaimana tindakan `kejam’ yang dilakukan beliau ke atas bekas bintang-bintang kelab.

 

Paul Ince, Andrei Kanchelskis, Jaap Stam, David Beckham, Ruud Van Nisterooy dan Roy Keane antara yang menjadi korban kekejaman Fergie. Bagi beliau tiada mana-mana pemain lebih besar berbanding kelab.  Dan lihat juga apa yang dilakukan Pep Guardiola keatas Joe Hart, Raheem Sterling, Gabriel Jesus, Fernandinho dan Oleksandr Zinchenko. Fergie berani `menendang’ pemain-pemain berpengaruh yang dimilikinya kerana beliau memiliki visi masa depan untuk kelab, elemen yang hilang dalam kem United sejak persaraannya. Visi masa depan juga bererti United perlu mengorbankan De Gea dan beralih kepada penjaga gol yang lebih moden.

 

Selama lebih sedekad, De Gea antara tonggak penting United dan setia kepada kelab, tetapi itu tidak bermakna beliau tidak boleh di `sentuh’. De Gea seperti memang dilahirkan untuk menjaga gawang United, tetapi pada usianya yang sudah mencecah angka 32 tahun, tiba waktunya United menggantikan beliau dengan penjaga gol moden yang sesuai dengan aspirasi dan falsafah bolasepak Ten Hag. Melepaskan De Gea adalah solusi terbaik kepada masa depan kelab dan untuk sebelas musim yang sangat gemilang, terima kasih De Gea. Anda adalah individu, idola, figura, legenda dan pemain yang hebat. Glory Glory Manchester United!!!